Sunday, December 26, 2010

Eh!.. Azam kita sama?

Tahun baru Hijrah baru sahaja berlalu beberapa minggu, dan sekarang tahun baru Masehi pula akan menjengah beberapa hari sahaja lagi, namun adakah keduanya itu memberi apa-apa makna kepada kehidupan kita pada hari ini?

Itu adalah salah satu satu persoalan yang tidak semua orang boleh atau bersedia menjawabnya kerana tidak semua orang akan menghayati atau ghairah menunggu kehadiran tahun-tahun baru  itu dalam hidup mereka, melainkan hanya peningkatan angka pada umur mereka. 

Secara amnya, nekcun sendiri tidaklah terlalu ghairah di dalam menunggu kehadiran tahun baru, tidak kiralah tahun Hijrah atau Masehi kerana bagi nekcun, datanglah berapa banyak pun tahun baru tetapi kalau kita sendiri tidak menghargai atau berusaha merubah apa yang ada dalam hidup seharian kita, maka ianya memang tidak akan memberi apa-apa makna. Sebaliknya, kalau kita memang sentiasa menghargai setiap sa'at yang ada dalam hidup kita ini, maka tanpa kehadiran tahun baru pun kita pasti mengharapkan setiap hari yang mendatang itu akan memberikan sesuatu yang bermakna dalam hidup kita.

Nekcun sengaja mencoretkan isu ini kerana ramai kawan-kawan dan sahabat handai nekcun yang bertanya: "Apa azam nekcun tahun baru ni?" pada setiap kali kami bertemu dan berbicara. Sebenarnya nekcun hargai semua pertanyaan kekawan tu kerana itu menandakan mereka menyayangi nekcun dan masih mahu ambil tahu pasal keadaan kehidupan nekcun. Maka apa yang dapat nekcun katakan hanyalah... "Terus berusaha mendapatkan keredhaan dan rahmat Allah untuk ke Syurga Firdaus".   

Namun hati nekcun jadi agak sedih bila ada seorang kawan nekcun yang berkata, "Apalah nekcun ni... kita tanya pasal azam tahun baru tau, bukan pasal buat amal ibadah!.." Tapi, nekcun tidak salahkan kawan nekcun tu, kerana mungkin dia tidak dapat memahami maksud yang tersirat dari jawapan nekcun itu.

Nekcun yakin, semua orang Mukmin dan Mukminat memang bercita-cita ke Syurga Firdaus kerana itulah syurga yang paling istimewa, namun tidak semua orang boleh ke sana kalau tanpa keredhaan atau rahmat dari Allah SWT. Dan untuk mendapatkan keredhaan dan rahmat Allah, kita perlu terus bertakwa dan berusaha mendapat 'kasih sayangNya' setiap masa tanpa mengira hari, bulan atau pun tahun dengan mengerjakan amal ibadah yang disyariatkan Nya.  

Maka, di dalam kehidupan harian, nekcun selalu menggunakan konsep yang sama. Pastinya semua orang mahukan kehidupan yang terbaik segalanya, bagaikan apa yang terdapat di Syurga Firdaus. Oleh itu, untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan (simboliknya Syurga Firdaus), kita perlu terus berazam dan berusaha mencari serta mendapatkan kebaikkan itu pada sepanjang masa, dan bukannya hanya pada masa-masa tertentu sahaja.

Dan dengan sebab itulah nekcun membuat azam pada setiap hari dan setiap masa dan bukan pada ketika menyambut tahun baru sahaja, kerana azam yang dibuat pada waktu-waktu tertentu mungkin akan mudah dilupai sekiranya tindakan yang perlu diambil bagi memastikan azam itu dilaksanakan memerlukan tempoh masa yang tertentu.

Bagi nekcun, setiap hari yang dapat kita temui di dunia ini adalah hari yang amat berharga di mana kita perlu membuat azam dan terus melaksanakan azam itu selagi kita masih bernyawa kerana azam yang kita buat semalam mungkin tidak sebaik azam yang kita buat pada hari ini. Contohnya: "Hari ini aku mahu solat sekurang-kurangnya 30 raka'at (solat wajib + sunat) atau pun, hari ini aku mesti membaca sekurang-kurangnya 2 muka surat Al-Quran!". Dan untuk ke esok harinya, mungkin kita perlu membuat azam yang lebih baik lagi bagi menambah amalan kita itu sekiranya kita terus mahu menjadikan Syurga Firdaus sebagai destinasi yang kita tuju. Maka konsep yang sama juga perlu dilakukan bagi mencapai kehidupan yang terbaik ketika di dunia ini.

