Memandangkan kami sedang bercuti agak jauh, maka nekcun juga tidak akan menjawab telefon yang nombornya tidak di register dalam contact list kami. Jadi nekcun membiarkan sahaja deringan itu berhenti sendiri.
Tidak sampai 5 minit, telefon atok berdering lagi dan nombor yang sama seperti tadi tertera lagi. Nekcun biarkan lagi dan ianya berlarutan sehingga empat kali.
“Jawablah telefon tu, tanya dia sape dan nak apa! Nampak macam urgent sangat!” Atok menyuruh nekcun apabila telefon itu berdering lagi untuk kali kelima.
“Hello, Assalamualaikum!”
“Mualaikumsalam, ini telefon Haji ke? Ini isterinya ke?”
“Ya… saya!... siapa ni?” tanya nekcun agak suspence kerana mendengar suara pompuan dalam telefon tu.
“Eemmm… saya Minah (bukan nama sebenar) isteri Dollah (juga bukan nama sebenar)… ma’aflah menganggu Hajjah, saya cuma nak pastikan ini betul ke nombor telefon Haji…” katanya agak gugup.
“Ya, puan Minah... ini saya, Hajjah. Puan nak cakap dengan Haji ke?”
“Hajjah dengan Haji ada di mana sekarang?”
“Kami sekeluarga sedang bercuti. Itulah Haji tengah main dengan cucunya, jadi tak angkat telefon tadi…”
“Oh… ma’aflah… cuti dalam M’sia ke di luar M’sia ni…?”
“Kenapa pulak?”
“Kalau luar M’sia, nanti saya telefon lainlah bila dah balik nanti. Takut nanti bil telefon melambung pulak!”
“Okeylah kalau begitu… lusa kami baliklah…” ujar nekcun sambil memutuskan talian.
Atok dengan nekcun agak terkejut juga bila mendapat panggilan dari Minah tu kerana selama ini tidak pernah dia menghubungi atok. Bagaimanapun akhirnya atok dan nekcun membiarkan sahaja isu itu sehinggalah kami balik ke rumah pada hari Rabu lepas.
Petang semalam nekcun mendapat panggilan dari Minah tu apabila dia memberitahu yang atok telah memberikan nombor nekcun kepadanya. Dia kata dia lebih senang bercerita dengan nekcun dari dengan atok, tetapi semasa dia menelefon awal tu, dia tengah buntu dan tidak tahu pada siapa dia hendak memohon pertolongan.
Dari perbualan itu, nekcun baru tahu rupanya dia baru mendapat tahu yang suaminya sedang ‘bermain cinta terlarang’ dengan wanita lain. Dia boleh mengesan perkara itu bila mendapati terlalu banyak SMS dan panggilan dari wanita itu dalam bil telefon suaminya. Sehingga, ada waktu-waktunya pukul 3 pagi pun mereka ada berhubungan. Apabila dia ‘confront’ dengan suaminya, suaminya kata bahawa nombor itu adalah nombor kekawan golfing mereka. Tapi Minah lebih cekap, dia telah telefon nombor itu dan telah ‘confront’ dengan wanita itu dan dia pun dah mengaku segalanya. Sebab itulah Minah telefon atok untuk mendapatkan pengesahan kerana suaminya itu adalah kekawan atok juga.
Apabila nekcun ceritakan hal itu pada atok, mengucap panjang atok dibuatnya!...
“Mengapa bang?” nekcun bertanya.
“Jadi betullah apa yang kami sangkakan selama ini!” balas atok.
“Sangkakan apa?”
“Memang betul mereka ada hubungan sulit!...”
“Siapa?” nekcun tambah bingung.
“Dollah dengan Zenah… (bukan nama betul)” jawab atok seolah terkilan.
“Oh!... Zenab tu ke?...” nekcun juga turut terkejut.
Atok hanya mengangguk. Nekcun lagilah terkilan yang amat-amat kerana nekcun memang mengenali kesemua mereka itu dan memang selama ini kami semua berkawan rapat melalui suami masing-masing. Malah Minah dengan Zenab juga saling kenal mengenali agak rapat.
Eeemmm… nekcun tak mahulah nak cerita panjang pasal kisah ‘cinta terlarang’ ni kerana ia amat menyakitkan hati bagi isteri yang terkena perbuatan khianat suaminya itu. Sebagai seorang isteri, nekcun faham benar perasaan Minah. Iyalah… dalam keadaan umur-umur “rumah kata pergi, kubur kata mari” pun suaminya masih sanggup mengkhianati perkahwinan yang telah terjalin lebih dari 30 tahun.
Entahlah!... nekcun pun kekadang tak faham, apalah sangat yang di cari dek suami-suami yang sebegini. Tidak kah kau ingat segala kebaikkan isteri kamu selama ini? Kalau kamu mencari yang lebih muda, tidakkah isteri kamu juga dulu pernah muda dan kekasih baru mu itu juga nanti akan tua juga. Lagi pun, kamu tu pun kan dah tua Bangka juga!.. Tak malukah pada anak cucu bila mereka tahu perangai ‘gatal’ kamu itu?
Nekcun hanya mampu menasihati Minah agar bertawakal dan memohon pertolongan Allah agar rumah tangganya kembali bahgia. Nekcun suruh juga dia beritahu suaminya, adakah tidak suaminya berfikir sedemikian:-
1) Sekiranya dia meneruskan dengan episode cinta terlarang itu, tidakkah dia tahu yang dia sebenarnya dalam kerugian.
2) Dia akan kerugian bila dia hilang kepercayaan dan rasa hormat serta kasih sayang isteri, anak, menantu dan cucunya kelak kalau mereka mengetahui perkara tersebut.
3) Dia akan kerugian apabila dia hilang maruah diri dan rasa hormat dari kawan-kawan yang selama ini menghormatinya.
4) Dia akan kerugian apabila dia terus menanggung dosa kerana menipu isteri dan anak-anak selama ini.
Entahlah… nekcun macam rasa dah malas nak fikir soal-soal begini. Nekcun bukan nak salahkan lelaki sahaja, tetapi... juga kaum wanita yang tidak tahu menilai maruah diri sendiri. Tidakkah wanita-wanita yang suka ‘merampas hak orang ini’ terfikir bahawa kalau hari ini lelaki itu boleh meninggalkan isterinya kerana dia, maka tidak mustahil satu hari nanti lelaki itu juga akan meninggalkannya untuk wanita lain.
Wahai kaum sejenisku… janganlah kita sakiti hati kaum kita sendiri… dan wahai kaum lelaki, sayangilah dan kasihilah isteri anda yang telah banyak berkorban melahirkan zuriat anda… janganlah disakiti hatinya. Bagaimana anda rasa, kalau anda di tempat isteri anda itu?...
Bukan niat nekcun mahu ‘mengharamkan yang halal’ tetapi, kalau mahu membuat juga, ikutlah cara yang sebenarnya mengikut sunnah Rasullullah, bukannya hanya kerana mengikut naluri kelakian kamu… Kepada kaum lelaki, nekcun minta ma’af sekiranya entry kali ini agak emosional dan mungkin mengguris hati kalian, tetapi marilah berfikir secara waras dan fikirkanlah segala implikasi yang akan timbul dari perbuatan itu…
Harap ma’af sekiranya ada kekawan bloggers yang terguris rasa akan N3 nekcun kali ini…