Nekcun ada mendapat pertanyaan dari seorang kawan tentang mengapakah di dalam zaman yang serba mencabar ini, sering kita dengar perihal anak-anak yang derhaka dan tidak menghormati ibu bapa mereka. Dan lebih menyedihkan ada beberapa kes yang terdapat anak-anak tergamak membuang ibu bapa mereka yang telah tua merempat di tepi-tepi jalan. Mengapakah perkara seperti ini boleh berlaku?
Secara jujurnya, nekcun berpendapat bahawa banyak faktor-faktor yang menyumbang kepada bagaimana anak-anak boleh tergamak menjadi seorang yang “kacang lupakan kulit” atau pun “seperti Si Tenggang”, terutamanya kalau mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
Sebelum kita boleh menyalahkan anak-anak itu 100% atau secara total, kita perlu terlebih dahulu mengkaji mengapakah anak-anak itu boleh berlaku demikian. Sudah menjadi fikrah manusia bahawa seseorang itu tidak akan melakukan sesuatu tanpa sebarang sebab, kerana manusia ada hati, akal dan nafsu. Apabila hati dan akal dapat mengawal nafsu, manusia akan banyak melakukan kebaikan tetapi sebaliknya kalau nafsu yang melebihi hati dan akal, maka akan jadilah manusia yang durjana yang mana salah satunya ialah anak-anak yang tidak lagi menghormati ibu bapa mereka.
Mnegapa nafsu boleh melebihi hati dan akal, sedangkan Allah menjadikan manusia paling tinggi darjatnya dari makhluk yang lain dengan memberikan manusia hati dan akal untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Inilah isu yang sepatutnya menjadi bahan utama untuk semua lapisan masyarakat memikirkan dan menganalisa mengapa ianya bisa terjadi kerana tahap keganasan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang ini sudah mencapai tahap yang amat membimbangkan.
Kita tidak akan dapat menyelesaikan masaalah hanya dengan menuding jari kepada anak-anak yang menjadi “seperti Si Tenggang” atau anak-anak yang melupakan ibu bapanya, terutamanya apabila mereka sudah berkahwin. Tetapi, apa yang perlu semua lapisan masyarakat lakukan adalah mencari jalan untuk membendung perkara itu dari terus membiak dengan mencari akar umbi faktor-faktor mengapa anak-anak boleh begitu tidak ‘berhati perut’ terhadap orang tua mereka.
Secara dasarnya, hati dan akal manusia boleh jadi lemah dan mati kalau tidak dijaga atau diberi makan dengan betul. Dan apabila hati dan akal sudah lemah dan mati, lalu dengan mudah tugas-tugas hati dan akal itu diambil alih oleh nafsu. Bagaimana hati dan akal boleh jadi lemah dan mati? Ianya adalah disebabkan faktor-faktor berikut:-
1) Kurangnya takwa dan iman dalam diri seseorang itu. Hanya takwa dan iman akan dapat menjaga hati dan akal dengan baik.
2) Hati dan akal hanya disogokkan dengan Ilmu keperluan duniawi sahaja dan bukannya dengan Ilmu yang dapat mengukuhkan iman dan takwa sebagaimana yang disyariatkan oleh ugama. Apabila iman dan takwa tidak ujud dalam hati dan akal, maka mudah pulalah ianya dipengaruhi oleh kehendak nafsu.
3) Tanpa iman dan takwa, hati dan akal tidak akan dapat berfungsi dengan sebaiknya. Maka apabila manusia tidak dapat menggunakan hati dan akalnya dengan sebaik-baiknya, ia adalah sama seperti binatang haiwan.
4) Keadaan kehidupan yang terlalu mementingkan materialistik dan diri sendiri telah menghindarkan kehadiran orang-orang yang dapat memberi nasihat dan ilmu yang menafa’at untuk kesuburan iman dan takwa di dalam hati dan akal.
Melihat kepada faktor di atas, siapakah yang harus disalahkan? Adakah salah “Si Tenggang” itu 100% atau pun salah ibu bapanya yang tidak mendidiknya dengan iman dan takwa sejak dari kecil lagi? Memang tidak dapat dinafikan, apabila manusia tidak lagi menggunakan hati dan akal dalam tindak tanduknya, maka tidak hairanlah kalau seorang anak itu boleh dengan senangnya melupakan ibu bapanya, kerana mereka sudah tidak takut lagi pada dosa dan hukum Allah atas perbuatan mereka itu disebabkan mereka tidak lagi berpegang kepada iman dan takwa terhadap Allah.
Anak-anak adalah merupakan amanah dari Allah kepada hambanya. Anak-anak juga merupakan ujian dari Allah samada seseorang hambanya itu melaksanakan amanahnya di dalam mendidik anak-anaknya dengan cara yang betul sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.
