Tuesday, December 20, 2011

Berkahwin itu satu anugerah... betul ke?...

Eeemm... semenjak dua menjak sepanjang bulan Disember ni, setiap hujung minggu nekcun dan atok tak dapat nak ke mana-mana kerana asyik sebuk memenuhi undangan perkahwinan anak-anak saudara mara dan sahabat handai. Kekadang tu, walaupun penat tetapi seronok juga sebab dapat makan 'free' sajer... hehehe... sampai nekcun selalu kena ingatkan atok supaya 'control' sikit bila makan tu sebab takut kalau-kalau darah atok tetiba jer naik pulak!.. Maklumlah kalau dah umur-umur warga emas nih!...  

Tetapi apa-apa hal pun sukalah nekcun ucapkan tahniah kepada semua pasangan pengantin baru yang telah atau pun akan melangsungkan perkahwinan mereka kerana 'bernikah / berkahwin' bagi insan-insan yang sudah mampu adalah amat disukai Allah. Malah ada hadith yang menyatakan bahawa adalah wajib bagi seseorang yang sudah mampu itu untuk bernikah / berkahwin sekiranya dia khuatir akan terjerumus kepada maksiat. Sesungguhnya syaitan dan iblis akan menangis ketika orang-orang Mukmin dan Mukminat bernikah / berkahwin secara sah. 

Sesungguhnya banyak 'pahala' yang akan didapati oleh seorang lelaki yang berkahwin sebagaimana yang diberitahu oleh ustaz-ustaz ketika nekcun menghadiri beberapa kelas ilmu dahulu iaitu sebahagiannya adalah lebih kurang seperti berikut:-

1) Ketika lelaki menerima lafaz nikah, dia akan dapat pahala.
2) Lelaki yang menjaga segala keperluan isterinya, akan dapat pahala.
3) Lelaki yang melindungi isterinya dari sebarang maksiat, akan dapat pahala.
4) Lelaki yang membimbing isterinya ke jalan yang diredhai Allah akan dapat pahala.
5) Lelaki yang melihat isterinya akan dapat pahala.
6) Lelaki yang memegang isterinya akan dapat pahala
7) Lelaki yang mencium isterinya akan dapat pahala
8) Lelaki yang mensetubuhi isterinya akan dapat pahala
9) Lelaki yang kembali kepada isterinya sekiranya digoda di luar rumah, akan dapat pahala
10) Lelaki yang menjadi imam ketika solat dengan isterinya akan lebih berganda-ganda dapat pahala.

Secara dasarnya, apa sahaja perkara-perkara yang tidak dilarang oleh syarak, yang dilakukan oleh seorang suami dengan isterinya akan mendapat pahala. Jadi, bukankah perkahwinan itu satu anugerah dari Allah kepada makhluknya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Nya?... Maka memang elok sangatlah bagi semua teruna dara yang sudah mampu itu bernikah/berkahwin secara sah, bagi mengelakkan dari terjerumus ke kancah maksiat akibat dari hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram. 

Sekali lagi sukalah nekcun mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga jodoh kalian kekal sepanjang hayat kepada semua yang telah atau yang akan memasukki gerbang berumahtangga

p/s: Eeeemmm... tetiba jer nekcun teringat masa mula-mula membina hidup baru dengan atok dahulu!... alangkah indah dan nikmatnya!... hehehe...  Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat itu walaupun ianya sudah hampir 35 tahun dahulu...

Tuesday, December 6, 2011

Adegan Ranjang... Siapa tanggung dosa?....

"Hah?.. Adegan Ranjang?.. Laaa... hari tu ada I baca pasal bukan main lagi ramai orang yang ajak baikot filem 3P... eeerrrr... entah 3P ke 3G... I pun tak ingat, sebab I bukan kaki wayang,  yang memaparkan adegan ranjang. Tapi kali ni filem yang ada adegan ranjang ni pulak yang meletop-letop ya?... Apa citer ni?.." terbeliak biji mata Kak June mengomen apa yang dikatakan oleh Kak Gee.


Novel-novel Nekcun yang ada di pasaran

"Iya!... anak I pergi tengok citer tu sebab mereka dah baca novelnya dan mereka kata sedap, jadi mereka nak tengok pulak macam mana kalau dalam filem!.. Itulah yang mereka komen!.." Kak Gee menguatkan hujahnya.

"Betul!.. betul!.. I pun ada baca dalam fb yang di'post'kan oleh kawan fb I yang mengatakan ada blog sorang artis yg dah insaf tu komen juga pasal kes ni!.. tapi yang jadi tambah tak sedap tu, bila artis wanita yang melakunkan watak untuk adegan atas ranjang tu sempat sebut lagi... 'Alhamdulillah... saya akhirnya dapat juga menjiwai watak atas ranjang tu walaupun pada mulanya saya agak ragu-ragu!..' You tau, macam itulah lebih kurang dia kata!.. MasyaAllah, perkara yang terang-terang maksiat itu dia boleh bersyukur kepada Allah dengan menyebut Alhamdulillah bagai nak menunjukkan yang dia tu seorang Islam yang baik!.., Itu betul-betul 'Islam yang jahil' namanya!.. Betullah... walaupun secara asalnya citer tu adalah pasal citer pasangan suami isteri yang sah dan tak salah untuk 'beranjang-ranjang'... tapi apabila adegan itu dilakunkan dan yang melakukannya adalah lelaki dan wanita yang bukan suami isteri maka terang-teranglah ianya 'haram' dan merupakan dosa bagi yang melakukannya!... Ada ke patut dia bangga kerana berjaya melakunkan adegan yang haram itu dan berani lagi menyebut Alhamdulillah?.. Ungkapannya tu bagaikan mengatakan bahawa perbuatan pelok memelok antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu 'halal' kalau hanya untuk lakunan!.. Tidakkah itu sudah melanggar hukum Allah namanya?... Astagfirullahalazim... tak tahukah dia bahawa melanggar hukum Allah itu adalah berdosa!.. Entahlah... apa nak jadi dengan artis-artis Islam sekarang ni!..."  Kak Zah pula berleter panjang menerangkan perkara yang berlaku.  

Nekcun yang mendengar leteran Kak Zah tu, rasa nak tergelak juga bila mendengar dia menyebut perkataan 'beranjang-ranjang' tu kerana agak pelik juga kedengarannya. Tapi sebenarnya nekcun fahamlah apa yang Kak Zah maksudkan tu, cuma disebabkan rasa geramnya tu kot yang membuatkan dia boleh mendapat perkataan yang menggelikan hati nekcun tu!...

"Habis tu... kalau dah pengarah suruh dia buat adegan tu, terpaksalah dia lakunkan juga agaknya!.." komen Kak Gee pula.

"Jadi kalau macam tu, siapa yang patut tanggung dosa? Pelakon? Pengarah? Penulis skrip? atau penulis novel yang menghasilkan cerita tu?..." Kak June pula menyampuk sambil bertanya.

"Hahaha!... pasal penulis novel, jangan sebut aaaahh... Selalunya penulis novel menulis berlandaskan cerita dan situasi yang bukan mustahil untuk terjadi serta sering boleh berlaku dalam kehidupan harian kita dengan tujuan untuk dijadikan iktibar atau tauladan!... Jadi apa yang ditulis itu tidak salah dan tidak melanggar hukum Allah kalau dengan tujuan menerangkan fikrah yang memang dilakukan oleh semua manusia dan ianya digambarkan agar pembaca dapat menilai situasi itu samada elok untuk diikuti atau pun untuk dijadikan iktibar!.. Lagi pun, penulisan di dalam novel tidak melibatkan 'perlakuan jasmani' secara fisikal yang boleh menjadikan 'sentuhan haram' antara lelaki dan perempuan. Semuanya digambarkan secara ilusi sahaja. Jadi, bagi pendapat saya, penulis novel tidak boleh disalahkan dalam perkara ini!.. Penulis script, pengarah dan pelakon sepatutnya tahu batas-batas hukum ugama yang perlu mereka patuhi!.." segera nekcun memintas.

"Oh ya!.. lupa pulak Hajjah ni kan penulis novel!..." ujar Kak June sambil tersenyum nakal.

Nekcun faham apa yang dimaksudkan oleh kawan nekcun tu dan nekcun tidak berkecil hati. Tetapi hakikatnya nekcun menyatakan pendapat nekcun itu bukanlah disebabkan pasal nekcun ni seorang penulis novel tetapi ianya adalah berdasarkan pendapat yang nekcun rasakan benar dan harus difikirkan secara rasional. Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri tidak tahu apa yang kita lakukan itu salah atau pun benar.
 
Jadi dalam hal adegan ranjang dan perilaku pelakon... nekcun rasa, "tepuk dada tanyalah selera" kerana jika mereka yang terlibat itu benar-benar memahami hukum Islam mereka patut tahu apa yang perlu mereka lakukan... Yang haram tetap haram dan melakukan perkara yang haram walaupun sekadar berlakun tetap berdosa!... Nekcun sekadar berkongsi kesah yang boleh kita fikir-fikirkan dan jadikan iktibar bersama!.. Wallahualam...

Wednesday, November 16, 2011

Taktik untuk berpoligami... Betul ke?...

Huh!... semak betul dah teratak nekcun ni... Nak buat camna, tuan rumahnya asyik terpaksa keluar kawasan sahaja sejak beberapa minggu ini, malah ada kalanya terpaksa meninggalkan tanah airku pula buat beberapa hari. Walaupun penat, tapi nekcun tetap seronok kerana jauh perjalanan, luas pandangan, bertambah ramai kenalan dan bermacam pula pengalaman.

Balik kepada rutin harian semalam, seronok betul nekcun dapat berbual-bual dengan kekawan seangkatan yang kekadang tu dah jadi macam 'mini parlimen' pula.

"Hajjah!.. you tahu tak, masa you tak ada tempoh hari, kita orang macam nak pecah perut gelak bila Prof. Kamal cerita pasal 'makwe' dia!..." Aida membuka cerita.
"Prof cerita makwe dia pasal apa?" tanya nekcun penuh keterujaan.
"Dia kata dalam pandai-pandai dia pun, terkena juga dia dengan kebijaksanaan perempuan!.." sambil tersenyum lebar Aida berkata.
"Iyalah!.. apa dia bendanya tu yang sampai you all semua tergelak macam nak pecah perut!.." nekcun dah semakin tak sabar nak tahu.
"Dia kena 'smashed' oleh isteri dia!.." Kak Gee menambah.
"Smashed camna? Depa main badminton ke? Heh!... you all ni, janganlah nak buat suspence ajer!.." ujar nekcun tambah geram bila melihat senyuman kekawan lain semakin lebar.
"Dia cerita macam ni:-
>> Yang, Yang!.. Abang ni kahwin nak dapat isteri tetapi...
>> Tetapi apa?... sergah isterinya.
>> Abang kahwin dengan Yang satu sajer... jadi belum dapat isteri lagi...
>> What???.. apa maksud abang???
>> Sebab satu is one, dua is two, three barulah isteri (is three)... (sebutan dalam bahasa Inggeris)...
>> Ooooh!... jadi, abang nak apa? Nak kahwin lagilah sampai dapat 'is three'?...
>> Kalau Ayang benarkan, boleh juga!... sebab abang mampu untuk ber 'is three'...
>> Ooohhh!... abang mampu!... isterinya memerli.
>> Iyalah... kalau tak mampu takkanlah abang nak ber 'is three' lagi... jawab si suami sambil tersengeh.
>> Ok... tadi abang kata, satu is one, dua is two dan tiga is three (isteri)... dan abang pun mampu nak kahwin tiga tu ya?... Tapi abang pun kena tahu juga, dalam bahawa Inggeris, ada singular dan plurar kan?
>> Tahu!.. singgular maknanya untuk satu dan plurar adalah untuk banyak!.. si suami terus seronok.
>> Betul!... dan dalam ejaan Inggeris, kalau plurar tu selalunya mesti kena tambah huruf 'S' kan? Contohnya, kalau satu buku ejaannya 'book' sahaja tetapi kalau banyak buku, ejaannya ialah 'books' kan?
>> Iya, iya!.. betul!... jawab si suami lagi.
>> Jadi kalau abang kahwin satu, abang 'mampu' tetapi kalau abang kahwin tiga abang kenalah 'mampuS'!... selamba sahaja isterinya berkata... 
>>> Huhuhuhu... si suami menepuk dahinya sendiri!...

Nekcun termenung sebentar sementara nak memahami cerita yang dikatakan oleh Aida itu, sementara kekawan lain semuanya dah tersenyum lebar.
"Iyalah!... kalau lelaki nak tiga isteri (is three), maka dia kenalah 'mampuS' dulu sebab three are plurar... Kam tak dapat tangkap ke joke tu?" Kak Gee menepuk bahu nekcun.
"Oooohhh!.. ya!... betul, betul!.." nekcun segera turut tergelak apabila baru menyedari akan perkataan 'mampu' yang perlu ditambah dengan huruf 'S' itu.
"Hahaha!... pandai-pandai orang lelaki, terkena juga ngan pompuan ya!.. Padan muka!.." Kak Zah yang mungkin dah tak tahan menahan geli hati sejak tadi, tertawa terkekeh-kekeh.

Begitulah kalau sesama perempuan bersembang-sembang. Lebih-lebih lagi bila masing-masing dah masuk umur-umur setengah abad ni... ada sajer cerita yang berkaitan pasal kehidupan rumahtangga yang ditimbulkan. Namun, bagi nekcun selalu suka melihat apa yang kami bincangkan itu dari sudut yang positif dan bukan hanya sebagai 'gosip' yang tidak memberi faedah. Walaupun ianya mungkin bukanlah sesuatu yang serius tetapi sekurang-kurangnya cerita itu dapat menghiburkan kami dan menghindarkan rasa stress ketika melaksanakan tugas masing-masing. Disamping itu, tak secara langsung kita dapat kembali belajar memahami ejaan dan grammer bahasa Inggeris yang betul...

Sekadar berkongsi cerita dengan kekawan...

Wednesday, October 26, 2011

Bukan sekadar ucapan Sayang...

"Aku sayang kamu / dia!.."
"I love you!.."
Pernahkah kita terfikir mengapa seseorang itu mahu melafazkan perkataan 'sayang atau love' dan berapakah pula nilainya perkataan 'sayang atau love' itu kepada kita atau kepada sesiapa sahaja atau apa jua yang menerima ucapan itu? 

Bagi nekcun yang bukanlah seorang falsafah atau pun seorang yang bijak pandai, perkataan 'sayang atau love' itu amat luas dan tinggi nilai serta maknanya. Namun ia tidak akan memberi makna atau nilai apa-apa kalau perkataan itu hanya dilafaz di bibir tanpa diikuti sebarang bukti atau perbuatan atau tindakan yang dapat memberi makna dan nilai terhadap perkataan itu. Perkataan 'sayang atau love' tidak akan memberi apa-apa makna atau nilai sekiranya pengucap dan penerima tidak dapat merasai akan keujudan perkataan itu.

Seorang ibu yang melafazkan sayang pada anak-anaknya, pasti akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan sayangnya itu. Dia akan menjaga dan mendidik anak-anaknya dengan baik supaya anak-anaknya akan sentiasa sehat dan sejahtera. Seorang ibu sanggup tidak makan asalkan anaknya dapat makan. Seorang ibu sanggup tidak tidur malam untuk menjaga anaknya yang sakit hanya untuk memastikan anaknya akan kembali sehat dengan penjagaannya yang rapi itu. Pendek kata, seorang ibu akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mensejahterakan anak-anak yang disayang walaupun dirinya harus menanggung segala kesulitan dan kesengsaraan hanya kerana mahu membuktikan bahawa perkataan 'sayang atau love' yang dilafazkan kepada anak-anaknya itu benar-benar dapat dirasai serta memberi nilai dan makna yang tinggi kepada anak-anaknya.

Begitu juga antara suami dan isteri. Suami yang mengakui dan melafazkan sayang atau love kepada isterinya, perlu membuktikan nilai dan makna perkataan itu dengan segala perbuatannya yang boleh memberi nilai dan makna yang sebenar terhadap perkataan sayang atau love itu. Perkataan itu tidak akan memberi makna atau nilai apa-apa kalau hanya dilafaz di bibir tetapi tiada tindakan lanjut yang boleh dirasa atau dilihat dengan mata kasar akan kesungguhan nilai sayang atau love yang diucap itu.

Bagi pasangan yang bercinta, ucapan sayang / love adalah satu ucapan yang sering menjadi kemestian. Tetapi sejauh mana nilai dan makna ucapan itu dapat dirasa dan dinilai oleh si pengucap dan si penerima? Secara dasarnya kalau kita menyayangi sesuatu itu, sudah pasti kita akan memastikan apa yang kita sayang itu sentiasa selamat, baik dan sejahtera. Jadi bagi pasangan yang bercinta, bagaimanakah bukti sayang atau love itu seharusnya dibuktikan?... Adalah sewajarnya setiap kekasih yang menyayangi kekasihnya harus sentiasa menjaga dan memastikan kesejahteraan kekasihnya, tidak kira dari segi fisikalnya atau pun naluri dan rohaninya, maka barulah ucapan sayang atau love itu akan benar-benar memberi nilai dan makna yang tepat.

Namun apa yang banyak terjadi sekarang ini, ucapan sayang atau love di kalangan pasangan kekasih remaja bagaikan sudah tidak memberi sebarang nilai yang murni apabila ucapan sayang atau love itu bagaikan lesen untuk mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah sehingga ada yang sanggup merosakkan orang yang disayang itu. Nilai sayang atau love itu sudah menjadi terlalu hina di dalam keadaan begitu.

Bagaimanakah pula kita mahu membuktikan nilai dan makna yang sebenar terhadap hubungan kita dengan Allah? Adakah cukup dengan kita mengucapkan "Aku mencintai / menyayangi Allah dan Nabi Muhammad" bagi membuktikan bahawa kita seorang hamba Allah di muka bumi ini?...

Nekcun yakin, semua orang Islam tahu bagaimana kita harus membuktikan sayang kita kepada Allah dan Rasulnya kerana perasaan sayang kita itu tidak akan dapat dilihat dengan mata kasar kalau tanpa bukti yang kukuh. Ianya bukan hanya sekadar melafazkan ucapan 'Dua kalimah Syahadah' tetapi ianya perlu lebih dari itu. Nilai dan makna sayang yang kita ucapkan kepada Allah dan Rasulnya perlu diikuti dengan tindakan-tindakan kita untuk membuktikan perasaan sayang yang kita rasai itu. 

Sebagaimana yang nekcun katakan awal tadi, apabila kita sayang pada sesuatu itu maka kita pasti mahu yang terbaik untuk yang disayang dan rela melakukan apa sahaja sebagai membuktikan perasaan sayang kita itu. Maka ianya adalah sama juga jika kita sayangkan Allah dan Rasulnya. Kita perlu sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja yang menjadi kegemaran / kesukaan Allah dan Rasulnya untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nya.

Tetapi berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja untuk menegakkan ugama yang diredhai Allah ini sebagai membuktikan sayang dan cinta kita kepada Allah dan Rasulnya?... Sebagai membuktikan betapa tingginya nilai sayang yang sering kita ucapkan kepada Nya?... Wallahualam... nekcun sendiri tidak berani mengatakannya kerana nekcun juga hanyalah seorang insan biasa dan juga hamba Allah yang amat kerdil di sisiNya.

Namun nekcun sentiasa berdo'a agar Allah akan terus memberikan Hidayah dan RahmatNya ke dalam hati kita dan setiap umat Islam di dunia ini agar kita akan terus berusaha membuktikan sayang kita kepadaNya dengan mentaati segala ajaran dan hukum-hukum yang telah diturunkanNya untuk kita dan bukan hanya sekadar ucapan di bibir sahaja... InsyaAllah!...   

Tuesday, October 11, 2011

Budget 2012 - Gembirakah kita?...

Naik serak suara nekcun berbincang dengan kekawan seangkatan tentang Budget 2012 yang telah dibentangkan oleh PM minggu lepas. Dah kami pulak yang jadi macam menteri kabinet... lucu juga rasanya.

Tetapi apa yang pentingnya ialah meluahkan apa yang terbuku di hati masing-masing walaupun kami tahu akhirnya tidak ke mana pun hujjah-hujjah kami tu... sekadar menyuarakan apa yang kita risau dan khuatirkan kerana kita adalah anak jati warganegara yang sentiasa ta'at dan setia kepada negara tercinta ini, disamping kita juga adalah pembayar cukai yang agak banyak setiap tahun kepada kerajaan!... Cukai pendapatan. cukai jalan, cukai tanah, cukai pintu, cukai perkhidmatan dan segala macam-macam cukai lagilah!... you name it, we paid it... hehehe... Jadi nekcun rasa tak salah kalau kita menyuarakan apa yang kita rasakan dan kita berhak untuk bersuara kerana kita juga penyumbang yang tidak kurang banyaknya kepada pendapatan negara.

Namun, suka jugalah nekcun berkongsi dengan kekawan semua akan apa yang kami bincangkan tu kerana nekcun rasa ramai rakyat marhain macam nekcun yang hendak tahu sangat dan agak tidak sabar-sabar nak tengok macam manalah agaknya Budget 2012 yang digah-gahkan itu dapat dimanfa'atkan oleh semua gulungan sasaran!... Takut, akhir-akhir nanti hanya indah khabar dari rupa sajer!.. orang miskin tetap susah dan orang kaya semakin banyak mengaut untung!.. Itulah yang amat kami risaukan!..

Salah satu contoh yang hangat kami bincangkan ialah berkenaan bayaran atau hadiah RM500.00 kepada isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM3,000.00 sebulan. Bagaimanakah agaknya kerajaan dapat memastikan semua rakyat yang layak akan dapat menikmati habuan ini?

Berdasarkan dari apa yang dinyatakan oleh PM, bagi rakyat yang layak untuk mendapatkan bayaran hadiah itu mestilah rakyat yang berdaftar dengan LHDN dan urusan bayaran akan diuruskan melalui bank atau pos. Maka terfikirlah kami-kami semua... adakah pakcik/makcik petani atau nelayan di kampung-kampung yang pendapatan mereka tidak sampai RM500.00 sebulan itu telah berdaftar dengan LHDN? Jadi, bagaimanakah kerajaan akan dapat memastikan setiap isi rumah yang layak ini akan dapat dikenalpasti?

Malahan, janganlah kita sebut pasal pakcik/makcik petani atau nelayan... kita tengok sahaja pekerja-pekerja industri (kilang), pengawal keselamatan atau lain2 pekerjaan yang gajinya kurang dari RM2,000 sebulan, kebanyakkan mereka juga tidak mendaftar dengan LHDN kerana pendapatan mereka memang telah terkecuali dan tidak layak dari dikenakan cukai pendapatan. Bukan itu sahaja, bagaimana pula peniaga kecil-kecilan yang pendapatan mereka hanya sekitar RM1,000 - RM1,500 sebulan?... Mereka juga tidak mendaftar dengan LHDN. Jadi macam manakah mereka ini dapat dikenalpasti untuk mendapat bayaran hadiah RM500 yang dijanjikan kerajaan itu? Perlukah semua mereka ini mendaftarkan diri mereka di LHDN pada 1/1/2012 nanti? Mampukah pihak LHDN melayani semua mereka ini kerana nekcun yakin jumlah rakyat yang pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, senang-senang lebih dari 3 - 4 juta sekarang ini. 

Itu belum lagi termasuk gulungan pesara macam nekcun & atok yang tiada pencen bulanan kerana kami bukan 'orang/pekerja gomen' dan sudah pasti pendapatan isi rumah kami adalah di bawah RM3,000 sebulan dan dengan itu juga kami adalah layak untuk mendapat bayaran hadiah RM500 itu. Gulungan yang macam nekcun ni sajer pun dah entah berapa juta jumlahnya... Hak tetap hak dan layak tetap layak, maka gulungan ini juga tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.

Apabila bincang-bincang pasal tu... maka terkedulah kami masing-masing!... Mulalah terfikir, haruskah kita gembira dengan Budget yang digah-gahkan itu atau perlukah kita mencari jalan bagaimana supaya apa yang dijanjikan oleh kerajaan itu bukan hanyalah 'gula-gula' yang membuat kita terliur dengan manisnya sedangkan hakikat sebenarnya akan terus menyakitkan kita rakyat marhain apabila 'hutang' negara semakin bertambah sedangkan segala keuntungan dan kebaikkan dari Budget itu adalah untuk 'gulungan-gulungan' tertentu sahaja.

Sebagai rakyat marhain yang layak untuk sama-sama mendapat segala kekayaan dari bumi tanahair tercinta ini, nekcun rasa adalah wajar untuk kita memikir-mikirkan akan perkara yang dibincangkan itu agar kita dapat membantu insan-insan lain yang benar-benar memerlukan untuk sama-sama menikmati apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan itu... Kalau perlu kita melakukan sesuatu, maka marilah kita lakukannya demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kebaikkan kepada ugama, bangsa dan negara tercinta!... agar kita tidak akan didakwa ketika di hadapan Allah kelak!... Wallahualam...

Tuesday, September 27, 2011

Isteri mendera suami?... Betul ke?...

Bagai nak pecah perut nekcun tergelak bila Kak June cerita pasal kisah2 sensasi yang hebuh dikatakan sekarang iaitu ramai suami-suami yang kena dera oleh isteri-isteri mereka!.. Macam tak percaya ajer nekcun dibuatnya kerana apa yang sering nekcun baca dalam Harian Metro ialah suami-suami yang tak sudah-sudah 'membelasah' isteri-isteri mereka, seperti cerita minggu lepas kalau tak silap nekcun ada satu kes di mana seorang suami sanggup memukul isterinya yang sedang mengandung hanya kerana si isteri menegur suaminya itu supaya tidak selalu sangat lepak dengan kawan-kawannya sehingga lupa waktu solat.

"Betul, Kam!..." Kak June menekankan suaranya seolah mahu meyakinkan nekcun.
"Macam mana si isteri tu dera suaminya? Kuat sangat ke dia sampai boleh membelasah suaminya sehingga cedera tu? Ni mesti kes perempuan tu ada belajar tekwando sampai 'black-belt' ni..." balas nekcun sambil terus tertawa terkekeh-kekeh.
"Kak June tak tahulah pulak macam mana perempuan tu membelasah suaminya, tetapi apa yang Kak June dengar tu, suaminya memang cedera kerana didera oleh isterinya!..." ujar Kak June memberitahu.
"Huh!... kalau camtu memang terror lah perempuan tu!..." balas nekcun lagi kerana memang nekcun kagum dengan keupayaan wanita yang boleh 'membelasah' lelaki. 
"Mungkin perempuan tu dah tak tahan lagi dengan perangai suaminya agaknya!... Jadi mungkin dia sudah naik histeria lalu membelasah suaminya!... kerana orang yang kena histeria memang kuat tenaganya!..." Kak Gee yang hanya mendengar sejak tadi menyampuk.
"Mungkinlah agaknya!.." Kak June menyetujui sambil mengangguk-ngangguk.
"Itulah salah satu tanda akhir zaman agaknya!.." nekcun menambah.
"Tak tahulah apa nak jadi dengan masyarakat kita di Malaysia sekarang ni... sana sini kita dengar orang mengamuk, bergaduh, dan bunuh membunuh tu dah macam perkara biasa sahaja!... Heeehh... takut pulak rasanya ya!..." Kak June menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tak setuju benar dengan keadaan sosial sekarang ini.
"Eeemmm... entahlah!... Macam dah tak ada iman atau ugama lagi agaknya semua mereka tu!.." Kak Gee turut menyuarakan kebimbangannya.
"Itulah akibatnya apabila kehidupan kita hanya berlandaskan keperluan duniawi sahaja!... Orang sentiasa sebuk mencari harta dan keperluan hidup di dunia sahaja tanpa mengujudkan Allah dalam setiap perlakuan mereka!... Apa yang mereka kejar adalah duit, duit, duit dan keseronokkan kehidupan yang sementara ini sahaja!... Mereka jadi lupa akan dosa dan pahala apabila hanya mengejar kehidupan dunia yang mereka tidak sedar hanya sebuah pentas yang tidak mampu memberi ketenangan dalam hati mereka sebaliknya lebih memberi tekanan kepada jiwa mereka sehingga membuatkan mereka hilang pertimbangan jika apa yang mereka kehendakki terhalang!.. Kita tidak sedar bahawa ramai orang yang sedang sakit jiwa sebenarnya sekarang ini dan sebab itulah terlalu banyak masaalah sosial dan jenayah yang berlaku di Malaysia sekarang!.." Kak Zah yang hanya mendiam sejak tadi menyuarakan pendapatnya.

Secara dasarnya nekcun memang setuju dengan apa yang dikatakan oleh Kak Zah itu. Apabila kita terlalu mengejar dunia, kita akan jadi stress kalau apa yang kita kejar itu tak dapat. Dunia ini adalah ibarat bayang-bayang, lagi kita mengejarnya, lagi jauh dia menyasarkan kita dan akhirnya kita juga yang akan kepenatan kerana pastinya kita tidak akan dapat menangkap bayang-bayang dan tidak mustahil juga kita mungkin akan tersungkur kalau kita tidak dapat mengawal kepenatan yang dialami oleh hati dan jiwa ketika mengejar dunia yang hanya sementara itu. 

