Thursday, January 27, 2011

Ramai lagikah suami-suami yang soleh?

Terlebih dahulu nekcun nak ucapkan terima kasih bebanyak kepada pembaca dan kekawan yang telah membeli semua novel-novel nekcun yang telah berada di pasaran sejak lebih kurang 3.5 tahun lalu. Dan Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kerana kesemua empat-empat novel nekcun yang berada di pasaran telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.


Namun apa yang nekcun nak kongsi di sini ialah, ada beberapa pembaca yang memberi komen yang mana nekcun rasa amat baik dan dapat memberi maklumbalas yang amat nekcun hargai untuk nekcun memperbaikki dan meningkatkan lagi kualiti karya-karya nekcun akan datang, InsyaAllah...


Ada pembaca bertanya, kenapa kebanyakkan watak suami yang nekcun tonjolkan dalam novel nekcun adalah suami yang baik dan ideal? 


Bagi nekcun, apa yang nekcun garapkan di dalam novel-novel nekcun adalah 'realiti kehidupan' yang memang selalu kita semua alami. Cuma isu dan pergolakkan yang ditonjolkan berbeza-beza dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Tetapi hakikatnya, semua cerita itu adalah 'apa yang sebenarnya sedang berlaku' di dalam kehidupan harian kita, terutamanya di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khasnya.


Lagi pun, secara dasarnya tujuan utama nekcun menceburkan diri ke alam penulisan dan perbukuan juga adalah dengan niat untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan idea dengan pembaca semua supaya apa yang baik boleh kita jadikan tauladan dan yang buruk kita jadikan iktibar di dalam kita mengharungi kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Nekcun sedar yang nekcun tidak mampu untuk 'berdakwah' atau 'berislah' kepada semua orang kerana 'siapalah diri nekcun ini?', tetapi dengan penulisan yang nekcun hasilkan, nekcun amat-amat berharap, sedikit sebanyak kisah-kisah yang mengandungi pengajaran, 'tips' dan 'messages' yang tersirat di dalam setiap novel nekcun akan dapat dimanfa'atkan oleh sesiapa yang membacanya.   


Maka dengan itu jugalah, terhasilnya beberapa watak suami yang baik dan ideal!... kerana bagi nekcun, seorang suami adalah seorang 'Ketua' keluarga yang sepatutnya membimbing isteri dan anak-anaknya menuju jalan yang betul untuk ke syurga. Oleh itu, suami juga adalah sepatutnya 'contoh' yang baik bagi sesuatu keluarga. Tambahan, bagi nekcun tidak semua lelaki jahat dan tidak boleh kita nafikan bahawa ramai suami-suami di Malaysia ini yang baik dan soleh!... Tidak dinafikan juga ada yang jahat dan lebih jahat dari 'syaitan dan iblis' tetapi bilangannya teramat kecil, mungkin dari 100 hanya 1 atau 2 sahaja.


Jadi, mengapa mesti kita hukum suami-suami yang baik itu ke dalam golongan yang jahat, yang hanya tak sampai 0.001% sahaja? Lagi pun, nekcun berpendapat bahawa kalau kita selalu mengatakan yang baik maka akan baiklah jadinya!.. Oleh sebab itu, eloklah kita sentiasa bercerita tentang suami yang baik, yang mana tak secara langsung akan merupakan satu do'a bagi para isteri, dan manalah tahu, dengan kuasa dan keredhaan Allah, Dia akan memakbulkan apa yang kita ceritakan itu, maka akan jadilah semua suami-suami di Malaysia ini adalah semuanya suami yang 'soleh' dan penyayang.

Nekcun masih ingat kata-kata ustaz di mana nekcun pergi di satu majlis ilmu, iaitu kita semua adalah digalakkan untuk bercakap perkara-perkara yang baik-baik sahaja ketika berbicara dengan suami atau isteri dan jangan ada perasaan syak wasangka antara suami dan isteri kerana apa yang terkeluar dari mulut isteri atau suami itu boleh menjadi satu do'a. Begitu juga ketika kita berkata-kata dengan anak-anak. Jangan sesekali kita berkata atau memarahi mereka dengan kata-kata yang tidak baik kerana ianya mungkin boleh menjadi satu do'a yang akan dimakbulkan Allah. 

