Tuesday, March 18, 2014

DEMIMU NAZWA - BAB 4

Dalam dua tiga hari ini semua staf di Syarikat Libur Kanan sibuk bercerita pasal pengambilalihan syarikat oleh Al-Khusyairy Mega Holding. Ianya bukan lagi satu rahsia apabila cerita itu telah pun tersiar di dalam Akhbar Sinar Harian.
Hati Nazwa bertambah rawan apabila mengenangkan kedudukannya di dalam Syarikat Libur Kanan kelak. Cara perpisahan yang terjadi antara dia dan Ahmad Saifulrizwan dulu amat tragis dan Nazwa tahu lelaki itu tidak akan mudah memaafkannya.
Nazwa yakin apabila Ahmad Saifulrizwan nampak namanya di dalam senarai tenaga kerja Syarikat Libur Kanan, sudah pasti lelaki itu akan mengarahkan agar dia diberhentikan dari syarikat itu.
Oh... sebelum dia berhentikan aku, lebih baik aku letak jawatan dahulu. Tak payahlah dia malukan aku. Tiba-tiba hati kecil Nazwa berkata.
Tapi apalah sangat Syarikat Libur Kanan ini kalau dibandingkan dengan lain-lain anak syarikat milik Al-Khusyairy Mega Holding yang lebih besar dan terkenal itu. Sudah pasti, dia tidak ada masa untuk menyemak semua nama pekerja. Entah-entah dia sendiri pun tak minat untuk buang masanya di syarikat ini. Tentu dia perlu menumpukan lebih perhatian di syarikat induk atau di anak-anak syarikat yang lebih besar.
Jadi, buat apa aku letak jawatan dulu? Tengok keadaan dulu. Kalau aku tak tahan nanti, barulah aku letak jawatan, bisik hati kecil Nazwa yang sebelah lagi bagaikan memberi pendapat.
“Hei Naz, kau tengoklah bakal bos baru kita ni bagi komen dalam akhbar. Bukan main lagi yakin nak transformkan Libur Kanan ni ke peringkat antarabangsa,” ujar Farina, menghulurkan Akhbar Sinar Harian ke arah Nazwa.
“Eloklah tu. Sekurang-kurangnya kita tak perlulah risau sangat pasal pembuangan pekerja,” jawab Nazwa, bagaikan acuh tak acuh.
“Haah, kalau macam itulah semangat dia, aku pun rasa yakin yang dia pasti takkan buang mana-mana pekerja kat Libur Kanan ni. Dia benar-benar bersemangat nak kembangkan perniagaan Libur Kanan yang dia kata banyak potensi ini. Apa pandangan kau, Ed?” tanya Farina yang kebetulan turut makan bersama mereka di kafeteria tengah hari itu.
“Aku pun rasa macam tu. Ada baca komen dia dalam Akhbar Sinar Harian tempoh hari, memang aku tengok Ahmad Saifulrizwan ni seorang yang bercita-cita tinggi. Penuh keyakinan dalam mencapai objektif perniagaan yang diterajuinya.
Lihat sahajalah kemajuan yang dicapai Al-Khusyairy Mega Holding. Sungguh memberangsangkan sejak dia menjadi CEOnya. Harap-harap, dia betul-betul boleh transform Libur Kanan ke peringkat antarabangsa. Taklah macam sekarang ni, asyik ditakuk yang sama aje,” ujar Edham dengan penuh harapan.
“Alah dia masih muda. Baru setengah umur Dato’ Razlan, mestilah bersemangat dan punya macam-macam idea,” komen Nazwa selamba.
Dia tahu benar akan keperibadian lelaki yang pernah hidup bersamanya hampir lebih dua tahun itu.
“Berapa umur dia?” tanya Farina begitu teruja.
“Lebih kurang 32 tahun.” Dengan penuh yakin jawapan itu terlontar dari bibir Nazwa.
“Macam mana Naz boleh tahu umur dia?” tanya Edham, hairan.
Nazwa terkesima dengan soalan Edham. Dia benar-benar tidak menyedari bahawa jawapannya itu hampir-hampir membuka rahsia peribadinya. Hati Nazwa jadi bergetar tidak keruan.
“Haah, mana kau tahu umur bakal bos baru kita tu?” celah Farina pula, turut hairan.
“Err...aaa...aku ada terbaca profile dia dalam satu business magazine tak berapa lama dulu,” jawab Nazwa agak tergagap-gagap.
“Business magazine apa dan bila? Hairan jugak sebab Ed tak pernah pun nampak artikel pasal Ahmad Saifulrizwan tu di mana-mana,” sangkal Edham.
“Emm... magazine apa namanya, Naz dah tak ingat, tetapi ianya lebih kurang dua tiga bulan lalu. Oleh kerana masa tu kita tak tahu apa-apa pun pasal pengambilalihan ini, maka Naz pun taklah kisah sangat pasal cerita dia tu.” Nazwa cuba menstabilkan suaranya agar Farina dan Edham tidak dapat mengesan pembohongannya itu.
Farina dan Edham hanya mengangguk-angguk. Tanda menyetujui apa yang dikatakan Nazwa.
“Hmm...mungkin jugak. Sebab itulah Ed pun tak berapa perasan ada artikel pasal Ahmad Saifulrizwan tu dalam magazine,” ujar Edham akhirnya.
Perlahan-lahan Nazwa menarik nafas lega sambil pura-pura terus membaca artikel dalam akhbar yang disuakan Farina tadi. Tidak berani dia memandang Edham yang sedang memerhatikannya. Khuatir apa yang dirasa akan terpancar di matanya. Nazwa tidak mahu ada sebarang syak wasangka dalam hati Edham mahupun Farina. Rahsia dia dengan Ahmad Saifulrizwan perlu disimpan rapi.
“Ed, kau agak siapalah yang akan ambil alih tempat Dato’ Razlan?” Tiba-tiba Farina bertanya.
“Tak tahulah siapa. Mungkin salah seorang pengurusan kanan dari pejabat induk Al-Khusyairy Mega Holding. Tapi...” Edham seolah-olah tidak pasti akan apa yang hendak dikatakannya.
“Tapi apa Ed?” soal Nazwa.
“Tapi tidak mustahil jugak kalau Al-Khusyairy Mega Holding akan mengekalkan Dato’ Razlan sebagai pengarah urusan kat sini, sebab Dato’ Razlan masih mempunyai saham dalam Libur Kanan,” ujar Edham cuba menerangkan apa yang ada di fikirannya.
“Err... elok jugak kalau Dato’ Razlan masih kat sini tapi larat ke dia nak ikut rentak pengurusan baru tu?” tanya Nazwa lagi.
Dia agak sangsi dengan apa yang dikatakan Edham.
“Eh, aku dengar Shimah kata Dato’ Razlan dah tak mahu lagi masuk campur dalam urusan Libur Kanan ni, walaupun ditawarkan Al-Khusyairy Mega Holding. Itu yang Shimah agak bimbang. Dia tak tahu macam mana perangai bos barunya nanti,” ujar Farina.
“Iya ke? Habis tu, siapa yang akan menggantikan Dato’ Razlan?” tanya Nazwa kembali.
“Tak payahlah kita bimbangkan siapa yang akan gantikan tempat Dato’ Razlan. Apa yang penting sekarang, kita telah dapat pengurusan baru yang lebih dinamik dan aku harap kita akan dapat peluang yang lebih luas untuk membina kerjaya yang cemerlang di syarikat ini kelak,” ucap Edham dengan penuh semangat.
“Betul kata kau tu, Ed. Aku setuju. Eh, aku tengok kau memang bersemangat betul nak kerja dengan pengurusan baru ni. Kenapa ya?” Farina sengaja menduga apabila melihat riak Edham yang begitu bertenaga.
“Mestilah! Harap-harap bila pengurusan baru, syarikat pun maju, jadi peluang naik pangkat pun mungkin semakin luas. Bila dah naik pangkat, bolehlah aku segera kahwin dengan buah hati aku ni.”
Sambil tersenyum riang dan tanpa segan silu Edham berkata. Seronok benar dapat meluahkan perasaannya pada Nazwa di hadapan Farina. Edham tahu, pasti Farina sudah tahu hubungan rapat dia dengan Nazwa.
Nazwa terkedu. Tidak sangka Edham begitu berani meluahkan hasrat hatinya di hadapan Farina. Segera Nazwa membulatkan biji matanya sambil menentang anak mata Edham seolah-olah memprotes.
“Alah Naz, betullah apa yang Ed cakapkan tu. Takkanlah itu pun kau nak malu. Lagipun, kalau dah sama-sama setuju, apa lagi yang nak ditunggu-tunggu? Perkara yang baik tu, eloklah disegerakan,” ujar Farina sambil menepuk-nepuk lembut bahu Nazwa.
Mendengar kata-kata Farina, Edham terus tersenyum sambil mengangkat kening beberapa kali. Seolah-olah mencabar pendirian kekasihnya itu.
“Insya-ALLAH, kalau ada jodoh, tak ke mana,” jawab Nazwa akhirnya walaupun hatinya menidakkan kata-kata Edham.
“Emm... Fina, kau tolong doakan semoga kami cepat disatukan,” ujar Edham lagi dengan penuh harapan.
“Dah pasti tapi jangan pulak lupakan aku bila tiba hari bahagia nanti. Kalau kau orang lupakan aku, aku takkan teragak-agak pancitkan tayar kereta kau orang,” ugut Farina, sengaja mengusik.
“Hei! Ada-ada ajelah kamu ni Fina! Dahlah tu. Tak usahlah disebut-sebut perkara yang belum tentu tu. Ni fikirlah macam mana kita nak hadapi bos baru kita ni nanti,” sangkal Nazwa sambil menepuk-nepuk bahu Farina.
Edham turut tertawa kecil dengan gurauan Farina tadi. Kemudian dia merenung Nazwa sambil mengerutkan dahi seolah-olah tidak memahami mengapa Nazwa berkata begitu.
“Emm... Ed, kau agak Encik Ahmad Saifulrizwan tu akan menggantikan Dato’ Razlan ke?” Tiba-tiba Farina bertanya, bagaikan turut menyetujui kata-kata Nazwa.
Jantung Nazwa bagaikan tiba-tiba berhenti berdenyut apabila mendengar nama lelaki yang pernah mewarnai hidupnya itu. Luka lama bagaikan berdarah kembali. Segera Nazwa tunduk, tidak mahu Edham ataupun Farina mengesani geteran di hatinya.
“Aku tak fikir dia mahu menumpukan banyak masanya di Libur Kanan. Tenaganya pasti diperlukan lebih di syarikat induk. Tapi tak tahulah. Mungkin kalau dia ingin pastikan Libur Kanan ini benar-benar boleh memasuki pasaran antarabangsa, mungkin dia akan selalu datang ke sini,” jawab Edham dengan jujur.
Farina hanya mengangguk-angguk.
Aku harap lelaki itu tak akan datang ke pejabat ini bila-bila masa pun, getus hati kecil Nazwa terus berdoa dan berharap.

No comments: