Friday, February 4, 2011

HANYA KAU YANG TAHU

Alhamdulillah, novel nekcun yang kelima lahir juga akhirnya. InsyaAllah, ianya akan berada di pasaran pertengahan February 2011 ini. Nekcun amat berharap ianya dapat memenuhi selera pembaca-pembaca semua dan semoga semua pembaca akan seronok membacanya. Apa yang pasti, sebagaimana novel2 nekcun sebelum ini, banyak pengajaran yang boleh kita jadikan iktibar dan juga tauladan dalam kehidupan seharian kita yang boleh didapati dari novel nekcun ini.

Sokongan kekawan untuk mengwar-warkan novel nekcun ini amatlah diharapkan dan dihargai. Bersama ini dicoretkan sinopsisnya untuk rujukan:-  

Demi kasih sayang seorang anak pada ayahnya, Farah rela melakukan apa sahaja asalkan ayahnya tidak dicampakkan ke dalam penjara oleh majikannya.

Manakala Daniel Harith seorang tokoh korporat muda yang kaya raya, namun sudah bosan dengan kerenah teman wanitanya Munirah Samad, dengan senang hatinya mengambil peluang itu apabila Farah datang merayu padanya supaya melepaskan ayahnya.


Dengan status Daniel Harith yang masih bujang tetapi terkenal sebagai seorang kasanova dan playboy, telah dalam sekelip mata menjadikan kehidupan Farah huru hara, apabila dia terpaksa berpura-pura menjadi kekasih terbaharu Daniel Harith, sebagaimana yang dirancangkan oleh lelaki itu.


Farah sudah tidak ada pilihan lain iaitu samada meneruskan episode lakonan bodoh itu atau pun membiarkan ayahnya didakwa oleh majikannya. Namun kedua-duanya amat menyiksakan Farah, lebih-lebih lagi Daniel Harith adalah lelaki yang tidak berhati perut, yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja tanpa mahu ambil peduli akan perasaan orang lain.


Cemuhan dan sindiran bagaikan sudah mula menjadi makanan Farah apabila Daniel Harith seolah sengaja mahu hubungan yang dirancangnya itu menjadi gelombang sunami yang menggegarkan syarikat di mana Farah bekerja.


Rasa pahit dan pedih yang mencengkam hati Farah menjadi bertambah parah apabila peluang peningkatan kerjayanya hancur musnah dan peluangnya untuk membina bahagia bersama Rizal, lelaki yang mula bertahta di hatinya turut menemui jalan buntu. Manakala Daniel Harith pula telah terang-terangan memberitahunya yang dia tidak akan terpikat dengan gadis remaja yang masih hingusan seperti Farah.


Farah benar-benar merasakan hidupnya telah musnah dan tidak mampu lagi menanggung segala derita apabila Daniel Harith seolah dengan sengaja melarikan diri dan membiarkan Farah terkapar-kapar sendirian, memujuk hati yang semakin gersang ketika gelombang sunami mengenai gossip mereka bertambah hangat bergelora, Manakala Munirah Samad pula tidak melepaskan peluang untuk lebih menyiksa perasaan Farah semasa ketiadaan Daniel Harith itu.


Dapatkah Farah terus bertahan dengan derita yang semakin mencengkam hatinya dan dapatkah dia membina bahgia bersama orang yang disayang? Tegakah Farah melarikan dirinya dari kehidupan lelaki kasanova bernama Daniel Harith itu? Hanya Kau Yang Tahu akan dapat menyingkap semua rahsia yang seolah memenjarakan Farah dalam penderitaan yang entah bilakah akan berakhir.

Thursday, January 27, 2011

Ramai lagikah suami-suami yang soleh?

Terlebih dahulu nekcun nak ucapkan terima kasih bebanyak kepada pembaca dan kekawan yang telah membeli semua novel-novel nekcun yang telah berada di pasaran sejak lebih kurang 3.5 tahun lalu. Dan Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kerana kesemua empat-empat novel nekcun yang berada di pasaran telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.


Namun apa yang nekcun nak kongsi di sini ialah, ada beberapa pembaca yang memberi komen yang mana nekcun rasa amat baik dan dapat memberi maklumbalas yang amat nekcun hargai untuk nekcun memperbaikki dan meningkatkan lagi kualiti karya-karya nekcun akan datang, InsyaAllah...


Ada pembaca bertanya, kenapa kebanyakkan watak suami yang nekcun tonjolkan dalam novel nekcun adalah suami yang baik dan ideal? 


Bagi nekcun, apa yang nekcun garapkan di dalam novel-novel nekcun adalah 'realiti kehidupan' yang memang selalu kita semua alami. Cuma isu dan pergolakkan yang ditonjolkan berbeza-beza dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Tetapi hakikatnya, semua cerita itu adalah 'apa yang sebenarnya sedang berlaku' di dalam kehidupan harian kita, terutamanya di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khasnya.


Lagi pun, secara dasarnya tujuan utama nekcun menceburkan diri ke alam penulisan dan perbukuan juga adalah dengan niat untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan idea dengan pembaca semua supaya apa yang baik boleh kita jadikan tauladan dan yang buruk kita jadikan iktibar di dalam kita mengharungi kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Nekcun sedar yang nekcun tidak mampu untuk 'berdakwah' atau 'berislah' kepada semua orang kerana 'siapalah diri nekcun ini?', tetapi dengan penulisan yang nekcun hasilkan, nekcun amat-amat berharap, sedikit sebanyak kisah-kisah yang mengandungi pengajaran, 'tips' dan 'messages' yang tersirat di dalam setiap novel nekcun akan dapat dimanfa'atkan oleh sesiapa yang membacanya.   


Maka dengan itu jugalah, terhasilnya beberapa watak suami yang baik dan ideal!... kerana bagi nekcun, seorang suami adalah seorang 'Ketua' keluarga yang sepatutnya membimbing isteri dan anak-anaknya menuju jalan yang betul untuk ke syurga. Oleh itu, suami juga adalah sepatutnya 'contoh' yang baik bagi sesuatu keluarga. Tambahan, bagi nekcun tidak semua lelaki jahat dan tidak boleh kita nafikan bahawa ramai suami-suami di Malaysia ini yang baik dan soleh!... Tidak dinafikan juga ada yang jahat dan lebih jahat dari 'syaitan dan iblis' tetapi bilangannya teramat kecil, mungkin dari 100 hanya 1 atau 2 sahaja.


Jadi, mengapa mesti kita hukum suami-suami yang baik itu ke dalam golongan yang jahat, yang hanya tak sampai 0.001% sahaja? Lagi pun, nekcun berpendapat bahawa kalau kita selalu mengatakan yang baik maka akan baiklah jadinya!.. Oleh sebab itu, eloklah kita sentiasa bercerita tentang suami yang baik, yang mana tak secara langsung akan merupakan satu do'a bagi para isteri, dan manalah tahu, dengan kuasa dan keredhaan Allah, Dia akan memakbulkan apa yang kita ceritakan itu, maka akan jadilah semua suami-suami di Malaysia ini adalah semuanya suami yang 'soleh' dan penyayang.

Nekcun masih ingat kata-kata ustaz di mana nekcun pergi di satu majlis ilmu, iaitu kita semua adalah digalakkan untuk bercakap perkara-perkara yang baik-baik sahaja ketika berbicara dengan suami atau isteri dan jangan ada perasaan syak wasangka antara suami dan isteri kerana apa yang terkeluar dari mulut isteri atau suami itu boleh menjadi satu do'a. Begitu juga ketika kita berkata-kata dengan anak-anak. Jangan sesekali kita berkata atau memarahi mereka dengan kata-kata yang tidak baik kerana ianya mungkin boleh menjadi satu do'a yang akan dimakbulkan Allah. 

Namun, nekcun tidak juga melupakan watak antoganis atau watak-watak jahat di dalam novel-novel nekcun kerana watak-watak itu memang ada ujud di dalam kehidupan harian kita. Kalau semua orang baik, maka apa gunanya Allah adakan syurga dan neraka? Jadi, marilah kita jadikan yang buruk itu sebagai iktibar atau sempadan dan ambillah yang baik sebagai tauladan dan panduan untuk kita mencari jalan yang betul dan juga menambah bekalan ke akhirat kelak.

Nekcun sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang telah memberi sokongan padu kepada novel-novel nekcun dan nekcun juga ingin memohon ma'af sekiranya ada tulisan-tulisan nekcun yang telah mengguris perasaan pembaca dan kekawan semua. 

p/s: Marilah sama-sama memeriahkan Karnival 'Mari membaca' di kawasan bangunan Karangkraft di Seksyen 15 Shah Alam pada 28-30/1/2011. Nekcun akan berada di sana pada 28/1/2011 bersama novel-novel nekcun untuk bertemu semua pembaca yang dikasihi.
InsyaAllah, nekcun juga akan bersama peminat novel pada 12/2/2011 (Sabtu) di MPH, Subang Parade jam 2.30 petang. Diharapkan semua kekawan dan pembaca budiman akan dapat meluangkan masa bersama nekcun kerana InsyaAllah, novel nekcun yang terbaharu mungkin akan turut mula dijual di situ. 

Friday, January 21, 2011

Masih adakah esok untuk kita?

Nekcun masih teringat akan kata-kata Ustaz yang menyatakan, kalau seseorang itu tiba-tiba terasa hendak membuat amal soleh, maka eloklah dia menyegerakannya. Jangan bertangguh-tangguh.

