Tuesday, May 15, 2012

I need you in my life!...

Alhamdulillah!... Alhamdulillah... syukur nekcun kepada Allah kerana majlis pernikahan dan majlis resepsi anak bungsu nekcun telah pun selamat dilangsungkan. Dengan keredhaan dan bantuan dari Allah SWT semuanya telah berjalan lancar sebagaimana yang diharapkan.

Kehadiran dan sokongan semua saudara mara dan juga para tetamu yang diundang amat memberangsangkan dan amat-amatlah kami sekeluarga hargai. Hanya kepada Allah kami berserah untuk membalas segala jasa baik semua saudara mara dan jiran-jiran yang tidak jemu-jemu membantu kami sekeluarga untuk menjayakan kedua-dua majlis yang di adakan di rumah kami dan juga di Concorde Hotel, Shah Alam. Lega rasanya apabila semuanya telah selesai dan selamat... Alhamdulillah!...

Now is the time for daddy and mummy to relax and enjoy ourselves... hahaha... don't jelous!.. that was what my hubby told our children!...

"So, now... where you want to go?..." my hubby asked me.
"I don't mind going anywhere as long as with you!.." nekcun replied.
"How if I'm no more there with you in this world?" he tried to provoke.
"Haha!.. I'll get somebody who is willing to accompany me, then!.." cheekily I answered.
"Wah!.. are you sure there is someone who is willing to accompany you at this age?.." he asked seriously.

I looked straight into his eyes as I just could not believe that he took my joke seriously!... Our eyes locked at each other for a while. Suddenly I felt his loving hands started pulling my body closer to him and he hugged me tightly. I didn't realise when exactly our tears started falling down our cheeks. What I knew, we were sobbing together while hugging each other hungrily...

"I need you in my life and love you forever!..." I heard him whispering lovingly.
"I need you too!.." with tears still running down my cheeks, I answered him softly, lovingly.

Alhamdulillah!.. Thanks Allah for all the loving and happy days that my hubby and I have been enjoying for the last 35 years together. Semoga Allah akan terus merahmati dan memberkati rumahtangga kami suami isteri sehingga ke akhir hayat kami... Ameennn... 

And that was what happen everytime any of our children got married!.. We had to accept the fact that as a parent we can't hold to our children forever when there is someone who loves them and want to build better life with them. And this made our love (my hubby and me) became strongger and strongger each day.... 

Friday, April 27, 2012

Setiap ucapan itu adalah do'a... Wallahualam...

Apabila tiba sahaja Pesta Buku Antarabangsa KL, maka yang akan sebuk adalah para penerbit buku, penulis-penulis dan juga para pecinta buku, tak kiralah apa pun bentuk atau genre buku yang disukai kerana di PBAKL akan ada semua jenis buku.

Tak ketinggalan diri nekcun, walaupun hanya seorang penulis yang baru di dalam arena penulisan tetapi semangat untuk turut serta tu tetap berkobar-kobar, apatah lagi kalau ada beberapa kekawan yang selama ini banyak menyokong novel2 nekcun telah berpesan-pesan hendak berjumpa dengan nekcun. Lagi semangatlah nekcun nak ke PWTC tu!...

Dalam pada sebuk-sebuk tu adalah beberapa kekawan yang dah membaca novel2 nekcun bertanya, "I rasakan kebanyakkan hero-hero novel you semuanya lelaki-lelaki yang baik-baik ajer. Walaupun mereka tu agak ego sikit tetapi tetap loving, kenapa you suka watak macam tu?"

Huh!... pening juga nekcun nak jawab!... Tetapi hakikatnya, memang nekcun suka menonjolkan lelaki yang walaupun ego tetapi tetap ada rasa sayang dalam diri mereka kerana memang itulah fikrah lelaki kan?... Mereka punya ego tetapi mereka juga seorang yang penyayang. Kalau mereka tak penyayang, macam mana kita boleh mempunyai ramai suami-suami, ayah-ayah, abang-abang dan tidak ketinggalan majikan-majikan yang hebat-hebat di dunia ini? Dan yang seronoknya, nekcun sendiri sentiasa dikelilingin oleh lelaki-lelaki (arwah ayah, suami, abang/adik, anak & majikan) yang sebegitu...