Ianya amat berbeza jika kita menjadikan akhirat sebagai destinasi yang kita kejar kerana akhirat itu adalah yang kekal. Apabila kita mengejar akhirat sudah pasti kita akan mengujudkan Allah dalam hati kita dan juga pada setiap perbuatan kita di dunia ini kerana kita tahu bahawa Allah yang akan menunggu kita di akhirat kelak. Jika hati dan jiwa kita penat ketika mencari kehidupan di dunia ini, kita boleh memohon kepada Allah untuk membantu kita kerana kita yakin Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pemurah apabila kita telah mengujudkan NYA di dalam hati kita. Tetapi bagi mereka yang hanya mengejar dunia dan tidak pula kesah untuk mengujudkan Allah dalam hati mereka, bagaimanakah mereka mahu memohon pertolongan Allah sedangkan mereka tidak mengenal atau mengingati Allah menurut cara yang sepatutnya? 

Begitu jugalah kehidupan suami isteri dan rumah tangga. Kalau kita banyak menjadikan akhirat sebagai destinasi yang kekal untuk rumah tangga kita, maka sudah pasti kita akan berusaha melaksanakan tanggungjawab kita berlandaskan ajaran Allah yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadith disamping Sunnah-sunnah Rasulullah. InsyaAllah, pastinya rumah tangga kita akan kekal bahgia sehingga ke akhirnya apabila setiap kita menjadikan Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Khadijah sebagai 'role model' kita. 

Namun apabila suami atau isteri tidak menjadikan Al-Quran dan Hadith sebagai panduan di dalam melayari bahtera rumah tangga, maka tidak hairanlah apabila bahtera mereka 'karam dan hancur' sebelum sempat sampai ke destinasi yang kekal di akhirat kelak. Dengan sebab itu jugalah maka sekarang ini sering benar kita dengar berbagai cerita yang memualkan dan menakutkan tentang kehancuran institusi kekeluargaan dan rumah tangga di Malaysia ini. Nauzubillah!...

Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya masaalah sosial dan jenayah yang kian meningkat di kalangan masyarakat Islam akibat dari kehancuran institusi kekeluargaan dan rumahtangga?... Bertamadunkah kita apabila setiap hari terdapat bayi-bayi yang dibunuh / dibuang seperti zaman jahiliah dulu?... Berbaloikah kita menjadi rakyat di dalam negara yang kononnya sudah maju dan setanding dengan negara-negara barat?... Apakah tindakan Pemimpin negara, Ahli Ugama/ Para Ulama, Ibu bapa dan diri kita sendiri di dalam menangani masaalah ini?... Marilah kita sama-sama fikir-fikirkan supaya kita tidak akan didakwa ketika bertemu dengan Allah kelak!... Wallahualam...   

Wednesday, September 14, 2011

Apa seronoknya ketika berhari raya?....

Alhamdulillah... sudah hampir setengah bulan kita menyambut Syawal sebagai tanda kemenangan kita melaksanakan ibadah Puasa ketika di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan itu.

Aturcara nekcun dan atok sentiasa penuh dengan undangan 'open house hari raya' hampir setiap hari sehinggakan kekadang tak tahu yang mana satu nak diutamakan dahulu. Kalau pergi rumah yang ni dulu, nanti kawan yang satu lagi pula kecil hati bila kita menjamah sedikit sahaja makanan yang dihidangkan... Nak makan sakan-sakan, takut pula perut nekcun & atok dah tak larat nak terima... Maklumlah kalau dah umur-umur emas ni... makan sikit jer dah rasa sebu perut dibuatnya!... Jadi terpaksalah nekcun dan atok berpada-pada ketika menjamu selera walau di mana sahaja...

Tapi apa-apa pun nekcun amat-amat bersyukur kepada Allah di atas rezeki yang dikurniakan ini... Bayangkan sahaja kita di Malaysia ni, makan sampai tak cukup-cukup perut tetapi saudara kita di Somalia, langsung tak ada apa yang nak dimakan!... Dan kerana itu jugalah nekcun tidak mahu membazir makanan yang telah dihidangkan pada nekcun & atok. Sebolehnya kami akan cuba untuk tidak membazirkan makanan itu. Tambahan ada ustaz memberitahu bahawa setiap makanan yang diberi Allah pada kita itu ada rahmatnya masing-masing, maka janganlah kita membazir makanan kerana kita tidak tahu mungkin makanan atau butir-butir beras yang kita buang itu adalah makanan yang banyak Rahmatnya untuk kita.

Namun bagi nekcun dan atok, apa yang seronok pada hari raya ni ialah apabila semua anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu berkumpul di rumah nekcun. Memang nekcun & atok bahgia sangat kalau mereka semua berkumpul di rumah nekcun kerana telatah cucu-cucu nekcun yang walaupun kekadang tu boleh buat nekcun 'semput nafas' tetapi nekcun & atok tetap rasa amat seronok dan bahgia dikelilingi oleh mereka yang sentiasa manja dengan kami.

Nekcun juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat blogger kita... Maza, yang sudi datang bertandang ke teratak nekcun pada hari Sabtu yang lalu ketika semua anak2, menantu2 dan cucu2 nekcun juga ada berkumpul di teratak nekcun. Apalagi... sempat kami semua ber'posing' dengan kamera Maza!.. Lihat sajerlah telatah mereka yang mencuit hati tu!... 

Bagi kekawan bloggers yang lain, nekcun juga amat mengalu-alukan kedatangan kekawan semua ke teratak nekcun sekiranya kekawan ada kelapangan. Tak kiralah samada semasa bulan Syawal ini atau pun pada bila-bila masa kerana nekcun memang rasa amat seronok kalau kekawan sudi datang. Ada ustaz memberitahu bahawa "Tetamu yang datang ke rumah kita membawa rezeki dan tetamu pulang membawa pergi segala kejahatan". Sebab itulah nekcun dan atok amat suka kalau ada tetamu yang sudi datang ke teratak kami!... Wallahualam. 

p/s: Maza, datang2lah selalu ke teratak nekcun, boleh kita 'posing-posing' lagi... hehehe...

Friday, August 26, 2011

Dapatkah kita bertemu lagi?... InsyaAllah!...

Tanpa terasa penat atau lelah, sudah 25 hari Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Belum puas rasanya mengiratkan ukhwah bertarawikh di masjid bersama jiran-jiran sekeliling, namun malam-malam yang penuh keberkatan dan rahmat itu akan tetap meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.

Oh!.. terlalu cepat masa berlalu dan semakin singkat pula usia kita di dunia ini... Entah dapat entah tidak kita bertemu lagi Ramadhan yang mulia ini di tahun hadapan... Hanya Allah yang mengetahuinya!... Dan entah sudah turun ke atau belum malam rahmat yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam LailatulQadar itu dalam Ramadhan kali ini, kita juga tidak mengetahuinya kerana hanya insan-insan yang Allah pilih sahaja yang dapat bertemunya!... Adakah kita termasuk insan-insan yang terpilih itu?... InsyaAllah!... Itulah harapan kita semua kan?... Do'a nekcun semoga kita semua akan menjadi insan-insan yang Allah redhai dan perkenankan untuk bertemu malam yang penuh rahmat itu di dalam beberapa hari yang tinggal ini!... Amiiinnnn...

Dikesempatan ini, ingin nekcun mengucapkan  SELAMAT HARI RAYA DAN MA'AF ZAHIR BATIN kepada semua kekawan yang mengenali nekcun. Mungkin juga dalam tanpa sedar, ada entry-entry nekcun yang telah menyinggung perasaan kekawan dan pembaca budiman, maka nekcun menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan ma'af dari semua kekawan dan pembaca yang sering memberi sokongan kepada penulisan nekcun, samada di blog ini atau pun pada novel-novel nekcun. Semoga segala kema'afan kekawan dan pembaca semua akan dapat menghindarkan nekcun dari seksaan api neraka dan mendapat keredhaan Allah untuk ke Syurga Firdaus di akhirat kelak. 

Bagi kekawan dan pembaca yang akan bermusafir ketika merayakan Edilfitri nanti, berhati-hatilah di jalan raya dan ingatlah selalu insan-insan yang tersayang... Teruskan bertakwa kepada Allah tanpa menjejaskan kemeriahan menyambut Syawal yang akan menjelang. Semoga selamat semuanya!... Wassalam... 

Sunday, August 7, 2011

Mencari Kerahmatan NYA...

Pejam celik pejam celik, tak sedar dah seminggu kita berada di dalam bulan Ramadhan yang barakah ini. Terasa baru semalam nekcun berbicara dengan kekawan seangkatan tentang kasih sayang Allah yang bersedia untuk menerima segala rekod amalan kita semasa malam Nisfu Sya’ban, dan kini hampir tiba pula malam yang lebih rahmat dari segala malam iaitu Malam Lailatulqadar.

Nekcun amat bersyukur kerana menjadi umat Nabi Muhamad SAW yang mana terlalu banyak Rahmat Allah yang telah Allah peruntukkan kepada semua umat Nabi Muhamad SAW berbanding dengan umat-umat Rasul-rasul sebelum baginda.

