Tuesday, September 17, 2013

Novel DEMIMU NAZWA - Bab 2

PERASAAN gelisah terus menghantui diri Nazwa. Jelas terbayang wajah sendu dan pilu ketika Nazwa melangkah masuk ke bilik Mohd Safri. Ketuanya telah memanggil Nazwa untuk berbincang tentang projek yang diselianya.
“Emm... Nazwa. Kenapa nampak murung aje? Saya harap kemurungan awak itu bukanlah disebabkan awak terpaksa balik bekerja dengan saya, kan?” tegur Mohd Safri dengan nada ingin bergurau.
“Oh! Dah tentu tak! Saya seronok kerja dengan Encik Safri,” jawab Nazwa sambil tersenyum namun getaran suaranya jelas kedengaran.
Sebenarnya, Nazwa memang seronok bekerja di bawah Mohd Safri. Lelaki itu tidak lokek ilmu dan pengalaman. Nazwa berasa amat beruntung. Dalam masa tidak sampai empat tahun bekerja di syarikat ini, dia telah boleh memahami selok belok perniagaan syarikat.
Nazwa juga telah tahu segala kehendak pelanggan serta pelabur yang berurusan dengan mereka. Itu semua adalah berkat tunjuk ajar daripada ketuanya, Mohd Safri yang begitu bertimbang rasa terhadap semua pegawai bawahannya.
“Habis tu, kenapa awak tak ceria langsung macam selalu? Awak bertengkar dengan Ed ya?” tanya Mohd Safri, tersenyum nakal.
Dia juga sudah tahu pasal hubungan rapat Nazwa dengan pengurus muda dari bahagian pemasaran itu.
“Eh, tak adalah. Kami baik-baik aje. Cuma...” Nazwa agak keberatan untuk meneruskan kata-katanya.
“Cuma apa?”
“Betul ke ada syarikat baru nak ambil alih Syarikat Libur Kanan ini, Encik Safri?” Terlontar juga soalan itu daripada bibir Nazwa.
“Emm... dengan perkembangan terbaharu yang saya diberitahu semalam, ya. Memang ada syarikat baru yang nak ambil alih pengurusan Libur Kanan,” jawab Mohd Safri dengan nada penuh yakin.
“Oh...” Nazwa hanya mampu menutup mulut dengan telapak tangan bagaikan menyesali keluhan yang terlepas daripada mulutnya itu.
“Kenapa Nazwa? Kenapa saya tengok awak risau sangat dengan berita ini?” tanya Mohd Safri dengan dahi berkerut.
“Bukan apa encik. Bila ada pengambilalihan syarikat, pasti akan berlaku pembuangan pekerja.” Akhirnya Nazwa menyuarakan juga kebimbangannya.
“Oh, awak risau yang awak jugak akan terlibat?”
“Ya encik.”
“Saya tak fikir itu akan terjadi di Syarikat Libur Kanan ni.” Selamba Mohd Safri memberikan pendapat.
“Macam mana Encik Safri boleh yakin sangat?” tanya Nazwa, inginkan kepastian.
“Syarikat Libur Kanan merupakan syarikat gergasi yang mempunyai rekod kewangan dan reputasi perniagaan yang teguh di dalam dan di luar negara, saya tak fikir syarikat ini akan jadi beban kepada mereka.
Lagipun, sebab-sebab mereka bersetuju membeli Libur Kanan adalah kerana mereka tahu Libur Kanan mempunyai potensi perniagaan yang baik di arena antarabangsa dan mempunyai pekerja-pekerja yang berwibawa. Cuma...” Terhenti Mohd Safri di situ.
“Cuma apa Encik Safri?”
“Cuma sekarang ini, Syarikat Libur Kanan menghadapi masalah modal. Modal untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi. Itu sahaja masalahnya. Tak mungkin mereka akan buang pekerja-pekerja yang ada sekarang kalau perniagaan boleh terus dimajukan ke peringkat antarabangsa,” jelas Mohd Safri dengan panjang lebar.
“Harap-harap begitulah Encik Safri tapi syarikat manakah yang akan mengambil alih Libur Kanan ni?” risik Nazwa.
“Janganlah awak risau sangat, Nazwa. Saya amat yakin Al-Khusyairy Mega Holding takkan berjaya dan maju sebagaimana mereka berada sekarang, sekiranya mereka sentiasa membuang pekerja yang mahir dan berpotensi setiap kali mereka mengambil alih syarikat lain. Apa yang mereka lakukan adalah mengembangkan perniagaan untuk mengoptimakan kemahiran semua pekerja yang ada,” tambah Mohd Safri lagi dengan penuh semangat.
“Syarikat Al-Khusyairy Mega Holding?” ujar Nazwa mengulangi menyebut nama syarikat yang dikatakan Mohd Safri sambil berkerut dahinya.
