Saturday, July 31, 2010

Ma'afkan daku, wahai sahabat-sahabatku!..

Pejam celik pejam celik, tak sedar kita dah hampir ke penghujung Syaaban, dan tak berapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak pulak. Alhamdulillah, kalau dipanjangkan umur lagi dalam beberapa hari ni, dapatlah nekcun merasa lagi menyambut Ramadhan yang barakah ini.

Sebenarnya kekadang tu berdebar juga hati, takut-takut kalau tak dapat jumpa lagi bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Iyalah!... ajal maut itu kan Allah yang menentukan dan kita tak tahu pun bila masanya akan sampai untuk kita. Mungkin hari ini kita sehat walafiat, tiba-tiba esok lusa dah dipanggil untuk mengadapNYA. Maka, kita sebagai hambaNYA harus redha akan apa pun yang diaturkanNYA untuk kita.

Sehubungan bulan Ramdhan Al-Mubarak ini, sukacitalah nekcun nak minta ma'af pada semua kekawan yang mengenali nekcun, dan semoga siratulrahim antara kita akan terus terjalin di dalam mengukuhkan ukhwah sesama Islam. Disamping itu, semoga amalan puasa kita akan diterima dan diberkati oleh ALLAH SWT.

"Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang-orang yang menyekutukan ALLAH dan juga orang-orang yang memutuskan siratulrahim sesama insan".

Lanjutan dari firman di atas itulah, nekcun mengambil kesempatan ini memohon ampun dan ma'af dari semua kekawan sekiranya ada nekcun terkasar bahasa selama kita berkenalan dan amat diharapkan persahabatan kita akan terus kukuh sehingga ke akhir hayat. Janganlah kita memutuskan siratulrahim hanya disebabkan berkecil hati di atas kesilapan kekawan kita yang mungkin tidak disengajakan. Mema'afkan sesama insan adalah sesuatu yang amat ALLAH sukai.

Selamat menyambut bulan Ramdhan Al-Mubarak kepada semua kawan-kawanku!... Semoga segala amalan kita semua akan lebih diberkati dan diterima oleh ALLAH. InsyaAllah.

Saturday, July 24, 2010

Eh!.. tertipu lagi ke?...

Masa nekcun pergi ke kedai runcit yang berhampiran rumah nekcun pagi tadi kerana hendak membeli kelapa parut, nekcun terdengar seorang pakcik tu bertengkar dengan tauke kedai.

Hangat juga pertengkaran mereka itu, tetapi nasib baiklah tauke kedai tu tahu etika menghormati pelanggan, maka akhirnya pertengkaran itu dapat diselesaikan dengan amannya.

Pakcik : "Kenapa pulak harga gas ni jadi RM16.30? Dulu kan hanya RM14.90 sen sahaja?"

Tauke: "Harga gas dah naik, pakcik."

Pakcik: "Iyalah... itu pakcik tahu! Kan kerajaan kata naik 10 sen sahaja sebab nak kurang subsidi, tetapi kenapa kedai kamu naikkan sampai RM1.40 sen? Kamu nak tipu pembeli ya?" sergah pakcik tu, seolah marah benar kerana tauke kedai cuba menipunya.

Tauke: "Apa pulak saya tipu, pakcik!.. betullah Kerajaan kata gas naik 10 sen, tapi itu untuk satu kilo, sedangkan kapasiti gas dalam tong ni 14 kilo, jadi kenaikan satu tong gas adalah RM1.40 sen lah!.." balas tauke kedai tu dengan suara yang tenang dan sabar.

Pakcik: "Eh!.. kalau gitu kenapa Kerajaan beria-ia mencanang kata kenaikan harga petrol dan gas tidak akan membebankan rakyat iaitu 5 sen dan 10 sen sahaja!.. Dah tu semua orang yang di interview dalam TV pun bukan main lagi menyokong!... Kenapa mereka tak terangkan betul-betul perkara ini pada rakyat macam pakcik ni?.. Nampaknya kami rakyat marhain ni tertipu lagilah ya?.." ujar pakcik tu meluahkan perasaannya sambil mengeluh.

Tauke: "Itu saya tak berani nak komenlah pakcik!.. bukan pakcik rakyat marhain sahaja yang susah sekarang, kami peniaga-peniaga runcit pun terkena juga percikkannya bila kerajaan nak menyelaraskan subsidi sekarang ni!.."

Pakcik: "Hah!.. itu satu lagi. Kata penyelarasan susbsidi adalah kerana tidak mahu orang yang tidak layak mendapat subsidi turut mendapat faedahnya dan sebab itulah susbsidi dikurangkan. Habis tu rakyat marhain macam pakcik ni, warganegara yang sah yang telah berkorban membangunkan negara sejak zaman sebelum merdeka dulu, macam mana? Bukankah pakcik layak mendapat subsidi barangan tu? Jadi bolehkah pakcik bayar harga gula dengan harga RM1.65 lagi sekarang walaupun harga setelah pelarasan subsidi jadi RM1.90 sen?" soal pakcik tu dengan naifnya.

