Sunday, July 10, 2011

Alahai... Warna kuning pula yang difobiakan!...

Nekcun tergelak macam nak pecah perut pagi tadi ketika anak bungsu menegur ayahnya yang hendak pergi 'menebas' supaya menukar T-shirt yang dipakai ayahnya itu.

"Ayah!.. jangan pakai T-shirt warna kuning!.. tukarlah T-shirt warna lain!.." jerit si anak.
"Kenapa pulak tak boleh? Selama ni ayah pakai tak apa-apa pun!.." jawab si ayah selamba.
"Nanti polis tangkap!.. semalam ramai orang pakai T-shirt kuning ngan merah kena tangkap!.." ujar si anak lagi.
"Alaah!... itu semalam!.. semua dah bersih dah!.." balas si ayah lagi sambil tersenyum nakal penuh maksud tersirat.
"Kenapa Ji? Apa yang bersih?.." tiba-tiba kedengaran kawan atok yang sedang menunggu atok di hadapan rumah bertanya apabila terdengar atok menjawab kata-kata anaknya tadi.
"Tak ada apa!.. duit gaji dah bersih sebab isi petrol full tank semalam!.." jawab atok sambil tertawa kecil sengaja mahu mengusik kawannya yang memang selalu pergi 'menebas' dengan dia dan mereka selalu bertukar-tukar kereta mengikut giliran untuk menjimatkan petrol.
"Hah, uncle pun pakai baju kuning juga ke? Eh!.. kena tukarlah, uncle!.." anak nekcun tu menegur kawan atok pula apabila baru perasan dia pun pakai T-shirt kuning juga.
"Laa... pasal apa kena tukar!.. Hari ni uncle dengan ayah ada tournerment dan kumpulan kami dah diperuntukkan T-shirt warna ni... mana boleh tukar-tukar!.." jawab kawan atok sambil mengerutkan dahinya seolah hairan dengan saranan anak bungsu nekcun itu.
"Iya ke? Nanti kalau polis tahan uncle kena cakap macam tu tau supaya polis tahu ayah ngan uncle bukan nak pi mana-mana tapi nak pi main!.." anak nekcun dengan muka seriusnya seolah mengingatkan.
"Pasal apa pulak nak kena tangkap?... Uncle beli baju ni mahal tau!.. bukannya dapat free!.." sambil terus tersenyum, kawan atok tu seolah sengaja mahu menduga anak bungsu nekcun tu..
"Hahaha... uncle sajer nak usik saya kan?... Saya pun sajer jer nak gurau ngan ayah dan uncle pasal warna T-shirt ni sebab sekarang ni kan warna kuning ni tengah populsr dan sensitif!..." akhirnya anak nekcun tergelak kerana tak tahan menahan rasa geli hati kerana dapat mengusik ayah dan kawannya itu.

Eeemmm... entahlah!.. nekcun pun agak pelik dan hairan sekarang ni bila ada sesetengah golongan orang tu boleh jadi sensitif tak tentu hala pasal warna. Tak lama dulu nekcun masih ingat, orang-orang ni amat sensitif dengan warna hijau sehinggakan kain pakaian seragam anak-anak sekolah ugama warna hijau dipaksa untuk ditukar ke warna merah. Dan sekarang ni pulak warna kuning, sehinggakan sesiapa yang pakai warna kuning boleh ditahan untuk disoal siasat.

Nekcun bukanlah menyebelah mana-mana pihak kerana nekcun hanyalah seorang rakyat marhain dan bukannya orang politik. Tetapi bila ada gulungan-gulungan orang yang begitu sensitif pasal warna kuning tak tentu hala dalam seminggu yang lepas ni, nekcun agak kesal juga kerana sebagai Rakyat Malaysia yang Merdeka, adakah menjadi satu keraguan atau kesalahan kalau kita berjalan di mana-mana di tanah air sendiri terutamanya di ibu negara tercinta ini dengan memakai baju warna kuning? Bagi nekcun, ini tanah airku, aku rakyat yang merdeka dan apa pakaian ku adalah hak aku, jadi mengapa perlu ada sekatan yang sedemikian rupa?...

