Saturday, September 22, 2012

Bahasa Jiwa Bangsa... betul ke?...

Entah kenapa nekcun tiba-tiba jadi agak emosi apabila ada orang yang tak hormat Bahasa Kebangsaan dan telah melebih-lebih menggunakan bahasa 'Mat Saleh' tu!.. Kalau awak tu 'Mat Saleh' tak mengapalah asyik cot-cet-cot-cet dalam bahasa tu, tetapi awak orang Melayu tulin, kenapa malu sangat nak cakap bahasa ibunda sendiri? Jatuh taraf ke kalau bercakap dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan?...

Mungkin juga sebab nekcun ni orang 'lama' yang memang amat sayang dan selalu bangga dengan bahasa ibunda sendiri, jadi sebab itulah agaknya nekcun mudah naik angin bila ada orang yang tak hormat bahasa ibunda sendiri. Nekcun memang amat kesal apabila sekarang ni banyak sangat Bahasa Melayu yang telah 'dirojakkan' sehingga kadang-kadang orang akan keliru apa maksud sebenar perkara yang mahu diperkatakan. Ini terjadi bukan sahaja dalam pertuturan tetapi juga di dalam penulisan.

Di dalam memperkatakan isu keliru ni... teringat nekcun ketika pergi ke satu jabatan kerajaan untuk menguruskan beberapa urusan penting. Sedang nekcun menunggu urusan itu diselesaikan, sempat nekcun bersembang-sembang dengan seorang wanita yang bertugas sebagai guru yang juga sedang berurusan di kaunter yang sama dengan nekcun.

"Pembantu rumah asing!.. Pada fahaman kakak, apa makna sebenarnya papan tanda tu?" tiba-tiba wanita tu bertanya.
"Itu menunjukkan kaunter untuk urusan berkaitan Pembantu rumah warga asing!.." jawab nekcun selamba namun agak tertanya-tanya mengapakah wanita itu bertanya begitu.
"Hah!.. Itu baru betul. Ia sepatutnya di tulis sebagai Pembantu Rumah Warga Asing, bukannya hanya Pembantu Rumah Asing!... Ia boleh mengelirukan jika disebut dalam intonasi yang berbeza... Apa yang asing? Pembantu ke rumah yang asing?... Tetapi kalau di tulis sebagai Pembantu Rumah Warga Asing, walaupun disebut dalam intonasi yang berbeza-beza, maksudnya tak lari, tetap sama iaitu berkenaan pembantu rumah warga asing!... Kakak dapat tak apa yang saya maksudkan?.." wanita itu berkata sebelum bertanya kembali pada nekcun.

Perlahan-lahan nekcun cuba menyebut perkataan2 itu beberapa kali dengan intonasi yang berbeza. Memang tepat apa yang dikatakan oleh wanita itu. Dan akhirnya nekcun menyetujui apa yang dipertikaikannya itu.

"Inilah akibatnya apabila kita sering ambil mudah akan penggunaan Bahasa Melayu/Kebangsaan yang betul. Ia boleh mengelirukan dan memberi makna yang salah kepada orang yang tidak tahu!.. Sebagai Pejabat Kerajaan, sepatutnya perkara sebegini tidak harus terjadi!.." wanita itu terus memberikan pendapatnya.

Nekcun hanya mampu mengangguk kerana hakikatnya memang nekcun setuju benar 100% dengan apa yang dikatakan oleh wanita itu. Sebagai Jabatan Kerajaan, sepatutnya ia harus menunjukkan contoh yang betul kepada orang awam dengan menggunakan tatabahasa yang betul dan tepat. Adakah ini boleh terjadi disebabkan sifat sambil lewa pegawai-pegawai berkenaan terhadap penggunaan Bahasa Melayu / Kebangsaan atau pun disebabkan memang mereka tidak faham tatabahasa Bahasa Kebangsaan yang betul kerana ianya agak kurang ditekankan ketika di Pusat-pusat Pengajian Tinggi? Siapakah yang harus dipertanggung jawabkan dalam perkara ini?...

Eeemm... entahlah!.. Nekcun pun tak berani nak komen macam-macam kerana Nekcun hanyalah seorang rakyat marhain yang biasa-biasa sahaja dan bukanya bijak pandai atau Professor-Professor atau YB Menteri-menteri yang sering melaung-laungkan bahawa rakyat Malaysia perlu memantapkan Bahasa Kebangsaan demi menegakkan maruah bangsa dan negara!... Bagaimanapun, sebagai rakyat yang cintakan tanahairku Malaysia, nekcun agak emosional apabila Bahasa Kebangsaan diremeh-remehkan...   

2 comments:

maza said...

setuju dgn pendapat nekcun..

lagi2 hari ini perasmian UTC di Puduraya..

tak boleh ke gunakan bahasa Melayu sepenuhnya... aderkkk

UTC = Urban Transformation Center..

tak boleh ke gunakan bahasa Melayu; Pusat Teransformasi bandar = PTB?!

Begitu juga dgn perkataan Greater KL.. aderkk?!

Pendek kata pak2 menteri itu sedar tak apa yg diperjuangankan?! Siapa yg membunuh bahasa Melayu?!

Perlembagaan 152 kata lain, dasar lain, perlaksanaan lain.. 'janji hapa ni?"

oppsss: maza pulak hangin satu badan. hehehe

dkama said...

kacang dah lama lupakan kulit.... sesetengah dari kita dah lama ikut kacang... sesetengah dari kita terpinggir macam kulit... sesetengah dari kita ada di tengah tengah antara kacang dan kulit... Di mana kita?

PEACE