“KENAPA senyap aje ni, sayang? Tak seronok
jumpa Ed ke?” usik Edham ketika mereka sedang makan malam di sebuah restoran
yang biasa mereka kunjungi.
Memang begitulah selalunya, Edham dan Nazwa akan
keluar makan berdua-duaan terutamanya kalau sudah lama tidak bertemu. Kalau
ikutkan hati, memang Nazwa agak keberatan tetapi tidak sampai hati pula untuk
menghampakan permintaan lelaki yang begitu baik dan amat memahami perasaannya
itu.
Dalam tempoh lebih setahun perkenalan mereka, belum
pernah Edham menyakiti hati Nazwa. Sebaliknya, Nazwa yang agak kasar dengan
Edham. Nazwa tahu yang Edham amat mencintainya dan dia tidak sanggup
menghampakan hasrat lelaki itu.
Sebenarnya Nazwa buntu. Tidak tahu bagaimana nak
terangkan kepada Edham. Selama ini, Edham hanya tahu yang dia sudah berkahwin
dan telah berpisah dengan suaminya. Namun pada hakikatnya, Edham tidak tahu
bahawa Nazwa sebenarnya masih terikat dengan suaminya. Ahmad Saifulrizwan tidak
pernah melafazkan talak dan mengikut hukum syarak Nazwa masih lagi isteri
lelaki itu.
Tidak ada sebarang dokumen pernikahan yang
disimpan.Malah Nazwa sendiri tidak tahu bahawa dokumen itu amat penting untuk
sebarang urusan berkaitan tuntutan perkahwinan dari segi undang-undang negara.
Dan sebab itulah Nazwa tidak pernah minta dokumen itu semasa hidup bersama
dahulu. Tambahan, pada umur 20 tahun, Nazwa tidak pernah terfikir bukti
pernikahan itu amat penting baginya.
Sehingga sekarang, Nazwa tidak boleh buat apa-apa atas
status pernikahan mereka. Dia tidak mempunyai satu pun bukti bahawa dia pernah
bernikah dengan lelaki bernama Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy. Namun dari
hukum syarak, Nazwa tahu bahawa mereka masih suami isteri yang sah kerana
lelaki itu telah menerima ijab kabul mereka secara sah di hadapan Imam Masjid
London Central di Kota Metropolitan lebih kurang enam tahun yang lalu.
“Err...tak adalah! Kenapa Ed cakap macam tu?”
“Dari tadi Ed tengok Naz senyap sahaja. Tak ceria
macam selalu. Nampak macam Naz tak rindu pada Ed walaupun dah dua minggu kita
tak jumpa.”
“Ed, siapa kata Naz tak rindu? Tapi kalau rindu pun
apa yang boleh Naz buat sekarang?” usik Nazwa sambil tersenyum nakal.
“Itulah, dah berapa kali Ed ajak Naz kahwin cepat,
tapi Naz asyik minta tangguh. Kalau tak, kita dah...” Terhenti Edham di situ.
Lidahnya kelu untuk meneruskan kata-katanya.
“Kita dah apa?” tanya Nazwa, tiba-tiba rasa seronok
mahu menduga perasaan Edham.
“Naz, Ed tahu Naz faham apa yang Ed maksudkan. Tapi
kenapa Naz mahu kita derita begini?” tanya Edham dengan nada agak lirih.
“Ed! Ooo...” Nazwa tidak mampu menjawab melainkan
mengeluh lemah sebagaimana selalu apabila Edham mendesak begitu.
Nazwa perasan Edham telah meletakkan sudu yang
dipegang. Tangannya mahu menyentuh jari-jemari Nazwa yang berada di atas meja
namun cepat-cepat dia menarik kembali tangannya apabila mendengar keluhan Nazwa
itu.
Memang begitulah Edham. Terlalu jujur dengan hubungan
sehingga tidak pernah menyentuh jari-jemari Nazwa kerana menghormati pendirian
gadis itu dalam menjaga tatasusila dan hukum agama di dalam pergaulan.
Hati Nazwa jadi amat sendu dan pilu setiap kali
melihat reaksi Edham itu. Tambahan pula lelaki itu sering menyuarakan hasrat
mahu mengahwininya. Kalaulah bukan sebab apa yang terjadi padanya hampir empat
tahun dulu, mungkin Nazwa dengan senang hati menerima lamaran Edham itu. Nazwa
sedar, tidak ramai lelaki yang jujur seperti Edham di dalam menjalinkan
hubungan.
Maafkan aku, Ed! Aku benar-benar tak berdaya sekarang,
bisik hati kecil Nazwa dengan rasa penuh sendu.
Lantaran desakan Edham yang begitu mengharap, Nazwa
terpaksa berterus terang dengan Edham mengenai dirinya yang pernah berkahwin.
Kemudian berpisah ketika belajar di UK dulu, walaupun itu adalah satu rahsia
yang tidak ada siapa pun mengetahuinya walaupun ibunya sendiri.
Pada mulanya Edham agak terperanjat namun dia amat
menghargai kejujuran Nazwa dan berjanji tak akan menceritakannya pada sesiapa
pun. Kejujuran Nazwa itulah yang menguatkan lagi cinta Edham pada wanita itu.
Sudah beberapa kali Edham menegaskan bahawa dia tidak
kisah akan status ‘janda’ Nazwa itu. Tiada siapa pun yang akan tahu bahawa
Nazwa pernah berkahwin dan kemudian bercerai ketika berada di luar negara
dahulu. Dan sebab itulah Edham tidak mahu ambil tahu siapa bekas suami Nazwa.
Baginya yang penting, adalah keikhlasannya mencintai Nazwa dan mahu mengahwini
wanita itu seberapa segera. Cinta yang hadir dalam hati Edham ketika pertama kali
menatap wajah Nazwa setahun yang lalu, adalah cinta yang amat agung baginya.
“Kenapa susah benar Naz nak terima Ed? Adakah Naz
masih tak percaya pada Ed ataupun Naz memang tak pernah mencintai Ed?” soal
Edham lagi.
“Ed, janganlah cakap macam tu. Naz amat menghargai
cinta Ed tapi...”
“Tapi apa Naz?”
“Naz masih takut akan perkara ngeri yang telah menimpa
perkahwinan Naz dulu. Naz tak berani nak menghadapinya untuk kali kedua,”
beritahu Nazwa sambil menundukkan kepala.
Dia tidak tahan dengan renungan Edham yang bagaikan
menembusi jantungnya.
“Naz, tidak semua lelaki sama. Lagipun, masa tu
mungkin Naz masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Tapi
sekarang Naz sudah lebih matang. Ed yakin kita boleh bina sebuah rumah tangga
yang bahagia kerana kita telah sama-sama tahu tanggungjawab masing-masing,”
pujuk Edham lagi.
“Tapi Ed...”
“Tapi apa Naz? Apa lagi bukti cinta kalau bukan
melalui perkahwinan?” ucap Edham seolah-olah mahu mencabar kejujuran Nazwa.
Nazwa merenung anak mata Edham. Dia tidak nampak yang
lain melainkan cinta yang luhur dalam mata lelaki itu. Hati Nazwa jadi
bertambah sendu dan pilu.
“Berilah Naz masa. Insya-ALLAH kalau ada jodoh kita,
tak ke mana.” Akhirnya Nazwa berkata perlahan, bagaikan memohon simpati.
“Ed akan beri berapa banyak masa yang Naz perlukan
walaupun seribu tahun lagi. Cuma Ed mahu Naz tahu bahawa berakhirnya sesuatu
itu, bukan bermakna tiada lagi permulaan. Permulaan yang baru mungkin akan
lebih baik dari yang telah berakhir. Lupakanlah segala yang pernah menjadi
mimpi ngeri Naz itu. Buka lembaran baru. Kita bina kebahagiaan baru bersama,”
ujar Edham, membalas renungan Nazwa dengan penuh kasih sayang.
“Ed jugak mahu cinta kita ini subur dalam keadaan yang
mendapat keredhaan ALLAH. Dan sebab itu, Ed mahu kita berkahwin secepat
mungkin. Berapa lama lagikah perlu kita menanggung derita jiwa, menahan
perasaan rindu begini? Kita bukan lagi pasangan remaja yang masih belum tahu
hala tuju kehidupan. Ed harap Naz fikirkanlah apa yang Ed kata ni,” pujuk
Edham, bagaikan tidak pernah kenal erti putus asa.
“Insya-ALLAH Ed. Doakanlah agar niat suci kita ini
akan diredhai dan dipermudahkan ALLAH.”
Dengan suara yang agak perlahan Nazwa membalas agar
Edham tidak dapat mengesani getaran yang sedang memukul dinding jantungnya.
Oh... bagaimanakah boleh aku mengahwini kau, Ed? Kalau
kau tahu keadaan aku yang sebenarnya, mungkin kau takkan desak aku begini, hati
kecil Nazwa terus merintih pilu.
Memang Nazwa amat menyenangi kehadiran Edham tetapi
sama ada dia benar-benar mencintai lelaki itu, Nazwa sendiri tidak tahu. Dia
masih belum boleh memadamkan wajah Ahmad Saifulrizwan dari ingatannya.
Cinta
pandang pertama bagi kedua-dua mereka bagaikan tidak boleh dipisahkan. Itulah
yang membuatkan mereka terperangkap dalam perkahwinan mereka dahulu.
No comments:
Post a Comment