Friday, April 27, 2012

Setiap ucapan itu adalah do'a... Wallahualam...

Apabila tiba sahaja Pesta Buku Antarabangsa KL, maka yang akan sebuk adalah para penerbit buku, penulis-penulis dan juga para pecinta buku, tak kiralah apa pun bentuk atau genre buku yang disukai kerana di PBAKL akan ada semua jenis buku.

Tak ketinggalan diri nekcun, walaupun hanya seorang penulis yang baru di dalam arena penulisan tetapi semangat untuk turut serta tu tetap berkobar-kobar, apatah lagi kalau ada beberapa kekawan yang selama ini banyak menyokong novel2 nekcun telah berpesan-pesan hendak berjumpa dengan nekcun. Lagi semangatlah nekcun nak ke PWTC tu!...

Dalam pada sebuk-sebuk tu adalah beberapa kekawan yang dah membaca novel2 nekcun bertanya, "I rasakan kebanyakkan hero-hero novel you semuanya lelaki-lelaki yang baik-baik ajer. Walaupun mereka tu agak ego sikit tetapi tetap loving, kenapa you suka watak macam tu?"

Huh!... pening juga nekcun nak jawab!... Tetapi hakikatnya, memang nekcun suka menonjolkan lelaki yang walaupun ego tetapi tetap ada rasa sayang dalam diri mereka kerana memang itulah fikrah lelaki kan?... Mereka punya ego tetapi mereka juga seorang yang penyayang. Kalau mereka tak penyayang, macam mana kita boleh mempunyai ramai suami-suami, ayah-ayah, abang-abang dan tidak ketinggalan majikan-majikan yang hebat-hebat di dunia ini? Dan yang seronoknya, nekcun sendiri sentiasa dikelilingin oleh lelaki-lelaki (arwah ayah, suami, abang/adik, anak & majikan) yang sebegitu...

Bagi nekcun, tidak semua lelaki jahat dan tidak semua wanita baik atau sebaliknya, walaupun sekarang ini kita boleh dengar dan lihat banyak kisah-kisah yang melibatkan lelaki kejam dalam kehidupan rumahtangga, kekeluargaan dan masyarakat tetapi itu hanyalah mungkin 1 dalam 1,000. Jadi mengapa kita harus menghukum bilangan yang ramai oleh kerana sikap bilangan yang sedikit itu?...

Bukankah Allah jadikan manusia lelaki dan perempuan untuk saling lengkap melengkapi dalam mengharungi kehidupan yang sementara sahaja di dunia ini. Maka janganlah kita terus menghukum secara negatif kepada sesuatu yang kita tidak suka tetapi marilah kita cuba bersikap positif dan terbuka untuk memperbaikki keadaan dengan memperbanyakkan do'a kepada Allah agar semua yang jahat hatinya (tidak kira lelaki atau perempuan) supaya dianugerahkan hidayah dan kembali ke jalan yang Allah redhai. 

Dalam sedar atau tidak, setiap apa yang kita ucapkan adalah merupakan do'a. Maka sebab itulah nekcun suka bercerita yang baik-baik dalam kebanyakkan novel2 nekcun dengan harapan ianya akan juga menjadi do'a yang akan diterima Allah!... Wallahualam.  

Thursday, March 22, 2012

Adakah kita pendengar yang baik?...

Terasa rindu benar nekcun untuk mengemaskini teratak nekcun yang dah agak lama tak berkemas ni kerana sejak sebulan dua bulan ni, masa amat mencemburui nekcun. Dengan umur yang dah nak masuk dalam gulungan 'emas' ni (emas kan mahal harganya, tu yang nekcun bangga nak jadi warga 'emas' tu!... hehehe...) memang cepat betul nekcun terasa letih kalau terpaksa ke sana dan ke mari lebih-lebih lagi kalau kena memandu sendiri.

Apa-apa hal pun nekcun teringin nak berkongsi satu cerita yang agak lucu ketika nekcun terlibat dalam mengendalikan sessi latihan 'Pembantu Rakan Sekerja (EAP Program)' baru-baru ini. Sebenarnya bukanlah lucu sangat tetapi ianya lebih kepada bagaimana nekcun dapat melihat keberkesanan ilmu yang nekcun kongsi dengan mereka itu telah mereka rasai dan adaptasikan di dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran dan menguatkan jati diri.

Ketika aktiviti amali yang melibatkan tajuk 'menjadi pendengar yang berkesan' salah seorang dari perserta telah membuat satu teka teki dan mahukan semua kawan-kawan kumpulannya memberi jawapan dengan betul.
"Dengar baik-baik ya soalan saya!.. Siapa yang dapat jawab dengan betul akan dapat hadiah misteri dari fasilitator!.." dengan suara yang lantang peserta A berkata.
"Eh!.. apa pulak kena mengena dengan saya? Bila pulak saya janji nak beri hadiah?" segera nekcun bertanya sekadar mahu melihat sejauh mana creativity si A dan kumpulannya memberi alasan.
"Kenalah bagi hadiah, puan!... baru ada motivasi nak jawab!.."  balas si A, penuh mengharap.
"Okey!... saya akan beri hadiah misteri kepada sesiapa yang boleh jawab dengan betul. Tetapi kalau tiada siapa yang dapat jawab dengan betul, kamu semua pulak yang kena beri hadiah pada saya!.. Macam mana? Setuju?.." sengaja nekcun menduga kesungguhan mereka.
"No problem!..." jawab mereka serentak.
"Okey kalau begitu, sila A katakan apa teka teki kamu tu!.." nekcun menyuruh.
"Okey... dengar baik-baik... Apakah binatang yang boleh terbang, boleh berenang, boleh melompat? Sila jawab mulai dari sekarang!.." Si A segera menyatakan soalan teka-tekinya.

Kelihatan berkerut-kerut dahi masing-masing cuba mencari jawapan teka-teki itu.
"Anjing laut!.." Si B cuba menjawab.
"Kurang tepat!.." balas si A.
"Arnab!.." jawab si C
"Juga kurang tepat!... sikit lagi, sikit lagi..." Si A terus memberi semangat kepada kawan-kawannya.

Berbagai-bagai nama binatang yang mereka berikan tetapi satu pun tiada yang betul. Nekcun yang memang dah tahu jawapannya hanya tersenyum melihat telatah mereka yang begitu bersemangat.
"Heh!... semua tak betul, jadi apa jawapannya?" akhirnya si F berkata seolah sudah putus asa.

"Hah!.. apa saya cakap tadi, jadilah pendengar yang baik, sentiasa focus dan jangan mudah berputus asa!.. Cuba lagi!.." nekcun menyampuk untuk memberi galakkan kepada mereka.

"Ha!... saya tahu jawapannya!.." tiba-tiba si H berkata.
"Apa dia?" semua ahli kumpulan bertanya serentak.
"Burung boleh terbang, ikan boleh berenang dan katak boleh melompat!.. Betul tak?" dengan riak yang sungguh yakin si H mengangkatkan keningnya ke arah si A.
"Mengapa awak begitu yakin dengan jawapan awak?" segera nekcun bertanya sebelum si A sempat mengesahkan samada jawapan itu betul atau salah kerana memang nekcun telah berpakat dengannya untuk membantu nekcun menjayakan sessi aktiviti amali itu.
"Iyalah!.. kan memang burung terbang, ikan berenang dan katak melompat!.. Kan teka teki si A tadi  ialah binatang apakah yang boleh terbang, boleh berenang, boleh melompat. Dia tidak tanya binatang apakah yang boleh buat semua ketiga-tiga perbuatan itu sebaliknya A sebut satu-satu aktiviti yang berlainan. Jadi maknanya tak semestinya mesti binatang yang sama untuk boleh buat semua perbuatan yang disebut A tadi. Ia boleh dilakukan oleh binatang yang berlainan bagi aktiviti yang berlainan. Betul tak A?.." dengan senyum bangga si H menerangkan justifikasinya.

Mahu tidak mahu, si A terpaksa mengangguk tanda menyetujui hujjah si H. Nekcun juga segera bertepuk tangan tanda menyetujui jawapan si H.

"Jadi tuan/puan sekelian, sekarang anda lihat mengapa ramai di antara anda yang tidak dapat menjawab teka teki tadi adalah kerana anda kurang focus terhadap soalan yang ditanya. Anda tidak mendengar dengan baik sehingga anda tidak dapat menangkap perkataan2 penting dalam perkara yang diucapkan!..  Anda tidak menggunakan konsep 'seek to understand to be understood' dan mengambil segala apa yang diucapkan sebagai 'take for granted' sahaja. Untuk menjadi seorang  'counsellor' yang berkesan anda perlu menjadi pendengar yang baik dan sentiasa focus terhadap apa yang diperkatakan..." akhirnya nekcun memberikan pendapat nekcun.

Nekcun ni bukanlah seorang pakar motivasi yang hebat tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan ilmu yang boleh dimanfa'atkan oleh insan-insan yang memerlukan. Begitulah sedikit sebanyak panduan yang dapat nekcun kongsikan dengan mereka.

Bagi nekcun kriteria2 itu bukan sahaja untuk kita praktikkan ketika di tempat kerja tetapi juga ketika dengan keluarga kita. Contohnya ketika bersama pasangan kita. Kita perlu memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh suami/isteri kita di dalam setiap ucapan mereka kerana tersilap mentafsir ucapan mereka, tidak mustahil ianya boleh mendatangkan implikasi yang besar sekiranya kita tidak dapat mengawal situasi yang timbul akibat kesalahtafsiran ucapan-ucapan tersebut.

Marilah sama-sama kita renung-renungkan apa yang nekcun katakan itu. Sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman... Wallahualam.   

p/s: Novel terbaharu nekcun bertajuk 'Demimu Nazwa' banyak mengungkap kepada implikasi terhadap kesalahtafsiran ucapan pasangan dalam sebuah rumah tangga sehingga boleh menimbulkan situasi yang agak meruntun jiwa... Silalah dapatkan novel tersebut, InsyaAllah tidak akan merugikan... 

Wednesday, February 22, 2012

Tak semua riba itu haram... betul ke?...

Hari ini nekcun memang angkat 'bendera putih' dan gelak macam nak pecah perut apabila ada peserta kuliah yang 'mengenakan' nekcun ketika nekcun sedang memperkatakan tentang keberkatan mencari rezeki, halal haram rezeki yang diperolehi dan beberapa lagi perkara yang berkaitan dengannya.

Apabila bercerita tentang halal haram rezeki, maka tidak akan terlepas isu dividend dan riba. Dalam seronok nekcun memperkatakan isu dividend dan riba itu tiba-tiba peserta yang seorang ini bangun dan bertanya sehingga membuatkan seluruh peserta kuliah terdiam.

"Hajjah, tak semua riba itu haram!.." komen peserta itu.
"Telah difirmankan di dalam Al-Quran bahawa riba itu haram, jadi kita tidak boleh menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Itu amat bahaya di dalam kita menjaga aqidah!..." nekcun cuba mententeramkan peserta itu.
"Tapi, tuan guru Dato' Nik Aziz sendiri kata yang riba itu tak haram, malah amat digalakkan bagi pasangan suami isteri yang mahu membina kebahgiaan rumah tangga!.." jawabnya penuh yakin.
"Betul ke apa yang saudari cakap ni? Apa buktinya?" soal nekcun agak curiga dengan sikap peserta itu.
"Laa... saya baca sendiri dalam surat khabar minggu lepas semasa beliau merasmikan hari suami isteri sebagai ganti sambutan hari valentine tu... Dia kata, dia selalu tidur atas 'riba' isterinya setiap kali kalau dia letih atau balik lewat setelah penat bekerja. Dia akan jadi tenang dan sehat apabila berbaring di atas riba isterinya. Tuan Guru juga menggalakkan suami-suami lain berbuat begitu. Jadi maknanya, riba sebegitu tak haramlah!.." dengan muka 'seposen'nya peserta itu menjelaskan hujjahnya. 

Nekcun tak terkata apa-apa bila mendengar hujjah peserta itu walaupun nekcun tahu dia hanya ingin bergurau dengan menggunakan perkataan 'riba' yang dimaksudkannya itu. Tidak menyangka peserta itu boleh menggunakan perkataan 'riba' itu di dalam maksud dan situasi yang berbeza dari apa yang sedang kami bincangkan!.. Tiba-tiba terasa bahawa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah apabila ada orang yang lebih bijak untuk menggunakan konsep 'think outside the box' yang selalu nekcun sarankan ketika ceramah motivasi, telah memerangkap nekcun sendiri. 

Memang betullah seperti mana yang selalu ustaz telah mengingatkan bahawa kita semua ni sebenarnya tidak pandai kerana hanya Allah yang mempunyai segala kepandaian dan maha bijaksana. Allah hanya meminjamkan kepandaian itu kepada kita untuk membolehkan kita berusaha mencari rezeki di dunia ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa menyerahkan diri kepada Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan kerana segala apa yang kita ada atau dapat di dunia ini adalah haknya yang dipinjamkan kepada kita. Kalau Allah hendak ambil balik apa yang dipinjamkannya itu, kita tidak ada kuasa untuk menahannya... Wallahualam...