Bagi nekcun, tidak semua lelaki jahat dan tidak semua wanita baik atau sebaliknya, walaupun sekarang ini kita boleh dengar dan lihat banyak kisah-kisah yang melibatkan lelaki kejam dalam kehidupan rumahtangga, kekeluargaan dan masyarakat tetapi itu hanyalah mungkin 1 dalam 1,000. Jadi mengapa kita harus menghukum bilangan yang ramai oleh kerana sikap bilangan yang sedikit itu?...

Bukankah Allah jadikan manusia lelaki dan perempuan untuk saling lengkap melengkapi dalam mengharungi kehidupan yang sementara sahaja di dunia ini. Maka janganlah kita terus menghukum secara negatif kepada sesuatu yang kita tidak suka tetapi marilah kita cuba bersikap positif dan terbuka untuk memperbaikki keadaan dengan memperbanyakkan do'a kepada Allah agar semua yang jahat hatinya (tidak kira lelaki atau perempuan) supaya dianugerahkan hidayah dan kembali ke jalan yang Allah redhai. 

Dalam sedar atau tidak, setiap apa yang kita ucapkan adalah merupakan do'a. Maka sebab itulah nekcun suka bercerita yang baik-baik dalam kebanyakkan novel2 nekcun dengan harapan ianya akan juga menjadi do'a yang akan diterima Allah!... Wallahualam.  

Thursday, March 22, 2012

Adakah kita pendengar yang baik?...

Terasa rindu benar nekcun untuk mengemaskini teratak nekcun yang dah agak lama tak berkemas ni kerana sejak sebulan dua bulan ni, masa amat mencemburui nekcun. Dengan umur yang dah nak masuk dalam gulungan 'emas' ni (emas kan mahal harganya, tu yang nekcun bangga nak jadi warga 'emas' tu!... hehehe...) memang cepat betul nekcun terasa letih kalau terpaksa ke sana dan ke mari lebih-lebih lagi kalau kena memandu sendiri.

Apa-apa hal pun nekcun teringin nak berkongsi satu cerita yang agak lucu ketika nekcun terlibat dalam mengendalikan sessi latihan 'Pembantu Rakan Sekerja (EAP Program)' baru-baru ini. Sebenarnya bukanlah lucu sangat tetapi ianya lebih kepada bagaimana nekcun dapat melihat keberkesanan ilmu yang nekcun kongsi dengan mereka itu telah mereka rasai dan adaptasikan di dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran dan menguatkan jati diri.

Ketika aktiviti amali yang melibatkan tajuk 'menjadi pendengar yang berkesan' salah seorang dari perserta telah membuat satu teka teki dan mahukan semua kawan-kawan kumpulannya memberi jawapan dengan betul.
"Dengar baik-baik ya soalan saya!.. Siapa yang dapat jawab dengan betul akan dapat hadiah misteri dari fasilitator!.." dengan suara yang lantang peserta A berkata.
"Eh!.. apa pulak kena mengena dengan saya? Bila pulak saya janji nak beri hadiah?" segera nekcun bertanya sekadar mahu melihat sejauh mana creativity si A dan kumpulannya memberi alasan.
"Kenalah bagi hadiah, puan!... baru ada motivasi nak jawab!.."  balas si A, penuh mengharap.
"Okey!... saya akan beri hadiah misteri kepada sesiapa yang boleh jawab dengan betul. Tetapi kalau tiada siapa yang dapat jawab dengan betul, kamu semua pulak yang kena beri hadiah pada saya!.. Macam mana? Setuju?.." sengaja nekcun menduga kesungguhan mereka.
"No problem!..." jawab mereka serentak.
"Okey kalau begitu, sila A katakan apa teka teki kamu tu!.." nekcun menyuruh.
"Okey... dengar baik-baik... Apakah binatang yang boleh terbang, boleh berenang, boleh melompat? Sila jawab mulai dari sekarang!.." Si A segera menyatakan soalan teka-tekinya.

Kelihatan berkerut-kerut dahi masing-masing cuba mencari jawapan teka-teki itu.
"Anjing laut!.." Si B cuba menjawab.
"Kurang tepat!.." balas si A.
"Arnab!.." jawab si C
"Juga kurang tepat!... sikit lagi, sikit lagi..." Si A terus memberi semangat kepada kawan-kawannya.

Berbagai-bagai nama binatang yang mereka berikan tetapi satu pun tiada yang betul. Nekcun yang memang dah tahu jawapannya hanya tersenyum melihat telatah mereka yang begitu bersemangat.
"Heh!... semua tak betul, jadi apa jawapannya?" akhirnya si F berkata seolah sudah putus asa.

"Hah!.. apa saya cakap tadi, jadilah pendengar yang baik, sentiasa focus dan jangan mudah berputus asa!.. Cuba lagi!.." nekcun menyampuk untuk memberi galakkan kepada mereka.

"Ha!... saya tahu jawapannya!.." tiba-tiba si H berkata.
"Apa dia?" semua ahli kumpulan bertanya serentak.
"Burung boleh terbang, ikan boleh berenang dan katak boleh melompat!.. Betul tak?" dengan riak yang sungguh yakin si H mengangkatkan keningnya ke arah si A.
"Mengapa awak begitu yakin dengan jawapan awak?" segera nekcun bertanya sebelum si A sempat mengesahkan samada jawapan itu betul atau salah kerana memang nekcun telah berpakat dengannya untuk membantu nekcun menjayakan sessi aktiviti amali itu.
"Iyalah!.. kan memang burung terbang, ikan berenang dan katak melompat!.. Kan teka teki si A tadi  ialah binatang apakah yang boleh terbang, boleh berenang, boleh melompat. Dia tidak tanya binatang apakah yang boleh buat semua ketiga-tiga perbuatan itu sebaliknya A sebut satu-satu aktiviti yang berlainan. Jadi maknanya tak semestinya mesti binatang yang sama untuk boleh buat semua perbuatan yang disebut A tadi. Ia boleh dilakukan oleh binatang yang berlainan bagi aktiviti yang berlainan. Betul tak A?.." dengan senyum bangga si H menerangkan justifikasinya.

Mahu tidak mahu, si A terpaksa mengangguk tanda menyetujui hujjah si H. Nekcun juga segera bertepuk tangan tanda menyetujui jawapan si H.

"Jadi tuan/puan sekelian, sekarang anda lihat mengapa ramai di antara anda yang tidak dapat menjawab teka teki tadi adalah kerana anda kurang focus terhadap soalan yang ditanya. Anda tidak mendengar dengan baik sehingga anda tidak dapat menangkap perkataan2 penting dalam perkara yang diucapkan!..  Anda tidak menggunakan konsep 'seek to understand to be understood' dan mengambil segala apa yang diucapkan sebagai 'take for granted' sahaja. Untuk menjadi seorang  'counsellor' yang berkesan anda perlu menjadi pendengar yang baik dan sentiasa focus terhadap apa yang diperkatakan..." akhirnya nekcun memberikan pendapat nekcun.

Nekcun ni bukanlah seorang pakar motivasi yang hebat tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan ilmu yang boleh dimanfa'atkan oleh insan-insan yang memerlukan. Begitulah sedikit sebanyak panduan yang dapat nekcun kongsikan dengan mereka.

Bagi nekcun kriteria2 itu bukan sahaja untuk kita praktikkan ketika di tempat kerja tetapi juga ketika dengan keluarga kita. Contohnya ketika bersama pasangan kita. Kita perlu memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh suami/isteri kita di dalam setiap ucapan mereka kerana tersilap mentafsir ucapan mereka, tidak mustahil ianya boleh mendatangkan implikasi yang besar sekiranya kita tidak dapat mengawal situasi yang timbul akibat kesalahtafsiran ucapan-ucapan tersebut.

