Tuesday, September 17, 2013

Novel DEMIMU NAZWA - Bab 2

PERASAAN gelisah terus menghantui diri Nazwa. Jelas terbayang wajah sendu dan pilu ketika Nazwa melangkah masuk ke bilik Mohd Safri. Ketuanya telah memanggil Nazwa untuk berbincang tentang projek yang diselianya.
“Emm... Nazwa. Kenapa nampak murung aje? Saya harap kemurungan awak itu bukanlah disebabkan awak terpaksa balik bekerja dengan saya, kan?” tegur Mohd Safri dengan nada ingin bergurau.
“Oh! Dah tentu tak! Saya seronok kerja dengan Encik Safri,” jawab Nazwa sambil tersenyum namun getaran suaranya jelas kedengaran.
Sebenarnya, Nazwa memang seronok bekerja di bawah Mohd Safri. Lelaki itu tidak lokek ilmu dan pengalaman. Nazwa berasa amat beruntung. Dalam masa tidak sampai empat tahun bekerja di syarikat ini, dia telah boleh memahami selok belok perniagaan syarikat.
Nazwa juga telah tahu segala kehendak pelanggan serta pelabur yang berurusan dengan mereka. Itu semua adalah berkat tunjuk ajar daripada ketuanya, Mohd Safri yang begitu bertimbang rasa terhadap semua pegawai bawahannya.
“Habis tu, kenapa awak tak ceria langsung macam selalu? Awak bertengkar dengan Ed ya?” tanya Mohd Safri, tersenyum nakal.
Dia juga sudah tahu pasal hubungan rapat Nazwa dengan pengurus muda dari bahagian pemasaran itu.
“Eh, tak adalah. Kami baik-baik aje. Cuma...” Nazwa agak keberatan untuk meneruskan kata-katanya.
“Cuma apa?”
“Betul ke ada syarikat baru nak ambil alih Syarikat Libur Kanan ini, Encik Safri?” Terlontar juga soalan itu daripada bibir Nazwa.
“Emm... dengan perkembangan terbaharu yang saya diberitahu semalam, ya. Memang ada syarikat baru yang nak ambil alih pengurusan Libur Kanan,” jawab Mohd Safri dengan nada penuh yakin.
“Oh...” Nazwa hanya mampu menutup mulut dengan telapak tangan bagaikan menyesali keluhan yang terlepas daripada mulutnya itu.
“Kenapa Nazwa? Kenapa saya tengok awak risau sangat dengan berita ini?” tanya Mohd Safri dengan dahi berkerut.
“Bukan apa encik. Bila ada pengambilalihan syarikat, pasti akan berlaku pembuangan pekerja.” Akhirnya Nazwa menyuarakan juga kebimbangannya.
“Oh, awak risau yang awak jugak akan terlibat?”
“Ya encik.”
“Saya tak fikir itu akan terjadi di Syarikat Libur Kanan ni.” Selamba Mohd Safri memberikan pendapat.
“Macam mana Encik Safri boleh yakin sangat?” tanya Nazwa, inginkan kepastian.
“Syarikat Libur Kanan merupakan syarikat gergasi yang mempunyai rekod kewangan dan reputasi perniagaan yang teguh di dalam dan di luar negara, saya tak fikir syarikat ini akan jadi beban kepada mereka.
Lagipun, sebab-sebab mereka bersetuju membeli Libur Kanan adalah kerana mereka tahu Libur Kanan mempunyai potensi perniagaan yang baik di arena antarabangsa dan mempunyai pekerja-pekerja yang berwibawa. Cuma...” Terhenti Mohd Safri di situ.
“Cuma apa Encik Safri?”
“Cuma sekarang ini, Syarikat Libur Kanan menghadapi masalah modal. Modal untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi. Itu sahaja masalahnya. Tak mungkin mereka akan buang pekerja-pekerja yang ada sekarang kalau perniagaan boleh terus dimajukan ke peringkat antarabangsa,” jelas Mohd Safri dengan panjang lebar.
“Harap-harap begitulah Encik Safri tapi syarikat manakah yang akan mengambil alih Libur Kanan ni?” risik Nazwa.
“Janganlah awak risau sangat, Nazwa. Saya amat yakin Al-Khusyairy Mega Holding takkan berjaya dan maju sebagaimana mereka berada sekarang, sekiranya mereka sentiasa membuang pekerja yang mahir dan berpotensi setiap kali mereka mengambil alih syarikat lain. Apa yang mereka lakukan adalah mengembangkan perniagaan untuk mengoptimakan kemahiran semua pekerja yang ada,” tambah Mohd Safri lagi dengan penuh semangat.
“Syarikat Al-Khusyairy Mega Holding?” ujar Nazwa mengulangi menyebut nama syarikat yang dikatakan Mohd Safri sambil berkerut dahinya.
Tiba-tiba hati Nazwa jadi gelisah tidak menentu. Nama Al-Khusyairy bagaikan berjaya menyentak hatinya pada sesuatu yang dia sendiri tidak pasti namun nama itu amat mempengaruhi hidupnya.
Nasib baiklah cahaya matahari yang bersinar dari tingkap berhampiran meja Mohd Safri itu agak cerah dan berjaya melindungi perubahan wajah Nazwa yang tiba-tiba jadi pucat bagaikan tidak berdarah itu dari dikesan ketuanya.
Ah, mungkin nama sama agaknya, hati kecil Nazwa berbisik bagaikan memujuk dirinya namun hatinya tetap berdebar-debar.
“Dan mereka akan jadi syarikat induk Libur Kanan yang baru, ya?” tanya Nazwa.
“Ya,” jawab Mohd Safri, terus membuat perut Nazwa bertambah senak.
“Memang perbincangan awal tentang pengambilalihan Libur Kanan ini dibuat secara rahsia demi menjaga kepentingan urusan perniagaan tetapi dengan selesainya urusan menandatangani dokumen terakhir semalam, saya rasa tak perlulah lagi saya merahsiakannya daripada awak kerana ianya akan menjadi pengetahuan umum dalam sehari dua lagi,” ujar Mohd Safri sambil melemparkan senyuman mesra.
“Jadi, macam yang saya katakan tadi, dengan Syarikat Al-Khusyairy Mega Holding itu, awak tak perlulah risau tentang awak kehilangan pekerjaan.” Dengan nada penuh yakin, Mohd Safri seolah-olah memberi semangat.
Ya ALLAH, kalaulah Encik Safri tahu perkara yang sebenar, mungkin dia takkan seyakin itu cuba mententeramkan hatiku, bisik Nazwa. Walaupun dia cuba menceriakan riak wajahnya dengan apa yang dikatakan ketuanya itu, namun hakikatnya dia lebih takut akan potensi kehilangan pekerjaan sekarang berbanding sebelum itu.
Memang Nazwa tidak pernah memberitahu sesiapa pun di pejabatnya itu akan status dirinya yang sebenar melainkan pada Edham. Lelaki itu terlalu mendesak untuk mengahwininya. Namun apa yang benar-benar menyenakkan perut Nazwa ketika itu adalah Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy. Lelaki yang menjadi tulang belakang dan peneraju utama Al-Khusyairy Mega Holding sekarang ini kerana lelaki itu pernah dinikahinya ketika belajar di luar negara.
Malah Nazwa cukup yakin yang mereka masih suami isteri yang sah walaupun mereka telah berpisah hampir empat tahun.
Tiada sebarang lafaz talak daripada lelaki itu dan Nazwa sendiri tidak pernah merujuk kepada mana-mana pihak berkuasa akan status perpisahan mereka itu. Kedua-dua mereka bagaikan lupa bahawa ikatan yang pernah menyatukan mereka itu, masih sah dari hukum syarak. Nazwa jadi benar-benar takut sekarang.

FIKIRAN Nazwa masih berkecamuk. Sejak Mohd Safri menyebut nama lelaki itu, hatinya sentiasa bimbang. Wajah Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy sentiasa menjelma di depan mata. Lelaki itulah telah banyak mencorakkan hidup Nazwa suatu ketika dahulu.
Sepanjang petang itu Nazwa sibuk mengumpul kembali fakta-fakta yang telah dibincangkan dengan Mohd Safri pagi itu. Dia perlu menyediakan laporan dan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada pengurusan baru pada minggu hadapan. Namun sekali-sekala dia mengeluh bila kenangan dia bersama Ahmad Saifulrizwan tiba-tiba muncul di kepala.
“Awak okey ke, Nazwa?” tanya Mohd Safri bila melihat wajah Nazwa berkerut-kerut ketika dia melintasi meja gadis itu.
“Ooo...err...okey,” jawab Nazwa agak gugup kerana tidak sangka yang ketuanya itu sedang memerhatikannya.
“Habis tu, dahi awak berkerut-kerut tu apa pasal?”
“Tengah cari ilham macam mana nak buat presentation slides kita ni agar lebih menarik dan berkesan,” bohong Nazwa cuba menyorokkan perasaannya yang agak bergetar.
“Saya yakin awak boleh buat yang terbaik. I know that,” ujar Mohd Safri memberi semangat sebelum berlalu meninggalkan meja Nazwa.
Ya, aku memang boleh buat yang terbaik kalau bukan Al-Khusyairy Mega Holding yang jadi majikan baruku nanti, bisik Nazwa di dalam hati.

No comments: