Sunday, May 11, 2008

Mengapa Hari Ibu hanya sehari?


Memang menjadi kebiasaan saya, setiap dua minggu sekali saya akan memanjakan diri saya di Spa kerana bagi saya, disamping sibuk mencari rezeki, kesihatan badan kita kena juga di jaga.

Ketika sampai di Spa hari ini, ada seorang kawan yang kebetulan juga sedang memanjakan dirinya di situ bertanya, apa yang anak-anak saya beri pada Sambutan Hari Ibu kerana dia juga mengenali semua anak-anak saya. Terdetik dalam hati: Bila hari ibu? Untuk tidak mengecewakan kawan yang bertanya, saya hanya tersenyum sambil mengatakan “ It’s a surprise!”

Dalam hati saya terus juga bertanya-tanya, perlukah mesti ada satu hari yang khas untuk seorang anak menggembirakan ibunya? Bukankah menggembirakan dan membahgiakan ibu bapa itu memang diwajibkan kepada setiap anak tidak kira bila. Jadi mengapa mesti ada hari khas untuk mengenang ibu.

Sebenarnya, semasa anak-anak saya masih di bangku sekolah dulu, sibuk juga mereka pakat-pakat adik beradik memberi hadiah dan kad ucapan kepada saya dan suami bila tiba hari ibu dan hari bapa. Namun bila suami saya melarang mereka dari berbuat demikian, maka hingga ke hari ini mereka seolah sudah lupa apa itu hari ibu atau hari bapa kerana bagi anak-anak saya, tiap-tiap hari adalah hari untuk menggembirakan dan membahgiakan kami suami isteri sebagai ibu bapa mereka.

Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat ILAHI kerana mengurniakan kepada saya dan suami anak-anak yang penuh dengan kasih sayang. Bagi saya, bukan jamuan atau hadiah atau kad ucapan yang penting, tetapi kasih sayang dan perhatian anak cucu yang sentiasa mekar dan melimpah ruah dalam keluarga kami, itulah yang lebih penting. Ucapan sayang bukan hanya di ucapkan pada hari-hari tertentu, tetapi pada setiap hari apabila kami berkomunikasi.

Wahai anak-anak semua, gembirakanlah ibu bapa mu bukan hanya sehari dalam setahun, tetapi hendaklah sepanjang hayat kerana kasih sayang ibu dan bapa akan membawamu ke syurga!…

No comments: