Thursday, December 24, 2009

Seronok dapat Menantu!...




Fuuhhh!... lega rasanya bila semua urusan perkahwinan dan majlis persandingan anak saudara nekcun telah selamat berlangsung dengan lancar. Selama 3 hari 3 malam kami sekeluarga berkampung di rumah adik nekcun kerana membantu mereka sekeluarga untuk majlis perkahwinan tersebut. Baru hari ini, nekcun sempat menjengah ke teratak nekcun ni...


Alhamdulillah... anak saudara nekcun yang pertama itu (Pengantin lelaki) telah pun selamat berumah tangga dengan isteri tercinta. Nekcun pun sukalah nak ’welcome’ adik dan ipar nekcun to join the ’nenek & atok club’ in InsyaAllah at least 9 months time from now!... hehehe…

Sebenarnya seronok jadi nenek & atok ni… kalau tak percaya, tanyalah ibu bapa kita... bagaimana seronoknya mereka bila menerima anak-anak kita sebagai cucu mereka!... sampai kekadang tu ada orang cakap, sayang cucu lebih dari sayangkan anak!...


Walaubagaimana pun, sukalah nekcun nak ucapkan tahniah pada anak saudara nekcun, Shafiq dan isterinya Hanim. Jadilah suami & isteri yang mithali!…Semoga Bahgia sehingga akhir hayat!...
Bila nak bertandang ke rumah Mak Long?... hehehe...
p/s: Warna merah tema di rumah pengantin perempuan dan warna hijau di rumah pengantin lelaki!...

Monday, December 14, 2009

Perpisahan yang tidak pernah dipinta!...

Tanpa disedari air mataku yang mula bergenang berderai juga akhirnya menjadi sedu sedan yang memilukan sebelum sempat aku menghabiskan membaca cerita dari akhbar yang ada di tangan.

Kisah pengantin lelaki yang meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika baru balik dari majlis akad nikahnya di Kangar pada hari Sabtu yang lepas telah benar-benar mencuit hati & naluri kewanitaanku!...

Hanya sebagai pembaca cerita hatiku sudah menjadi begitu sedih dan pilu, cubalah bayangkan bagaimana pula hancur luluh perasaan wanita yang telah dinikahinya!...
Menjadi ’balu’ hanya beberapa jam selepas mendapat gelaran sebagai isteri!.. Belum sempat untuk berbakti kepada si suami yang dincintai, malahan inai di jari masih merah berseri, tempat tidur yang dihias indah masih belum sempat ditiduri, tetapi si suami telah meninggalkannya untuk selamanya!..

Itulah dugaan Allah kepada hambanya yang dikasihi… Pasti ada hikmah di sebalik dugaan itu!..

Semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh Allahyarham dan keluarga yang turut terkorban dalam kemalangan yang ngeri itu. Kepada isteri yang ditinggalkan, bersabar dan redhalah dengan apa yang terjadi kerana ALLAH itu maha mengetahui segala apa yang diaturkanNya!... Wallahualam.

Monday, December 7, 2009

Siapa Kawan kita?....

Monday blues nekcun pagi ni terubat bila nekcun membaca message e-mail dari seorang kawan nekcun yang memang selalu suka bergurau senda dengan nekcun. Sukalah nekcun nak kongsi dengan kekawan semua apa yang membuatkan nekcun rasa terhibur pagi ini:-
PENGERTIAN KAWAN

1) Kawan tu bukan macam main FUTSAL. Mula-mula kejar.. dah dapat sepak..

2) Kawan tu bukan macam main SKATE. Mula-mula gosok..lepas tu pijak...

3) Kawan tu bukan macam main RAGBI. Mula-mula tangkap.. dah dapat tendang..

4) Kawan tu bukannya macam PAMPERS.. dah pakai, buang..

5) Kawan tu bakannya macam BARANG KEMAS. Waktu baru beli pakai. Dah sengkek gadai.

6) Kawan tu bukan macam PELANGI. Hari cerah takde..hujan gerimis baru muncul..

7) Kawan tu bukan macam KERETA. Rosak skit, jual.. ambik kereta baru..

8) Kawan tu bukan macam CHIPSMORE.. kejap ade kejap takde..

9) Kawan tu bukan macam BANK. Bila dah takde duit, pegi kat sana ambik.

10)Lagi... kawan tu macam ape ye???? Haa... kawan tu macam AWAK LAH !. . Bila saya hantar message, awak akan baca message saya dengan teliti sampai habis.

Walau apa pun tanggapan orang tentang kawan... bagi nekcun, kawan tu penting. Seorang kawan takkan biarkan kawan dia menangis, sedih, berduka dan sebagainya. Kawan yang sejati adalah seorang kawan yang dapat diajak duduk dan berbincang tentang pelbagai perkara. Yang penting, seorang kawan akan sentiasa menghadiahkan senyuman kepada kawan-kawannya..

Yang utama, seorang kawan terbaik adalah seorang yang mahukan kawannya selamat dari api neraka, mahu melihat kegembiraan dan kemanisan sentiasa bersama-sama dengan kawannya. Mengasihi dan dikasihi kerana Allah swt.

Thursday, December 3, 2009

Ke manakah tujuan kita?...



Kehidupan begitu pantas berlalu, kini Disember, penghujung tahun telah tiba kembali. Rasanya baru lagi Disember tahun lalu berlalu, tetapi kini Disember tahun ini pula akan meninggalkan kita. Masa begitu pantas sekali berlalu dan akan terus meninggalkan kita tanpa dapat kita memberhentikannya. Masa yang kita katakan sekarang sudah tidak lagi sekarang dan ia akan terus meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Apakah tujuan penghidupan kita sebenarnya? Adakah hanya untuk pergi kerja setiap hari dan terpaksa melalui kesesakan lalu lintas apabila lewat keluar dari rumah atau kita perlu keluar rumah begitu pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan kemudian tiba balik dirumah selepas azan magrib berkumandang.
Kemudian dengan keletihan dan kepenatan kita mencari sedikit hiburan duduk dihadapan TV sebelum masuk tidur untuk persediaan bekerja semula keesokan harinya. Tidak dapat dinafikan betapa beruntungnya bila mendapat kerja yang baik dengan gaji yang agak besar juga, dapat juga menghantar anak ke sekolah, membeli kenderaan, membeli rumah dan berbagai-bagai lagi keperluan kehidupan. Tetapi adakah itu mencukupi?

Jika direnungkan firman Allah swt yang menyatakan kehidupan manusia ini sesetengahnya adalah seperti binatang ternak yang meragut dipadang rumput mungkin kita perlu menganalisa kembali kehidupan kita kerana kita juga setiap hari pergi bertugas sama seperti binatang ternak yang pergi ke padang rumput, mencari makanan dan tentu sekali kita mahukan yang terbaik seperti juga binatang ternak akan mencari makanan yang terbaik.
Walau di mana syarikat kita berkerja tentu sekali ada pemiliknya, dan kita perlu melakukan yang terbaik buat pemilik syarikat, namun ada pemilik yang lebih besar dari pemilik yang mempunyai syarikat tersebut kerana semua syarikat yang ada adalah milikNya, ia mampu melakukan apa sahaja kepada syarikat-syarikat dimana kita bekerja. Tentu sekali arahan dan kehendaknya perlu kita utamakan dan memikirkan apakah tujuan sebenarnya kehidupan atau pekerjaan yang kita lakukan.

Ada orang berkata kalau banyak duit sekalipun tetapi duit yang banyak tidak mampu ditukarkan kepada pahala maka segalanya duit itu sebenarnya tidak berguna kerana tidak memberikan kebaikan kepada kehidupan kita diakhirat, jika ada harta tetapi harta tidak dapat ditukarkan kepada pahala juga akan menyebabkan kita menyesal kerana tidak berjaya mengunakannya dengan baik sekali.
Begitu juga jika ada pangkat atau kedudukan atau apa sahaja yang kita miliki, persoalannya adakah kita benar-benar hendak menukarkan segala yang kita miliki untuk mendapat pahala dari Allah swt. Sebanyak mana duit kita atau sebaik mana harta kita atau setinggi mana pangkat kita atau serajin mana kita bekerja jika kita tidak dapat memenuhkan tujuan kehidupan kita dijadikan, maka kita akan berada di dalam kerugian. Marilah kita mencari sedikit ilmu dari Al Quran agar mendidik hati untuk takut hanya kepada Allah swt. Amin

Thursday, November 19, 2009

Tidak akan hilang Melayu di dunia... betul ke?..

Sepanjang minggu ini dan minggu lepas nekcun terlalu sibuk dengan tugas-tugas pejabat yang terlalu banyak memerlukan tindakan segera nekcun, sehingga nekcun tidak sempat hendak menjengok teratak nekcun nih! Dah banyak sawang rupanya!... Mesyuarat dan bengkel bersilih ganti tanpa henti. Maklumlah sudah hampir hujung tahun, maka banyaklah projek, KPI dan reports yang perlu diselesaikan sebelum penutupan akaun hujung tahun.

Untuk menghilangkan sedikit stress dan tension, kumpulan mini parlimen nekcun menukar tempat minum pagi tadi. Tidak lagi di kafeteria di tingkat 3 tetapi ke gerai bandaraya yang kami panggil ’riverside mall’.

Di situ nekcun dan atok Li mesti akan makan meehoon soto yang popular satu Malaya tu! Manakala pakcik Ta makan mee jawa yang famous juga dari gerai yang kami panggil Pak Yob. Kak Niza pun nekcun tengok makan soto juga.

”Hai... makan mee jawa pulak? Ingatkan nak makan soto tadi!” nekcun menegur pakcik Ta yang baru nak menyuap mee ke mulut.

”Dah mee Melayu tak ada, kenalah makan mee jawa!..” balas pakcik Ta sambil tersengeh.

”Haah ya!.. tak ada pulak mee Melayu!.. yang ada mee jawa, mee bandung, mee hailam dan entah apa-apa mee lah pulak!..” nekcun mengiyakan kata-kata pakcik Ta.

”Tapi aku pergi Bandung, tak ada pulak mee bandung! Nak cari mee bandung kena pergi ke Muar pulak!..” sambil tertawa kecil atok Li pula menyampok.

”Eeerr... betullah kan!... macam negara kita nilah... nama sajer Tanah Melayu, tapi semua dah bagi kat orang lain!” balas nekcun.

”Maksud engkau?” Atok Li menyoal.

”Kau tengoklah!.. tanjung dah bagi kat Keling, lubuk dah bagi kat Cina, kampong dah bagi kat Jawa! Habis tu, apa lagi yang tinggal kat Melayu?” nekcun menyoal balas.

”Eh... ada!..” jawab atok Li.
”Apa dia?” nekcun soal balik.
”Keretapi Tanah Melayu!...” balas atok Li sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Kami yang lain turut ketawa gelihati. Namun di dalam hati nekcun berdetik juga, apakah hanya itu sahaja yang ada untuk kita banggakan sebagai orang Bangsa Melayu yang tinggal di Tanah Melayu? Lihat sahaja keadaan orang Melayu sekarang, bagaikan itik dalam perigi mati kehausan... Malah ada pula yang beriya-iya mahukan UiTM di buka kepada bangsa lain!... Eeemmm entahlah!...

