Tuesday, August 26, 2008

Ramadhan Al-Mubarak dan Hari Kemerdekaan ke 51


Sempena dengan kedatangan Bulan Ramadhan Al-Mubarak tiga empat hari lagi, sukacita nekcun memohon ma'af dari semua kekawan yang mengenali nekcun. Iyalah... kekadang nekcun ni kalau dah seronok bergebang, tak sedar juga kata-kata yang dibicarakan. Jadi, di bulan yang penuh keberkatan ini suka nekcun memohon ma'af sekiranya ada bicara nekcun yang telah menyinggung perasaan kekawan, kerana yang baik itu semuanya dari Allah dan yang buruk itu dari nekcun...


Berkesempatan dengan menjelangnya hari Kemerdekaan tanahair kita Malaysia pada 31 Ogos 2008 ini, nekcun juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia. Sayangilah negara tempat tumpah darah kita ini... walaupun terdapat pergeseran pendapat dan perbezaan idealogi politik yang sedang rancak melanda Malaysia sejak kebelakangan ini, namun kita sepatutnya masih perlu bersyukur kerana negara kita masih lagi aman dan makmur.


Di sini suka nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga mengajak semua kekawan untuk bersatu padu mengukuhkan ukhwah antara kita demi mencari keberkatan Ramdhan yang akan menjelang disamping kita me'Merdeka'kan diri kita dari unsur-unsur negatif yang boleh melemahkan amalan-amalan kita di dalam menegakkan hukum Islam yang syumul. Marilah kita eratkan siratulrahim antara kita kerana orang yang memutuskan siratulrahim sesama insan akan Allah tutupkan pintu syurga baginya.


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK DAN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE 51.




Friday, August 22, 2008

Cappuccino ke Kopi Cina?


Tengah hari tadi kawan lama nekcun datang menziarahi nekcun di pejabat. Kebetulan dah masuk waktu makan, jadi nekcun pun ajaklah kawan nekcun tu pergi cafe yang ada di bawah pejabat nekcun. Bolehlah kami sembang sambil makan minum, baru syok!…
“Hei… ko nak makan apa?”
“Entah!... sebenarnya aku dah kenyang. Aku nak minum ajer” jawab kawan nekcun.
“Ko nak minum apa?” nekcun tanya kawan nekcun lagi.
“Apa ada?”
“Semua ada… teh, kopi, nescafe, cappuccino pun ada!” jawab si pelayan cafe.
“Apo? Kopi Cino pun ado?” kawan nekcun sengaja memandang tepat ke mata pelayan tu dengan loghat N9 nya, seolah kagum dengan kelebihan di restoran itu.
“Ada… panas ada, ice blended pun ada…” pelayan cafe tu mempromosikan lagi menu yang ada di cafe itu.
“Okey… kalau gitu, bagi saya Kopi Cino satu! Aku nak raso macam manolah kopi Cino kat sini!...” jawab kawan nekcun.
“Okeylah… cappuccino dua! Saya pun nak minum sajer” tambah nekcun kerana sebenarnya nekcun pun dah kenyang juga. Cuma nak ajak kawan nekcun minum-minum sahaja.
Tak lama kemudian pelayan pun datang membawa dua cawan cappuccino untuk kami. Tanpa membuang masa, kawan nekcun pun minum air yang ada di depannya. Baru seteguk dia meminum, hampir tersembur air cappuccino tu dari mulutnya.

“Alamak!... apo pahit bonar kopi Cino nih? Setahu aku teh Cino ajo tak bergulo, rupanya kopi Cino pun tak bergulo jugak ko?” sergah kawan nekcun sambil membeliakkan matanya pada pelayan cafe tadi seolah mamat tu telah melakukan kesilapan. Kesihan nekcun tengok mamat tu terkejut dengan sergahan itu.

“Hei… apa pulak pahit! Memang inilah rasa C a p p u c c i n o, cik kak ooi!” sanggah nekcun sambil tergelak bila pelayan restoran telah meninggalkan meja kami.

“Aku tahulah!... sengaja aku nak usik mamat tu!... handsome beb!...biar dia ingat kat aku…Mesti dia ingat aku ni tak pernah minum cappuccino kan?” balas kawan nekcun sambil turut tergelak dan menepuk bahu nekcun.

“Cantik benorlah ko punya ingat!... silap haribulan dia ingat ko ni datang dari hulu mana, hinggakan cappuccino dengan kopi Cina pun kau tak tau!...” nekcun berleter sekejap.

“Eh!… ada ke kopi Cina?” tiba-tiba kawan nekcun bertanya seolah hairan pulak.
“Laaa… kan ko yang mintak tadi, tak kan ko tak tahu?” nekcun tempelak balik kawan nekcun yang suka pot-pet-pot-pet tu.
“Hei… tu aku sajer nak ngusik mamat tu, tak sangka pulak betul ada kopi Cina…” jawab kawan nekcun.
“Kalau dah orang Cino yang bancuh kopi tu, kopi Cino lah namonyo… apo susah bonar ko nak cari samado ado ke tak kopi Cino tuh?” nekcun mengajuk loghat N9 kawan nekcun.
“Banyaklah ko punya Kopi Cino!… “ kawan nekcun menepuk bahu nekcun, lalu kami berdua ketawa berdekah-dekah.
Sekali sekala seronok juga kalau dapat kenakan kawan macam tuh!… hehehe…

Wednesday, August 20, 2008

Hukum atau Fesyen?



Ketika mahu bertolak ke ‘B’ tempoh hari, anak nekcun yang bungsu sempat berpesan untuk mencarikannya tudung yang sesuai untuk dipadankan dengan warna baju hari rayanya nanti kerana di sana terdapat banyak kain-kain tudung yang berbagai jenis dan cantik-cantik disamping harganya yang murah.

“Alaahhh… kalau takat nak cari kain tudung, kat KL ni pun berlambak!” ujar nekcun. Malas nak tercari-cari yang sesuai nanti kerana tahu sangat perangai cerewet anak nekcun yang sorang ni.

“Eeeemmm… tak sama macam beli kat sana!” jawabnya sambil memuncungkan mulutnya. Merajuklah tuh!...

“Okey… nanti ayah carikan…” segera atok menyampok bila melihat anak kesayangan dah memuncung.

Memang begitulah selalunya… bila nekcun tak beri, atok pulak yang beriya-iya nak beri. Akhirnya si montel nekcun ni pun mulalah menjadi-jadi manjanya! Mungkin sebab anak bungsu kot!... betul ke semua anak bungsu manja begitu? Entahlah… sebab nekcun ni anak sulong, selalu tegas terhadap adik-adik dan terikut-ikut pula pada anak-anak, jadi bila anak bungsu sendiri manja-manja begitu, rasa rimas pulak!... Tapi bila atok dah layan begitu, nekcun ikut sajerlah!...

Bila cerita pasal pakai tudung nih, nekcun teringat satu seminar bagaimana nak mengikat tudung supaya nampak cantik tetapi tetap menutup aurat, yang pernah nekcun hadiri sedikit masa dulu. Kekadang, terfikir juga dihati nekcun, apakah motif sebenar kita memakai tudung kepala? Nak nampak cantik atau untuk menutup aurat? Nekcun pun tak berani nak jawab soalan ini kerana nekcun sendiri hanya mula benar-benar memakai tudung dalam tempoh hampir sedekad ini sahaja iaitu sejak nekcun kembali dari mengerjakan Ibadah Haji yang pertama dulu. Memang nekcun rasa berdosa sangat kerana masih jahil dengan hukum menutup aurat sebelum itu. Semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa nekcun di atas kejahilan itu.

Tetapi sekarang kita boleh lihat hampir 80% wanita Islam di negara ini memakai tudung kepala. Tak kiralah macam mana gayanya, tetapi apa yang penting aurat yang perlu ditutup tetap ditutup. Nekcun sendiri kekadang seronok melihat bermacam-macam gaya tudung dipakai. Tapi nekcun tetap pakai gaya yang sama walau ke mana kerana tak sempat nak berlama-lama di depan cermin… Bagaimanapun nekcun tetap bersyukur kerana Allah telah menurunkan hidayahnya pada nekcun supaya segera bertaubat dari kejahilan dulu, walaupun kekadang nekcun rasa masih belum sempurna.