“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan bagimu, dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar” (Surah Al-Anfal : ayat 28)
Dari ayat Al-Quran itu jelas menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Dan dalam isu mendidik ini, ibu bapa harus peka bahawa akhlak atau pun keperibadian seorang anak itu banyak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling di mana dan bagaimana mereka dibesarkan.
Dalam keadaan kehidupan serba moden ini, berapa ramai ibu bapa yang risau atau akan memarahi anak-anaknya kerana gagal menghafal ayat-ayat Al-Quran atau tidak melakukan solat? Sebaliknya ramai ibu bapa yang lebih risau kalau anak-anak mereka tidak mendapat ‘A’ dalam mata pelajaran Ilmu duniawi atau pun kalau anak-anak ponteng dari aktiviti-aktiviti yang lebih kepada mengejar duniawi seperti kelas music atau pun kelas computer.
Disamping itu, keadaan dalam satu-satu keluarga itu sendiri sebenarnya banyak mempengaruhi sikap dan keperibadian anak-anak. Misalnya, kalau seorang bapa atau ibu itu selalu bercakap kasar terhadap pasangan dan anak-anaknya, maka tidak mustahil apabila dewasa kelak anak-anak itu pula akan bercakap dengan cara yang sama kepada kedua ibu bapa mereka kerana bagi mereka itu adalah satu perkara yang sudah biasa. Tetapi apabila anak-anak itu sudah berkahwin dan mereka mendapat isteri atau suami dan keluarga mertua yang lebih bersopan santun, yang lebih dapat mendamaikan hati mereka, maka siapakah yang harus disalahkan jika mereka lebih selesa bersama keluarga yang baru dari ibu bapa mereka sendiri?
Secara kesimpulannya, nekcun berpendapat bahawa apa yang anak-anak lakukan terhadap ibu bapa mereka adalah banyak dipengaruhi oleh bagaimana mereka di didik sejak kecil lagi. Sebab itulah juga ada terdapat pepatah Melayu lama yang mengatakan “Hendak melentur buluh biarlah dari rebung” kerana apa yang dialami dan dipelajari oleh kanak-kanak sejak kecil banyak mempengaruhi sikap dan keperibadian mereka apabila mereka dewasa.
Suka juga nekcun mengingatkan diri nekcun dan juga semua ibu bapa supaya di dalam mendidik anak-anak kita tidak seharusnya melupakan perkara-perkara berikut:-
1) Terapkan nilai-nilai Islam dalam mendidik anak-anak.
2) Bentuk keperibadian anak-anak dengan iman dan takwa yang berlandaskan Al-Quran dan hadith supaya mereka tahu akan dosa dan pahala atas setiap tindak tanduk mereka.
3) Pastikan anak-anak diberi makan dari sumber-sumber yang halal kerana makanan akan menjadi darah daging dan juga pembentukan hati yang sehat dengan iman dan takwa. Kalau makan makanan dari sumber yang haram, maka pembentukan iman dan takwa akan menjadi sukar.
4) Wujudkan suasana yang harmoni, hormat menghormati dan sayang menyayangi dalam keluarga supaya anak-anak akan merasa lebih selesa untuk sentiasa bersama-sama keluarga sendiri walaupun apabila mereka sudah dewasa.
5) Memberi masa dan ruang untuk anak-anak berbicara dengan ibu bapa walau dalam apa jua perkara dan layanlah mereka dengan kasih sayang supaya anak-anak merasa mereka dihargai dan apabila mereka dewasa, mereka pasti akan menghargai pula kasih sayang ibu bapanya itu.
6) Jangan terlalu mendorong anak-anak terhadap kepentingan kehidupan duniawi sehingga melupakan kepentingan kehidupan di akhirat kerana jika terlalu mementingkan duniawi, anak-anak akan menganggap ibu bapa yang tua sebagai beban untuk mereka mengejar kehidupan di dunia ini.
7) Eratkan hubungan kekeluargaan supaya anak-anak akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka walaupun di mana jua mereka berada.
8) Jangan didik anak-anak dengan kepentingan wang ringgit tetapi didiklah mereka dengan kepentingan kasih sayang kerana wang ringgit boleh membuatkan mereka lupa kepada ibu bapa, sebaliknya kasih sayang akan merapatkan anak-anak kepada kedua ibu bapa.
9) Tunjukkan keperibadian yang baik kepada anak-anak kerana sikap dan keperibadian anak-anak banyak terbentuk melalui keperibadian ibu bapanya sendiri.
10) Selalu mendo’akan yang baik-baik sahaja untuk anak-anak supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
11) Berserah dan bertakwalah kepada Allah semoga anak-anak kita akan sentiasa membahgiakan, menggembirakan, mensejahterakan dan memuliakan kita ibu bapanya di dunia dan di akhirat, setalah kita berusaha sedayanya di dalam mendidik mereka dengan betul dari kecil sehingga dewasa.