Eeemmm... entahlah!.. malas betul nekcun nak memikirkan perkara-perkara yang tak tentu hala tu!.. Tetapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, nekcun rasa kena jugalah nekcun ambil tahu sedikit sebanyak perkara yang memualkan itu. Sekurang-kurangnya untuk nekcun membuat sebarang kesimpulan yang mana betul dan yang mana salah ketika tiba masanya nanti. 

Kekadang nekcun terfikir juga, mengapakah kekadang tu sesetengah gulungan orang perlu melebelkan warna-warna tertentu sehingga menjadikan satu-satu warna itu amat sensitif dan ditakuti terutamanya di dalam kancah drama politik di negara kita sekarang ini, sedangkan warna-warna itu tidak bersalah apa-apa.

Nekcun teringat kata-kata seorang ustaz ketika nekcun menghadiri kuliah ilmu: Kita jangan sekali-kali takut kepada sesama makhluk Allah dan kita hanya perlu takut kepada Allah sebab Allah yang menciptakan semua yang ada di dunia ini. Jadi, kita jangan takut pada warna kuning ke, hijau ke atau biru ke kerana semua itu boleh bertukar pada bila-bila masa kalau Allah mengkehendakkinya. 

Nekcun juga teringat kata-kata seorang kawan yang mengatakan mengapa ada gulungan orang-orang yang benci warna hijau hinggakan seolah fobia atau pun allergic sangat pada warna hijau, dan kini mungkin gulungan orang yang sama juga akan fobia atau allergic pada warna kuning pula? Bukankah warna hijau itu warna di syurga!.. Warna hijau juga warna yang Allah suka dan sebab itulah Allah jadikan semua pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan sehinggakan menjadikan semua gunung ganang juga kelihatan berwarna hijau, dan mengikut kajian saintifik pula warna hijau adalah warna yang baik untuk pandangan mata.

Jadi mengapa mesti fobia pada warna hijau dan kuning kerana apa yang pasti yang telah Allah tunjukkan selama ini ialah dari warna kuning selalunya ia akan bertukar kepada hijau. Tak percaya?... Cubalah tengok kalau pada musim kemarau, rumput-rumput akan layu dan bertukar menjadi warna kuning, tetapi apabila kemudian Allah menurunkan hujan untuk menyegarkan rumput-rumput itu ianya akan kembali bertukar kepada warna hijau!.. Hah... betul tak?... Itulah kuasa Allah namanya. Jadi kita mesti yakin pada kuasa Allah yang boleh menciptakan atau menukarkan apa sahaja yang dikehendakkinya.

Nekcun juga masih ingat semasa sekolah dahulu. Semasa nekcun di kelas lukisan dan bila cikgu suruh mewarnakan lukisan menggunakan cat warna basah, cikgu selalu kata: Siapa tiada warna hijau boleh buat sendiri dengan mencampurkan warna kuning dan biru kerana apabila kuning dan biru dicampurkan ia akan menghasilkan warna hijau!... Hahaha... kalau kekawan tak percaya, cubalah buat sendiri!... 

Jadi secara kesimpulannya, bagi nekcun warna hijau adalah ketua bagi segala warna kerana salah satu sebabnya ialah warna hijaulah yang akan kekal hingga ke syurga kelak... Wallahualam!... Jadi janganlah kita terlalu taksub pada satu-satu warna atau fobia pada satu-satu warna lain pula!.. Semuanya adalah hak Allah jadi kita sebagai hambanya harus menghargai semua kejadian yang Allah ciptakan di dunia ini.... Wallahualam...

p/s: Harap janganlah ada pulak kekawan yang marah atau terasa hati bila membaca N3 nekcun ini kerana nekcun hanya menyuarakan apa yang nekcun rasakan secara peribadi dan tidak melibatkan sebarang atau sesiapa samada yang masih hidup atau yang sudah mati...   

Monday, July 4, 2011

Menantu ku Imam Muda... InsyaAllah!...

Ketika berehat seketika sementara mahu masuk kelas kedua pagi tadi, sempat nekcun bersembang dengan beberapa rakan sekumpulan. Banyaklah isu yang timbul, dari isu bersih tak bersih, isu isteri kena dera dan macam-macam isu semasa yang timbul. Maklumlah bila ibu-ibu yang berbual maka banyaklah asam garam yang akan menyedapkan lagi isu yang dibincangkan.

