Friday, December 26, 2008

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430.

Berkesempatan dengan beberapa hari cuti di hujung tahun ini, nekcun sekeluarga juga mengambil kesempatan untuk pergi bercuti. Untuk merehatkan badan dan minda, mengeratkan hubungan kekeluargaan yang mungkin terabai semasa sebuk mencari rezeki.

Jadi mungkin beberapa hari ini nekcun tidak akan dapat berkunjung ke blog-blog kekawan sekelian dan begitu juga teratak nekcun ini terpaksalah nekcun tinggalkan buat beberapa hari. Harap kekawan yang selalu ziarah tu dapatlah tolong tengok-tengokkan teratak nekcun nih!… tolong-tolonglah hidupkan lampu di waktu malam agar ianya tidak akan gelap gelita pulak untuk beberapa hari nih!…

Dikesempatan ini juga nekcun ingin mengucapkan “SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430”. Semoga tahun baru ini akan memberikan kita lebih Rahmat dan Hidayah dari Nya untuk kebaikan kita dunia dan akhirat. InsyaAllah…

p/s: Sajer nak ingatkan kekawan supaya jangan lupa membaca do’a akhir tahun (selepas solat ‘Asar) dan do’a awal tahun (selepas azan magrib) pada 28/12/2008.

Wednesday, December 24, 2008

Selebriti!... oh selebriti!...


Sekarang ni setiap hari bila kita tengok TV atau pun baca surat khabar mesti ada kisah Raja SMS atau penyanyi popular MAWI yang baru berumahtangga dengan Ekin. Sampaikan anak-anak kecil pun tahu itu Mawi kerana di mana-mana sajer gambar Mamat itulah yang terpampang!...
>>>(dengan Mawi di MS Garden Kuantan)

Kekadang nekcun terfikir juga, macam manalah agaknya kehidupan selebriti ni ya? Semua yang dia buat kena beritahu orang!... kalau dia tak beritahu, orang pulak yang akan cari dan ambil tahu apa yang dia buat. Sampaikan tempat tidur pun nak tunjuk kat orang!... Eeemmm…. Tak ada privacy langsung!... Tapi, entahlah!... mungkin itu yang seronok bagi depa gamaknya!...
<<< (dengan Dafi di Equatorial Melaka)

Cerita pasal selebriti nih… nekcun pun ingin gak nak kongsi cerita ngan kekawan. Bukan aper… sajer seronok-seronok… kerana dalam nekcun menjalankan tugas harian di pejabat nekcun selalu gak kena pergi kerja outstation dan terpaksa pula duduk di hotel-hotel sekiranya tugas nekcun itu memerlukan nekcun untuk bermalam.


Jadi dalam setahun dua ni, dah ramai juga selebriti yang nekcun jumpa ketika nekcun bertugas di luar kawasan. Selalunya nekcun jumpa mereka ni ketika breakfast di coffee house atau executive lounge. Selalunya kalau di executive lounge tak berapa ramai orang, maka nekcun ada juga ambil kesempatan bergambar dengan depa-depa nih!... sajer-sajer seronok buat kenangan… hehehe…
>>> (dengan Hans Isaac di Sutera Habour, KK)


<<< (dengan Harith Iskandar di Sutera Habour KK)

Nekcun harap kekawan janganlah kata nekcun nak tumpang glamour depa pulak!... tetapi kekadang terfikir juga oleh nekcun… mengapa selebriti atau penggiat seni seperti mereka lebih dikenali ramai tetapi penggiat seni dalam bidang penulisan lebih suka menyorokkan diri di sebalik ‘nama pena’ sahaja?. Tidakkah peminat seni penulisan atau khasnya pembaca-pembaca akan lebih meminati sesuatu hasil penulisan itu sekiranya mereka mengenali penulis itu sendiri dan tidak mustahil juga mungkin akan menjadikan beliau sebagai ‘role model’ pula sebagaimana para remaja menjadikan ‘artist’ sebagai ikon mereka.

Mungkin kekawan ada pendapat lain mengenai apa yang nekcun coretkan kerana ‘more heads is better than one head’. Pendapat kekawan amatlah dihargai.

Monday, December 22, 2008

Grandpa & grandma laaa....


Pada hari Sabtu, nekcun dan atok bawa cucunda kami ke ‘open house Genius Aulad’ iaitu tadika untuk genius muslim di USJ 21. Memang niat hati tu nak hantar cucunda kami tu kat situ bila buka sekolah nanti kerana dia pun dah masuk 3 tahun lebih dan memang sentiasa berminat sangat nak ke sekolah.

“Encik dan puan nak daftarkan anak ke?” tanya ustazah yang berada di kaunter bila melihat nekcun dan atok membawa cucunda kami yang sorang ni.

“Not anak!.. grand daughter lah!... Mama papa work!...” begitu lancar sekali cucunda nekcun menjawab sebelum sempat atok berkata apa-apa.

“Oh!... your grandpa and grandma?... teacher thought your mama and papa…” balas ustazah itu sambil tersenyum. Mungkin seronok melihat cucunda nekcun yang becok tu akan menjadi anak muridnya nanti.

“Mama and papa busy, work… Irsya follow Tokyah and Tokma…” cucunda nekcun terus pot-pet-pot-pet.

Beberapa parents yang ada di situ pun tergelak-gelak juga melihat cucunda nekcun yang becok tu… tapi ada beberapa dari mereka pun mengatakan terkejut juga bila kami kata nak hantar cucu, kerana semua ingatkan kami nak hantar anak bungsu.

Huh!... bukan main lebar lagi senyuman atok!... perasanlah tu!... ingat dia muda lagilah tuh!... cepat-cepat nekcun cubit lengan atok supaya dia sedarkan diri kembali!... hehehe… Orang lelaki memang kena ingatkan selalu, kalu tidak mereka mudah lupa bahawa mereka tu dah jadi atok!.... hehehe… Abe-abe jangan marah ya!... nekcun sajer nak usik-usik sikit…

Friday, December 19, 2008

Mengapa wanita selalu jadi mangsa?...


Semalam nekcun dapat jemputan untuk memberi ceramah kerjaya di Lagenda Education Group, yang terletak di Batu 12, Mantin Negeri Sembilan sempena Career Fair yang dianjurkan oleh University itu. Walaupun nekcun selalu dijemput oleh IPTA & IPTS untuk memberi ceramah kerjaya, inilah pertama kali nekcun mendapat jemputan dari universiti tersebut. Jadi nekcun pun tidak menolak kerana bagi nekcun ini sahajalah caranya nekcun dapat membantu ‘anak-anak bangsaku’ menyiapkan diri untuk bersaing menghadapi alam pekerjaan di dunia korporat.

Apa yang nekcun nak kongsi di sini bukanlah pasal ceramah tu tetapi adalah pengalaman nekcun semasa dalam perjalanan menuju ke universiti itu. Frankly speaking, nekcun memang tak tahu di mana tempat universiti itu walaupun Mantin tu tidaklah jauh sangat dari rumah nekcun di USJ – lebih kurang 70 km ajer. Oleh kerana nekcun ni tak tahu jalan yang tepat kerana mengikut apa yang mereka beritahu nekcun boleh ikut jalan melalui Nilai, maka tersesat-sesatlah nekcun sehingga hampir 2 jam baru nekcun sampai ke universiti itu.

Ketika nekcun tersesat tu, nekcun berhenti di sebuah stesyen minyak Petronas. (nekcun pun tak ingat kat mana tempat tu! Eh… teruk sungguh nekcun ni yer!.... hehehe..) Nekcun bertanya kepada seorang lelaki yang sedang berdiri di luar kaunter bayaran seolah sedang menunggu seseorang. Masa itu juga hanya ada sebuah kereta sahaja di stesyen minyak itu.

“Ma’af encik, boleh tumpang tanya, jalan ni betul ke kalu nak ke tempat ni?” nekcun menunjukkan kad jemputan yang menunjukkan alamat universiti tersebut.

“Oh!... jalan ni salah ni cik adik…” balasnya sambil tersenyum mesra.

Emmm… dia panggil aku cik adik? Dia tak nampak ke aku ni dah nenek? Hati nekcun rasa mula tak sedap. Dia ingat aku akan tergoda ke dengan panggilan tu? rasa ingin tergelak pun ada juga!... (kes perasan ler nih!..)

“Kalu begitu, mana jalan yang betul yang boleh saya sampai ke situ…” dengan naifnya nekcun bertanya.

“Eeemmm… kalu nak tunjuk camtu ajer susah, takut cik adik tak faham nanti kerana banyak simpang-simpang… macam mana kalu saya tolong drive kereta cik adik tu?”

Huh!... merbahaya sungguh Mamat nih!... mentang-mentang dia tengok aku sorang-sorang… sebenarnya hati nekcun dah naik kecut juga.

“Eemmm… tak mengapalah encik… nanti saya tanya di kaunter dalam, mungkin mereka boleh tolong tunjukkan jalan yang betul” balas nekcun sambil mahu berlalu.

Tiba-tiba nekcun lihat lelaki itu pula yang cepat-cepat berlalu ke sebuah motosikal yang ada di situ dan meluncur laju meninggalkan steseyen minyak itu dan tak lama kemudian nekcun nampak ada kereta peronda polis yang masuk ke stesyen itu. Nekcun pun agak hairan kenapa lelaki itu lari bila nampak kereta peronda polis? Lagi tambah kecut hati nekcun dibuatnya.

Bagiamanapun dengan pertolongan kereta peronda polis itu, nekcun dapat mencari jalan yang betul dan dapat sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.

Namun sampai hari ini nekcun tak tahu apa kaitan lelaki itu dengan kereta peronda polis itu. Nekcun biasa juga mendapat e-mail dari kekawan yang mengingatkan supaya berhati-hati terhadap ‘perangkap’ yang suka mengganggu pemandu wanita. Dan sebab itu jugalah bila nekcun tidak tahu jalan, nekcun tidak akan bertanya pada sesiapa sahaja di tepi jalan, tetapi sebaliknya selalu nekcun akan singgah di stesyen minyak atau kalau ada balai polis yang berdekatan.

Tapi semalam tu, nekcun ingat tentulah lelaki itu pekerja di stesyen minyak itu, rupanya sangkaan nekcun meleset kali ini. Bagaimana pun, Alhamdulillah nekcun telah terselamat dari sebarang ‘perangkap’itu. Nekcun benar-benar bersyukur kerana Allah masih sayangkan nekcun. Sukalah nekcun nak ingatkan kekawan wanita yang lain agar sentiasa berhati-hati ketika memandu berseorangan kerana sekarang ni macam-macam cara orang yang ‘tidak berhati perut’ ni mahu memerangkap mangsa mereka. Semoga Allah akan sentiasa melindungi kita. Aaaaminnn….

Thursday, December 11, 2008

Wanita lama Vs wanita muda...


Seperti biasa kalau nekcun balik berhari raya di kampong mertua mesti kena buat ketupat daun palas. Memang itulah kegemaran atok sehingga semua kakak-kakaknya tahu akan makanan kegemaran adik bungsunya itu.

Untuk membuat ketupat palas ni, pertamanya daun palas itu perlu dibersihkan dan koyakkan sebelum boleh dibuat pembalut. Pulutnya pula kena di masak dengan santan dahulu sebelum boleh dibalut. Untuk memasak pulut ni pula kena betul caranya kerana kalau tak betul mungkin rasanya tak akan sesedap yang kita harapkan dan mungkin juga ianya akan jadi keras. Untuk membalut ketupat palas ini juga kita kena tahu cara membalutnya kerana kalau tak betul tak akan cantik jadinya. Tidak semua orang boleh membalut ketupat palas kalau tidak ada kepakaran untuk menganyamnya.

“Hai… kalau kita dah tak ada esok, sapalah yang nak buat ketupat ni ya?” kedengaran mak chaq bertanya.

“Iya la… kita kena ajaq pelapeh untuk buat ketupat nih!...” sokong mak ndak.

“Depa budak muda-muda la ni, mana nak belajaq buat ketupat lagu ni!...” sampok pula mak njang.

“Hai… kalu depa tak mahu belajaq , macam mana kalu laki depa nak makan ketupat nanti?” tiba-tiba pak chaq yang dok perhati pada tadi menyampok.

“Eeemmm… orang tua ni jugak la yang kena buat!...” balas mak chaq lagi.

“Tu pun, anak dara la ni kalu nak kahwin bukan main mahal lagi letak belanja!” pak njang pulak menyampok.

“Sungguh!.... masa kak chaq hangpa dulu, abang chaq bagi belanja hanya RM500.00 ja… tapi tengok, soma dia buat!... cuci baju pakai tangan, masak gulai rempah giling sendiri, tanak nasi pakai periuk ayan aja… bukan macam organg pompuan la ni… sumenya pakai tekan punat letrik ja… tak dak kuailiti langsung!... dah tu belanja kahwin sampai berpuluh ribu plak!...” pak chaq menyokong sambil memuji isterinya yang tersengeh-sengeh di sebelah nekcun.

Atok yang duduk di sebelah pak chaq hanya tersenyum menjeling nekcun. Mungkin geli hati dengan hujah-hujah abang-abang dan kakak-kakaknya.

“Hai pak chaq!... tak leh lah nak banding zaman dulu ngan zaman la nih… masa zaman mak chaq dulu, dia tak payah nak pi keja cari duit, tapi kami la ni kena gak kuaq keja cari duit nak bantu somi… dah tu… kenalah somi bayaq lebih duit belanja kawin!...” tiba-tiba Nyah, anak Pak Ndak membela diri.

“Hah!... iyalah tu… hangpa pi keja cari duit sampai tak ingat umah tangga, pas tu suruh bibik urus sume kerja umah. Kalu takat urus kain baju ajer tak pa lah… kang depa urus laki hangpa sume baru hangpa tahu!...” kedengaran pak chaq merungut.

Kedengaran atok, pak njang dan pakndak ketawa berdekah-dekah. Nyah hanya muncung seolah merajuk oleh komen pak chaq. Nekcun pun tak tahu pasai apa pak-pak sedara nyah dok gelak berdekah-dekah…

Sebenarnya, nekcun pun terfikir juga akan isu yang dibicarakan oleh kakak-kakak dan abang-abang tu. Ada betulnya dan ada juga ‘something to ponder’. Memanglah kalau dibezakan antara wanita-wanita ‘lama’ dengan wanita sekarang, banyak perbezaan dari segi kepandaian dan juga pengorbanan yang mereka telah lakukan. Bagi nekcun, setiap wanita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Entahlah!... nekcun pun tak berani nak komen kerana nekcun sendiri rasa nekcun termasuk ke dalam kedua-dua zaman wanita yang dikatakan, jadi tak tahulah yang mana betul dan yang mana salah!... mungkin kekawan ada idea untuk dikongsi?... Abe-abe pun leh gak bagi komen!...hehehe...

Friday, December 5, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha...

Lagi sehari dua kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Kebetulan kali ini Hari Raya mungkin jatuh pada hari Isnin, maka ramai yang mengambil kesempatan untuk balik ke kampong halaman masing-masing.

Nekcun sekeluarga pun akan balik ke kampong atok di Sungai Petani Kedah. Bukan hanya untuk menyambut Hari Raya Korban tetapi juga kerana perlu menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara atok di Alor Star, disamping kami juga akan mengadakan korban di salah sebuah kampong pendalaman di sana.

Mungkin nekcun sekeluarga akan berada beberapa hari di kampong nanti. Dengan itu besar kemungkinan nekcun tidak akan dapat melayari blog-blog kekawan semua…

Walaubagaimana pun, nekcun ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Raya Korban” kepada semua kekawan yang mengenali nekcun. Bagi yang akan balik ke kampong, berhati-hatilah di jalan raya. Biarlah kita hanya berkorban kambing atau lembu, janganlah pula kita ‘berkorban nyawa’ di jalan raya.

P/s: Bagi kekawan nekcun yang balik ke Kelantan & Trengganu ingin nekcun nak pesan: jangan biarkan anak-anak main air banjir… Semoga kita semua sentiasa selamat dan dilindungi Allah dari sebarang musibah. InsyaAllah.

Monday, December 1, 2008

Lelaki "One in a million"... sanggupkah anda?

Nekcun memang suka membaca ruang kesihatan dalam Akhbar Mingguan Malaysia kerana banyak tip-tips dan rujukan yang boleh kita jadikan panduan di dalam menjaga kesihatan dan amalan pemakanan serta gaya hidup kita.

Namun dalam keluaran Akhbar Mingguan Malaysia semalam (30/11/2008) mata nekcun tertarik pada satu article “Makanlah apa yang ada!” Tapi yang sebenarnya bukanlah tajuk itu yang menarik perhatian nekcun tetapi isi ceritanya yang nekcun rasa amat unik. Bagi nekcun, hero dalam artikel itu adalah merupakan “one in a million!” dan heroinya pula adalah “Puteri Gunung Ledang”.

Kisah yang menarik itu adalah kisah seorang wanita berumur 106 tahun dan telah tiga tahun berkahwin dengan suaminya yang baru berumur 37 tahun. Bayangkan perbezaan umur mereka sejauh 69 tahun. Mereka adalah ibarat nenek dengan cucu!.. tetapi hakikatnya sekarang ini mereka adalah suami isteri. Kisah in terjadi di Trengganu.

Apa yang menarik minat nekcun ialah, bagaimana wanita setua itu masih mampu melayan suaminya sehingga menyebabkan sumainya tidak langsung terfikir untuk meninggalkannya atau mencari wanita yang lebih muda seperti mana kebanyakkan lelaki lain. Mereka hidup bahgia dengan penuh kasih sayang. Nekcun amat suka akan kata-kata wanita itu yang lebih kurang begini: “Saya memasak, membasuh dan buat kerja rumah. Layan suami juga saya buat!”

Apabila kita bercerita pasal layanan suami isteri, bukanlah setakat layanan zahir tetapi juga layanan batin! Inilah yang nekcun benar-benar ‘salute’ pada wanita itu. Dalam seumurnya begitu, dia mampu melayan kehidupan suaminya yang lebih dua kali ganda muda darinya! Itulah anugerah ALLAH yang nekcun rasa amat bernilai bagi seorang wanita seumur dia. Begitu juga bagi lelaki itu, seandainya memang beliau benar-benar ikhlas dan mencintai isterinya yang sudah boleh dianggap sebagai neneknya, maka amat besarlah pahalanya. Memang ALLAH itu Maha berkuasa melakukan apa sahaja!... walaupun perkara yang kekadang kita anggap mustahil…

Hati nekcun amat terusik dengan kisah cinta dan kasih sayang kedua suami isteri ini. Lebih-lebih lagi apabila dalam seusia begitu, wanita itu masih sehat dan kuat, mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Inilah yang dikatakan “Cinta itu buta! Cinta itu tidak mengenal usia!”… Hati nekcun pun terfikir juga, berapa ramaikah lelaki di Malaysia ini yang sanggup berbuat seperti lelaki itu? Eeemmm... entahlah!... Semoga mereka suami isteri akan terus bahgia sehingga ke akhir hayat.

p/s: Kekadang terfikir juga, adakah atok akan tetap cinta pada nekcun kalau nekcun dah tak cun lagi?...hehehe…

Thursday, November 27, 2008

Marilah kita ber"Qurban"...


Semalam nekcun ikut atok pergi masjid kerana kebetulan kami balik dari pejabat sebelum masuk waktu magrib. Tak sangka pulak ada ceramah pasal Ibadah qurban. Oleh kerana pergi masjid dengan cara kebetulan, maka nekcun pun tak bawaklah buku catitan. Bagaimana pun adalah beberapa perkara yang nekcun masih ingat untuk dikongsi bersama kekawan semua.

Ustaz tu kata, ibadah qurban ini sebenarnya adalah dituntut untuk semua orang Islam yang mampu. Disamping kita ber’qurban’ untuk diri kita, kita juga boleh mensedekahkan pahala qurban itu kepada sesiapa yang kita suka hendak sedekahkan. Ini bukan bermakna, kalau kita nak sedekah pada lima orang anak kita, kita perlu qurban 5 ekor kambing atau 5 bahagian dari seekor lembu atau sebagainya, tetapi memadai dengan kita berqurban seekor kambing atau satu bahagian lembu sahaja, tetapi niat kita untuk bersedekah pahala itu akan sampai juga kepada semua orang –orang yang kita sedekahkan pahala itu disamping kita juga akan mendapat pahala yang sama. Tetapi kalau kita mampu untuk memberi setiap orang dengan setiap bahagian, lagi elok. Itulah kata ustaz!…

Bercerita tentang kemampuan, ustaz juga berkata… kalau dalam keadaan kita sekarang ini, memang semua orang adalah mampu untuk melakukan ibadah qurban ini.

Contoh pertama, ustaz berkata: “Cuba lihat semua poket tuan-tuan! Kalau ada kotak rokok di dalam poket tuan-tuan itu, maka tuan-tuan sudah dianggap mampu untuk melakukan ibadah qurban. Cuba tuan-tuan kira sekotak rokok berharga RM6.00. Setiap hari tuan-tuan berbelanja RM6.00 untuk membeli barang yang makruh itu. Dalam setahun maknanya sejumlah RM2,190-00 telah tuan belanjakan. Tidak bolehkah dari jumlah RM2,190-00 tuan-tuan ambil anggaran RM350-00 (harga satu bahagian lembu) untuk ibadah qurban yang hanya setahun sekali?”

Ustaz memberi contoh lagi: “Ada orang kata saya tak merokok, jadi saya memang tak membelanjakan duit untuk benda yang makruh itu! Okey… tengok pulak di rumah tuan-tuan, ada astro tak? Berapa bayaran astro sebulan? Katakanlah yang paling murah RM49-00 sebulan, jadi setahun RM588-00. Jadi tak bolehkah ambil RM350-00 dari situ kerana astro bukanlah perkara wajib yang umat Islam perlu ada!”

Meneliti kembali ceramah Ustaz itu, memang tersentuh benar hati nekcun. Kekadang kita ni terlalu berkira untuk membelanjakan duit kepada jalan ALLAH, tetapi kita seolah tidak kisah kalau pembaziran untuk keseronokkan duniawi. Hati nekcun benar-benar insaf ketika itu kerana segala rezeki yang ALLAH telah berikan, kita habiskan untuk kehidupan duniawi sahaja dan kita jadi lupa bila untuk mencari jalan keredhaannya.

Nekcun harap entry nekcun kali ini dapat kita menfa’atkan bersama untuk kita sesama saling ingat mengingati… Selamat Menyambut Hari Raya Qurban.

P/s: Tahun ini nekcun sekeluarga ber”qurban” di Cambodia
.

Monday, November 24, 2008

Nasib anak bangsaku!...

Pada hari Sabtu nekcun ke PWTC kerana pejabat nekcun terlibat dengan Mega Career Carnival. Walaupun beberapa orang staff kami bertugas di booth kami tetapi nekcun pergi juga kerana perlu menghadiri majlis perasmian disamping memberi sokongan moral kepada staff-staff yang bertugas sepanjang dua hari carnival tersebut.

Sepanjang nekcun berada di carnival itu, nekcun lihat memang ramai betul pengunjung yang datang. Tak tahulah samada mereka-mereka itu adalah graduan-graduan yang memang masih belum mendapat pekerjaan atau pun yang sudah bekerja tetapi mahu “beralih angin” ke majikan lain kerana memang terdapat lebih 80 majikan yang menawarkan berbagai kekosongan jawatan, termasuklah syarikat tempat nekcun bekerja.

Dari apa pemerhatian nekcun, hampir 80% pengunjung atau pencari pekerjaan adalah dari kalangan anak-anak Melayu. Selebihnya adalah kalangan anak-anak kaum India dan terlalu sedikti sangat dari kalangan anak-anak kaum Cina.

Melihat keadaan begitu, terdetik juga hati nekcun… “ramai betul anak Melayu yang masih tiada pekerjaan berbanding dengan kaum lain. Mengapa harus terjadi begitu?”
Bagaimanakah DEB yang telah sampai ke peringkat yang ke 9 masih tidak dapat membantu anak-anak bangsaku mencapai sasaran ekonomi yang sepatutnya.

Hati nekcun jadi sedih sangat melihat anak bangsaku mengemis mencari pekerjaan di tanah air sendiri!... Sampai bilakah harus kita terus begini? Tidakkah pemimpin-pemimpin bangsaku menyedari keadaan yang sedang berlaku ini… Entahlah!... nekcun tidak tahu nak kata apa-apa lagi… Hanya kepada Allah nekcun selalu berdo’a agar kita semua sentiasa mendapat pertolongan dariNYA.

Thursday, November 20, 2008

Hadiah hari jadi, "surprise" kah dia?...

Semalam anak bungsu nekcun berbisik pada nekcun tentang hari jadi ayahnya yang akan tiba tidak lama lagi. Dia berkata yang mereka adik beradi nak buat ‘surprise’ untuk ayah mereka tahun ini. Nekcun pun tak tahulah apa rancangan mereka. Anak bungsu nekcun tu memang creative dan artistic orangnya walaupun bidang pengajiannya di IPT amat berbeza iaitu accounting. Mungkin itulah kelebihan ALLAH di dalam mencipta kita manusia ini.

Cerita pasal hari jadi atok ni… nekcun pun pening juga. Tak tahu apa nak beri sebagai hadiah sempena harijadinya. Dah lebih 30++ tahun hidup bersamanya, nekcun dah jadi tak tahu apa lagi yang boleh men’surprise’kan atok. Selalu apa yang terjadi, nekcun yang ter’surprise’ sedangkan atok bagai dah ‘nothing surprise for him’.




Agaknya anak bungsu nekcun tu mengikut creativity ayahnya. Ada sahaja yang mereka buat untuk men’surprise’kan nekcun. Seperti hari jadi nekcun pertengahan tahun ini, atok benar-benar men’surprise’kan nekcun bila dia menghadiahkan ‘kunci’ baru pada nekcun. Walaupun nekcun sudah ada kunci model seperti itu sebelum ini namun ianya untuk model yang agak kecil sedikit, tetapi bila atok menghadiahkan nekcun dengan ‘kunci’ yang lebih terbaharu, hati nekcun jadi amat-amat tersentuh dengan keperihatinan atok terhadap apa yang nekcun suka. Atok juga agak romantis di dalam menyatakan isi hatinya walaupun dia bukan jenis yang suka banyak berbicara macam nekcun ni… namun nekcun amat menghargai setiap kata-kata hikmat yang atok berikan setiap tahun sehingga kekawan di pejabat selalu menegur bila melihat kata-kata indah itu bergantungan di meja tempat kerja nekcun.

Bukanlah nekcun nak bercerita pasal atok (takut nanti boring pulak kekawan nak baca N3 nih!...) tapi nekcun amat berharap untuk mendapat idea dari kekawan bagaimanakah nekcun boleh membuat atok ‘surprise’ pada harijadinya yang tinggal lebih kurang 3 minggu lagi. (Harap-harap atok tak akan buka blog nekcun ini…hehehe…)

Mungkin ramai kekawan yang telah pun membuat ‘surprise’ kepada yang tersayang pada hari-hari yang tertentu, maka nekcun harap dapat kita berkongsi cerita dan pengalaman. Manalah tahu, cerita dan pengalaman kekawan itu akan dapat membantu kekawan lain di dalam mengiratkan lagi cinta dan kasih sayang suami isteri dan juga anak-anak. Semoga kita semua akan sentiasa mendapat kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat… Ammiiinnn...

Monday, November 17, 2008

Panggilan yang terakhir... pergi jua akhirnya!....

Pada petang khamis lalu nekcun dikejutkan dengan satu berita sedih. Salah seorang sahabat lama nekcun telah menyahut panggilan ALLAH yang terakhir. Panggilan yang kita semua tidak boleh mengelak lagi.

Sesungguhnya sebagai manusia kita perlu redha dengan panggilan itu, tak kiralah samada diri kita sendiri atau pun saudara mara dan sahabat handai kita, walaupun ianya sesuatu yang amat sedih bagi kita semua bila orang yang disayangi meninggalkan kita untuk selamanya. Nekcun harap kaum keluarga Allahyarham akan tabah dan redha menghadapi pemergian beliau ini.

Nekcun dan ramai lagi sahabat-sahabat yang mengenali Allahyarham amat terkejut dengan sebab musabab pemergian sahabat kami itu. Iyalah… selama ini, telah bertahun-tahun sahabat kami itu menanggung derita kerana penyakit kanser, sehingga entah berapa kalilah Allahyarham terpaksa melakukan ‘kimo’. Namun Allah itu Maha kuasa, Allahyarham pergi bukan disebabkan penyakit kanser yang dihidapi bertahun-tahun, tetapi beliau pergi kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Itulah yang paling menyedihkan kami semua sehingga tidak dapat lagi menahan air mata ketika mendapat berita itu.

Sebagai sahabat, nekcun mengakui bahawa Allahyarham adalah seorang yang ikhlas dan jujur dalam menjalinkan hubungan persahabatan. Pemergian beliau amat kami semua rasai kehilangannya dan sukar untuk dicari ganti. Nekcun do’akan semoga roh Allahyarham akan termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan bertakwa. Aaammiiinnn…

Tuesday, November 11, 2008

Masa itu semakin dekat...


Bagaimana yang nekcun dah jangkakan semasa bercuti 2 minggu lepas, memang benar! Sekarang ini nekcun rasa macam dah tak cukup 24 jam sehari tuh!... Seawal pukul 5 pagi nekcun dah bangun tiap-tiap hari dan hampir 12.00 malam pula baru nekcun dapat melepaskan lelah untuk merehatkan tubuh dan minda.

Adakah nekcun yang terlampau sibuk atau pun dunia ini sudah hampir akhir zaman? Nekcun sendiri tak dapat nak jawab. Waktu di pejabat serasa pantas sangat berlalu. Baru selesai satu meeting, satu meeting lagi telah menunggu. Bagai terpaksa berlari pula nekcun kena pergi ke surau setiap kali menerima panggilan ALLAH yang pertama. Kalau tidak mungkin tidak akan sempat untuk menghadiri mesyuarat yang seterusnya. Itu belum lagi kertas kerja dan lapuran yang perlu disiapkan dengan segera. Semuanya seolah tidak boleh menunggu lagi… sudah hampir sangatkah waktu dunia ini akan kiamat? Nekcun terus tertanya-tanya….

Ketika di rumah begitu juga. Hujung minggu lepasa sahaja entah berapa kenduri yang perlu di hadiri. Hujung minggu hadapan lagi hebat… surat jemputan kenduri kahwin sudah berteritip di atas meja. Sehinggakan nekcun dan atok tak tahu yang mana satu harus didulukan. Hendak ditolak jemputan, terasa bersalah pula bila orang sudah berbesar hati menjemput kita, maka mahu tak mahu terpaksalah nekcun dan atok berlari ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan. Cucu nekcun pun sampai dah merajuk kerana atok tak dapat nak bawa dia main ‘merry-go-round’.

Petang tadi, nekcun bertambah lelah bila mendapat panggilan dari seseorang. Memang panggilan itu adalah yang amat nekcun harapkan selama ini. Gembira sungguh bila mendapat panggilan itu. Namun, panggilan yang dinantikan itu juga turut menuntut nekcun terpaksa mengorbankan masa yang agak suntuk ini. Apa-apa hal pun, perjanjian antara nekcun dengan si pemanggil itu perlu juga nekcun tunaikan!....

Eemmmm…. Kekedang terfikir juga oleh nekcun, adakah nekcun sorang sajer yang tercungap-cungap mengejar masa? Adakah orang lain pun sama macam nekcun? Walaupaun apa pun, nekcun bersyukur kerana ALLAH masih memberi kesihatan yang baik untuk membolehkan nekcun menggunakan masa yang ada ini sebaik-baiknya…

Wednesday, November 5, 2008

Aku datang menyahut panggilanMU....



Semalam nekcun dan atok dapat jemputan dari seorang kawan lama untuk kenduri do’a selamat sebab dia suami isteri nak berangkat menunaikan Ibadah Haji minggu hadapan. Nekcun dan atok memang tak pernah melepaskan peluang untuk berjumpa saudara mara atau sahabat handai yang nak ke Mekah untuk menunaikan Ibadah Haji kerana setiap kali melihat kawan-kawan pergi, terasa hati ini juga bagai dicuit-cuit dan ditarik-tarik nak pergi lagi walaupun telah beberapa kali pergi.

Sesungguhnya, tanyalah sesiapa sahaja yang sudah pernah ke Mekah dan menghadap Baitullah, pasti akan mahu lagi ke sana dan tidak akan pernah serik walaupun terdapat beberapa dugaan yang dihadapi ketika di sana.

Bercerita pasal mengerjakan Ibadah Haji dan Umrah ini, teringat nekcun akan satu ceramah ugama yang nekcun hadiri. Entah di mana pula nekcun menyimpan nota ceramah itu, nekcun pun tak ingat... tetapi sedikit sebanyak yang nekcun ingat adalah seperti berikut:-

Allah akan memanggil kita hanya TIGA kali sahaja. Kalau panggilan pertama dan kedua kita tidak menyahut panggilanNYA, maka pada panggilan ketiga kita tidak akan dapat lari dari menyahutnya. Sesungguhnya ALLAH itu maha adil dan maha mengasehani…

Panggilan pertama ialah melalui Azan Solat lima waktu sehari!... Azan solat adalah panggilan pertama Allah kepada hamba-hambanya. Kita diwajibkan menyambut panggilan itu dengan megerjakan solat setiap kali kita menerima panggilan itu. Cuba bayangkan apakah perasaan kita bila kita memanggil anak-anak kita tetapi mereka tidak menghiraukan panggilan kita. Kalau ada yang menyahut pun mungkin setelah beberapa lama kita memanggil… Tidakkah kita berasa hampa dan sedih? Anak yang kita sayang, anak yang telah kita berikan semua kemahuannya tetapi tidak mahu menyahut segera panggilan kita!... Tentu kita berasa kecil hati kan?... begitu jugalah ALLAH… tetapi ALLAH itu maha pengasih lagi penyayang. ALLAH juga maha pengampun… Dia tetap akan memberikan apa yang kita pinta walau pun kita pernah menyakitiNYA dengan tidak menyahut panggilan pertamanya.

Panggilan ALLAH yang kedua adalah ketika kita mengerjakan Ibadah Haji dan Umrah. ALLAH telah menyeru semua umatnya yang mampu untuk mengerjakan Ibadah Haji & Umrah dan sebab itu juga ibadah itu dimasukkan ke dalam rukun Islam yang lima. Tetapi berapa ramai umat Islam yang mampu dari segi kekuatan fisikal dan kewangan tetapi masih melengah-lengahkan untuk menyahut panggilan ALLAH yang kedua itu. Harta yang banyak digunakan untuk urusan duniawi yang lain. Malah ada yang sanggup berhabis duit beribu-ribu/berjuta-juta untuk bercuti ke luar negara untuk melawat negara-negara yang lebih maju & moden kononnya tetapi masih tidak sampai lagi untuk mengerjakan Ibadah Haji & Umrah. Bila di tanya, maka jawapan yang lumrah kita dengar ialah “belum sampai seru lagi!...” Adakah itu jawapan yang betul? ALLAH telah menyeru umatnya untuk panggilan kedua itu melalui rukun Islam yang lima, mengapa mesti kita salahkan tidak ada seruan lagi? Alangkah beruntungnya orang-orang yang dapat menyahut seruan ALLAH yang kedua itu…”Allahumalabaiiiik… aku datang menyahut panggilanMU ya ALLAH!...”

Panggilan ALLAH yang ketiga dan terakhir ialah apabila dia menghantar Malaikat Izrail untuk menyabut nyawa kita dari tubuh kita. Panggilan ketiga ini adalah panggilan ALLAH yang terakhir untuk kita, maka mahu tidak mahu kita terpaksa menyahutnya!... Tiada siapa pun yang dapat mengelak panggilan ketiga ini bila ALLAH sudah memanggil kita. Maka beruntunglah bagi insan-insan yang sentiasa setia dan ikhlas di dalam menyahut seruan ALLAH yang pertama dan kedua dan pastinya panggilan ketiga ini tidak akan menjadi masaalah kepada mereka-mereka ini. Malahan ramai juga yang sentiasa ternanti-nantikan panggilan yang ketiga ini apabila mereka telah menyerahkan sepenuh jiwa dan raga semasa menyahut panggilan ALLAH yang pertama dan kedua itu kerana mereka tahu, Allah akan memberikan lebih ganjaran setelah mereka menyahut panggilan yang ketiga ini. Ganjaran yang lebih hebat dari apa yang mereka telah dapati di dunia ini.

Tetapi... akan malanglah nasib insan-insan yang mensesiakan panggilan-panggilan pertama dan kedua ALLAH ketika menghadapi panggilan yang ketiga. Na'uzubillah… janganlah kita termasuk ke dalam golongan insan-insan yang rugi ini!...

Sebenarnya nekcun ni tidaklah arif sangat pasal hukum-hukum ugama ni… tetapi apa yang nekcun rasa, kalau perkara itu elok dikongsi bersama, maka apalah salahnya kita kongsikan sambil kita ingat mengingati sesama kita… InsyaAllah, semoga kita semua sentiasa mendapat RahmatNYa ketika menyahut panggilan ALLAH serta mendapat keberkatanNYA di sepanjang hayat kita di alam maya ini…Ammiiinnn…

Friday, October 31, 2008

Marilah rehatkan minda kita....

