Friday, October 29, 2010

Sanggupkah kita berQurban?...



Pejam celik pejam celik kita sudah pun hampir kepada bulan Zulhijjah tidak lama lagi. Bulan yang memberi pahala ‘pengurbanan’ bagi umat Islam iaitu pengurbanan dari segi penyerahan jiwa dan hati kepada Allah dan juga pengurbanan tenaga di dalam melaksanakan rukun-rukun ibadah Haji. Disamping itu, bagi umat Islam lain yang tidak berkesempatan melakukan ibadah Haji juga adalah digalakkan ‘berqurban’ dengan menyembelih binatang ternakkan berkaki empat untuk diberi makan kepada fakir miskin dan insan-insan yang memerlukan.
Adapun perkataan ‘Qurban’ adalah diambil dari perkataan Arab ‘Qarib’ iaitu dekat atau rapat. Maka ‘Qurban’ yang dilakukan pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyriq adalah mendekatkan atau merapatkan diri dengan Allah. Adalah dijelaskan bahawa hukum untuk melakukan qurban ini adalah ‘sunat muaqat’ atau sunat yang dituntut bagi insan-insan yang mampu.
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah” (Surah al-Kauthar – ayat 2).
Sebenarnya ada beberapa lagi ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menuntut untuk orang-orang mukmin & mukminat mengerjakan ibadah Qurban. Jadi nekcun rasa, sebagai seorang mukmin yang sentiasa bersyukur kepada Allah, marilah kita sama-sama menginfakkan sedikit dari rezeki kita untuk melakukan ibadah Qurban pada tahun ini kerana terdapat banyak hikmah dan kebaikkan dari ibadah qurban ini seperti yang diberitahu oleh ustaz:-
1) Untuk menambahkan pahala amalan kita kerana kita tak tahu berapa banyakkah amalan kita yang telah diterima Allah.
2) Untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita masa lalu. (Dengan syarat kita sentiasa menjaga solat dan ibadah-ibadah lainnya).
3) Untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. (Melaksanakan perintah Allah).
4) Untuk menambahkan keberkatan rezeki yang diberi Allah.
5) Sebagai tanda syukur kepada nikmat Allah.
6) Sebagai tanda kekuatan ekonomi Umat Islam
7) Sebagai menunjukkan kefahaman orang Islam terhadap ajaran Islam
8) Sebagai sedekah orang kaya (orang yang mampu) kepada orang miskin.
9) Mengikut jejak langkah syariat Nabi Ibrahim sebagaimana yang diikuti juga oleh Nabi Muhammad SAW.
10)Untuk sebagai kenderaan di akhirat.
Nekcun percaya ramai dikalangan kekawan semua adalah dari gulungan yang lebih dari mampu untuk melakukan ibadah Qurban yang tak seberapa itu, kerana jika kita boleh tanpa sebarang soal membayar bayaran bulanan sekurang-kurangnya RM68-00 sebulan untuk sewa Astro setiap bulan, maka apalah sangat kalau dibandingkan dengan harga lebih kurang RM350-00 untuk satu bahagian lembu Qurban yang hanya setahun sekali itu. Tambahan pula, kalau di dunia ini kita boleh membeli kenderaan berjenama yang beratus-ratus ribu ringgit untuk mendapatkan keselesaan ketika ke sana ke mari, mengapa kita tidak mahu mempunyai kenderaan yang canggih juga ketika meniti Siratulsirat kelak!..
Semoga apa yang nekcun coretkan ini akan dapat kita hayati bersama, sekadar nekcun ingin mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga berkongsi sedikit ilmu dengan kekawan yang sentiasa nekcun kasehi… Marilah kita berpesan-pesan walaunpun hanya sebaris ayat!... Wallahualam…

Friday, October 15, 2010

Seimbangkah makanan yang diberi?....

Dalam pada seronok menghadiri 'open house' sana sini di bulan Syawal, kini nekcun telah terpaksa kembali kepada rutin harian yang lebih menyebukkan sehingga kekadang tu rasa 24 jam macam tak cukup untuk sehari. Namun nekcun tetap bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kesihatan yang baik dan sempurna kepada nekcun sekeluarga untuk terus hidup dan menikmati rezeki dan nikmat-nikmat Allah di dunia dan di bumi Malaysia yang aman tenteram ini walaun pun terpaksa berkejar ke sana ke sini.


Ketika nekcun makan tengahari dengan seorang kawan ketika balik dari satu perbincangan di PKNS beberapa hari lepas, ada dia mengemukakan soalan yang amat menarik perhatian nekcun yang nekcun rasakan boleh dikongsi bersama kekawan semua.


Kawan: "Hajjah tahu tak apa itu manusia?"

Nekcun: "Hai takkanlah itu pun tak tahu... manusia tu oranglah!.."

Kawan: "Mengapa Allah jadikan manusia itu ada roh, ada jasad, ada akal, ada hati dan ada nafsu?"

Hai!... dia ni nak kena ni!... sengaja nak test aku pulak!... bisik hati kecil nekcun agak bosan dengan telatah kawan nekcun seorang ni. Namun tiba-tiba hati nekcun berdetik dan teringat akan kata-kata seorang ustaz pada satu kelas Ilmu yang nekcun pernah ikuti.

1) Manusia perlu ada roh dan jasad kerana kalau ada roh sahaja tanpa jasad, ia bukan manusia tetapi Jin, dan jika ada jasad tetapi tidak ada roh, ia adalah mayat.

2) Manusia ada akal kerana kalau manusia yang tidak ada akal dia adalah sama macam haiwan kerana manusia yang tidak berakal adalah manusia gila, tidak boleh berfikir.

3) Manusia perlu ada hati kerana hati yang akan menimbulkan perasaan dan perasaan itu akan mendorong akal untuk menguasai seluruh gerak laku manusia. Tanpa hati dan perasaan manusia tidak akan merasakan apa-apa di atas kejadiannya.

4) Manusia perlu ada nafsu kerana tanpa nafsu, tiada apa yang akan dapat membezakan antara manusia yang beriman atau sebaliknya. Nafsu juga sebagai penggerak atau pencabar kepada akal dan hati untuk berfungsi dengan betul.


Nekcun: "Oooh!... you sengaja nak test saya ya?" nekcun menempelak sambil tersenyum.

Kawan: "Bukan test tetapi sengaja nak mengimbau kembali apa yang ustaz dah cerita hari tu! I tahu kalau kita tak ingat mengingati begini, kita akan lupa apa yang ustaz ajar, betul tak? Eeemm... sedap juga lauk kat sini ya!... oh ya!... apa yang kita makan ini adalah makanan yang seimbang yang diperlukan oleh jasad kita, jadi apakah makanan-makanan seimbang untuk roh, akal, hati dan nafsu?"

Nekcun: "Hei!... you asyik nak suruh I jawab!... kali ni you jawablah pulak!..." nekcun menyarankan.

1) Makanan yang baik untuk roh adalah amalan-amalan soleh dan juga amalan-amalan yang disyariatkan oleh Islam sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadith. Amalan membaca Al-Quran juga akan menjadikan Roh sehat dan tenteram.

2) Makanan yang baik untuk akal adalah Ilmu iaitu 'ilmu Duniawi dan ilmu Ukhrawi'. Tanpa Ilmu yang betul, akal tidak akan dapat berfikir dengan baik. Ilmu yang dipelajari juga perlu diseimbangkan antara ilmu keperluan dunia seperti ilmu Science, Methametik dll dan juga ilmu keperluan untuk menuju ke akhirat iaitu Ilmu Ugama seperti Tauhid, Fiqh, Tasauf dan segala yang berkaitan syariat Islam.

3) Makanan yang seimbang untuk hati adalah Iman dan Takwa. Apabila manusia beriman dan bertakwa kepada Allah, maka tidak akan ada rasa hasad dengki dalam hatinya, tidak akan ada rasa marah atau tidak redha akan apa yang berlaku dalam kehidupannya. Iman dan Takwa yang kukuh akan menjadikan hati sentiasa bersyukur dan redha maka ia akan menghilangkan rasa stress dan menghindarkan segala penyakit dalam hati. Dengan Iman dan Takwa, manusia akan sentiasa dekat kepada Allah.

4) Makanan yang seimbang untuk nafsu adalah tidur & berkahwin. Ketika tidur, nafsu manusia akan berada dalam keadaan yang normal dan terkawal dari nafsu yang berlebihan, manakala melalui perkahwinan akan dapat memenuhi segala kehendak nafsu fikrah seorang manusia dan akan menjauhkan manusia dari kejahatan maksiat.


Begitulah sedikit sebanyak yang nekcun dan kawan nekcun bincangkan ketika kami memberi makanan seimbang untuk jasad kami. Namun, kami tetap masih berusaha untuk menseimbangkan makanan-makanan untuk roh, akal, hati dan nafsu kami kerana kalau ada di antara salah satunya tidak mendapat makanan yang seimbang atau sepatutnya, mungkin perjalan kehidupan kita untuk menuju alam akhirat akan pasti bertemu dengan banyak onak dan duri yang kalau tidak betul-betul diperbaikki, ianya mungkin akan menjadikan kita sebagai manusia yang rugi ketika kembali kepadaNYA kelak.
Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kita sendiri. Marilah kita ingat mengingati walaupun hanya sebaris ayat..... Semoga kita semua akan mendapat makanan yang seimbang yang diperlukan oleh roh, jasad, akal, hati dan nafsu kita!..

