Sunday, June 1, 2008

Krisis beras!... lapar kah kita?

Semenjak cuti sekolah ni, boleh dikatakan setiap Sabtu dan Ahad dapor rumah saya tidak berasap. Tetapi perut tetap kenyang juga sampai tak larat nak makan. Hari ini sahaja, saya dan suami terpaksa makan nasi beriani 3 kali dalam masa 4 jam kerana kami perlu menghadiri 3 majlis perkahwinan yang berlainan tempat.

Bayangkanlah macam mana perut nak terima kalau 3 kali makan dalam masa 4 jam sahaja. Belum sempat makanan yang pertama nak hadam, dah terpaksa menerima makanan yang kedua. Kalau tak makan, takut tuan rumah berkecil hati pula… takut dikata tak sudi pula… Demi menjaga siratulrahim dan tidak mengecilkan hati tuan rumah, maka mahu tak mahu, terpaksa jugalah perut saya dan suami di isi dengan makanan yang telah dihidangkan.

Begitulah, makmur dan bertuahnya kita menjadi rakyat Malaysia!… walau pun dunia sedang dilanda krisis makanan, tetapi kita di Malaysia tetap tidak kurang makan!… Lihat sahajalah majlis-majlis perkahwinan yang ada di merata tempat sekarang ini… macam-macam lauk dan nasi yang dihidangkan sehingga kekadang kita sendiri tidak tahu lauk apa nak pilih.

Itu belum lagi, hotel-hotel yang menyediakan ‘buffet lunch / dinner”. Berlambak-lambak lauk pauk yang disediakan sehingga kekadang kita sendiri tak tahu apa yang nak di makan kerana terlalu banyak pilihan.

Tidakkah kita pernah terfikir, apa akan jadi pada makanan yang berlambak-lambak yang mungkin tidak akan di makan semuanya itu? Selalu saya melihat orang-orang kita di Malaysia ni, kalau makan secara buffet, akan mengisi pinggannya dengan macam-macam makanan sehingga penuh pinggan. Tetapi apa yang benar-benar di makan mungkin hanya setengah pinggan sahaja. Jadi apa akan jadi pada makanan yang selebihnya itu? Ke tong sampah juga akhirnya makanan-makanan itu akan dicurahkan….

Cubalah kita bayangkan insan-insan malang di negara-negara miskin atau negara yang ditimpa bencana alam seperti Afghanistan, Myanmar dan lain-lain. Mendapat sepinggan nasi sehari bagai mendapat segunung emas… mungkin lebihan makanan kita yang sering tidak habis di makan di Malaysia ini merupakan makanan yang cukup hebat dan lazat untuk mereka sekiranya mereka boleh mendapatnya.

Lihat sahajalah di kaca-kaca televisyen bagaimana kanak-kanak di negara yang malang itu berebut-rebut mengutip makanan, tidak kira apa pun makanan yang diberi setiap kali ada bantuan. Tetapi amat berbeza sekali dengan anak-anak kita di Malaysia ini… mereka boleh memilih makanan yang mereka suka sahaja. Malah kekadang ada yang akan membazirkan sahaja makanan yang ada sekiranya makanan itu tidak memenuhi selera mereka.

Bilakah kita mahu insaf dari membazir makanan? Adakah kita hanya akan insaf apabila negara kita sudah tidak ada makanan lagi seperti negara-negara yang malang itu? Marilah kita fikir-fikirkan…

1 comment:

© OD said...

OD tak duduk di sana jadi tak tahu nak beri komen. Mungkin diperbesar-besarkan seperti yang berlaku semasa negara kekurangan gula dalam tahun 80-an dulu. Ingat lagi, kena catu dan emak menggelabah sebab takut tak cukup gula nak buat kuih raya. InsyaALLAH, kurang beras, kita makanlah rezeki lain yang diberikan oleh ALLAH, tak gitu?