Wednesday, December 18, 2013

INIKAH DIA JANJI DITEPATI????

Tersengeh-sengeh nekcun membaca puisi yang dikirim oleh seorang teman. Memang tepat betul apa yang dinyatakan di dalam puisi itu dan nekcun mahu mengongsikannya bersama sahabat2 semua. Semoga ada pula yang menyampaikannya kepada mana-mana Pak Menteri agar mereka mendapat 'hidayah' dan merasakan betapa peritnya hidup rakyat marhein di M'sia yang kononnya salah sebuah negara yang ekonominya kukuh di rantau Asia ini... Beruntungkah jadi rakyat Malaysia?... fikir2kanlah... 

Umpama timun kami ini rasanya
Melanggar kami terluka
Dilanggar kami cedera
Tapi itulah nasib kami rakyat jelata
Warganegara Malaysia tanah air tercinta

Tanpa elaun seperti menteri
Makan bayar sendiri
Kereta pandu sendiri
Minyak isi sendiri
Jalan sesak kami hadapi setiap hari

Mudah pula tuan berkata
Jangan makan ayam bila ayam naik harga
Jangan minum manis bila naik harga gula
Jangan guna jalan jika tol naik berganda
Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia

Kami umpama kain basahan
Tuan perah habis habisan
Akhirnya kami kekeringan
Merana kami tapi tuan kesenangan

Duit sejemput kami diperas hingga rabak
Gaji tuan sedikit pun tak boleh tolak
Usul kami tuan lanyak sampai koyak
Macam mana kami nak senyum bila tuan makin menggalak

Tak mengapalah tuan
Kami terima segala ketentuan
Cuma ingat pesan Tuhan
Setiap perkara ada balasan
Nasib tuan belum ketahuan

Tuan jangan lupa
Kami manusia biasa
Sabar kami ada tahapnya
Luka kecil boleh jadi nanah juga
Jangan sampai menjadi barah pula
Cukuplah tuan menyeksa
Cukuplah tuan buat kami merana

Kuasa tuan yang ALLAH beri dari doa kami
Naiknya tuan mungkin ALLAH nak uji
Jatuh tuan juga tidak mustahil jika ALLAH dah benci
Kerana kami yakin ALLAH dengar rintihan kami
Dan ALLAH tidak pernah mungkir janji
Tidak seperti tuan terjerit-jerit mengakui janji ditepati
Tetapi semakin galak tuan menzalimi kami....

***** Ini janji kami, ini protes KAMI*****

Saturday, November 23, 2013

NOSTALGIA AKU, DIA & NOVEL...

Detik pertemuan kita
Ketika itu aku jatuh cinta
Pandang pertama!...
Setelah mengenalimu
Kini ku sedari
Pelbagai rintangan dan cabaran
Harus ku lalui untuk terus kekal bersamamu…
Onak duri telah ku tempuhi
Suka duka, pahit manis ku rasai
Semuanya bagaikan mimpi…
Suaramu bagaikan ombak rindu
Madah selokamu penawar sendu pilu ku
Walau pun kini baru kusedar
Cintamu membuat hatiku sentiasa bergetar
Kerana kaulah yang teristimewa…
Sa’at-sa’at indah bersamamu
Akan ku abadikan
Nostalgia kita bersama selamanya…

Friday, November 15, 2013

KARYA DAN CINTA, BERPISAH TIADA...

Bahasa kita bukan bahasa cinta,
Madah kita bukan madah seloka,
Namun hati & naluri kita sering bersapa,
Walau pun hanya di alam maya.

Alangkah indahnya SEANDAINYA KAU ADA,
Bersama kita menyulam SEINDAH TAKDIR CINTA,
Walau pun rindu yang bertandang HANYA KAU YANG TAHU,
Tetapi aku yakin kau tahu TIDAK KUPINTA begini akhirnya lembaran cinta kita,
Namun DEMIMU NAZWA, aku rela menyendiri entah sampai bila...

##: Sahabat2ku, sudi-sudilah memilikki dan membaca novel2 ku ini... Terima kasih.


