Wednesday, February 22, 2012

Tak semua riba itu haram... betul ke?...

Hari ini nekcun memang angkat 'bendera putih' dan gelak macam nak pecah perut apabila ada peserta kuliah yang 'mengenakan' nekcun ketika nekcun sedang memperkatakan tentang keberkatan mencari rezeki, halal haram rezeki yang diperolehi dan beberapa lagi perkara yang berkaitan dengannya.

Apabila bercerita tentang halal haram rezeki, maka tidak akan terlepas isu dividend dan riba. Dalam seronok nekcun memperkatakan isu dividend dan riba itu tiba-tiba peserta yang seorang ini bangun dan bertanya sehingga membuatkan seluruh peserta kuliah terdiam.

"Hajjah, tak semua riba itu haram!.." komen peserta itu.
"Telah difirmankan di dalam Al-Quran bahawa riba itu haram, jadi kita tidak boleh menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Itu amat bahaya di dalam kita menjaga aqidah!..." nekcun cuba mententeramkan peserta itu.
"Tapi, tuan guru Dato' Nik Aziz sendiri kata yang riba itu tak haram, malah amat digalakkan bagi pasangan suami isteri yang mahu membina kebahgiaan rumah tangga!.." jawabnya penuh yakin.
"Betul ke apa yang saudari cakap ni? Apa buktinya?" soal nekcun agak curiga dengan sikap peserta itu.
"Laa... saya baca sendiri dalam surat khabar minggu lepas semasa beliau merasmikan hari suami isteri sebagai ganti sambutan hari valentine tu... Dia kata, dia selalu tidur atas 'riba' isterinya setiap kali kalau dia letih atau balik lewat setelah penat bekerja. Dia akan jadi tenang dan sehat apabila berbaring di atas riba isterinya. Tuan Guru juga menggalakkan suami-suami lain berbuat begitu. Jadi maknanya, riba sebegitu tak haramlah!.." dengan muka 'seposen'nya peserta itu menjelaskan hujjahnya. 

Nekcun tak terkata apa-apa bila mendengar hujjah peserta itu walaupun nekcun tahu dia hanya ingin bergurau dengan menggunakan perkataan 'riba' yang dimaksudkannya itu. Tidak menyangka peserta itu boleh menggunakan perkataan 'riba' itu di dalam maksud dan situasi yang berbeza dari apa yang sedang kami bincangkan!.. Tiba-tiba terasa bahawa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah apabila ada orang yang lebih bijak untuk menggunakan konsep 'think outside the box' yang selalu nekcun sarankan ketika ceramah motivasi, telah memerangkap nekcun sendiri. 

Memang betullah seperti mana yang selalu ustaz telah mengingatkan bahawa kita semua ni sebenarnya tidak pandai kerana hanya Allah yang mempunyai segala kepandaian dan maha bijaksana. Allah hanya meminjamkan kepandaian itu kepada kita untuk membolehkan kita berusaha mencari rezeki di dunia ini. Oleh itu, kita perlu sentiasa menyerahkan diri kepada Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan kerana segala apa yang kita ada atau dapat di dunia ini adalah haknya yang dipinjamkan kepada kita. Kalau Allah hendak ambil balik apa yang dipinjamkannya itu, kita tidak ada kuasa untuk menahannya... Wallahualam...

Sekadar berkongsi pengalaman, untuk menyegarkan minda dan fikiran di dalam mengingati Kebesaran dan Keagongan Allah...    

1 comment:

Ateh Nour said...

Assalamualaikum Nekcun,

Salam kenal, ada juga yang melawak masa kuliah yee..betullah sekadar menyegarkan minda...