Namun, nekcun tidak juga melupakan watak antoganis atau watak-watak jahat di dalam novel-novel nekcun kerana watak-watak itu memang ada ujud di dalam kehidupan harian kita. Kalau semua orang baik, maka apa gunanya Allah adakan syurga dan neraka? Jadi, marilah kita jadikan yang buruk itu sebagai iktibar atau sempadan dan ambillah yang baik sebagai tauladan dan panduan untuk kita mencari jalan yang betul dan juga menambah bekalan ke akhirat kelak.

Nekcun sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang telah memberi sokongan padu kepada novel-novel nekcun dan nekcun juga ingin memohon ma'af sekiranya ada tulisan-tulisan nekcun yang telah mengguris perasaan pembaca dan kekawan semua. 

p/s: Marilah sama-sama memeriahkan Karnival 'Mari membaca' di kawasan bangunan Karangkraft di Seksyen 15 Shah Alam pada 28-30/1/2011. Nekcun akan berada di sana pada 28/1/2011 bersama novel-novel nekcun untuk bertemu semua pembaca yang dikasihi.
InsyaAllah, nekcun juga akan bersama peminat novel pada 12/2/2011 (Sabtu) di MPH, Subang Parade jam 2.30 petang. Diharapkan semua kekawan dan pembaca budiman akan dapat meluangkan masa bersama nekcun kerana InsyaAllah, novel nekcun yang terbaharu mungkin akan turut mula dijual di situ. 

Friday, January 21, 2011

Masih adakah esok untuk kita?

Nekcun masih teringat akan kata-kata Ustaz yang menyatakan, kalau seseorang itu tiba-tiba terasa hendak membuat amal soleh, maka eloklah dia menyegerakannya. Jangan bertangguh-tangguh.

Dan jika seseorang itu, mahu bertaubat akan segala perbuatan jahatnya, maka hendaklah dia terus melakukan taubat itu tanpa bertangguh-tangguh kerana dengan keikhlasannya bertaubat itu mungkin akan dapat menukar kedudukannya di sisi Allah kalau dia mati ketika itu iaitu mungkin dengan segala kejahatannya dulu dia mungkin akan dimasukkan ke neraka tetapi dengan kesempatanya bertaubat itu Allah akan meredhakannya ke syurga. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang dan sentiasa menyukai hamba-hambanya yang selalu bertaubat dan bertakwa kepadaNya.

"Yesterday was a history, Tomorrow is a mystery & Today is a gift. Thus, value the Gift and appreciate the Giver as we will not know whether we'll get the gift again."

Walau pun esok masih ada, belum tentu esok yang masih ada itu akan ada untuk kita!... Tidak rugi berbuat baik kerana kalau memberi yang baik, maka baik jugalah hasilnya.

Sekadar ingat mengingati sesama insan... Wallahualam...

Thursday, January 6, 2011

Salah anak atau ibu bapa yang mendidik?....

Nekcun ada mendapat pertanyaan dari seorang kawan tentang mengapakah di dalam zaman yang serba mencabar ini, sering kita dengar perihal anak-anak yang derhaka dan tidak menghormati ibu bapa mereka. Dan lebih menyedihkan ada beberapa kes yang terdapat anak-anak tergamak membuang ibu bapa mereka yang telah tua merempat di tepi-tepi jalan. Mengapakah perkara seperti ini boleh berlaku?

Secara jujurnya, nekcun berpendapat bahawa banyak faktor-faktor yang menyumbang kepada bagaimana anak-anak boleh tergamak menjadi seorang yang “kacang lupakan kulit” atau pun “seperti Si Tenggang”, terutamanya kalau mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.  

Sebelum kita boleh menyalahkan anak-anak itu 100% atau secara total, kita perlu terlebih dahulu mengkaji mengapakah anak-anak itu boleh berlaku demikian. Sudah menjadi fikrah manusia bahawa seseorang itu tidak akan melakukan sesuatu tanpa sebarang sebab, kerana manusia ada hati, akal dan nafsu. Apabila hati dan akal dapat mengawal nafsu, manusia akan banyak melakukan kebaikan tetapi sebaliknya kalau nafsu yang melebihi hati dan akal, maka akan jadilah manusia yang durjana yang mana salah satunya ialah anak-anak yang tidak lagi menghormati ibu bapa mereka.

Mnegapa nafsu boleh melebihi hati dan akal, sedangkan Allah menjadikan manusia paling tinggi darjatnya dari makhluk yang lain dengan memberikan manusia hati dan akal untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Inilah isu yang sepatutnya menjadi bahan utama untuk semua lapisan masyarakat memikirkan dan menganalisa mengapa ianya bisa terjadi kerana tahap keganasan  dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang ini sudah mencapai tahap yang amat membimbangkan.

Kita tidak akan dapat menyelesaikan masaalah hanya dengan menuding jari kepada anak-anak yang menjadi “seperti Si Tenggang” atau anak-anak yang melupakan ibu bapanya, terutamanya apabila mereka sudah berkahwin. Tetapi, apa yang perlu semua lapisan masyarakat lakukan adalah mencari jalan untuk membendung perkara itu dari terus membiak dengan mencari akar umbi faktor-faktor mengapa anak-anak boleh begitu tidak ‘berhati perut’ terhadap orang tua mereka.

Secara dasarnya, hati dan akal manusia boleh jadi lemah dan mati kalau tidak dijaga atau diberi makan dengan betul. Dan apabila hati dan akal sudah lemah dan mati, lalu dengan mudah tugas-tugas hati dan akal itu diambil alih oleh nafsu. Bagaimana hati dan akal boleh jadi lemah dan mati? Ianya adalah disebabkan faktor-faktor berikut:-

1)    Kurangnya takwa dan iman dalam diri seseorang itu. Hanya takwa dan iman akan dapat menjaga hati dan akal dengan baik.
2)    Hati dan akal hanya disogokkan dengan Ilmu keperluan duniawi sahaja dan bukannya dengan Ilmu yang dapat mengukuhkan iman dan takwa sebagaimana yang disyariatkan oleh ugama. Apabila iman dan takwa tidak ujud dalam hati dan akal,  maka mudah pulalah ianya dipengaruhi oleh kehendak nafsu.
3)    Tanpa iman dan takwa, hati dan akal tidak akan dapat berfungsi dengan sebaiknya. Maka apabila manusia tidak dapat menggunakan hati dan akalnya dengan sebaik-baiknya, ia adalah sama seperti binatang haiwan.
4)    Keadaan kehidupan yang terlalu mementingkan materialistik dan diri sendiri telah menghindarkan kehadiran orang-orang yang dapat memberi nasihat dan ilmu yang menafa’at untuk kesuburan iman dan takwa di dalam hati dan akal.

Melihat kepada faktor di atas, siapakah yang harus disalahkan? Adakah salah “Si Tenggang” itu 100% atau  pun salah ibu bapanya yang tidak mendidiknya dengan iman dan takwa sejak dari kecil lagi? Memang tidak dapat dinafikan, apabila manusia tidak lagi menggunakan hati dan akal dalam tindak tanduknya, maka tidak hairanlah kalau seorang anak itu boleh dengan senangnya melupakan ibu bapanya, kerana mereka sudah tidak takut lagi pada dosa dan hukum Allah atas perbuatan mereka itu disebabkan mereka tidak lagi berpegang kepada iman dan takwa terhadap Allah.

Anak-anak adalah merupakan amanah dari Allah kepada hambanya. Anak-anak juga merupakan ujian dari Allah samada seseorang hambanya itu  melaksanakan amanahnya di dalam mendidik anak-anaknya dengan cara yang betul sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.

“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan bagimu, dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar”  (Surah Al-Anfal : ayat 28)

Dari ayat Al-Quran itu jelas menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Dan dalam isu mendidik ini, ibu bapa harus peka bahawa akhlak atau pun keperibadian seorang anak itu banyak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling di mana dan bagaimana mereka dibesarkan.

Dalam keadaan kehidupan serba moden ini, berapa ramai ibu bapa yang risau atau akan memarahi anak-anaknya kerana gagal menghafal ayat-ayat Al-Quran atau tidak melakukan solat? Sebaliknya ramai ibu bapa yang lebih risau kalau anak-anak mereka tidak mendapat ‘A’ dalam mata pelajaran Ilmu duniawi atau pun kalau anak-anak ponteng dari aktiviti-aktiviti yang lebih kepada mengejar duniawi seperti kelas music atau pun kelas computer.

Disamping itu, keadaan dalam satu-satu keluarga itu sendiri sebenarnya banyak mempengaruhi sikap dan keperibadian anak-anak. Misalnya, kalau seorang bapa atau ibu itu selalu bercakap kasar terhadap pasangan dan anak-anaknya, maka tidak mustahil apabila dewasa kelak anak-anak itu pula akan bercakap dengan cara yang sama kepada kedua ibu bapa mereka kerana bagi mereka itu adalah satu perkara yang sudah biasa. Tetapi apabila anak-anak itu sudah berkahwin dan mereka mendapat isteri atau suami dan keluarga mertua yang lebih bersopan santun, yang lebih dapat mendamaikan hati mereka, maka siapakah yang harus disalahkan jika mereka lebih selesa bersama keluarga yang baru dari ibu bapa mereka sendiri?

Secara kesimpulannya, nekcun berpendapat bahawa apa yang anak-anak lakukan terhadap ibu bapa mereka adalah banyak dipengaruhi oleh bagaimana mereka di didik sejak kecil lagi. Sebab itulah juga ada terdapat pepatah Melayu lama yang mengatakan “Hendak melentur buluh biarlah dari rebung” kerana apa yang dialami dan dipelajari oleh kanak-kanak  sejak kecil banyak mempengaruhi sikap dan keperibadian mereka apabila mereka dewasa.

Suka juga nekcun mengingatkan diri nekcun dan juga semua ibu bapa supaya di dalam mendidik anak-anak kita tidak seharusnya melupakan perkara-perkara berikut:-

1)    Terapkan nilai-nilai Islam dalam mendidik anak-anak.
2)    Bentuk keperibadian anak-anak dengan iman dan takwa yang berlandaskan Al-Quran dan hadith supaya mereka tahu akan dosa dan pahala atas setiap tindak tanduk mereka.
3)    Pastikan anak-anak diberi makan dari sumber-sumber yang halal kerana makanan akan menjadi darah daging dan juga pembentukan hati yang sehat dengan iman dan takwa. Kalau makan makanan dari sumber yang haram, maka pembentukan iman dan takwa akan menjadi sukar.  
4)    Wujudkan suasana yang harmoni, hormat menghormati dan sayang menyayangi dalam keluarga supaya anak-anak akan merasa lebih selesa untuk sentiasa bersama-sama keluarga sendiri walaupun apabila mereka sudah dewasa.
5)    Memberi masa dan ruang untuk anak-anak berbicara dengan ibu bapa walau dalam apa jua perkara dan layanlah mereka dengan kasih sayang supaya anak-anak merasa mereka dihargai dan apabila mereka dewasa, mereka pasti akan menghargai pula kasih sayang ibu bapanya itu.
6)    Jangan terlalu mendorong anak-anak terhadap kepentingan kehidupan duniawi sehingga melupakan kepentingan kehidupan di akhirat kerana jika terlalu mementingkan duniawi, anak-anak akan menganggap ibu bapa yang tua sebagai beban untuk mereka mengejar kehidupan di dunia ini.
7)    Eratkan hubungan kekeluargaan supaya anak-anak akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka walaupun di mana jua mereka berada.
8)    Jangan didik anak-anak dengan kepentingan wang ringgit tetapi didiklah mereka dengan kepentingan kasih sayang kerana wang ringgit boleh membuatkan mereka lupa kepada ibu bapa, sebaliknya kasih sayang akan merapatkan anak-anak kepada kedua ibu bapa.   
9)    Tunjukkan keperibadian yang baik kepada anak-anak kerana sikap dan keperibadian anak-anak banyak terbentuk melalui keperibadian ibu bapanya sendiri.
10) Selalu mendo’akan yang baik-baik sahaja untuk anak-anak supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
11)  Berserah dan bertakwalah kepada Allah semoga anak-anak kita akan sentiasa membahgiakan, menggembirakan, mensejahterakan dan memuliakan kita ibu bapanya di dunia dan di akhirat, setalah kita berusaha sedayanya di dalam mendidik mereka dengan betul dari kecil sehingga dewasa.  

Nekcun yakin dengan mendidik anak-anak berlandaskan iman dan takwa terhadap Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, akan dapat menghindarkan anak-anak dari menjadi anak yang derhaka. InsyaAllah.