Dan jika seseorang itu, mahu bertaubat akan segala perbuatan jahatnya, maka hendaklah dia terus melakukan taubat itu tanpa bertangguh-tangguh kerana dengan keikhlasannya bertaubat itu mungkin akan dapat menukar kedudukannya di sisi Allah kalau dia mati ketika itu iaitu mungkin dengan segala kejahatannya dulu dia mungkin akan dimasukkan ke neraka tetapi dengan kesempatanya bertaubat itu Allah akan meredhakannya ke syurga. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang dan sentiasa menyukai hamba-hambanya yang selalu bertaubat dan bertakwa kepadaNya.

"Yesterday was a history, Tomorrow is a mystery & Today is a gift. Thus, value the Gift and appreciate the Giver as we will not know whether we'll get the gift again."

Walau pun esok masih ada, belum tentu esok yang masih ada itu akan ada untuk kita!... Tidak rugi berbuat baik kerana kalau memberi yang baik, maka baik jugalah hasilnya.

Sekadar ingat mengingati sesama insan... Wallahualam...

Thursday, January 6, 2011

Salah anak atau ibu bapa yang mendidik?....

Nekcun ada mendapat pertanyaan dari seorang kawan tentang mengapakah di dalam zaman yang serba mencabar ini, sering kita dengar perihal anak-anak yang derhaka dan tidak menghormati ibu bapa mereka. Dan lebih menyedihkan ada beberapa kes yang terdapat anak-anak tergamak membuang ibu bapa mereka yang telah tua merempat di tepi-tepi jalan. Mengapakah perkara seperti ini boleh berlaku?

Secara jujurnya, nekcun berpendapat bahawa banyak faktor-faktor yang menyumbang kepada bagaimana anak-anak boleh tergamak menjadi seorang yang “kacang lupakan kulit” atau pun “seperti Si Tenggang”, terutamanya kalau mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.  

Sebelum kita boleh menyalahkan anak-anak itu 100% atau secara total, kita perlu terlebih dahulu mengkaji mengapakah anak-anak itu boleh berlaku demikian. Sudah menjadi fikrah manusia bahawa seseorang itu tidak akan melakukan sesuatu tanpa sebarang sebab, kerana manusia ada hati, akal dan nafsu. Apabila hati dan akal dapat mengawal nafsu, manusia akan banyak melakukan kebaikan tetapi sebaliknya kalau nafsu yang melebihi hati dan akal, maka akan jadilah manusia yang durjana yang mana salah satunya ialah anak-anak yang tidak lagi menghormati ibu bapa mereka.

Mnegapa nafsu boleh melebihi hati dan akal, sedangkan Allah menjadikan manusia paling tinggi darjatnya dari makhluk yang lain dengan memberikan manusia hati dan akal untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Inilah isu yang sepatutnya menjadi bahan utama untuk semua lapisan masyarakat memikirkan dan menganalisa mengapa ianya bisa terjadi kerana tahap keganasan  dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang ini sudah mencapai tahap yang amat membimbangkan.

Kita tidak akan dapat menyelesaikan masaalah hanya dengan menuding jari kepada anak-anak yang menjadi “seperti Si Tenggang” atau anak-anak yang melupakan ibu bapanya, terutamanya apabila mereka sudah berkahwin. Tetapi, apa yang perlu semua lapisan masyarakat lakukan adalah mencari jalan untuk membendung perkara itu dari terus membiak dengan mencari akar umbi faktor-faktor mengapa anak-anak boleh begitu tidak ‘berhati perut’ terhadap orang tua mereka.

Secara dasarnya, hati dan akal manusia boleh jadi lemah dan mati kalau tidak dijaga atau diberi makan dengan betul. Dan apabila hati dan akal sudah lemah dan mati, lalu dengan mudah tugas-tugas hati dan akal itu diambil alih oleh nafsu. Bagaimana hati dan akal boleh jadi lemah dan mati? Ianya adalah disebabkan faktor-faktor berikut:-

1)    Kurangnya takwa dan iman dalam diri seseorang itu. Hanya takwa dan iman akan dapat menjaga hati dan akal dengan baik.
2)    Hati dan akal hanya disogokkan dengan Ilmu keperluan duniawi sahaja dan bukannya dengan Ilmu yang dapat mengukuhkan iman dan takwa sebagaimana yang disyariatkan oleh ugama. Apabila iman dan takwa tidak ujud dalam hati dan akal,  maka mudah pulalah ianya dipengaruhi oleh kehendak nafsu.
3)    Tanpa iman dan takwa, hati dan akal tidak akan dapat berfungsi dengan sebaiknya. Maka apabila manusia tidak dapat menggunakan hati dan akalnya dengan sebaik-baiknya, ia adalah sama seperti binatang haiwan.
4)    Keadaan kehidupan yang terlalu mementingkan materialistik dan diri sendiri telah menghindarkan kehadiran orang-orang yang dapat memberi nasihat dan ilmu yang menafa’at untuk kesuburan iman dan takwa di dalam hati dan akal.