Tuesday, September 17, 2013

Novel DEMIMU NAZWA - Bab 2

PERASAAN gelisah terus menghantui diri Nazwa. Jelas terbayang wajah sendu dan pilu ketika Nazwa melangkah masuk ke bilik Mohd Safri. Ketuanya telah memanggil Nazwa untuk berbincang tentang projek yang diselianya.
“Emm... Nazwa. Kenapa nampak murung aje? Saya harap kemurungan awak itu bukanlah disebabkan awak terpaksa balik bekerja dengan saya, kan?” tegur Mohd Safri dengan nada ingin bergurau.
“Oh! Dah tentu tak! Saya seronok kerja dengan Encik Safri,” jawab Nazwa sambil tersenyum namun getaran suaranya jelas kedengaran.
Sebenarnya, Nazwa memang seronok bekerja di bawah Mohd Safri. Lelaki itu tidak lokek ilmu dan pengalaman. Nazwa berasa amat beruntung. Dalam masa tidak sampai empat tahun bekerja di syarikat ini, dia telah boleh memahami selok belok perniagaan syarikat.
Nazwa juga telah tahu segala kehendak pelanggan serta pelabur yang berurusan dengan mereka. Itu semua adalah berkat tunjuk ajar daripada ketuanya, Mohd Safri yang begitu bertimbang rasa terhadap semua pegawai bawahannya.
“Habis tu, kenapa awak tak ceria langsung macam selalu? Awak bertengkar dengan Ed ya?” tanya Mohd Safri, tersenyum nakal.
Dia juga sudah tahu pasal hubungan rapat Nazwa dengan pengurus muda dari bahagian pemasaran itu.
“Eh, tak adalah. Kami baik-baik aje. Cuma...” Nazwa agak keberatan untuk meneruskan kata-katanya.
“Cuma apa?”
“Betul ke ada syarikat baru nak ambil alih Syarikat Libur Kanan ini, Encik Safri?” Terlontar juga soalan itu daripada bibir Nazwa.
“Emm... dengan perkembangan terbaharu yang saya diberitahu semalam, ya. Memang ada syarikat baru yang nak ambil alih pengurusan Libur Kanan,” jawab Mohd Safri dengan nada penuh yakin.
“Oh...” Nazwa hanya mampu menutup mulut dengan telapak tangan bagaikan menyesali keluhan yang terlepas daripada mulutnya itu.
“Kenapa Nazwa? Kenapa saya tengok awak risau sangat dengan berita ini?” tanya Mohd Safri dengan dahi berkerut.
“Bukan apa encik. Bila ada pengambilalihan syarikat, pasti akan berlaku pembuangan pekerja.” Akhirnya Nazwa menyuarakan juga kebimbangannya.
“Oh, awak risau yang awak jugak akan terlibat?”
“Ya encik.”
“Saya tak fikir itu akan terjadi di Syarikat Libur Kanan ni.” Selamba Mohd Safri memberikan pendapat.
“Macam mana Encik Safri boleh yakin sangat?” tanya Nazwa, inginkan kepastian.
“Syarikat Libur Kanan merupakan syarikat gergasi yang mempunyai rekod kewangan dan reputasi perniagaan yang teguh di dalam dan di luar negara, saya tak fikir syarikat ini akan jadi beban kepada mereka.
Lagipun, sebab-sebab mereka bersetuju membeli Libur Kanan adalah kerana mereka tahu Libur Kanan mempunyai potensi perniagaan yang baik di arena antarabangsa dan mempunyai pekerja-pekerja yang berwibawa. Cuma...” Terhenti Mohd Safri di situ.
“Cuma apa Encik Safri?”
“Cuma sekarang ini, Syarikat Libur Kanan menghadapi masalah modal. Modal untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi. Itu sahaja masalahnya. Tak mungkin mereka akan buang pekerja-pekerja yang ada sekarang kalau perniagaan boleh terus dimajukan ke peringkat antarabangsa,” jelas Mohd Safri dengan panjang lebar.
“Harap-harap begitulah Encik Safri tapi syarikat manakah yang akan mengambil alih Libur Kanan ni?” risik Nazwa.
“Janganlah awak risau sangat, Nazwa. Saya amat yakin Al-Khusyairy Mega Holding takkan berjaya dan maju sebagaimana mereka berada sekarang, sekiranya mereka sentiasa membuang pekerja yang mahir dan berpotensi setiap kali mereka mengambil alih syarikat lain. Apa yang mereka lakukan adalah mengembangkan perniagaan untuk mengoptimakan kemahiran semua pekerja yang ada,” tambah Mohd Safri lagi dengan penuh semangat.
“Syarikat Al-Khusyairy Mega Holding?” ujar Nazwa mengulangi menyebut nama syarikat yang dikatakan Mohd Safri sambil berkerut dahinya.
Tiba-tiba hati Nazwa jadi gelisah tidak menentu. Nama Al-Khusyairy bagaikan berjaya menyentak hatinya pada sesuatu yang dia sendiri tidak pasti namun nama itu amat mempengaruhi hidupnya.
Nasib baiklah cahaya matahari yang bersinar dari tingkap berhampiran meja Mohd Safri itu agak cerah dan berjaya melindungi perubahan wajah Nazwa yang tiba-tiba jadi pucat bagaikan tidak berdarah itu dari dikesan ketuanya.
Ah, mungkin nama sama agaknya, hati kecil Nazwa berbisik bagaikan memujuk dirinya namun hatinya tetap berdebar-debar.
“Dan mereka akan jadi syarikat induk Libur Kanan yang baru, ya?” tanya Nazwa.
“Ya,” jawab Mohd Safri, terus membuat perut Nazwa bertambah senak.
“Memang perbincangan awal tentang pengambilalihan Libur Kanan ini dibuat secara rahsia demi menjaga kepentingan urusan perniagaan tetapi dengan selesainya urusan menandatangani dokumen terakhir semalam, saya rasa tak perlulah lagi saya merahsiakannya daripada awak kerana ianya akan menjadi pengetahuan umum dalam sehari dua lagi,” ujar Mohd Safri sambil melemparkan senyuman mesra.
“Jadi, macam yang saya katakan tadi, dengan Syarikat Al-Khusyairy Mega Holding itu, awak tak perlulah risau tentang awak kehilangan pekerjaan.” Dengan nada penuh yakin, Mohd Safri seolah-olah memberi semangat.
Ya ALLAH, kalaulah Encik Safri tahu perkara yang sebenar, mungkin dia takkan seyakin itu cuba mententeramkan hatiku, bisik Nazwa. Walaupun dia cuba menceriakan riak wajahnya dengan apa yang dikatakan ketuanya itu, namun hakikatnya dia lebih takut akan potensi kehilangan pekerjaan sekarang berbanding sebelum itu.
Memang Nazwa tidak pernah memberitahu sesiapa pun di pejabatnya itu akan status dirinya yang sebenar melainkan pada Edham. Lelaki itu terlalu mendesak untuk mengahwininya. Namun apa yang benar-benar menyenakkan perut Nazwa ketika itu adalah Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy. Lelaki yang menjadi tulang belakang dan peneraju utama Al-Khusyairy Mega Holding sekarang ini kerana lelaki itu pernah dinikahinya ketika belajar di luar negara.
Malah Nazwa cukup yakin yang mereka masih suami isteri yang sah walaupun mereka telah berpisah hampir empat tahun.
Tiada sebarang lafaz talak daripada lelaki itu dan Nazwa sendiri tidak pernah merujuk kepada mana-mana pihak berkuasa akan status perpisahan mereka itu. Kedua-dua mereka bagaikan lupa bahawa ikatan yang pernah menyatukan mereka itu, masih sah dari hukum syarak. Nazwa jadi benar-benar takut sekarang.

FIKIRAN Nazwa masih berkecamuk. Sejak Mohd Safri menyebut nama lelaki itu, hatinya sentiasa bimbang. Wajah Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy sentiasa menjelma di depan mata. Lelaki itulah telah banyak mencorakkan hidup Nazwa suatu ketika dahulu.
Sepanjang petang itu Nazwa sibuk mengumpul kembali fakta-fakta yang telah dibincangkan dengan Mohd Safri pagi itu. Dia perlu menyediakan laporan dan kertas cadangan untuk dibentangkan kepada pengurusan baru pada minggu hadapan. Namun sekali-sekala dia mengeluh bila kenangan dia bersama Ahmad Saifulrizwan tiba-tiba muncul di kepala.
“Awak okey ke, Nazwa?” tanya Mohd Safri bila melihat wajah Nazwa berkerut-kerut ketika dia melintasi meja gadis itu.
“Ooo...err...okey,” jawab Nazwa agak gugup kerana tidak sangka yang ketuanya itu sedang memerhatikannya.
“Habis tu, dahi awak berkerut-kerut tu apa pasal?”
“Tengah cari ilham macam mana nak buat presentation slides kita ni agar lebih menarik dan berkesan,” bohong Nazwa cuba menyorokkan perasaannya yang agak bergetar.
“Saya yakin awak boleh buat yang terbaik. I know that,” ujar Mohd Safri memberi semangat sebelum berlalu meninggalkan meja Nazwa.
Ya, aku memang boleh buat yang terbaik kalau bukan Al-Khusyairy Mega Holding yang jadi majikan baruku nanti, bisik Nazwa di dalam hati.