Marilah sama-sama kita renung-renungkan apa yang nekcun katakan itu. Sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman... Wallahualam.   

p/s: Novel terbaharu nekcun bertajuk 'Demimu Nazwa' banyak mengungkap kepada implikasi terhadap kesalahtafsiran ucapan pasangan dalam sebuah rumah tangga sehingga boleh menimbulkan situasi yang agak meruntun jiwa... Silalah dapatkan novel tersebut, InsyaAllah tidak akan merugikan... 

Wednesday, February 22, 2012

Tak semua riba itu haram... betul ke?...

Hari ini nekcun memang angkat 'bendera putih' dan gelak macam nak pecah perut apabila ada peserta kuliah yang 'mengenakan' nekcun ketika nekcun sedang memperkatakan tentang keberkatan mencari rezeki, halal haram rezeki yang diperolehi dan beberapa lagi perkara yang berkaitan dengannya.

Apabila bercerita tentang halal haram rezeki, maka tidak akan terlepas isu dividend dan riba. Dalam seronok nekcun memperkatakan isu dividend dan riba itu tiba-tiba peserta yang seorang ini bangun dan bertanya sehingga membuatkan seluruh peserta kuliah terdiam.

"Hajjah, tak semua riba itu haram!.." komen peserta itu.
"Telah difirmankan di dalam Al-Quran bahawa riba itu haram, jadi kita tidak boleh menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Itu amat bahaya di dalam kita menjaga aqidah!..." nekcun cuba mententeramkan peserta itu.
"Tapi, tuan guru Dato' Nik Aziz sendiri kata yang riba itu tak haram, malah amat digalakkan bagi pasangan suami isteri yang mahu membina kebahgiaan rumah tangga!.." jawabnya penuh yakin.
"Betul ke apa yang saudari cakap ni? Apa buktinya?" soal nekcun agak curiga dengan sikap peserta itu.
"Laa... saya baca sendiri dalam surat khabar minggu lepas semasa beliau merasmikan hari suami isteri sebagai ganti sambutan hari valentine tu... Dia kata, dia selalu tidur atas 'riba' isterinya setiap kali kalau dia letih atau balik lewat setelah penat bekerja. Dia akan jadi tenang dan sehat apabila berbaring di atas riba isterinya. Tuan Guru juga menggalakkan suami-suami lain berbuat begitu. Jadi maknanya, riba sebegitu tak haramlah!.." dengan muka 'seposen'nya peserta itu menjelaskan hujjahnya. 

Nekcun tak terkata apa-apa bila mendengar hujjah peserta itu walaupun nekcun tahu dia hanya ingin bergurau dengan menggunakan perkataan 'riba' yang dimaksudkannya itu. Tidak menyangka peserta itu boleh menggunakan perkataan 'riba' itu di dalam maksud dan situasi yang berbeza dari apa yang sedang kami bincangkan!.. Tiba-tiba terasa bahawa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah apabila ada orang yang lebih bijak untuk menggunakan konsep 'think outside the box' yang selalu nekcun sarankan ketika ceramah motivasi, telah memerangkap nekcun sendiri. 

Memang betullah seperti mana yang selalu ustaz telah mengingatkan bahawa kita semua ni sebenarnya tidak pandai kerana hanya Allah yang mempunyai segala kepandaian dan maha bijaksana. Allah hanya meminjamkan kepandaian itu kepada kita untuk membolehkan kita berusaha mencari rezeki di dunia ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa menyerahkan diri kepada Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan kerana segala apa yang kita ada atau dapat di dunia ini adalah haknya yang dipinjamkan kepada kita. Kalau Allah hendak ambil balik apa yang dipinjamkannya itu, kita tidak ada kuasa untuk menahannya... Wallahualam...

Sekadar berkongsi pengalaman, untuk menyegarkan minda dan fikiran di dalam mengingati Kebesaran dan Keagongan Allah...    

Sunday, February 12, 2012

Hilangkah Melayu di Tanah Melayu?...

Ketika menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kawan, nekcun dan atok bertemu dengan beberapa kawan-kawan lama yang pernah sama-sama bertugas dulu. Maka, kalau dah lama tak jumpa, bukan main seronoklah kami masing-masing bercerita dari satu tajuk ke satu tajuk sampaikan niat asal nak duduk sekejap dah jadi lebih hampir dua jam.  

Namun apa yang menarik minat nekcun adalah apabila isu semasa berkenaan 'tsunami akhlak' remaja masa kini dan kedudukan orang Melayu yang semakin genting di Tanah Melayu menjadi tajuk hangat semua kekawan yang berada di situ. Almaklumlah... kebanyakkan semua kawan-kawan nekcun ni masing-masing dah punya anak-anak yang sedang meningkat remaja!... jadi isu yang diperkatakan memang amat menarik perhatian setiap kami.

Apabila nekcun fikir-fikir balik apa yang kami bincangkan itu, memang ada banyak benarnya tetapi apakah tindakan atau peranan yang telah kita ambil di dalam menangani isu yang ditimbulkan?... Segera nekcun teringat satu puisi yang dikirimkan oleh seorang kawan nekcun tidak lama dahulu yang nekcun rasa elok dikongsi bersama kawan-kawan sebagai 'something to ponder!...' seperti berikut:-

Di mana boleh cari ramai Melayu?

Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu


Apa hobi orang Melayu?
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu?
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu


Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju?
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu.
tapi... apakah yang kita tahu..,cuma baca nak halau hantu

Memang nekcun tak mahu setuju 100% pada puisi itu kerana ramai juga orang Melayu yang dah sedar dan berubah serta mencari jati diri di dalam memertabatkan maruah bangsa dan Islam sekarang ini, tetapi berapa ramai pula yang masih leka dan hanya 'tunggu dan lihat' apa orang lain buat!... Maka sukalah nekcun nak berkongsi dan mendengar pendapat kekawan semua, gulungan manakah kita termasuk sekarang ini?... Mungkinkah kita hanya 'tepuk dada, tanya selera!...' Wallahualam...

Tuesday, January 31, 2012

DEMIMU NAZWA.... kini sudah di pasaran!..

Alhamdulillah!... novel nekcun yang ke 6 bertajuk DEMIMU NAZWA terbitan Buku Prima (Grup Buku Karangkraft) telah berada di pasaran sekarang. Bagi kekawan yang meminati novel-novel Melayu, nekcun amat berharap akan cuba mendapatkan novel nekcun ini kerana ia sarat dengan kisah dan tauladan yang boleh diambil iktibar dan panduan di dalam kita mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini... Semoga semua kekawan akan memberi sokongan padu kepada novel nekcun ini dan selamat membaca...

SINOPSIS Novel:-

Lantaran panahan cinta pandang pertama ketika usia masih begitu muda menjadikan Nazwa tidak pernah berfikir dua kali untuk menerima lamaran Ahmad Saifulrizwan walaupun mereka masih lagi menuntut di Negara yang asing itu.

Limpahan cinta Ahmad Saifulrizwan yang bagaikan air laut yang tidak bertepi benar-benar membuatkan Nazwa hanyut dan lupa bahawa perkahwinan itu bukanlah hanya ikatan penerimaan ucapan Ijab dan Kabul yang dilafazkan tetapi juga segala peraturan dan undang-undang yang telah termaktub di dalam perlaksanaan sebuah perkahwinan itu.

Bagi Nazwa, cinta suami yang sentiasa membara penuh syahdu sudah cukup untuk membuatkan dia amat bahgia hidup bersama Ahmad Saifulrizwan sehinggalah peristiwa malang yang tidak disengajakannya telah dengan begitu mudah merentap rasa cinta itu dari hati Ahmad Saifulrizwan. Dengan hati yang lara, Nazwa membawa diri pulang ke tanah air tanpa meninggalkan sebarang jejak yang boleh dikesan oleh suaminya.