Melihat kepada faktor di atas, siapakah yang harus disalahkan? Adakah salah “Si Tenggang” itu 100% atau  pun salah ibu bapanya yang tidak mendidiknya dengan iman dan takwa sejak dari kecil lagi? Memang tidak dapat dinafikan, apabila manusia tidak lagi menggunakan hati dan akal dalam tindak tanduknya, maka tidak hairanlah kalau seorang anak itu boleh dengan senangnya melupakan ibu bapanya, kerana mereka sudah tidak takut lagi pada dosa dan hukum Allah atas perbuatan mereka itu disebabkan mereka tidak lagi berpegang kepada iman dan takwa terhadap Allah.

Anak-anak adalah merupakan amanah dari Allah kepada hambanya. Anak-anak juga merupakan ujian dari Allah samada seseorang hambanya itu  melaksanakan amanahnya di dalam mendidik anak-anaknya dengan cara yang betul sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.

“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan bagimu, dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar”  (Surah Al-Anfal : ayat 28)

Dari ayat Al-Quran itu jelas menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Dan dalam isu mendidik ini, ibu bapa harus peka bahawa akhlak atau pun keperibadian seorang anak itu banyak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling di mana dan bagaimana mereka dibesarkan.

Dalam keadaan kehidupan serba moden ini, berapa ramai ibu bapa yang risau atau akan memarahi anak-anaknya kerana gagal menghafal ayat-ayat Al-Quran atau tidak melakukan solat? Sebaliknya ramai ibu bapa yang lebih risau kalau anak-anak mereka tidak mendapat ‘A’ dalam mata pelajaran Ilmu duniawi atau pun kalau anak-anak ponteng dari aktiviti-aktiviti yang lebih kepada mengejar duniawi seperti kelas music atau pun kelas computer.

Disamping itu, keadaan dalam satu-satu keluarga itu sendiri sebenarnya banyak mempengaruhi sikap dan keperibadian anak-anak. Misalnya, kalau seorang bapa atau ibu itu selalu bercakap kasar terhadap pasangan dan anak-anaknya, maka tidak mustahil apabila dewasa kelak anak-anak itu pula akan bercakap dengan cara yang sama kepada kedua ibu bapa mereka kerana bagi mereka itu adalah satu perkara yang sudah biasa. Tetapi apabila anak-anak itu sudah berkahwin dan mereka mendapat isteri atau suami dan keluarga mertua yang lebih bersopan santun, yang lebih dapat mendamaikan hati mereka, maka siapakah yang harus disalahkan jika mereka lebih selesa bersama keluarga yang baru dari ibu bapa mereka sendiri?

Secara kesimpulannya, nekcun berpendapat bahawa apa yang anak-anak lakukan terhadap ibu bapa mereka adalah banyak dipengaruhi oleh bagaimana mereka di didik sejak kecil lagi. Sebab itulah juga ada terdapat pepatah Melayu lama yang mengatakan “Hendak melentur buluh biarlah dari rebung” kerana apa yang dialami dan dipelajari oleh kanak-kanak  sejak kecil banyak mempengaruhi sikap dan keperibadian mereka apabila mereka dewasa.

Suka juga nekcun mengingatkan diri nekcun dan juga semua ibu bapa supaya di dalam mendidik anak-anak kita tidak seharusnya melupakan perkara-perkara berikut:-

