Tuesday, October 14, 2014

DEMIMU NAZWA - Bab 6.

SELESAI mengerjakan Solat Isyak malam itu, Nazwa tiba-tiba teringat akan sampul surat yang diberi Edham sebelum balik kerja petang tadi. Segera Nazwa mengambil sampul surat itu di dalam beg tangan dan membukanya.
Terbeliak anak mata Nazwa melihat sekeping baucar dari Habib Jewel yang memaparkan berbagai bentuk cincin dan rantai tangan berlian. Terdapat nota kecil yang terselit bersama baucar itu.
Sayang, Ed telah pun buat tinjauan di beberapa kedai emas untuk mencari cincin pertunangan kita. Namun masih belum membelinya. Kalau boleh Ed mahu Sayang pilih sendiri yang mana Sayang suka. Ed harap Sayang takkan biarkan Ed tunggu lebih lama lagi. Yang mencintaimu, Ed.
Terkedu Nazwa membaca nota Edham yang penuh mengharap itu. Hati Nazwa benar-benar terharu. Tidak tahu bagaimana dia harus memberitahu Edham akan kedudukannya yang sebenar. Resah di hatinya semakin mencengkam jiwa setiap kali Edham melafazkan kata-kata cinta. Tidak tergamak Nazwa hendak mengatakan bahawa cinta Edham terhadapnya adalah cinta terlarang.
Tiba-tiba wajah Ahmad Saifulrizwan yang tampan dan bergaya menerjah memenuhi ruang tubir mata Nazwa. Walaupun sudah hampir empat tahun tidak bersua muka, Nazwa masih tidak dapat melupakan wajah tampan dan senyuman yang pernah mencairkan hatinya suatu ketika dulu.
Cinta pandang pertama Nazwa dan Ahmad Saifulrizwan berputik di hati masing-masing ketika pertama kali bertemu di Malaysia Hall. Nazwa masih dapat merasakan betapa hatinya terasa melambung-lambung keriangan pada pertama kali Ahmad Saifulrizwan melafazkan kata cinta.
Setiap denyutan jantungnya dipenuhi cinta Ahmad Saifulrizwan yang begitu mengasyikkan sehingga mereka tidak dapat lagi dipisahkan. Dan sebab itu juga, tanpa ragu-ragu Nazwa telah menerima lamaran Ahmad Saifulrizwan, apabila lelaki itu mengambil keputusan untuk bernikah dengannya walaupun tanpa pengetahuan kedua ibu bapa masing-masing.
Bagi Nazwa, Ahmad Saifulrizwan telah benar-benar membuktikan cintanya dengan menerima tanggungjawab sebagai suami yang sah dari hukum syarak apabila lelaki itu benar-benar jujur di dalam menjalinkan hubungan dengannya.
Ahmad Saifulrizwan bukan mahu berseronok-seronok, walaupun mereka berada di Kota Metropolitan, London. Di sini, pergaulan intim antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim boleh sahaja mereka lakukan dengan begitu bebas tanpa sebarang halangan.
Nazwa amat bersyukur kerana Ahmad Saifulrizwan lebih memilih untuk menjalinkan ikatan yang lebih diredhai ALLAH di dalam membuktikan cintanya. Mungkin juga kerana sikap Nazwa yang begitu menjaga tatasusilanya sebagai seorang muslimah, telah membuatkan Ahmad Saifulrizwan begitu nekad untuk menikahinya secara sah.
Dan kejujuran serta keikhlasan Ahmad Saifulrizwan itulah yang telah menambat hati dan jiwa Nazwa terhadap lelaki itu.
Secara dasarnya Nazwa tidak pernah tahu siapa keluarga Ahmad Saifulrizwan sebenarnya ketika mereka bernikah dulu, sehinggalah kira-kira dua tahun lalu apabila Ahmad Saifulrizwan dilantik sebagai CEO Al-Khusyairy Mega Holding. Dia menggantikan ayahnya yang mahu menumpukan kepada jawatan pengerusi eksekutif sahaja.
Nazwa benar-benar terkejut dengan berita yang dibacanya di dalam Business News itu. Langsung tidak menyangka bahawa lelaki yang pernah bertakhta di hatinya itu adalah pewaris tunggal Al-Khusyairy Mega Holding, iaitu salah sebuah konglomerat yang terkemuka di Malaysia ini.
Hati Nazwa jadi bertambah sendu dan pilu apabila mengetahui siapakah sebenarnya suami yang dinikahinya ketika mereka sama-sama belajar di UK dulu. Barulah Nazwa sedar kenapa Ahmad Saifulrizwan amat berat untuk memperkenalkan Nazwa kepada kedua ibu bapanya ketika mereka datang menziarahinya di London. Keengganan Ahmad Saifulrizwan itulah telah membuatkan Nazwa rasa amat kecewa terhadap lelaki yang amat dicintainya itu.
“Sayang... Riz minta maaf banyak-banyak kerana terpaksa tinggalkan sayang sorang-sorang beberapa malam ni. Riz terpaksa ikut ayah dan mama tidur kat hotel,” ujar Ahmad Saifulrizwan sambil memegang kedua-dua belah bahu Nazwa.
“Kenapa Riz tak beritahu sahaja mereka yang kita dah kahwin?” soal Nazwa agak terkilan.
“Masanya belum sesuai lagi sayang. Riz tak mahu percutian ayah dan mama di sini rosak hanya kerana berita yang kita sampaikan tu.”
“Habis tu, sampai bila kita nak rahsiakan perkahwinan kita ini?”
“Sabarlah, sayang. Riz janji, bila masa dah sesuai nanti, Riz pasti akan beritahu mereka dan kenalkan sayang sebagai menantu mereka. Berilah Riz sedikit masa lagi. Tambahan, sayang pun belum beritahu ibu bapa sayang, kan? Jadi Riz rasa, elok kita beritahu kedua ibu bapa kita apabila kita telah benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan mereka,” pujuk Ahmad Saifulrizwan.
“Sampai bila? Sampai bayi dalam perut Naz ni lahir?” Nazwa terus mendesak dengan nada yang agak kecewa.
“Sayang... tolong percaya pada Riz. Berilah Riz sedikit masa lagi.”
“Tapi, bila? Adakah Riz mahu anak kita nanti tak kenal atuk dan neneknya? Ataupun memang Riz tidak menginginkan bayi ini?” soal Nazwa dengan suara yang agak bergetar menahan sendu.
Nazwa sendiri tidak tahu mengapa dia cepat benar terasa hati dengan suaminya sejak dia disahkan mengandung dan kini sudah pun berusia hampir enam minggu.
“Naz, janganlah cakap macam tu. Riz sayang sangat bayi kita ni, malah Riz rasa macam dah tak sabar nak tunggu dia lahir. Tapi untuk memberitahu keluarga kita tentang perkahwinan ini, Riz harap sangat Naz dapat bersabar sedikit masa lagi.
Riz yakin, bayi kita ini akan membawa rezeki pada kita untuk memudahkan kita bersemuka dengan kedua keluarga kita kelak,” pujuk Ahmad Saifulrizwan lagi sambil mengusap lembut perut Nazwa yang masih leper itu.
“Okey, kalau Riz tak tidur rumah beberapa hari ni, Naz pun tak nak tidur kat rumah ni,” balas Nazwa dengan nada tegang.
“Naz nak ke mana? Bukankah Naz masih ada kelas lagi sebelum final exam?” soal Ahmad Saifulrizwan, agak terperanjat.
“Naz nak tidur kat rumah Shila dan Joane. Naz nak ikut mereka pergi birthday party Rosalind malam esok,” jawab Nazwa, sengaja mahu membalas dendam pada suaminya.
“Naz nak pergi rumah Rosalind naik apa?”
“Ikut sahaja Shila dan Joane naik apa-apa pun,” ujar Nazwa selamba.
“Riz rasa, eloklah Naz jangan pergi. Dengan keadaan Naz yang sering pening-pening tu, Riz risau kalau terjadi apa-apa pada Naz nanti,” ujar Ahmad Saifulrizwan, terus memujuk isteri tercinta.
“Ah, kalau Riz risau, kenapa sanggup tingalkan Naz sorang-sorang kat rumah ni?” tempelak Nazwa.
“Macam yang Riz cakap. Bukan Riz sengaja tetapi Riz terpaksa sebab ayah dan mama Riz ada kat London. Tapi bukanlah lama sangat, tiga malam sahaja. Lepas tu ayah dan mama nak terus ke Dubai. Ada urusan sikit,” ujar Ahmad Saifulrizwan cuba menerangkan agar isterinya memahami keadaannya sekarang.
“Emm... suka hati Rizlah apa Riz nak buat tapi Naz tetap ikut Shila dan Joane pergi birthday party Rosalind tu,” dengus Nazwa seolah-olah sudah bosan mahu bersoal jawab dengan suaminya.
Nazwa benar-benar tidak sangka yang kandungannya begitu rapuh sehingga dia boleh mengalami keguguran. Dia tergelincir semasa keluar dari kereta Joane ketika mereka baru balik dari rumah Rosalind.