Di dalam melayani hari-hari yang sepi tanpa belaian suami tercinta, pintu hati Nazwa diketuk oleh cinta syahdu Edham, lelaki yang begitu ikhlas dan jujur menerima keadaan Nazwa seadanya sehingga menjadikan Nazwa sering diulit rasa kekesalan kerana terpenjara oleh cinta palsu Ahmad Saifulrizwan.

Setelah hampir empat tahun terpisah, Nazwa tidak pernah menduga yang dia dan Ahmad Saifulrizwan dipertemukan kembali dalam keadaan yang amat berbeza dari pertemuan pertama enam tahun dahulu. Hati masing-masing bukan lagi dipenuhi rasa cinta yang membara tetapi hanyalah rasa dendam kesumat yang bagaikan hanya menunggu sa’at untuk dilunasi.

Malahan bagi Ahmad Saifulrizwan perpisahan selama empat tahun itu bukanlah penyebab untuk dia melepaskan Nazwa begitu sahaja tanpa perlu menuntut haknya sebagai suami yang sah sehingga membuat Nazwa terus terpenjara dalam derita yang tidak berkesudahan apabila mendapati dirinya mengandung, kerana secara amnya tiada siapa pun yang tahu bahawa mereka adalah masih suami isteri yang sah dari hukum syarak.

Ahmad Saifulrizwan benar-benar rasa tercabar apabila Nazwa terus mahukan agar hubungan yang penuh rahsia itu diputuskan secara yang sah, lalu dengan kuasa talaq yang berada di tangannya, Ahmad Saifulrizwan seolah sengaja mahu menggantung Nazwa tidak bertali sedangkan dia sendiri bagaikan hanya menunggu hari untuk disatukan dengan Sharifah Norwati iaitu gadis pilihan ibu bapanya.

Nazwa yang benar-benar sudah berputus asa untuk melawan kuasa yang ada pada Ahmad Saifulrizwan, sekali lagi menghilangkan diri cuba memujuk hati yang lara, mengharap derita yang mencengkam jiwa akan segera berlalu walaupun tidak tahu entah bila.

Tetapi mengapakah Ahmad Saifulrizwan masih tidak mahu melafazkan talaq terhadap Nazwa sedangkan Sharifah Norwati telah lebih dari bersedia untuk menjadi isterinya pada bila-bila masa? Dapatkah Nazwa lepas dari ikatan yang bagai tidak bertali itu dan berjayakah Edham membina bahagia bersama Nazwa sebagaimana yang sering dirancangkannya? Mungkinkah Demi Mu Nazwa akan dapat menyingkap segala teka teki ini?... Sudah pasti!.. kerana di situlah akan ada segala jawapannya.

Tebal novel = 640 m/s
Harga pasaran = RM25.90

Friday, January 20, 2012

Email dari Kubur... Menakutkan!...

Hati nekcun jadi amat tersentuh apabila mendengar kisah yang Ustaz terangkan ketika nekcun menghadiri kuliah Ilmu pagi tadi. Entah mengapa ianya terus mengetuk-ngetuk dinding hati nekcun untuk berkongsi dengan kekawan semua agar dapat kita jadikan pengajaran dan peringatan. Ianya terlalu memberi kesan dalam hati nekcun…

Ceritanya adalah lebih kurang begini.


Ada seorang lelaki ini yang suka sangat men’download’ gambar-gambar porno atau lucah dari satu web provider. Dan lelaki ini pula dengan bangganya suka menunjukkan gambar-gambar itu kepada kawan-kawannya.

Biasalah orang muda… mereka amat teruja kalau dapat tengok benda-benda yang tak senonoh itu, maka kawan-kawannya pun teringin juga untuk nak membuat download benda-benda yang sama.

Namun perkara itu tidak boleh dibuat sewenang-wenang kerana hanya orang yang mendaftar dengan syarikat pengeluar gambar-gambar itu sahaja yang akan dapat download tersebut melalui email yang dibuat secara ‘auto send’ oleh syarikat tersebut.

Memandangkan lelaki itu telah pun melanggan dengan syarikat itu maka dia akan dapat email tersebut secara ‘auto send’ setiap kali ada gambar-gambar baru. Maklumat itu lebih lagi membuat kawan-kawannya semakin teruja untuk melihat gambar-gambar berkenaan.

“No problem!.. jangan risau…beri email address engkau orang. Aku akan setting kan untuk ‘auto send’ dari email aku kepada email engkau orang pada setiap kali email aku terima download gambar tu dari supplier tu!.. So, bila aku dapat, engkau orang pun automatic boleh dapat gambar-gambar itu!..” saran lelaki itu dengan bangganya.

Maka berebut-rebutlah kawan-kawan baiknya memberi email address mereka, dan sememangnya perkara itu benar-benar berlaku sehinggalah suatu hari lelaki tadi telah terlibat di dalam satu kemalangan jalanraya dan telah meninggal dunia.

Kawan-kawan lelaki yang berkongsi gambar-gambar porno/lucah itu jadi agak terkejut apabila telah beberapa minggu lelaki itu meninggal dunia tetapi mereka masih lagi menerima email dari lelaki itu yang mengongsikan gambar-gambar yang diterima dari syarikat supplier.

Kawan-kawan lelaki itu jadi takut kerana masih menerima email dari orang yang sudah mati. Mereka tidak dapat bertanya kepada kawan mereka itu kerana lelaki itu telah pun beberapa minggu di dalam kubur atau perkataan lain di alam barzah, tetapi emailnya di dunia ini masih aktif menghantar perkara-perkara maksiat itu.

Ada salah seorang kawan mereka yang tahu serba sedikit ilmu ugama dan berasa amat kasihan kepada arwah lelaki itu, lalu mereka menghubungi syarikat supplier yang mengeluarkan gambar-gambar itu supaya menghentikan penghantaran kepada email lelaki yang telah mati itu.

Tetapi syarikat itu memberitahu yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana lelaki itu telah pun melanggan kontrak dengan syarikat itu untuk beberapa tahun dan semua jumlah bayaran telah dijelaskan dan memandangkan penghantaran gambar-gambar itu adalah atas arahan system ‘auto send’ maka mereka tidak dapat memberhentikan penghantaran itu melainkan jika tuan punya email memberhentikannya sendiri. Semua kawan-kawan lelaki itu yang terlibat jadi tergamam kerana tiada siapa yang tahu ‘password’ email lelaki itu, maka tiada siapa pun yang dapat memberhentikan email lelaki itu selagi system ‘auto send’ itu berfungsi.

Bukankah Allah SWT melalui Rasulnya Nabi Muhamad SAW telah mengatakan:-

Akan terputus semua amalan baik dan pahala anak Adam ketika mereka sudah mati melainkan 3 perkara iaitu:-

1) Ilmu yang baik yang boleh dimanfa’atkan oleh insan lain di dunia dan akhirat. Selagi mana ilmu itu memberi kebaikan kepada orang yang menerimanya, maka selagi itulah simati mendapat pahala.

2) Amalan soleh yang berpanjangan, selagi mana orang yang menerimanya mendapat kebaikan maka selama itu jugalah simati akan mendapat pahalanya.

3) Do’a-do’a dari anak yang soleh dan solehah.

MasyaAllah!... Astagfirullahalazim… cuba bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada roh lelaki itu di dalam kubur selama mana emailnya di dunia ini masih menerima secara ‘auto receive’ dan kemudian meng’auto send’ pula kepada kawan-kawan yang lain akan perkara-perkara maksiat itu? Na’uzubillah!..Tidak berani nekcun hendak memikirkannya.

Jadi, apa yang ingin nekcun kongsikan di sini ialah, walau macam mana canggihnya teknologi komunikasi kita sekarang ini, berhati-hatilah ketika menggunakannya. Janganlah kita begitu ghairah sehingga boleh menjadikan kita tersalah guna kecanggihan teknologi itu, yang mana akhirnya kita yang akan merana selamanya, bukan sahaja di dunia tetapi juga sampai ke akhirat.

Semoga kita semua akan dijauhkan dari perkara-perkara yang mungkar itu kerana kita tidak tahu entah bila ajal kita akan sampai. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mencabut nyawa kita, maka biarlah kita mati di dalam keadaan yang diredhai oleh Allah dengan membawa pahala yang tidak henti-henti dan bukannya dosa yang berpanjangan… Sesungguhnya Dunia ini adalah jambatan ke Akhirat, maka gunakanlah jambatan itu sebaik-baiknya supaya kita akan sentiasa selamat sejahtera ketika sampai di Akhirat kelak. InsyaAllah & Wallahualam!...

Tuesday, December 20, 2011

Berkahwin itu satu anugerah... betul ke?...

Eeemm... semenjak dua menjak sepanjang bulan Disember ni, setiap hujung minggu nekcun dan atok tak dapat nak ke mana-mana kerana asyik sebuk memenuhi undangan perkahwinan anak-anak saudara mara dan sahabat handai. Kekadang tu, walaupun penat tetapi seronok juga sebab dapat makan 'free' sajer... hehehe... sampai nekcun selalu kena ingatkan atok supaya 'control' sikit bila makan tu sebab takut kalau-kalau darah atok tetiba jer naik pulak!.. Maklumlah kalau dah umur-umur warga emas nih!...  

Tetapi apa-apa hal pun sukalah nekcun ucapkan tahniah kepada semua pasangan pengantin baru yang telah atau pun akan melangsungkan perkahwinan mereka kerana 'bernikah / berkahwin' bagi insan-insan yang sudah mampu adalah amat disukai Allah. Malah ada hadith yang menyatakan bahawa adalah wajib bagi seseorang yang sudah mampu itu untuk bernikah / berkahwin sekiranya dia khuatir akan terjerumus kepada maksiat. Sesungguhnya syaitan dan iblis akan menangis ketika orang-orang Mukmin dan Mukminat bernikah / berkahwin secara sah. 

Sesungguhnya banyak 'pahala' yang akan didapati oleh seorang lelaki yang berkahwin sebagaimana yang diberitahu oleh ustaz-ustaz ketika nekcun menghadiri beberapa kelas ilmu dahulu iaitu sebahagiannya adalah lebih kurang seperti berikut:-

1) Ketika lelaki menerima lafaz nikah, dia akan dapat pahala.
2) Lelaki yang menjaga segala keperluan isterinya, akan dapat pahala.
3) Lelaki yang melindungi isterinya dari sebarang maksiat, akan dapat pahala.
4) Lelaki yang membimbing isterinya ke jalan yang diredhai Allah akan dapat pahala.
5) Lelaki yang melihat isterinya akan dapat pahala.
6) Lelaki yang memegang isterinya akan dapat pahala
7) Lelaki yang mencium isterinya akan dapat pahala
8) Lelaki yang mensetubuhi isterinya akan dapat pahala
9) Lelaki yang kembali kepada isterinya sekiranya digoda di luar rumah, akan dapat pahala
10) Lelaki yang menjadi imam ketika solat dengan isterinya akan lebih berganda-ganda dapat pahala.

Secara dasarnya, apa sahaja perkara-perkara yang tidak dilarang oleh syarak, yang dilakukan oleh seorang suami dengan isterinya akan mendapat pahala. Jadi, bukankah perkahwinan itu satu anugerah dari Allah kepada makhluknya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Nya?... Maka memang elok sangatlah bagi semua teruna dara yang sudah mampu itu bernikah/berkahwin secara sah, bagi mengelakkan dari terjerumus ke kancah maksiat akibat dari hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram. 

Sekali lagi sukalah nekcun mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga jodoh kalian kekal sepanjang hayat kepada semua yang telah atau yang akan memasukki gerbang berumahtangga

p/s: Eeeemmm... tetiba jer nekcun teringat masa mula-mula membina hidup baru dengan atok dahulu!... alangkah indah dan nikmatnya!... hehehe...  Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat itu walaupun ianya sudah hampir 35 tahun dahulu...