Tuesday, November 10, 2009

Moments in our Life...

In life, there are moments when you miss someone so much that make you feel like you could only fulfill your dreams by holding that person tight in your arms.

When the door of Happiness is closed, another would open.
But many of us continue only to look at the closed door.
As a result, we may often fail to see the new door with its new opportunities.

Do not trust appearances, they are often False
Do not interest yourself only in wealth, as it may disappear.

Seek someone who communicate with you in laughter,
For laughter can turn a sad day into a joyful one.

Dream whatever you desire to dream
Go wherever you wish
Seek whatever you desire
Because... Life is unique and is dependent on how you shape it.

The lucky ones do not always have the best
Often they seek simply the best of what they see on their journey!

Your future happiness may well depend on your ability to leave the past behind.

Live life to its fullest and be positive always…
In spite of difficult times!

Life is more than just breathing…
Real living is made-up of moments that take your breath away!

Life is beautiful… especially with good friends like you!...

Monday, November 2, 2009

Apa ada pada Gelaran?...

Malam minggu semalam nekcun dan atok makan besar kerana ada kawan atok belanja makan sebab dia baru dapat Anugerah Kebesaran dari Sultan sebuah negeri, yang membawa gelaran Dato’.

“Tahniah Zek!.. wah mulai dari sekarang aku dah tak boleh nak panggil kau Zek sajer... kenalah panggil Dato’ pulak!..” atok mengusik kawannya yang sudah pun macam adik beradik dengan kami.

“Hah!.. kau jangan nak mengada! Macamlah kita baru berkawan dua tiga hari!..” Dato’ Zek mendengus seolah tidak setuju dengan saranan atok.

”Hei!.. kenalah panggil Dato’... kalau tidak, marah pulak Sultan nanti kerana dah berbesar hati beri pada Zek anugerah tu!.. Along tak mahu Sultan murka kat kami sebab tak panggil Zek & Ann Dato’ & Datin!..” nekcun pula menyampok dengan membahasakan diri nekcun dengan panggilan mesra mereka pada nekcun iaitu Along. (Sebab nekcun ni anak sulong dalam keluarga nekcun!)

”Alaah... Long!.. apa ada pada Gelaran!.. Abang Zek dapat Anugerah tu pun sebab dia Pegawai Tinggi Kerajaan yang telah lama berkhidmat, kalau tidak memang tak baulah nak dapat anugerah tu!..” ujar Ana isteri Dato’ Zek yang memang selalu suka low profile.

”Hei... lama berkhidmat itulah kena lagi beri penghormatan kerana dah banyak berbakti pada negara!.. So, memang layaklah you all dipanggil dengan gelaran itu!” atok pula memberi pendapatnya.

”Eeemmm... malu pulak kami nak di panggil ber Dato’ ber Datin tu... sebab kami ni, Dato’ dan Datin yang tak berduit!... orang kerja kerajaan mana ada duit, tak macam Dato’-Dato’ yang businessman tuh!.. Mereka Dato’ yang millionare tapi saya ni Dato’ yang million hairs ajer!..” ujar Dato’ Zek sambil tertawa kecil.

”Betul kata abang Zek tu!.. Ana rasa Haji dan Along lebih berduit dari kami!.. gelaran ajer glamour tapi poket kosong buat apa? Jadi, tak payahlah nak berdato’ datin ngan kami!..” Ana menambah seolah menyokong suaminya.

”Rasanya kau pun dah boleh dapat gelaran Dato’ kalau dulu kau terus berkhidmat dengan Kerajaan!..” ujar Dato’ Zek lagi.

”Hei!.. aku memang dah lama dapat gelaran datuk!.. dah dekat 5 tahun daah!.. Zek tak tahu ke?” soal atok sambil tersenyum lebar.

”Hah!.. kenapa tak beritahu kami?” Dato’ Zek mengerutkan dahi seolah keliru.

”Apa pulak tak beritahu!.. semua orang tahu dah!.. Aku dapat gelaran datuk yang memang betul-betul asli lagi!.. nobody can deny that!.. tapi gelaran datuk aku tak tidur dengan datin, gelaran datuk yang aku dapat kena tidur dengan nenek jer!...” jawab atok sambil ketawa berdekah-dekah.

Dato’ Zek & Datin Ana yang baru faham perkara itu turut ketawa berdekah-dekah!..

”Okey lah tu.. Atok Zul & NenekCun..” Ana mengusik sambil terus tertawa.

”Kalau camtu, elok sangatlah kita celebrate ni... satu Dato’ tak berduit, satu lagi Datuk yang kena tidur dengan nenek!...” ujar Dato’ Zek sambil menepuk bahu atok dengan tawa terkekeh-kekeh.

”Sebenarnya, ada hikmah jadi Dato’ tak berduit ni..” tambah Dato’ Zek setelah dia menyuap makanannya.

”Apa?” soal nekcun agak teruja.

“Tak adalah Ana nak pening-pening kepala kalau saya keluar sorang-sorang kerana dah tentu tak ada selebrities yang nak mengurat Dato’ yang tak berduit nih!..” balas Dato’ Zek sambil tergelak besar.

Kelihatan Ana menjeling marah pada suaminya, namun dia juga turut tergelak apabila kami semua terus tergelak besar mendengar gurauan Dato’ Zek tadi. Bagaimana pun, sukalah atok dan nekcun ucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah kebesaran daripada Sultan Phg baru-baru ini.

Tuesday, October 27, 2009

Beratnyeeerrr!... Macam mana ni?...



Sebelum tidur malam tadi, nekcun terjerit sendiri bila melihat berat badan di atas mesin penimbang! Wow!... apa dah jadi nih?... masa bulan puasa 53 kg, sekarang 55 kg!..

Setelah hampir sebulan nekcun tidak memanjakan diri di SPA kerana kesibukkan tugas di tempat kerja yang memerlukan nekcun setiasa balik lewat dan di hujung minggu pula asyik sebuk dengan ’open house’ dan kenduri kahwin, maka hari Ahad semalam nekcun curi-curi juga masa untuk memanjakan diri di saloon yang memang nekcun selalu pergi.

”Hai Hajjah!.. lama tak datang!” Ann menegur nekcun.
”Sebuklah Ann, tak sempat! Sebab kalau datang sini bukan boleh sejam dua, kurang-kurang 4 jam... tu yang tak sempat-sempat tu!.. tapi ni dah terasa urat-urat semua dah tegang dan kuku kaki tangan pun dah tak berkilat, kena jugaklah saya cari Ann!..” sengaja nekcun mengusik Ann, tuan punya saloon yang memang ramah dengan nekcun.

Memang nekcun kalau ke saloon selalunya tidak kurang dari 4 jam kerana package yang nekcun selalu ambil itu akan mengambil masa selama itu untuk urut seluruh badan, lulur & scrub, suana, mandi susu, manicure & padicure. Kira-kira lebih kurang macam orang main golf 18 lubanglah!... hehehe...

”Hajjah nampak berisi sikit ya sekarang!...” komen Lili ketika sedang mengurut nekcun.
”Hah!... Lili rasa saya dah gemuk ke?... Alaahh.. ni yang buat saya risau nih!...” nekcun jadi tak senang duduk dibuatnya.
”Taklah sangat... mungkin sebab dah lama tak ururt Hajjah!..tu yang nampak macam berisi tuh!..” Lili cuba memujuk hati nekcun.

Tetapi hakikatnya nekcun yang tahu!.. mesin penimbang telah menjadi saksi!...

Walaupun menyedari hakikat itu, nekcun masih gagal nak lawan nafsu sendiri... (huhuhuk... camna nak buat yek?...) Semalam nekcun dan atok pergi makan di Kelab sebab atok nak belanja kawan dia. Niat hati tu memang dah tekad nak diet, tak mahu makan malam, tetapi bila atok dah ajak kenalah ikut dan kena jugalah batalkan tekad berdiet tuh!.. tambah pula bila tengok ’banana split with 3 scoops of chocolate ice cream’… eeeemmm… memang hancuuusss diet nekcun!..

Tetapi apa-apa pun nekcun bersyukur kerana kita rakyat Malaysia ni memang tidak pernah kurang makan!... Alangkah bertuahnya jadi Rakyat Malaysia!.. Namun dalam diri terasa takut juga kalau terlebih makan!... takut juga kalau pinggang dah melebar... takut juga kalau atok dok asyik jeling sipinggang ramping!... jadi... mahu tak mahu kena jugaklah nekcun kuatkan tekad untuk merampingkan balik pinggang nih!...hehehe...

Dah umur-umur macam nekcun ni memang agak susah sikit nak rampingkan pinggang!... hehehe... Jadi mungkin ada kekawan yang boleh beri petua-petua yang boleh kita kongsi dan amalkan untuk menjaga kesihatan yang berpanjangan disamping untuk memulihkan bentuk badan yang ideal...

Tuesday, October 20, 2009

Inilah Bicara Hati...



Dalam nekcun tengah sebuk-sebuk mencari beberapa dokumen yang telah nekcun sediakan kerana pagi tadi nekcun dijemput untuk memberi ceramah on 'career counseling' di Universiti tersohor Malaysia (apa lagi kalau bukan UM...), mata nekcun tiba-tiba tertangkap sehelai kertas warna merah jambu yang diselitkan di antara fail-fail yang berlambak di kabinet di sebelah meja nekcun.

Tanpa berlengah nekcun membuka dan membacanya. Raaauu!.. hati nekcun jadi bergetar kerana terkejut dengan isi kandungan yang tertulis di kertas itu... Lagi sekali hati nekcun jadi 'suspence' kerana tidak tahu siapakah penghantarnya!...

Bagaimanapun, suka nekcun nak kongsi apa isi kandungan nota yang nekcun terima itu dengan kekawan... semoga kalau sipengirimnya ada membaca N3 nekcun ini, ketahuilah bahawa nekcun amat menghargainya namun nekcun tidak mampu untuk membalasnya!... ma'afkan daku!...

Inilah Bicara Hati:

Aku dalam satu perjalanan
Melihat satu keindahan
Umpama ada satu imbauan...
Indah segalanya bak pelangi selepas hujan

Sayang perlu ada ketulusan hati
Kesetiaan memerlukan kepercayaan
Persahabatan menuntut pengorbanan
Ta’at setia tidak bererti jika berbelah bagi
Kebahgiaan memerlukan ketenangan jiwa
Ini semua bicara hati
Antara kita yang sentiasa mengerti

Biar ku katakan setulus hati
Untukmu yang lebih mengerti bicara seni
Hati dan perasaan ini telah kau curi
Sejak itu menjadi igauan dan mimpi

Akan ku biar ia terus bersemi
Selagi ada bulan dan matahari
Hanya kau yang akan ku nanti...

Tuesday, October 13, 2009

Meriahnya Raya...