Tiba-tiba hati Nazwa jadi gelisah tidak menentu. Nama Al-Khusyairy bagaikan berjaya menyentak hatinya pada sesuatu yang dia sendiri tidak pasti namun nama itu amat mempengaruhi hidupnya.
Nasib baiklah cahaya matahari yang bersinar dari tingkap berhampiran meja Mohd Safri itu agak cerah dan berjaya melindungi perubahan wajah Nazwa yang tiba-tiba jadi pucat bagaikan tidak berdarah itu dari dikesan ketuanya.
Ah, mungkin nama sama agaknya, hati kecil Nazwa berbisik bagaikan memujuk dirinya namun hatinya tetap berdebar-debar.
“Dan mereka akan jadi syarikat induk Libur Kanan yang baru, ya?” tanya Nazwa.
“Ya,” jawab Mohd Safri, terus membuat perut Nazwa bertambah senak.
“Memang perbincangan awal tentang pengambilalihan Libur Kanan ini dibuat secara rahsia demi menjaga kepentingan urusan perniagaan tetapi dengan selesainya urusan menandatangani dokumen terakhir semalam, saya rasa tak perlulah lagi saya merahsiakannya daripada awak kerana ianya akan menjadi pengetahuan umum dalam sehari dua lagi,” ujar Mohd Safri sambil melemparkan senyuman mesra.
“Jadi, macam yang saya katakan tadi, dengan Syarikat Al-Khusyairy Mega Holding itu, awak tak perlulah risau tentang awak kehilangan pekerjaan.” Dengan nada penuh yakin, Mohd Safri seolah-olah memberi semangat.
Ya ALLAH, kalaulah Encik Safri tahu perkara yang sebenar, mungkin dia takkan seyakin itu cuba mententeramkan hatiku, bisik Nazwa. Walaupun dia cuba menceriakan riak wajahnya dengan apa yang dikatakan ketuanya itu, namun hakikatnya dia lebih takut akan potensi kehilangan pekerjaan sekarang berbanding sebelum itu.
Memang Nazwa tidak pernah memberitahu sesiapa pun di pejabatnya itu akan status dirinya yang sebenar melainkan pada Edham. Lelaki itu terlalu mendesak untuk mengahwininya. Namun apa yang benar-benar menyenakkan perut Nazwa ketika itu adalah Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy. Lelaki yang menjadi tulang belakang dan peneraju utama Al-Khusyairy Mega Holding sekarang ini kerana lelaki itu pernah dinikahinya ketika belajar di luar negara.
Malah Nazwa cukup yakin yang mereka masih suami isteri yang sah walaupun mereka telah berpisah hampir empat tahun.
Tiada sebarang lafaz talak daripada lelaki itu dan Nazwa sendiri tidak pernah merujuk kepada mana-mana pihak berkuasa akan status perpisahan mereka itu. Kedua-dua mereka bagaikan lupa bahawa ikatan yang pernah menyatukan mereka itu, masih sah dari hukum syarak. Nazwa jadi benar-benar takut sekarang.

FIKIRAN Nazwa masih berkecamuk. Sejak Mohd Safri menyebut nama lelaki itu, hatinya sentiasa bimbang. Wajah Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy sentiasa menjelma di depan mata. Lelaki itulah telah banyak mencorakkan hidup Nazwa suatu ketika dahulu.
Sepanjang petang itu Nazwa sibuk mengumpul kembali fakta-fakta yang telah dibincangkan dengan Mohd Safri pagi itu. Dia perlu menyediakan laporan dan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada pengurusan baru pada minggu hadapan. Namun sekali-sekala dia mengeluh bila kenangan dia bersama Ahmad Saifulrizwan tiba-tiba muncul di kepala.
“Awak okey ke, Nazwa?” tanya Mohd Safri bila melihat wajah Nazwa berkerut-kerut ketika dia melintasi meja gadis itu.
“Ooo...err...okey,” jawab Nazwa agak gugup kerana tidak sangka yang ketuanya itu sedang memerhatikannya.
“Habis tu, dahi awak berkerut-kerut tu apa pasal?”
“Tengah cari ilham macam mana nak buat presentation slides kita ni agar lebih menarik dan berkesan,” bohong Nazwa cuba menyorokkan perasaannya yang agak bergetar.
“Saya yakin awak boleh buat yang terbaik. I know that,” ujar Mohd Safri memberi semangat sebelum berlalu meninggalkan meja Nazwa.
Ya, aku memang boleh buat yang terbaik kalau bukan Al-Khusyairy Mega Holding yang jadi majikan baruku nanti, bisik Nazwa di dalam hati.

Monday, September 16, 2013

Novel DEMIMU NAZWA - Bab 1

NAZWA melangkah pantas menuju ke lobi utama. Hari ini dia mula bekerja setelah dua minggu bercuti. Bila lif terbuka, dengan pantas dia melangkah masuk. Hanya ada dua orang sahaja di dalam lif memandangkan jam baru pukul 7.30 pagi.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Nazwa melangkah menuju ke pejabatnya.
“Hei Naz! Macam mana percutian kau di Beijing? Seronok tak? Wah, bukan main lagi kau. Sampai dua minggu cuti,” tegur Farina, kawan sepejabatnya.
“Hisy, kau ni... kalau ya pun bagilah salam. Terkejut aku tau!” marah Nazwa sambil menjeling.
Nazwa yang kelihatan agak ceria dan tenang, segera meletakkan beg tangannya ke dalam kabinet di sebelah meja sebelum berpaling memandang ke arah sahabatnya itu. Senyuman manis terukir di bibirnya.
“Emm... memang seronok sangat. Dapat lepas dari kerja-kerja pejabat untuk dua minggu. Hilang tension dan stress aku,” jawab Nazwa dengan nada riang.
“Banyak ke shopping?” tanya Farina sambil melangkah menghampiri meja Nazwa. Tidak puas berbual dengan jarak meja yang agak jauh begitu.
Nazwa yang terkial-kial mahu membuka komputernya hanya menggeleng. Matanya terus menatap skrin komputer yang ada di atas meja.
“Mana nak shopping sangat. Kau pun tahu, aku ke sana nak ambil ibu aku yang sedang berubat dengan sepupu aku yang ada klinik tradisional di Tianjin. Jadi, banyak masa kami habiskan di klinik. Lagipun tak lama lagi, musim sejuk. Hampir semua fesyen pakaian adalah untuk musim sejuk,” beritahu Nazwa dengan panjang lebar.
“Oh... habis tu, macam mana ibu kau sekarang? Dah okey ke?” tanya Farina lagi agak prihatin.
“Alhamdulillah... keadaannya baik sikit dari dulu. Sekarang dia dah boleh jalan sendiri dan tak payah dipimpin lagi,” ujar Nazwa dengan nada lega.
“Lega aku mendengarnya. Kalau tak, mood kau selalu down bila memikirkan masalah kesihatan ibu kau. Seronok aku tengok kau dah kembali ceria,” ujar Farina sambil menepuk lembut bahu sahabatnya itu.
“Kenapa pulak kau seronok sangat?” tanya Nazwa, hairan.
“Tak adalah... sekurang-kurangnya sekarang kau dah ada nak tolong aku. Kalau tak, nak pergi tandas pun tak sempat. Kerja kita ni dah macam sampai kat paras hidung dah,” jawab Farina sambil meletakkan jari telunjuknya ke paras hidung bagaikan mahu mengukuhkan lagi apa yang dikatakannya itu. Jelas kedengaran suaranya yang agak stress.
“Aku dah agak,” balas Nazwa selamba.
“Err... kau dah tahu ke pasal ura-ura pengambilalihan syarikat kita ni? Tentu Ed dah beritahu kau, betul tak?” teka Farina.
Edham adalah pengurus jualan di Syarikat Libur Kanan. Satu tempat kerja dengan Nazwa. Edham telah berkawan rapat dengan Nazwa sejak setahun yang lalu sehingga ada yang menganggap mereka adalah pasangan kekasih yang hangat bercinta.
“Haah tapi dah ada keputusannya ke?” tanya Nazwa.
“Entahlah. Dato’ Razlan macam sengaja nak tutup mulut. Dalam mesyuarat mingguan pengurus kanan pada Selasa lepas, Encik Safri ada memberitahu bahawa pihak pengurusan bersetuju menjual 51 peratus saham syarikat kepada syarikat baru tu. Mereka hanya menunggu kelulusan dari pihak Pendaftaran Syarikat dan BSKL Security Commission sahaja,” jelas Farina dengan suara yang perlahan seolah-olah berbisik bagaikan perkara itu adalah satu rahsia syarikat yang tidak boleh diketahui oleh pihak luar.
“Biasalah Dato’ Razlan, dia memang macam tu. Aku rasa dia pun dah malas nak bertegang urat mempertahankan haknya dalam syarikat ini. Kau tengok sahajalah keadaan pejabat kita ni,” ujar Nazwa sambil memandang sekeliling pejabat yang agak buruk itu, seolah-olah terkilan dengan sikap majikan mereka.
“Iyalah agaknya. Shimah pun pernah beritahu aku yang Dato’ Razlan memang dah tak larat nak bersaing dengan syarikat-syarikat baru yang mempunyai modal lebih besar. Sebab itulah, dia diam sahaja bila lembaga pengarah berura-ura nak menjualkan saham syarikat ni kepada syarikat yang lebih berkemampuan,” ucap Farina apabila teringatkan akan perbualannya dengan setiausaha majikannya itu minggu lepas.