Huh!... bercuti dan melancung bersama atok di satu tempat di alam maya ini memang menyeronokkan. Kali ini kami bercuti tak jauh pun, lebih kurang 3 – 4 jam penerbangan sahaja. Walaupun dah dua tiga kali ke situ, nekcun dan atok tetap suka ke situ lagi kerana macam-macam yang menarik ada di sana!... (Boleh main chess atas 'giant board')

Nekcun memang macam tu… kalau nak bercuti untuk berehat-rehat, nekcun tak suka jauh-jauh sangat yang mana mungkin memerlukan penerbangan berbelas atau berpuluh jam kerana akhirnya akan penat jet-lag, jadi bukan berehat tetapi menambah penat. Sesekali tu tak apalah tetapi kalau untuk sesekejap ni baiklah tak payah jauh-jauh sangat!... Lainlah kalau terpaksa mengikut atok atas urusan rasmi, kalau lama di atas kapal terbang pun boleh rehat sebab boleh duduk tempat ‘sedap’, tapi kalau pergi bercuti sendiri, buat apa nak buang duit bayar tambang mahal-mahal untuk nak duduk ‘sedap’… bagi nekcun asalkan masa sampai di tempat yang dituju sama sajer, sudahlah!…(Duit tu boleh guna buat ‘shopping’…biasalah orang pompuan… hehehe…)

Selama lima hari berehat dengan atok di tempat orang, walaupun seronok sesekali tu terasa ‘boring’ juga terutama bila masa atok sebuk di padang menebas rumput yang tak panjang-panjang tuh!... (tengoklah buggy atok tuh!...) Jadi untuk menghilangkan rasa ‘boring’ tuh nekcun ambil peluang pula memanjakan diri di Spa. (Ramai ‘mat salleh’ lebih suka di ‘open massage hut’ sambil menyedut udara nyaman di tepi pantai, tapi nekcun tidaklah begitu…malu!...)


Walaupun di fikiran nekcun sentiasa berserabut dengan kerja-kerja di pejabat yang sentiasa berlambak-lambak yang terpaksa nekcun tinggalkan untuk beberapa hari ini, namun bila atok memanjakan nekcun dengan percutian ini, nekcun rasa seronok benar. Maklumlah dalam perkahwinan yang telah menjangkau lebih 30 tahun (dah kahwin sebaik habis sekolah!... nak buat macam mana?...hehehee..) kemesraan dan belaian pasangan perlu dititikberatkan selalu bagi menghangatkan kembali sa’at-sa’at manis ketika baru berkahwin dulu.
Inilah yang atok dan nekcun selalu lakukan. Tiga empat bulan sekali kami pasti akan pergi bercuti dan melancung ke tempat-tempat yang berlainan bagi memupuk dan menyemarakkan lagi kasih sayang antara kami. Setelah penat berhar-hari memerah otak dan tenaga di pejabat, sekali sekala kita perlu pula merehatkan tubuh dan minda dengan percutian bersama yang tersayang. Ini akan dapat mengiratkan lagi cinta dan kasih sayang suami isteri yang mungkin telah terabai ketika kita sibuk bekerja mencari rezeki.

Kekadang hati nekcun setuju juga dengan phrasa “Duit tidak boleh membeli segalanya!” Iyalah… kalau duit banyak berkepok-kepok tetapi badan tak sihat, buat apa? Itu tak boleh makan, ini tak boleh makan… buat apa duit banyak-banyak? Lagi pulak tu… kalau asyik sakit-sakit sahaja, nanti lama-lama orang yang disayang pun akan jemu juga!... akhirnya kita akan tinggal keseorangan juga!... (semoga tidak akan menimpa kita!...)

Sebab itulah nekcun dan atok. walau macam mana sibuk sekali pun, sesekali mesti juga mencuri peluang pergi bercuti untuk merehatkan badan dan minda. Tubuh kita ini kan macam mesin… sesekali kena juga direhatkan dan di ‘service’ untuk mempastikan ‘performance’nya sentiasa ‘tip-top’…

Jadi, sukalah nekcun menasihatkan kekawan yang sentiasa sibuk mencari rezeki tuh… pergi-pergilah bercuti bersama yang tersayang untuk merehatkan badan dan minda disamping mengiratkan lagi cinta dan kasih sayang… Ingatlah… “Money cannot buy everything!....” dan “Love is the best medicine for survival!...”

p/s: Dalam masa bercuti sempat juga menulis sebaris dua di tepi pantai... banyak lak ilham masa tuh!.. Lepas cuti nih, nekcun kenalah balik macam lipas kudung kerana sudah tentu kerja berlambak-lambak bagai nak rak!... KPI dan semua date-lines kena dicapai!... hukhukhuk!...

Wednesday, October 22, 2008

Bangsa Malaysia... Malaysiakah kita?...

Dua malam lepas, entah macam mana nekcun tertengok satu siaran di Astro… (tak ingat pun siaran channel mana kerana tengah sibuk mencari siaran kartun untuk cucu…) yang begitu menarik minat nekcun, sehingga membuat nekcun terleka sebentar mendengar isu yang dibincangkan. Tokoh yang berbincang itu adalah Dr. Redzuan Tee Abdullah dan yang sorang lagi nekcun pun tak ingat siapa namanya…

Apa yang menarik minat nekcun sangat-sangat ialah bila isu perkauman yang sedang menjadi-menjadi di negara kita ini dibincangkan. Ahli panel juga membincangkan kenapa ianya terjadi sekarang dan apakah tindakan yang perlu diambil bagi membendung gejala ini dari terus membelenggu sentimen semua rakyat Malaysia.

Nekcun rasa semua orang kenal siapa Dr. Redzuan Tee Abdullah. Seorang saudara baru Islam dan menjadi pendakwah bebas. Apa yang dikatakan oleh beliau memang banyak benarnya dan nekcun rasa amat bangga kerana walaupun beliau asalnya seorang Cina tetapi beliau benar-benar berfikiran rational ketika menyatakan pendapatnya.

Beliau mengatakan: Semua bangsa itu ada tanah air mereka sendiri dan semua tanah air mereka itu diberi nama mengikut bangsa masing-masing. Contohnya, orang-orang Cina berasal dari negeri Cina dan sebab itu negerinya di panggil negeri Cina, orang India berasal dari negeri India, orang Siam berasal dari negeri Siam dan lain-lain. Semua hak mutlak bangsa-bangsa itu di negara mereka tidak boleh digugat ganti oleh mana-mana pihak. Begitu juga dengan orang Melayu, di mana jadilah negara ini di panggil Tanah Melayu kerana asalnya ialah kepunyaan orang Melayu. Maka orang lain yang mendatang ke Tanah Melayu tidak sepatutnya menggugat ganti hak mutlak orang Melayu di tanah air mereka. Orang-orang yang mendatang ini sepatutnya bersyukur kerana telah diterima oleh orang Melayu untuk menjadi sahabat dan kemudian sama-sama mendudukki tanah Melayu ini. Tetapi apa yang terjadi sekarang adalah sebaliknya!

Bila ditanya, mengapa boleh jadi begitu? Maka jawab beliau: Ini adalah disebabkan kesalahan orang yang mentadbir negara ini. Orang-orang ini banyak yang mempunyai kepentingan peribadi dari mempertahankan hak bangsa dan rakyat asal Tanah Melayu. Pentadbir-pentadbir ini sanggup meminda cara-cara pentadbiran untuk mendapatkan sokongan dari sahabat-sahabat yang mendatang ini hanya untuk memenuhi keperluan peribadi mereka semata-mata.

Contoh yang beliau beri: Hanya untuk menjadi popular dan memastikan boleh menang dalam pilihan raya, ahli politik (Pentadbir negara) akan sanggup menukar pelembagaan atau pun cara-cara mentadbir negara misalnya pindaan terhadap akta Pelajaran di mana dulunya Bahasa Melayu adalah sebagai bahasa Ibunda / Utama tetapi sekarang tidak lagi. Seseorang yang pandai berbahasa Melayu dan tidak pandai berbahasa Inggeris / bahasa lain akan dipandang rendah dan akan susah untuk mendapat pekerjaan. Sedangkan kalau di negara-nagara lain contohnya di negara Cina, kalau seseorang itu tidak dapat menguasai bahasa Cina / bahasa ibunda, meraka tidak akan diberi keutamaan dalam sebarang hal. Begitu juga di India dan negara-negara lain di mana mereka mementingkan bahasa ibunda tanah air itu. Tetapi apa yang terjadi di Malaysia sekarang adalah sebaliknya. Alangkah malangnya anak Melayu kerana sudah tiada hak mutlak di Tanah Melayu.

Beliau juga ditanya mengapakah perlunya pengetahun sejarah kepada semua pelajar? Jawab beliau, sejarah sesebuah negara itu memang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya supaya mereka sedar siapa diri mereka dan bagaimana mereka boleh menjadi rakyat negara ini. Dengan pengetahuan itu, maka akan timbul perasaan sayangkan negara dan menanam rasa ta’at setia kepada negara tercinta ini tanpa menganggu gugat hak mutlak bagi mereka yang hak.

Beliau juga mengatakan, mengapa mesti ada bermacam-macam jenis sekolah di Malaysia ini, misalnya mengapa mesti ada sekolah Cina dan sekolah Tamil. Kalau kerajaan mahu semua rakyat bersatu, maka hanya ada perlu satu sekolah sahaja iaitu sekolah Kebangsaan di mana semua anak-anak dari berbagai kaum dan bangsa berkumpul dan bersatu. Mempelajari satu pemahaman. Jika dari kecil lagi mereka telah dipisah-pisahkan dan diajar mengikut pemahaman yang berlainan, apakah yang kita harapkan bila mereka telah meningkat dewasa. Tentu sahaja pemahaman yang berlainan akan terus menguasai pemikiran mereka. Jadi macam mana kita mahu semua rakyat yang berbilang kaum dan bangsa ini bersatu tanpa ada rasa prejudis antara satu sama lain? Inilah salah satu isu yang dibangkitkan oleh Dr. Redzuan Tee yang amat menarik minat nekcun sehingga terleka sebentar mendengarnya.

Nekcun memang solute pada Dr. Redzuan Tee di atas keterbukaan cara dia berfikir di dalam usaha menyatukan kembali semua bangsa di Malaysia ini tanpa mengganggu gugat hak-hak bagi yang berhak. Kekadang, kita orang Melayu sendiri tidak sedar siapa diri kita sehingga sanggup menggadai maruah ugama, bangsa dan negara hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi. Walau apa-apa pun, bagi nekcun, yang penting adalah sekiranya semua ahli politik dan pentadbir negara mengamalkan cara-cara mentadbir berlandaskan Islam dan Al-Quran, insyaAllah semuanya akan selamat. Cara pentadbiran yang disarankan oleh Islam telah lebih dari cukup untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua insan di dunia ini tanpa mengira bangsa atau pun ugama yang mereka anuti.

Marilah kita sama-sama fikir-fikirkan apa yang dibangkitkan ini… Kekadang nekcun pun takut nak menghadapi apakah kesudahan keadaan politik dan pentadbiran negara yang sedang melanda negara kita ini… Hanya kepada ALLAH nekcun selalu berserah. Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan dirahmati di dunia dan di akhirat…. Amiiiinnn…

Monday, October 13, 2008

Nice phrases to share...

This morning I received an e-mail which I feel is something very useful. Even if it cannot change our life or make us happier, at least it may lighthen our days when we read it. I'm happy to share it with you!

Anger is a condition in which the tongue works faster than the mind.
You can't change the past, but you can ruin the present by worrying over the future.
Give Love...and you shall be loved.
ALLAH always gives His best to those who leave the choice with Him.
All people smile in the same language.
Everyone needs to be loved... especially when they do not deserve it.
The real measure of a man's wealth is what he has invested in eternity.
Everyone has beauty but not everyone sees it.
It's important for parents to live the same things they teach.
Thank ALLAH for what you have, Trust ALLAH for what you need.
The choice you make today will usually affect tomorrow.
Take time to laugh, for it is the music of the soul.
Patience is the ability to idle your motor when you feel like stripping your gears.
Love is strengthened by working through conflicts together.
Harsh words break no bones but they do break hearts.
We take for granted the things that we should be giving thanks
Love is the only thing that can be divided without being diminished.
Happiness is enhanced by others but does not depend upon others.
For every minute you are angry with someone, you lose 60 seconds of happiness that you can never get back.
Do what you can, for whom you can, with what you have, and where you are.