Nazwa terpaksa dirawat di hospital selama dua hari. Dia telah banyak kehilangan darah akibat keguguran itu. Ahmad Saifulrizwan benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Dia mengharapkan kelahiran bayi ini agar ibu bapanya dapat menerima pernikahan mereka dan cucu yang dilahirkan. Namun impiannya musnah sama sekali.
Apa yang amat mengecewakan Ahmad Saifulrizwan ialah sikap degil Nazwa. Dia sanggup pergi menuruti kawan-kawannya hanya disebabkan marah padanya.
“Sekarang, puaslah hati Naz!” tempelak Ahmad Saifulrizwan.
Ketika itu mereka sedang makan malam selepas hampir sebulan peristiwa yang amat mengecewakan itu berlaku.
Nazwa hanya tunduk tanpa suara. Tidak berani menentang mata suaminya yang kelihatan amat kecewa dengan sikapnya yang degil itu. Disebabkan itu mereka kehilangan cahaya mata yang diharapkan dapat membawa sinar dalam perkahwinan mereka.
“Naz tahu tak, betapa Riz mengharapkan bayi itu. Setidak-tidaknya, dapat memberi sinar di dalam usaha Riz memberitahu ayah dan mama pasal perkahwinan kita. Kalau sudah ada cucu yang comel, pasti ayah dan mama takkan menolak perkahwinan kita.
Tetapi sekarang segalanya telah hancur. Hancur! Sebab sikap degil Naz tu. Kalau Naz tak pergi ke birthday party Rosalind tu, mungkin bayi kita masih ada.” Dengan suara yang lirih Ahmad Saifulrizwan berkata lagi apabila Nazwa terus menyepi.
“Maafkan Naz, Riz! Naz tahu, Naz bersalah kerana melawan arahan Riz tempoh hari, tapi Naz...” Terhenti kata-kata Nazwa di situ.
Dia tidak berani mahu menyatakan kekecewaannya di atas sikap Ahmad Saifulrizwan yang lebih mementingkan kehadiran ibu bapanya di London daripada bersamanya. Dia kan isterinya yang sah.
“Tapi apa?” soal Ahmad Saifulrizwan.
“Riz takkan faham perasaan Naz ketika itu,” jawab Nazwa perlahan.
“Adakah Naz faham perasaan Riz ketika itu?” bidas Ahmad Saifulrizwan pula.
Nazwa terkedu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan.
“Naz lebih pentingkan diri sendiri dan perasaan Naz aje. Entah-entah memang Naz tak mahu zuriat Riz ni,” sindir Ahmad Saifulrizwan.
“Riz! Jangan tuduh Naz macam tu! Naz sayang sangat kandungan Naz tu dan sebab itulah Naz mahu Riz sentiasa ada bersama Naz masa tu. Riz yang pentingkan diri sendiri sehingga sanggup tinggalkan Naz hanya untuk bersama ayah dan mama Riz. Kenapa Riz asyik nak salahkan Naz aje?” sembur Nazwa.
Dia sudah tidak tahan lagi menahan sabar. Tanpa disedari air matanya berlinangan jatuh ke pipi.
“Riz bukan tinggalkan Naz di tepi jalan. Lagipun bukannya lama. Hanya tiga hari aje. Naz yang terlalu emosional. Terlalu pentingkan diri sendiri. Adakah Naz mahu Riz jadi anak derhaka hanya untuk menjaga hati isteri yang langsung tidak mahu bertolak ansur,” bidas Ahmad Saifulrizwan lagi bagaikan air mata isterinya itu tidak memberi apa-apa bekas di hatinya.
Nazwa terkedu lagi. Benarkah aku terlalu emosional dan mementingkan diri sendiri sehingga suamiku berada dalam keadaan susah? Getus hati kecil Nazwa terus tertanya-tanya akan kebenaran kata-kata suaminya itu.
“Dahlah Naz! Riz malas nak bertekak lagi pasal ni! Suka hati Nazlah apa Naz nak buat sekarang,” ujar Ahmad Saifulrizwan lalu melangkah keluar.
Nazwa terdiam. Dia amat kesal dengan perbuatan keanak-anakannya. Kalaulah dia tidak mengikut rasa rajuknya itu, mungkin dia tidak akan kehilangan bayi yang di dalam kandungannya itu. Mungkin juga Ahmad Saifulrizwan tidak akan menyalahkannya. Nazwa hanya mampu menarik nafas panjang dan kemudian menelan air liurnya apabila melihat kelibat Ahmad Saifulrizwan hilang di balik pintu rumah yang sudah tertutup rapat.

No comments: