Saturday, September 6, 2008

HADIAH DARI KEKASIH....

Tajuk ni nekcun dapat ketika menghadiri satu ceramah Ramadhan di pejabat nekcun. Memang ianya amat menguja fikiran nekcun untuk mengetahui apakah yang sebenarnya mahu disampaikan oleh ustazah? Apa kena mengena kekasih dengan amalan bulan Ramadhan ini? Nekcun terus terfikir-fikir.

Kerana dalam keadaan yang tergesa-gesa, nekcun terlupa nak membawa pen dan buku catitan ketika mendengar ceramah, jadi tak dapatlah nekcun nak catit secara terperinci. Tetapi tak mengapalah… nekcun nak kongsi apa yang nekcun ingat sajer ya!…

Ustazah tanya, berapa ramai antara kita ini melakukan perkara-perkara berikut ketika menyambut hari pertama Ramadhan?
1) Bersujud syukur kerana Allah memberi kita peluang bertemu lagi dengan bulan Ramadhan.
2) Ketua keluarga memanggil seisi rumah bermesyuarat, berbincang mengenai perancangan menyambut bulan Ramadhan ini.
3)Adakah kita memperuntukkan perbelanjaan untuk bersedekah selain perbelanjaan persediaan menyambut Hari Raya.

Terkedu juga nekcun mendengar soalan ustazah tu!… Iyalah… soalan 1 tu memanglah selalu nekcun dan ramai antara kita yang memang dah amalkan setiap kali mendapat rezeki dan berpeluang berjumpa Ramadhan juga nekcun kira sebagai rezeki juga. Jadi soalan satu… pass!…

Tetapi soalan 2 dan 3, nekcun jadi keliru kerana tidak pasti dengan apa sebenar yang dimaksudkan oleh ustazah. Memanglah kami sekeluarga selalu berbincang bila ada apa-apa yang kami rancang nak lakukan kerana atok memang jenis orang yang tidak suka buat sesuatu dalam keadaan kalang kelibut. Dia nak semuanya dirancang dan teratur.

Bila nekcun dan ramai juga yang lain-lain mengerut-ngerutkan dahi apabila pada soalan 2 & 3, maka ustazah pun menerangkan, lebih kurang begini:-

Bulan Ramadhan adalah bulan dari segala bulan. Maksudnya Allah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan di mana Allah ibaratnya memberi ‘bonus dan diskaun mega sales’ kepada semua umat Islam. Dalam bulan Ramadhan, Allah membuka semua pintu-pintu syurga dan menutup semua pintu neraka serta mengikat semua syaitan. Disamping itu, ada difirmankan bahawa semua amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan Allah beri 1000 kali ganda pahala dan Allah juga akan memakbulkan semua do’a-do’a orang yang berpuasa di Bulan Ramadhan. Selain itu, ‘bonus’ yang paling besar Allah beri kepada umat Islam yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam Lailatul Qadar’.

Bukankah Allah merupakan seorang “Kekasih” yang amat pemurah kepada semua makhlukNya walau pun ada di kalangan makhlukNya yang langsung tidak menghargai akan kemurahanNya itu? Jadi… kita sebagai makhlukNya, tidakkah kita mahu merebut “bonus dan diskaun mega sales” yang Allah kurniakan di sepanjang Ramadhan ini untuk persediaan kita di alam akhirat nanti? Itulah jawapan kepada soalan 2 & 3...

Untuk mendapat “bonus dan diskaun mega sales” kita perlu mengetahui apa yang perlu kita lakukan. Kita juga perlu merancang untuk mempastikan apa yang dilakukan benar-benar efektif. Maka, selaku ketua keluarga, seharusnya suami/bapa memberitahu atau mengajak isteri/anak-anak melakukan lebih banyak lagi amalan-amalan soleh di sepanjang Ramadhan seperti mengerjakan solat sunat tarawikh, bertadarus Al-Quran, lain-lain solat sunat dan bersedakah. Salah satu lagi amalan soleh yang boleh kita amalkan sepanjang Ramadhan ialah mengawal nafsu terutamanya ‘nafsu makan’ kerana selalunya nafsu makan di bulan Ramadhan akan mendorong kepada pembaziran. Kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah disepanjang Ramadhan kerana pahala sedekah yang ikhlas adalah berganda-ganda. Maka eloklah kita memperuntukkan sebahagian dari wang kita yang mungkin akan digunakan untuk perbelanjaan yang tidak menentu kepada peruntukkan untuk bersedekah!

Itulah sedikit sebanyak yang nekcun ingat dari ceramah tersebut. Walaupun ringkas, namun nekcun rasa ianya memang berkesan di hati nekcun kerana tidak dinafikan kita sebagai ibu bapa/suami kekadang terlupa untuk mengajak isteri / anak-anak & cucu kita meningkatkan amalan sepanjang Ramadhan atau pun di hari-hari yang lain. Kita hanya melakukan kerana kita memang tahu dan mahu melakukannya tetapi kita lupa yang isteri/anak-anak adalah juga tanggung jawab kita untuk membimbing mereka merebut “bonus dan diskaun mega sales” yang dihadiahkan oleh “Kekasih sejati kita iaitu ALLAH SWT” sepanjang Ramadhan ini.

Semoga catitan nekcun yang ringkas ini dapat kita manfa’atkan bersama. Wallahualam.


5 comments:

Tie said...

Terima kasihlah nekcun sudi berkongsi cerita dari ceramah tu...Ia benar2 membuka mata dan hati ini..

faisol said...

terima kasih sharing info/ilmunya...
saya membuat tulisan tentang "Mengapa Pahala Tidak Berbentuk Harta Saja, Ya?"
silakan berkunjung ke:

http://achmadfaisol.blogspot.com/2008/08/mengapa-pahala-tidak-berbentuk-harta.html

semoga Allah menyatukan dan melembutkan hati semua umat Islam, amin...

salam,
achmad faisol
http://achmadfaisol.blogspot.com/

kuchalana said...

tq for sharing...

alhamdullillah saya dpt lakukan ke tiga2 pesanan tadi dari sblum mula ramadhan lagi...

pada saya mak ayah perlu mainkan peranan dalam mendidik anak2 dalam memahami pengertian ramadhan.. jika tidak dipupuk dari kecil, kesannya ramadhan hanya skadar ibadah ikutan smata2..

smoga kita akan trus berpesan2.

Nek Cun said...

Salam Tie, Faisol & Kuchalana, macam mana puasa hari ni? Semoga kekawan semua sentiasa sehat ketika menjalankan ibadah puasa ini. Ingat mengingati sesama kita amatlah digalakkan. Nekcun percaya pada sabda Rasullullah SAW yang berbunyi "Sebarkanlah walau hanya sepotong ayat".

fatimah said...

Assalamualaikum Kam, TQVM for sharing...soalan2 yg hanya boleh dijawab sendiri. Sebak. Selepas Raya ini, eloklah I sign up utk kursus menghadapi Ramadhan, to make sure the next Ramadhan will be best ever sebagai bekalan masa depan. Semuga kita berpeluang mendapat beberapa lagi "hadiah dari kekasih" di masa akan datang.