Sunday, August 10, 2008

APA ISTIMEWANYA TARIKH 08-08-08?

Pagi Juma’at 08-08-08 tu nekcun rasa jalan kat rumah nekcun yang selalunya sesak kerana semua orang berebut-rebut nak pergi kerja, agak lengang pulak. Terfikir dalam hati… ke mana semua orang ni? Dah cuti sekolah ke?

Sampai di pejabat pun lebih kurang macam tu juga. Dengar sana sini ramai yang cuti. Dalam hati nekcun terus tertanya-tanya kenapa ramai orang cuti hari tu. Apa special nya hari tu…

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, telefon nekcun berdering-dering. Terdengar suara anak sulong nekcun bertanya samada nekcun dan atok boleh balik awal tak hari tu. Nekcun pun hairan juga, kenapa pulak kena balik awal kerana selama ni tak pernah pun anak-anak nekcun bertanya begitu.

Along “ Mama lupa ke hari ni birthday Ersya!”
Nekcun “Oh ya!… hari ni 8hb August 2008”
Along “So, we want to celebrate her birthday tonight… she’s 3 yrs old today!”

Segera nekcun telefon atok, beritahu yang dia pun kena balik awal kerana nak sambut harijadi cucu yang ketiga tahun pada 08-08-08. Terasa bersalah pula kerana terlalu sibuk dengan tugas pejabat yang begitu mendesak kebelakangan ini hingga hari jadi cucu yang seorang tu pun boleh terlupa. Nasib baiklah nekcun dan atok memang dah belikan hadiah untuk cucu kesayangan nekcun tu, jadi taklah terkilan sangat.

Apa yang nekcun nak coretkan kat sini bukanlah pasal harijadi cucu nekcun yang kebetulan juga jatuh pada 08-08-08 tu , tetapi adalah pengaruh nombor 08-08-08 tu kepada sesetengah golongan masyarakat kita. Ada kawan atok yang bekerja di Pejabat ugama memberitahu bahawa pada hari 08-08-08 tu kawan dia, seorang Tok Kadhi terpaksa ‘marathon’ menikahkan pasangan pengantin baru mula dari pukul 11.00 pagi sehinggalah 11.00 malam kerana semua pasangan mahu bernikah pada tarikh itu juga.

Itu belum lagi di gereja-gereja, kuil-kuil dan pejabat Pendaftaran Nikah kahwin… bersesak-sesak pasangan pengantin mahu melangsungkan perkahwinan mereka pada tarikh yang mereka anggap ‘keramat’ itu.

Sehingga ke hari ini nekcun masih berfikir-fikir kenapa ada golongan masyarakat yang begitu ‘taksub’ dengan nombor-nombor dan tarikh-tarikh tertentu? Mungkinkah ada rahsia di sebalik nombor-nombor itu? Entahlah… nekcun pun tak dapat nak beri jawapan tetapi nekcun dan atok pun kekadang terikut-ikut dengan ‘ketaksuban’ begitu bila semua kereta-kereta nekcun, atok dan anak-anak mempunyai nombor yang sama… hehehehe…bukan apa… supaya senang nak kenal… lagi pun nekcun pun ada juga darah keturunan bangsa yang suka nombor “8” tu…

No comments: