"Hai!... nak beralih arah ke?" komen seorang sahabat bila nekcun kata nekcun nak kena menghadiri bengkel penulisan skrip adaptasi novel ke drama yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka, beberapa hari yang lalu. Nekcun memohon dia untuk tolong mencatitkan nota-nota kalau-kalau ada kelas tafisr Al-Quran yang nekcun mungkin terlepas ketika menghadiri bengkel penulisan itu.
"Bukan beralih arah tetapi menambah arah!..." selamba sahaja nekcun menjawab. Nekcun faham maksud kata-kata sahabat itu yang menyangkakan nekcun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menulis novel.
"Huhuhu... ini yang buat I cemburu nih..." balasnya pula sambil tertawa kecil.
"Apa yang nak dicemburukan. I ni baru sajer nak merangkak sedangkan orang lain yang lebih muda tu dah berlari-lari dah!...Tak tahulah, samada boleh ikut macam dia orang atau tidak..." ujar nekcun turut tertawa kecil sebagai membalas usikan sahabat nekcun yang suka bergurau itu.
"Itulah yang buat I cemburu tu. Walaupun dah berpangkat nenek, you masih boleh menambah-nambah arah, sedangkan I ni, nak ada satu arah pun tak dapat lagi sejak bersara ni... Kuat betul semangat you ya!..." ujar sahabat nekcun tu agak serius kali ini.
"Alhamdulillah... itulah rezeki & nikmat yang ALLAH anugerahkan pada I. Kalau tanpa rahmat dan keredhaanNYA, I pun mungkin tak sanggup nak buat semua tu..." balas nekcun penuh kesyukuran.
Hakikatnya memang nekcun amat bersyukur kepada ALLAH yang telah memberi nekcun kesihatan yang baik dan peluang yang luas untuk nekcun menambah ilmu dalam bidang penulisan ini. Secara dasarnya memang nekcun tidak pernah mempunyai sebarang pendidikan asas dalam bidang penulisan novel atau lakon layar. Jadi apabila ada peluang yang sebegitu, memang nekcun tidak mahu melepaskannya.
Bagi nekcun, menuntut ilmu itu tiada hadnya. Selagi kita termampu, eloklah kita menuntut ilmu. Tidak kira ilmu dunia atau ilmu akhirat selagi ia tidak melanggar syariat Islam. Cumanya janganlah kerana terlalu mencari ilmu dunia sehingga kita lupa akan ilmu akhirat kerana ilmu akhirat itu adalah yang kekal untuk kita.
Dengan sebab itulah nekcun kuatkan juga semangat untuk mengikuti bengkel penulisan yang memerlukan nekcun berkampung selama 3 hari 2 malam di sebuah hotel bersama beberapa penulis-penulis lain yang kebanyakkannya adalah jauh lebih muda dari nekcun. Nekcun buang jauh-jauh rasa malu atau rendah diri atas perbezaan usia itu kerana bagi nekcun tiada had umur untuk seseorang itu berusaha meningkatkan ilmu, tidak kiralah ilmu dunia atau ilmu akhirat asalkan ianya boleh dimanfaatkan untuk kehidupan yang baik di dunia dan juga di akhirat.
Walaupun sekiranya ilmu yang dipelajari itu tidak sempat untuk diaplikasikan kerana nekcun mungkin akan terlebih dahulu dipanggil menghadap Yang ESA, nekcun redha kerana sekurang-kurangnya nekcun telah berusaha untuk menjadi seorang yang berilmu dan bukan seorang yang jahil, samada ilmu akhirat atau ilmu dunia walaupun mungkin tidak setinggi ilmu alim ulama atau tokoh-tokoh yang bijak pandai di dalam bidang masing-masing.Sesungguhnya, tidak rugi menuntut ilmu asalkan ilmu itu adalah ilmu yang diredhai ALLAH... Wallahualam.
No comments:
Post a Comment