Monday, September 16, 2013

Novel DEMIMU NAZWA - Bab 1

NAZWA melangkah pantas menuju ke lobi utama. Hari ini dia mula bekerja setelah dua minggu bercuti. Bila lif terbuka, dengan pantas dia melangkah masuk. Hanya ada dua orang sahaja di dalam lif memandangkan jam baru pukul 7.30 pagi.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Nazwa melangkah menuju ke pejabatnya.
“Hei Naz! Macam mana percutian kau di Beijing? Seronok tak? Wah, bukan main lagi kau. Sampai dua minggu cuti,” tegur Farina, kawan sepejabatnya.
“Hisy, kau ni... kalau ya pun bagilah salam. Terkejut aku tau!” marah Nazwa sambil menjeling.
Nazwa yang kelihatan agak ceria dan tenang, segera meletakkan beg tangannya ke dalam kabinet di sebelah meja sebelum berpaling memandang ke arah sahabatnya itu. Senyuman manis terukir di bibirnya.
“Emm... memang seronok sangat. Dapat lepas dari kerja-kerja pejabat untuk dua minggu. Hilang tension dan stress aku,” jawab Nazwa dengan nada riang.
“Banyak ke shopping?” tanya Farina sambil melangkah menghampiri meja Nazwa. Tidak puas berbual dengan jarak meja yang agak jauh begitu.
Nazwa yang terkial-kial mahu membuka komputernya hanya menggeleng. Matanya terus menatap skrin komputer yang ada di atas meja.
“Mana nak shopping sangat. Kau pun tahu, aku ke sana nak ambil ibu aku yang sedang berubat dengan sepupu aku yang ada klinik tradisional di Tianjin. Jadi, banyak masa kami habiskan di klinik. Lagipun tak lama lagi, musim sejuk. Hampir semua fesyen pakaian adalah untuk musim sejuk,” beritahu Nazwa dengan panjang lebar.
“Oh... habis tu, macam mana ibu kau sekarang? Dah okey ke?” tanya Farina lagi agak prihatin.
“Alhamdulillah... keadaannya baik sikit dari dulu. Sekarang dia dah boleh jalan sendiri dan tak payah dipimpin lagi,” ujar Nazwa dengan nada lega.
“Lega aku mendengarnya. Kalau tak, mood kau selalu down bila memikirkan masalah kesihatan ibu kau. Seronok aku tengok kau dah kembali ceria,” ujar Farina sambil menepuk lembut bahu sahabatnya itu.
“Kenapa pulak kau seronok sangat?” tanya Nazwa, hairan.
“Tak adalah... sekurang-kurangnya sekarang kau dah ada nak tolong aku. Kalau tak, nak pergi tandas pun tak sempat. Kerja kita ni dah macam sampai kat paras hidung dah,” jawab Farina sambil meletakkan jari telunjuknya ke paras hidung bagaikan mahu mengukuhkan lagi apa yang dikatakannya itu. Jelas kedengaran suaranya yang agak stress.
“Aku dah agak,” balas Nazwa selamba.
“Err... kau dah tahu ke pasal ura-ura pengambilalihan syarikat kita ni? Tentu Ed dah beritahu kau, betul tak?” teka Farina.
Edham adalah pengurus jualan di Syarikat Libur Kanan. Satu tempat kerja dengan Nazwa. Edham telah berkawan rapat dengan Nazwa sejak setahun yang lalu sehingga ada yang menganggap mereka adalah pasangan kekasih yang hangat bercinta.
“Haah tapi dah ada keputusannya ke?” tanya Nazwa.
“Entahlah. Dato’ Razlan macam sengaja nak tutup mulut. Dalam mesyuarat mingguan pengurus kanan pada Selasa lepas, Encik Safri ada memberitahu bahawa pihak pengurusan bersetuju menjual 51 peratus saham syarikat kepada syarikat baru tu. Mereka hanya menunggu kelulusan dari pihak Pendaftaran Syarikat dan BSKL Security Commission sahaja,” jelas Farina dengan suara yang perlahan seolah-olah berbisik bagaikan perkara itu adalah satu rahsia syarikat yang tidak boleh diketahui oleh pihak luar.
“Biasalah Dato’ Razlan, dia memang macam tu. Aku rasa dia pun dah malas nak bertegang urat mempertahankan haknya dalam syarikat ini. Kau tengok sahajalah keadaan pejabat kita ni,” ujar Nazwa sambil memandang sekeliling pejabat yang agak buruk itu, seolah-olah terkilan dengan sikap majikan mereka.
“Iyalah agaknya. Shimah pun pernah beritahu aku yang Dato’ Razlan memang dah tak larat nak bersaing dengan syarikat-syarikat baru yang mempunyai modal lebih besar. Sebab itulah, dia diam sahaja bila lembaga pengarah berura-ura nak menjualkan saham syarikat ni kepada syarikat yang lebih berkemampuan,” ucap Farina apabila teringatkan akan perbualannya dengan setiausaha majikannya itu minggu lepas.
“Moga-moga akan terbelalah nasib kita kalau syarikat baru yang lebih berkemampuan itu, nak ambil alih syarikat ini,” ujar Nazwa pula penuh mengharap.
“Aku pun harap macam tu jugak. Sekurang-kurangnya akan adalah insentif yang lebih elok untuk pekerja-pekerja syarikat, misalnya tambahan kuota bonus tahunan ataupun kenaikan gaji yang lebih baik. Tapi...” Terhenti kata-kata Farina seketika.
“Tapi apa, Fina?” soal Nazwa agak teruja.
“Aku tak berani nak harap sangat kerana kita tak tahu apakah rancangan syarikat baru tu nanti. Kalau mereka dah beli 51 peratus saham syarikat ni, maknanya mereka adalah pemegang saham terbesar. Punya hak untuk melakukan apa sahaja terhadap pekerja-pekerja di bawah naungannya.Mereka boleh membawa pekerja-pekerja dari syarikat induk dan boleh buang kita. Inilah yang aku runsingkan,” luah Farina dengan nada yang agak gementar.
“Betul jugak kata kau tu tapi dengan keupayaan dan kemahiran kau mengendalikan projek-projek penting kerajaan selama ini, aku yakin syarikat takkan mudah lepaskan kau.
Lagipun kau dah ada banyak contact and good networking dengan kementerian-kementerian. Lainlah macam aku ni yang baru berpengalaman setahun jagung. Kalau syarikat baru tu mahu buang pekerja, pastinya aku dahulu yang kena,” jawab Nazwa pula dengan nada yang lebih sendu kedengaran.
“Tak semestinya Naz. Aku tahu, kau pun apa kurangnya dari segi prestasi kerja? Dato’ Razlan dan Encik Safri sangat percaya dengan kebolehan kau mengendalikan pelabur-pelabur korporat. Sebab itulah kau dilantik sebagai Penolong Pengurus Kanan Korporat dan jugak sebagai pembantu khas kepada Encik Safri. Aku yakin Encik Safri takkan senang-senang nak lepaskan kau,” ujar Farina sambil menepuk lembut bahu Nazwa.
“Assalamualaikum semua. Apa ni, pagi-pagi dah nampak macam tak ada mood aje. Emm... Nazwa! Baru balik bercuti panjang pun masih tak ada mood ke nak kerja?”
“Oh!” Tersentak Farina dan Nazwa.
Suara garau Mohd Safri, Pengurus Besar Bahagian Perundangan dan Komunikasi Korporat di Syarikat Libur Kanan itu benar-benar telah mengejutkan Nazwa dan Farina yang tidak langsung menyedari kehadiran ketua mereka di situ. Nasib baiklah cubicle meja Farina dan Nazwa agak jauh dari pekerja-pekerja lain, jadi tidaklah mereka perasan akan teguran Mohd Safri itu.
Farina dan Nazwa memang tahu yang Mohd Safri suka menggunakan laluan di ruang pejabat mereka itu untuk ke pejabatnya. Pejabat Mohd Safri sebenarnya sama satu tingkat dengan Dato’ Razlan, Pengarah Urusan Syarikat Libur Kanan. Dan pejabat Mohd Safri terletak di hujung sekali.
Farina dan Nazwa tidak sangka yang Mohd Safri akan datang awal hari ini. Jam baru pukul 8.00 pagi. Selalunya Mohd Safri akan muncul sekitar jam 8.30 ataupun 9.00.
“Waalaikumussalam Encik Safri. Tak adalah, kami hanya bincang sikit pasal kerja Nazwa yang tertangguh semasa dia bercuti tempoh hari,” jawab Farina sambil mengukir senyuman manis.
“Hah, kamu Nazwa! Seronok tak bercuti?” soal Mohd Safri sambil memandang ke arah Nazwa yang masih kelihatan agak gubra.
“Err... biasa-biasa aje, Encik Safri. Tak ada apa pun yang nak diseronokkan,” jawab Nazwa, tidak tahu apa yang harus dikatakan ketika itu.
“Emm... baiklah. Teruskan perbincangan kamu berdua tu,” ujar Mohd Safri selamba sambil melangkah menuju ke pejabatnya.
Farina dan Nazwa terpinga-pinga. Tidak faham apakah yang dimaksudkan Mohd Safri. Farina memandang Nazwa dengan kening terjongket. Manakala Nazwa hanya mencebik bibir sambil mengangkat kedua-dua belah bahu menandakan dia juga tidak memahami apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
Namun jauh di sudut hati Nazwa masih terdetik rasa khuatir akan keadaan sebenar yang mungkin berlaku kepada mereka kalau Syarikat Libur Kanan itu benar-benar akan diambil alih oleh syarikat baru.

Friday, August 30, 2013

Apa erti Hari Merdeka pada kanak-kanak?...

Merdeka!... Merdeka!... Merdeka!... kedengaran anak-anak jiran2ku yang berumur antara 5 - 7 tahun
berteriak sambil menggoyang-goyangkan bendera Malaysia yang mereka pegang. Seronok sungguh kelihatan mereka itu berlari-lari di hadapan rumah kami sambil terus berteriak Merdeka beberapa kali.