Nekcun berharap sangat, di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita semua umat Islam di Malaysia ini akan mendapat keberkatan dan Rahmat Allah di dalam memperbaiki amalan kita dan juga memerdekakan diri kita dari sebarang kejahilan di dalam menegakkan hukum-hukum Islam yang syumul. InsyaAllah!...



p/s: Geli hati juga bila tengok gambar nekcun baru mula belajar pakai tudung dulu...hehehe...

Thursday, August 14, 2008

PUASA ATAU HARI RAYA YANG KITA TUNGGU?

Dua tiga hari ni kerja di pejabat amat-amat menekan perasaan nekcun. Tengah hari tadi nekcun sampai tak sempat nak keluar ‘lunch’ kerana kena siapkan Business Plan 2009 yang perlu dikemukakan ke Unit berkaitan sebelum hujung minggu ini. Nekcun hanya sempat kirim pada staff beli buah dan sandwich untuk lapik perut.

“Hai nekcun… diet ke makan buah sahaja tengahari? Nak kurus macam mana lagi? Cukuplah tu… takut nanti abe pelok rasa tulang ajer!” usik kawan baik nekcun yang selalu datang nak bergebang ngan nekcun waktu lunch.

“Bukan diet tapi tengah practice untuk bulan puasa!” balas nekcun selamba.

“Oh iya lah… lupa pulak kita dah nak puasa lagi dua minggu! Eemmm… baju raya tak tempah lagi. Takut nanti tailor pun tak nak ambil dah!…” kawan nekcun terus merungut.

“Alaah… apa susah nak tempah-tempah baju… sekarang kan dah banyak baju dah siap, pilih sahajalah!” nekcun menyarankan.

“Badan macam aku ni nak beli baju dah siap? Takut satu komplek aku cari tak dapat saiz… lainlah macam engkau tu… pi tang mana pun, senang nak cari saiz!” ujarnya seolah rasa terkilan.

“Hei… bila dah puasa sebulan nanti, mesti engkau kurus. Jadi apa salahnya engkau beli baju yang kecil sikit. By the time hari raya, tentu engkau dah muat pakai…” saran nekcun.

“Banyaklah engkau punya kurus!… Bulan puasa lagi badan aku selalu naik kerana makan macam-macam, sebab bulan puasalah kita boleh dapat makanan yang selalunya tak ada tapi akan ada di jual semasa bulan puasa sahaja!… Itu belum lagi dengan kueh raya yang entah apa-apa jenisnya tuh…” kawan nekcun terus mengomel.

“Hai makcik-makcik… puasa pun belum dah sebuk cerita pasal kueh rayalah, baju rayalah… entah-entah puasa pun tak cukup, tapi persiapan raya mengalahkan orang berpuasa setahun! Orang sepatutnya fikir macam mana nak memanfa’atkan bulan puasa kali ini, bukan kira nak enjoy raya sahaja!” tiba-tiba kami dikejutkan oleh komen rakan sekerja yang kami gelar ‘jejaka tampan se Malaysia’ yang juga selalu suka datang ke meja nekcun kalau ada waktu terluang.

“Alaaahh… you dok komen kita orang, entah-entah isteri you pun cam tu jugak!” nekcun membidas.

Terfikir juga di hati nekcun akan kebenaran apa yang dikatakan oleh ‘jejaka tampan’ tu… memang selalunya begitulah kita orang perempuan… kita akan lebih sebuk berfikir macam mana nak menyambut hari raya dari bagaimana nak membaiki ibadah puasa itu sendiri. Walaupun Islam menyarankan agar kita bersederhana ketika menyambut hari raya, tetapi selalunya kita akan bertindak sebaliknya sehingga ada yang sanggup berhutang untuk menyambut hari raya.

Tetapi adakah salah kaum wanita sahaja? Nekcun rasa, peniaga-peniaga juga perlu dipersalahkan. Contohnya, walaupun bulan puasa belum pun tiba tapi telah banyak ‘mega sales’ yang menggunakan kemeriahan hari raya sebagai gimik promosi jualan seperti di Court Marmoth. Jadi mengapa mesti wanita sahaja yang dikaitkan dengan kegairahan menyambut hari raya?

Dalam keadaan ekonomi dan inflasi yang tidak menentu sekarang ini, perlukah kita berbelanja besar untuk menyambut hari raya? Entahlah… nekcun tak berani nak jawab kerana nekcun sendiri dah cadang pada atok untuk pergi shopping di “B” hujung minggu nih (nekun ambil cuti hari Isnin) dan atok telah pun setuju dengan cadangan nekcun itu…

Tuesday, August 12, 2008

Apa lagi yang boleh diwasiatkan kepada anak cucu kita?

Apabila YB Tan Sri Menteri Besar Selangor mencadangkan agar UiTM juga dibuka kepada Bukan Bumiputra, hati nekcun tiba-tiba jadi sedih. Geram pun ada juga. Walaupun telah agak lama nekcun meninggalkan UiTM dan telah pula ke lain-lain Universiti untuk menuntut ilmu, namun kasih nekcun pada UiTM tetap utuh. Maklumlah bak kata orang “cinta pertama memang susah nak dilupakan’.

Bagi kita orang Melayu, UiTM merupakan tunggak tempat anak cucu kita menangguk ilmu untuk berdaya saing dengan orang lain. Memang ada banyak menara gading di Malaysia ini, tetapi ianya tidak sama dengan UiTM. Tanya sahajalah kepada semua alumni UiTM, pastinya mereka merasa sedih, marah dan geram apabila satu-satunya lagi hak Melayu yang tinggal juga mahu dikongsi dengan “orang lain”. Tambahan pula orang lain itu bagaikan bagi betis nak kan peha. Sanggupkah kita membiarkan maruah kita tergadai dengan memberikan ‘peha’ kita yang sentiasa jadi idaman mereka.

Nekcun masih ingat semasa selepas SPM dulu, ada beberapa orang kawan-kawan nekcun yang lebih bernasib baik kerana mereka boleh masuk terus ke Universiti melalui “matrikulasi’ iaitu satu-satunya lorong yang memberi ruang kepada anak Melayu untuk memasukki menara gading tanpa bersaing dengan “orang lain”. Tetapi, sekarang lorong itu juga telah kita kongsikan dengan “orang lain” yang tak puas-puas mahu merebut hak kita. Tak tahulah sampai bila mereka mahu menyakiti hati dan perasaan kita!…

Kekadang, nekcun terasa nasib kita orang Melayu ini tak ubah seperti “bawang putih yang sentiasa di dengki oleh bawang merah”. Padahal bapa kita adalah orang yang berkuasa, tetapi oleh kerana telah tergoda dengan pujuk rayu dan tipu muslihat emak si bawang merah, sehingga bapa kita tidak menyedari kita (orang Melayu) anaknya sendiri terseksa dan hak kita yang diwasiatkan oleh ibu asal kita hampir semuanya tergadai.

Pernah juga nekcun terfikir, mungkinkah orang-orang kita yang berkuasa itu terlalu baik dan pemurah sehingga sanggup berkongsi apa sahaja hak kita dengan orang yang dianggap ‘sahabat’ itu. Memang betul Islam menggalakkan kita umatnya supaya tidak kedekut dan rajin bersedekah, tetapi tidaklah sehingga menggadaikan maruah diri dengan berkongsi apa sahaja yang kita ada. Kalau semua telah tergadai, apa lagi yang kita ada untuk diwasiatkan kepada anak cucu kita nanti? Sanggupkah anak cucu kita nanti menjadi ‘pengemis’ di tanah air sendiri hanya kerana sikap bapa-bapa kita yang terlalu pemurah tak kena tempat!…

Wahai sahabat-sahabat nekcun… cubalah fikir-fikirkan apa yang nekcun coretkan ini dan apakah usaha kita untuk membendung si bawang merah terus menyakiti kita si bawang putih?… Marilah kita perteguhkan perpaduan ummah antara kita demi mempertahankan maruah kita. Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi yang akan menolong kita? Nekcun harap coretan rasa nekcun ini akan sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran dalam diri kita dari terus menjadi ‘si bawang putih’. Semoga Allah akan sentiasa merahmati usaha kita ini.

**p/s: Semua alumni UiTM adalah dijemput untuk menghadiri "Nostalgia UiTM" pada 15-17/8/2008 di Kampus Induk Shah Alam. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi: 019-4301741. InsyaAllah nekcun akan ke sana pada malam 15/8/08. Harap dapat jumpa kekawan semua.... Wak Khairol, engkau datang ke tidak?


Sunday, August 10, 2008

APA ISTIMEWANYA TARIKH 08-08-08?

Pagi Juma’at 08-08-08 tu nekcun rasa jalan kat rumah nekcun yang selalunya sesak kerana semua orang berebut-rebut nak pergi kerja, agak lengang pulak. Terfikir dalam hati… ke mana semua orang ni? Dah cuti sekolah ke?

Sampai di pejabat pun lebih kurang macam tu juga. Dengar sana sini ramai yang cuti. Dalam hati nekcun terus tertanya-tanya kenapa ramai orang cuti hari tu. Apa special nya hari tu…

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, telefon nekcun berdering-dering. Terdengar suara anak sulong nekcun bertanya samada nekcun dan atok boleh balik awal tak hari tu. Nekcun pun hairan juga, kenapa pulak kena balik awal kerana selama ni tak pernah pun anak-anak nekcun bertanya begitu.

Along “ Mama lupa ke hari ni birthday Ersya!”
Nekcun “Oh ya!… hari ni 8hb August 2008”
Along “So, we want to celebrate her birthday tonight… she’s 3 yrs old today!”

Segera nekcun telefon atok, beritahu yang dia pun kena balik awal kerana nak sambut harijadi cucu yang ketiga tahun pada 08-08-08. Terasa bersalah pula kerana terlalu sibuk dengan tugas pejabat yang begitu mendesak kebelakangan ini hingga hari jadi cucu yang seorang tu pun boleh terlupa. Nasib baiklah nekcun dan atok memang dah belikan hadiah untuk cucu kesayangan nekcun tu, jadi taklah terkilan sangat.

Apa yang nekcun nak coretkan kat sini bukanlah pasal harijadi cucu nekcun yang kebetulan juga jatuh pada 08-08-08 tu , tetapi adalah pengaruh nombor 08-08-08 tu kepada sesetengah golongan masyarakat kita. Ada kawan atok yang bekerja di Pejabat ugama memberitahu bahawa pada hari 08-08-08 tu kawan dia, seorang Tok Kadhi terpaksa ‘marathon’ menikahkan pasangan pengantin baru mula dari pukul 11.00 pagi sehinggalah 11.00 malam kerana semua pasangan mahu bernikah pada tarikh itu juga.

Itu belum lagi di gereja-gereja, kuil-kuil dan pejabat Pendaftaran Nikah kahwin… bersesak-sesak pasangan pengantin mahu melangsungkan perkahwinan mereka pada tarikh yang mereka anggap ‘keramat’ itu.

Sehingga ke hari ini nekcun masih berfikir-fikir kenapa ada golongan masyarakat yang begitu ‘taksub’ dengan nombor-nombor dan tarikh-tarikh tertentu? Mungkinkah ada rahsia di sebalik nombor-nombor itu? Entahlah… nekcun pun tak dapat nak beri jawapan tetapi nekcun dan atok pun kekadang terikut-ikut dengan ‘ketaksuban’ begitu bila semua kereta-kereta nekcun, atok dan anak-anak mempunyai nombor yang sama… hehehehe…bukan apa… supaya senang nak kenal… lagi pun nekcun pun ada juga darah keturunan bangsa yang suka nombor “8” tu…