1)    Terapkan nilai-nilai Islam dalam mendidik anak-anak.
2)    Bentuk keperibadian anak-anak dengan iman dan takwa yang berlandaskan Al-Quran dan hadith supaya mereka tahu akan dosa dan pahala atas setiap tindak tanduk mereka.
3)    Pastikan anak-anak diberi makan dari sumber-sumber yang halal kerana makanan akan menjadi darah daging dan juga pembentukan hati yang sehat dengan iman dan takwa. Kalau makan makanan dari sumber yang haram, maka pembentukan iman dan takwa akan menjadi sukar.  
4)    Wujudkan suasana yang harmoni, hormat menghormati dan sayang menyayangi dalam keluarga supaya anak-anak akan merasa lebih selesa untuk sentiasa bersama-sama keluarga sendiri walaupun apabila mereka sudah dewasa.
5)    Memberi masa dan ruang untuk anak-anak berbicara dengan ibu bapa walau dalam apa jua perkara dan layanlah mereka dengan kasih sayang supaya anak-anak merasa mereka dihargai dan apabila mereka dewasa, mereka pasti akan menghargai pula kasih sayang ibu bapanya itu.
6)    Jangan terlalu mendorong anak-anak terhadap kepentingan kehidupan duniawi sehingga melupakan kepentingan kehidupan di akhirat kerana jika terlalu mementingkan duniawi, anak-anak akan menganggap ibu bapa yang tua sebagai beban untuk mereka mengejar kehidupan di dunia ini.
7)    Eratkan hubungan kekeluargaan supaya anak-anak akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka walaupun di mana jua mereka berada.
8)    Jangan didik anak-anak dengan kepentingan wang ringgit tetapi didiklah mereka dengan kepentingan kasih sayang kerana wang ringgit boleh membuatkan mereka lupa kepada ibu bapa, sebaliknya kasih sayang akan merapatkan anak-anak kepada kedua ibu bapa.   
9)    Tunjukkan keperibadian yang baik kepada anak-anak kerana sikap dan keperibadian anak-anak banyak terbentuk melalui keperibadian ibu bapanya sendiri.
10) Selalu mendo’akan yang baik-baik sahaja untuk anak-anak supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
11)  Berserah dan bertakwalah kepada Allah semoga anak-anak kita akan sentiasa membahgiakan, menggembirakan, mensejahterakan dan memuliakan kita ibu bapanya di dunia dan di akhirat, setalah kita berusaha sedayanya di dalam mendidik mereka dengan betul dari kecil sehingga dewasa.  

Nekcun yakin dengan mendidik anak-anak berlandaskan iman dan takwa terhadap Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, akan dapat menghindarkan anak-anak dari menjadi anak yang derhaka. InsyaAllah.

Sunday, December 26, 2010

Eh!.. Azam kita sama?

Tahun baru Hijrah baru sahaja berlalu beberapa minggu, dan sekarang tahun baru Masehi pula akan menjengah beberapa hari sahaja lagi, namun adakah keduanya itu memberi apa-apa makna kepada kehidupan kita pada hari ini?

Itu adalah salah satu satu persoalan yang tidak semua orang boleh atau bersedia menjawabnya kerana tidak semua orang akan menghayati atau ghairah menunggu kehadiran tahun-tahun baru  itu dalam hidup mereka, melainkan hanya peningkatan angka pada umur mereka. 

Secara amnya, nekcun sendiri tidaklah terlalu ghairah di dalam menunggu kehadiran tahun baru, tidak kiralah tahun Hijrah atau Masehi kerana bagi nekcun, datanglah berapa banyak pun tahun baru tetapi kalau kita sendiri tidak menghargai atau berusaha merubah apa yang ada dalam hidup seharian kita, maka ianya memang tidak akan memberi apa-apa makna. Sebaliknya, kalau kita memang sentiasa menghargai setiap sa'at yang ada dalam hidup kita ini, maka tanpa kehadiran tahun baru pun kita pasti mengharapkan setiap hari yang mendatang itu akan memberikan sesuatu yang bermakna dalam hidup kita.

Nekcun sengaja mencoretkan isu ini kerana ramai kawan-kawan dan sahabat handai nekcun yang bertanya: "Apa azam nekcun tahun baru ni?" pada setiap kali kami bertemu dan berbicara. Sebenarnya nekcun hargai semua pertanyaan kekawan tu kerana itu menandakan mereka menyayangi nekcun dan masih mahu ambil tahu pasal keadaan kehidupan nekcun. Maka apa yang dapat nekcun katakan hanyalah... "Terus berusaha mendapatkan keredhaan dan rahmat Allah untuk ke Syurga Firdaus".   

Namun hati nekcun jadi agak sedih bila ada seorang kawan nekcun yang berkata, "Apalah nekcun ni... kita tanya pasal azam tahun baru tau, bukan pasal buat amal ibadah!.." Tapi, nekcun tidak salahkan kawan nekcun tu, kerana mungkin dia tidak dapat memahami maksud yang tersirat dari jawapan nekcun itu.

Nekcun yakin, semua orang Mukmin dan Mukminat memang bercita-cita ke Syurga Firdaus kerana itulah syurga yang paling istimewa, namun tidak semua orang boleh ke sana kalau tanpa keredhaan atau rahmat dari Allah SWT. Dan untuk mendapatkan keredhaan dan rahmat Allah, kita perlu terus bertakwa dan berusaha mendapat 'kasih sayangNya' setiap masa tanpa mengira hari, bulan atau pun tahun dengan mengerjakan amal ibadah yang disyariatkan Nya.  

Maka, di dalam kehidupan harian, nekcun selalu menggunakan konsep yang sama. Pastinya semua orang mahukan kehidupan yang terbaik segalanya, bagaikan apa yang terdapat di Syurga Firdaus. Oleh itu, untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan (simboliknya Syurga Firdaus), kita perlu terus berazam dan berusaha mencari serta mendapatkan kebaikkan itu pada sepanjang masa, dan bukannya hanya pada masa-masa tertentu sahaja.

Dan dengan sebab itulah nekcun membuat azam pada setiap hari dan setiap masa dan bukan pada ketika menyambut tahun baru sahaja, kerana azam yang dibuat pada waktu-waktu tertentu mungkin akan mudah dilupai sekiranya tindakan yang perlu diambil bagi memastikan azam itu dilaksanakan memerlukan tempoh masa yang tertentu.

Bagi nekcun, setiap hari yang dapat kita temui di dunia ini adalah hari yang amat berharga di mana kita perlu membuat azam dan terus melaksanakan azam itu selagi kita masih bernyawa kerana azam yang kita buat semalam mungkin tidak sebaik azam yang kita buat pada hari ini. Contohnya: "Hari ini aku mahu solat sekurang-kurangnya 30 raka'at (solat wajib + sunat) atau pun, hari ini aku mesti membaca sekurang-kurangnya 2 muka surat Al-Quran!". Dan untuk ke esok harinya, mungkin kita perlu membuat azam yang lebih baik lagi bagi menambah amalan kita itu sekiranya kita terus mahu menjadikan Syurga Firdaus sebagai destinasi yang kita tuju. Maka konsep yang sama juga perlu dilakukan bagi mencapai kehidupan yang terbaik ketika di dunia ini.

Memang nekcun tidak dapat nafikan bahawa "Syurga Firdaus" memang adalah destinasi yang nekcun cita-citakan bagi kedua-dua kehidupan iaitu ketika di dunia yang fana ini dan juga ketika di akhirat kelak. Maka untuk mencapai cita-cita itu, nekcun perlu memastikan yang nekcun mempunyai azam setiap pagi ketika bangun dari tidur dan perlu melaksanakan semua azam itu pada hari yang sama kerana bagi nekcun, azam yang dibuat semalam sudah tidak memberi makna pada hari ini kerana keupayaan kita pada hari ini mungkin sudah tidak sama dengan keupayaan kita semalam.

Bagaimana pun, apa yang nekcun coretkan ini hanyalah pendapat peribadi nekcun sendiri. Tidak berkait samada dengan yang hidup atau yang mati... sekadar ingin berkongsi pendapat. 

Dikesempatan ini juga nekcun ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua kekawan yang sentiasa nekcun kasehi. Semoga semua azam dan cita-cita kekawan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah dan semoga kita semua berjaya ditempatkan di "Syurga Firdaus". InsyaAllah. 

Wednesday, December 8, 2010

Hati tawar kerana kopi tawar...

"Apa tawar ajer air kopi ni?" kedengaran Pak Yob bertanya setelah menghirup air yang dihidangkan oleh isterinya, Mak Temah.

"Gula dah habis..." jawab Mak Temah selamba.

"Kenapa tak pergi beli?" soal Pak Yob lagi.

"Sape nak pergi beli?" tanya Mak Temah balik.

"Minta tolonglah si Budin tu pergi beli!.." arah Pak Yob.

"Saya beri dia duit RM3.00 untuk pergi kedai beli gula, dia kata tak cukup!.. tu yang dia tak beli tu!.." acuh tak acuh Mak Temah menjawab.

"Hai!.. RM3.00 tak cukup nak pergi kedai beli gula? Mahal sangat ke harga gula tu?" rungut Pak Yob.

"Laa... tak kan awak tak tahu? Kan baru ni Kerajaan dah naikkan lagi harga gula... naik 20 sen lagi. Dah tu Budin kata, Kerajaan pun dah naikkan juga harga petrol... jadi RM3.00 mana cukup kalau dia nak beli gula sebab harga gula sajer dah RM2.10 sekilo, belum harga minyak petrol motor dia RON 95 yang dah naik lagi kepada RM1.90 seliter. Takkanlah si Budin nak isi minyak seliter sahaja, dah tentu petrol station tu pun tak mahu layan kalau dia nak isi seliter sajer. Itulah sebabnya duit RM3.00 yang saya bagi tu tak cukup!.." jelas Mak Temah panjang lebar.

"Kenapa awak tak beri dia lebih sikit?" soal Pak Yob lagi.

"Mana saya ada duit lagi?... duit pencen awak tu bukannya banyak sangat, takat RM500.00 sebulan, macam mana nak belanja lebih-lebih? Nak bayar duit letrik lagi, duit air lagi, duit nak beli ubat kita lagi... jadi duit belanja dapur kenalah tak boleh lebih dari RM3.00 sehari... Kita bukannya menteri atau pun orang kaya... jadi kalau harga barang asyik naik sajer... kita kenalah berlapar dan minum air tawar sahaja!.." balas Mak Temah dengan nada agak sedih.

"Eh!... hari tu, aku ada baca surat khabar yang Kerajaan dah janji yang harga minyak RON 95 tak akan naik dan subsidi gula pun tak akan diselaraskan lagi tahun ni... tapi kenapa pulak naik lagi sekarang?" soal Pak Yob agak gusar.

"Manalah saya tahu!.. kita rakyat marhain ni nak boleh buat apa? Terpaksa terima sajerlah apa yang Kerajaan nak buat, walaupun kita terpakasa menderita. Jadi, awak tu janganlah kecoh-kceoh sangat... minum sajerlah air kopi tawar tu!..." ujar Mak Temah seolah terkilan.

"Eeemm... nak buat macam mana, Kerajaan nak suruh kita minum air tawar... jadi Kerajaan tak bolehlah nak marah atau pun menyesal kalau hati rakyat-rakyat marhain pun jadi tawar nak pilih mereka lagi nanti!..." dengan nada penuh maksud tersirat, Pak Yob meneguk air kopi yang semakin kelat rasanya.

Thursday, November 25, 2010

Hebatkah GPS menunjukkan jalan?

Rasa nak menangis nekcun dibuatnya apabila membaca surat khabar semalam yang mengisahkan seorang isteri di Johor yang sedang mengandung sebulan, mati kerana di kelar dan besar kemungkinan adalah perbuatan durjana suaminya sendiri.
Seingat nekcun, kisah isteri yang sedang mengandung mati akibat perbuatan durjana suaminya ini bukanlah kali pertama yang berlaku di Malaysia ini kerana sebelum ini pun pernah ada kisah seorang isteri yang mengandung mati kerana didera dan di pijak oleh suaminya sendiri, tetapi nekcun dah tak ingat di negeri mana...
Eeemmm.... mengapakah harus begitu jadinya? Adakah lelaki yang bergelar suami ini sudah tidak punya ugama atau pun akal fikiran? Di manakah diletaknya akal yang Allah kurniakan untuknya itu? MasyaAllah!... apa sudah jadi dengan manusia yang tidak berhati perut ini? Sanggup menjadikan dirinya lebih hina dari seekor binatang!..
Itulah akibatnya apabila akal yang Allah anugerahkan sebagai sesuatu yang memuliakan manusia dari makhluk-makhluk yang lain di dunia ini sudah tidak diletak di tempat yang betul!.. Manusia-manusia sebegini membiarkan nafsu mengawal kehidupan mereka dan bukannya akal fikiran. Inilah akibatnya kalau hidup hanya mengejar keduniaan dan mencampakkan Allah jauh-juah dari hati mereka!... Na'uzubillah!...
Oleh sebab itulah Allah turunkan Al-Quran sebagai panduan dan juga Ilmu kepada manusia untuk keselamatan kehidupan di dunia dan akhirat, tetapi... berapa ramaikah manusia yang benar-benar berpegang kepada ajaran Al-Quran pada hari ini?...
Astagfirullahilazim!... semoga Allah sentiasa mengampunkan dosa-dosa kita dan sentiasa menganugerahkan dan mengekalkan hidayahNYA ke dalam hati-hati kita!... Janganlah kita jadi manusia yang tidak berpegang kepada ajaran Al-Quran.
Sekiranya kita mengejar dunia, dia tidak akan pernah puas dan sentiasa meninggalkan kita. Tetapi kalau kita mengejar akhirat, dia akan tetap menunggu kita. Namun hanya kita sendiri yang perlu tahu menentukan ke belah manakah arah kita akan berada di akhirat nanti, samada kita mahu di syurga atau pun di neraka!... Allah telah memberi kita pilihan itu, maka terserahlah kepada kita jalan mana yang hendak kita pilih kerana Allah telah pun memberikan petunjukNYA kepada kita!...
Jangan salahkan Allah kalau manusia itu dimasukkan ke neraka kerana dia yang telah memilih jalannya sendiri. Allah maha adil dan maha pemurah dengan memberikan manusia segala pilihan yang mereka mahu, tetapi manusia itu sendiri yang tidak mahu mengambil kesempatan itu ketika di dunia ini. Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan manusia yang rugi ini...
Kita tidak perlukan GPS untuk memilih jalan yang betul ke akhirat kerana Al-Quran yang Allah turunkan lebih lengkap dari GPS. Oleh itu, sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga kekawan semua supaya terus mendampingi Al-Quran sebagai teman sejati kita di dunia ini kerana Al-Quran tidak akan pernah meninggalkan kita atau pun berpaling tadah dari kita.

Sunday, November 14, 2010

Sabarkah aku?...Hanya Dia yang tahu!...