I'm happy if I can make my friends happy!!!
p/s: Do read Menggamit Syurga Firdaus to find out what is a true friendship!

Tuesday, October 7, 2008

Cholesterol Free Laaa pulak!....


Terlebih dahulu suka nekcun nak mengucapkan Selamat Hari Raya pada semua. Tentu ramai antara kita yang dah mula kerja setelah beberapa hari bercuti menyambut hari raya di kampong halaman masing-masing, termasuklah nekcun sekeluarga. Kami balik ke kampong di Utara tanah air.

Berkumpul bersama semua kaum keluarga ni memang seronok. Makan minum pula tak usah kiralah… maklumlah hari raya!... bukan selalu, setahun sekali sajer. Jadi apa yang dijamu semuanya kita ‘balun’… lupa sekejap segala penyakit atau pantang yang amat kita jaga sebelum ini…

“Hah… rasalah yang ini… best!... jangan risau semuanya ‘cholesterol free’...” anak saudara nekcun menghidangkan ketupat pulut siap dengan rendang daging dan macam-mcam lagi lauk pauk serta nasi tomato yang semuanya amat menyelerakan.

“Eeemm… kalau dah kuah rendang dan pulut dengan santan berlinangan tu, mana ‘cholesterol free’ nyer Nyah ooiii…” abang ipar nekcun membidas kata-kata anaknya yang merujuk kepada tulisan yang selalu terdapat di botol-botol minyak masak atau makanan-makanan lain yang memaksudkan bahawa bahan atau makanan tersebut tidak mengandungi cholesterol.

“Itu sebablah Nyah kata ‘Cholesterol free’… sebab orang tak perlu bayar, dah dapat cholesterol!...” jawab si anak sambil tergelak.

“Kata ‘cholesterol free’, mcam mana pulak boleh dapat cholesterol tu? Heh!... Pak njang tak fahamlah !...” seorang lagi abang ipar nekcun mengomel.

“Alaaa… apalah Pak Njang ni… kalau Pak Njang beli minyak masak, kan depa ada tulis ‘cholesterol free’ kat botol tu kan? Hah… jadi Pak Njang hanya bayar harga minyak masak tu, tapi yang cholesterol tu, depa bagi ‘free’ lah!.... apa laa Pak Njang nih!...” jawab anak buah nekcun tu sambil terus tergelak besar.

“Jadi… hari ni, Nyah nak bagi kami sumer ni ‘cholesterol free’ lah ya? Banyak laa Nyah punyer ‘free’!...” Pak Njang menepok bahu anak buahnya sambil turut tergelak.

Kami dan keluarga yang lain pun semua turut tergelak bila mula memahami gurauan si Nyah itu. Namun, dalam pada faham akan ‘cholesterol free’ tu… makan tetap makan juga… “Lepas makan nih, makanlah ubat!... apa susahnya?...” kakak ipar nekcun yang sulong pula menyarankan…

Eeemmm…. Begitulah meriahnya menyambut hari raya bila semua kaum keluarga dapat berkumpul beramai-ramai begitu. Entah bila pulak dapat kita berkumpul lagi seperti itu. Hanya hari rayalah yang dapat mengumpulkan kaum keluarga, tak kira jauh atau pun dekat. Dan di hari raya jugalah kita patut mengambil kesempatan melupakan atau mema’afkan segala sengketa atau pun salah silap yang berlaku sebelum ini. Semuga hari raya kali ini dapat kita gunakan untuk mengukuhkan lagi ukhwah kita sesama Islam… InsyaAllah.

Tuesday, September 23, 2008

MA'AF ZAHIR DAN BATIN...


Dalam kekalutan mengharungi traffic jam yang tidak henti-henti kerana hendak mengejar masa untuk memasak juadah berbuka puasa, diikuti mengejar masa untuk bertarawikh di masjid dan tidak lupa mengunci jam loceng untuk bangun sahor setiap malam, adalah amat mencabar kesabaran kaum ibu yang bekerja macam nekcun. Tapi dalam sedar tak sedar, bukan sahaja sepuluh malam terakhir, tetapi malam ‘tujuh likor’ pun sudah hampir meninggalkan kita. Oh!... betapa cepat masa berlalu…

Hati ini tiba-tiba terasa amat hiba bila mengenangkan adakah diri ini telah dapat menyahut seruan ‘Kekasih’ yang bermurah hati mahu memberikan bonus dan hadiah sepanjang Ramadhan Al-Mubarak ini. Terasa diri ini terlalu kerdil di sisi Nya jika dibandingkan dengan anugerah yang telah dilimpahkannya kepada kita. Entahkan dapat entahkan tidak diri ini hendak menemui lagi Ramadhan Al-Mubarak di tahun hadapan untuk merebut bonus dan hadiah yang tidak pernah dilupakan oleh ‘Kekasih’ kita yang pemurah itu… Namun, nekcun tetap berdo’a agar kita semua akan dipertemukan lagi dengan bulan yang penuh kebarakahan ini. InsyaAllah….

Dengan hampirnya Ramadhan meninggalkan kita, Nekcun & Atok ingin mengambil kesempatan ini memohon ampun dan ma’af dari semua saudara mara dan sahabat handai yang mengenali kami dan juga semua anak cucu dan kekawan yang selalu menziarahi nekcun di blog ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI.

MA’AF ZAHIR DAN BATIN.



Friday, September 19, 2008

Persediaan malam pertama...

Hari ini nekcun telah menerima e-mail yang begitu memberi kesan pada hati nekcun. Setelah membaca e-mail itu, seperti biasa nekcun ingat nak 'forward'kan pada kekawan yang rapat sahaja, tetapi tiba-tiba hati nekcun rasa eloklah nekcun kongsi e-mail tersebut secara terbuka dengan kekawan lain yang selalu ziarah nekcun di blog ini. Harap-harap kita boleh sama mendapat pengajaran darinya....InsyaAllah...

Indahkah Malam Pertama Kita?

Satu hal sebagai bahan renungan Kita...
Tuk merenungkan indahnya malam pertama
Tapi bukan malam penuh kenikmatan duniawi semata
Bukan malam pertama masuk ke peraduan Adam Dan Hawa
Justru malam pertama perkawinan kita dengan Sang Maut
Sebuah malam yang meninggalkan isak tangis sanak saudara
Hari itu...mempelai sangat dimanjakan
Mandipun...harus dimandikan
Seluruh badan Kita terbuka....
Tak ada sehelai benangpun menutupinya. .
Tak ada sedikitpun rasa malu...
Seluruh badan digosok dan dibersihkan
Kotoran dari lubang hidung dan anus dikeluarkan
Bahkan lubang-lubang itupun ditutupi kapas putih...
Itulah sosok Kita....
Itulah jasad Kita waktu ituSetelah dimandikan.. ,

Kitapun kan dipakaikan gaun cantik berwarna putih
Kain itu ...jarang orang memakainya..
Karena sangat terkenal bernama Kafan
Wewangian ditaburkan kebaju Kita...
Bagian kepala..,badan. .., dan kaki diikatkan
Tataplah.... tataplah. ..itulah wajah Kita
Keranda pelaminan... langsung disiapkanPengantin bersanding sendirian...
Mempelai diarak keliling kampung yang dihadiri tetangga
Menuju istana keabadian sebagai simbol asal usul
Kita diiringi langkah gontai seluruh keluarga
Serta rasa haru para handai taulan
Gamelan syahdu bersyairkan adzan dan kalimah Dzikir
Akad nikahnya bacaan talkin....Berwalikan liang lahat..
Saksi-saksinya nisan-nisan. . yang telah tiba sebelum ini
Siraman air mawar.. pengantar akhir kerinduan
Dan akhirnya.... tiba masa pengantin..ditinggalkan
Menunggu dan ditinggalkan sendirian,
Tuk mempertanggungjawabkan seluruh langkah kehidupan
Malam pertama yang indah atau meresahkan..
Ditemani rayap-rayap dan cacing tanah
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan ketika 7 langkah telah pergi....
Sang Malaikat lalu datang bertanya.
Kita tak tahu apakah akan memperoleh Nikmat Kubur...
Ataukah Kita kan memperoleh Siksa Kubur.....
Kita tak tahu...Dan tak seorangpun yang tahu....

Entry ini khusus nekcun nak kongsi bersama sahabat-sahabat tersayang yang dapat merasakan dan menyedari bahwa kita ini sedang menanti untuk merasakan ''malam pertama'' kita. Anehnya terkadang kita tak pernah risau atau ketakutan akan malam itu. Bahkan tak pernah menangis dan berpasrah atas nama ALLAH. Betapa bongkaknya kita!...Semoga Ramadhan Al-Mubarak kali ini akan dapat membantu kita membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi "malam Pertama" kita kelak. May ALLAH bless us always!!

Thursday, September 11, 2008

Hingga akhir nanti...


Pagi tadi hati nekcun bagai melambung-lambung bila atok membisikkan kata-kata semangat untuk hari ini. Memang telah menjadi kebiasaan atok dan nekcun akan saling membisikkan kata-kata pesanan atau semangat sebelum kami menuju hala masing-masing ke tempat kerja.

Kami melakukan begitu sebagai salah satu cara kami untuk cuba mengekalkan kebahgiaan dan kesejahteraan rumah tangga yang telah dibina berpuluh tahun dulu. Kata-kata pesanan itu juga kami rasa akan dapat menjadi semangat atau pun panduan untuk kami suami isteri supaya tidak terpesong ke arah atau perkara-perkara yang negatif.

Nak tahu tak apa kata-kata hikmat atok yang membuat nekcun rasa melambung-lambung pagi tadi?... Inilah dia…

Hingga akhir nanti
Kau saja idaman hati
Segala rasa sayang
Segala rasa cinta hanyalah untukmu
Hingga akhir nanti…

Bulan takkan terang tanpa kehadiranmu
Hati takkan tenang tanpa senyumanmu
Rindu dalam hati
Rindu dalam mimpi

Kau tetap pujaan hati

Hingga akhir nanti....

Nekcun tahu, kata-kata itu adalah lirik salah satu lagu kumpulan Alleycats. Tapi bagi nekcun, tak kiralah samada atok ciplak atau pun cilok dari lirik lagu, tapi apabila dia menuturkannya pada nekcun dengan sepenuh perasaan, nekcun rasa amat terharu. Alhamdulillah… mungkin inilah berakahnya bulan Ramadhan apabila semua doa-doa kita akan Allah makbulkan, kerana nekcun memang sentiasa berdoa agar kebahgiaan dan kesejahteraan rumah tangga kami berkekalan sehingga ke akhir hayat. InsyaAllah.

*** Kepada kekawan yang nak cuba pujuk suami / isteri, cuba-cubalah bisik lirik yang nekcun tulis tuh!... cuba "test"… power ke tidak!.... hehehe…

Saturday, September 6, 2008

HADIAH DARI KEKASIH....

Tajuk ni nekcun dapat ketika menghadiri satu ceramah Ramadhan di pejabat nekcun. Memang ianya amat menguja fikiran nekcun untuk mengetahui apakah yang sebenarnya mahu disampaikan oleh ustazah? Apa kena mengena kekasih dengan amalan bulan Ramadhan ini? Nekcun terus terfikir-fikir.

Kerana dalam keadaan yang tergesa-gesa, nekcun terlupa nak membawa pen dan buku catitan ketika mendengar ceramah, jadi tak dapatlah nekcun nak catit secara terperinci. Tetapi tak mengapalah… nekcun nak kongsi apa yang nekcun ingat sajer ya!…

Ustazah tanya, berapa ramai antara kita ini melakukan perkara-perkara berikut ketika menyambut hari pertama Ramadhan?
1) Bersujud syukur kerana Allah memberi kita peluang bertemu lagi dengan bulan Ramadhan.
2) Ketua keluarga memanggil seisi rumah bermesyuarat, berbincang mengenai perancangan menyambut bulan Ramadhan ini.
3)Adakah kita memperuntukkan perbelanjaan untuk bersedekah selain perbelanjaan persediaan menyambut Hari Raya.

Terkedu juga nekcun mendengar soalan ustazah tu!… Iyalah… soalan 1 tu memanglah selalu nekcun dan ramai antara kita yang memang dah amalkan setiap kali mendapat rezeki dan berpeluang berjumpa Ramadhan juga nekcun kira sebagai rezeki juga. Jadi soalan satu… pass!…

Tetapi soalan 2 dan 3, nekcun jadi keliru kerana tidak pasti dengan apa sebenar yang dimaksudkan oleh ustazah. Memanglah kami sekeluarga selalu berbincang bila ada apa-apa yang kami rancang nak lakukan kerana atok memang jenis orang yang tidak suka buat sesuatu dalam keadaan kalang kelibut. Dia nak semuanya dirancang dan teratur.