"Adam!.. Adam tahu ke kenapa Adam sebut Merdeka sambil pegang bendera tu?" Nekcun bertanya kepada salah seorang mereka apabila mereka melintasi rumah nekcun.
"Tahu!..." jawabnya selamba.
"Sebab apa?" Nekcun menduga.
"Esok mama cuti. Boss mama kata kalau Merdeka semua orang cuti..." jawab Adam, jujur.
"Habis tu, yang Adam pegang bendera tu untuk apa pulak?" Nekcun terus ingin menduga.
"Cikgu kat tadika Adam yang beri. Dia kata masa Merdeka kena pasang bendera. Adam tengok kat television pun pegang bendera masa jerit merdeka. Jadi Adam ikutlah!.." dengan naifnya Adam terus menjawab soalan2 nekcun.

Nekcun hanya mampu tersenyum mendengar jawapan Adam yang begitu naif dan jujur. Namun terdetik juga rasa kesal di hati nekcun kerana secara dasarnya ramai kanak-kanak Malaysia, bukan hanya setakat umur antara 5 - 7 tahun seperti Adam, tetapi yang sudah bersekolah juga masih ramai yang tidak benar-benar faham mengapa Hari Merdeka itu perlu disambut secara besar-besaran di negara kita ini. Pelajaran sejarah di sekolah bagaikan tidak memberi apa-apa erti kepada mereka selain untuk mendapat markah yang tinggi untuk keperluan kelulusan peperiksaan sahaja.

Siapakah yang harus disalahkan jika anak-anak remaja / anak-anak muda tidak tahu apa pentingnya mengetahui sejarah tanah airnya sendiri? Adakah cikgu yang mengajar atau sistem pembelajaran itu sendiri yang menjadikan sejarah tanah air bagaikan sudah tiada nilai kepada anak-anak zaman sekarang?... Marilah sama-sama kita fikir-fikirkan...   

Sunday, July 28, 2013

Berjayakah kita ketika Graduation dari Universiti Ramadhan?...

Nekcun agak terkejut apabila ada seorang sahabat nekcun berkata yang dia tak lama lagi akan graduation kerana setahu nekcun dia tidak pernah pun masuk mana-mana universiti untuk melanjutkan pelajaran. Tiap-tiap hari kami sama-sama 'berlonggok' kat satu tempat tu sambil 'tercanguk' mengadap muka  ustaz-ustaz yang bersilih ganti...

Sahabat : "Hhmmm... tak lama lagi aku akan graduation. Harap-harap dapat CGPA 4 flat..."
Nekcun : "Bila pulak kau masuk U? U mana? Course apa?" 
Sahabat : "Alaaah... kau ni buat-buat tak tahu pulak!..." ujar sahabat sambil tersengeh2.
Nekcun : "Iyalah... mana aku tahu. Hari2 aku tengok kau kat sini dengan aku. Bila pulak kau belajar?"
Sahabat : "Hai, kita sama-sama satu kelas pun kau tak perasan ke?"
Nekcun : "Hei!... jangan nak melawak ya, aku dah lama pencen, dah malas nak belajar. Bila pulak aku masuk U sama dengan kau?" soal nekcun tambah hairan.
Sahabat : "Bukan kau ajer classmate aku, semua umat Islam adalah classmate aku tau!..." jawabnya selamba.
Nekcun : "Ooohhh!... Bulan Ramadhan ke yang kau maksudkan?" 
Sahabat : "Iyalah... Bulan Ramadhan ni kan sebuah 'universiti' untuk kita 'belajar' dan melaksanakan tanggunjawab kita demi mencari kredhaanNYA... kalau dia tak luluskan kita, macam mana kita nak graduate dengan cemerlang selepas habis tempoh pengajian di 'universiti' tu?...Jadi masa inilah kita kena betul-betul laksanakan semua yang kita pelajari itu dengan seikhlasnya supaya kita boleh terus mengamalkannya walaupun setelah tempoh 'universiti' itu tamat tidak lama lagi..."
Nekcun : "Hhhmmm... betullah kata kau tu... risau juga aku dibuatnya, walau pun aku dah cuba sedaya upaya aku untuk mencari 'markah' yang tertinggi dan mendapatkan CGPA '4 flat' macam yang kau cakap tu, tapi semuanya terserah kepada DIA untuk meluluskannya..."

Itulah lebih kurang perbualan nekcun dengan sahabat nekcun tu. Ya, memang betul apa yang sahabat nekcun katakan tu. Bulan Ramadhan ini adalah bulan yang penuh kerahmatan di mana kita boleh melatih diri kita untuk melaksanakan semua perintah ALLAH dengan penuh keikhlasan. 

Sepatutnya semua umat Islam perlu merebut peluang beramal ibadah dengan sebanyak-banyak dan seikhlasnya sepanjang  Ramadhan ini supaya ALLAH akan meredhakan hidayahNYA terus berada di dalam hati kita. Dengan itu kita akan terus menjadi seorang yang soleh/solehah dengan terus melaksanakan suruhan-suruhan ALLAH walaupun setelah tamatnya bulan Ramadhan tahun ini nanti. 

Seperti kehidupan harian, di mana seseorang yang menuntut ilmu di universiti dan setelah berjaya mendapat segulung Ijazah, dia akan menggunakan kelulusan dan kepandaiannya itu untuk mendapatkan kerjaya yang baik di dalam mencari rezeki dan kehidupan yang lebih selesa. Maka konsep itu jugalah yang perlu kita praktikkan di dalam kehidupan kita seterusnya, setelah melatih diri kita untuk lebih mendekati ALLAH di sepanjang Ramadhan ini. 

Marilah kita teruskan melaksanakan semua ibadah dan amalan2 baik apa yang telah kita laksanakan sepanjang Ramadhan ini ke dalam kehidupan harian kita walaupun Ramadhan telah berlalu kelak kerana sesungguhnya mencari keredhaan ALLAH itu tiada jangka masa tertentu sahaja. Ia sepatutnya sepanjang hayat kerana hidup di dunia ini tidak kekal. Hanya kehidupan di akhirat yang kekal. Maka marilah kita menyediakan bekalan yang secukupkanya untuk menyenangkan perjalanan dan kehidupan kita ke dunia akhirat kelak dengan mengambil peluang mengumpul 'markah' setinggi-tinggi yang boleh, lebih-lebih lagi ketika di 10 terakhir Ramadhan ini... Wallahualam...

p/s: MAAF ZAHIR BATIN dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat2 & bloggers yang nekcun  kasihi.   

  

Sunday, June 30, 2013

Malukah belajar kerana sudah tua?...

"Hai!... nak beralih arah ke?" komen seorang sahabat bila nekcun kata nekcun nak kena menghadiri bengkel penulisan skrip adaptasi novel ke drama yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka, beberapa hari yang lalu. Nekcun memohon dia untuk tolong mencatitkan nota-nota kalau-kalau ada kelas tafisr Al-Quran yang nekcun mungkin terlepas ketika menghadiri bengkel penulisan itu.

"Bukan beralih arah tetapi menambah arah!..." selamba sahaja nekcun menjawab. Nekcun faham maksud kata-kata sahabat itu yang menyangkakan nekcun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menulis novel.

"Huhuhu... ini yang buat I cemburu nih..." balasnya pula sambil tertawa kecil.

"Apa yang nak dicemburukan. I ni baru sajer nak merangkak sedangkan orang lain yang lebih muda tu dah  berlari-lari dah!...Tak tahulah, samada boleh ikut macam dia orang atau tidak..." ujar nekcun turut tertawa kecil sebagai membalas usikan sahabat nekcun yang suka bergurau itu.

"Itulah yang buat I cemburu tu. Walaupun dah berpangkat nenek, you masih boleh menambah-nambah arah, sedangkan I ni, nak ada satu arah pun tak dapat lagi sejak bersara ni... Kuat betul semangat you ya!..." ujar sahabat nekcun tu agak serius kali ini.

"Alhamdulillah... itulah rezeki & nikmat yang ALLAH anugerahkan pada I. Kalau tanpa rahmat dan keredhaanNYA, I pun mungkin tak sanggup nak buat semua tu..." balas nekcun penuh kesyukuran.

Hakikatnya memang nekcun amat bersyukur kepada ALLAH yang telah memberi nekcun kesihatan yang baik dan peluang yang luas untuk nekcun menambah ilmu dalam bidang penulisan ini. Secara dasarnya memang nekcun tidak pernah mempunyai sebarang pendidikan asas dalam bidang penulisan novel atau lakon layar. Jadi apabila ada peluang yang sebegitu, memang nekcun tidak mahu melepaskannya.

Bagi nekcun, menuntut ilmu itu tiada hadnya. Selagi kita termampu, eloklah kita menuntut ilmu. Tidak kira ilmu dunia atau ilmu akhirat selagi ia tidak melanggar syariat Islam. Cumanya janganlah kerana terlalu mencari ilmu dunia sehingga kita lupa akan ilmu akhirat kerana ilmu akhirat itu adalah yang kekal untuk kita.

Dengan sebab itulah nekcun kuatkan juga semangat untuk mengikuti bengkel penulisan yang memerlukan nekcun berkampung selama 3 hari 2 malam di sebuah hotel bersama beberapa penulis-penulis lain yang kebanyakkannya adalah jauh lebih muda dari nekcun. Nekcun buang jauh-jauh rasa malu atau rendah diri atas perbezaan usia itu kerana bagi nekcun tiada had umur untuk seseorang itu berusaha meningkatkan ilmu, tidak kiralah ilmu dunia atau ilmu akhirat asalkan ianya boleh dimanfaatkan untuk kehidupan yang baik di dunia dan juga di akhirat.

Walaupun sekiranya ilmu yang dipelajari itu tidak sempat untuk diaplikasikan kerana nekcun mungkin akan terlebih dahulu dipanggil menghadap Yang ESA, nekcun redha kerana sekurang-kurangnya nekcun telah berusaha untuk menjadi seorang yang berilmu dan bukan seorang yang jahil, samada ilmu akhirat atau ilmu dunia walaupun mungkin tidak setinggi ilmu alim ulama atau tokoh-tokoh yang bijak pandai di dalam bidang masing-masing.Sesungguhnya, tidak rugi menuntut ilmu asalkan ilmu itu adalah ilmu yang diredhai ALLAH... Wallahualam.

Sunday, May 19, 2013

Ugama Islam yang diwarisi atau dianuti?

Alhamdulillah... Nekcun rasa amat bersyukur kepada ALLAH bila ada beberapa sahabat2 dan peminat2 novel yang memberi komen2 positif terhadap novel terbaharu Nekcun yang bertajuk SEINDAH TAKDIR CINTA. Beberapa komen tersebut seperti:-

"Kak, novel akak ni betul2 mendera saya kerana menyebabkan saya menangis teresak2... buat saya insaf!..."

"Kak, novel akak tu buat saya teringin sangat nak menjadi Mia Karmila... membawa ibu dan bapa saya ke syurga ALLAH..."

"Kak, Seindah Takdir Cinta benar-benar menyedarkan saya betapa indahnya cinta suami saya terhadap kami sekeluarga selama ini apabila dia sering menjadi Imam di rumah kami..."

"Kak, saya setuju betul dengan apa yang akak kongsikan dalam novel tu... kekadang tu, bila ibu bapa jahil, ALLAH akan hantar seseorang dalam keluarga kita sekiranya ALLAH memilih kita untuk mendapat hidayahNYA kerana bukan semua orang akan dapat hidayah ALLAH... citer novel akak tu, memang telah berlaku pada keluarga saya!... Sebab tulah saya menangis bagai nak rak bila baca novel akak tu..."

Begitulah beberapa komen2 yang Nekcun rasa amat positif dan memberangsangkan yang Nekcun telah terima dari pembaca2 yang telah membaca SEINDAH TAKDIR CINTA. Syukur Alhamdulillah kerana niat Nekcun untuk berkongsi ilmu dengan pembaca2 telah diperkenankan ALLAH.

Memang secara dasarnya, semasa Nekcun mula2 menulis manuskrip STC tu dulu, niat Nekcun adalah untuk berkongsi sedikit ilmu yang ALLAH telah anugerahkan pada Nekcun dan juga sedikit pengalaman yang Nekcun harapkan dapat memberi kesedaran kepada kita sesama insan muslimin & muslimat yang mungkin telah terlalai dan tidak kurang juga yang  telah tersasar jauh dari mensyukuri dan menghargai nikmat-nikmat yang ALLAH telah berikan kepada kita semasa hidup di dunia ini untuk kembali mencari keredhaan ALLAH  sementara ALLAH masih memberi kita peluang untuk bernafas.

Terus terang Nekcun katakan, Nekcun bukanlah seorang yang warak, jauh sekali seorang yang pakar dalam ilmu hukum hakam ugama Islam.Tetapi menyedari betapa besarnya kasih sayang ALLAH pada Nekcun sekeluarga telah mendorong Nekcun untuk berkongsi ilmu yang sedikit itu dengan semua sesama insan demi tanggungjawab Nekcun sebagai salah seorang Islam yang telah ALLAH beri peluang hidup di dunia yang fana ini di dalam usaha menegakkan Kalimah ALLAH dengan cara yang termampu Nekcun lakukan iaitu melalui penulisan novel.

Bagi Nekcun, adalah wajib bagi kita Umat Islam berjihad di dalam menegakkan Ugama yang syumul ini dalam apa juga bentuk sumbangan yang termampu oleh kita di dalam mencari keredhaanNYA. Nekcun masih ingat ada seorang Ustaz berkata, berjihad ke jalan ALLAH tidak semestinya perlu pergi berperang sahaja, tetapi berusaha menyampaikan apa yang diperintahkan oleh ALLAH kepada manusia lain melalui apa juga sumbangan yang termampu kita lakukan juga adalah merupakan sebahagian dari jihad. 

Oleh sebab itu jugalah telah mendorong nekcun menghasilkan SEINDAH TAKDIR CINTA yang nekcun harapkan dapat menyuntik, kalau tidak sepenuhnya pun, sedikit kesedaran dan keinsafan kepada semua insan betapa mustahaknya kita mencari keredhaan ALLAH demi kebahgiaan & kesejahteraan hidup di dunia juga di akhirat kelak. Marilah kita semua menjadi insan-insan yang sentiasa bertekad menjadikan Islam sebagai Ugama yang wajib dianuti dan bukan sekadar ugama yang diwarisi.

Sesungguhnya setiap yang hidup itu pasti mati walau bagaimana pun dia berkuasa ketika hidup di dunia ini. Dan sesungguhnya ALLAH telah menjanjikan pembalasan yang seadil-adilnya ketika di akhirat kelak ke atas setiap perbuatan kita ketika di dunia ini. Maka akan beruntunglah bagi sesiapa yang beriman dan bertakwa kepada ALLAH serta sentiasa mencari keredhaanNYA semasa hidupnya. Dan amat malanglah bagi sesiapa yang mengengkari perintahNYA ketika diberi peluang hidup di dunia ini kerana ALLAH tidak pernah memungkiri janji. 

Oleh itu janganlah jadikan Islam hanya sebagai ugama yang diwarisi tetapi adalah ugama yang perlu dianuti  dan dipatuhi untuk kita mendapat keredhaan dan kerahmatan ALLAH di dunia dan juga di akhirat kelak.... Wallahualam... 

Wednesday, May 8, 2013

Mengapa kita perlu cemas dan khuatir?


Kepada sahabat2 semua, sebenarnya nekcun agak lemas dengan berbagai2 komen dan ulasan, samada di media cetak atau pun media elektronik atau pun hubungan di alam maya eg: facebook, twitter & blogs yang tidak habis2 bercerita tentang PRU13 yang sudah beberapa hari berlalu. 

Bagi nekcun, apalagi yang mahu kita pertikaikan kerana semuanya sudah berlalu dan terimalah hakikat bahawa itu semua adalah ketentuan yang ALLAH sudah aturkan. Samada yang menang atau yang kalah, sudah pasti ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku kerana ALLAH yang maha mengetahui segalanya dan DIA yang maha mengetahui mengapa DIA melakukan itu semua.

Marilah kita berpandangan positif terhadap apa yang telah terjadi itu. Bagi nekcun, apa yang perlu sekarang ialah kita perlu lebih menumpukan kepada apa yang perlu ditingkatkan di dalam rohaniah setiap warga Malaysia, tidak kiralah samada kepada pemimpin atau pun rakyat marhain. Sekiranya kekuatan iman dan rohaniah semua rakyat Malaysia ini pada tahap yang tinggi, nekcun yakin segala pergeseran dan pertelagahan yang berlaku selama ini tidak akan sampai ke tahap yang membosankan seperti sekarang ini.

Nekcun teringat akan kata-kata seorang ustaz, apabila setiap rakyat & pemimpin hanya memikirkan tentang  kekuasaan ekonomi dan keperluan duniawi tanpa mempedulikan tentang kepentingan rohaniah, tidak mustahil sebuah negara itu boleh hancur kerana mereka telah meletakkan ALLAH jauh dari tujuan utama mengapa ALLAH menghidupkan mereka di dunia ini. Jadi marilah kita semua bermuhasabah dan tingkatkan usaha untuk membawa semua insan2 di sekeliling kita kembali kepada apa yang diredhai ALLAH sekiranya kita mahu negara kita terus maju dan sejahtera... 

Sekiranya setiap rakyat & pemimpin meletakkan ALLAH yang lebih utama di hati masing2, maka pasti  setiap kita tidak perlu bimbang walau siapa pun yang menjadi pemimpin kita kerana ALLAH sentiasa ada untuk menjaga kita... Ingatlah, rezeki kita adalah ALLAH yang menentukan, bukannya pemimpin kita atau sesiapa pun... Wallahualam.  


PRU13 selesailah sudah
Yang menang atau kalah janganlah lagi bertelagah
Kita rakyat marhain marilah bermuhasabah
Adakah pilihan kita itu diredhai ALLAH?

Sebelum ini ekonomi dan kewangan menjadi isu utama
Setiap kita merasa itulah yang penting bagi kita semua
Mengapakah itu yang mesti kita rasa?...
Bukankah ALLAH yang menentukan rezeki kita?...

Marilah meletakkan ALLAH yang utama di hati kita
Agar kita tidak perlu bergundah gelana
Lebarkanlah dakwah kita kepada semua kenalan kita
Agar perasaan dendam dan marah tidak lagi bermaharajalela

Jadikan peningkatan iman dan rohaniah sebagai objektif hala tuju
Agar segala usaha mendapat keredhaan ALLAH yang satu
Marilah kita bersatu untuk menjadi insaniah yang maju
Bukan sekadar ekonomi dunia tetapi juga akhirat yang wajib kita tuju… 

Wednesday, April 10, 2013

SEINDAH TAKDIR CINTA

Alhamdulillah!... Terima kasih ALLAH... Dengan rahmat dan pertolonganNYA maka akhirnya lahir jugalah novel nekcun yang ke tujuh bertajuk SEINDAH TAKDIR CINTA terbitan Buku Prima dari Grup Buku Karangkraf. InsyaALLAH ianya akan mula berada di pasaran mulai 30/4/2013 nanti dan juga bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) nanti.

Hakikatnya memang nekcun teruja sangat menunggu kelahiran novel ini kerana ketika mula menggarap manuskripnya dulu, niat utama nekcun adalah untuk berkongsi sedikit ilmu yang ALLAH beri pada nekcun bagi mendidik dan juga menarik remaja-remaja yang tersasar ke pangkal jalan. Di samping itu, SEINDAH TAKDIR CINTA juga banyak memaparkan kisah tauladan dan tip-tip yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa di dalam membina keluarga yang diredhai ALLAH dari dunia hingga akhirat.

Secara dasarnya nekcun cuba mengupas erti CINTA dalam kehidupan setiap insan bernama manusia di dalam skop yang lebih luas. Bagi nekcun, rasa cinta adalah sesuatu yang unik yang ALLAH anugerahkan kepada setiap manusia kerana hanya dengan rasa cinta yang ikhlas manusia akan dapat hidup dengan aman dan bahgia bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Rasa Cinta yang ikhlas kepada ALLAH dan RasulNYA akan banyak mempengaruhi bagaimana rasa cinta antara manusia dapat dinikmati keberkatannya. 

Di kesempatan ini nekcun turunkan sinopsis novel SEINDAH TAKDIR CINTA untuk rujukan sahabat2 semua;-


Mia Karmila, anak gadis kesayangan Dato’ Kamal dan Datin Mariam yang biasa hidup dengan cara moden dan penuh kemewahan, langsung tidak menyangka pertemuannya dengan seorang pemandu teksi bernama Shahriman telah berjaya merubah keseluruhan cara hidupnya. Dari seorang gadis moden dan sosial telah dalam sekelip mata mahu berjihad mengumpul saham akhirat. Tanpa mereka sedari, melalui beberapa pertemuan yang tidak pernah dirancang telah membenihkan bibit-bibit cinta yang tulus dalam hati mereka.

Manakala Adrian, satu-satunya anak lelaki Tan Sri Affendy dan Puan Sri Zalina terus tidak berputus asa untuk menjinakkan Mia Karmila sebagai kekasih yang dapat memenuhi kerakusan nalurinya sebagai seorang lelaki mancho, bergaya dan kaya raya, walaupun ramai perempuan lain yang lebih dari bersedia untuk memenuhi segala kehendak Adrian itu.

Perubahan sikap Mia Karmila benar-benar mencabar kelelakian Adrian sehingga dia bertekad, walau apa jua pun syarat yang diminta oleh Mia Karmila, Adrian tidak peduli. Yang pasti Mia Karmila mesti jadi miliknya. Tekad Adrian menjadi bertambah kuat apabila kedua ibu bapanya dan juga ibu bapa Mia Karmila bagaikan menggalakkan dan merestui niatnya itu.

Dalam kepayahan dan kepiluan yang mencengkam jiwa, Mia Karmila terpaksa juga akhirnya menerima ijabkabul Adrian apabila lelaki itu telah berjaya memenuhi setiap syarat yang dipintanya. Pilu di hati Mia Karmila bertambah parah apabila mengetahui bahawa Shahriman bagaikan dalang yang membolehkan Adrian menikahinya. Siapakah Shahriman sebenarnya?...

Namun hanya ALLAH yang sesungguhnya maha mengetahui segala apa yang diaturkannya. Adrian terpaksa di masukkan ke hospital sebaik sahaja dia dan Mia Karmila dinikahkan. Sebagai seorang gadis solehah, Mia Karmila sedar akan tanggung jawabnya di sisi Adrian kini seandainya Syurga ALLAH adalah tujuan destinasinya.

Dengan itu Mia Karmila bertekad menjadi seorang isteri yang sentiasa diredhai oleh suaminya untuk mendapatkan Syurga ALLAH itu. Maka dengan seikhlas hatinya Mia Karmila cuba melupakan Shahriman dan terus tabah menjaga Adrian di hospital.

Bagaimanakah dapat Mia Karmila meneruskan hari-hari kehidupannya menjaga Adrian di hospital manakala hubungan Shahriman dengan keluarga Adrian semakin rapat, dan  dengan itu juga membuatkan dia dan Shahriman sering bertentang mata.

Ia juga bagaikan luka lama berdarah kembali bagi Shahriman ketika menemankan Adrian dan Mia Karmila serta ibu bapa mereka menunaikan Ibadah Umrah di Mekah. Shahriman benar-benar tidak mampu lagi untuk terus menyorokkan segala derita jiwa dan hatinya yang gersang selama ini apabila melihat gadis yang pernah bertahta di hatinya itu menerima segala ujian dan dugaan ALLAH dengan begitu ikhlas dan tulus.

Demi cintanya pada Mia Karmila yang tidak pernah luak walau sezarah pun, Shahriman terus berusaha untuk mendapatkan kembali cinta itu walau pun dia tahu cinta Mia Karmila kini hanyalah untuk Adrian apabila kedua suami isteri itu mengakuinya di hadapan Baitullah.

Berjayakan Shahriman memujuk dan mendapatkan kembali cinta Mia Karmila yang pernah direlakannya untuk diberikan kepada Adrian? Hanya SEINDAH TAKDIR CINTA yang akan dapat memberikan jawapannya.    

Nekcun amat berharap sahabat2 semua akan memberi sokongan padu terhadap novel ini. Ianya amat sesuai untuk dibaca oleh semua golongan masyarakat dan peringkat umur. Semoga novel ini akan dapat memberi kebaikkan dan manafaat kepada setiap pembacanya di dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba di dunia yang fana ini... Ameennn...

    

Wednesday, March 13, 2013

Tahniah Wira-wira ku!...

Hati nekcun memangnya akan mudah sebak setiap kali membaca berita mengenai para 'wira-wira' kita yang terkorban di Lahad Datu & Semporna, Sabah baru-baru ini. Sesungguhnya memang nekcun sentiasa mendoakan roh-roh mereka itu akan dimasukkan ke dalam golongan para syuhada'...InsyaALLAH. 

Hati nekcun juga turut gembira apabila pihak Kerajaan mengikhtiraf akan segala usaha dan perngorbanan anggota-anggota keselamatan iaitu PDRM dan juga ATM dengan menaikkan gaji mereka setara dengan lain-lain jawatan perkhidmatan awam.

Bagi nekcun imbuhan itu sepatutnya telah lama dahulu diberikan kepada mereka dan bukannya setelah berlaku perkara yang tidak kita ingini baru-baru ini, kerana secara dasarnya nekcun berpendapat bahawa anggota2 PDRM & ATM inilah yang sebenarnya layak diberi imbuhan yang tinggi kerana kesediaan mereka mengambil resiko yang tinggi bagaikan menggadaikan nyawa ketika melaksanakan tugas-tugas mereka jika dibandingkan dengan pegawai-pegawai jawatan perkhidmatan awam yang lain yang duduk di dalam bilik pejabat yang selesa dengan hawa dingin dan perabut2 yang lengkap. 

Tidak dinafikan setiap kerja dan jawatan itu ada nilai tugas dan tanggung jawabnya masing-masing. Tetapi, cubalah kita bayangkan kalau semua orang di Malaysia ini hanya mahu jadi pegawai yang duduk di pejabat dan tiada siapa yang mahu mengambil resiko untuk menggadaikan nyawa mereka sebagai wira-wira yang perlu berhadapan dengan perlbagai kemungkinan di dalam menjaga keamanan negara, apakah akan jadi pada kita semua dan juga tanah airku yang tercinta ini? Maka tidak dapat nekcun nafikan bahawa pengorbanan seorang anggota polis atau tentera itu adalah lebih mulia dan bernilai dari seorang pegawai yang duduk di bilik pejabat yang selesa.

"Alaahh... kau tu pandai cakap jer!... Kalau betul begitu kenapa dulu kau tak masuk jadi polis atau pun askar?" kedengaran seorang mengejek nekcun ketika kami berbicara tentang perkara itu.

"Aku mengaku aku tidak seberani mereka, sebab itulah aku tak jadi askar atau polis. Jadi sebab itulah aku amat mengkagumi mereka-mereka yang benar-benar ikhlas & jujur ketika melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai anggota tentera atau polis. Aku sentiasa menganggap mereka sebagai 'mujahid' semasa menjalankan tugas-tugas mereka kerana mereka sanggup mengambil resiko atas nyawa mereka untuk kebaikkan dan keselamatan orang lain. Bukankah itu 'berjihad' namanya?" soal nekcun agak emosional.

"Bukankah 'mujahid' atau 'berjihad' itu hanyalah bagi orang-orang yang sukarela berkorban untuk menegakkan Kalimah ALLAH atau tugas-tugas ke jalan ALLAH? Anggota2 tentera dan polis di bayar gaji untuk bertugas, jadi memang patutlah mereka menjalankan tugas-tugas yang dipertanggung jawabkan kepada mereka!.." komen seorang lagi kawan nekcun.

"Betul, mereka di bayar gaji. Tetapi kita harus faham bahawa makna 'jihad' itu adalah amat luas. Setiap perbuatan atau kerja yang diniatkan kerana ALLAH dan dilaksanakan untuk memberi kebaikkan atau manafaat kepada orang lain adalah juga dianggap sebagai 'jihad'. Cumanya 'degree' jihad itu yang berbeza-beza..."

"Maksudnya?..."

"Jika kita melaksanakan sesuatu tugas itu kerana mengikut perintah ALLAH dan ditambah pula hasil dari tugas kita itu akan banyak memberi manfaat atau kebaikkan kepada orang ramai, sementara kita pula terpaksa mengambil resiko yang tinggi untuk melaksanakan tugas-tugas itu, maka pastinya ALLAH akan memberi pahala atau balasan yang lebih tinggi dan mulia berbanding tugas-tugas yang tidak memerlukan resiko yang tinggi..."

"Secara dasarnya semua kerja yang kita laksanakan yang tidak menyalahi syariat Islam adalah sebagai 'berjihad'. Contohnya, seorang lelaki bekerja sebagai pegawai pentadbir yang duduk di pejabat yang selesa tanpa sebarang bahaya kerana untuk mencari rezeki yang halal untuk menyara anak isterinya adalah juga satu 'jihad' kerana menyara anak isteri itu adalah perintah ALLAH. Manakala, seorang lelaki yang bekerja sebagai anggota tentera juga bekerja untuk mencari rezeki yang halal untuk menyara anak isterinya tetapi tugasnya memerlukan resiko yang tinggai terhadap nyawanya sendiri dan hasil tugasannya itu pulak dapat memberi kebaikkan bukan sahaja kepada anak isterinya tetapi juga kepada orang ramai atau negara, maka sudah pastinya nilai pengorbanan kedua jawatan itu adalah berbeza..."

Bagi pemikiran nekcun berdasarkan ilmu yang sedikit yang telah nekcun perolehi dari ustaz2 & ustazah2, memang setiap kerja dan tugas itu adalah 'jihad' sekiranya kita laksanakan kerana mengikut perintah ALLAH dan dapat memberi kebaikkan kepada orang lain sebagaimana yang diwajibkan dalam Islam. Hanya tahap ketinggian nilai 'jihad' itulah yang berbeza-beza. Bagaimana pun nekcun tidak berani untuk menghuraikan dengan lebih lanjut kerana nekcun bukanlah seorang yang arif atau yang layak untuk mempertikaikan hukum-hukum ALLAH itu.

Namun nekcun yakin ALLAH itu maha mengetahui dan maha adil, maka pastinya orang-orang yang lebih berkorban untuk kebaikkan orang lain akan mendapat lebih kerahmatan dan keredhaan ALLAH. Dan sebab itu jugalah nekcun tetap berpendapat bahawa tugas seorang anggota tentera dan polis itu adalah lebih tinggi nilai 'jihad'nya berbanding dengan jawatan-jawatan perkhidmatan awam yang lain.... Wallahualam.