“Moga-moga akan terbelalah nasib kita kalau syarikat baru yang lebih berkemampuan itu, nak ambil alih syarikat ini,” ujar Nazwa pula penuh mengharap.
“Aku pun harap macam tu jugak. Sekurang-kurangnya akan adalah insentif yang lebih elok untuk pekerja-pekerja syarikat, misalnya tambahan kuota bonus tahunan ataupun kenaikan gaji yang lebih baik. Tapi...” Terhenti kata-kata Farina seketika.
“Tapi apa, Fina?” soal Nazwa agak teruja.
“Aku tak berani nak harap sangat kerana kita tak tahu apakah rancangan syarikat baru tu nanti. Kalau mereka dah beli 51 peratus saham syarikat ni, maknanya mereka adalah pemegang saham terbesar. Punya hak untuk melakukan apa sahaja terhadap pekerja-pekerja di bawah naungannya.Mereka boleh membawa pekerja-pekerja dari syarikat induk dan boleh buang kita. Inilah yang aku runsingkan,” luah Farina dengan nada yang agak gementar.
“Betul jugak kata kau tu tapi dengan keupayaan dan kemahiran kau mengendalikan projek-projek penting kerajaan selama ini, aku yakin syarikat takkan mudah lepaskan kau.
Lagipun kau dah ada banyak contact and good networking dengan kementerian-kementerian. Lainlah macam aku ni yang baru berpengalaman setahun jagung. Kalau syarikat baru tu mahu buang pekerja, pastinya aku dahulu yang kena,” jawab Nazwa pula dengan nada yang lebih sendu kedengaran.
“Tak semestinya Naz. Aku tahu, kau pun apa kurangnya dari segi prestasi kerja? Dato’ Razlan dan Encik Safri sangat percaya dengan kebolehan kau mengendalikan pelabur-pelabur korporat. Sebab itulah kau dilantik sebagai Penolong Pengurus Kanan Korporat dan jugak sebagai pembantu khas kepada Encik Safri. Aku yakin Encik Safri takkan senang-senang nak lepaskan kau,” ujar Farina sambil menepuk lembut bahu Nazwa.
“Assalamualaikum semua. Apa ni, pagi-pagi dah nampak macam tak ada mood aje. Emm... Nazwa! Baru balik bercuti panjang pun masih tak ada mood ke nak kerja?”
“Oh!” Tersentak Farina dan Nazwa.
Suara garau Mohd Safri, Pengurus Besar Bahagian Perundangan dan Komunikasi Korporat di Syarikat Libur Kanan itu benar-benar telah mengejutkan Nazwa dan Farina yang tidak langsung menyedari kehadiran ketua mereka di situ. Nasib baiklah cubicle meja Farina dan Nazwa agak jauh dari pekerja-pekerja lain, jadi tidaklah mereka perasan akan teguran Mohd Safri itu.
Farina dan Nazwa memang tahu yang Mohd Safri suka menggunakan laluan di ruang pejabat mereka itu untuk ke pejabatnya. Pejabat Mohd Safri sebenarnya sama satu tingkat dengan Dato’ Razlan, Pengarah Urusan Syarikat Libur Kanan. Dan pejabat Mohd Safri terletak di hujung sekali.
Farina dan Nazwa tidak sangka yang Mohd Safri akan datang awal hari ini. Jam baru pukul 8.00 pagi. Selalunya Mohd Safri akan muncul sekitar jam 8.30 ataupun 9.00.
“Waalaikumussalam Encik Safri. Tak adalah, kami hanya bincang sikit pasal kerja Nazwa yang tertangguh semasa dia bercuti tempoh hari,” jawab Farina sambil mengukir senyuman manis.
“Hah, kamu Nazwa! Seronok tak bercuti?” soal Mohd Safri sambil memandang ke arah Nazwa yang masih kelihatan agak gubra.
“Err... biasa-biasa aje, Encik Safri. Tak ada apa pun yang nak diseronokkan,” jawab Nazwa, tidak tahu apa yang harus dikatakan ketika itu.
“Emm... baiklah. Teruskan perbincangan kamu berdua tu,” ujar Mohd Safri selamba sambil melangkah menuju ke pejabatnya.
Farina dan Nazwa terpinga-pinga. Tidak faham apakah yang dimaksudkan Mohd Safri. Farina memandang Nazwa dengan kening terjongket. Manakala Nazwa hanya mencebik bibir sambil mengangkat kedua-dua belah bahu menandakan dia juga tidak memahami apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
Namun jauh di sudut hati Nazwa masih terdetik rasa khuatir akan keadaan sebenar yang mungkin berlaku kepada mereka kalau Syarikat Libur Kanan itu benar-benar akan diambil alih oleh syarikat baru.