Bila nekcun dan ramai juga yang lain-lain mengerut-ngerutkan dahi apabila pada soalan 2 & 3, maka ustazah pun menerangkan, lebih kurang begini:-

Bulan Ramadhan adalah bulan dari segala bulan. Maksudnya Allah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan di mana Allah ibaratnya memberi ‘bonus dan diskaun mega sales’ kepada semua umat Islam. Dalam bulan Ramadhan, Allah membuka semua pintu-pintu syurga dan menutup semua pintu neraka serta mengikat semua syaitan. Disamping itu, ada difirmankan bahawa semua amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan Allah beri 1000 kali ganda pahala dan Allah juga akan memakbulkan semua do’a-do’a orang yang berpuasa di Bulan Ramadhan. Selain itu, ‘bonus’ yang paling besar Allah beri kepada umat Islam yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam Lailatul Qadar’.

Bukankah Allah merupakan seorang “Kekasih” yang amat pemurah kepada semua makhlukNya walau pun ada di kalangan makhlukNya yang langsung tidak menghargai akan kemurahanNya itu? Jadi… kita sebagai makhlukNya, tidakkah kita mahu merebut “bonus dan diskaun mega sales” yang Allah kurniakan di sepanjang Ramadhan ini untuk persediaan kita di alam akhirat nanti? Itulah jawapan kepada soalan 2 & 3...

Untuk mendapat “bonus dan diskaun mega sales” kita perlu mengetahui apa yang perlu kita lakukan. Kita juga perlu merancang untuk mempastikan apa yang dilakukan benar-benar efektif. Maka, selaku ketua keluarga, seharusnya suami/bapa memberitahu atau mengajak isteri/anak-anak melakukan lebih banyak lagi amalan-amalan soleh di sepanjang Ramadhan seperti mengerjakan solat sunat tarawikh, bertadarus Al-Quran, lain-lain solat sunat dan bersedakah. Salah satu lagi amalan soleh yang boleh kita amalkan sepanjang Ramadhan ialah mengawal nafsu terutamanya ‘nafsu makan’ kerana selalunya nafsu makan di bulan Ramadhan akan mendorong kepada pembaziran. Kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah disepanjang Ramadhan kerana pahala sedekah yang ikhlas adalah berganda-ganda. Maka eloklah kita memperuntukkan sebahagian dari wang kita yang mungkin akan digunakan untuk perbelanjaan yang tidak menentu kepada peruntukkan untuk bersedekah!

Itulah sedikit sebanyak yang nekcun ingat dari ceramah tersebut. Walaupun ringkas, namun nekcun rasa ianya memang berkesan di hati nekcun kerana tidak dinafikan kita sebagai ibu bapa/suami kekadang terlupa untuk mengajak isteri / anak-anak & cucu kita meningkatkan amalan sepanjang Ramadhan atau pun di hari-hari yang lain. Kita hanya melakukan kerana kita memang tahu dan mahu melakukannya tetapi kita lupa yang isteri/anak-anak adalah juga tanggung jawab kita untuk membimbing mereka merebut “bonus dan diskaun mega sales” yang dihadiahkan oleh “Kekasih sejati kita iaitu ALLAH SWT” sepanjang Ramadhan ini.

Semoga catitan nekcun yang ringkas ini dapat kita manfa’atkan bersama. Wallahualam.


Tuesday, August 26, 2008

Ramadhan Al-Mubarak dan Hari Kemerdekaan ke 51


Sempena dengan kedatangan Bulan Ramadhan Al-Mubarak tiga empat hari lagi, sukacita nekcun memohon ma'af dari semua kekawan yang mengenali nekcun. Iyalah... kekadang nekcun ni kalau dah seronok bergebang, tak sedar juga kata-kata yang dibicarakan. Jadi, di bulan yang penuh keberkatan ini suka nekcun memohon ma'af sekiranya ada bicara nekcun yang telah menyinggung perasaan kekawan, kerana yang baik itu semuanya dari Allah dan yang buruk itu dari nekcun...


Berkesempatan dengan menjelangnya hari Kemerdekaan tanahair kita Malaysia pada 31 Ogos 2008 ini, nekcun juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia. Sayangilah negara tempat tumpah darah kita ini... walaupun terdapat pergeseran pendapat dan perbezaan idealogi politik yang sedang rancak melanda Malaysia sejak kebelakangan ini, namun kita sepatutnya masih perlu bersyukur kerana negara kita masih lagi aman dan makmur.


Di sini suka nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga mengajak semua kekawan untuk bersatu padu mengukuhkan ukhwah antara kita demi mencari keberkatan Ramdhan yang akan menjelang disamping kita me'Merdeka'kan diri kita dari unsur-unsur negatif yang boleh melemahkan amalan-amalan kita di dalam menegakkan hukum Islam yang syumul. Marilah kita eratkan siratulrahim antara kita kerana orang yang memutuskan siratulrahim sesama insan akan Allah tutupkan pintu syurga baginya.


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE 51.




Friday, August 22, 2008

Cappuccino ke Kopi Cina?


Tengah hari tadi kawan lama nekcun datang menziarahi nekcun di pejabat. Kebetulan dah masuk waktu makan, jadi nekcun pun ajaklah kawan nekcun tu pergi cafe yang ada di bawah pejabat nekcun. Bolehlah kami sembang sambil makan minum, baru syok!…
“Hei… ko nak makan apa?”
“Entah!... sebenarnya aku dah kenyang. Aku nak minum ajer” jawab kawan nekcun.
“Ko nak minum apa?” nekcun tanya kawan nekcun lagi.
“Apa ada?”
“Semua ada… teh, kopi, nescafe, cappuccino pun ada!” jawab si pelayan cafe.
“Apo? Kopi Cino pun ado?” kawan nekcun sengaja memandang tepat ke mata pelayan tu dengan loghat N9 nya, seolah kagum dengan kelebihan di restoran itu.
“Ada… panas ada, ice blended pun ada…” pelayan cafe tu mempromosikan lagi menu yang ada di cafe itu.
“Okey… kalau gitu, bagi saya Kopi Cino satu! Aku nak raso macam manolah kopi Cino kat sini!...” jawab kawan nekcun.
“Okeylah… cappuccino dua! Saya pun nak minum sajer” tambah nekcun kerana sebenarnya nekcun pun dah kenyang juga. Cuma nak ajak kawan nekcun minum-minum sahaja.
Tak lama kemudian pelayan pun datang membawa dua cawan cappuccino untuk kami. Tanpa membuang masa, kawan nekcun pun minum air yang ada di depannya. Baru seteguk dia meminum, hampir tersembur air cappuccino tu dari mulutnya.

“Alamak!... apo pahit bonar kopi Cino nih? Setahu aku teh Cino ajo tak bergulo, rupanya kopi Cino pun tak bergulo jugak ko?” sergah kawan nekcun sambil membeliakkan matanya pada pelayan cafe tadi seolah mamat tu telah melakukan kesilapan. Kesihan nekcun tengok mamat tu terkejut dengan sergahan itu.

“Hei… apa pulak pahit! Memang inilah rasa C a p p u c c i n o, cik kak ooi!” sanggah nekcun sambil tergelak bila pelayan restoran telah meninggalkan meja kami.

“Aku tahulah!... sengaja aku nak usik mamat tu!... handsome beb!...biar dia ingat kat aku…Mesti dia ingat aku ni tak pernah minum cappuccino kan?” balas kawan nekcun sambil turut tergelak dan menepuk bahu nekcun.

“Cantik benorlah ko punya ingat!... silap haribulan dia ingat ko ni datang dari hulu mana, hinggakan cappuccino dengan kopi Cina pun kau tak tau!...” nekcun berleter sekejap.

“Eh!… ada ke kopi Cina?” tiba-tiba kawan nekcun bertanya seolah hairan pulak.
“Laaa… kan ko yang mintak tadi, tak kan ko tak tahu?” nekcun tempelak balik kawan nekcun yang suka pot-pet-pot-pet tu.
“Hei… tu aku sajer nak ngusik mamat tu, tak sangka pulak betul ada kopi Cina…” jawab kawan nekcun.
“Kalau dah orang Cino yang bancuh kopi tu, kopi Cino lah namonyo… apo susah bonar ko nak cari samado ado ke tak kopi Cino tuh?” nekcun mengajuk loghat N9 kawan nekcun.
“Banyaklah ko punya Kopi Cino!… “ kawan nekcun menepuk bahu nekcun, lalu kami berdua ketawa berdekah-dekah.
Sekali sekala seronok juga kalau dapat kenakan kawan macam tuh!… hehehe…

Wednesday, August 20, 2008

Hukum atau Fesyen?



Ketika mahu bertolak ke ‘B’ tempoh hari, anak nekcun yang bungsu sempat berpesan untuk mencarikannya tudung yang sesuai untuk dipadankan dengan warna baju hari rayanya nanti kerana di sana terdapat banyak kain-kain tudung yang berbagai jenis dan cantik-cantik disamping harganya yang murah.

“Alaahhh… kalau takat nak cari kain tudung, kat KL ni pun berlambak!” ujar nekcun. Malas nak tercari-cari yang sesuai nanti kerana tahu sangat perangai cerewet anak nekcun yang sorang ni.

“Eeeemmm… tak sama macam beli kat sana!” jawabnya sambil memuncungkan mulutnya. Merajuklah tuh!...

“Okey… nanti ayah carikan…” segera atok menyampok bila melihat anak kesayangan dah memuncung.

Memang begitulah selalunya… bila nekcun tak beri, atok pulak yang beriya-iya nak beri. Akhirnya si montel nekcun ni pun mulalah menjadi-jadi manjanya! Mungkin sebab anak bungsu kot!... betul ke semua anak bungsu manja begitu? Entahlah… sebab nekcun ni anak sulong, selalu tegas terhadap adik-adik dan terikut-ikut pula pada anak-anak, jadi bila anak bungsu sendiri manja-manja begitu, rasa rimas pulak!... Tapi bila atok dah layan begitu, nekcun ikut sajerlah!...

Bila cerita pasal pakai tudung nih, nekcun teringat satu seminar bagaimana nak mengikat tudung supaya nampak cantik tetapi tetap menutup aurat, yang pernah nekcun hadiri sedikit masa dulu. Kekadang, terfikir juga dihati nekcun, apakah motif sebenar kita memakai tudung kepala? Nak nampak cantik atau untuk menutup aurat? Nekcun pun tak berani nak jawab soalan ini kerana nekcun sendiri hanya mula benar-benar memakai tudung dalam tempoh hampir sedekad ini sahaja iaitu sejak nekcun kembali dari mengerjakan Ibadah Haji yang pertama dulu. Memang nekcun rasa berdosa sangat kerana masih jahil dengan hukum menutup aurat sebelum itu. Semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa nekcun di atas kejahilan itu.

Tetapi sekarang kita boleh lihat hampir 80% wanita Islam di negara ini memakai tudung kepala. Tak kiralah macam mana gayanya, tetapi apa yang penting aurat yang perlu ditutup tetap ditutup. Nekcun sendiri kekadang seronok melihat bermacam-macam gaya tudung dipakai. Tapi nekcun tetap pakai gaya yang sama walau ke mana kerana tak sempat nak berlama-lama di depan cermin… Bagaimanapun nekcun tetap bersyukur kerana Allah telah menurunkan hidayahnya pada nekcun supaya segera bertaubat dari kejahilan dulu, walaupun kekadang nekcun rasa masih belum sempurna.


Nekcun berharap sangat, di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita semua umat Islam di Malaysia ini akan mendapat keberkatan dan Rahmat Allah di dalam memperbaiki amalan kita dan juga memerdekakan diri kita dari sebarang kejahilan di dalam menegakkan hukum-hukum Islam yang syumul. InsyaAllah!...



p/s: Geli hati juga bila tengok gambar nekcun baru mula belajar pakai tudung dulu...hehehe...

Thursday, August 14, 2008

PUASA ATAU HARI RAYA YANG KITA TUNGGU?

Dua tiga hari ni kerja di pejabat amat-amat menekan perasaan nekcun. Tengah hari tadi nekcun sampai tak sempat nak keluar ‘lunch’ kerana kena siapkan Business Plan 2009 yang perlu dikemukakan ke Unit berkaitan sebelum hujung minggu ini. Nekcun hanya sempat kirim pada staff beli buah dan sandwich untuk lapik perut.

“Hai nekcun… diet ke makan buah sahaja tengahari? Nak kurus macam mana lagi? Cukuplah tu… takut nanti abe pelok rasa tulang ajer!” usik kawan baik nekcun yang selalu datang nak bergebang ngan nekcun waktu lunch.

“Bukan diet tapi tengah practice untuk bulan puasa!” balas nekcun selamba.

“Oh iya lah… lupa pulak kita dah nak puasa lagi dua minggu! Eemmm… baju raya tak tempah lagi. Takut nanti tailor pun tak nak ambil dah!…” kawan nekcun terus merungut.

“Alaah… apa susah nak tempah-tempah baju… sekarang kan dah banyak baju dah siap, pilih sahajalah!” nekcun menyarankan.

“Badan macam aku ni nak beli baju dah siap? Takut satu komplek aku cari tak dapat saiz… lainlah macam engkau tu… pi tang mana pun, senang nak cari saiz!” ujarnya seolah rasa terkilan.

“Hei… bila dah puasa sebulan nanti, mesti engkau kurus. Jadi apa salahnya engkau beli baju yang kecil sikit. By the time hari raya, tentu engkau dah muat pakai…” saran nekcun.

“Banyaklah engkau punya kurus!… Bulan puasa lagi badan aku selalu naik kerana makan macam-macam, sebab bulan puasalah kita boleh dapat makanan yang selalunya tak ada tapi akan ada di jual semasa bulan puasa sahaja!… Itu belum lagi dengan kueh raya yang entah apa-apa jenisnya tuh…” kawan nekcun terus mengomel.

“Hai makcik-makcik… puasa pun belum dah sebuk cerita pasal kueh rayalah, baju rayalah… entah-entah puasa pun tak cukup, tapi persiapan raya mengalahkan orang berpuasa setahun! Orang sepatutnya fikir macam mana nak memanfa’atkan bulan puasa kali ini, bukan kira nak enjoy raya sahaja!” tiba-tiba kami dikejutkan oleh komen rakan sekerja yang kami gelar ‘jejaka tampan se Malaysia’ yang juga selalu suka datang ke meja nekcun kalau ada waktu terluang.

“Alaaahh… you dok komen kita orang, entah-entah isteri you pun cam tu jugak!” nekcun membidas.

Terfikir juga di hati nekcun akan kebenaran apa yang dikatakan oleh ‘jejaka tampan’ tu… memang selalunya begitulah kita orang perempuan… kita akan lebih sebuk berfikir macam mana nak menyambut hari raya dari bagaimana nak membaiki ibadah puasa itu sendiri. Walaupun Islam menyarankan agar kita bersederhana ketika menyambut hari raya, tetapi selalunya kita akan bertindak sebaliknya sehingga ada yang sanggup berhutang untuk menyambut hari raya.

Tetapi adakah salah kaum wanita sahaja? Nekcun rasa, peniaga-peniaga juga perlu dipersalahkan. Contohnya, walaupun bulan puasa belum pun tiba tapi telah banyak ‘mega sales’ yang menggunakan kemeriahan hari raya sebagai gimik promosi jualan seperti di Court Marmoth. Jadi mengapa mesti wanita sahaja yang dikaitkan dengan kegairahan menyambut hari raya?

Dalam keadaan ekonomi dan inflasi yang tidak menentu sekarang ini, perlukah kita berbelanja besar untuk menyambut hari raya? Entahlah… nekcun tak berani nak jawab kerana nekcun sendiri dah cadang pada atok untuk pergi shopping di “B” hujung minggu nih (nekun ambil cuti hari Isnin) dan atok telah pun setuju dengan cadangan nekcun itu…

Tuesday, August 12, 2008

Apa lagi yang boleh diwasiatkan kepada anak cucu kita?

Apabila YB Tan Sri Menteri Besar Selangor mencadangkan agar UiTM juga dibuka kepada Bukan Bumiputra, hati nekcun tiba-tiba jadi sedih. Geram pun ada juga. Walaupun telah agak lama nekcun meninggalkan UiTM dan telah pula ke lain-lain Universiti untuk menuntut ilmu, namun kasih nekcun pada UiTM tetap utuh. Maklumlah bak kata orang “cinta pertama memang susah nak dilupakan’.

Bagi kita orang Melayu, UiTM merupakan tunggak tempat anak cucu kita menangguk ilmu untuk berdaya saing dengan orang lain. Memang ada banyak menara gading di Malaysia ini, tetapi ianya tidak sama dengan UiTM. Tanya sahajalah kepada semua alumni UiTM, pastinya mereka merasa sedih, marah dan geram apabila satu-satunya lagi hak Melayu yang tinggal juga mahu dikongsi dengan “orang lain”. Tambahan pula orang lain itu bagaikan bagi betis nak kan peha. Sanggupkah kita membiarkan maruah kita tergadai dengan memberikan ‘peha’ kita yang sentiasa jadi idaman mereka.

Nekcun masih ingat semasa selepas SPM dulu, ada beberapa orang kawan-kawan nekcun yang lebih bernasib baik kerana mereka boleh masuk terus ke Universiti melalui “matrikulasi’ iaitu satu-satunya lorong yang memberi ruang kepada anak Melayu untuk memasukki menara gading tanpa bersaing dengan “orang lain”. Tetapi, sekarang lorong itu juga telah kita kongsikan dengan “orang lain” yang tak puas-puas mahu merebut hak kita. Tak tahulah sampai bila mereka mahu menyakiti hati dan perasaan kita!…

Kekadang, nekcun terasa nasib kita orang Melayu ini tak ubah seperti “bawang putih yang sentiasa di dengki oleh bawang merah”. Padahal bapa kita adalah orang yang berkuasa, tetapi oleh kerana telah tergoda dengan pujuk rayu dan tipu muslihat emak si bawang merah, sehingga bapa kita tidak menyedari kita (orang Melayu) anaknya sendiri terseksa dan hak kita yang diwasiatkan oleh ibu asal kita hampir semuanya tergadai.

Pernah juga nekcun terfikir, mungkinkah orang-orang kita yang berkuasa itu terlalu baik dan pemurah sehingga sanggup berkongsi apa sahaja hak kita dengan orang yang dianggap ‘sahabat’ itu. Memang betul Islam menggalakkan kita umatnya supaya tidak kedekut dan rajin bersedekah, tetapi tidaklah sehingga menggadaikan maruah diri dengan berkongsi apa sahaja yang kita ada. Kalau semua telah tergadai, apa lagi yang kita ada untuk diwasiatkan kepada anak cucu kita nanti? Sanggupkah anak cucu kita nanti menjadi ‘pengemis’ di tanah air sendiri hanya kerana sikap bapa-bapa kita yang terlalu pemurah tak kena tempat!…

Wahai sahabat-sahabat nekcun… cubalah fikir-fikirkan apa yang nekcun coretkan ini dan apakah usaha kita untuk membendung si bawang merah terus menyakiti kita si bawang putih?… Marilah kita perteguhkan perpaduan ummah antara kita demi mempertahankan maruah kita. Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi yang akan menolong kita? Nekcun harap coretan rasa nekcun ini akan sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran dalam diri kita dari terus menjadi ‘si bawang putih’. Semoga Allah akan sentiasa merahmati usaha kita ini.

**p/s: Semua alumni UiTM adalah dijemput untuk menghadiri "Nostalgia UiTM" pada 15-17/8/2008 di Kampus Induk Shah Alam. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi: 019-4301741. InsyaAllah nekcun akan ke sana pada malam 15/8/08. Harap dapat jumpa kekawan semua.... Wak Khairol, engkau datang ke tidak?


Sunday, August 10, 2008

APA ISTIMEWANYA TARIKH 08-08-08?

Pagi Juma’at 08-08-08 tu nekcun rasa jalan kat rumah nekcun yang selalunya sesak kerana semua orang berebut-rebut nak pergi kerja, agak lengang pulak. Terfikir dalam hati… ke mana semua orang ni? Dah cuti sekolah ke?

Sampai di pejabat pun lebih kurang macam tu juga. Dengar sana sini ramai yang cuti. Dalam hati nekcun terus tertanya-tanya kenapa ramai orang cuti hari tu. Apa special nya hari tu…

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, telefon nekcun berdering-dering. Terdengar suara anak sulong nekcun bertanya samada nekcun dan atok boleh balik awal tak hari tu. Nekcun pun hairan juga, kenapa pulak kena balik awal kerana selama ni tak pernah pun anak-anak nekcun bertanya begitu.

Along “ Mama lupa ke hari ni birthday Ersya!”
Nekcun “Oh ya!… hari ni 8hb August 2008”
Along “So, we want to celebrate her birthday tonight… she’s 3 yrs old today!”

Segera nekcun telefon atok, beritahu yang dia pun kena balik awal kerana nak sambut harijadi cucu yang ketiga tahun pada 08-08-08. Terasa bersalah pula kerana terlalu sibuk dengan tugas pejabat yang begitu mendesak kebelakangan ini hingga hari jadi cucu yang seorang tu pun boleh terlupa. Nasib baiklah nekcun dan atok memang dah belikan hadiah untuk cucu kesayangan nekcun tu, jadi taklah terkilan sangat.

Apa yang nekcun nak coretkan kat sini bukanlah pasal harijadi cucu nekcun yang kebetulan juga jatuh pada 08-08-08 tu , tetapi adalah pengaruh nombor 08-08-08 tu kepada sesetengah golongan masyarakat kita. Ada kawan atok yang bekerja di Pejabat ugama memberitahu bahawa pada hari 08-08-08 tu kawan dia, seorang Tok Kadhi terpaksa ‘marathon’ menikahkan pasangan pengantin baru mula dari pukul 11.00 pagi sehinggalah 11.00 malam kerana semua pasangan mahu bernikah pada tarikh itu juga.

Itu belum lagi di gereja-gereja, kuil-kuil dan pejabat Pendaftaran Nikah kahwin… bersesak-sesak pasangan pengantin mahu melangsungkan perkahwinan mereka pada tarikh yang mereka anggap ‘keramat’ itu.

Sehingga ke hari ini nekcun masih berfikir-fikir kenapa ada golongan masyarakat yang begitu ‘taksub’ dengan nombor-nombor dan tarikh-tarikh tertentu? Mungkinkah ada rahsia di sebalik nombor-nombor itu? Entahlah… nekcun pun tak dapat nak beri jawapan tetapi nekcun dan atok pun kekadang terikut-ikut dengan ‘ketaksuban’ begitu bila semua kereta-kereta nekcun, atok dan anak-anak mempunyai nombor yang sama… hehehehe…bukan apa… supaya senang nak kenal… lagi pun nekcun pun ada juga darah keturunan bangsa yang suka nombor “8” tu…

Thursday, July 31, 2008

Berapa lama perlu menanti begini?...

Empat hari bertugas di luar kawasan memang amat memenatkan. Tambahan minggu lepas saya juga banyak ‘assignments & presentations’ sepanjang minggu di pejabat. Ingatkan, bila dapat keluar dari pejabat, bolehlah ‘ringankan’ sikit kepala atau sekurang-kurangnya menurunkan ‘stress level’ yang dah melompat-lompat minggu lepas. Rupanya, harapan saya meleset.

Hari Isnin tu, selepas subuh sahaja saya dah tergesa-gesa ke KLIA kerana kena kejar kapal terbang yang dijadualkan pukul 8.40 pagi. Sampai di KLIA ‘just in time’. Duduk menunggu untuk boarding sempat membelek-belek slides ceramah yang akan dibentangkan nanti. Tiba-tiba saya terasa lama sangat pulak menunggu dan tiada tanda-tanda panggilan untuk masuk ke kapal terbang. Saya lihat jam di tangan sudah pukul 8.35 pagi. Beberapa penumpang lain yang berhampiran saya duduk juga mula melihat jam tangan masing-masing. Dah!… don’t tell me flight delay… ceramah dijadualkan pukul 11.00 pagi… matilah aku… dengus saya dalam hati. Tiba-tiba kedengaran pengumuman yang menyatakan ‘flight delay due to technical error on one of the door’ dan perjalanan baru dijangkakan dalam tempoh sejam lagi iaitu pada jam 10.00 pagi. Bukan itu sahaja, kami juga kena bertukar pintu masuk dari ‘Gate A5 ke Gate A4’.