Walaupun mungkin kita tidak dapat melakukan ibadah yang banyak berbanding dengan umat-umat sebelum Nabi Muhamad SAW kerana umur umat Nabi Muhamad SAW tidaklah sepanjang umur umat-umat terdahulu, tetapi Allah telah memberi kerahmatan NYA yang tidak terhingga kepada semua umat Nabi Muhamad iaitu Rahmat Malam Lailatulqadar

Nekcun tidak mahu berhujjah panjang tentang Rahmat Malam Lailatulqadar itu kerana nekcun yakin semua kita sudah tahu benar akan rahmat dan keberuntungan insan-insan yang dapat menemuinya. Oleh itu marilah kita sama-sama mencari malam yang penuh kerahmatan itu dengan memastikan ibadah puasa kita sekarang ini benar-benar diterima Allah SWT dan apabila kita keluar sahaja dari bulan yang barakah ini kita akan tetap terus mendapat keberkatan dan rahmat Allah itu sehingga ke akhir hayat kita. Teruskanlah melaksanakan semua amalan-amalan soleh disamping amalam khusus yang kita laksanakan sekarang walaupun kita telah keluar dari Madrasah Ramadhan ini kelak. (Kecuali solat Tarawikh laa…)

Dikesempatan ini juga nekcun ingin memohon ampun dan ma’af dari semua kekawan yang mengenali nekcun sekiranya ada kata-kata atau tingkah laku nekcun yang pernah menyakiti hati kekawan semua semasa kita bersiratulrahim ini. Semoga siratulrahim yang dibina akan kekal hingga ke akhir hayat dan mendapat keberkatan dari Allah SWT dan segala amalan kita akan diterima NYA. Amin…

Sunday, July 10, 2011

Alahai... Warna kuning pula yang difobiakan!...

Nekcun tergelak macam nak pecah perut pagi tadi ketika anak bungsu menegur ayahnya yang hendak pergi 'menebas' supaya menukar T-shirt yang dipakai ayahnya itu.

"Ayah!.. jangan pakai T-shirt warna kuning!.. tukarlah T-shirt warna lain!.." jerit si anak.
"Kenapa pulak tak boleh? Selama ni ayah pakai tak apa-apa pun!.." jawab si ayah selamba.
"Nanti polis tangkap!.. semalam ramai orang pakai T-shirt kuning ngan merah kena tangkap!.." ujar si anak lagi.
"Alaah!... itu semalam!.. semua dah bersih dah!.." balas si ayah lagi sambil tersenyum nakal penuh maksud tersirat.
"Kenapa Ji? Apa yang bersih?.." tiba-tiba kedengaran kawan atok yang sedang menunggu atok di hadapan rumah bertanya apabila terdengar atok menjawab kata-kata anaknya tadi.
"Tak ada apa!.. duit gaji dah bersih sebab isi petrol full tank semalam!.." jawab atok sambil tertawa kecil sengaja mahu mengusik kawannya yang memang selalu pergi 'menebas' dengan dia dan mereka selalu bertukar-tukar kereta mengikut giliran untuk menjimatkan petrol.
"Hah, uncle pun pakai baju kuning juga ke? Eh!.. kena tukarlah, uncle!.." anak nekcun tu menegur kawan atok pula apabila baru perasan dia pun pakai T-shirt kuning juga.
"Laa... pasal apa kena tukar!.. Hari ni uncle dengan ayah ada tournerment dan kumpulan kami dah diperuntukkan T-shirt warna ni... mana boleh tukar-tukar!.." jawab kawan atok sambil mengerutkan dahinya seolah hairan dengan saranan anak bungsu nekcun itu.
"Iya ke? Nanti kalau polis tahan uncle kena cakap macam tu tau supaya polis tahu ayah ngan uncle bukan nak pi mana-mana tapi nak pi main!.." anak nekcun dengan muka seriusnya seolah mengingatkan.
"Pasal apa pulak nak kena tangkap?... Uncle beli baju ni mahal tau!.. bukannya dapat free!.." sambil terus tersenyum, kawan atok tu seolah sengaja mahu menduga anak bungsu nekcun tu..
"Hahaha... uncle sajer nak usik saya kan?... Saya pun sajer jer nak gurau ngan ayah dan uncle pasal warna T-shirt ni sebab sekarang ni kan warna kuning ni tengah populsr dan sensitif!..." akhirnya anak nekcun tergelak kerana tak tahan menahan rasa geli hati kerana dapat mengusik ayah dan kawannya itu.

Eeemmm... entahlah!.. nekcun pun agak pelik dan hairan sekarang ni bila ada sesetengah golongan orang tu boleh jadi sensitif tak tentu hala pasal warna. Tak lama dulu nekcun masih ingat, orang-orang ni amat sensitif dengan warna hijau sehinggakan kain pakaian seragam anak-anak sekolah ugama warna hijau dipaksa untuk ditukar ke warna merah. Dan sekarang ni pulak warna kuning, sehinggakan sesiapa yang pakai warna kuning boleh ditahan untuk disoal siasat.

Nekcun bukanlah menyebelah mana-mana pihak kerana nekcun hanyalah seorang rakyat marhain dan bukannya orang politik. Tetapi bila ada gulungan-gulungan orang yang begitu sensitif pasal warna kuning tak tentu hala dalam seminggu yang lepas ni, nekcun agak kesal juga kerana sebagai Rakyat Malaysia yang Merdeka, adakah menjadi satu keraguan atau kesalahan kalau kita berjalan di mana-mana di tanah air sendiri terutamanya di ibu negara tercinta ini dengan memakai baju warna kuning? Bagi nekcun, ini tanah airku, aku rakyat yang merdeka dan apa pakaian ku adalah hak aku, jadi mengapa perlu ada sekatan yang sedemikian rupa?...

Eeemmm... entahlah!.. malas betul nekcun nak memikirkan perkara-perkara yang tak tentu hala tu!.. Tetapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, nekcun rasa kena jugalah nekcun ambil tahu sedikit sebanyak perkara yang memualkan itu. Sekurang-kurangnya untuk nekcun membuat sebarang kesimpulan yang mana betul dan yang mana salah ketika tiba masanya nanti. 

Kekadang nekcun terfikir juga, mengapakah kekadang tu sesetengah gulungan orang perlu melebelkan warna-warna tertentu sehingga menjadikan satu-satu warna itu amat sensitif dan ditakuti terutamanya di dalam kancah drama politik di negara kita sekarang ini, sedangkan warna-warna itu tidak bersalah apa-apa.

Nekcun teringat kata-kata seorang ustaz ketika nekcun menghadiri kuliah ilmu: Kita jangan sekali-kali takut kepada sesama makhluk Allah dan kita hanya perlu takut kepada Allah sebab Allah yang menciptakan semua yang ada di dunia ini. Jadi, kita jangan takut pada warna kuning ke, hijau ke atau biru ke kerana semua itu boleh bertukar pada bila-bila masa kalau Allah mengkehendakkinya. 

Nekcun juga teringat kata-kata seorang kawan yang mengatakan mengapa ada gulungan orang-orang yang benci warna hijau hinggakan seolah fobia atau pun allergic sangat pada warna hijau, dan kini mungkin gulungan orang yang sama juga akan fobia atau allergic pada warna kuning pula? Bukankah warna hijau itu warna di syurga!.. Warna hijau juga warna yang Allah suka dan sebab itulah Allah jadikan semua pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan sehinggakan menjadikan semua gunung ganang juga kelihatan berwarna hijau, dan mengikut kajian saintifik pula warna hijau adalah warna yang baik untuk pandangan mata.

Jadi mengapa mesti fobia pada warna hijau dan kuning kerana apa yang pasti yang telah Allah tunjukkan selama ini ialah dari warna kuning selalunya ia akan bertukar kepada hijau. Tak percaya?... Cubalah tengok kalau pada musim kemarau, rumput-rumput akan layu dan bertukar menjadi warna kuning, tetapi apabila kemudian Allah menurunkan hujan untuk menyegarkan rumput-rumput itu ianya akan kembali bertukar kepada warna hijau!.. Hah... betul tak?... Itulah kuasa Allah namanya. Jadi kita mesti yakin pada kuasa Allah yang boleh menciptakan atau menukarkan apa sahaja yang dikehendakkinya.

Nekcun juga masih ingat semasa sekolah dahulu. Semasa nekcun di kelas lukisan dan bila cikgu suruh mewarnakan lukisan menggunakan cat warna basah, cikgu selalu kata: Siapa tiada warna hijau boleh buat sendiri dengan mencampurkan warna kuning dan biru kerana apabila kuning dan biru dicampurkan ia akan menghasilkan warna hijau!... Hahaha... kalau kekawan tak percaya, cubalah buat sendiri!... 

Jadi secara kesimpulannya, bagi nekcun warna hijau adalah ketua bagi segala warna kerana salah satu sebabnya ialah warna hijaulah yang akan kekal hingga ke syurga kelak... Wallahualam!... Jadi janganlah kita terlalu taksub pada satu-satu warna atau fobia pada satu-satu warna lain pula!.. Semuanya adalah hak Allah jadi kita sebagai hambanya harus menghargai semua kejadian yang Allah ciptakan di dunia ini.... Wallahualam...

p/s: Harap janganlah ada pulak kekawan yang marah atau terasa hati bila membaca N3 nekcun ini kerana nekcun hanya menyuarakan apa yang nekcun rasakan secara peribadi dan tidak melibatkan sebarang atau sesiapa samada yang masih hidup atau yang sudah mati...   

Monday, July 4, 2011

Menantu ku Imam Muda... InsyaAllah!...

Ketika berehat seketika sementara mahu masuk kelas kedua pagi tadi, sempat nekcun bersembang dengan beberapa rakan sekumpulan. Banyaklah isu yang timbul, dari isu bersih tak bersih, isu isteri kena dera dan macam-macam isu semasa yang timbul. Maklumlah bila ibu-ibu yang berbual maka banyaklah asam garam yang akan menyedapkan lagi isu yang dibincangkan.

Dalam pada kami sedang rancak berbincang itu, timbul pula cerita pasal hikmah Isyra' Mikraj yang baru berlalu. Memang banyak perkara yang boleh menginsafkan kami serta merta apabila hikmah Isyra Mikraj dibincangkan kerana memang banyak pasal isu wanita yang Junjungan kita Nabi Muhamad SAW ceritakan ketika di dalam Isyra' Mikraj itu.

"Itulah yang paling kita takut ya!.. Janganlah kita termasuk dalam gulungan wanita-wanita yang akan dicampakkan ke dalam neraka!.. Na'uzubillah!.." Kak June berkata.

"Tapi, ingat tak macam ustaz kata tu, sebenarnya orang perempuan ni senang sahaja nak masuk syurga berbanding orang lelaki. Kita jaga solat, jaga maruah diri dan ta'at pada suami / ibu bapa... maka bolehlah kita masuk syurga!.." Kak Gee pula menerangkan.

"Betul!... tapi itulah yang ramai orang perempuan lupa!.. Sedangkan nak tutup aurat pun ramai perempuan yang tak sanggup nak buat, habis camna?..." Ani yang duduk di sebelah nekcun menyampuk. 

"Eeemmm... itulah tu!.. Kekadang tu, semua tu pun sebab ibu bapa yang kurang menerepakan nilai-nilai Islam pada anak-anak. Sepatutnya anak-anak perlu didedahkan kepada syariat Islam yang baik sejak dari kecik lagi, macam cerita Ustaz yang berjaya jadi Juara Imam Muda 2 tu... emak dia didik dia dengan nilai-nilai Islam sejak dari kecil lagi. Walaupun ayahnya telah meninggal sejak dia kanak-kanak tetapi dia boleh jadi seorang insan yang mulia hari ini kerana fahaman Islam yang kuat sudah sebati dalam dirinya sejak awal!.." nekcun ambil peluang menyampuk.

"Betullah!... Hei... sejuk perut emak dia mengandungkan dia!... alangkah seronoknya kalau kita ada anak-anak yang soleh macam tu kan!.." komen Kak June pula.

"Eeemmm... betullah Kak June!.. Saya pun teringin juga nak ada anak jadi Imam macam tu. Walaupun InsyaAllah anak lelaki yang ada ni adalah juga anak-anak yang soleh, tetapi kalau dapat yang bagus macam Imam Muda tu, lagi seronok rasanya!.." Ani meluahkan perasaannya.

"Eeemmm... saya kalau dapat menantu macam Imam Muda tu pun, Alhamdulillah yang amat sangat!... Minta-mintalah anak dara saya nanti dapat jodoh dengan lelaki yang soleh macam Imam Muda !..." nekcun juga mengharapkan hanya baik-baik untuk anak-anak nekcun.

"Hei Hajjah, Imam Muda Hassan  tu masih bujang lagi tau!... So, ada chance lagilah untuk buat calon menantu!.." tiba-tiba Kak Gee mencadangkan sambil tersenyum lebar.

"Betul, betul!... kami semua dah tak ada anak dara, dan Ani pula anak daranya masih kecil lagi, jadi Hajjah sajerlah yang boleh cuba untuk buat calon menantu!.." sambil terkekeh Kak June turut mengusik nekcun.

Kelihatan Ani yang tersengeh dari tadi turut tertawa terkekeh-kekeh.

"InsyaAllah!.. tolong-tolonglah do'a agar saya dapat Imam Muda Hassan itu sebagai menantu. Kalau tak dapat dia, dapat yang soleh dan bijak macam dia pun, jadilah!.." balas nekcun sambil turut tertawa riang kerana nekcun tahu semua kekawan nekcun tu memang suka bergurau.

Walaupun kekawan nekcun mungkin menganggap apa yang dikatakan pada nekcun itu hanyalah satu gurauan, tetapi bagi nekcun itu adalah sesuatu yang memang sentiasa nekcun harapkan dan do'akan agar dapat dikurniakan oleh Allah iaitu anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu yang soleh & solehah yang boleh membahgiakan, mensejahterakan, menggembirakan, mengkayakan (pahala & amalan yg boleh di bawa ke akhirat) dan memuliakan nekcun dan atok dari dunia sampai akhirat kerana setiap anak Adam itu akan putus segala hubungannya dengan dunia apabila dia mati melainkan 1) Ilmu yang manafa'at 2) Amalan soleh 3) Do'a anak yang soleh & solehah... Wallahualam...

Sunday, June 26, 2011

Luas Pandangan, Banyak Kenangan...

Huh!... letih betul bila hampir tiga minggu tak berhenti menjelajah satu Semenanjung!.. Mula-mula dari KL ke Johor, kemudian naik balik ke Melaka dan Negeri 9. Rehat di rumah dua hari, mula pulak ke Perak, Penang, Kedah, Kelantan, Trengganu dan Pahang. Tapi... nak buat macam mana... takut jugak kalau atok pergi sorang-sorang lama-lama macam tu tak ditemankan!.. Kang kalau dia dapat teman lain, lagi haru nekcun dibuatnya!... hehehe...

Di masjid Kristal, K.Tgnu

Kekadang itulah kehidupan kita ini. Ingatkan bila atok dah bersara ni dapatlah lebih masa nak berehat-rehat di rumah sambil-sambil membelai pokok bunga atau ikan di kolam, rupanya masih ada lagi sahabat-sahabat atok yang mahukan atok untuk membantu tugas-tugas mereka di merata tempat. Itu pun rezeki juga namanya kan?.. Jadi mahu tak mahu, sebagai isteri mithali dan solehah (InsyaAllah), nekcun kenalah ikut juga ke mana atok pergi!..

Di masjid Besut / Jertih

Bagi nekcun, ke mana sahaja kita pergi pasti ada hikmah Allah untuk kita. Oleh itu nekcun memang suka bermusafir ni kerana lagi jauh perjalanan lagi luas pandangan, lagi ramai kenalan dan lagi banyak pengalaman yang boleh dibuat kenangan. Biarlah badan letih sedikit tetapi hati tetap tenang dan seronok bila kita dapat menikmati & menghayati keindahan alam kejadian Allah ini ketika kita bermusafir walau di mana jua... 

Thursday, June 2, 2011

Buah Durian macam Harga Emas?...

Setelah beberapa hari berada di kampong halaman di Kedah, petang semalam nekcun terpaksa ke Mydin Hypermarket kerana banyak barang-barang dapur yang dah habis. Selalunya nekcun membeli barang-barang dapur pada hujung bulan sahaja tetapi minggu lepas nekcun tak sempat nak ke pasaraya kerana terpaksa balik kampung, ada kenduri kahwin anak saudara rapat.

Ketika memilih barang-barang tu, nekcun terpandang gerai menjual buah durian yang sudah dikopek. Nekcun yang memang 'hantu' buah durian, segera pergi menjenguk kerana bau buah durian tu memang bagaikan menggamit-gamit selera nekcun. Namun nekcun jadi agak terkejut apabila melihat harga yang tertera pada packet buah durian yang sudah di kopek yang hanya mengandungi anggaran 4 atau 5 ulas sahaja iaitu RM24.00 se packet. Oh!.. ini betul-betul sudah jadi buah 'emas'... kalau 4 - 5 ulas berharga RM24.00, berapa pula harga sebiji durian? Lebih RM40.00? Lebih mahal dari harga sekampit Beras Bernas 10 kg yang berharga dalam lingkungan RM35 ke RM40.00 sahaja.

Nekcun menarik nafas dalam-dalam sambil menjilat tapak tangan supaya jangan kempunan. Tetapi... memang nekcun pun tak rasa kempunan kerana ketika di kampung di Kedah, nekcun dah puas makan durian sampai tak larat nak habis. Dah tu, bukan takat buahnya elok dan manis, fresh dari pokok lagi!...

Kekawan tak caya?... tengoklah gambar nekcun dekat pokok durian yang terdapat di kebun mertua nekcun tu... Boleh capai dan pegang-pegang lagi youuuu....

Memang selalu pun cam tu lah... kalau nekcun dan atok teringin sangat nak makan durian yang best-best dan free, kami akan tunggu bila musim durian di kebun mertua di Sg. Petani, Kedah. Kebetulan ketika balik kampung baru-baru ni, buah durian tu memang sedang luruh, jadi apalagi... raya durianlah kami anak beranak!..

Yang seronoknya, pokok-pokok durian di kebun mertua tu bukanlah jauh sangat dari rumah, hanya di keliling rumahnya sahaja. Dari dalam rumah pun kekadang boleh dengar durian jatuh. Dah tu pokoknya pulak rendang-rendang semuanya kerana apa yang orang selalu kata 'pokok durian kahwin / durian tot'. Namun isinya tetap cantik, tebal, manis, lemak dan bijinya kecil sahaja. Nekcun rasa kalau di KL ni, durian yang sebegitu mau harganya mencecah RM40 ke RM50 sebiji kerana dalam sebiji durian tu kekadang isinya terdapat sampai 10 ke 15 ulas.

Dengan berita baru-baru ini yang mengatakan durian akan dieksport secara besar-besaran ke Cina, nekcun tidak hairanlah kalau harga durian akan jadi macam harga 'emas'. Nasib baiklah kebun mertua di kampung ada banyak pokok durian, jadi tak kempunanlah nekcun & atok nak makan durian kalau pun harganya akan menjadi harga emas kelak!...

p/s: The next potential high return investment on agricultural product is "Buah Durian". Jadi marilah kita ramai-ramai mulakan menanam buak durian di sekeliling rumah!.. hehehe... 

Wednesday, May 18, 2011

Rezeki dan Keredhaan Allah SWT...

Di hadapan Queen Alia airport, Jordan
Alhamdulillah, setelah lebih dua minggu nekcun dan atok menjelajahi beberapa negara untuk menikmati dan menghayati keindahan alam kejadian Allah SWT disamping mencari keredhaanNYA di Baitullah, maka kami telah pun selamat kembali ke rumah dua hari yang lalu.




Di hadapan Golden Tulip Hotel, Jordan
Masih mamai kerana agak sukar untuk menyesuaikan kembali waktu tidur yang telah pun banyak berubah masanya ketika di perantauan, disamping perubahan cuaca dan suhu yang bertukar secara mendadak antara satu negara ke negara yang lain amat banyak mempengaruhi keadaan kesihatan nekcun dan atok untuk dua hari ini. Ditambah pula dengan masa penerbangan yang agak panjang dan bertukar-tukar pesawat, telah memudahkan lagi kami diresapi 'jet-lag' ketika sudah sampai di rumah.                                                                                          

Baru sampai di airport Artartuk, Istanbul
 Itu jugalah yang buat nekcun agak berat hendak membuka kelopak mata bila terdengar azan yang berkumandang dari musolah yang berhampiran rumah nekcun untuk dua hari ini. Namun nekcun kuatkan juga semangat, melawan hasutan syaitan yang memang seronok melihat kita terlalai begitu. Alhamdulillah, hari ini nekcun telah berjaya kembali ke situasi asal dari segi emosi dan jasmani.

Merantau dan menziarahi tempat-tempat asing ini memang menyeronokkan. Tambahan lagi kalau tempat-tempat yang banyak mempunyai sejarah Islam. Malahan dalam Islam juga digalakkan untuk umatnya merantau dan menziarahi tempat-tempat asing bagi menghayati dan mengagungkan kebesaran Allah di dalam mencipta segala kejadian di dunia ini. 


Di hadapan hotel di Bursa, Turki. 

Di hadapan Blue Mosque, Istanbul.
  Alhamdulillah, nekcun juga mengucap syukur kepada Allah yang tidak terhingga kerana telah memberi nekcun kesihatan tubuh badan yang baik dan rezeki yang luas bagi membolehkan nekcun, atok dan kekadang diiringi keluarga menziarahi hampir ke semua benua asing yang terdapat di muka bumi ini. Walaupun ada beberapa lagi negara yang masih tidak sempat nekcun dan atok ziarahi dan InsyaAllah, kalau dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan disehatkan tubuh badan, memang nekcun dan atok bertekad untuk merantau lagi ke negara orang sambil mencari keredhaan Allah SWT.


Bersama rakan di kedai buat sausage
 Nekcun teringat kata-kata seorang ustaz bahawa harta kekayaan yang kita ada tidak akan pasti menjadi milik kita sehinggalah kita membelanjakannya untuk keperluan diri kita sendiri seperti membeli makanan yang kita makan, membeli pakaian yang kita pakai atau pun sedekah yang kita hulurkan atas nama Allah. Maka dengan itu jugalah nekcun dan atok selalu terfikir untuk menziarahi tempat-tempat orang disamping mencari keredhaan Allah SWT kerana kalau pun disimpan duit yang ada itu belum tentu akan jadi milik nekcun dan atok, sekiranya kami meninggal dunia sebelum sempat menggunakannya. Jadi sementara umur masih ada ini, eloklah kami menggunakan rezeki itu sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya pahala dan keredhaan Allah itu akan kekal jadi milik kita sampai ke akhirat.


Di hadapan Masjid Nabawi, Madinah.


Di hadapan Baitullah, Masjidilharam.

Minum2 di Felda D'Saji, Al-Safwa Tower, Mekah
 Nekcun percaya bahawa rezeki itu Allah yang menentukannya. Maka gunakanlah rezeki yang ada hari ini pada jalan yang diredhai Allah, maka pasti Allah akan menggantikan atau menambahnya dengan lebih barakah lagi, InsyaAllah!..

Monday, April 25, 2011

Susu Ibu atau Ibu Susuan...

Pagi tadi nekcun agak terlewat sedikit pergi untuk menjalankan tugas rutin nekcun. Bila dah lambat tu, biasalah... macam lipas kudunglah nekcun dibuatnya. Pandu kereta pun, kalau takat lampu kuning tu sempat pecut lagi. Nasib baiklah semasa nekcun sampai tu, just in time untuk nekcun menjalankan tugas-tugas nekcun. Jadi tidaklah nekcun terpaksa bersoal jawab dengan sesiapa yang berkenaan.

Selesai projek yang nekcun perlu uruskan itu, seperti biasa nekcun dan beberapa orang kawan-kawan nekcun pun berehat-rehat sambil berbual-bual kosong melepaskan stress sementara nak pergi lunch.

"Heh!.. nampak kalut sangat tadi, Hajjah lambat, kenapa?" Kak June bertanya.

"Haah!.. seminggu dua ni agak kalut sikit kerana pagi-pagi kena mandikan cucu baru dulu!.." jawab nekcun sambil melepas lelah.

"Oh!.. iyalah lupa pulak... Hajjah baru dapat cucu sorang lagi ya?" Kak Che Amar mencelah.

"Eemm... seronok dapat cucu ni.. walau pun penat tapi bila tengok mata dia kelipok-kelipok, lega rasa hati!.." balas nekcun, seronok.

"Cucu nekcun okey ke? Tak ada jaundice ke?" soal Kak June lagi.

"So far so good!.. Alhamdulillah... sebab dia 100% menyusu ibunya!.. " balas nekcun lagi.

"Eeemm... memang pun... kalau bayi yang menyusu badan emaknya 100% akan kurang terkena jaundice. Lagi pun susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi.." ujar Kak Che Amar.

"Tapi ramai ibu-ibu yang tak mahu menyusukan anak-anak mereka, takut badan tak cantiklah, tak cukup air susulah dan macam-macam lagilah alasan mereka!.." Kak June pula mengkomen.

"Sebab itulah anak-anak sekarang ramai yang tak ingat mak bapak bila besar sebab mereka lebih banyak minum susu lembu dari susu ibu sendiri!.. Tapi saya, saya paksa anak saya untuk susukan anaknya!.." nekcun menambah komen Kak June.

"Eloklah tu, Hajjah!.. memang sepatutnya anak-anak ni diberikan susu ibunya 100% semasa kecil-kecil ni supaya lebih sihat dan elok pula akhlahnya esok-esok... tak adalah perangai mereka tu pun macam haiwan bila dah besar panjang kelak!.. macam kes-kes yang banyak berlaku sekarang ni.. mungkin sebab terlampau banyak minum susu lembulah agaknya sehinggakan perangai pun dah jadi macam haiwan!.." kelihatan Kak June agak emosional menyuarakan pendapatnya.

Bila menyebut pasal susu lembu ni, teringat nekcun akan jenaka kekawan nekcun yang lain ketika kami berehat selepas beriadah di gym baru-baru ni.

"Siapa tahu kenapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing?" Puan Gee bertanya kami semua.

"Memanglah manusia tak boleh berkahwin dengan haiwan!.. apalah you ni, Ghee!.." Datin J berkata sambil tersenyum lebar.

"Tapi itu bukan sebab utama. Kalau nak tahu mengapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing ialah... sebab lembu dan kambing itu adalah 'ibu susuan' kepada manusia!... mana kita boleh kahwin dengan ibu atau adik beradik susuan!.. Kan sekarang ni ramai betul orang yang memberi anak-anak mereka susu lembu atau kambing daripada susu ibu sendiri!.." balas Pn. Ghee sambil tertawa terkekeh-kekeh.

"Hah!.. pandailah you nak pekena kami ya!..." Datin J menepuk bahu Pn. Gee sambil turut tergelak besar.

Iyalah!.. lawak, lawak juga. Tetapi kalau difikir-fikirkan ada juga betulnya. Bila anak-anak sudah diberi susu haiwan sejak kecil lagi sehinggakan melebihi susu ibu, maka kalau perangai mereka kelak jadi macam haiwan juga, siapakah yang nak disalahkan?

Entahlah!.. tak berani nekcun nak komen kerana anak-anak nekcun sendiri dulu pun ada juga nekcun beri susu lembu apabila nekcun telah terpaksa meninggalkan mereka di rumah untuk mencari rezeki. Namun, bagi nekcun apa yang penting adalah secara keseluruhannya, adakah makanan yang kita berikan pada anak-anak kita itu dari sumber yang halal atau tidak, kerana makanan itulah yang akan menjadi darah daging mereka dalam membentuk akal dan akhlak mereka.

Jadi sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan kekawan semua supaya memastikan anak-anak kita diberi makanan dari sumber yang halal. Ini bukan sahaja bahan-bahan makanan itu tetapi juga wang ringgit yang digunakan untuk membeli bahan-bahan makanan tersebut. Jika wang ringgit itu diperolehi dari jalan yang salah atau haram, maka makanan yang diberi juga boleh jadi haram walaupun pada dasarnya bahan-bahan makanan itu halal.

Oleh itu, pastikanlah semua pendapatan kita adalah dari sumber yang halal bagi memastikan anak-anak kita akan mendapat makanan yang akan menjadi darah daging mereka adalah halal. Marilah kita sama-sama membendung 'sunami akhlak' yang sedang menyerang negara kita ini sekarang dengan kita memulakan pemulihannya dari dalam rumah kita sendiri, demi kebaikkan ugama, bangsa dan negara. Wallahualam!...

Tuesday, April 12, 2011

Mari kita jumpa di sana!..PWTC (23-04-2011 Sabtu)

Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kepada Allah kerana semua novel-novel nekcun telah mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran. Tidak lupa juga nekcun mengucapkan terima kasih kepada semua peminat novel yang telah membeli dan membaca novel-novel nekcun.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua orang suka membaca novel Melayu. Nekcun sendiri pernah terdengar komen yang mengatakan novel-novel Melayu ni agak 'stereotype'  iaitu kebanyakkan temanya mestilah berkisar kisah cinta!.. Asyik-asyik cinta!.. itulah kata mereka.

Tetapi, bukankah hidup manusia itu memang sentiasa diselubungi dengan 'Cinta'? Cinta kepada Allah dan Rasulnya (bagi orang2 Islam), Cinta kepada kedua ibu bapa, cinta kepada keluarga dan bermacam-macam lagi versi 'Cinta' yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Jadi, apalah salahnya kalau kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sesebuah novel itu sentiasa berkisar tentang cinta.

Bagi nekcun, apa yang penting adalah bagaimana kisah 'cinta' itu diolah dan diceritakan supaya pembaca akan mendapat menafa'at dari pembacaannya itu, contohnya apa yang dipaparkan itu akan dapat memberikan iktibar atau pun tauladan yang boleh dimenafa'atkan oleh pembacanya. Nekcun juga berpendapat bahawa berkongsi perkara yang baik sesama insan adalah satu tanggungjawab bersama dan harus dilakukan dalam apa jua situasi yang mampu kita laksanakan untuk sampai kepada sasarannya.

Jadi bagi penulis novel, sekiranya kisah yang dipaparkan dalam novelnya itu adalah cara yang terbaik yang mampu dia lakukan untuk berkongsi ilmu yang menafa'at, maka apalah salahnya!.. Berilah dia sokongan moral agar dia akan dapat lebih mengembangkan bakatnya!.. 

Bagaimana pun, nekcun tetap menghormati setiap komen pembaca kerana nekcun tahu citarasa seseorang itu memang tidak sama dengan orang lain. Maka terserahlah kepada pembaca budiman untuk menilai kualiti sesuatu novel-novel itu.   

Dikesempatan ini juga, ingin nekcun menjemput kepada semua kekawan dan juga pembaca yang meminati novel-novel nekcun dan juga novel-novel penulis yang lainnya untuk sama-sama meriahkan Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada 22/4/2011 hingga 1/5/2011.

InsyaAllah, nekcun akan berada di booth Grup Buku Karangkraft (Penerbit novel2 nekcun: Buku Prima) untuk bersama peminat-peminat novel pada hari Sabtu 23/4/2011 dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Nekcun amat mengharapkan akan dapat bertemu kekawan semua pada hari tersebut.

Jumpa di sana!.. di sana!...

Friday, April 1, 2011

Mengapa 24 jam masih tak cukup?...

Pejam celik, pejam celik tak sedar kita dah nak masuk suku kedua tahun 2011. Begitu pantas masa berlalu sehingga dirasakan masa 24 jam sehari itu bagaikan tak cukup untuk nekcun menguruskan segala apa yang perlu diuruskan setiap hari.

Dulu semasa nekcun bekerja sepenuh masa di salah satu GLC terkemuka, nekcun ingatkan masa 24 jam tu rasa tak cukup sebab banyak masa perlu dihabiskan sepenuhnya di pejabat. Jadi itulah sebabnya nekcun tak sabar-sabar nak meninggalkan tugas tersebut dan mahu memberi tumpuan kepada bidang & projek yang nekcun rancangkan bersama beberapa sahabat dan ahli keluarga dengan harapan akan ada lebih masa untuk nekcun merehatkan minda & jasmani yang agak sudah keletihan selama berpuluh tahun berkhidmat di syarikat itu. Namun, apa yang nekcun harapkan itu agak meleset rupanya!..

Walaupun sekarang nekcun tidak berapa terikat dengan waktu rasmi pejabat, tetapi untuk memastikan apa yang nekcun lakukan itu benar-benar diredhai Allah, nekcun masih perlu meluangkan masa nekcun setiap hari sekurang-kurangnya empat jam yang selalunya nekcun akan laksanakan pada belah pagi sehingga tengahari. Dan pada belah petang nekcun akan tumpukan pula pada aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang juga memerlukan perhatian dan komitmen nekcun yang agak padat. Akhir-akhirnya nekcun rasakan tidak ada banyak bezanya antara semasa nekcun bekerja sepenuh masa dahulu dan sekarang!..

Tak tahulah nekcun, samada masa yang semakin laju atau nekcun yang dah semakin tak larat!... hehehe..

Tambah-tambah lagi dalam seminggu dua ni, memang nekcun agak kalut macam lipas kudung kerana baru mendapat ahli baru dalam keluarga iaitu cucu nekcun yang terbaharu. Pagi-pagi sebelum nekcun keluar ke mana-mana yang nekcun perlu uruskan, nekcun perlu terlebih dahulu memastikan anak dan cucu nekcun ini diuruskan sebaik-sebaiknya sehinggalah anak nekcun itu habis pantang kelak kerana semasa dalam pantang ini nekcun mahu menjaga mereka sebaiknya.

Walaupun ada dua pembantu rumah (1 nekcun punya dan yang 1 lagi anak nekcun punya) yang membantu menguruskan apa yang perlu, tetapi nekcun tak yakin dan tidak mahu melepaskan sepenuhnya tangggungjawab menguruskan cucu yang baru lahir itu kepada mereka kerana bagi nekcun air tangan ibu adalah lebih berkat di dalam membina keluarga bahagia.  

Itulah agaknya nekcun rasa bagaikan 24 jam sehari itu tidak cukup untuk nekcun sekarang!.. Tapi, apa-apa pun nekcun amat bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan nekcun dan atok seorang lagi cucu yang comel dan sehat walafiat. Semoga semua anak2 , menantu dan cucu2 nekcun akan menjadi anak-anak yang soleh & solehah yang akan membahgiakan, mensejahterakan, menggembirakan dan memuliakan nekcun dan atok dari dunia hingga akhirat.... InsyaAllah!.. 

Saturday, March 19, 2011

Seronoknya!.. Asyik makan free hari ni...

Bila anak-anak semua dah besar panjang ni, nekcun pun dah tak tahu bila cuti sekolah bermula dan bila pula cuti sekolah dah habis. Tapi nekcun tahu bila masanya cuti sekolah kerana sepanjang cuti sekolah ni dapur di rumah nekcun memang tak berasaplah... terutamanya bila hujung minggu kerana asyik dapat jemputan makan free sahaja.

Majlis makan free tu termasuklah kenduri tahlil, kenduri kesyukuran dan macam-macam kenduri lagilah. Kalau kenduri kahwin tu jangan cakaplah!.. memang penuh kad jemputan dok berteritip kat atas meja!.. sampai atok kena buat jadual dan timing yang tepat sebab, macam hari ni sajer nekcun dan atok ada 4 kenduri, dari siang sampai malam. Dari kenduri di khemah dekat rumahnya, kemudian masuk ke dewan dan kemudian masuk ke hotel... semuanya kenduri kahwin.

Yang 3 siang hari tu, nasib baiklah dekat-dekat ajer iaitu di sekitar Shah Alam dan Kelana Jaya. Jadi nekcun dan atok dah siap dari awal jam 11.00 pagi, pergi rumah no. 1, jam 12.30 pergi rumah no. 2 dan jam 1.30 pergi rumah no. 3. Jadi jam 2.45 petang nekcun dah boleh berehat kat rumah. Kena kosongkan perut pulak untuk majlis kahwin yang no. 4 malam nanti di sebuah hotel di Subang Jaya.

Kekadang nekcun terfikir juga... dalam keadaan barang-barang semua mahal, dan ramai yang mengeluh kerana nak belanja makan harian pun agak senak, tetapi orang masih sanggup berbelanja besar untuk majlis kenduri kahwin yang hebat-hebat. Nekcun tengok di setiap kenduri kahwin yang nekcun pergi tadi, makanan yang dihidangkan semuanya hebat-hebat belaka. Bukan sahaja makanan asas nasi beriani dan lauk-pauk, tetapi ada pula 'desert' kuih muih, cendul dan macam-macam lagi. Sudah pasti harga makanan bagi setiap orang pastinya tidak kurang dari RM20.00 seorang, dan mungkin lebih lagi.

Jadi kalau lekeh-lekeh jemputan seramai 500 orang tetamu (termasuk suami isteri), satu kenduri kahwin perlu berbelanja tidak kurang dari RM10,000-00. Itu baru kos untuk makanan sahaja, belum lagi kos khemah, kerusi meja, kos pelamin, kos door gift dan kalau yang buat di dewan, kos sewa dewan, kos audio sistem dan lain-lain lagi yang mana mungkin senang-senang tambahan lagi RM15 - 20 ribu. Kalau buat kenduri di hotel-hotel pula, tak usah ceritalah harganya!.. satu orang paling murah RM70++... itu kalau hotel 3* sajer, kalau hotel 4* atau 5*, nothing less than RM100++ seorang. (Sekarang bukan lagi 10 + 5% tetapi 10 + 6%)  Jadi kalau tak ada sekurang-kurang RM50 - 60 ribu, jangan berangan nak buat kenduri kahwin kat hotel ler!... (Boleh beli kereta Myvi cash & carry pulak!... hehehe).

Jadi, secara kasarnya, satu-satu kenduri kahwin yang paling lekeh dan paling sikit jemputannya pun, ibu bapa pengantin perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM20 - 30 ribu. Kalau dapat ibu bapa yang berduit, tak mengapalah... kalau ibu bapa yang dah bersara macam atok dan nekcun, macam mana ya?... Dah tu atok & nekcun pulak bukanlah kerja 'gomen', jadi tak ada ler pencen bulanan... lagi sakitlah agaknya ya!... Pening juga nekcun dan atok memikirkannya kerana ada sorang lagi anak bungsu perempuan nekcun yang masih dalam proses 'risik-risik' ni... 

Walau macam manapun, nekcun selalu berdo'a semoga anak bungsu nekcun tu akan cepat dapat jodohnya dengan lelaki yang soleh!.. Bagi nekcun, biarlah kalau lelaki tu tidak kaya raya pun, asalkan hatinya jujur dan benar-benar ikhlas mahu mengahwini anak nekcun dan sanggup sehidup semati dengan anak nekcun dengan seadanya, nekcun amat bersyukur kerana nekcun percaya rezeki seseorang itu Allah yang menentukan!..