Dalam pada kami sedang rancak berbincang itu, timbul pula cerita pasal hikmah Isyra' Mikraj yang baru berlalu. Memang banyak perkara yang boleh menginsafkan kami serta merta apabila hikmah Isyra Mikraj dibincangkan kerana memang banyak pasal isu wanita yang Junjungan kita Nabi Muhamad SAW ceritakan ketika di dalam Isyra' Mikraj itu.

"Itulah yang paling kita takut ya!.. Janganlah kita termasuk dalam gulungan wanita-wanita yang akan dicampakkan ke dalam neraka!.. Na'uzubillah!.." Kak June berkata.

"Tapi, ingat tak macam ustaz kata tu, sebenarnya orang perempuan ni senang sahaja nak masuk syurga berbanding orang lelaki. Kita jaga solat, jaga maruah diri dan ta'at pada suami / ibu bapa... maka bolehlah kita masuk syurga!.." Kak Gee pula menerangkan.

"Betul!... tapi itulah yang ramai orang perempuan lupa!.. Sedangkan nak tutup aurat pun ramai perempuan yang tak sanggup nak buat, habis camna?..." Ani yang duduk di sebelah nekcun menyampuk. 

"Eeemmm... itulah tu!.. Kekadang tu, semua tu pun sebab ibu bapa yang kurang menerepakan nilai-nilai Islam pada anak-anak. Sepatutnya anak-anak perlu didedahkan kepada syariat Islam yang baik sejak dari kecik lagi, macam cerita Ustaz yang berjaya jadi Juara Imam Muda 2 tu... emak dia didik dia dengan nilai-nilai Islam sejak dari kecil lagi. Walaupun ayahnya telah meninggal sejak dia kanak-kanak tetapi dia boleh jadi seorang insan yang mulia hari ini kerana fahaman Islam yang kuat sudah sebati dalam dirinya sejak awal!.." nekcun ambil peluang menyampuk.

"Betullah!... Hei... sejuk perut emak dia mengandungkan dia!... alangkah seronoknya kalau kita ada anak-anak yang soleh macam tu kan!.." komen Kak June pula.

"Eeemmm... betullah Kak June!.. Saya pun teringin juga nak ada anak jadi Imam macam tu. Walaupun InsyaAllah anak lelaki yang ada ni adalah juga anak-anak yang soleh, tetapi kalau dapat yang bagus macam Imam Muda tu, lagi seronok rasanya!.." Ani meluahkan perasaannya.

"Eeemmm... saya kalau dapat menantu macam Imam Muda tu pun, Alhamdulillah yang amat sangat!... Minta-mintalah anak dara saya nanti dapat jodoh dengan lelaki yang soleh macam Imam Muda !..." nekcun juga mengharapkan hanya baik-baik untuk anak-anak nekcun.

"Hei Hajjah, Imam Muda Hassan  tu masih bujang lagi tau!... So, ada chance lagilah untuk buat calon menantu!.." tiba-tiba Kak Gee mencadangkan sambil tersenyum lebar.

"Betul, betul!... kami semua dah tak ada anak dara, dan Ani pula anak daranya masih kecil lagi, jadi Hajjah sajerlah yang boleh cuba untuk buat calon menantu!.." sambil terkekeh Kak June turut mengusik nekcun.

Kelihatan Ani yang tersengeh dari tadi turut tertawa terkekeh-kekeh.

"InsyaAllah!.. tolong-tolonglah do'a agar saya dapat Imam Muda Hassan itu sebagai menantu. Kalau tak dapat dia, dapat yang soleh dan bijak macam dia pun, jadilah!.." balas nekcun sambil turut tertawa riang kerana nekcun tahu semua kekawan nekcun tu memang suka bergurau.

Walaupun kekawan nekcun mungkin menganggap apa yang dikatakan pada nekcun itu hanyalah satu gurauan, tetapi bagi nekcun itu adalah sesuatu yang memang sentiasa nekcun harapkan dan do'akan agar dapat dikurniakan oleh Allah iaitu anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu yang soleh & solehah yang boleh membahgiakan, mensejahterakan, menggembirakan, mengkayakan (pahala & amalan yg boleh di bawa ke akhirat) dan memuliakan nekcun dan atok dari dunia sampai akhirat kerana setiap anak Adam itu akan putus segala hubungannya dengan dunia apabila dia mati melainkan 1) Ilmu yang manafa'at 2) Amalan soleh 3) Do'a anak yang soleh & solehah... Wallahualam...

Sunday, June 26, 2011

Luas Pandangan, Banyak Kenangan...

Huh!... letih betul bila hampir tiga minggu tak berhenti menjelajah satu Semenanjung!.. Mula-mula dari KL ke Johor, kemudian naik balik ke Melaka dan Negeri 9. Rehat di rumah dua hari, mula pulak ke Perak, Penang, Kedah, Kelantan, Trengganu dan Pahang. Tapi... nak buat macam mana... takut jugak kalau atok pergi sorang-sorang lama-lama macam tu tak ditemankan!.. Kang kalau dia dapat teman lain, lagi haru nekcun dibuatnya!... hehehe...

Di masjid Kristal, K.Tgnu

Kekadang itulah kehidupan kita ini. Ingatkan bila atok dah bersara ni dapatlah lebih masa nak berehat-rehat di rumah sambil-sambil membelai pokok bunga atau ikan di kolam, rupanya masih ada lagi sahabat-sahabat atok yang mahukan atok untuk membantu tugas-tugas mereka di merata tempat. Itu pun rezeki juga namanya kan?.. Jadi mahu tak mahu, sebagai isteri mithali dan solehah (InsyaAllah), nekcun kenalah ikut juga ke mana atok pergi!..

Di masjid Besut / Jertih

Bagi nekcun, ke mana sahaja kita pergi pasti ada hikmah Allah untuk kita. Oleh itu nekcun memang suka bermusafir ni kerana lagi jauh perjalanan lagi luas pandangan, lagi ramai kenalan dan lagi banyak pengalaman yang boleh dibuat kenangan. Biarlah badan letih sedikit tetapi hati tetap tenang dan seronok bila kita dapat menikmati & menghayati keindahan alam kejadian Allah ini ketika kita bermusafir walau di mana jua... 

Thursday, June 2, 2011

Buah Durian macam Harga Emas?...

Setelah beberapa hari berada di kampong halaman di Kedah, petang semalam nekcun terpaksa ke Mydin Hypermarket kerana banyak barang-barang dapur yang dah habis. Selalunya nekcun membeli barang-barang dapur pada hujung bulan sahaja tetapi minggu lepas nekcun tak sempat nak ke pasaraya kerana terpaksa balik kampung, ada kenduri kahwin anak saudara rapat.

Ketika memilih barang-barang tu, nekcun terpandang gerai menjual buah durian yang sudah dikopek. Nekcun yang memang 'hantu' buah durian, segera pergi menjenguk kerana bau buah durian tu memang bagaikan menggamit-gamit selera nekcun. Namun nekcun jadi agak terkejut apabila melihat harga yang tertera pada packet buah durian yang sudah di kopek yang hanya mengandungi anggaran 4 atau 5 ulas sahaja iaitu RM24.00 se packet. Oh!.. ini betul-betul sudah jadi buah 'emas'... kalau 4 - 5 ulas berharga RM24.00, berapa pula harga sebiji durian? Lebih RM40.00? Lebih mahal dari harga sekampit Beras Bernas 10 kg yang berharga dalam lingkungan RM35 ke RM40.00 sahaja.

Nekcun menarik nafas dalam-dalam sambil menjilat tapak tangan supaya jangan kempunan. Tetapi... memang nekcun pun tak rasa kempunan kerana ketika di kampung di Kedah, nekcun dah puas makan durian sampai tak larat nak habis. Dah tu, bukan takat buahnya elok dan manis, fresh dari pokok lagi!...

Kekawan tak caya?... tengoklah gambar nekcun dekat pokok durian yang terdapat di kebun mertua nekcun tu... Boleh capai dan pegang-pegang lagi youuuu....

Memang selalu pun cam tu lah... kalau nekcun dan atok teringin sangat nak makan durian yang best-best dan free, kami akan tunggu bila musim durian di kebun mertua di Sg. Petani, Kedah. Kebetulan ketika balik kampung baru-baru ni, buah durian tu memang sedang luruh, jadi apalagi... raya durianlah kami anak beranak!..

Yang seronoknya, pokok-pokok durian di kebun mertua tu bukanlah jauh sangat dari rumah, hanya di keliling rumahnya sahaja. Dari dalam rumah pun kekadang boleh dengar durian jatuh. Dah tu pokoknya pulak rendang-rendang semuanya kerana apa yang orang selalu kata 'pokok durian kahwin / durian tot'. Namun isinya tetap cantik, tebal, manis, lemak dan bijinya kecil sahaja. Nekcun rasa kalau di KL ni, durian yang sebegitu mau harganya mencecah RM40 ke RM50 sebiji kerana dalam sebiji durian tu kekadang isinya terdapat sampai 10 ke 15 ulas.

Dengan berita baru-baru ini yang mengatakan durian akan dieksport secara besar-besaran ke Cina, nekcun tidak hairanlah kalau harga durian akan jadi macam harga 'emas'. Nasib baiklah kebun mertua di kampung ada banyak pokok durian, jadi tak kempunanlah nekcun & atok nak makan durian kalau pun harganya akan menjadi harga emas kelak!...

p/s: The next potential high return investment on agricultural product is "Buah Durian". Jadi marilah kita ramai-ramai mulakan menanam buak durian di sekeliling rumah!.. hehehe... 

Wednesday, May 18, 2011

Rezeki dan Keredhaan Allah SWT...

Di hadapan Queen Alia airport, Jordan
Alhamdulillah, setelah lebih dua minggu nekcun dan atok menjelajahi beberapa negara untuk menikmati dan menghayati keindahan alam kejadian Allah SWT disamping mencari keredhaanNYA di Baitullah, maka kami telah pun selamat kembali ke rumah dua hari yang lalu.




Di hadapan Golden Tulip Hotel, Jordan
Masih mamai kerana agak sukar untuk menyesuaikan kembali waktu tidur yang telah pun banyak berubah masanya ketika di perantauan, disamping perubahan cuaca dan suhu yang bertukar secara mendadak antara satu negara ke negara yang lain amat banyak mempengaruhi keadaan kesihatan nekcun dan atok untuk dua hari ini. Ditambah pula dengan masa penerbangan yang agak panjang dan bertukar-tukar pesawat, telah memudahkan lagi kami diresapi 'jet-lag' ketika sudah sampai di rumah.                                                                                          

Baru sampai di airport Artartuk, Istanbul
 Itu jugalah yang buat nekcun agak berat hendak membuka kelopak mata bila terdengar azan yang berkumandang dari musolah yang berhampiran rumah nekcun untuk dua hari ini. Namun nekcun kuatkan juga semangat, melawan hasutan syaitan yang memang seronok melihat kita terlalai begitu. Alhamdulillah, hari ini nekcun telah berjaya kembali ke situasi asal dari segi emosi dan jasmani.

Merantau dan menziarahi tempat-tempat asing ini memang menyeronokkan. Tambahan lagi kalau tempat-tempat yang banyak mempunyai sejarah Islam. Malahan dalam Islam juga digalakkan untuk umatnya merantau dan menziarahi tempat-tempat asing bagi menghayati dan mengagungkan kebesaran Allah di dalam mencipta segala kejadian di dunia ini. 


Di hadapan hotel di Bursa, Turki. 

Di hadapan Blue Mosque, Istanbul.
  Alhamdulillah, nekcun juga mengucap syukur kepada Allah yang tidak terhingga kerana telah memberi nekcun kesihatan tubuh badan yang baik dan rezeki yang luas bagi membolehkan nekcun, atok dan kekadang diiringi keluarga menziarahi hampir ke semua benua asing yang terdapat di muka bumi ini. Walaupun ada beberapa lagi negara yang masih tidak sempat nekcun dan atok ziarahi dan InsyaAllah, kalau dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan disehatkan tubuh badan, memang nekcun dan atok bertekad untuk merantau lagi ke negara orang sambil mencari keredhaan Allah SWT.


Bersama rakan di kedai buat sausage
 Nekcun teringat kata-kata seorang ustaz bahawa harta kekayaan yang kita ada tidak akan pasti menjadi milik kita sehinggalah kita membelanjakannya untuk keperluan diri kita sendiri seperti membeli makanan yang kita makan, membeli pakaian yang kita pakai atau pun sedekah yang kita hulurkan atas nama Allah. Maka dengan itu jugalah nekcun dan atok selalu terfikir untuk menziarahi tempat-tempat orang disamping mencari keredhaan Allah SWT kerana kalau pun disimpan duit yang ada itu belum tentu akan jadi milik nekcun dan atok, sekiranya kami meninggal dunia sebelum sempat menggunakannya. Jadi sementara umur masih ada ini, eloklah kami menggunakan rezeki itu sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya pahala dan keredhaan Allah itu akan kekal jadi milik kita sampai ke akhirat.


Di hadapan Masjid Nabawi, Madinah.


Di hadapan Baitullah, Masjidilharam.

Minum2 di Felda D'Saji, Al-Safwa Tower, Mekah
 Nekcun percaya bahawa rezeki itu Allah yang menentukannya. Maka gunakanlah rezeki yang ada hari ini pada jalan yang diredhai Allah, maka pasti Allah akan menggantikan atau menambahnya dengan lebih barakah lagi, InsyaAllah!..

Monday, April 25, 2011

Susu Ibu atau Ibu Susuan...

Pagi tadi nekcun agak terlewat sedikit pergi untuk menjalankan tugas rutin nekcun. Bila dah lambat tu, biasalah... macam lipas kudunglah nekcun dibuatnya. Pandu kereta pun, kalau takat lampu kuning tu sempat pecut lagi. Nasib baiklah semasa nekcun sampai tu, just in time untuk nekcun menjalankan tugas-tugas nekcun. Jadi tidaklah nekcun terpaksa bersoal jawab dengan sesiapa yang berkenaan.

Selesai projek yang nekcun perlu uruskan itu, seperti biasa nekcun dan beberapa orang kawan-kawan nekcun pun berehat-rehat sambil berbual-bual kosong melepaskan stress sementara nak pergi lunch.

"Heh!.. nampak kalut sangat tadi, Hajjah lambat, kenapa?" Kak June bertanya.

"Haah!.. seminggu dua ni agak kalut sikit kerana pagi-pagi kena mandikan cucu baru dulu!.." jawab nekcun sambil melepas lelah.

"Oh!.. iyalah lupa pulak... Hajjah baru dapat cucu sorang lagi ya?" Kak Che Amar mencelah.

"Eemm... seronok dapat cucu ni.. walau pun penat tapi bila tengok mata dia kelipok-kelipok, lega rasa hati!.." balas nekcun, seronok.

"Cucu nekcun okey ke? Tak ada jaundice ke?" soal Kak June lagi.

"So far so good!.. Alhamdulillah... sebab dia 100% menyusu ibunya!.. " balas nekcun lagi.

"Eeemm... memang pun... kalau bayi yang menyusu badan emaknya 100% akan kurang terkena jaundice. Lagi pun susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi.." ujar Kak Che Amar.

"Tapi ramai ibu-ibu yang tak mahu menyusukan anak-anak mereka, takut badan tak cantiklah, tak cukup air susulah dan macam-macam lagilah alasan mereka!.." Kak June pula mengkomen.

"Sebab itulah anak-anak sekarang ramai yang tak ingat mak bapak bila besar sebab mereka lebih banyak minum susu lembu dari susu ibu sendiri!.. Tapi saya, saya paksa anak saya untuk susukan anaknya!.." nekcun menambah komen Kak June.

"Eloklah tu, Hajjah!.. memang sepatutnya anak-anak ni diberikan susu ibunya 100% semasa kecil-kecil ni supaya lebih sihat dan elok pula akhlahnya esok-esok... tak adalah perangai mereka tu pun macam haiwan bila dah besar panjang kelak!.. macam kes-kes yang banyak berlaku sekarang ni.. mungkin sebab terlampau banyak minum susu lembulah agaknya sehinggakan perangai pun dah jadi macam haiwan!.." kelihatan Kak June agak emosional menyuarakan pendapatnya.

Bila menyebut pasal susu lembu ni, teringat nekcun akan jenaka kekawan nekcun yang lain ketika kami berehat selepas beriadah di gym baru-baru ni.

"Siapa tahu kenapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing?" Puan Gee bertanya kami semua.

"Memanglah manusia tak boleh berkahwin dengan haiwan!.. apalah you ni, Ghee!.." Datin J berkata sambil tersenyum lebar.

"Tapi itu bukan sebab utama. Kalau nak tahu mengapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing ialah... sebab lembu dan kambing itu adalah 'ibu susuan' kepada manusia!... mana kita boleh kahwin dengan ibu atau adik beradik susuan!.. Kan sekarang ni ramai betul orang yang memberi anak-anak mereka susu lembu atau kambing daripada susu ibu sendiri!.." balas Pn. Ghee sambil tertawa terkekeh-kekeh.

"Hah!.. pandailah you nak pekena kami ya!..." Datin J menepuk bahu Pn. Gee sambil turut tergelak besar.

Iyalah!.. lawak, lawak juga. Tetapi kalau difikir-fikirkan ada juga betulnya. Bila anak-anak sudah diberi susu haiwan sejak kecil lagi sehinggakan melebihi susu ibu, maka kalau perangai mereka kelak jadi macam haiwan juga, siapakah yang nak disalahkan?

Entahlah!.. tak berani nekcun nak komen kerana anak-anak nekcun sendiri dulu pun ada juga nekcun beri susu lembu apabila nekcun telah terpaksa meninggalkan mereka di rumah untuk mencari rezeki. Namun, bagi nekcun apa yang penting adalah secara keseluruhannya, adakah makanan yang kita berikan pada anak-anak kita itu dari sumber yang halal atau tidak, kerana makanan itulah yang akan menjadi darah daging mereka dalam membentuk akal dan akhlak mereka.

Jadi sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan kekawan semua supaya memastikan anak-anak kita diberi makanan dari sumber yang halal. Ini bukan sahaja bahan-bahan makanan itu tetapi juga wang ringgit yang digunakan untuk membeli bahan-bahan makanan tersebut. Jika wang ringgit itu diperolehi dari jalan yang salah atau haram, maka makanan yang diberi juga boleh jadi haram walaupun pada dasarnya bahan-bahan makanan itu halal.

Oleh itu, pastikanlah semua pendapatan kita adalah dari sumber yang halal bagi memastikan anak-anak kita akan mendapat makanan yang akan menjadi darah daging mereka adalah halal. Marilah kita sama-sama membendung 'sunami akhlak' yang sedang menyerang negara kita ini sekarang dengan kita memulakan pemulihannya dari dalam rumah kita sendiri, demi kebaikkan ugama, bangsa dan negara. Wallahualam!...

Tuesday, April 12, 2011

Mari kita jumpa di sana!..PWTC (23-04-2011 Sabtu)

Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kepada Allah kerana semua novel-novel nekcun telah mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran. Tidak lupa juga nekcun mengucapkan terima kasih kepada semua peminat novel yang telah membeli dan membaca novel-novel nekcun.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua orang suka membaca novel Melayu. Nekcun sendiri pernah terdengar komen yang mengatakan novel-novel Melayu ni agak 'stereotype'  iaitu kebanyakkan temanya mestilah berkisar kisah cinta!.. Asyik-asyik cinta!.. itulah kata mereka.

Tetapi, bukankah hidup manusia itu memang sentiasa diselubungi dengan 'Cinta'? Cinta kepada Allah dan Rasulnya (bagi orang2 Islam), Cinta kepada kedua ibu bapa, cinta kepada keluarga dan bermacam-macam lagi versi 'Cinta' yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Jadi, apalah salahnya kalau kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sesebuah novel itu sentiasa berkisar tentang cinta.

Bagi nekcun, apa yang penting adalah bagaimana kisah 'cinta' itu diolah dan diceritakan supaya pembaca akan mendapat menafa'at dari pembacaannya itu, contohnya apa yang dipaparkan itu akan dapat memberikan iktibar atau pun tauladan yang boleh dimenafa'atkan oleh pembacanya. Nekcun juga berpendapat bahawa berkongsi perkara yang baik sesama insan adalah satu tanggungjawab bersama dan harus dilakukan dalam apa jua situasi yang mampu kita laksanakan untuk sampai kepada sasarannya.

Jadi bagi penulis novel, sekiranya kisah yang dipaparkan dalam novelnya itu adalah cara yang terbaik yang mampu dia lakukan untuk berkongsi ilmu yang menafa'at, maka apalah salahnya!.. Berilah dia sokongan moral agar dia akan dapat lebih mengembangkan bakatnya!.. 

Bagaimana pun, nekcun tetap menghormati setiap komen pembaca kerana nekcun tahu citarasa seseorang itu memang tidak sama dengan orang lain. Maka terserahlah kepada pembaca budiman untuk menilai kualiti sesuatu novel-novel itu.   

Dikesempatan ini juga, ingin nekcun menjemput kepada semua kekawan dan juga pembaca yang meminati novel-novel nekcun dan juga novel-novel penulis yang lainnya untuk sama-sama meriahkan Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada 22/4/2011 hingga 1/5/2011.

InsyaAllah, nekcun akan berada di booth Grup Buku Karangkraft (Penerbit novel2 nekcun: Buku Prima) untuk bersama peminat-peminat novel pada hari Sabtu 23/4/2011 dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Nekcun amat mengharapkan akan dapat bertemu kekawan semua pada hari tersebut.

Jumpa di sana!.. di sana!...

Friday, April 1, 2011

Mengapa 24 jam masih tak cukup?...

Pejam celik, pejam celik tak sedar kita dah nak masuk suku kedua tahun 2011. Begitu pantas masa berlalu sehingga dirasakan masa 24 jam sehari itu bagaikan tak cukup untuk nekcun menguruskan segala apa yang perlu diuruskan setiap hari.

Dulu semasa nekcun bekerja sepenuh masa di salah satu GLC terkemuka, nekcun ingatkan masa 24 jam tu rasa tak cukup sebab banyak masa perlu dihabiskan sepenuhnya di pejabat. Jadi itulah sebabnya nekcun tak sabar-sabar nak meninggalkan tugas tersebut dan mahu memberi tumpuan kepada bidang & projek yang nekcun rancangkan bersama beberapa sahabat dan ahli keluarga dengan harapan akan ada lebih masa untuk nekcun merehatkan minda & jasmani yang agak sudah keletihan selama berpuluh tahun berkhidmat di syarikat itu. Namun, apa yang nekcun harapkan itu agak meleset rupanya!..

Walaupun sekarang nekcun tidak berapa terikat dengan waktu rasmi pejabat, tetapi untuk memastikan apa yang nekcun lakukan itu benar-benar diredhai Allah, nekcun masih perlu meluangkan masa nekcun setiap hari sekurang-kurangnya empat jam yang selalunya nekcun akan laksanakan pada belah pagi sehingga tengahari. Dan pada belah petang nekcun akan tumpukan pula pada aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang juga memerlukan perhatian dan komitmen nekcun yang agak padat. Akhir-akhirnya nekcun rasakan tidak ada banyak bezanya antara semasa nekcun bekerja sepenuh masa dahulu dan sekarang!..

Tak tahulah nekcun, samada masa yang semakin laju atau nekcun yang dah semakin tak larat!... hehehe..

Tambah-tambah lagi dalam seminggu dua ni, memang nekcun agak kalut macam lipas kudung kerana baru mendapat ahli baru dalam keluarga iaitu cucu nekcun yang terbaharu. Pagi-pagi sebelum nekcun keluar ke mana-mana yang nekcun perlu uruskan, nekcun perlu terlebih dahulu memastikan anak dan cucu nekcun ini diuruskan sebaik-sebaiknya sehinggalah anak nekcun itu habis pantang kelak kerana semasa dalam pantang ini nekcun mahu menjaga mereka sebaiknya.

Walaupun ada dua pembantu rumah (1 nekcun punya dan yang 1 lagi anak nekcun punya) yang membantu menguruskan apa yang perlu, tetapi nekcun tak yakin dan tidak mahu melepaskan sepenuhnya tangggungjawab menguruskan cucu yang baru lahir itu kepada mereka kerana bagi nekcun air tangan ibu adalah lebih berkat di dalam membina keluarga bahagia.  

Itulah agaknya nekcun rasa bagaikan 24 jam sehari itu tidak cukup untuk nekcun sekarang!.. Tapi, apa-apa pun nekcun amat bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan nekcun dan atok seorang lagi cucu yang comel dan sehat walafiat. Semoga semua anak2 , menantu dan cucu2 nekcun akan menjadi anak-anak yang soleh & solehah yang akan membahgiakan, mensejahterakan, menggembirakan dan memuliakan nekcun dan atok dari dunia hingga akhirat.... InsyaAllah!..