Huh!… macam mana ni?… Flight 10.00 am sampai sana 11.00am. Dari airport ke tempat ceramah lebih kurang setengah jam! Mana sempat? Saya dah menggelabah. Saya lihat penumpang lain juga ramai yang menggelabah. Mulalah masing-masing mula membuat panggilan kepada pihak-pihak di sana. Masing-masing mengeluh, minta semua yang dirancang di tunda masanya. Saya juga tidak ketinggalan, segera menelefon pihak penganjur untuk menunda masa. Nasib baiklah, mereka ada aktiviti lain yang sedang berjalan maka bolehlah mereka menunda ceramah saya pada pukul 2.30 petang. Fuuuhh… lega bila pihak penganjur faham dan bersetuju. Kalau tidak, tak tentu pasal ‘credibility’ saya tercalar.

“Really aahhh… alamak, if like that, we’ll miss the chance loo…” saya terdengar seorang lelaki Cina separuh umur yang duduk di sebelah saya bercakap di telefonnya. Nampak jelas riak kecewa pada wajahnya. “I think, I’m going to sue MAS for the delay if we cannot get through that tender!” kedengaran lelaki Cina itu merungut lagi.

“Haiya… ini macam susah oooo…” katanya sambil cuba melemparkan senyuman kelat kepada saya bila kebetulan kami berpandangan. Saya hanya membalas dengan senyuman hambar kerana saya juga kecewa dengan kelewatan itu. Saya terpaksa mengatur semula semua aktiviti saya sepanjang hari itu dan hari-hari seterusnya di sana kerana kelewatan yang bukan sebab saya.

Aktiviti yang dirancangkan pukul 2.30 ptg terpaksa di tunda ke pukul 5.00 ptg kerana anjakkan aktiviti yang sepatutnya di adakan pada pukul 11.00 pagi. Saya sudah bayangkan macam mana saya terpaksa terkejar ke sana terkejar ke sini kerana satu aktiviti dan aktivit yang lain adalah di tempat yang berbeza dan agak jauh jaraknya. Dan sebagaimana yang saya sudah jangkakan, hingga pukul lapan malam saya masih belum dapat berehat pada hari itu. Akhirnya saya solat jamak taqhir sahaja untuk magrib dan isyak. Nasib baiklah pada lebih kurang pukul 6.20 ptg itu ada seorang sahabat yang memang saya selalu rindu nak jumpa tiba-tiba menelefon (Tak kiralah samada dia sengaja atau tak sengaja menelefon saya!… ada hal baru nak telefon kiter yer?). Terhibur sikit hati yang tengah ‘tension’ bila mendengar suara dia yang ‘humurous & romantic’ tuh!… hehehe…

Kekadang, kita secara tidak sedar terlalu bergantung kepada sesuatu yang kita rasakan terbaik selama ini sehingga tidak menyedari bahawa ada ‘alternative’ lain yang mungkin lebih baik. Dalam kes yang saya ceritakan, ramai penumpang yang bersama saya merasakan perkhidmatan MAS boleh dianggap sebagai yang terbaik (More reliable compared to Air Asia in terms of time schedules! Betul ke?) dengan itu kami semua memilih untuk menggunakan MAS untuk urusan rasmi/perniagaan yang mana masa merupakan faktor penting. Ramai di kalangan penumpang pagi itu membuat penerbangan pagi dengan harapan akan sampai ke destinasi pada masa yang dijangkakan untuk urusan rasmi atau perniagaan yang dirancangkan tanpa perlu mengeluarkan lebih belanja untuk hotel sekiranya datang lebih awal pada hari sebelumnya. Namun apa yang terjadi amatlah mendukacitakan, malah ada yang terpaksa menanggung lebih kerugian bila masa yang sepatutnya dia berada tidak dapat dihadiri dan menyebabkan mereka kehilangan peluang perniagaan.

Terfikir juga di hati saya, sampai bilakah perkara sebegini akan dapat diperbaikki sepenuhnya? Isu kelewatan penerbangan ini saya rasa sudah terlalu kerap diperkatakan dan macam-macam janji oleh pihak-pihak yang berkenaan telah disuapkan kepada kita, tetapi nampaknya hanya ‘indah khabar dari rupa’ dan ‘cakap tak serupa bikin’.

Eemm… entahlah, mungkin saya sahaja yang selalu terkena ‘flight delay’ nih atau pun, ada tak kekawan lain yang pernah merasa? Very frustrating kan? Lebih-lebih lagi bila macam-macam perancangan yang telah di atur di tempat yang di tuju dan kita pula terpaksa membazirkan masa tak tentu hala di airport menunggu jadual penerbangan baru!… alangkah senangnya kalau ada jet sendiri macam… tuuuuuuttttt…

Sunday, July 20, 2008

Ingatlah 5 perkara....

Setelah beberapa hari tak boleh nak membuka mata, nekcun terasa terlalu lemah dan tidak bermaya. Penyakit migraine yang sudah lama tidak menyerang nekcun tiba-tiba datang kembali menduga kesabaran nekcun hanya beberapa hari setelah nekcun balik dari tanah suci Mekah Mukarramah.

Ketika berbicara dengan doctor pada hari Khamis lalu, dia kata migraine yang menyerang nekcun ni ada dua sebab. Satu mungkin panas yang ada dalam tubuh nekcun ketika di Mekah tempoh hari baru nak keluar (walaupun sudah hampir 2 minggu) dan yang satu lagi mungkin badan nekcun yang belum pun sempat berehat telah dikejutkan dengan kerja yang bertimbun-timbun di pejabat yang menyebabkan level stress nekcun melompat tinggi. Almaklumlah…. Bila hampir 2 minggu tiada di pejabat, timbunan kerja memang tidak dapat dielakkan lagi.

Tambahan nekcun tidak berehat langsung. Nekcun sampai pada hari Isnin dan hari Selasa terus nekcun pergi ke pejabat tanpa sempat berehat untuk memberi ruang kepada jet-lack. Tapi… nak buat macam mana… kerja di pejabat perlu juga dibereskan kerana ‘date-line’ kena juga di patuhi. Kesihan juga melihat pembantu-pembantu nekcun yang bertungkus lumus semasa nekcun bercuti tempoh hari.

Hari Rabu (16/7/08) nekcun dah terasa kepala nekcun berpusing-pusing macam nak pecah, tetapi nekcun tahankan sahaja kerana nekcun kena memberi ‘presentation’ pada hari Khamis. Alhamdulillah, sempat juga nekcun menyelesaikan ‘presentation’ nekcun pada pagi Khamis tu… dan sebaik sahaja selesai kira-kira jam 12.30 tengahari, kepala nekcun dah tak boleh bertahan lagi. Nasib baik nekcun sempat ke klinik yang berada di bawah bangunan pejabat nekcun. Terus doktor beri ubat untuk turunkan panas badan nekcun dan ubat menahan sakit kepala yang berdenyut-denyut tu. Terpaksalah nekcun balik naik teksi dan tinggalkan kereta di pejabat kerana dah tak larat nak memandu sendiri.

Hampir empat hari nekcun terlantar tidak boleh bangun dan membuka mata pada cahaya yang terang. Memang macam tulah kalau penyakit migraine menyerang. Nekcun tidak boleh buka mata, nekcun terasa dunia berpusing-pusing. Ubat yang diberi oleh doktor juga akan sentiasa membuatkan nekcun tertidur. Doktor kata ianya untuk memastikan nekcun mendapat rehat yang secukupnya… entahlah! Walaubagaimana pun Alhamdulillah… pagi ini nekcun rasa kepala nekcun sudah lega. Nekcun sudah boleh bangun dengan selesa dan badan pun rasa dah segar setelah nekcun mandi pagi-pagi tadi…

Sudah beberapa hari juga nekcun tidak mengadap screen computer ni… terasa amat rugi kerana tidak sebaris ayat pun yang dapat nekcun coretkan sejak beberapa hari ni… Dan dalam ketenangan petang Ahad ini… nekcun cuba berkongsi perasaan nekcun yang amat merindui kekawan semua setelah terlantar di katil beberapa hari melawan migraine yang mencemburui nekcun lagi setelah agak lama dia menghilang…. Bagaimana pun ia amat menginsafkan nekcun supaya lebih menjaga kesihatan. Teringat lagu nasyid Raihan yang menyebut 5 perkara dalam hidup iaitu:
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Senang sebelum susah,
Sehat sebelum sakit… dan…
Hidup sebelum mati…

Kepada kekawan semua, terima kasih di atas ingatan semua semasa nekcun tidak dapat berkomunikasi dengan anda semua. Nekcun selalu ingat pada semua kekawan nekcun ketika sehat dan ketika sakit... Diharap kekawan nekcun pun begitu juga!

Wednesday, July 9, 2008

Mencari Keredhaan Allah SWT.







Alhamdulillah, nekcun & family telah selamat balik ke rumah setelah hampir dua minggu berada di Madinah dan Mekah kerana mengerjakan ibadah Umrah. Walaupun telah beberapa kali nekcun dan suami ke sana kerana mengerjakan ibadah haji dan umrah, tetapi hati ini tidak pernah jemu untuk ke sana lagi pada bila-bila masa.

Pemergian nekcun kali ini amat mencabar ketahanan dan keupayaan nekcun kerana keadaan cuaca yang amat panas ketika itu. Semasa nekcun berada di Madinah, pernah cuaca panas mencecah 49 C dan di Mekah pula 43 C. Bayangkanlah kalau di KL ni 34 C pun kita rasa dah panas sangat, bagaimana pula kalau 49 C? Tapi, Alhamdulillah, nekcun percaya apa yang kita hadapi di sana adalah semua berbalik kepada amalan dan rezeki kita!… jadi nekcun rasa panasnya di sana lebih kurang sahaja dengan panas di KL nih!…

Kali terakhir nekcun dan suami berada di Madinah dan Mekah adalah pada February 2006. Baru dua tahun nekcun tidak ke sana, tapi banyaknya perubahan yang berlaku pada infrastruktur kawasan di sekeliling Masjidilharam memang amat terserlah. Banyak hotel-hotel yang berhampiran telah dirobohkan dan sekarang pihak Arab Saudi sedang dalam proses membina lebih banyak hotel-hotel yang lebih canggih, mungkin untuk mempastikan keselesaan tetamu-tetamu Allah ketika berada di sana nanti. Begitu juga sekitar Baitullah, lebih banyak ruang-ruang yang sedang dilebarkan dan dicantikkan. Mungkin untuk memberi lebih ruang kepada tetamu-tetamu Allah untuk beribadah dengan lebih selesa.

Walaupun dalam keadaan cuaca panas yang agak menyengat, tetapi kehadiran tetamu Allah ke MasjidilHaram dan Masjid Nabawi tetap bertambah ramai. Dulu-dulu semasa nekcun ke sana kalau bukan musim Haji, keadaannya tidaklah seramai sekarang. Pernah nekcun boleh masuk ke Raudhah dan dapat melihat makam Rasullullah, bersolat sunat dan berdo’a dengan tanpa berebut-rebut. Tetapi sekarang tidak lagi semudah itu. Manusia bersesak-sesak, berebut-berebut untuk memasukki Raudhah sehinggakan untuk membaca do’a pun kita agak terganggu bila orang ramai sentiasa menolak-nolak kita, apatah lagi untuk bersolat sunat dengan khusyuk. Memang amat mencabar.

Begitu juga keadaan di Baitullah. Untuk bertawaf pun kita terpaksa bersesak-sesak, lebih kurang sama semasa musim Haji. Ketika bersolat di hadapan Multazam juga amat mencabar bila orang ramai lalu lalang di hadapan kita ketika rukuk atau sujud. Terasa benar semua orang berebut-rebut mahu mendapat keredhaan dari Allah, bagaikan hari kiamat sudah hampir benar!

Walau macam mana banyak dugaan yang dihadapi ketika mengerjakan Ibadah Haji atau Umrah, ditambah dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang agak mencabar ketahanan tubuh seseorang, tetapi setiap orang yang pernah ke sana tidak akan pernah serik dan tetap akan sentiasa rindu untuk menjadi tetamu Allah. Begitu juga nekcun… walaupun telah banyak kali ke sana tetapi tidak pernah serik atau jemu. Kalau boleh, tidak mahu lagi balik ke M’sia dan mahu terus mengabdikan diri untuk mendapatkan keredhaan Allah. Hati nekcun terasa begitu tenang ketika menghadap Baitullah sehinggakan amat berat untuk meninggalkannya. Nekcun amat bersyukur kerana Allah sudi menerima nekcun dan keluarga untuk menjadi tetamunya dan sentiasa berdo’a agar kami akan diterima lagi di tahun-tahun hadapan. InsyaAllah.