Seminggu nekcun tidak berada di pejabat kerana menghadiri seminar di satu tempat di alam maya ini, nekcun rasa letih sangat bila masuk ke pejabat pagi tadi! Mana tidaknya… permukaan meja nekcun dah tak nampak sebab penuh dengan fail-fail, surat-surat dan macam-macam lagi di atas meja tu…

Yang bestnya tu… dalam banyak-banyak surat-surat tu, nekcun juga terima 3 keping lagi kad raya dari pengirim2 yang sentiasa ingatkan nekcun tiap-tiap tahun!.. Nak tergelak pun ada!… Hari Raya dah nak sampai ke penghujungnya, tapi kad raya baru diterima! Ini mesti kes posmen lambat nak hantar sebab banyak sangat kad raya. Atau pun kad raya nekcun tersilap campur dengan kad deepavali… hehehe…

Tapi, apa-apa hal pun, nekcun nak ucapkan terima kasih pada pengirim-pengirim kad tersebut kerana tak pernah lupa pada nekcun. Ma’aflah nekcun tak dapat nak balas tahun ni… InsyaAllah, panjang umur, tahun depan nekcun balas yer!…

Selain kad raya, nekcun juga terima beberapa kad jemputan kahwin yang telah dan akan berlangsung dalam seminggu dua ni!… memang dah jadi trend agaknya!.. ramai yang suka ambil kesempatan mengadakan kenduri kahwin sambil terus buat perjumpaan Hari Raya!.. bagus juga kan?… boleh jimat belanja dan masa!...

Nekcun juga bersyukur sangat kerana lahir di Malaysia. Dalam pada ekonomi global masih dalam keadaan tidak menentu, tetapi kita di Malaysia masih terus makmur dan sejahtera. Jemputan ‘open house’ dan ‘open office’ sentiasa ada setiap hari, sehinggakan silap-silap haribulan, ada yang tak sempat nak puasa enam tuh!..

Bagaimanapun, nekcun sukalah nak ingatkan kekawan yang tengah raya sakan tu… beringat-ingatlah ketika menjamu selera… takut perut terkejut. Nanti darah tu terloncat 'tinggi' pulak, dan yang selama ni tawar akan ‘termanis’ pulak!… Takut nanti kena pinjam duit raya anak-anak pulak sebab nak kena tambah belanja pergi kelinik!…

Huh!.. sebenarnya nekcun nak ingat diri nekcun sendiri ler tuh!… takut terlebih manis pulak nanti sebab asyik makan kueh tart nenas!... hehehe…

Tuesday, October 6, 2009

Menggamit Syurga Firdaus...



Natasha dan Zaimir setia membajai cinta pertama dan segalanya bagaikan sempurna. Malang sekali cinta mereka kecundang kerana badai takdir yang melanda dan akhirnya kasih yang membunga terlerai diragut tragedy hiba.

Natasha berkelana meneruskan kehidupan. Hatinya tawar untuk menerima sebarang cinta lain. Baginya Zaimir tiada bandingan dan cinta Zaimir terlalu agung sehingga tiada siapa yang mampu menandinginya.

Tetapi, haruskah Natasha menyisihkan setiap cinta baru yang hadir?

Dilema Natasha bertambah keliru apabila jodohnya dengan Firdaus, lelaki yang tidak pernah dikenali sama sekali, yang diaturkan oleh kedua orang tuanya. Tiada daya lagi Natasha menolaknya, demi untuk tidak menjadi anak derhaka.

Hati yang resah bertambah kusut apabila sekali lagi Natasha diuji dengan kehadiran lelaki yang persis Zaimir.

Iskandar, jejaka tampan yang sudah beristeri seakan sengaja pula mencuri peluang yang ada. Sesekali Natasha terbuai oleh kenangan silam yang sering bertandang, apatah lagi dalam terpaksa dia juga harus berdampingan dengan Iskandar.

Perjalanan cinta Firdaus memburu mahligai kasih bersama Natasha bertambah rencam apabila dia sering diuji dengan pelbagai dugaan.

Teka-teki di sebalik hubungan sebenar Firdaus dan Natasha mengundang pelbagai prasangka kawan dan juga lawan.

Pengertian cinta Firdaus hanya mampu ditafsir oleh Natasha kerana jawapan kepada syurga idaman ada di tangannya.

Dapatkah Natasha menyulam cinta bersama Firdaus atau pun memilih Iskandar sekadar untuk melempiaskan cintanya kepada Zaimir?

Hanya Menggamit Syurga Firdaus mempunyai jawapannya!...

Thursday, October 1, 2009

Di sini ada Duit Raya ke?...


Mengucap panjang nekcun bila melihat gambar yang dihantar oleh seorang kawan. MasyaAllah!... adakah ini salah satu dakyah untuk menghina Umat Islam?...
Marilah kita renung-renungkan...

Monday, September 28, 2009

Bagaimana kita menyambut Hari Kemenangan?

Huh!.. lega rasanya bila dah selamat sampai kembali ke rumah setelah seminggu berhari raya di kampong halaman. Memang beraya bersama keluarga dan saudara mara semua adalah sesuatu yang amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila semua orang yang disayangi ada bersama kita.

Namun… tidak semua orang dapat bergembira di hari raya!... ramai juga di antara kita yang kesedihan di hari raya apabila orang-orang yang disayangi tidak kunjung tiba, tetapi apa yang tiba hanyalah jenazahnya sahaja kerana kemalangan jalanraya!...

Sekiranya itu berlaku, siapakah yang harus disalahkan? Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari Ops sikap meningkat!... Eeemmm... setiap tahun, itulah tajuk utama yang dimuatkan ke telinga kita apabila tiba cuti hari raya!... Adakah itu menandakan Ops sikap itu tidak berjaya merubah sikap pemandu-pemandu kita?... Jadi buat apa dinamakan Ops Sikap?... Eloklah ianya ditukar kepada Ops Bunuh Diri atau Membunuh Orang Lain!.. barulah agaknya semua orang terfikir untuk berhati-hati ketika memandu.

Eeemmm... entahlah... nekcun memang malas nak cakap bila cerita pasal pemandu yang tidak berhati perut ni... Banyak kali juga nekcun dan atok terkena dengan mereka-mereka ni ketika sepanjang perjalanan balik kampung dan ketika balik kembali ke rumah.

Contohnya semasa di highway utara selatan, nekcun nampak satu bas express tu lajunya mengalahkan kereta kita ni... dah tu jalan di tengah-tengah dan kekadang ke kanan ke kiri sesuka hati dia untuk memotong kereta lain. Bayangkan, kalau kita kereta yang lajunya 110 km sejam pun boleh dipotongya, jadi berapakah kelajuan bas express itu? Cuba bayangkan kalau dalam kelajuan begitu, tiba-tiba tayarnya pancit... sudah tentu pemandunya tidak dapat mengawal pemanduannya dan akibatnya mungkin akan membahayakan kenderaan lain yang berhampiran dengannya!... Bukankah ini satu penginyaan namanya.

Berbalik pasal menyambut Hari Raya... macam-macam cara orang kita menyambut Hari Raya ini. Macam nekcun sendiri, memang telah menjadi resam kami sekeluarga bahawa kami akan tinggal di hotel sepanjang berada di kampung halaman. Bukan tidak mahu duduk di rumah mertua, tetapi oleh kerana ramai sanak saudara yang balik berkumpul di rumah mertua ketika cuti hari raya, maka nekcun sekeluarga selalu mengalah dengan tinggal di hotel, tetapi tetap pergi menziarahi rumah mertua setiap hari dan masa. Balik hotel hanya untuk mandi, solat dan tidur sahaja.

Tetapi, nekcun rasa sedih betul bila ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku ketika kita bergembira kerana menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa tetapi telah dicemari dengan perbuatan yang tidak bermoral oleh sesetengah umat Islam sendiri. Contoh yang amat menyedihkan ialah kes pilu seorang suami yang mendapati isterinya ditangkap berkhalwat di sebuah hotel di utara tanah air. Lebih menyedihkan, wanita itu ditangkap dengan lelaki bukan Islam. Ini terang-terangan betapa rapuhnya iman seorang muslim yang mudah tergoda dengan janji manis yang didorong oleh syaitan!

Sepatutnya, dalam bulan baik hari baik ini, kita disunatkan lebih banyak bertarbiah dan bermuhasabah diri samada kita telah benar-benar menang untuk meningkatkan takwa dan iman kepada Allah SWT dan juga menang dari segala godaan syaitan semasa menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Tetapi apa yang selalunya berlaku, terutamanya gulungan insan-insan yang kurang bertakwa kepada Allah adalah menganggap hari raya sebagai hari terlepasnya dari bebanan berpuasa, iaitu terlepasnya dari menahan lapar dan dahaga semata-mata. Oh!... betapa malangnya nasib insan-insan ini.. Semoga janganlah kita termasuk ke dalam gulungan insan-insan yang sedemikian!..

Marilah kita hayati hari kemenangan ini dengan perkara-perkara yang lebih memberi manfa’at untuk kebaikan kehidupan kita di dunia dan akhirat, mengiratkan siratul-rahim sesama insan dan berma’af-ma’afan dengan cara yang lebih diredhai oleh Allah SWT.

SELAMAT HARI RAYA, MA’AF ZAHIR BATIN

p/s: Sesiapa yang sudi dan dah tahu rumah nekcun, jemputlah datang ke rumah. Nekcun tidak buat special 'open house’ kerana hari raya adalah hari 'open house’ sepanjang bulan.

Wednesday, September 16, 2009

Sessi Temuduga...

Pagi ini nekcun menerima e-mail dari seorang kawan yang meminta nekcun mengeluarkan iklan kekosongan jawatan. Hai!... mentang-mentanglah aku ni orang HR, bila ada sajer iklan kekosongan jawatan mesti serah kat aku!.. Tak tahu ke orang dah nak cuti Raya nih?.. nekcun berleter dalam hati..

Namun, apabila membaca e-mail tersebut dan demi ingatan sesama Islam dan kita adalah disunatkan untuk ingat mengingati walau pun sebaris ayat, maka nekcun hendak juga keluarkan iklan itu untuk dikongsi bersama semua kekawan dan juga semua Umat Islam... Tambahan apabila kita semua akan meninggalkan Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini tidak lama lagi...


TEMUDUGA JAWATAN KOSONG: CALON JENAZAH

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN


KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal..
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN
(khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur..
2. Perlindungan di Padang Mahsyar..
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA :
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA :
Di dalam kubur (Alam barzakh).

KELAYAKAN :
Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.

Sila bawa dokumen asal iaitu :
Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA :
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR :
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON :
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI :

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:Sabda Rasulullah S.A.W:"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya."

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk.. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.

Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".

Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN

Dari nekcun sekeluarga.

Wednesday, September 9, 2009

Malam yang sentiasa dirindui...

Terlalu cepat masa berlalu, tidak sedar malam sepuluh terakhir Ramadhan sudah mengentuk di muka pintu!

Oh!... tiba-tiba hati nekcun jadi terlalu rindu!... rindu pada malam Lailatul Qadar yang setiap tahun sentiasa diharapkan dapat bertemu…

Dapatkah tahun ini nekcun bertemu malam yang dirindui dan ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di dunia ini?

InsyaAllah!... memang itulah do’a dan harapan nekcun dan semua kita yang masih berpeluang hidup pada malam sepuluh terakhir Ramadhan ini.
Semoga Allah akan memperkenankan do’a-do’a kita semua!... Amiiiinnn...
MA'AF ZAHIR DAN BATIN KEPADA SEMUA YANG MENGENALI NEKCUN....

Tuesday, September 1, 2009

Kemerdekaan dan bulan makan-makan....

Apakah erti kemerdekaan dalam Bulan Ramadhan? Itulah tajuk tazkirah yang ustaz bawakan untuk kami jemaah Surau Al-Sakeenah di kawasan tempat tinggal nekcun.

Nekcun memang dari awal lagi sudah teruja untuk mengetahui apakah yang hendak disampaikan oleh ustaz itu kerana kebetulan pula pagi itu (31/8/2009) memanglah hari Kemerdekaan yang ke 52 bagi negaraku Malaysia yang kebetulan jatuh dalam bulan Ramadhan.

Dalam tazkirahnya, ustaz menyatakan bahawa tidak bererti kemerdekaan sesebuah negara jika rakyatnya sendiri tidak memerdekakan diri mereka sendiri. Di dalam kontek ini adalah di mana kita orang-orang Islam di Malaysia diibaratkan sebagai tidak merdeka sekiranya kita sendiri tidak berjaya untuk melengkapkan diri kita dengan Iman dan Takwa ketika menyambut ‘Kemerdekaan’ di Bulan Ramadhan.

Memang banyak dugaan yang perlu kita hadapi untuk memerdekakan diri kita di dalam bulan Ramadhan ini. Kemerdekaan dari hasutan syaitan dan iblis yang memang sentiasa mahu menyesatkan kita!.. Salah satunya yang memang amat berat untuk dilakukan oleh semua umat Islam terutamanya orang-orang Islam di Malaysia ini ialah ‘melawan nafsu’.

Ustaz juga menyatakan, nafsu adalah merupakan satu-satunya faktor utama yang susah untuk manusia menghindarkannya di dalam memerdekakan diri ketika di bulan Ramadhan. Berbagai-bagai nafsu yang sering boleh merosakkan Iman seorang umat Islam ketika menjalani ibadah puasa ini dan salah satunya ialah ‘nafsu makan dan berbelanja’ di mana di dalam bulan Ramadhan inilah kita orang di Malaysia boleh mendapatkan semua jenis makanan yang mungkin tidak ada pada bulan-bulan lain, tetapi ianya mudah di dapati di merata tempat ketika bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan di Malaysia telah bertukar kepada bulan ’makan-makan dan menjamu selera’ sehinggakan semua hotel-hotel di Malaysia akan menyajikan berbagai jenis juadah untuk dinikmati, bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga oleh bangs-bangsa lain yang akan turut mengambil kesempatan menjamu selera. Itu belum lagi termasuk pasar-pasar Ramadhan yang diujudkan khas sempena bulan Ramadhan sahaja di mana kekadang makanan yang dijual lebih banyak dari orang yang hendak membeli. Itu jugalah yang akan mendorong nafsu makan kita semakin tinggi kerana banyak pilihan di depan mata. Dan akhirnya akan jadilah kita sahabat syaitan kerana melakukan pembaziran...

Bagaimana pun nekcun tertarik kepada kesimpulan yang ustaz terangkan mengenai tiga (3) kumpulan umat Islam yang berpuasa iaitu:-

1) Kita berpuasa kerana kita orang Islam mengikut keturunan kita, dan oleh kerana kita Islam, kita perlu berpuasa sebagaimana semua orang Islam yang lain.
2) Kita berpuasa kerana hendak menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Kalau kita tak puasa, kita tidak akan merasa kemeriahan Hari Raya.
3) Kita berpuasa kerana kita Beriman dan Bertakwa kepada ALLAH dan Rasulnya.

Jadi… gulungan manakah kita ketika ini?... sama-samalah kita fikir-fikirkan...
Selamat Mengerjakan Ibadah Puasa dan mendapat keberkatan Ramadhan....

Wednesday, August 26, 2009

Ucapan yang mengharukan perasaan!...

Setiap kali Takbir bergema
Hatiku yang sunyi bertambah hiba
Memendam rindu yang kian membara
Dikau yang ku cinta sekian lama
Dari ku muda hingga ke tua.
Kini...
Mungkin kau tidak mengingati ku lagi
Entah bila cintamu boleh ku milikki
Namun aku akan terus menanti
Kerana hati ini tidak pernah sangsi
Hanya kau yang ku cinta sampai mati!...
Wahai sayangku...
Semoga kau dapat merasa segala rinduku
Ku sampaikan salam di angin lalu
Semoga Aildil Fitri mu gembira selalu...

Dariku,
”Insan yang telah kau lupakan”

Cuba kekawan bayangkan, apakah perasaan kekawan kalau ketika sedang tension dan stress kerana tengah menangani beban kerja di pejabat yang sentiasa bertimbun-timbun, tiba-tiba didatangi oleh Kad Hari Raya yang pertama di terima dengan ungkapan yang sedemikian?
Sekadar mahu berkongsi rasa syahdu dan sendu yang sedang nekcun rasakan sejak semalam!...

Wednesday, August 19, 2009

Gula dan Bulan Ramadhan... alahai...

Malam tadi nekcun dengan atok pergi ke pasaraya yang berhampiran rumah kami untuk membeli sedikit barang-barang dapur untuk keperluan bulan Ramadhan kelak. Nekcun tak mahu pergi pada hujung minggu kerana selalunya pasaraya akan penuh sesak pada hujung minggu, sehingga nak menolak troli pun tak muat.

Sebenarnya nekcun tak beli banyak barang pun. Hanya beberapa barang-barang harian seperti susu, gula, tepung dan bahan-bahan minuman untuk berbuka puasa kelak.

Ketika nekcun menghampiri tempat gula pasir, nekcun dapati tidak ada banyak bungkusan gula seperti selalunya. Dah tu, ada pula kertas notis diletakkan di situ: “setiap pembeli hanya dibenarkan 5 kilo sahaja”. Nekcun pun agak terkejut juga kerana sebelum ini tidaklah ada had sebegitu untuk membeli gula. Namun, itu tidak memberi masaalah pada nekcun kerana keluarga kami memang tidak banyak menggunakan gula (kerana nekcun memang dah manis!…. bukan diabetes ya!… hehehe… perasanlah pulak!) demi menjaga kesihatan sekeluarga.

Bagaimanapun nekcun ambil jugalah 2 kilo sahaja kerana dalam bulan puasa ni kekadang tu guna juga gula untuk air teh O panas semasa berbuka puasa. Itu pun selalunya nekcun bancuh tak manis sangat, takat manis buah sahaja kerana sudah ada manisan dalam buah Kurma. Atok pun tak suka manis-manis. Jadi bila gula kena catu camni, kami tidaklah masaalah sangat.

Sedang nekcun mahu mengambil bungkusan gula itu tetiba ada satu perempuan datang mendekati nekcun.
“Dek!… adik ambil berapa kilo gula tu?” tanya wanita itu.
“Saya tak perlu banyak, 2 kilo sajer dah cukup!” jawab nekcun selamba.
“Dek, ambil 5 kilo… nanti kat luar akak bayar kat adik!” pintanya dengan nada merayu.
“Eh!… nak buat apa pulak saya nak sampai 5 kilo? 2 kilo ni pun tak habis sebulan!…” jawab nekcun agak hairan.
“Bukan untuk adik!… tapi untuk akak!…” jawabnya seolah berbisik. Mungkin takut didengari oleh pelanggan lain.
“Eh!... kalau akak nak beli, akak ambil sahajalah untuk akak!” balas nekcun dengan nada agak tegang.
“Akak dah ambil 5 kilo, anak akak pun dah ambil 5 kilo, tapi tak cukup lagi…” jawabnya seolah merayu.
“Akak buat apa gula banyak-banyak tu?” soal nekcun lagi. Atok hanya memerhatikan kami.
“Akak ni miaga kueh dik… jadi bulan Ramadhan ni, akak kenalah tambah jualan dan sudah tentu akak kena banyak gunakan gula!… tolonglah dik, ambil 3 kilo tu untuk akak!” rayunya lagi.
“Oh gitu!… kalau akak miaga, pergilah beli kat pasaraya kat sana tu, ada jual secara pukal, boleh beli banyak-banyak!…” nekcun menyarankan.
“Akak dah pergi sana, tapi gula pun dah habis!… kena catu camni gak!…” jawab wanita itu, merayu belas ihsan nekcun.

Begitulah keadaannya bila barang makanan utama kekurangan di pasaran. Orang akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya. Nekcun sendiri pun tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja gula kurang di pasaran.

Malah dalam akhbar Star semalam ada mengatakan ianya adalah kekurangan di seluruh global bukan di Malaysia sahaja, Betul ke tu? Kenapa boleh jadi macam tu? Bila nak bulan Ramadhan sahaja, gula pasti akan berkurangan. Tahun lepas pun camtu jugak!… tak sangka pulak pokok tebu gula ni tahu bulan Ramadhan atau tidak ya?…

Eeemmm… entahlah… nekcun pun tak tahu apa nak cakap… mungkin ini adalah salah satu dugaan Allah kepada semua Umat Islam yang akan menghadapi Bulan Ramadhan. Allah tidak mahu kita membazir-bazir makanan semasa berbuka puasa! Cukuplah manisan dengan buah kurma sahaja!…

Tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbuka puasa dengan buah kurma sahaja!… sana sini nekcun lihat hotel-hotel telah membuat promosi Juadah berbuka puasa!… dan harganya… bukan seringgit dua ringgit… tetapi ada yang sampai beratus ringgit seorang. Mampukah kita menghabiskan makanan sebegitu banyak ketika berbuka puasa kelak? Sedarkah kita bahawa ini adalah salah satu hasutan syaitan yang sangat halus terhadap umat Islam… Ada firman mengatakan: Membazir itu adalah sahabat Syaitan!… jadi mahukah kita menjadi sahabat syaitan ketika kita berebut-rebut mencari ‘bonus’ yang Allah janjikan sepanjang Ramadhan kelak?… marilah sama-sama kita fikirkan…. Wallahualam!…
p/s: Selamat menyambut Ramadhan AlMubarak kepada semua kekawan yang berugama Islam. Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan yang penuh keberkatan ini.... Nekcun juga ingin minta ma'af kepada semua kekawan sekiranya ada salah silap selama kita berhubungan...

Tuesday, August 11, 2009

Hadiah anak-anak kepada ibu bapa...



Dalam seminggu dua ni nekcun rasa macam 24 jam sehari itu bagaikan tidak mencukupi bagi nekcun untuk menguruskan kerja-kerja pejabat dan juga kerja-kerja di rumah yang bertimbun-timbun sehingga untuk menulis sebaris ayat pun nekcun rasa tidak berkesempatan. Sebab itu jugalah teratak nekcun ni dah macam penuh sawang pulak!... hehehe...