Semoga ALLAH akan sentiasa memelihara keselamatan anggota-anggota tentera dan polis Malaysia yang sentiasa bertungkus lumus menjaga keselamatan dan kesejahteraan tanah air tercinta ini dan semoga para wira yang telah gugur itu akan termasuk ke dalam golongan para syuhada'... Ameennn...           

Sunday, February 17, 2013

Sahabat sejati atau hanya seorang kawan?...

Tersentuh benar hati nekcun apabila  menerima satu email yang nekcun ingatkan 'spam' kerana tidak pernah melihat email address itu. Namun untuk mengetahui lebih lanjut, nekcun teruskan jugalah membaca email tersebut dan akhirnya barulah nekcun sedar bahawa email itu dihantar oleh seorang sahabat nekcun ketika kami sama-sama belajar di sekolah rendah dulu tetapi telah terpisah apabila kami memasukki sekolah menengah di tempat yang berasingan.

Sejak itu kami terpisah kerana nekcun tinggal di asrama sedangkan dia pula berpindah ke lain negeri kerana ayahnya bertukar tempat kerja. Dia memberitahu yang dia mendapat email nekcun melalui seorang kawannya yang juga sahabat fb nekcun dan juga peminat novel2 nekcun. Oh!.. betapa besarnya kuasa ALLAH yang boleh menemukan seorang sahabat dengan sahabat yang lain hanya melalui petikkan jari di atas keyboard komputer. Maka terjalinlah kembali silaturrahim yang telah terputus hampir lebih dari 40 tahun.

Apa yang amat menyentuh hati nekcun ialah apabila sahabat itu menuliskan beberapa ciri-ciri sahabat yang perlu kita renung-renungkan samada kita ini seorang 'sahabat' ataupun hanya seorang 'kawan'. Sahabat sejati adalah:-

1) Jika kita membantu dia, dia pasti akan membantu kita balik.
2) Jika kita rapatkan persahabatan, dia pasti akan balas balik persahabatan itu.
3) Jika kita memerlukan pertolongan, dia akan dengan senang & rela hati menolong.
4) Jika kita hulurkan kebaikkan, dia terima seadanya.
5) Jika dia menerima bantuan dari kita, dia menghargainya & akan selalu menyebut2 kebaikkan itu.
6) Jika dia melihat sesuatu yang buruk dari kita, dia akan tutup rapat2 aib kita itu.
7) Jika kita meminta bantuan, dia akan berusaha membantu walaupun dia sendiri kesusahan.
8) Jika kita berdiam diri kerana malu hendak meminta, dia akan bertanya kesusahan kita itu.
9) Jika kita ditimpa sesuatu bencana, dia akan meringankan kesusahan kita itu.
10) Jika kita berkata kepadanya, dia akan mem'benar'kan kata-kata itu dan menasihati kita jika kata-kata kita itu adalah yang tidak baik.
11) Jika kita merancang sesuatu (yang baik), dia akan membantu kita merialisasikan rancangan itu. 
12) Jika berselisih faham, dia akan lebih senang mengalah untuk menjaga persahabatan.

Marilah kita renung-renungkan, adakah kita atau sahabat-sahabat kita mempunyai ciri-ciri di atas yang mana boleh dianggap sebagai sahabat sejati, sebagaimana 'para sahabat Rasulullah' dahulu. Sekiranya tiada, di manakah harus kita mencarinya? Adakah pada sahabat-sahabat kita yang sedia ada sekarang ini atau pun pada diri kita sendiri terlebih dulu? Fikir-fikirkanlah.... Wallahualam  

Monday, January 28, 2013

Adilkah melabelkan Novel Popular sebagai 'picisan'?

Berdetap juga hati nekcun menahan geram apabila membaca komen/kritikan seorang penulis dalam Mingguan Malaysia 27/1/2013 berkenaan 'Penulisan Picisan' yang diadaptasikan ke filem atau drama. Bagi nekcun komen-komen beliau itu adalah amat 'bias' tanpa penyelidikkan yang teliti.

Bukan kerana nekcun ini seorang novelis sehingga menyebabkan nekcun merah muka menahan marah tetapi meletakkan diri nekcun sebagai seorang pembaca, nekcun merasakan apa yang dikomen oleh penulis itu tidak boleh diambil kira sebagai 100% betul walaupun ada beberapa fakta yang beliau katakan ada kebenarannya.

Pada pendapat nekcun, melabelkan novel-novel popular sebagai 'Penulisan Picisan' adalah agak keterlaluan kerana tidak semua novel-novel popular memaparkan kisah cinta murahan. Dan apa yang terjadi apabila novel-novel ini diadaptasikan ke dalam lakonan drama atau filem, tidak dinafikan banyak apa yang sebenarnya tertulis di dalam novel telah disalah gambarkan oleh pihak penerbitan drama/filem sehingga ada beberapa drama yang diadaptasikan dari novel-novel popular telah benar-benar lari dari cerita asal yang dituliskan di dalam novel. Dan itu dengan tidak secara langsung telah memesongkan 'message' asal yang dikemukakan oleh penulis novel sehingga penonton drama/filem menganggap cerita yang ditonjolkan adalah penulisan picisan.

Anggapan begitu adalah amat tidak adil, lebih-lebih lagi jika penonton atau pun pengekritik hanya melihatnya melalui lakonan drama/filem yang ditonjolkan sahaja tanpa terlebih dahulu menghayati apa yang sebenarnya tertulis di dalam novel berkaitan.

Maka, sukalah nekcun mengajak semua pengkritik-pengkritik penulisan atau drama/filem supaya tidak mem'bundle'kan semua novel popular sebagai penulisan picisan sebelum tuan/puan sendiri membaca dan menghayati tulisan yang dipaparkan dalam novel yang asal. 

Sebagai contohnya, semua novel-novel nekcun memang tidak lari dari menceritakan tentang cinta kerana sebagai manusia kita tidak boleh lari dari cinta. Cinta bukan sahaja antara lelaki dan perempuan tetapi cinta juga ujud di hati manusia untuk ALLAH dan RasulNYA. Maka dengan itu setiap penulisan novel tidak boleh lari dari memperkatakan tentang cinta. Namun apa yang sering nekcun tonjolkan adalah kisah-kisah yang boleh dijadikan tauladan dan iktibar disamping ilmu-ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH dan RasulNYA. 

Cinta manusia kepada ALLAH dan RasulNYA hanya dapat dihayati dan dirasakan oleh kita apabila ianya digambarkan melalui kisah-kisah yang terjadi antara cinta sesama manusia yang mana ianya dapat kita lihat dan rasakan. Jika rasa cinta kepada ALLAH dan RasulNYA tidak kita gambarkan melalui watak-watak manusia, bagaimana manusia akan dapat menghayatinya kerana sudah menjadi fikrah manusia bahawa mereka akan lebih rasa terkesan apabila sesuatu dalam dilihat atau dirasakan.  

Bagaimana pun, apa yang nekcun tuliskan ini adalah sekadar pendapat peribadi nekcun. Maka terserahlah kepada kekawan semua untuk menilainya sendiri. Namun apa yang nekcun harapkan adalah agar para pengkritik tidaklah sewenang-wenangnya melabelkan semua novel popular sebagai penulisan picisan sekiranya dia sendiri belum membaca atau menghayati novel-novel tersebut. Tidak dinafikan kritikan yang membina akan mendorong kepada peningkatan kemajuan yang lebih tinggi, tetapi berilah kritikan yang adil berdasarkan fakta-fakta yang betul dan bukan mengambil sesuatu itu secara 'pakai borong' sahaja.

Nekcun sentiasa mendo'akan dunia penulisan novel popular di Malaysia ini akan terus maju dengan penghasilan novel-novel yang berkualiti di dalam usaha mendidik pembaca dan anak bangsa kepada manusia yang lebih berguna di dunia hingga akhirat. InsyaALLAH...