Memang nekcun tidak dapat nafikan bahawa "Syurga Firdaus" memang adalah destinasi yang nekcun cita-citakan bagi kedua-dua kehidupan iaitu ketika di dunia yang fana ini dan juga ketika di akhirat kelak. Maka untuk mencapai cita-cita itu, nekcun perlu memastikan yang nekcun mempunyai azam setiap pagi ketika bangun dari tidur dan perlu melaksanakan semua azam itu pada hari yang sama kerana bagi nekcun, azam yang dibuat semalam sudah tidak memberi makna pada hari ini kerana keupayaan kita pada hari ini mungkin sudah tidak sama dengan keupayaan kita semalam.

Bagaimana pun, apa yang nekcun coretkan ini hanyalah pendapat peribadi nekcun sendiri. Tidak berkait samada dengan yang hidup atau yang mati... sekadar ingin berkongsi pendapat. 

Dikesempatan ini juga nekcun ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua kekawan yang sentiasa nekcun kasehi. Semoga semua azam dan cita-cita kekawan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah dan semoga kita semua berjaya ditempatkan di "Syurga Firdaus". InsyaAllah. 

Wednesday, December 8, 2010

Hati tawar kerana kopi tawar...

"Apa tawar ajer air kopi ni?" kedengaran Pak Yob bertanya setelah menghirup air yang dihidangkan oleh isterinya, Mak Temah.

"Gula dah habis..." jawab Mak Temah selamba.

"Kenapa tak pergi beli?" soal Pak Yob lagi.

"Sape nak pergi beli?" tanya Mak Temah balik.

"Minta tolonglah si Budin tu pergi beli!.." arah Pak Yob.

"Saya beri dia duit RM3.00 untuk pergi kedai beli gula, dia kata tak cukup!.. tu yang dia tak beli tu!.." acuh tak acuh Mak Temah menjawab.

"Hai!.. RM3.00 tak cukup nak pergi kedai beli gula? Mahal sangat ke harga gula tu?" rungut Pak Yob.

"Laa... tak kan awak tak tahu? Kan baru ni Kerajaan dah naikkan lagi harga gula... naik 20 sen lagi. Dah tu Budin kata, Kerajaan pun dah naikkan juga harga petrol... jadi RM3.00 mana cukup kalau dia nak beli gula sebab harga gula sajer dah RM2.10 sekilo, belum harga minyak petrol motor dia RON 95 yang dah naik lagi kepada RM1.90 seliter. Takkanlah si Budin nak isi minyak seliter sahaja, dah tentu petrol station tu pun tak mahu layan kalau dia nak isi seliter sajer. Itulah sebabnya duit RM3.00 yang saya bagi tu tak cukup!.." jelas Mak Temah panjang lebar.

"Kenapa awak tak beri dia lebih sikit?" soal Pak Yob lagi.

"Mana saya ada duit lagi?... duit pencen awak tu bukannya banyak sangat, takat RM500.00 sebulan, macam mana nak belanja lebih-lebih? Nak bayar duit letrik lagi, duit air lagi, duit nak beli ubat kita lagi... jadi duit belanja dapur kenalah tak boleh lebih dari RM3.00 sehari... Kita bukannya menteri atau pun orang kaya... jadi kalau harga barang asyik naik sajer... kita kenalah berlapar dan minum air tawar sahaja!.." balas Mak Temah dengan nada agak sedih.

"Eh!... hari tu, aku ada baca surat khabar yang Kerajaan dah janji yang harga minyak RON 95 tak akan naik dan subsidi gula pun tak akan diselaraskan lagi tahun ni... tapi kenapa pulak naik lagi sekarang?" soal Pak Yob agak gusar.

"Manalah saya tahu!.. kita rakyat marhain ni nak boleh buat apa? Terpaksa terima sajerlah apa yang Kerajaan nak buat, walaupun kita terpakasa menderita. Jadi, awak tu janganlah kecoh-kceoh sangat... minum sajerlah air kopi tawar tu!..." ujar Mak Temah seolah terkilan.

"Eeemm... nak buat macam mana, Kerajaan nak suruh kita minum air tawar... jadi Kerajaan tak bolehlah nak marah atau pun menyesal kalau hati rakyat-rakyat marhain pun jadi tawar nak pilih mereka lagi nanti!..." dengan nada penuh maksud tersirat, Pak Yob meneguk air kopi yang semakin kelat rasanya.