Hujung minggu lepas (Hari Sabtu 8/8/2009) pun nekcun sibuk juga kerana menghadiri majlis Konvokesyen anak nekcun yang bungsu di MMU dan pada malamnya pula nekcun mengadakan sedikit majlis makan-makan dan do’a kesyukuran di rumah nekcun sempena dengan kejayaan anak nekcun itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun nekcun terasa agak penat juga.


Nekcun dan atok memang amat bersyukur kerana anak bungsu sudah selamat konvokesyen dan telah pun bekerja. Semasa majlis konvokesyen tu, nekcun lihat ramai graduan-graduan yang riang gembira apabila dapat bertemu semula dengan rakan-rakan mereka setelah mereka meninggalkan kampus. Termasuklah anak bungsu nekcun! Bukan main lagi dia dan kekawannya berpeluk-peluk bila telah lama tidak berjumpa dan mereka juga mengenalkan ibu bapa masing-masing yang turut gembira melihat anak-anak menerima Ijazah di atas pentas.
Itulah salah satu kepuasan yang akan dirasa oleh setiap ibu bapa iaitu bila anak-anak yang dijaga dari kecil telah berjaya mencapai cita-cita mereka. Pada pendapat nekcun, sudah tentu semua ibu bapa akan merasa bahgia bila melihat anak-anak mereka berjaya di dalam pelajaran dan kerjaya. Mereka tidak akan meminta apa-apa dari anak-anak mereka, melainkan kejayaan anak-anaklah yang mereka anggap sebagai hadiah untuk menghargai penat lelah mereka menjaga dan mendidik anak-anak itu sejak kecil.
Melihat telatah mereka, teringat nekcun ketika menghadiri majlis konvokesyen nekcun dulu. Ketika semua kawan-kawan sebuk memperkenalkan ibu bapa kepada kekawan yang lain, nekcun pula sebuk memperkenalkan suami dan anak-anak. Bukan nekcun tidak menghargai budi kedua ibu bapa nekcun tetapi mereka yang lebih merelakan atok dan anak-anak untuk bersama nekcun ketika itu. Namun nekcun tahu, kedua ibu bapa nekcun tetap gembira dan bahgia bila melihat nekcun bahgia bersama atok.

Walaupun terasa malu juga kerana dah beranak pinak baru teringat nak ke Menara Gading, (nak buat camna… atok meminang awal sangat!... hehehe…) tapi nekcun tetap rasa bersyukur kerana tercapai juga cita-cita nekcun untuk menggenggam segulung Ijazah. Bagi nekcun, ‘nothing is too late’… 'Tiada siapa yang akan merubah kehidupan kita kalau bukan diri kita sendiri!'... Wallahualam.



Monday, August 3, 2009

Tawaran Hebat yang tidak boleh dilepaskan!...

Dalam sedar tak sedar, musim tawaran hebat Bonus Tahunan sudah hampir menjelang lagi. Tak sabar rasanya nekcun nak merebut peluang sempena tawaran hebat yang memang tiada tandingannya ini. Marilah kita sama-sama merebutnya semasa kita masih punya peluang....

Apakah persediaan kita untuk mengambil peluang tawaran hebat itu? Do'a nekcun hanyalah semoga Allah memanjangkan umur kita semua supaya nekcun dan semua kekawan bloggers sempat merebut tawaran hebat itu lagi pada tahun ini... InsyaAllah....

Wednesday, July 29, 2009

Jalan-jalan, luas pandangan...


Sejak dari hari Juma’at lepas sehingga semalam nekcun mengikut Atok atas satu urusan rasmi di Pantai Timur. Walaupun pada mulanya kami merancang nak naik kapal terbang, tetapi bila kami bercadang hendak menyinggah-nyinggah di beberapa tempat sambil membawa cucu kami yang seorang tu, akhirnya kami pergi dengan kereta sahaja.

Sesekali travel dengan kereta memang agak menyeronokkan. Cucu nekcun pun turut seronok bila kami berhenti makan-makan dan menyinggah-nyinggah di Kuantan dan Cherating sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Jara. Nekcun dan atok terasa macam masa muda-muda dulu ketika berjalan membawa anak-anak yang masih kecil. Sekejap-sekejap kena berhenti kerana cucu nak buang airlah, nak bancuh susulah dan macam-macam lagi.


Tapi apa yang menyeronokkan nekcun ialah bila kami singgah makan dan cucu sebok nak itu ini, maka terpaksalah atok melayan kerenahnya.

Nekcun perasan ada beberapa orang yang tak henti memerhatikan kami. Mungkin mereka mengutuk kami agaknya: “Tu ler… kahwin lewat-lewat… kan susah!... dah tua masih ada anak kecil!...”

Tak kurang juga, beberapa orang yang bertanya: “Anak bungsu ke ni?”
Atok dan nekcun hanya tersengeh bila orang bertanya begitu. Namun ada juga yang tak percaya bila kami beritahu yang itu adalah cucu kami. Masa tu, nekcun terperasan lah pulak diri ini masih muda… hehehe…


Dalam perjalanan balik kami singgah di R & R Temerloh untuk bersolat. Tapi nekcun rasa agak kesal dengan sikap seorang gadis yang agak kurang menyenangkan ramai pengunjung di surau itu. Sikapnya yang seolah tidak menghiraukan keujudan orang lain amat memualkan.

Apa yang nekcun kesalkan ialah, dia bercakap dalam telefon dengan suara yang agak kuat yang nekcun rasa boleh mengganggu jemaah lain yang sedang khusyuk bersolat. Bukan setakat bercakap dalam telefon, malah dengan mulutnya yang pot-pet-pot-pet tu dia menghadap cermin yang kebetulan hanya ada satu sahaja di surau itu untuk bersolek dan melilit tudungnya tak sudah-sudah.

Bayangkanlah macam mana keadaannya... bercakap dalam telefon dengan telefon di kepit antara telinga dan lehernya, kemudian dia sebuk mencalit dan mewarna mata dan pipinya...(make-up ler tuh!) dan kemudian nak lilit tudung kat kepala!... tentulah susah dan memakan masa yang agak lama sehingga orang lain tidak boleh hendak menggunakan cermin muka tersebut!... Dah tu, suaranya pula boleh mengganggu orang lain yang sedang solat!... Adakah itu perangai seorang Muslimah?...

Eeemmm.. geram betul nekcun dibuatnya!... akhirnya nekcun cuit bahunya dan kata: ”Dik, kalau nak bercakap dalam telefon, boleh cakap kat luar tak? Kalau nak make-up lama-lama macam ni, boleh pergi kat toilet tak? Kat dalam surau ni orang nak solat dan cermin ni orang lain pun nak guna juga untuk betulkan tudung!... kalau telefon tersepit kat telinga, memanglah susah nak pakai tudung!...”

Nekcun lihat orang lain yang ada di situ pun turut mengiyakan teguran nekcun itu!... dan gadis itu, dengan sikap ’kurang ajar’nya menarik muka masam lalu memutuskan talian telefonnya sebelum keluar dengan tudung yang masih tidak terlilit. Mungkin berasa malu kerana semua orang memandang kepadanya denga pandangan yang jelik!...

Eeeemm.... entahlah!... nekcun pun tak tahu apa nak kata bila ada orang-orang yang tidak peka kepada keperluan orang lain terhadap ’harta awam’. Mungkin juga itu disebabkan ilmu ugama yang agak cetek!... mereka tidak faham bahawa dalam Islam, disamping mengerjakan solat 5 waktu yang diwajibkan, kita juga perlu berbuat baik sesama makhluk Allah yang lain dengan mengambil kira atau peka kepada ’harta awam’ yang perlu dikongsi bersama!...Wallahualam...

Tuesday, July 21, 2009

Siapakah Lelaki Sejati?...

Mini parlimen di kafetaria pagi tadi bergegar lagi bila salah seorang kawan kami mengeluarkan cerita dalam akhbar pasal seorang lelaki yang telah di denda RM2,000.00 dan penjara (nekcun tak ingat berapa lama) kerana mengedarkan gambar isterinya yang berkeadaan kurang senonoh.

Sebenarnya kami sendiri tak tahu apa yang dimaksudkan kurang senonoh itu. Adakah gambar dalam keadaan bogel atau separuh bogel atau keadaan kurang siuman. Namun apa yang menjadi tajuk utama kami pagi tadi ialah: Mengapa lelaki itu sebegitu bodoh untuk mempamerkan keaiban isterinya sendiri? Bukankah itu juga adalah sebahagian dari keaibannya sebagai suami wanita itu? Tidakkah dia boleh dianggap sebagai seorang suami yang dayus kerana membiarkan, malah menggalakkan keaiban isterinya dipamerkan! Jenis lelaki apakah ini?...

Isu tentang lelaki ini telah menarik minat nekcun untuk berkongsi beberapa pendapat tentang lelaki yang boleh dianggap sebagai lelaki sejati. Apakah itu Lelaki Sejati?...

Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar, tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang, tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya, tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati ditempat bekerja, tetapi bagaimana dia dihormati di dalam rumah…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang, tetapi dari hati yang ada di sebalik itu…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja, tetapi komitmennya terhadap wanita yang dinikahinya…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan, tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan…
Lelaki yang sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci, tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca…


Sabar itu iman…Duit bukan kawan…Dunia hanya pinjaman…Mati tak berteman…


“Manusia Hawa diciptakan dari rusuk Adam. Bukan dari kepalanya untuk dijunjung, bukan pula dari kakinya untuk dijadikan pengalasnya, tetapi dari sisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat dengan lengan untuk dilindungi dan juga dekat dengan hatinya untuk Dicintai dan dikasihi serta disayangi.”

Begitulah beberapa phrasa tentang lelaki sejati yang nekcun dapat dari beberapa kekawan dan juga pembacaan... maka, adakah suami-suami kita atau kekawan bloggers yang lelaki tu termasuk di dalam kategori Lelaki Sejati itu?.... sendiri mau ingatlah!... hehehe....


Tuesday, July 14, 2009

Rindu tidak mengenal siapa!...

Beberapa hari tiada di ‘tanah air’ ku, membuatkan nekcun banyak terputus hubungan dengan kekawan dan juga semua insan yang disayangi. Tika-tika itu akan terasa rindu meruntun kalbu. Hanya di angin lalu sahaja dapat nekcun kirimkan salam. Berharap benar agar nekcun tidak akan dilupakan!...

Ketika berjauhan, bukan sahaja nekcun yang terasa rindu, tetapi yang disayangi juga merindui nekcun sehingga ada yang terkulai layu… oh!... pilu sungguh hati nekcun bila melihat sidia jadi layu sehingga hilang seri kehijauannya… Mungkinkah dia juga kelayuan kerana menanggung kerinduan sehingga hilang seri wajahnya?...


Mungkin dia juga akan meluahkan perasaannya dengan penuh emosi sekiranya dia boleh berkata-kata… Oh!..kesihannya... pokok2 bunga dan ikan2 nekcun kerana tiada siapa yang memandikan dan bercerita dengan mereka selama ketiadaan nekcun!... hehehe…

<<<> Lihatlah pokok2 dan kolam ikan nekcun dah macam tak berseri lagi!...

p/s: nekcun tengok teratak nekcun ni pun dah mula bersawang!... ish…ish…ish…

Monday, July 6, 2009

Tiga macam ragam yang menyeronokkan!...



Syukur Alhamdulillah, nekcun dan atok seronok sangat sebab anak kami yang bungsu yang baru habis final exam dari MMU pada June 09 telah pun mendapat kerja tetap di salah sebuah GLC terkemuka pada 1/07/2009 tempoh hari.

Lega benar rasanya bila dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan ramai graduan yang masih menganggur tetapi anak bungsu nekcun telah dipanggil kerja sebaik sahaja mendapat keputusan rasmi semester akhir pengajiannya dalam Degree in Accountancy with Hons. InsyaAllah kalau tiada aral melintang dia akan menghadiri majlis Konvekasyen di MMU pada 8/8/2009.

Memang nekcun dan atok amat bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberkati keluarga kami. Dengan itu, lengkaplah semua anak-anak kami telah bekerja dengan profession yang berbeza dan lapanglah rasanya bila nekcun dan atok mencapai umur persaraan nanti. Tak perlu risau lagi tentang perbelanjaan pembelajaran anak-anak kerana semuanya telah mendapat pekerjaan yang stabil.

Nekcun juga terasa amat seronok bila semua anak-anak berkumpul semalam. Macam-macam kerenah mereka. Maklumlah, nekcun ada tiga orang anak dengan tiga jenis profession dan latar belakang Ijazah yang berlainan, maka tentulah tiga macam ragam kerenah mereka pula.

Kakak yang sulong seorang doctor, memang banyak cakap kerana jadi doctor kena banyak berinteraksi dengan pesakit supaya pesakit akan rasa selesa dan cepat sembuh. Maka bila dengan keluarga di rumah pun, macam itulah perangainya… ramah sekali. Dah tu, semua apa yang dibuat semuanya nak cepat sebab dia kata 1 minit pun amat berharga. "People can die if you are late even by one minute!..."


Abang yang tengah seorang jurutera (Equipment & power). Pendiam, mulut macam boleh keluar emas kalau bercakap!.. Satu ditanya, satu dijawab. Tetapi perfectionist… tak boleh silap. Semua teratur. Kalau melipat bajunya, bibik pun kena hati-hati kerana kalau tersalah saiz akan dipunggahnya kembali dan disuruh buat semula. Katanya, kalau sesuatu tak betul ikut ukuran atau pemasangan, ia tidak boleh berfungsi atau kekadang boleh rosak atau meletup!... Very specific… 1+1 mesti jadi 2… Keretanya sentiasa bersih sehinggakan anak buahnya (cucu nekcun yang sorang tu…) pun tak berani dan makan tak tentu hala dalam kereta Pak Ngahnya!.. Tak tahulah macam mana tunangnya melayan kerenahnya!...

Anak yang bungsu pulak adalah agak ‘calculative’ dari segi berbelanja. Setiap kali kalau ada diantara kami yang nak ber’shoping2’ mesti dia akan tanya; ‘how much can we spend? Does that amount had been budgeted, etc…” Almaklumlah kerja sebagai accountant! Asyik fikir pasal nak simpan duit dan kira untung rugi sajer!

Huh!... 3 orang anak dengan 3 macam ragam memang selalu buat nekcun dan atok tidak pernah sunyi dari melayan kerenah mereka!... Tetapi menyeronokkan kerana mereka mempunyai pengetahuan dan kepakaran masing-masing, jadi kalau ada diantara mereka yang tak faham satu-satu perkara, mereka akan rujuk kepada yang tahu!...

Bagaimana pun akhirnya selalu mereka akan merujuk juga kepada atok dan nekcun untuk mendapatkan final comments & nasihat… dan… macam selalu atok suka bergurau… “Apa-apa hal pun, mama hangpa lah yang menang, sebab ayah ni kan ada penyakit TB!...” dan anak-anak nekcun akan ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata ayah mereka kerana mereka pun seolah maklum dengan perkara itu… hehehe…

p/s: Kalau nak tahu apa itu penyakit TB yang dimaksudkan di sini… bacalah Menggamit Syurga Firdaus…. hehehe….

Saturday, June 27, 2009

Macam-macam hal... alahai!...

Banyak juga cerita sensasi yang terlepas dari pengetahuan nekcun ketika nekcun agak lama bercuti bersama keluarga ke satu tempat di alam maya ini. Salah satunya bila kami terpaksa berbaris panjang untuk di scan dari virus H1N1 di KLIA. Nasib baik tak perlu kena kuarantin!… hehehe…

Tapi perkara yang benar-benar mengejutkan nekcun ialah bila Kerajaan Indonesia membuat keputusan untuk tidak membenarkan warga negaranya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

“Mama… nampak gayanya bibik terus tak baliklah ni!…” anak bungsu nekcun berkata ketika membaca berita itu semalam ketika kami baru balik dari bercuti.

Kebetulan pula sekarang ini pembantu rumah nekcun sedang dalam tempoh bercuti selama sebulan setengah dan sekarang berada di kampungnya di Yokjakarta. Memang dah menjadi kebiasaan nekcun memberi pembantu rumah cuti panjang untuk balik kampung setiap dua tahun sekali.

Namun bagi nekcun, apa-apa pun keputusan yang diambil oleh Kerajaan Indonesia adalah lebih kepada merugikan warganegaranya sendiri dari kita rakyat Malaysia. Memang betul, kita mungkin akan susah untuk mendapatkan pembantu rumah sepenuh masa, tetapi kita masih ada cara lain untuk menyelesaikan masaalah itu seperti mendapatkan tukang cuci rumah yang ‘on weekly basis’ atau sebagainya.

Bagi urusan mengasuh anak-anak pula, kita masih ada banyak ‘nursery’ yang boleh kita harapkan untuk menjaga anak-anak kita. Lebih-lebih lagi sekarang ini, kebanyakkan organisasi dan pejabat-pejabat adalah digalakkan untuk mengadakan taman asuhan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pengasuh-pengasuh yang lebih bekelibar, dari pembantu rumah Indonesia yang belum tentu keselamatan dan kebajikan anak-anak kita akan terjamin.

Lagi satu cara ialah… suami-suami yang selama ini hanya jadi ‘King’ kenalah ringankan tulang, tolong isteri mengasuh anak atau mengemas rumah tangga!… mungkin inilah ‘rahmatNya’ yang Allah jadikan perkara ini!… (Mesti berfikiran positif!… hehehe)

Tetapi sebaliknya, warganegara Indonesia sendiri akan menghadapi lebih kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Memang mereka kata, mereka lebih suka bekerja sebagai pembantu rumah di Hong Kong & Taiwan atau pun di Negara-negara Timur Tengah. Tetapi, terjaminkah mereka yang rakyat mereka itu tidak akan mengalami kes penderaan sebagai mana yang rakyat mereka alami di Malaysia? Sudah terjaminkah bahawa majikan mereka di Negara-negara tersebut semuanya baik-baik belaka?

Rata-rata nekcun tengok dan dengar bahawa kes-kes dera pembantu rumah ini adalah bagi majikan yang bukan berugama Islam!… tidak pernah lagi kita dengar majikan Melayu atau yang berugama Islam mendera pembantu mereka sehingga sedemikian rupa! Tetapi ada banyak kes kita dengar pembantu rumah pulak yang ‘besar kepala & suka buat perangai’ pada majikan orang Melayu atau yang berugama Islam!…

Jadi, suka nekcun menasihatkan Kerajaan Indonesia dan juga Kerajaan Malaysia (eh!… boleh ke nekcun nasihatkan mereka? Siapa ya?… hehehe) supaya mengkaji perkara ini dari setiap sudut kerana tindakan atau keputusan yang diambil oleh Kerajaan Indonesia untuk menahan rakyatnya dari terus bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia tanpa penelitian teliti hanya akan merugikan rakyat mereka sahaja akhirnya bila mereka tiada pekerjaan yang boleh menampung kehidupan mereka di Indonesia sendiri!…

Bagi Kerajaan Malaysia pula, cubalah fikirkan gejala yang akan timbul dari tindakan itu iaitu salah satunya akan bertambah ramailah nanti pendatang haram yang akan bekerja di Malaysia tanpa permit kerana bagi mereka, hidup perlu diteruskan dan mereka perlu mencari rezeki walau di mana sahaja, walaupun Kerajaan mereka tidak membenarkan mereka bekerja di Malaysia, tapi kalau sudah di Negara sendiri tidak ada sumber pekerjaan, maka tidak mustahil mereka akan tetap datang ke Malaysia dengan apa jua cara sekali pun!…

Entahlah!… what come what may!… nekcun dah malas nak fikir-fikir lagi cerita pasal pembantu rumah ni… Terasa letih sangat bila kena buat kerja rumah selepas balik bercuti ni… hehehe… Ada atok cadangkan ambil pembantu dari Narathiwat… boleh makan lauk tomyam selalu… hehehe….

Tuesday, June 16, 2009

Di mana kedudukkan Novel Popular di mata pembaca...

Tanpa nekcun sangka semalam nekcun mendapat telefon dari seorang sahabat lama yang sama-sama bekerja di sebuah bank perdagangan suatu ketika dulu. Terkejut juga bila tiba-tiba dapat panggilan dari sahabat yang sudah lama tidak berhubungan.

“Ass’kum! Wah… lama tak dengar khabar you! Apa berita menarik sekarang?” sahabat bertanya.
“Mualaikumsalam… saya macam biasa sajer… kerja cari makan! Tiada apa yang menarik pun!” balas nekcun jujur.
“Hei… I dengar sekarang you dah glamour!” usik sahabat lagi.
“Glamour apanya? Saya tetap macam dulu… kerja makan gaji. Lainlah macam you, orang business, masuk mesti lebat punyer!” usik nekcun kerana nekcun tahu dia telah berjaya menjadi seorang business woman , business Catering apabila dia mengambil VSS dan berhenti kerja dari bank tidak lama dahulu.
“Alaah… business Catering ni, ada pasang surutnya!... kalau tengah-tengah bulan camni susahlah sikit… lainlah kalau cuti sekolah tempoh hari, ramai orang kenduri kahwin, memang tak cukup tangan dibuatnya!” sahabat memberitahu.
“Okeylah tu… anyway, mana you dapat nombor saya ni?” tanya nekcun.
“Itulah yang I cakap you dah glamour!.. I nampak anak I baca novel karya Kamsiah Abu, jadi I pun carilah fakta-fakta penulis dalam google untuk memastikan adakah itu benar2 you, dan kemudian I melayari blog you! Itulah yang I boleh dapat you ni!...” terang sahabat dengan riang rianya.
“So… you dah baca ke novel I? Yang mana satu?” tanya nekcun agak teruja.
“Eeemmm… you tahulah I ni… mana suka membaca! Memasak I sukalah!..” jawab sahabat sambil terus ketawa terbahak-bahak.
“Cuba-cubalah tambah hobby you tu… selain memasak, cubalah baca novel pulak! Bolehlah membantu meningkatkan industri perbukuan jugak…” nekcun menyarankan.

“Nantilah… you punya pasal I akan tambah hobby membaca novel pulak!... tapi, you janganlah tulis novel yang bahasa sastera-sastera sangat!.. I tak sukalah novel-novel yang guna bahasa sastera, susah nak faham apa yang mereka maksudkan! Banyak sangat yang tersurat dan tersirat sehingga kekadang kita tak faham apa yang mereka nak beritahu. Dah tu guna pulak perkataan-perkataan yang jarang kita gunakan dalam bahasa harian, memang boring betul!... mengantuk I kalau membacanya! Sebab itulah I malas nak baca novel...” jawab sahabat selamba.

Tergamam nekcun mendengar komen sahabat itu. Terbayang majlis HSKU yang sedang berjalan sekarang!

“I rasa budak-budak remaja pun memang malas nak baca novel-novel sastera ni kerana sebab-sebab itulah!... mereka tak faham apa yang hendak disampaikan oleh penulis kerana gaya bahasa dan perkataan yang digunakan dalam kebanyakkan novel sastera bukanlah perkataan atau gaya bahasa yang mereka tuturkan sehari-hari… jadi mereka rasa bosan dan akhirnya mereka malas nak baca buku2 berbentuk demikian! Jadi kalau nak sampaikan message pada remaja melalui penulisan, jangan gunakan bahasa sastera yang membosankan!.. I’ll bet if they want to read such novel!...” tambah sahabat lagi apabila nekcun terus membisu.

Tersentuh juga hati nekcun bila mendengar komen yang nekcun rasa begitu jujur. Sebagai seorang penulis yang baru mahu membina tapak di persada penulisan, nekcun terasa juga pedihnya apa yang dikatakan oleh sahabat itu, tetapi nekcun juga tidak dapat menafikan ada juga kebenaran dalam kata-katanya itu.

Sebenarnya bukan baru sekali ini nekcun mendengar komen yang sedemikian. Pernah beberapa ketika nekcun memberi ceramah kerjaya di beberapa IPTA, sempat nekcun mempromosikan novel-novel nekcun. Terdapat komen-komen yang sedemikian dari pelajar-pelajar di mana mereka kata mereka lebih seronok membaca novel-novel popular dari novel-novel yang telah memenangi hadiah sastera, walaupun pada pandangan pihak2 yang tertentu novel-novel itu lebih bermutu dari novel-novel popular.

Malahan ramai dari pembaca2 novel2 nekcun terus memberi maklumbalas pada nekcun untuk terus menghasilkan novel-novel popular dan bukan novel sastera sekiranya nekcun mahu message yang ingin disampaikan dapat dihayati oleh golongan remaja atau lain-lain sasaran pembaca kerana message yang disampaikan secara ‘bahasa ringan atau bahasa santai’ lebih mudah difahami dan lebih effektif.

Eeemmm… entahlah! Nekcun tak berani nak komen pasal bahasa ni banyak-banyak, takut ada pula pihak-pihak yang tersinggung nanti. Apa-apa pun, bagi nekcun setiap penulis ada cara dan gaya penulisan mereka sendiri. Maka terserahlah kepada mereka untuk menentukan cara penulisan mereka masing-masing. Apa yang mustahaknya ialah message yang ingin disampaikan dapat dimanfa’atkan oleh pembacanya dan yang paling utama, penerbit tidak akan menanggung kerugian akibat dari penerbitan novel-novel tersebut. Wallahualam!...

Wednesday, June 10, 2009

5 Perkara Penting Dalam Hidup...

Pagi ni nekcun dapat e-mail dari seorang sahabat yang memang selalu amat prihatin dengan setiap kenalan yang dia ada. Nekcun memang suka sangat pada e-mail2 yang selalu dia hantar kerana banyak perkara yang bermenafa'at yang dapat nekcun pelajari dari e-mail2 beliau.
Kali ini nekcun suka nak kongsi dengan kekawan bloggers semua apa yang nekcun rasa adalah perkara yang memang sewajibnya kita amalkan setiap hari selagi kita bernyawa.
Lima perkara yang semua kita mahukannya dan kita berusaha untuk mendapatkannya ialah:-
1. Wajah yang cantik
2. Duit yang banyak
3. Kesihatan yang baik
4. Anak-anak yang cerdik dan berjaya macam kita
5. Tidur yang nyenyak tanpa gangguan
Sebenarnya senang sajer untuk mendapatkannya, hanya 50 minit setiap hari.
Sabda Nabi SAW,
Siapa yang tinggalkan solat subuh, tiadalah padanya nur di wajahnya
Siapa yang tinggalkan solat zohor tiadalah padanya rezki yang berkat
Siapa yang tinggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan
Siapa yang tinggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak2 yg bermanafaat
Dan siapa yang tinggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak

Oleh itu, marilah kita saling ingat mengingati akan perkara wajib ini demi kebaikan kehidupan kita di dunia dan diakhirat.
Sampaikanlah daripada Nabi SAW itu walaupun hanya satu ayat...
Wallahualam...

Thursday, June 4, 2009

Boss yang bossy!...

Pagi tadi ada seorang kakitangan syarikat telefon nak datang buat temujanji dengan nekcun untuk meminta nasihat dan pandangan kerana dia sedang menghadapi masa’alah dengan ketuanya. Memang itulah salah satu tugas nekcun sebagai EAP practitioner atau pun counselor untuk syarikat tempat nekcun bekerja sekarang di samping tugas utama nekcun di Bhg. Sumber Manusia.

“Hajjah… saya rasa tertekan sangat dengan perangai boss saya!” ujar anggota syarikat.
“Apa yang dia buat sampai awak rasa tertekan?” tanya nekcun.
“Dia bossy sangat!” balas anggota syarikat.
“Dah dia boss, kenalah bossy!… “ ujar nekcun sengaja nak provoke supaya dia akan terus bercerita masaalahnya.
“Iyalah… saya tahulah dia boss, tapi janganlah bossy tak tentu hala!” ujarnya.
“Bossy yang macam mana tu?” tanya nekcun lagi.
“Bla..bla…bla… potpet… potpet…” anggota itu bercerita pasal perangai ketuanya.

Hampir satu jam kami berbincang, tetapi dia yang banyak meluahkan perasaannya, manakala nekcun hanya mendengar sahaja dan sekali sekala nekcun bertanya sekiranya apa yang dimaksudkan tidak jelas.

“Jadi… sekarang awak dah tahu yang boss awak bossy macam tu sebab mahu memastikan tanggungjawab dia sebagai boss berjalan lancar kerana tanggungjawab sebagai boss bukannya mudah, jadi apa yang awak rasa awak patut buat?” nekcun sengaja mahu dia membuat keputusannya sendiri.

“Saya rasa saya setuju dengan statement Hajjah tadi… dah dia boss, kenalah bossy baru kerja boleh berjalan lancar!… saya akan guna cara yang sama kepada anggota bawahan saya pula!… biar boss saya tahu bahawa saya juga seorang boss!.. Terima kasih Hajjah kerana mahu mendengar masaalah saya! ” katanya sambil tersenyum seolah puas hati kerana telah dapat idea untuk bertindak.

Nekcun turut tersenyum dengan keputusan yang dibuatnya sendiri. Dari fahaman nekcun, sebenarnya bossnya itu tidaklah bossy tara mana pun, hanya dia sahaja yang merasa kurang senang apabila ada di antara rakan sekerjanya yang lebih mendapat perhatian dari ketua mereka sebab berjaya menyiapkan semua tugas dalam jangka masa yang ditetapkan kerana mereka tahu mengawal anggota bawahan mereka.

Di samping itu, anggota terlibat merasa tiada siapa yang faham akan perasaan dan masaalahnya kerana selama ini tiada siapa pun yang mahu mendengar rungutannya!… Maka itulah salah satu sebabnya mengapa di syarikat kami, telah diujudkan beberapa orang yang dilantik sebagai EAP practitioner atau pun counselor yang diikhtiraf oleh syarikat untuk membantu anggota-anggota yang memerlukan bantuan seperti yang nekcun ceritakan itu.

Bagi nekcun, walaupun tugas itu sebenarnya hanyalah sebagai tugas sukarela kerana ia tidak termasuk dalam KPIs tugas utama nekcun, tetapi nekcun akan rasa seronok bila anggota yang datang berjumpa nekcun akan pulang dengan lebih senang hati dan bersemangat untuk bekerja di dalam membangunkan syarikat. Bagi nekcun, jika nekcun berjaya membuat orang lain gembira dan bermotivasi adalah satu kejayaan yang amat membahgiakan.

Nekcun selalu percaya akan kata-kata seorang ustaz kepada nekcun suatu masa dulu: “ Sekali kita membantu melapangkan kehidupan orang lain, nescaya Allah akan melapangkan hidup kita sampai bila-bila!…” InsyaAllah!...

Friday, May 29, 2009

Jangan disakiti hati isterimu!...

Dalam masa nekcun dan atok sedang seronok menyakat cucu yang tengah berlari-lari bermain di shopping mall, tiba-tiba telefon atok berdering-dering minta dijawab. Sudah jadi kebiasan atok kalau dia tengah layan cucu, memang dia tidak akan jawab telefon. Lalu dia menyerahkan telefonnya pada nekcun untuk menjawabnya.

Memandangkan kami sedang bercuti agak jauh, maka nekcun juga tidak akan menjawab telefon yang nombornya tidak di register dalam contact list kami. Jadi nekcun membiarkan sahaja deringan itu berhenti sendiri.

Tidak sampai 5 minit, telefon atok berdering lagi dan nombor yang sama seperti tadi tertera lagi. Nekcun biarkan lagi dan ianya berlarutan sehingga empat kali.

“Jawablah telefon tu, tanya dia sape dan nak apa! Nampak macam urgent sangat!” Atok menyuruh nekcun apabila telefon itu berdering lagi untuk kali kelima.

“Hello, Assalamualaikum!”
“Mualaikumsalam, ini telefon Haji ke? Ini isterinya ke?”
“Ya… saya!... siapa ni?” tanya nekcun agak suspence kerana mendengar suara pompuan dalam telefon tu.
“Eemmm… saya Minah (bukan nama sebenar) isteri Dollah (juga bukan nama sebenar)… ma’aflah menganggu Hajjah, saya cuma nak pastikan ini betul ke nombor telefon Haji…” katanya agak gugup.
“Ya, puan Minah... ini saya, Hajjah. Puan nak cakap dengan Haji ke?”
“Hajjah dengan Haji ada di mana sekarang?”
“Kami sekeluarga sedang bercuti. Itulah Haji tengah main dengan cucunya, jadi tak angkat telefon tadi…”
“Oh… ma’aflah… cuti dalam M’sia ke di luar M’sia ni…?”
“Kenapa pulak?”
“Kalau luar M’sia, nanti saya telefon lainlah bila dah balik nanti. Takut nanti bil telefon melambung pulak!”
“Okeylah kalau begitu… lusa kami baliklah…” ujar nekcun sambil memutuskan talian.

Atok dengan nekcun agak terkejut juga bila mendapat panggilan dari Minah tu kerana selama ini tidak pernah dia menghubungi atok. Bagaimanapun akhirnya atok dan nekcun membiarkan sahaja isu itu sehinggalah kami balik ke rumah pada hari Rabu lepas.

Petang semalam nekcun mendapat panggilan dari Minah tu apabila dia memberitahu yang atok telah memberikan nombor nekcun kepadanya. Dia kata dia lebih senang bercerita dengan nekcun dari dengan atok, tetapi semasa dia menelefon awal tu, dia tengah buntu dan tidak tahu pada siapa dia hendak memohon pertolongan.

Dari perbualan itu, nekcun baru tahu rupanya dia baru mendapat tahu yang suaminya sedang ‘bermain cinta terlarang’ dengan wanita lain. Dia boleh mengesan perkara itu bila mendapati terlalu banyak SMS dan panggilan dari wanita itu dalam bil telefon suaminya. Sehingga, ada waktu-waktunya pukul 3 pagi pun mereka ada berhubungan. Apabila dia ‘confront’ dengan suaminya, suaminya kata bahawa nombor itu adalah nombor kekawan golfing mereka. Tapi Minah lebih cekap, dia telah telefon nombor itu dan telah ‘confront’ dengan wanita itu dan dia pun dah mengaku segalanya. Sebab itulah Minah telefon atok untuk mendapatkan pengesahan kerana suaminya itu adalah kekawan atok juga.

Apabila nekcun ceritakan hal itu pada atok, mengucap panjang atok dibuatnya!...
“Mengapa bang?” nekcun bertanya.
“Jadi betullah apa yang kami sangkakan selama ini!” balas atok.
“Sangkakan apa?”
“Memang betul mereka ada hubungan sulit!...”
“Siapa?” nekcun tambah bingung.
“Dollah dengan Zenah… (bukan nama betul)” jawab atok seolah terkilan.
“Oh!... Zenab tu ke?...” nekcun juga turut terkejut.
Atok hanya mengangguk. Nekcun lagilah terkilan yang amat-amat kerana nekcun memang mengenali kesemua mereka itu dan memang selama ini kami semua berkawan rapat melalui suami masing-masing. Malah Minah dengan Zenab juga saling kenal mengenali agak rapat.

Eeemmm… nekcun tak mahulah nak cerita panjang pasal kisah ‘cinta terlarang’ ni kerana ia amat menyakitkan hati bagi isteri yang terkena perbuatan khianat suaminya itu. Sebagai seorang isteri, nekcun faham benar perasaan Minah. Iyalah… dalam keadaan umur-umur “rumah kata pergi, kubur kata mari” pun suaminya masih sanggup mengkhianati perkahwinan yang telah terjalin lebih dari 30 tahun.

Entahlah!... nekcun pun kekadang tak faham, apalah sangat yang di cari dek suami-suami yang sebegini. Tidak kah kau ingat segala kebaikkan isteri kamu selama ini? Kalau kamu mencari yang lebih muda, tidakkah isteri kamu juga dulu pernah muda dan kekasih baru mu itu juga nanti akan tua juga. Lagi pun, kamu tu pun kan dah tua Bangka juga!.. Tak malukah pada anak cucu bila mereka tahu perangai ‘gatal’ kamu itu?

Nekcun hanya mampu menasihati Minah agar bertawakal dan memohon pertolongan Allah agar rumah tangganya kembali bahgia. Nekcun suruh juga dia beritahu suaminya, adakah tidak suaminya berfikir sedemikian:-

1) Sekiranya dia meneruskan dengan episode cinta terlarang itu, tidakkah dia tahu yang dia sebenarnya dalam kerugian.
2) Dia akan kerugian bila dia hilang kepercayaan dan rasa hormat serta kasih sayang isteri, anak, menantu dan cucunya kelak kalau mereka mengetahui perkara tersebut.
3) Dia akan kerugian apabila dia hilang maruah diri dan rasa hormat dari kawan-kawan yang selama ini menghormatinya.
4) Dia akan kerugian apabila dia terus menanggung dosa kerana menipu isteri dan anak-anak selama ini.

Entahlah… nekcun macam rasa dah malas nak fikir soal-soal begini. Nekcun bukan nak salahkan lelaki sahaja, tetapi... juga kaum wanita yang tidak tahu menilai maruah diri sendiri. Tidakkah wanita-wanita yang suka ‘merampas hak orang ini’ terfikir bahawa kalau hari ini lelaki itu boleh meninggalkan isterinya kerana dia, maka tidak mustahil satu hari nanti lelaki itu juga akan meninggalkannya untuk wanita lain.

Wahai kaum sejenisku… janganlah kita sakiti hati kaum kita sendiri… dan wahai kaum lelaki, sayangilah dan kasihilah isteri anda yang telah banyak berkorban melahirkan zuriat anda… janganlah disakiti hatinya. Bagaimana anda rasa, kalau anda di tempat isteri anda itu?...

Bukan niat nekcun mahu ‘mengharamkan yang halal’ tetapi, kalau mahu membuat juga, ikutlah cara yang sebenarnya mengikut sunnah Rasullullah, bukannya hanya kerana mengikut naluri kelakian kamu… Kepada kaum lelaki, nekcun minta ma’af sekiranya entry kali ini agak emosional dan mungkin mengguris hati kalian, tetapi marilah berfikir secara waras dan fikirkanlah segala implikasi yang akan timbul dari perbuatan itu…

Harap ma’af sekiranya ada kekawan bloggers yang terguris rasa akan N3 nekcun kali ini…

Friday, May 22, 2009

Bibik oh bibik!...



Mesyuarat, taklimat, ceramah dan sessi temuduga silih berganti tanpa henti memerlukan perhatian dan kehadiran nekcun sepanjang minggu ini… amat meletihkan!...

Bibik pula sudah mula cuti panjang, balik ke Yogjakarta selama sebulan setengah mulai hari ini. (Memang setiap 2 tahun sekali nekcun beri dia cuti panjang, balik kampong). Huh!... kerja rumah yang menanti pulak agak menyenakkan!... (Itulah susahnya kerana selama ini semua bibik yang uruskan!...) Rasa tak sabar nak tunggu bibik balik semula ke sini…

Takut teratak nekcun ni akan penuh sawang pulak nanti… tak sempat nak bersihkan!... janganlah kekawan tak mahu singgah pulak bila dah bersawang… lagi sedih nekcun nanti!...

Huhuhuhukkk….

Friday, May 15, 2009

Antara Cinta dan Pengorbanan...


“Assalamualaikum nekcun!” terdengar suara romantis di telefon apabila nekcun tergesa-gesa menjawab telefon yang berdering-dering di atas meja sehingga tidak sempat hendak melihat nombor yang terpapar tadi.

“Mualaikumsalam, siapa nih?” soal nekcun dengan nada serius kerana baru balik dari mesyuarat yang agak menyenakkan perut.

“Sibuk ke?”

“Eeemmm… sibuk juga! Encik siapa ni… dan apa yang boleh saya bantu?” nekcun cuba melembutkan suara kerana khuatir mungkin pelanggan syarikat yang perlu dihormati.

“Betul nekcun boleh bantu saya?”

“Siapa awak ni? Kalau tak mustahak, saya akan letak telefon ini kerana saya ada banyak kerja yang perlu dibereskan sekarang!” jawab nekcun spontan kerana nekcun baru tersedar yang sipemanggil itu menyebut nekcun dan bukannya nama nekcun yang sepatutnya. Maka sudah pasti dia bukan pelanggan syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan nekcun.

“Awak masih seperti dahulu ya… cepat melenting!”
“Hei… siapa awak ni? Sorry… I’m busy….”
“Nanti, nanti Kay!... jangan letak telefon… “ kedengaran suara itu merayu sebelum nekcun sempat mahu meletak telefon ke ganggangnya.
“Apa awak nak?”
“Saya nak bercakap dengan Kay! Saya rindu pada Kay, pada suara Kay!...”

Nekcun terkedu sebentar bila mendengar dia menyebut nama ‘Kay’… hanya seorang sahaja yang pernah memanggil nekcun dengan nama itu! Hati nekcun jadi berdebar! Dari mana dia dapat nombor telefon ini? Mengapa tiba-tiba dia mencari aku?... nekcun benar-benar bingung…

“Kay!... kenapa senyap?”
“Eeerrr… awak di mana? Macam mana awak boleh dapat nombor telefon saya ini?”
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan hidup Kay…”
“Kenapa awak buat begitu?”
“Saya rasa Kay tahu kenapa!”
“Kan awak dah janji tak mahu ganggu hidup saya lagi! Kenapa sekarang awak datang cari saya?”
“Saya perlu jumpa Kay!... perlu sangat sebelum saya meninggalkan Kay untuk selamanya!” kedengaran suara yang amat lirih merayu.
“Maksud awak?”
“Penyakit lukemia yang menyerang saya telah sampai ke tahap critical!... Doktor kata sudah tidak ada apa lagi yang boleh dibuat…”
“Awak kena penyakit lukemia? Sejak bila?”
“Sejak saya melepaskan cinta Kay untuk dimilikki oleh lelaki lain!...”
“Mengapa awak berbuat begitu? Kenapa awak tipu saya?” Air mata nekcun sudah hampir berderai di tubir mata.
“Kerana saya amat mencintai Kay. Saya tidak mahu Kay menderita kerana saya!”

Nekcun terjelepok di kerusi. Kerongkong nekcun terasa tersumbat. Air mata tidak dapat di tahan lagi dari terus berderai membasahi pipi…

Inikah yang dipanggil Pengorbanan sebuah Percintaan?... sehingga ke hari ini nekcun masih mencari jawapan yang entah sampai bila akan nekcun temui…

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu...



<<<> gambar ketika anak & menantu membelanja nekcun dan besan makan seafood di Port Klang.

Mama… oh Mama!…
Kaulah ratu hati kami semua…
Tanpa mama…
Tidak akan kami lahir ke dunia
Menikmati hidup di alam maya ini…
Jasa mu mama, tidak terhingga
Keredhaan mu jua yang selalu kami pinta
Semoga Allah sentiasa memberkati
Kehidupan kita sekeluarga sehingga akhir nanti…
Kami semua sayang Mama!…

Bait-bait indah yang mencuit hati nekcun apabila anak-anak nekcun dengan penuh kasih sayang mengucapkannya. Nekcun jadi agak sebak apabila mereka adik beradik tidak pernah lupa untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ setiap tahun walaupun pada dasarnya mereka selalu berkata bahawa ‘Hari Ibu’ adalah pada setiap hari bukan pada satu hari tertentu ini sahaja.

Walau apa pun, nekcun amat bahgia dengan kehadiran anak-anak, anak menantu dan cucu, menambah memeriahkan lagi rumah nekcun pada hujung minggu ini. Mereka juga membawa nekcun & atok makan bersama-sama keluarga yang lain di tepi laut.


Kepada kekawan yang sudah bergelar Ibu, nekcun juga ingin mengucapkan “Selamat Hari Ibu’ untuk kita semua. Semoga kita akan menjadi Ibu yang mithali dan berjaya mendidik anak-anak kita untuk menjadi insan-insan yang soleh dan solehah. InsyaAllah!...