Hati nekcun benar-benar tersentuh setiap kali menonton rancangan Khabar Haji di Astro Oasis. Terasa bagai hendak terbang ke sana ketika itu juga bersama mereka menjadi tetamu Allah SWT lagi di Masjidil Haram dan menziarah makam Rasullullah SAW di Masjid Nabawi.


Walaupun mengerjakan Ibadah Haji merupakan satu-satunya perkara yang semua orang tahu banyak dugaan yang perlu dilalui ketika melaksanakannya, terutamanya ketika ukuf di Arafah, melontar jamrah, bertawaf dan bersa'ai, tetapi kita tidak akan pernah serik untuk mengerjakannya walaupun berkali-kali kalau ada peluang yang mengizinkan. Malah segala dugaan yang kita lalui itu bagai menjadi satu nikmat yang tidak dapat kita ceritakan apabila kita berjaya mengharunginya sehingga kita selesai mengerjakan ibadah rukun Islam yang kelima itu dengan segala kesabaran dan kesempurnaan.
Sabar adalah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap muslimin dan muslimat, tidak kira ketika mengerjakan ibadah Haji atau pun di mana sahaja, selagi kita bernyawa. Ada ustaz memberitahu bahawa sifat sabar itu adalah wajib kerana Firman Allah yang mengatakan 'Sabar adalah separuh dari Iman'.
Apabila sabar adalah separuh dari iman, maka untuk menjadikan seseorang itu beriman dan bertakwa kepada Allah, ia wajiblah mempunyai sifat sabar dalam dirinya selain amalan-amalan lain yang wajib ia laksanakan.
Ingin nekcun berkongsi sedikit ilmu yang telah disampaikan oleh ustaz tentang sifat-sifat sabar ini. Secara asasnya kita wajib bersabar ketika melaksanakan perkara-perkara berikut:-
1) Sabar meninggalkan perkara-perkara yang haram dan berdosa. Memang susah untuk kita manusia meninggalkan perkara-perkara yang menjadi kegemaran kita tetapi kekadang meyalahi hukum syarak, maka di sinilah perasaan sabar itu wajib ada dalam diri kita untuk terus mendorong kita berusaha meninggalkan perkara-perkara yang haram dan berdosa. Jangan sekali-kali kita berputus asa untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah seandainya kita telah tersasar. Kita perlu terus berusaha memperbaikki diri kita walaupun kita dicemoh, dicaci dan dipinggirkan oleh masyarakt yang kononya 'bertamadun' kerana kita menghindari perkara yang haram dan berdosa.
2) Sabar di dalam mengerjakan perkara-perkara ta'at atas perintah Allah. Tidak dapat dinafikan bahawa memang susah untuk kita melaksanakan perintah Allah tanpa sebarang dugaan dan halangan. Contoh yang paling mudah adalah menjaga solat 5 waktu. Berapa ramai di antara kita yang tidak dapat menjaga solatnya dengan baik dan sempurna kerana melebihkan kepentingan duniawi dari perintah Allah itu. Maka di sinilah sifat sabar itu benar-benar kita perlukan supaya kita tidak akan merasa susah di dalam mengerjakan apa juga perintah Allah. Ibadah Haji dan ibadah qurban adalah contoh beberapa ibadah yang akan menguji kesabaran kita sebagai umat muslimin dan muslimat.
3) Sabar atas ketibaan musibah-musibah dari Allah. Ini juga adalah salah satu ujian Allah yang ramai antara kita tidak dapat menerimanya dengan redha. Sesungguhnya Allah yang maha mengetahui segalanya, Dia yang menjadikan kita maka Dia yang mengetahui segala keupayaan dan kelemahan kita. Percayalah!... Allah hanya akan menguji kita dengan kedatangan musibah yang kita upaya menghadapinya sahaja. Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang, maka kalau kita diuji dengan musibah, pasti ada hikmah atau nikmat di sebaliknya yang Allah hendak beri pada kita. Kalau tidak di dunia, kita pasti akan mendapatnya di akhirat. Oleh itu, wajiblah kita bersabar atas ketibaan musibah dari Allah kerana sekiranya kita bersabar, maka pastinya Allah tidak akan menganiaya hambanya yang bersabar.
Sempena Hari Raya EidilAdha atau Hari Raya Qurban tidak lama lagi, sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga kekawan yang dikasehi agar kita meningkatkan kesabaran kita dan jadikanlah ialah sebagai pembantu kita di dalam mengharungi hidup yang sementara sahaja di dunia ini. Semoga berkat sabar dan takwa kita kepada perintah-perintah Allah SWT, kita akan beroleh kenikmatan dan kesejahteraan yang berkekalan di akhirat kelak. Wallahualam!...