Friday, October 1, 2010

Betul ke Raya sebulan?....


Hari raya adalah hari di mana ramai kaum keluarga dan sahabat handai akan dapat bertemu dan mengiratkan lagi siratulrahim. Begitulah juga keluarga nekcun dan juga keluarga di sebelah Atok.
Hari raya kali ini, keluarga sebelah Atok telah mengadakan perjumpaan keluarga semua adik beradik dan anak cucu-cicit mertua di sebuah hotel di Sungai Petani. Memang seronok bila sekali sekala semua ahli keluarga dapat berkumpul. Riuh rendah dibuatnya di sekeliling ruang di tepi kolam renang hotel itu ketika majlis perjumpaan keluarga itu diadakan kerana lebih kurang 120 orang kaum keluarga kami telah menghadiri perjumpaan tersebut, dari yang tua sampai yang baby. Almaklumlah, Atok mempunyai 8 orang adik beradik dan Atok pula adalah yang no. 7, sedangkan Atok pun dah bercucu, maka apatah lagi semua kakak dan abang beliau semuanya dan beranak pinak dan bercucu-cicit. Itulah yang menjadikan perjumpaan keluarga itu seronok dan menggembirakan.
Ketika kembali di rumah nekcun di Shah Alam, nekcun dan atok pun tak berhenti juga dapat jemputan 'open-house' di sana sini hingga dapor rumah nekcun macam dah merajuk pulak kerana nekcun tak gunakan dia agak lama!... hehehe...
Kalau Ramadhan sebulan, maka meraikan Syawal pun sebulan jugalah!... begitulah rata-rata nekcun mendengar gurau senda kekawan apabila bertemu ketika meraikan beberapa 'open house' yang sempat nekcun kunjungi.
Memang tak salah kita meraikan hari raya di bulan Syawal ini sebulan penuh sebagai meraikan kemenagan kita setelah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, tetapi... adakah kita merayakan Syawal ini mengikut amalan-amalan yang seharusnya supaya amalan yang telah kita laksanakan di sepanjang Ramadhan berjaya diterima Allah atau sebaliknya?
Ustaz ada memberikan beberapa perkara yang harus kita lakukan semasa meraikan kedatangan Syawal agar Ramadhan kita tetap terpelihara dan keriangan menyambut hari raya kita pula akan tetap mendapat keberkatan:-
<> gambar nekcun, atok, anak2, menantu2 dan cucu <>>

1) Lakasanakanlah puasa Sunat 6 hari di bulan Syawal kerana pahalanya adalah bagaikan kita berpuasa sepanjang tahun. Janganlah kita tidak melakukan puasa sunat hanya kerana terpaksa memenuhi undangan 'open house' setiap hari!...

2) Menziarahi kaum keluarga terutamanya kedua ibu bapa dan saudara mara yang lebih tua.

3) Mengiratkan siratul-rahim antara sesama Islam - utamakan yang rapat dan yang dekat (lebihkan saudara mara dan jiran tetangga) perlu diziarahi dahulu atau dipanggil untuk 'open house'. Jangan kita panggil kekawan yang jauh sedangkan jiran sebelah rumah kita lupakan.

4) Teruskan menjaga dan jangan abaikan waktu solat walau pun kita sibuk dengan amalan ziarah menziarahi dan menghadiri 'open house'. Adap bersalaman dengan maharam dan bukan mahram juga perlu dijaga kerana yang haram tetap haram walaupun ketika meraikan hari raya.

5) Mengasehi, memberi dan menyantuni fakir miskin dan anak-anak yatim. Lebih elok sekiranya 'open house' kita dapat menggembirakan juga mereka-mereka ini. Adat memberi duit raya atau 'angpow' juga akan lebih bermakna dan berkat sekiranya diutamakan kepada gulungan ini daripada kepada anak-anak saudara yang ibu bapanya sudah sedia orang yang berada dan mampu.

6) Memperbaiki hubungan dan menyelesaikan permasalahan sekiranya ada terdapat selisihan faham sebelum itu. Berma'af-ma'afanlah agar siratulrahim akan dapat disambung kembali.

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat nekcun kongsikan dengan kekawan, sekadar ingat mengingati....

Di hari yang mulia ini, sukacitalah nekcun menjemput semua kekawan yang sudi dan ada kelapangan datang ke teratak nekcun di Shah Alam. Nekcun tidak membuat sebarang 'open house' yang khusus tetapi rumah nekcun sentiasa terbuka kepada kekawan!... Semoga Allah akan sentiasa memberkati persahabatan kita dan akan menerima segala amalan kita selama ini.
"Kueh tat dalam tin. Ma'af zahir batin!..."