Bagi kita orang Melayu, UiTM merupakan tunggak tempat anak cucu kita menangguk ilmu untuk berdaya saing dengan orang lain. Memang ada banyak menara gading di Malaysia ini, tetapi ianya tidak sama dengan UiTM. Tanya sahajalah kepada semua alumni UiTM, pastinya mereka merasa sedih, marah dan geram apabila satu-satunya lagi hak Melayu yang tinggal juga mahu dikongsi dengan “orang lain”. Tambahan pula orang lain itu bagaikan bagi betis nak kan peha. Sanggupkah kita membiarkan maruah kita tergadai dengan memberikan ‘peha’ kita yang sentiasa jadi idaman mereka.
Nekcun masih ingat semasa selepas SPM dulu, ada beberapa orang kawan-kawan nekcun yang lebih bernasib baik kerana mereka boleh masuk terus ke Universiti melalui “matrikulasi’ iaitu satu-satunya lorong yang memberi ruang kepada anak Melayu untuk memasukki menara gading tanpa bersaing dengan “orang lain”. Tetapi, sekarang lorong itu juga telah kita kongsikan dengan “orang lain” yang tak puas-puas mahu merebut hak kita. Tak tahulah sampai bila mereka mahu menyakiti hati dan perasaan kita!…
Kekadang, nekcun terasa nasib kita orang Melayu ini tak ubah seperti “bawang putih yang sentiasa di dengki oleh bawang merah”. Padahal bapa kita adalah orang yang berkuasa, tetapi oleh kerana telah tergoda dengan pujuk rayu dan tipu muslihat emak si bawang merah, sehingga bapa kita tidak menyedari kita (orang Melayu) anaknya sendiri terseksa dan hak kita yang diwasiatkan oleh ibu asal kita hampir semuanya tergadai.
Pernah juga nekcun terfikir, mungkinkah orang-orang kita yang berkuasa itu terlalu baik dan pemurah sehingga sanggup berkongsi apa sahaja hak kita dengan orang yang dianggap ‘sahabat’ itu. Memang betul Islam menggalakkan kita umatnya supaya tidak kedekut dan rajin bersedekah, tetapi tidaklah sehingga menggadaikan maruah diri dengan berkongsi apa sahaja yang kita ada. Kalau semua telah tergadai, apa lagi yang kita ada untuk diwasiatkan kepada anak cucu kita nanti? Sanggupkah anak cucu kita nanti menjadi ‘pengemis’ di tanah air sendiri hanya kerana sikap bapa-bapa kita yang terlalu pemurah tak kena tempat!…
Wahai sahabat-sahabat nekcun… cubalah fikir-fikirkan apa yang nekcun coretkan ini dan apakah usaha kita untuk membendung si bawang merah terus menyakiti kita si bawang putih?… Marilah kita perteguhkan perpaduan ummah antara kita demi mempertahankan maruah kita. Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi yang akan menolong kita? Nekcun harap coretan rasa nekcun ini akan sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran dalam diri kita dari terus menjadi ‘si bawang putih’. Semoga Allah akan sentiasa merahmati usaha kita ini.
**p/s: Semua alumni UiTM adalah dijemput untuk menghadiri "Nostalgia UiTM" pada 15-17/8/2008 di Kampus Induk Shah Alam. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi: 019-4301741. InsyaAllah nekcun akan ke sana pada malam 15/8/08. Harap dapat jumpa kekawan semua.... Wak Khairol, engkau datang ke tidak?