Nekcun yakin dengan mendidik anak-anak berlandaskan iman dan takwa terhadap Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, akan dapat menghindarkan anak-anak dari menjadi anak yang derhaka. InsyaAllah.
7 comments:
WOW! thanks nekcun .... maklumat dan peringatan yg berguna gitew..
Assalamualaikum ..
sedey..klu anak2 tak dengar kata ya..
Anyway, dipanjatkan doa dan harapan agar anak2 akan jadi yg terbaik..
Si ibu hanya mengharapkan semoga segala pengorbanan dan keikhlasan kita mendidik mereka akan dikenang dan dihargai.
Si ibu memang tidak mengharapkan balasan wang ringgit, cukuplah jika mereka mengingati dan menyayangi kita terutama apb sudah meningkat usia....
Mendidik anak ni sebaik-baiknya dari dalam perut lagi. Suasana sekeliling, sikap ibubapa, pengaruh luaran semuanya memainkan peranan penting.
Tie sendiri tak pasti mengapa terjadinya anak-anak yang derhaka. Dan Tie tak berani untuk memikirkan sebabnya.
Kekadang apa yang berlaku ada sebab dan hikmahnya. Apa yang selalu Tie ingatkan ialah sentiasa mendoakan agar semua anak-anak kita berada di dalam perlindunganNya.
Salam,
Topik yang menarik. Anak derhaka.....hmmmm..... pendapat chekdee...... memang salah asuhan dan nilai dari ibubapa.......
Anak akan menghormati ibubapa jika ibubapanya menunjukkan contoh yang baik.......
So....memang besar tanggungjawab menjadi ibubapa......sedap sekejap jer ....tanggungjawab berpanjangan....... heheheheheh
Anak-anak adalah anugerah Allah yg dipertanggungjawabkan kpd ibubapa.. Anak ibarat kain putih.. Terpulanglah kpd ibubapa utk mencorakkannya... Apb anak derhaka.. sudah tentulah ianya berpunca dari kesilapan cara asuhan ibubapa itu sendiri..
Apb Islam tidak diamalkan dlm sistem pendidikan keluarga mahupun pentadbiran negara.. maka akan berlakulah huru-hara... Sekian lama kita dijajah... Masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini lebih cenderung dgn ideologi barat dan sistem sekular... Inilah hasilnya.. banyak anak2 derhaka.. banyak anak2 tak sah taraf.. banyak ibubapa buang/bunuh anak sendiri dan sebagainya... Masyarakat kita kini sedang menuju ke arah zaman Jahiliah...
Berapa ramai ibubapa yg sahut ajaran Rasulullah S.A.W. dlm mendidik anak2 Solat? Umur 7 tahun mula bersolat dan umur 10 tahun dipukul sekiranya tidak bersolat? Kebanyakkan ibubapa hari ini tidak sampai hati nak kejutkan anak2nya utk bangun Solat Subuh dgn alasan, kasihankan anak2 itu tidur...
Utk makluman, kita kini sedang berada di fasa ke 4 Umat Muhammad S.A.W. Pada fasa inilah syaitan akan berjaya kumpulkan lebih ramai penghuni Neraka. Pada fasa ke 5, Islam akan bangkit semula dan selepas itu dunia akan kiamat.. Kita kini berada di dalam fasa yg sgt bahaya... utk selamat... jadikanlah Al-Quran dan Sunnah sbg panduan dlm menjalani kehidupan seharian...
Saya seorang anak... Saya banyak kali dah mencuba untuk jadi anak yg baek tpy stiap kali saya jadi baik, mesti dimarah juga... Rase mcm semua perkara yg sye buat x betul.. Sye tidak pernah mendapat pujian atau kata2 semangat yg ikhlas dri ibu bapa saya.. Mereka seperti tidak menpedulikan sye.. Sekarang saya hanya mampu berdiam kemurungan shje di rumah... Apakah patut saya lakukan?
Sye seorang ank,.. Sye banyak kali mencuba untuk jadi anak yg baik tpy stiap kali sye mlkukan perkare baik tetap juga dimarah.. Ibu bapa sye tidak penah berkata positif atau memuji sye atau memberi kata semangat yg ikhlas seperti ibu bapa lain... Mereke seperti tidak mempedulikan sye... Adakah sye ini 'Jahat' sgat? Kami sekeluarge juga tidak pernah bergurau senda.. Semuanya serius shje... Bila sye diam, ibu sye cakap sye x layan dye tpy bile sye ckap dgn dye, dye pulak x layan sye... Seperti saya tidak wujud di situ... Sekarang sye hnye mampu berdiam kemurungan shje.. Apakah yg patut sye lakukan?
Post a Comment