Sunday, December 28, 2014

Konsep 5S bagi kehidupan Umat Islam...

Selalu kita dengar konsep 5S adalah piagam yang diamalkan oleh kebanyakkan syarikat2 dan jabatan2 untuk memastikan kelancaran pentadbiran serta suasana yang menarik di syarikat2 atau jabatan2 terlibat bagi memastikan pelanggan2 mereka berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat atau jabatan mereka.

Namun hakikatnya, tidak ramai yang sedar bahawa konsep 5S itu sebenarnya sudah memang sedia ada dalam Ugama Islam untuk memastikan umatnya mendapat kesejahteraan dan kebaikkan hidup di dunia dan akhirat. Sesungguhnya ALLAH yang maha mengetahui segalanya dan DIA telah mewajibkan setiap umat Islam mempraktikkan konsep 5S untuk menjadi hamba yang diredhaiNYA, dunia akhirat.

Sahabat2 nak tahu apa konsep 5S yang perlu dipraktikkan oleh setiap umat Islam itu?... Hah... mari kita sama-sama menghayatinya.

1) SYAHADAH - Tidak akan sah seseorang itu sebagai umat Islam jika dia tidak mengucap dua kalimah syahadah. Maka adalah wajib bagi setiap umat Islam mengucapkan dua kalimah syahadah untuk membuktikan bahawa dia benar2 percaya dan menyerahkan dirinya kepada ALLAH dan RasulNYA. Dan sebagai umat Islam seseorang itu juga mesti percaya,yakin dan patuh pada Rukun Islam dan Rukun Iman sebagaimana yang disampaikan oleh Junjungan kita Nabi Muhamad SAW.

2) SYARIAT - Islam mempunyai syariat atau hukum hakam yang telah ditetapkan oleh ALLAH kepada setiap hamba2NYA untuk diamalkan seperti hukum-hukum halal, haram, wajib, sunat dan harus. Maka untuk memastikan seseorang itu benar-benar diterima oleh ALLAH sebagai umat Islam dan untuk mendapat rahmat dan redhaNYA dunia akhirat, wajiblah kita melaksanakan dan mengamalkan semua syariat-syariat yang telah ditetapkan dengan penuh ikhlas dan tawaduk. Contohnya, solat 5 waktu adalah wajib dan merupakan 'tiang' ugama, maka seseroang yang tidak melaksanakan atau menjaga solatnya adalah sebagai engkar kepada perintah ALLAH. Di dalam kehidupan harian ini pun sekiranya seorang pekerja itu engkar arahan 'tuan' nya, maka susahlah untuk dia meningkatkan kedudukan kerjayanya. Dan dengan itu mungkin agak susah untuknya mendapat kenaikkan pangkat. Maka begitu jugalah kedudukkan kita dengan ALLAH. Untuk menaikkan darjat kita di sisiNYA, kita perlu sentiasa melaksanakan dan mengamalkan setiap arahanNYA melalui syariat yang telah ditetapkanNYA itu, agar kita mendapat redhaNYA dari dunia hingga akhirat.

3) SILATURRAHIM - Di dalam menjalani hidup di dunia, Islam telah mengenalkan dua sistem yang amat cantik untuk diamalkan oleh setiap insan iaitu Habluminallah (hubungan dengan ALLAH) dan Habluminannas (hubungan sesama manusia). Mengeratkan silaturrahim sesama manusia adalah amat penting di dalam kehidupan harian setiap insan. Tiada siapa pun di dunia ini yang boleh hidup tanpa berhubung dengan orang lain waimma sebanyak mana pun kekayaannya. Maka untuk menjadi insan yang diredhai ALLAH dan mendapat kerahmatan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat, kita wajib untuk sentiasa menyambungkan silaturrahim dengan insan-insan lain terutama kaum keluarga, jiran tetangga dan sesiapa sahaja yang tidak memusuhi kita. Si kaya akan sentiasa bersedia menolong si miskin dan orang yang senang akan sentiasa bersedia menolong orang lain yang dalam kesusahan. Apabila sifat tolong menolong dan bertolak ansur wujud dalam setiap umat Islam, maka ukhwah di kalangan masyarakat umat Islam pastinya akan lebih teguh dan harmoni. Keadaan itu akan menjadikan hidup kita lebih aman, bahgia dan sejahtera.

4) SYUKUR - Sesungguhnya ALLAH yang menjadikan dunia ini dan juga segala seisinya. DIA yang maha berkuasa mencipta segalanya. Sebagai makhluk ALLAH, kita wajib bersyukur dengan segala apa yang kita ada di dunia ini kerana semua itu adalah milik ALLAH jua. DIA hanya 'meminjamkan'nya kepada kita atau kepada sesiapa yang DIA kehendakki. Maka bersyukur kepada ALLAH sebagai tanda kita menghargai segala anugerah ALLAH kepada kita sekiranya kita mahu mencari keredhaanNYA. Orang yang tidak bersyukur adalah orang yang sombong pada ALLAH kerana sesungguhnya manusia ini tidak akan mampu untuk melawan kekuasaan ALLAH. Maka carilah redha ALLAH dengan sentiasa bersyukur kepadaNYA. Sesungguhnya ALLAH menyayangi makhluknya yang sentiasa bersyukur. Insan yang disayangi ALLAH, pasti hidupnya beruntung dunia akhirat.

5) SABAR - Orang yang penyabar akan dapat melalui setiap detik hidup di dunia ini dengan lebih tenang dan aman. Islam amat menitikberatkan sifat sabar. Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa 'Sabar adalah separuh dari iman'. Rasulullah juga adalah sebaik-baik contoh seorang yang sabar. Maka mengamalkan sunnah Radulullah adalah sebaik-baik amalan untuk kita mendapat keberkatan di dalam hidup ini. Sesungguhnya ALLAH menyayangi orang-orang yang sabar.       
      
Sekiranya kita boleh mengamalkan konsep 5S yang kononnya diasaskan oleh orang-orang Jepun di dalam mentadbir kelancaran tugas-tugas harian di syarikat2 atau jabatan2 kerajaan, mengapa kita tidak boleh mengamalkan 'konsep 5S' yang telah terlebih dahulu diasaskan oleh Ugama Islam yang syumul ini di dalam kehidupan harian kita? Marilah kita fikir-fikirkannya.... Wallahualam.

###Marilah kita mengamalkan 5S yang disarankan oleh Islam dengan penuh keikhlasan dan tawaduk.  Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan hamba2 ALLAH yang sentiasa mendapat keredhaan dan rahmatNYA dari dunia hingga akhirat... Aameen...

Sunday, November 30, 2014

BIASA atau LUAR BIASA?

Berbuat baik kepada orang yang berbuat baik pada kita adalah BIASA.
Berbuat baik kepada orang yang zalim pada kita adalah LUAR BIASA.
Mampukah kita menjadi seorang yang LUAR BIASA itu????

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah role model insan yang LUAR BIASA itu. Dan baginda adalah 'kekasih' ALLAH. Tidakkah kita mahu menjadi 'kekasih' ALLAH???...