Nekcun tengok tauke kedai itu hanya menggeleng, namun jelas nampak riak simpatinya pada pakcik itu.

Berdetik juga hati nekcun bila mendengar pertengkaran mereka itu. Ada juga betulnya apa yang dikatakan oleh pakcik tu!.. Tak semua rakyat marhain faham akan tektik bagaimana pelarasan subsidi ini dilaksanakan. Dan yang paling mustahak bagi mereka, mengapakah rakyat marhain warganegara yang sah, yang telah banyak berkorban untuk negara tercinta juga perlu menderita kerana pelarasan subsidi ini hanya kerana Kerajaan mahu mengurangkan defisit negara yang semakin meningkat? Siapakah yang telah merasa 'manisnya' sehingga defisit negara meningkat begitu banyak? Adakah orang-orang kampung yang masih perlu kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang?

Nekcun benar-benar tidak berani hendak menjawab persoalan ini kerana, siapalah nekcun untuk memberi jawapan!...

p/s: Ada kekawan nekcun yang memberi komen pada N3 yang terdahulu supaya kita bertukar. Bertukar apa ya?... tukar tong gas ke?....hehehe... sendiri mau ingatlah kan beb!..

Sunday, July 18, 2010

Asyik naik sajer... bila nak turun?


Semalam nekcun pergi pasaraya yang dekat dengan rumah nekcun untuk beli sedikit barang keperluan dapur.
Macam biasalah kalau hujung minggu, orang akan ramai di pasaraya dan que nya agak panjang ketika hendak membayar.

Dalam masa menunggu que tu nekcun terdengar satu couple yang berbaris di belakang nekcun berleter pasal harga barang-barang dah mula naik terutamanya harga gula dan telor ayam.
Isteri: "Minyak petrol naik 5 sen, kenapa gula kena naik 25 sen?"
Suami: "Kerajaan nak kurangkan subsidi sebab negara dah banyak defisit!"
Isteri: "Siapa yang buat defisit banyak-banyak tu? Bukan kita! tetapi kita rakyat pulak yang kena tanggung bebannya sekarang!.. Dahlah semuanya kena tax... kita kerja terok-terok 12 bulan tetapi bila dah kena bayar tax, kita hanya dapat gaji untuk 10 bulan sahaja setahun sebab yang 2 bulan lagi tu kena tolak untuk bayar tax!.." kedengaran si isteri seolah melepas geram.
Suami: "Alaah... awak bising-bising kat sini pun siapa nak dengar komen awak tu!" balas si suami seolah bosan dengan leteran isterinya.
Isteri : "Itulah abang tu!.. kita ni bolehlah tahan lagi kalau gula atau telor naik harga, tapi macam mana orang yang mencari rezeki dengan menjual kueh tu? Saya hairan betullah... setiap kali nak masuk bulan Ramadhan & Syawal, pasti gula dan telor ayam akan naik harga! Kalau tak naik harga, barang2 tu pulak susah nak dapat!.. Tak tahulah macam mana harga kueh-kueh raya tahun ni, saya pasti mesti melambung juga harganya!.."
Suami : "Haaa!.. kalau begitu, bulan puasa nanti tak payah buat bubur atau kueh manis! cukuplah makan manis buah kurma sahaja. Dan bila hari raya nanti tak payah beli biskut-biskut macam selalu tu lagi..!"
Isteri : "Hah? Tak payah beli biskut raya? Habis tu kalau ada tetamu datang nak jamu dengan apa?" dengan nada yang agak tegang si isteri bertanya.
Suami: "Apa susah!... kalau tetamu datang, jamu sajer dengan jejemput bawang atau ikan bilis!.. lagi sedap!.."
Isteri: "Senangnya abang bercakap!.." gertus si isteri seolah kecewa dengan sikap suaminya.
Eeemm... entahlah! Nekcun yang mendengar perbualan mereka tu pun agak bersetuju juga dengan apa yang dikatakan oleh si isteri tadi tu. Memang ada betulnya, terutamanya tentang kenaikan harga barang-barang keperluan setiap kali kita hendak menyambut bulan Ramadhan dan Syawal. Itu belum lagi kenaikan harga barang-barang makanan basah seperti ayam, daging, cili dan sayur-sayuran!.. Sekarang ni, kalau ke pasar basah, bawa duit takat RM100.00 tak nampak apa pun... Ikan kembung yang setahun lalu RM9.00 sekilo sekarang sudah RM13.00 sekilo.
Tentang bayar tax tu lagilah nekcun setuju sangat! Memang betul apa yang dikata oleh si isteri itu kerana ianya memang nekcun rasai. Kita kerja setahun tetapi pada hakikat sebenar kita hanya mendapat gaji paling lebih untuk 10 bulan sahaja. Terutamanya bagi pekerja yang mendapat gaji RM10,000-00 ke atas sebulan kerana % cukai adalah yang maksima 26%. Cuba bayangkan, kita dibayar gaji RM10,000-00 sebulan tetapi potongan cukai berjadual yang dipotong dari gaji kita adalah sekitar RM2,300-00 sebulan.
Itu belum lagi termasuk cukai pintu, cukai tanah, cukai kereta, cukai kerajaan/perkhidmatan 5 -10% dan macam-macam cukai lagi.
Tak tahulah, macam mana kita rakyat marhain nak menghadapi semua ini... Kalau orang yang bergaji puluhan ribu pun mengeluh, macam manalah agaknya orang-orang kampung yang pendapatannya tidak menentu itu hendak menghadapi semua ini... sedangkan di sana sini dilaungkan bahawa ekonomi negara kita sedang meningkat! Apa yang meningkat ya?... nekcun pun tak faham dan tak berani nak komen kalau RM100.00 sudah tidak banyak nilainya ketika ke pasar sekarang ini...

Thursday, July 8, 2010

Tahniah, rakan-rakan novelis tersohor!...

Minggu ini nekcun agak sebuk sedikit kerana banyak pula aktiviti yang kebetulan perlu dihadiri di sepanjang minggu.

Petang tadi baru nekcun sampai kembali di rumah setelah 3 hari 2 malam terpaksa 'berkurung' dan boleh dikirakan '2nd honeymoon' dengan atuk. Dan dengan sebab itu juga nekcun terpaksa batalkan tugas-tugas lain untuk tiga hari tu...
Tapi, apa yang nekcun nak cerita ni bukanlah pasal '2nd honeymoon' nekcun tu, tapi pasal majlis lawatan Dato' Seri Najib Tun Razak, yang mana juga telah melancarkan akhbar SINAR Harian di Kumpulan Karangkraft pada hari Selasa 6/7/2010.
Nekcun rasa seronok sangat bila pihak Kump. Karangkraft telah juga menjemput nekcun untuk turut serta memeriahkan lawatan YB, PM kita tu, walau pun nekcun tidak dapat berlama-lama di sana kerana perlu pula berkejar ke tempat 'berkurung' tu.


Bagi nekcun acara sebegitu memang nekcun tidak akan lepaskan peluang kerana pada acara-acara begitulah dapat kami para novelis Kump. Karangkraft berjumpa dan bermesra-mesra.
<> nekcun bersama novelis tersohor Esya Sofea, Anis Ayuni & Dmya Hana

Nekcun seronok sangat dapat berjumpa dengan beberapa rakan-rakan novelis yang sudah 'established' dan memang telah lama mewarnai dunia novel Melayu popular di Alaf 21 dan Buku Prima termasuklah novelis-novelis tersohor yang telah dianugerahkan 'golden awards' oleh YB, Dato Seri Najib iaitu novelis Ramlee Awang Murshid, Esya Sofea, Anis Ayuni, Sharifah Abu Salim dan Dmya Hana.
Bila semua novelis-novelis berjumpa dan berbual mesra begitu memang menyeronokkan dan sentiasa tak kering gusi. Tambah-tambah lagi dengan kehadiran novelis-novelis seperti Meen Zulaikha, Ramlah Rashid, Iris Ixora, Eka Fahara dan Afiqah Farzana yang sentiasa ada sahaja idea yang hendak dibualkan.
Namun apa yang nekcun rasa seronok ialah apabila mereka semua terus memanggil nekcun dengan panggilan manja 'nekcun' dan bukannya KA. Tapi nekcun tak kisah, malahan nekcun memang seronok kalau kekawan yang mengenali nekcun memanggil nekcun dengan panggilan manja itu!.. sebabnya.... ada perkataan 'cun' tu.... hehehe... (perasanlah pulak nenek ni!..)

Dikesempatan ini sukalah nekcun mengucapkan tahniah kepada lima orang novelis tersohor yang telah dianugerahkan 'golden award' oleh YB, Perdana Menteri kita itu kerana novel-novel mereka telah terjual melebihi 300 ribu setiap judul. Nekcun turut bangga kerana ini membuktikan bahawa novelis Melayu juga boleh duduk setanding dengan novelis-novelis luar negara. Semoga semua rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan kepada novel-novel Melayu kerana pada pendapat nekcun, kualiti novel-novel Melayu tidak kurang juga hebatnya dari novel-novel Barat atau pun Indonesia.
p/s: Teringin nak jadi novelis tersohor macam rakan-rakan yang 5 orang tu... Tak tahu bilalah agaknya novel nekcun nak mencecah jualan macam novel-novel mereka ya?.... Nekcun selalu berdo'a agar satu hari nanti novel-novel nekcun juga akan mendapat sambutan di pasaran dengan jumlah yang sedemikian. InsyaAllah, semoga Allah akan memakbulkan do'a dan harapan nekcun ini, kerana nekcun percaya Allah itu maha Pengasih lagi maha Penyayang.