Sekadar berkongsi pengalaman, untuk menyegarkan minda dan fikiran di dalam mengingati Kebesaran dan Keagongan Allah...    

Sunday, February 12, 2012

Hilangkah Melayu di Tanah Melayu?...

Ketika menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kawan, nekcun dan atok bertemu dengan beberapa kawan-kawan lama yang pernah sama-sama bertugas dulu. Maka, kalau dah lama tak jumpa, bukan main seronoklah kami masing-masing bercerita dari satu tajuk ke satu tajuk sampaikan niat asal nak duduk sekejap dah jadi lebih hampir dua jam.  

Namun apa yang menarik minat nekcun adalah apabila isu semasa berkenaan 'tsunami akhlak' remaja masa kini dan kedudukan orang Melayu yang semakin genting di Tanah Melayu menjadi tajuk hangat semua kekawan yang berada di situ. Almaklumlah... kebanyakkan semua kawan-kawan nekcun ni masing-masing dah punya anak-anak yang sedang meningkat remaja!... jadi isu yang diperkatakan memang amat menarik perhatian setiap kami.

Apabila nekcun fikir-fikir balik apa yang kami bincangkan itu, memang ada banyak benarnya tetapi apakah tindakan atau peranan yang telah kita ambil di dalam menangani isu yang ditimbulkan?... Segera nekcun teringat satu puisi yang dikirimkan oleh seorang kawan nekcun tidak lama dahulu yang nekcun rasa elok dikongsi bersama kawan-kawan sebagai 'something to ponder!...' seperti berikut:-

Di mana boleh cari ramai Melayu?

Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu


Apa hobi orang Melayu?
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu?
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu


Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju?
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu.
tapi... apakah yang kita tahu..,cuma baca nak halau hantu

Memang nekcun tak mahu setuju 100% pada puisi itu kerana ramai juga orang Melayu yang dah sedar dan berubah serta mencari jati diri di dalam memertabatkan maruah bangsa dan Islam sekarang ini, tetapi berapa ramai pula yang masih leka dan hanya 'tunggu dan lihat' apa orang lain buat!... Maka sukalah nekcun nak berkongsi dan mendengar pendapat kekawan semua, gulungan manakah kita termasuk sekarang ini?... Mungkinkah kita hanya 'tepuk dada, tanya selera!...' Wallahualam...

Tuesday, January 31, 2012

DEMIMU NAZWA.... kini sudah di pasaran!..

Alhamdulillah!... novel nekcun yang ke 6 bertajuk DEMIMU NAZWA terbitan Buku Prima (Grup Buku Karangkraft) telah berada di pasaran sekarang. Bagi kekawan yang meminati novel-novel Melayu, nekcun amat berharap akan cuba mendapatkan novel nekcun ini kerana ia sarat dengan kisah dan tauladan yang boleh diambil iktibar dan panduan di dalam kita mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini... Semoga semua kekawan akan memberi sokongan padu kepada novel nekcun ini dan selamat membaca...

SINOPSIS Novel:-

Lantaran panahan cinta pandang pertama ketika usia masih begitu muda menjadikan Nazwa tidak pernah berfikir dua kali untuk menerima lamaran Ahmad Saifulrizwan walaupun mereka masih lagi menuntut di Negara yang asing itu.

Limpahan cinta Ahmad Saifulrizwan yang bagaikan air laut yang tidak bertepi benar-benar membuatkan Nazwa hanyut dan lupa bahawa perkahwinan itu bukanlah hanya ikatan penerimaan ucapan Ijab dan Kabul yang dilafazkan tetapi juga segala peraturan dan undang-undang yang telah termaktub di dalam perlaksanaan sebuah perkahwinan itu.

Bagi Nazwa, cinta suami yang sentiasa membara penuh syahdu sudah cukup untuk membuatkan dia amat bahgia hidup bersama Ahmad Saifulrizwan sehinggalah peristiwa malang yang tidak disengajakannya telah dengan begitu mudah merentap rasa cinta itu dari hati Ahmad Saifulrizwan. Dengan hati yang lara, Nazwa membawa diri pulang ke tanah air tanpa meninggalkan sebarang jejak yang boleh dikesan oleh suaminya.

Di dalam melayani hari-hari yang sepi tanpa belaian suami tercinta, pintu hati Nazwa diketuk oleh cinta syahdu Edham, lelaki yang begitu ikhlas dan jujur menerima keadaan Nazwa seadanya sehingga menjadikan Nazwa sering diulit rasa kekesalan kerana terpenjara oleh cinta palsu Ahmad Saifulrizwan.

Setelah hampir empat tahun terpisah, Nazwa tidak pernah menduga yang dia dan Ahmad Saifulrizwan dipertemukan kembali dalam keadaan yang amat berbeza dari pertemuan pertama enam tahun dahulu. Hati masing-masing bukan lagi dipenuhi rasa cinta yang membara tetapi hanyalah rasa dendam kesumat yang bagaikan hanya menunggu sa’at untuk dilunasi.

Malahan bagi Ahmad Saifulrizwan perpisahan selama empat tahun itu bukanlah penyebab untuk dia melepaskan Nazwa begitu sahaja tanpa perlu menuntut haknya sebagai suami yang sah sehingga membuat Nazwa terus terpenjara dalam derita yang tidak berkesudahan apabila mendapati dirinya mengandung, kerana secara amnya tiada siapa pun yang tahu bahawa mereka adalah masih suami isteri yang sah dari hukum syarak.

Ahmad Saifulrizwan benar-benar rasa tercabar apabila Nazwa terus mahukan agar hubungan yang penuh rahsia itu diputuskan secara yang sah, lalu dengan kuasa talaq yang berada di tangannya, Ahmad Saifulrizwan seolah sengaja mahu menggantung Nazwa tidak bertali sedangkan dia sendiri bagaikan hanya menunggu hari untuk disatukan dengan Sharifah Norwati iaitu gadis pilihan ibu bapanya.

Nazwa yang benar-benar sudah berputus asa untuk melawan kuasa yang ada pada Ahmad Saifulrizwan, sekali lagi menghilangkan diri cuba memujuk hati yang lara, mengharap derita yang mencengkam jiwa akan segera berlalu walaupun tidak tahu entah bila.

Tetapi mengapakah Ahmad Saifulrizwan masih tidak mahu melafazkan talaq terhadap Nazwa sedangkan Sharifah Norwati telah lebih dari bersedia untuk menjadi isterinya pada bila-bila masa? Dapatkah Nazwa lepas dari ikatan yang bagai tidak bertali itu dan berjayakah Edham membina bahagia bersama Nazwa sebagaimana yang sering dirancangkannya? Mungkinkah Demi Mu Nazwa akan dapat menyingkap segala teka teki ini?... Sudah pasti!.. kerana di situlah akan ada segala jawapannya.

Tebal novel = 640 m/s
Harga pasaran = RM25.90

Friday, January 20, 2012

Email dari Kubur... Menakutkan!...

Hati nekcun jadi amat tersentuh apabila mendengar kisah yang Ustaz terangkan ketika nekcun menghadiri kuliah Ilmu pagi tadi. Entah mengapa ianya terus mengetuk-ngetuk dinding hati nekcun untuk berkongsi dengan kekawan semua agar dapat kita jadikan pengajaran dan peringatan. Ianya terlalu memberi kesan dalam hati nekcun…

Ceritanya adalah lebih kurang begini.


Ada seorang lelaki ini yang suka sangat men’download’ gambar-gambar porno atau lucah dari satu web provider. Dan lelaki ini pula dengan bangganya suka menunjukkan gambar-gambar itu kepada kawan-kawannya.

Biasalah orang muda… mereka amat teruja kalau dapat tengok benda-benda yang tak senonoh itu, maka kawan-kawannya pun teringin juga untuk nak membuat download benda-benda yang sama.

Namun perkara itu tidak boleh dibuat sewenang-wenang kerana hanya orang yang mendaftar dengan syarikat pengeluar gambar-gambar itu sahaja yang akan dapat download tersebut melalui email yang dibuat secara ‘auto send’ oleh syarikat tersebut.

Memandangkan lelaki itu telah pun melanggan dengan syarikat itu maka dia akan dapat email tersebut secara ‘auto send’ setiap kali ada gambar-gambar baru. Maklumat itu lebih lagi membuat kawan-kawannya semakin teruja untuk melihat gambar-gambar berkenaan.

“No problem!.. jangan risau…beri email address engkau orang. Aku akan setting kan untuk ‘auto send’ dari email aku kepada email engkau orang pada setiap kali email aku terima download gambar tu dari supplier tu!.. So, bila aku dapat, engkau orang pun automatic boleh dapat gambar-gambar itu!..” saran lelaki itu dengan bangganya.

Maka berebut-rebutlah kawan-kawan baiknya memberi email address mereka, dan sememangnya perkara itu benar-benar berlaku sehinggalah suatu hari lelaki tadi telah terlibat di dalam satu kemalangan jalanraya dan telah meninggal dunia.

Kawan-kawan lelaki yang berkongsi gambar-gambar porno/lucah itu jadi agak terkejut apabila telah beberapa minggu lelaki itu meninggal dunia tetapi mereka masih lagi menerima email dari lelaki itu yang mengongsikan gambar-gambar yang diterima dari syarikat supplier.

Kawan-kawan lelaki itu jadi takut kerana masih menerima email dari orang yang sudah mati. Mereka tidak dapat bertanya kepada kawan mereka itu kerana lelaki itu telah pun beberapa minggu di dalam kubur atau perkataan lain di alam barzah, tetapi emailnya di dunia ini masih aktif menghantar perkara-perkara maksiat itu.

Ada salah seorang kawan mereka yang tahu serba sedikit ilmu ugama dan berasa amat kasihan kepada arwah lelaki itu, lalu mereka menghubungi syarikat supplier yang mengeluarkan gambar-gambar itu supaya menghentikan penghantaran kepada email lelaki yang telah mati itu.

Tetapi syarikat itu memberitahu yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana lelaki itu telah pun melanggan kontrak dengan syarikat itu untuk beberapa tahun dan semua jumlah bayaran telah dijelaskan dan memandangkan penghantaran gambar-gambar itu adalah atas arahan system ‘auto send’ maka mereka tidak dapat memberhentikan penghantaran itu melainkan jika tuan punya email memberhentikannya sendiri. Semua kawan-kawan lelaki itu yang terlibat jadi tergamam kerana tiada siapa yang tahu ‘password’ email lelaki itu, maka tiada siapa pun yang dapat memberhentikan email lelaki itu selagi system ‘auto send’ itu berfungsi.

Bukankah Allah SWT melalui Rasulnya Nabi Muhamad SAW telah mengatakan:-

Akan terputus semua amalan baik dan pahala anak Adam ketika mereka sudah mati melainkan 3 perkara iaitu:-

1) Ilmu yang baik yang boleh dimanfa’atkan oleh insan lain di dunia dan akhirat. Selagi mana ilmu itu memberi kebaikan kepada orang yang menerimanya, maka selagi itulah simati mendapat pahala.

2) Amalan soleh yang berpanjangan, selagi mana orang yang menerimanya mendapat kebaikan maka selama itu jugalah simati akan mendapat pahalanya.

3) Do’a-do’a dari anak yang soleh dan solehah.

MasyaAllah!... Astagfirullahalazim… cuba bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada roh lelaki itu di dalam kubur selama mana emailnya di dunia ini masih menerima secara ‘auto receive’ dan kemudian meng’auto send’ pula kepada kawan-kawan yang lain akan perkara-perkara maksiat itu? Na’uzubillah!..Tidak berani nekcun hendak memikirkannya.

Jadi, apa yang ingin nekcun kongsikan di sini ialah, walau macam mana canggihnya teknologi komunikasi kita sekarang ini, berhati-hatilah ketika menggunakannya. Janganlah kita begitu ghairah sehingga boleh menjadikan kita tersalah guna kecanggihan teknologi itu, yang mana akhirnya kita yang akan merana selamanya, bukan sahaja di dunia tetapi juga sampai ke akhirat.

Semoga kita semua akan dijauhkan dari perkara-perkara yang mungkar itu kerana kita tidak tahu entah bila ajal kita akan sampai. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mencabut nyawa kita, maka biarlah kita mati di dalam keadaan yang diredhai oleh Allah dengan membawa pahala yang tidak henti-henti dan bukannya dosa yang berpanjangan… Sesungguhnya Dunia ini adalah jambatan ke Akhirat, maka gunakanlah jambatan itu sebaik-baiknya supaya kita akan sentiasa selamat sejahtera ketika sampai di Akhirat kelak. InsyaAllah & Wallahualam!...

Tuesday, December 20, 2011

Berkahwin itu satu anugerah... betul ke?...

Eeemm... semenjak dua menjak sepanjang bulan Disember ni, setiap hujung minggu nekcun dan atok tak dapat nak ke mana-mana kerana asyik sebuk memenuhi undangan perkahwinan anak-anak saudara mara dan sahabat handai. Kekadang tu, walaupun penat tetapi seronok juga sebab dapat makan 'free' sajer... hehehe... sampai nekcun selalu kena ingatkan atok supaya 'control' sikit bila makan tu sebab takut kalau-kalau darah atok tetiba jer naik pulak!.. Maklumlah kalau dah umur-umur warga emas nih!...  

Tetapi apa-apa hal pun sukalah nekcun ucapkan tahniah kepada semua pasangan pengantin baru yang telah atau pun akan melangsungkan perkahwinan mereka kerana 'bernikah / berkahwin' bagi insan-insan yang sudah mampu adalah amat disukai Allah. Malah ada hadith yang menyatakan bahawa adalah wajib bagi seseorang yang sudah mampu itu untuk bernikah / berkahwin sekiranya dia khuatir akan terjerumus kepada maksiat. Sesungguhnya syaitan dan iblis akan menangis ketika orang-orang Mukmin dan Mukminat bernikah / berkahwin secara sah. 

Sesungguhnya banyak 'pahala' yang akan didapati oleh seorang lelaki yang berkahwin sebagaimana yang diberitahu oleh ustaz-ustaz ketika nekcun menghadiri beberapa kelas ilmu dahulu iaitu sebahagiannya adalah lebih kurang seperti berikut:-

1) Ketika lelaki menerima lafaz nikah, dia akan dapat pahala.
2) Lelaki yang menjaga segala keperluan isterinya, akan dapat pahala.
3) Lelaki yang melindungi isterinya dari sebarang maksiat, akan dapat pahala.
4) Lelaki yang membimbing isterinya ke jalan yang diredhai Allah akan dapat pahala.
5) Lelaki yang melihat isterinya akan dapat pahala.
6) Lelaki yang memegang isterinya akan dapat pahala
7) Lelaki yang mencium isterinya akan dapat pahala
8) Lelaki yang mensetubuhi isterinya akan dapat pahala
9) Lelaki yang kembali kepada isterinya sekiranya digoda di luar rumah, akan dapat pahala
10) Lelaki yang menjadi imam ketika solat dengan isterinya akan lebih berganda-ganda dapat pahala.

Secara dasarnya, apa sahaja perkara-perkara yang tidak dilarang oleh syarak, yang dilakukan oleh seorang suami dengan isterinya akan mendapat pahala. Jadi, bukankah perkahwinan itu satu anugerah dari Allah kepada makhluknya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Nya?... Maka memang elok sangatlah bagi semua teruna dara yang sudah mampu itu bernikah/berkahwin secara sah, bagi mengelakkan dari terjerumus ke kancah maksiat akibat dari hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram. 

Sekali lagi sukalah nekcun mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga jodoh kalian kekal sepanjang hayat kepada semua yang telah atau yang akan memasukki gerbang berumahtangga

p/s: Eeeemmm... tetiba jer nekcun teringat masa mula-mula membina hidup baru dengan atok dahulu!... alangkah indah dan nikmatnya!... hehehe...  Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat itu walaupun ianya sudah hampir 35 tahun dahulu...

Tuesday, December 6, 2011

Adegan Ranjang... Siapa tanggung dosa?....

"Hah?.. Adegan Ranjang?.. Laaa... hari tu ada I baca pasal bukan main lagi ramai orang yang ajak baikot filem 3P... eeerrrr... entah 3P ke 3G... I pun tak ingat, sebab I bukan kaki wayang,  yang memaparkan adegan ranjang. Tapi kali ni filem yang ada adegan ranjang ni pulak yang meletop-letop ya?... Apa citer ni?.." terbeliak biji mata Kak June mengomen apa yang dikatakan oleh Kak Gee.


Novel-novel Nekcun yang ada di pasaran

"Iya!... anak I pergi tengok citer tu sebab mereka dah baca novelnya dan mereka kata sedap, jadi mereka nak tengok pulak macam mana kalau dalam filem!.. Itulah yang mereka komen!.." Kak Gee menguatkan hujahnya.

"Betul!.. betul!.. I pun ada baca dalam fb yang di'post'kan oleh kawan fb I yang mengatakan ada blog sorang artis yg dah insaf tu komen juga pasal kes ni!.. tapi yang jadi tambah tak sedap tu, bila artis wanita yang melakunkan watak untuk adegan atas ranjang tu sempat sebut lagi... 'Alhamdulillah... saya akhirnya dapat juga menjiwai watak atas ranjang tu walaupun pada mulanya saya agak ragu-ragu!..' You tau, macam itulah lebih kurang dia kata!.. MasyaAllah, perkara yang terang-terang maksiat itu dia boleh bersyukur kepada Allah dengan menyebut Alhamdulillah bagai nak menunjukkan yang dia tu seorang Islam yang baik!.., Itu betul-betul 'Islam yang jahil' namanya!.. Betullah... walaupun secara asalnya citer tu adalah pasal citer pasangan suami isteri yang sah dan tak salah untuk 'beranjang-ranjang'... tapi apabila adegan itu dilakunkan dan yang melakukannya adalah lelaki dan wanita yang bukan suami isteri maka terang-teranglah ianya 'haram' dan merupakan dosa bagi yang melakukannya!... Ada ke patut dia bangga kerana berjaya melakunkan adegan yang haram itu dan berani lagi menyebut Alhamdulillah?.. Ungkapannya tu bagaikan mengatakan bahawa perbuatan pelok memelok antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu 'halal' kalau hanya untuk lakunan!.. Tidakkah itu sudah melanggar hukum Allah namanya?... Astagfirullahalazim... tak tahukah dia bahawa melanggar hukum Allah itu adalah berdosa!.. Entahlah... apa nak jadi dengan artis-artis Islam sekarang ni!..."  Kak Zah pula berleter panjang menerangkan perkara yang berlaku.  

Nekcun yang mendengar leteran Kak Zah tu, rasa nak tergelak juga bila mendengar dia menyebut perkataan 'beranjang-ranjang' tu kerana agak pelik juga kedengarannya. Tapi sebenarnya nekcun fahamlah apa yang Kak Zah maksudkan tu, cuma disebabkan rasa geramnya tu kot yang membuatkan dia boleh mendapat perkataan yang menggelikan hati nekcun tu!...

"Habis tu... kalau dah pengarah suruh dia buat adegan tu, terpaksalah dia lakunkan juga agaknya!.." komen Kak Gee pula.

"Jadi kalau macam tu, siapa yang patut tanggung dosa? Pelakon? Pengarah? Penulis skrip? atau penulis novel yang menghasilkan cerita tu?..." Kak June pula menyampuk sambil bertanya.

"Hahaha!... pasal penulis novel, jangan sebut aaaahh... Selalunya penulis novel menulis berlandaskan cerita dan situasi yang bukan mustahil untuk terjadi serta sering boleh berlaku dalam kehidupan harian kita dengan tujuan untuk dijadikan iktibar atau tauladan!... Jadi apa yang ditulis itu tidak salah dan tidak melanggar hukum Allah kalau dengan tujuan menerangkan fikrah yang memang dilakukan oleh semua manusia dan ianya digambarkan agar pembaca dapat menilai situasi itu samada elok untuk diikuti atau pun untuk dijadikan iktibar!.. Lagi pun, penulisan di dalam novel tidak melibatkan 'perlakuan jasmani' secara fisikal yang boleh menjadikan 'sentuhan haram' antara lelaki dan perempuan. Semuanya digambarkan secara ilusi sahaja. Jadi, bagi pendapat saya, penulis novel tidak boleh disalahkan dalam perkara ini!.. Penulis script, pengarah dan pelakon sepatutnya tahu batas-batas hukum ugama yang perlu mereka patuhi!.." segera nekcun memintas.

"Oh ya!.. lupa pulak Hajjah ni kan penulis novel!..." ujar Kak June sambil tersenyum nakal.

Nekcun faham apa yang dimaksudkan oleh kawan nekcun tu dan nekcun tidak berkecil hati. Tetapi hakikatnya nekcun menyatakan pendapat nekcun itu bukanlah disebabkan pasal nekcun ni seorang penulis novel tetapi ianya adalah berdasarkan pendapat yang nekcun rasakan benar dan harus difikirkan secara rasional. Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri tidak tahu apa yang kita lakukan itu salah atau pun benar.
 
Jadi dalam hal adegan ranjang dan perilaku pelakon... nekcun rasa, "tepuk dada tanyalah selera" kerana jika mereka yang terlibat itu benar-benar memahami hukum Islam mereka patut tahu apa yang perlu mereka lakukan... Yang haram tetap haram dan melakukan perkara yang haram walaupun sekadar berlakun tetap berdosa!... Nekcun sekadar berkongsi kesah yang boleh kita fikir-fikirkan dan jadikan iktibar bersama!.. Wallahualam...