Memang tidak dapat dinafikan, sebagai manusia dan orang awam yang serba kekurangan adalah amat susah untuk kita menjadi seorang yang LUAR BIASA itu. Kita ada hati, ada perasaan, ada emosi dan ada nafsu yang sering membelenggu kita. Tetapi ALLAH juga ada memberi kita akal fikiran, hidayah dan iman yang akan dapat membantu kita mengawal perasaan, emosi dan nafsu dari tersasar ke jalan yang salah. Oleh itu, mengapa tidak kita berusaha sedaya upaya kita untuk menggunakan akal fikiran, hidayah dan iman dengan sebaik-baiknya untuk mendidik kita menjadi insan yang 'LUAR BIASA' sebagai membuktikan cinta kita kepada ALLAH dan Rasulullah... 

Kehebatan, kekayaan dan kecantikan seorang insan itu bukanlah hanya pada kekuatan tubuh badannya, harta wang ringgitnya atau paras rupaya, tetapi juga pada akhlak dan imannya. Sabar adalah separuh daripada iman. Kesabaran dan Iman yang teguh adalah sebahagian dari faktor yang boleh mendorong kita menjadi insan yang 'LUAR BIASA' dari keBIASAan seorang insan sebagai makhluk ALLAH yang serba kekurangan.  Oleh itu, marilah kita cuba untuk meningkatkan kesabaran dan meneguhkan Iman agar kita menjadi makhluk ALLAH yang sentiasa mendapat keredhaanNYA...In sya ALLAH... Aameenn...     

Tuesday, November 4, 2014

Siapakah orang yang paling berjaya?

Adakah ramai kawan2 akan memberi kita ketenangan?
Adakah keseorangan akan membuat kita kebingungan?
Adakah banyaknya wang ringgit akan memberi kita kesenangan?
Adakah wang yang sedikit akan membuat kita gelandangan?

Tanyalah hati, dugalah minda,
Samada jiwa dan perasaan akan rasa bahgia,
Jika ramainya kawan hanya ketika kita berada,
Tetapi hilang apabila harta sudah tiada.

Jangan terlalu leka tertawa dan bergurau senda,
Sehingga tidak sedar azan solat telah bergema,
Sahabat yang baik akan segera mengingatkan kita,
Agar segera bersujud kepada yang Maha Esa.

Madahku ini bukan madah pujangga,
Sekadar ingin ingat mengingati antara kita,
Agar kita sentiasa sedar dan berjaga-jaga
Bahawa hidup di dunia ini bukanlah kekal selamanya.

Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda:-
"Orang yang dihindarkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga adalah orang yang paling berjaya."


Semoga ALLAH akan sentiasa merahmati dan memberkati persahabatan kita selamanya, dari dunia sehingga ke syurga. Aamiinnn... 

Saturday, October 18, 2014

KEKAYAAN atau KEBAHGIAAN???

"ALLAH tidak beri apa yang kita hendak tetapi DIA beri apa yang kita perlu"

Satu statement yang amat menarik perhatian NekCun pagi ini. Kita wajib yakin akan statement tersebut kerana kita wajib percaya yang ALLAH tidak pernah buat silap. ALLAH maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana kita adalah makhluk ciptaanNYA.
Ramai yang berdoa memohon untuk jadi kaya. Tetapi ALLAH tidak beri dia kekayaan sebaliknya ALLAH beri dia kebahgiaan seperti kesihatan tubuh badan yang baik, suami/isteri/anak2 yang soleh/solehah dan jiran tetangga yang prihatin. 
Ramai antara kita yang keliru sebenarnya. Mengapa kita minta jadi kaya? Kerana kita beranggapan dengan kekayaan itu kita boleh hidup bahgia. Jadi sebenarnya apa yang kita mahukan adalah kebahgiaan bukan kekayaan. Tidak dinafikan ramai orang yang kaya tetapi tak bahgia. Rumah tangga berantakkan sehingga bercerai berai, anak2 liar tidak dapat dikawal dan sebagainya. Lihatlah berapa ramai orang-orang kaya yang bunuh diri kerana kecewa dalam hidup dan tiada ketenangan dalam hati.
Manakala orang yang biasa2 sahaja hidup mereka lebih bahgia dan aman damai kerana hidup mereka dikelilingi oleh insan-insan yang ikhlas menyayangi mereka seadanya bukan kerana harta kekayaan yang mereka milikki. Hati mereka lebih tenang dan merasakan rezeki yang mereka ada itu telah mencukupi apa yang mereka perlukan. Mereka yakin, setiap makhluk yang ALLAH jadikan itu pasti ada rezekinya setelah mereka berusaha.   
Marilah kita renung2kan apakah yang Nekcun kongsikan ini benar atau tidak...


### Sekadar mengingatkan diri NekCun sendiri supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Walaupun hati sentiasa penuh mengharap akan 'kemunculannya' tetapi jika ALLAH belum lagi mengizikannya, maka bersabarlah wahai hatiku... Mungkin ALLAH mahu memberi NekCun yang lebih baik dari apa yang NekCun harapkan. Kalau tidak di dunia, mungkin ia akan menjadi pahala yang akan membahgiakan NekCun di akhirat kelak... In sya ALLAH.

Tuesday, October 14, 2014

DEMIMU NAZWA - Bab 6.

SELESAI mengerjakan Solat Isyak malam itu, Nazwa tiba-tiba teringat akan sampul surat yang diberi Edham sebelum balik kerja petang tadi. Segera Nazwa mengambil sampul surat itu di dalam beg tangan dan membukanya.
Terbeliak anak mata Nazwa melihat sekeping baucar dari Habib Jewel yang memaparkan berbagai bentuk cincin dan rantai tangan berlian. Terdapat nota kecil yang terselit bersama baucar itu.
Sayang, Ed telah pun buat tinjauan di beberapa kedai emas untuk mencari cincin pertunangan kita. Namun masih belum membelinya. Kalau boleh Ed mahu Sayang pilih sendiri yang mana Sayang suka. Ed harap Sayang takkan biarkan Ed tunggu lebih lama lagi. Yang mencintaimu, Ed.
Terkedu Nazwa membaca nota Edham yang penuh mengharap itu. Hati Nazwa benar-benar terharu. Tidak tahu bagaimana dia harus memberitahu Edham akan kedudukannya yang sebenar. Resah di hatinya semakin mencengkam jiwa setiap kali Edham melafazkan kata-kata cinta. Tidak tergamak Nazwa hendak mengatakan bahawa cinta Edham terhadapnya adalah cinta terlarang.
Tiba-tiba wajah Ahmad Saifulrizwan yang tampan dan bergaya menerjah memenuhi ruang tubir mata Nazwa. Walaupun sudah hampir empat tahun tidak bersua muka, Nazwa masih tidak dapat melupakan wajah tampan dan senyuman yang pernah mencairkan hatinya suatu ketika dulu.
Cinta pandang pertama Nazwa dan Ahmad Saifulrizwan berputik di hati masing-masing ketika pertama kali bertemu di Malaysia Hall. Nazwa masih dapat merasakan betapa hatinya terasa melambung-lambung keriangan pada pertama kali Ahmad Saifulrizwan melafazkan kata cinta.
Setiap denyutan jantungnya dipenuhi cinta Ahmad Saifulrizwan yang begitu mengasyikkan sehingga mereka tidak dapat lagi dipisahkan. Dan sebab itu juga, tanpa ragu-ragu Nazwa telah menerima lamaran Ahmad Saifulrizwan, apabila lelaki itu mengambil keputusan untuk bernikah dengannya walaupun tanpa pengetahuan kedua ibu bapa masing-masing.
Bagi Nazwa, Ahmad Saifulrizwan telah benar-benar membuktikan cintanya dengan menerima tanggungjawab sebagai suami yang sah dari hukum syarak apabila lelaki itu benar-benar jujur di dalam menjalinkan hubungan dengannya.
Ahmad Saifulrizwan bukan mahu berseronok-seronok, walaupun mereka berada di Kota Metropolitan, London. Di sini, pergaulan intim antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim boleh sahaja mereka lakukan dengan begitu bebas tanpa sebarang halangan.
Nazwa amat bersyukur kerana Ahmad Saifulrizwan lebih memilih untuk menjalinkan ikatan yang lebih diredhai ALLAH di dalam membuktikan cintanya. Mungkin juga kerana sikap Nazwa yang begitu menjaga tatasusilanya sebagai seorang muslimah, telah membuatkan Ahmad Saifulrizwan begitu nekad untuk menikahinya secara sah.
Dan kejujuran serta keikhlasan Ahmad Saifulrizwan itulah yang telah menambat hati dan jiwa Nazwa terhadap lelaki itu.
Secara dasarnya Nazwa tidak pernah tahu siapa keluarga Ahmad Saifulrizwan sebenarnya ketika mereka bernikah dulu, sehinggalah kira-kira dua tahun lalu apabila Ahmad Saifulrizwan dilantik sebagai CEO Al-Khusyairy Mega Holding. Dia menggantikan ayahnya yang mahu menumpukan kepada jawatan pengerusi eksekutif sahaja.
Nazwa benar-benar terkejut dengan berita yang dibacanya di dalam Business News itu. Langsung tidak menyangka bahawa lelaki yang pernah bertakhta di hatinya itu adalah pewaris tunggal Al-Khusyairy Mega Holding, iaitu salah sebuah konglomerat yang terkemuka di Malaysia ini.
Hati Nazwa jadi bertambah sendu dan pilu apabila mengetahui siapakah sebenarnya suami yang dinikahinya ketika mereka sama-sama belajar di UK dulu. Barulah Nazwa sedar kenapa Ahmad Saifulrizwan amat berat untuk memperkenalkan Nazwa kepada kedua ibu bapanya ketika mereka datang menziarahinya di London. Keengganan Ahmad Saifulrizwan itulah telah membuatkan Nazwa rasa amat kecewa terhadap lelaki yang amat dicintainya itu.
“Sayang... Riz minta maaf banyak-banyak kerana terpaksa tinggalkan sayang sorang-sorang beberapa malam ni. Riz terpaksa ikut ayah dan mama tidur kat hotel,” ujar Ahmad Saifulrizwan sambil memegang kedua-dua belah bahu Nazwa.
“Kenapa Riz tak beritahu sahaja mereka yang kita dah kahwin?” soal Nazwa agak terkilan.
“Masanya belum sesuai lagi sayang. Riz tak mahu percutian ayah dan mama di sini rosak hanya kerana berita yang kita sampaikan tu.”
“Habis tu, sampai bila kita nak rahsiakan perkahwinan kita ini?”
“Sabarlah, sayang. Riz janji, bila masa dah sesuai nanti, Riz pasti akan beritahu mereka dan kenalkan sayang sebagai menantu mereka. Berilah Riz sedikit masa lagi. Tambahan, sayang pun belum beritahu ibu bapa sayang, kan? Jadi Riz rasa, elok kita beritahu kedua ibu bapa kita apabila kita telah benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan mereka,” pujuk Ahmad Saifulrizwan.
“Sampai bila? Sampai bayi dalam perut Naz ni lahir?” Nazwa terus mendesak dengan nada yang agak kecewa.
“Sayang... tolong percaya pada Riz. Berilah Riz sedikit masa lagi.”
“Tapi, bila? Adakah Riz mahu anak kita nanti tak kenal atuk dan neneknya? Ataupun memang Riz tidak menginginkan bayi ini?” soal Nazwa dengan suara yang agak bergetar menahan sendu.
Nazwa sendiri tidak tahu mengapa dia cepat benar terasa hati dengan suaminya sejak dia disahkan mengandung dan kini sudah pun berusia hampir enam minggu.
“Naz, janganlah cakap macam tu. Riz sayang sangat bayi kita ni, malah Riz rasa macam dah tak sabar nak tunggu dia lahir. Tapi untuk memberitahu keluarga kita tentang perkahwinan ini, Riz harap sangat Naz dapat bersabar sedikit masa lagi.
Riz yakin, bayi kita ini akan membawa rezeki pada kita untuk memudahkan kita bersemuka dengan kedua keluarga kita kelak,” pujuk Ahmad Saifulrizwan lagi sambil mengusap lembut perut Nazwa yang masih leper itu.
“Okey, kalau Riz tak tidur rumah beberapa hari ni, Naz pun tak nak tidur kat rumah ni,” balas Nazwa dengan nada tegang.
“Naz nak ke mana? Bukankah Naz masih ada kelas lagi sebelum final exam?” soal Ahmad Saifulrizwan, agak terperanjat.
“Naz nak tidur kat rumah Shila dan Joane. Naz nak ikut mereka pergi birthday party Rosalind malam esok,” jawab Nazwa, sengaja mahu membalas dendam pada suaminya.
“Naz nak pergi rumah Rosalind naik apa?”
“Ikut sahaja Shila dan Joane naik apa-apa pun,” ujar Nazwa selamba.
“Riz rasa, eloklah Naz jangan pergi. Dengan keadaan Naz yang sering pening-pening tu, Riz risau kalau terjadi apa-apa pada Naz nanti,” ujar Ahmad Saifulrizwan, terus memujuk isteri tercinta.
“Ah, kalau Riz risau, kenapa sanggup tingalkan Naz sorang-sorang kat rumah ni?” tempelak Nazwa.
“Macam yang Riz cakap. Bukan Riz sengaja tetapi Riz terpaksa sebab ayah dan mama Riz ada kat London. Tapi bukanlah lama sangat, tiga malam sahaja. Lepas tu ayah dan mama nak terus ke Dubai. Ada urusan sikit,” ujar Ahmad Saifulrizwan cuba menerangkan agar isterinya memahami keadaannya sekarang.
“Emm... suka hati Rizlah apa Riz nak buat tapi Naz tetap ikut Shila dan Joane pergi birthday party Rosalind tu,” dengus Nazwa seolah-olah sudah bosan mahu bersoal jawab dengan suaminya.
Nazwa benar-benar tidak sangka yang kandungannya begitu rapuh sehingga dia boleh mengalami keguguran. Dia tergelincir semasa keluar dari kereta Joane ketika mereka baru balik dari rumah Rosalind.
Nazwa terpaksa dirawat di hospital selama dua hari. Dia telah banyak kehilangan darah akibat keguguran itu. Ahmad Saifulrizwan benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Dia mengharapkan kelahiran bayi ini agar ibu bapanya dapat menerima pernikahan mereka dan cucu yang dilahirkan. Namun impiannya musnah sama sekali.
Apa yang amat mengecewakan Ahmad Saifulrizwan ialah sikap degil Nazwa. Dia sanggup pergi menuruti kawan-kawannya hanya disebabkan marah padanya.
“Sekarang, puaslah hati Naz!” tempelak Ahmad Saifulrizwan.
Ketika itu mereka sedang makan malam selepas hampir sebulan peristiwa yang amat mengecewakan itu berlaku.
Nazwa hanya tunduk tanpa suara. Tidak berani menentang mata suaminya yang kelihatan amat kecewa dengan sikapnya yang degil itu. Disebabkan itu mereka kehilangan cahaya mata yang diharapkan dapat membawa sinar dalam perkahwinan mereka.
“Naz tahu tak, betapa Riz mengharapkan bayi itu. Setidak-tidaknya, dapat memberi sinar di dalam usaha Riz memberitahu ayah dan mama pasal perkahwinan kita. Kalau sudah ada cucu yang comel, pasti ayah dan mama takkan menolak perkahwinan kita.
Tetapi sekarang segalanya telah hancur. Hancur! Sebab sikap degil Naz tu. Kalau Naz tak pergi ke birthday party Rosalind tu, mungkin bayi kita masih ada.” Dengan suara yang lirih Ahmad Saifulrizwan berkata lagi apabila Nazwa terus menyepi.
“Maafkan Naz, Riz! Naz tahu, Naz bersalah kerana melawan arahan Riz tempoh hari, tapi Naz...” Terhenti kata-kata Nazwa di situ.
Dia tidak berani mahu menyatakan kekecewaannya di atas sikap Ahmad Saifulrizwan yang lebih mementingkan kehadiran ibu bapanya di London daripada bersamanya. Dia kan isterinya yang sah.
“Tapi apa?” soal Ahmad Saifulrizwan.
“Riz takkan faham perasaan Naz ketika itu,” jawab Nazwa perlahan.
“Adakah Naz faham perasaan Riz ketika itu?” bidas Ahmad Saifulrizwan pula.
Nazwa terkedu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan.
“Naz lebih pentingkan diri sendiri dan perasaan Naz aje. Entah-entah memang Naz tak mahu zuriat Riz ni,” sindir Ahmad Saifulrizwan.
“Riz! Jangan tuduh Naz macam tu! Naz sayang sangat kandungan Naz tu dan sebab itulah Naz mahu Riz sentiasa ada bersama Naz masa tu. Riz yang pentingkan diri sendiri sehingga sanggup tinggalkan Naz hanya untuk bersama ayah dan mama Riz. Kenapa Riz asyik nak salahkan Naz aje?” sembur Nazwa.
Dia sudah tidak tahan lagi menahan sabar. Tanpa disedari air matanya berlinangan jatuh ke pipi.
“Riz bukan tinggalkan Naz di tepi jalan. Lagipun bukannya lama. Hanya tiga hari aje. Naz yang terlalu emosional. Terlalu pentingkan diri sendiri. Adakah Naz mahu Riz jadi anak derhaka hanya untuk menjaga hati isteri yang langsung tidak mahu bertolak ansur,” bidas Ahmad Saifulrizwan lagi bagaikan air mata isterinya itu tidak memberi apa-apa bekas di hatinya.
Nazwa terkedu lagi. Benarkah aku terlalu emosional dan mementingkan diri sendiri sehingga suamiku berada dalam keadaan susah? Getus hati kecil Nazwa terus tertanya-tanya akan kebenaran kata-kata suaminya itu.
“Dahlah Naz! Riz malas nak bertekak lagi pasal ni! Suka hati Nazlah apa Naz nak buat sekarang,” ujar Ahmad Saifulrizwan lalu melangkah keluar.
Nazwa terdiam. Dia amat kesal dengan perbuatan keanak-anakannya. Kalaulah dia tidak mengikut rasa rajuknya itu, mungkin dia tidak akan kehilangan bayi yang di dalam kandungannya itu. Mungkin juga Ahmad Saifulrizwan tidak akan menyalahkannya. Nazwa hanya mampu menarik nafas panjang dan kemudian menelan air liurnya apabila melihat kelibat Ahmad Saifulrizwan hilang di balik pintu rumah yang sudah tertutup rapat.

Monday, October 13, 2014

Umur bukan halangan...

I may not be a champion, but I can be a good companion.
I may not be able to give the best, but read my novels and you can have a good rest...


Alhamdulillah... Sesungguhnya rezeki ALLAH itu amat luas dan tiada batasannya sekiranya DIA berkehendak memberinya kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendakki. Maka marilah kita terus berusaha mencari rezeki yang halal dan jangan mudah berputus asa sekiranya rezeki yang kita harapkan itu masih belum kunjung tiba. Pasti ada hikmah disebaliknya kerana ALLAH itu maha mengetahui segalanya. Semoga ALLAH akan terus merahmati dan memberkati hidup kita selamanya dari dunia hingga akhirat... Aamiinn...

Monday, September 29, 2014

We're not alone...

When there's no one around us, it doesn't mean we're alone,
When we lost something that we really loved, it doesn't mean we lost everything,
When we can't get what we aimed, it doesn't mean it's the end.

Because... 
ALLAH knows everything, 
ALLAH knows what is best for us, not what we think is good, 
ALLAH knows that we may forget HIM if we get everything,
ALLAH gives us what we actually need not what we want,
ALLAH loves us, that's why ALLAH tested us so we will always come back to HIM.

Remember...
ALLAH created us and HE knows everything about us,
ALLAH gives us everything we need to live even though we may against HIS orders.

Thus...
Pray to ALLAH,
Ask for HIS forgiveness,
Ask for HIS loves,
Ask for HIS blessing,
Ask for HIS assistance,
As ALLAH will never ignore our requests, as other people would be. 

Alhamdulillah... Thank you ALLAH for all YOUR loves, blessings and gifts that we're enjoying now and ever after.


Hanya ALLAH Tuhan yang kami sembah, tiada Tuhan lain melainkan ENGKAU, Ya ALLAH. Redhailah kami, rahmatilah kami dan berkatilah hidup kami dari dunia hingga ke akhirat. Masukkanlah kami ke syurga Firdaus MU dengan tanpa hisab... Aaamiinnn...  

Wednesday, September 3, 2014

Do the best. Leave to ALLAH the rest...

Never burn the bridge that we had passed. We never know that we may need it again one day.

Never be easily attracted by the greener look of our neighbor's lawn. It could be just a synthetic grass. Appreciate what we have as we ourselves know best about it genuineness.

Never curse or hate a person who daringly & sincerely telling us about our weaknesses. We never know he / she may be the one who will save our life and show us the way to heaven.

Never give-up when we had done our best. Think positive, be positive & stay positive. Keep on doing the best and leave to ALLAH the rest. 

Remember that ALLAH is always with us and willingly guiding us whenever we need a guide. Look for HIS blessing & love as HE will never turn us down. 

Tuesday, August 12, 2014

Novel: AKU TAK SALAH

Alhamdulillah... Novel Nekcun yang terbaharu telah pun berada di pasaran sejak penghujung July lalu. Namun kesibukkan NekCun menghadapi 10 hari terakhir Ramadhan dan kemudian diikuti pula dengan sambutan Syawal, maka masa Nekcun untuk mengemaskinikan blog ini agak terhad. 

NekCun pasti sudah ramai sahabat-sahabat yang telah memilikki atau pun membaca novel NekCun yang bertajuk AKU TAK SALAH itu kan?... Hah???... belum lagi?... Kalau begitu, sudi2lah sahabat2 semua membaca sinopsis novel tersebut di sini ya!... 

Sinopsis AKU TAK SALAH.


Norsyazwani tidak pernah menduga akan menjadi isteri Airil Amri hanya melalui perkenalan yang begitu singkat. Dalam pada itu, hati Norsyazwani jadi amat terusik apabila majikanya Badrul, membuat pengakuan bahawa dia amat mencintai Norsyazwani secara diam selama ini. Namun pengakuan itu sudah terlambat apabila Norsyazwani sudah membuat keputusan untuk menjadi isteri Airil Amri dan tekad meninggalkan Badrul dengan tanpa dapat dikesan.

Sikap yang begitu bertanggungjawab dan romantis yang ditunjukkan oleh Airil Amri telah berjaya membuat hati Norsyazwani dengan penuh rela mengikuti suaminya merantau jauh ke negara yang begitu asing baginya sebaik sahaja selepas pernikahan mereka. Bagaimana pun kebahgiaan yang diimpikan Norsyazwani bagaikan hancur berkecai apabila mengetahui cinta Airil Amri terhadapnya adalah palsu dan lelaki itu telah menunjukkan belangnya sebaik mereka berjauhan dari kaum keluarga.

Di dalam memendam rasa yang sendu dan pilu itu, Norsyazwani sering diusik dengan ketulusan pengakuan Badrul. Namun tekad untuk menjadi seorang isteri yang solehah membuatkan Norsyazwani terus tabah menghadapi segala ujian yang melanda hidupnya. Sebaliknya Badrul pula tidak pernah putus asa untuk menjejaki Norsyazwani sehingga membuatkan Airil Amri merasa hubungannya dengan isterinya tergugat walaupun pada hakikatnya Norsyazwani tidak mengetahuinya.

Mengapakah Airil Amri menipu Norsyazwani dan mengapakah dia perlu rasa tergugat apabila mendapat tahu Badrul sedang menjejaki isterinya kalau dia tidak mencintai isterinya itu? Berjayakah Badrul meraih cinta Norsyazwani dan mengapakah dia begitu bersungguh-sungguh mahu hidup dengan wanita itu walaupun dia sedar mencintai isteri orang adalah berdosa? Hanya AKU TAK SALAH dapat menjawab segala persoalan itu.


Macam mana? Suspense tak???... Hah!... Kalau suspense, sila dapatkan novel itu di kedai2 buku yang berhampiran sekarang.... Insya ALLAH, is tidak akan mengecewakan sahabat2 tetapi sahabat2 akan kecewa kalau tak memilikki atau membacanya kerana banyak ilmu dan tauladan yang boleh dititip darinya. Novel ini juga boleh dibaca oleh semua golongan & peringkat umur masyarakat & pembaca kerana tiada elemen2 yang terlarang di dalam cerita yang NekCun garapkan itu. Sebaliknya banyak elemen2 yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua sebagai panduan menghadapi kehidupan harian yang penuh pancaroba sekarang ini. Selamat membaca & Terima kasih.

Monday, June 16, 2014

You & Me in the Cyber world...

We are created and born as a different gender,
So we can naturally be paired off together.
Our feeling and soul are blown into our body,
So our emotion and desire can fill our heart.

Accidentally we are met in the digital world
Happily chatting although never see each other
Our mind and thinking keep talking similar phrases
Hoping the true feeling will get us together.

In the dream our heart and soul are always met
Causing emotion and desire are beating the same rhythm.
But…  a dream is always a dream
Near at heart but far away in real world.

To hold our hands together seems a false hope
Although our love had grown deep in our heart
May be we are not meant for each other
Even how hard we tried to be together.

We are separated thousands of miles on land and sea
We can only hear voices and see faces virtually
We never stop hoping to meet each other eventually
And to ALLAH we always put our hope and pray.



My life will be wonderful if you’re here with me… 
Indahnya hidup ini SEANDAINYA KAU ADA bersamaku…

Wednesday, May 28, 2014

Tak tahu atau tak ambil peduli???...

Tersentuh juga hati Nekcun bila ada sahabat yang hantar pantun giler-giler pasal isu 'DNA babi' yang sedang hangat berlaku di negaraku tercinta ini. Teringin gak Nekcun nak kongsikan dengan sahabat2 semua untuk kita fikir2kan. Sahabat2 nak baca tak?... OK lah... Nekcun kongsikan di sini... 

Dua tiga babi berlari,
Manakan sama si babi tunggal,
Dah telan cadbury berlori-lori,
Tup-tup JAKIM kata ia tak halal...

Makan cadbury ada DNA babi,
Patutlah ramai yang susah mengaji,
Rupanya babi sudah sebati,
Hati gelap tidak terperi...

Orang Islam perlulah berhati-hati,
Benda syubhah perlu dijauhi,
Tengok sekarang apa dah jadi,
Ramai yang dah termakan babi...

Kerana kealpaan sebahagian kita orang Islam yang terlalu percaya kepada semua makanan yang asal sajer ada tanda 'HALAL' semuanya mereka sapu tanpa ragu-ragu, maka adalah pihak2 yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan 'menangguk di air yang keroh' untuk mendapatkan keuntungan dengan jalan mudah... 

Terfikir juga di hati Nekcun bahawa adakah fenomena 'kerosakan akhlak' anak2 & remaja yang semakin menjadi2 sekarang ini adalah akibat dari makanan haram yang telah menjadi darah daging mereka itu selama ini?...Wallahualam... Takut Nekcun nak memikirkannya. 

Astagfirullahalazim... semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita kerana kealpaan itu selama ini dan semoga anak cucu kita dilindungi dari segala kejahatan & keburukkan itu... Amiiinnn...

Sunday, April 27, 2014

INDAHNYA CINTA...

Cinta itu fitrah insani
Cinta itu anugerah Ilahi
Cinta itu sesuatu yang tidak nampak pada lahiriah
Tetapi sangat terkesan pada batiniah.
Masya ALLAh, Tabarakallah indahnya cinta,
Bukti kewujudan ALLAH.
Dengan cinta itulah kita kenal Pencipta Cinta
Dengan cinta itulah kita kenal Rasul tercinta
Dengan cinta itulah kita bersaudara
Dan dengan cinta itulah wujudnya bahagia…

Cinta kepada ALLAH itulah cinta yang utama
Jagalah cinta pada-NYA, nescaya akan beroleh cinta sesama manusia…

Cintailah ALLAH sebelum kita belajar untuk mencintai hamba ALLAH.
Selami hati, selami jiwa dimana kita letakkan ALLAH di hati kita?
Di mana DIA di hati kita?
Sering kita terlupa ALLAH, tika kita senang dan bergembira.

Rasa cinta kepada manusia itu akan hadir tanpa dipaksa
Rasa cinta kepada manusia itu akan wujud tanpa diminta
Rasa cinta kepada manusia itu adalah kebahgiaan yang ALLAH beri pada kita
Namun, cintailah mereka kerana cinta kita kepada ALLAH yang Esa,
Dan bukan hanya kerana nafsu semata…

Usah ditagih kasih yang tak pasti
Usah diharap cinta insani, jika cinta kepada ALLAH sering kita nodai.
Bermunajatlah kepada Yang maha Pencipta cinta,
Berdoalah padaNYA,
Meminta yang terbaik daripadaNYA,
Merayulah keampunanNYA,
Mohonlah cintaNYA…

Cinta yang bertandang di lubuk hati itu fitrah
Namun apabila ia disusuli tindak tanduk yang tidak diredhai ALLAH
Ia pasti akan bertukar menjadi fitnah yang membarah…
Oleh itu, cintailah seseorang itu kerana ALLAH
Kerana ALLAH tidak akan menolak cinta insan yang beriman yang mencintaiNYA dan RasulNYA
Dan cinta ALLAH itulah yang kekal abadi selamanya…

Ya ALLAH, anugerahkanlah kepada kami cinta yang suci,
Agar hari-hari yang kami lalui sentiasa indah,

SEINDAH TAKDIR CINTA yang KAU aturkan untuk kami… 

Tuesday, April 22, 2014

DEMIMU NAZWA - BAB 5

        Ketika sampai di pejabat pagi itu, Nazwa agak terkejut. Beberapa orang pekerja sedang sibuk mengubah suai pejabat. Begitu juga di luar bangunan. Beberapa orang kontraktor sedang sibuk mengecat bangunan pejabat dan juga bangunan kilang Libur Kanan itu. Taman mini di sekeliling bangunan pejabat juga dinaik taraf dengan pasu-pasu bunga yang lebih cantik dan menarik.
“Hei! Apa dah jadi dengan pejabat kita ni?” tanya Nazwa dengan dahi berkerut-kerut.
Ketika itu Farina sedang melangkah menghampiri meja Nazwa untuk mengajaknya sarapan di kafetaria.
“Mula-mula tadi aku pun terkejut. Aku tanya Azhar, Penolong Pengurus di bahagian pentadbiran, kenapa pejabat kita jadi macam ni. Dia kata pengurusan baru yang mahukan bangunan dan pejabat kita ini diubah suai supaya ada imej korporat,” beritahu Farina.
“Oh, iya ke? Banyak betul modal Al-Khusyairy Mega Holding sehingga sanggup mengubah suai semua pejabat dan kilang Libur Kanan ni,” komen Nazwa sambil mengelap habuk-habuk halus yang kelihatan di skrin komputernya.
“Alah syarikat besar macam tu, kalau takat nak ubah suai pejabat yang ciput ni, memang tak jadi kudis pun pada mereka,” tambah Farina lagi.
“Wah, pejabat Dato’ Razlan pun bukan main lagi diubah suai. Macam mana dato’ nak buat kerja sementara dia orang ubah suai tu?” soal Nazwa dengan nada yang agak teruja.
Nazwa terus memerhatikan beberapa pekerja binaan yang keluar masuk dari bilik Dato’ Razlan yang terletak di bahagian hujung bangunan pejabat mereka itu.
“Dato’ Razlan mana datang pejabat lagi?” ujar Farina.
“Dia ke mana?” soal Nazwa, hairan.
“Dato’ Razlan telah pun melepaskan jawatannya kepada salah seorang pegawai tinggi Al-Khusyairy Holding. Shimah beritahu aku tadi yang bos barunya akan datang ke pejabat dalam tempoh dua minggu lagi, bila biliknya tu dah siap diubah suai,” jelas Farina lagi.
“Oh, iya ke?” Lagi sekali Nazwa terkejut dengan berita itu.
“Iyalah, cik adik oii. Apa yang nak dihairankan? Macam yang kita dan Ed bincangkan hari tu, Al-Khusyairy Mega Holding pasti akan meletakkan orang dia untuk mengetuai pengurusan baru Libur Kanan ni. Biasalah kalau sesuatu syarikat tu diambil alih oleh pengurusan lain,” komen Farina ketika mereka mula beriringan menuju ke kafeteria.
Oh... Al-Khusyairy Mega Holding memang benar-benar mahukan perubahan pada Syarikat Libur Kanan ini. Adakah ini semua arahan daripada Ahmad Saifulrizwan? Macam mana kalau dia tahu aku jugak bekerja di Syarikat Libur Kanan ini? Mungkinkah dia akan memberhentikan aku dari terus bekerja di sini? Desis hati kecil Nazwa terus berkecamuk dengan soalan-soalan yang tidak mampu dijawab.
Sehari suntuk Nazwa tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja sebaliknya dia terus berfikir-fikir sama ada mahu meletakkan jawatan sekarang sebelum Ahmad Saifulrizwan memecatnya ataupun membiarkan sahaja perkara itu sehingga dia benar-benar telah dipecat kelak.
Nazwa benar-benar buntu sekiranya dia berhenti sekarang. Bukan senang nak dapat kerja. Nazwa tidak boleh berhenti kerja sewenang-wenangnya kerana dia perlu mencari wang untuk menampung kehidupan dua beranak, iaitu dia dan ibunya.
Apa yang lebih membimbangkan Nazwa ialah kos perubatan ibunya yang perlu diuruskan setiap bulan kerana keadaan kesihatan ibunya masih belum stabil.
Tiba-tiba Nazwa teringatkan Suryani, kawan pejabatnya dulu. Dia telah pun berhenti kerana dapat kerja yang lebih baik di salah sebuah syarikat telekomunikasi yang terkemuka. Nazwa menarik nafas dalam-dalam sebelum menekan nombor telefon Suryani.
“Assalamualaikum, Yani!”
“Waalaikumusalam. Siapa ni?”
“Akulah Naz. Kau dah tak ingat aku lagi ke?”
“Oh, Naz. Apa khabar? Siapa yang boleh lupakan kau. Pegawai yang cantik manis kesayangan bos di Libur Kanan tu,” usik Suryani sambil tergelak.
“Hisy, ada-ada ajelah kau ni. Mana pulak aku yang jadi kesayangan bos. Kalau aku ni kesayangan bos, tentu dah lama aku naik pangkat jadi pengurus,” jawab Nazwa sambil turut tertawa.
Dia faham benar dengan sikap Suryani yang suka bergurau.
“Iyalah. Orang lain dah kerja bertahun-tahun pun, tak dapat nak kerja direct bawah pengarah urusan tau. Tapi kau, walaupun melapor bawah pengurus besar, tetap kena buat direct report pada pengarah urusan. Maknanya, dia memang sayang kat kau tu,” usik Suryani lagi.
“Pasal dia tengok aku sama macam anak dia kot. Itulah sebab dia selalu panggil aku tu agaknya,” sangkal Nazwa terus tertawa kecil menjawab usikan Suryani.
“Macam anak dia ke atau macam bakal isteri muda dia?” Kedengaran Suryani masih terkekeh-kekeh menyakat Nazwa. Seronok benar dia dapat bergurau dengan Nazwa kerana telah lama tidak berhubungan.
“Hei, minta simpang malaikat 44. Biarlah aku jadi andartu dari kahwin dengan orang tua macam tu. Buat susah aku aje nanti. Lagipun macam mana dia nak panggil ibu aku ‘ibu’ kalau umur dia lebih tua daripada ibu aku?” balas Nazwa sambil terkekeh-kekeh juga kerana geli hati sangat dengan saranan Suryani itu.
“Tua-tua pun apa salahnya, kalau duit dia berkepok-kepok. Apa kau nak, semua dia boleh beri.”
“Hei Yani, money cannot buy everything in this world. Tak guna ada duit banyak kalau hidup tak bahagia.”
“Betul, betul. Aku setuju sangat dengan kau. Eh, apa khabar orang tua tu hah? Sihat lagi ke dia?” tanya Suryani pula.
“Itulah yang aku telefon kau ni. Aku ada hal nak minta tolong,” ujar Nazwa spontan.
“Oh, iya ke? Apa kena orang tua tu sampai kau telefon aku nak minta tolong?” tanya Suryani, hairan.
“Kau tak dengar ke berita yang Libur Kanan telah diambil alih syarikat baru?” soal Nazwa.
“Ada tapi apa kena-mengena dengan Dato’ Razlan? Dia masih pengarah urusan kat situ kan?” tanya Suryani bertubi-tubi.
“Tak lagi. Dia telah melepaskan jawatannya kerana dia bukan lagi pemegang saham terbesar Libur Kanan. Sekarang, semua pengurusan di Libur Kanan telah diambil alih oleh Al-Khusyairy Mega Holding” terang Nazwa, perlahan.
Tiba-tiba wajah Ahmad Saifulrizwan dengan renungan matanya yang tajam bagaikan menari-nari di tubir mata Nazwa. Hati Nazwa jadi sendu.
“Jadi Dato’ Razlan dah tinggalkan Libur Kananlah ya?”
“Haah! Itulah sebab aku telefon kau, nak tanya kalau-kalau ada kerja kosong kat syarikat tempat kau kerja tu yang boleh aku cuba nasib.” Akhirnya Nazwa memberitahu akan hasratnya.
“Kenapa kau nak tinggalkan Libur Kanan? Pengurusan baru tu nak buang pekerja Libur Kanan yang ada sekarang ke?” soal Suryani agak terkejut.
“Buat masa ini, belumlah lagi tapi aku harus bersedia. Manalah tahu kalau tiba-tiba nanti mereka nak buang pekerja. Selalunya kalau ada pengambilalihan syarikat, pasti akan ada proses pengurangan pekerja. Aku pulak agak baru di Libur Kanan, sudah pasti akulah yang kena buang dulu.” Dengan suara agak lirih Nazwa menyuarakan kebimbangannya.
Kedengaran Suryani menarik nafas agak dalam seolah-olah faham kerisauan sahabatnya itu.
“Err... buat masa sekarang ni, tak adalah aku dengar apa-apa kekosongan lagi tapi kau hantar ajelah resume kat aku. Nanti aku cuba berikan pada bahagian sumber manusia. Manalah tahu kalau tiba-tiba ada keperluan yang berkaitan kelulusan dan pengalaman kau, jadi bolehlah mereka pertimbangkan,” saran Suryani.
“Emm... terima kasihlah Yani kerana memahami keadaan aku. Nanti aku sediakan resume aku dan e-melkan kat kau. Pakai e-mel boleh, kan?” ucap Nazwa dengan nada teruja.
“Boleh, kau e-mel ajelah. Nanti kalau mereka mahu dokumen-dokumen lain, barulah kau hantar salinannya,” jawab Suryani spontan. Jelas kedengaran keikhlasan suaranya untuk membantu sahabatnya itu.
“Alhamdulillah, nasib baiklah aku dapat kawan yang sedia bantu macam kau. Minta-minta adalah kerja kosong nanti,” ujar Nazwa dengan harapan menggunung.
“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, adalah nanti. Berdoalah semoga ALLAH sentiasa memurahkan rezeki kita.”
“Okey, lagi sekali terima kasih. Maaf kerana ganggu kau.
Nanti aku e-melkan resume aku ya. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Nanti ada masa, kita jumpa ya,” balas Suryani sebelum memutuskan talian.
        Ya ALLAH, ya Rahman, ya Rahim, KAU permudahkanlah segala usahaku ini, getus hati kecil Nazwa berdoa dan terus menaruh harapan agar usahanya untuk mencari kerja di tempat baru itu akan dimakbulkan ALLAH.

Tuesday, March 18, 2014

DEMIMU NAZWA - BAB 4

Dalam dua tiga hari ini semua staf di Syarikat Libur Kanan sibuk bercerita pasal pengambilalihan syarikat oleh Al-Khusyairy Mega Holding. Ianya bukan lagi satu rahsia apabila cerita itu telah pun tersiar di dalam Akhbar Sinar Harian.
Hati Nazwa bertambah rawan apabila mengenangkan kedudukannya di dalam Syarikat Libur Kanan kelak. Cara perpisahan yang terjadi antara dia dan Ahmad Saifulrizwan dulu amat tragis dan Nazwa tahu lelaki itu tidak akan mudah memaafkannya.
Nazwa yakin apabila Ahmad Saifulrizwan nampak namanya di dalam senarai tenaga kerja Syarikat Libur Kanan, sudah pasti lelaki itu akan mengarahkan agar dia diberhentikan dari syarikat itu.
Oh... sebelum dia berhentikan aku, lebih baik aku letak jawatan dahulu. Tak payahlah dia malukan aku. Tiba-tiba hati kecil Nazwa berkata.
Tapi apalah sangat Syarikat Libur Kanan ini kalau dibandingkan dengan lain-lain anak syarikat milik Al-Khusyairy Mega Holding yang lebih besar dan terkenal itu. Sudah pasti, dia tidak ada masa untuk menyemak semua nama pekerja. Entah-entah dia sendiri pun tak minat untuk buang masanya di syarikat ini. Tentu dia perlu menumpukan lebih perhatian di syarikat induk atau di anak-anak syarikat yang lebih besar.
Jadi, buat apa aku letak jawatan dulu? Tengok keadaan dulu. Kalau aku tak tahan nanti, barulah aku letak jawatan, bisik hati kecil Nazwa yang sebelah lagi bagaikan memberi pendapat.
“Hei Naz, kau tengoklah bakal bos baru kita ni bagi komen dalam akhbar. Bukan main lagi yakin nak transformkan Libur Kanan ni ke peringkat antarabangsa,” ujar Farina, menghulurkan Akhbar Sinar Harian ke arah Nazwa.
“Eloklah tu. Sekurang-kurangnya kita tak perlulah risau sangat pasal pembuangan pekerja,” jawab Nazwa, bagaikan acuh tak acuh.
“Haah, kalau macam itulah semangat dia, aku pun rasa yakin yang dia pasti takkan buang mana-mana pekerja kat Libur Kanan ni. Dia benar-benar bersemangat nak kembangkan perniagaan Libur Kanan yang dia kata banyak potensi ini. Apa pandangan kau, Ed?” tanya Farina yang kebetulan turut makan bersama mereka di kafeteria tengah hari itu.
“Aku pun rasa macam tu. Ada baca komen dia dalam Akhbar Sinar Harian tempoh hari, memang aku tengok Ahmad Saifulrizwan ni seorang yang bercita-cita tinggi. Penuh keyakinan dalam mencapai objektif perniagaan yang diterajuinya.
Lihat sahajalah kemajuan yang dicapai Al-Khusyairy Mega Holding. Sungguh memberangsangkan sejak dia menjadi CEOnya. Harap-harap, dia betul-betul boleh transform Libur Kanan ke peringkat antarabangsa. Taklah macam sekarang ni, asyik ditakuk yang sama aje,” ujar Edham dengan penuh harapan.
“Alah dia masih muda. Baru setengah umur Dato’ Razlan, mestilah bersemangat dan punya macam-macam idea,” komen Nazwa selamba.
Dia tahu benar akan keperibadian lelaki yang pernah hidup bersamanya hampir lebih dua tahun itu.
“Berapa umur dia?” tanya Farina begitu teruja.
“Lebih kurang 32 tahun.” Dengan penuh yakin jawapan itu terlontar dari bibir Nazwa.
“Macam mana Naz boleh tahu umur dia?” tanya Edham, hairan.
Nazwa terkesima dengan soalan Edham. Dia benar-benar tidak menyedari bahawa jawapannya itu hampir-hampir membuka rahsia peribadinya. Hati Nazwa jadi bergetar tidak keruan.
“Haah, mana kau tahu umur bakal bos baru kita tu?” celah Farina pula, turut hairan.
“Err...aaa...aku ada terbaca profile dia dalam satu business magazine tak berapa lama dulu,” jawab Nazwa agak tergagap-gagap.
“Business magazine apa dan bila? Hairan jugak sebab Ed tak pernah pun nampak artikel pasal Ahmad Saifulrizwan tu di mana-mana,” sangkal Edham.
“Emm... magazine apa namanya, Naz dah tak ingat, tetapi ianya lebih kurang dua tiga bulan lalu. Oleh kerana masa tu kita tak tahu apa-apa pun pasal pengambilalihan ini, maka Naz pun taklah kisah sangat pasal cerita dia tu.” Nazwa cuba menstabilkan suaranya agar Farina dan Edham tidak dapat mengesan pembohongannya itu.
Farina dan Edham hanya mengangguk-angguk. Tanda menyetujui apa yang dikatakan Nazwa.
“Hmm...mungkin jugak. Sebab itulah Ed pun tak berapa perasan ada artikel pasal Ahmad Saifulrizwan tu dalam magazine,” ujar Edham akhirnya.
Perlahan-lahan Nazwa menarik nafas lega sambil pura-pura terus membaca artikel dalam akhbar yang disuakan Farina tadi. Tidak berani dia memandang Edham yang sedang memerhatikannya. Khuatir apa yang dirasa akan terpancar di matanya. Nazwa tidak mahu ada sebarang syak wasangka dalam hati Edham mahupun Farina. Rahsia dia dengan Ahmad Saifulrizwan perlu disimpan rapi.
“Ed, kau agak siapalah yang akan ambil alih tempat Dato’ Razlan?” Tiba-tiba Farina bertanya.
“Tak tahulah siapa. Mungkin salah seorang pengurusan kanan dari pejabat induk Al-Khusyairy Mega Holding. Tapi...” Edham seolah-olah tidak pasti akan apa yang hendak dikatakannya.
“Tapi apa Ed?” soal Nazwa.
“Tapi tidak mustahil jugak kalau Al-Khusyairy Mega Holding akan mengekalkan Dato’ Razlan sebagai pengarah urusan kat sini, sebab Dato’ Razlan masih mempunyai saham dalam Libur Kanan,” ujar Edham cuba menerangkan apa yang ada di fikirannya.
“Err... elok jugak kalau Dato’ Razlan masih kat sini tapi larat ke dia nak ikut rentak pengurusan baru tu?” tanya Nazwa lagi.
Dia agak sangsi dengan apa yang dikatakan Edham.
“Eh, aku dengar Shimah kata Dato’ Razlan dah tak mahu lagi masuk campur dalam urusan Libur Kanan ni, walaupun ditawarkan Al-Khusyairy Mega Holding. Itu yang Shimah agak bimbang. Dia tak tahu macam mana perangai bos barunya nanti,” ujar Farina.
“Iya ke? Habis tu, siapa yang akan menggantikan Dato’ Razlan?” tanya Nazwa kembali.
“Tak payahlah kita bimbangkan siapa yang akan gantikan tempat Dato’ Razlan. Apa yang penting sekarang, kita telah dapat pengurusan baru yang lebih dinamik dan aku harap kita akan dapat peluang yang lebih luas untuk membina kerjaya yang cemerlang di syarikat ini kelak,” ucap Edham dengan penuh semangat.
“Betul kata kau tu, Ed. Aku setuju. Eh, aku tengok kau memang bersemangat betul nak kerja dengan pengurusan baru ni. Kenapa ya?” Farina sengaja menduga apabila melihat riak Edham yang begitu bertenaga.
“Mestilah! Harap-harap bila pengurusan baru, syarikat pun maju, jadi peluang naik pangkat pun mungkin semakin luas. Bila dah naik pangkat, bolehlah aku segera kahwin dengan buah hati aku ni.”
Sambil tersenyum riang dan tanpa segan silu Edham berkata. Seronok benar dapat meluahkan perasaannya pada Nazwa di hadapan Farina. Edham tahu, pasti Farina sudah tahu hubungan rapat dia dengan Nazwa.
Nazwa terkedu. Tidak sangka Edham begitu berani meluahkan hasrat hatinya di hadapan Farina. Segera Nazwa membulatkan biji matanya sambil menentang anak mata Edham seolah-olah memprotes.
“Alah Naz, betullah apa yang Ed cakapkan tu. Takkanlah itu pun kau nak malu. Lagipun, kalau dah sama-sama setuju, apa lagi yang nak ditunggu-tunggu? Perkara yang baik tu, eloklah disegerakan,” ujar Farina sambil menepuk-nepuk lembut bahu Nazwa.
Mendengar kata-kata Farina, Edham terus tersenyum sambil mengangkat kening beberapa kali. Seolah-olah mencabar pendirian kekasihnya itu.
“Insya-ALLAH, kalau ada jodoh, tak ke mana,” jawab Nazwa akhirnya walaupun hatinya menidakkan kata-kata Edham.
“Emm... Fina, kau tolong doakan semoga kami cepat disatukan,” ujar Edham lagi dengan penuh harapan.
“Dah pasti tapi jangan pulak lupakan aku bila tiba hari bahagia nanti. Kalau kau orang lupakan aku, aku takkan teragak-agak pancitkan tayar kereta kau orang,” ugut Farina, sengaja mengusik.
“Hei! Ada-ada ajelah kamu ni Fina! Dahlah tu. Tak usahlah disebut-sebut perkara yang belum tentu tu. Ni fikirlah macam mana kita nak hadapi bos baru kita ni nanti,” sangkal Nazwa sambil menepuk-nepuk bahu Farina.
Edham turut tertawa kecil dengan gurauan Farina tadi. Kemudian dia merenung Nazwa sambil mengerutkan dahi seolah-olah tidak memahami mengapa Nazwa berkata begitu.
“Emm... Ed, kau agak Encik Ahmad Saifulrizwan tu akan menggantikan Dato’ Razlan ke?” Tiba-tiba Farina bertanya, bagaikan turut menyetujui kata-kata Nazwa.
Jantung Nazwa bagaikan tiba-tiba berhenti berdenyut apabila mendengar nama lelaki yang pernah mewarnai hidupnya itu. Luka lama bagaikan berdarah kembali. Segera Nazwa tunduk, tidak mahu Edham ataupun Farina mengesani geteran di hatinya.
“Aku tak fikir dia mahu menumpukan banyak masanya di Libur Kanan. Tenaganya pasti diperlukan lebih di syarikat induk. Tapi tak tahulah. Mungkin kalau dia ingin pastikan Libur Kanan ini benar-benar boleh memasuki pasaran antarabangsa, mungkin dia akan selalu datang ke sini,” jawab Edham dengan jujur.
Farina hanya mengangguk-angguk.
Aku harap lelaki itu tak akan datang ke pejabat ini bila-bila masa pun, getus hati kecil Nazwa terus berdoa dan berharap.