Sunday, December 26, 2010

Eh!.. Azam kita sama?

Tahun baru Hijrah baru sahaja berlalu beberapa minggu, dan sekarang tahun baru Masehi pula akan menjengah beberapa hari sahaja lagi, namun adakah keduanya itu memberi apa-apa makna kepada kehidupan kita pada hari ini?

Itu adalah salah satu satu persoalan yang tidak semua orang boleh atau bersedia menjawabnya kerana tidak semua orang akan menghayati atau ghairah menunggu kehadiran tahun-tahun baru  itu dalam hidup mereka, melainkan hanya peningkatan angka pada umur mereka. 

Secara amnya, nekcun sendiri tidaklah terlalu ghairah di dalam menunggu kehadiran tahun baru, tidak kiralah tahun Hijrah atau Masehi kerana bagi nekcun, datanglah berapa banyak pun tahun baru tetapi kalau kita sendiri tidak menghargai atau berusaha merubah apa yang ada dalam hidup seharian kita, maka ianya memang tidak akan memberi apa-apa makna. Sebaliknya, kalau kita memang sentiasa menghargai setiap sa'at yang ada dalam hidup kita ini, maka tanpa kehadiran tahun baru pun kita pasti mengharapkan setiap hari yang mendatang itu akan memberikan sesuatu yang bermakna dalam hidup kita.

Nekcun sengaja mencoretkan isu ini kerana ramai kawan-kawan dan sahabat handai nekcun yang bertanya: "Apa azam nekcun tahun baru ni?" pada setiap kali kami bertemu dan berbicara. Sebenarnya nekcun hargai semua pertanyaan kekawan tu kerana itu menandakan mereka menyayangi nekcun dan masih mahu ambil tahu pasal keadaan kehidupan nekcun. Maka apa yang dapat nekcun katakan hanyalah... "Terus berusaha mendapatkan keredhaan dan rahmat Allah untuk ke Syurga Firdaus".   

Namun hati nekcun jadi agak sedih bila ada seorang kawan nekcun yang berkata, "Apalah nekcun ni... kita tanya pasal azam tahun baru tau, bukan pasal buat amal ibadah!.." Tapi, nekcun tidak salahkan kawan nekcun tu, kerana mungkin dia tidak dapat memahami maksud yang tersirat dari jawapan nekcun itu.

Nekcun yakin, semua orang Mukmin dan Mukminat memang bercita-cita ke Syurga Firdaus kerana itulah syurga yang paling istimewa, namun tidak semua orang boleh ke sana kalau tanpa keredhaan atau rahmat dari Allah SWT. Dan untuk mendapatkan keredhaan dan rahmat Allah, kita perlu terus bertakwa dan berusaha mendapat 'kasih sayangNya' setiap masa tanpa mengira hari, bulan atau pun tahun dengan mengerjakan amal ibadah yang disyariatkan Nya.  

Maka, di dalam kehidupan harian, nekcun selalu menggunakan konsep yang sama. Pastinya semua orang mahukan kehidupan yang terbaik segalanya, bagaikan apa yang terdapat di Syurga Firdaus. Oleh itu, untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan (simboliknya Syurga Firdaus), kita perlu terus berazam dan berusaha mencari serta mendapatkan kebaikkan itu pada sepanjang masa, dan bukannya hanya pada masa-masa tertentu sahaja.

Dan dengan sebab itulah nekcun membuat azam pada setiap hari dan setiap masa dan bukan pada ketika menyambut tahun baru sahaja, kerana azam yang dibuat pada waktu-waktu tertentu mungkin akan mudah dilupai sekiranya tindakan yang perlu diambil bagi memastikan azam itu dilaksanakan memerlukan tempoh masa yang tertentu.

Bagi nekcun, setiap hari yang dapat kita temui di dunia ini adalah hari yang amat berharga di mana kita perlu membuat azam dan terus melaksanakan azam itu selagi kita masih bernyawa kerana azam yang kita buat semalam mungkin tidak sebaik azam yang kita buat pada hari ini. Contohnya: "Hari ini aku mahu solat sekurang-kurangnya 30 raka'at (solat wajib + sunat) atau pun, hari ini aku mesti membaca sekurang-kurangnya 2 muka surat Al-Quran!". Dan untuk ke esok harinya, mungkin kita perlu membuat azam yang lebih baik lagi bagi menambah amalan kita itu sekiranya kita terus mahu menjadikan Syurga Firdaus sebagai destinasi yang kita tuju. Maka konsep yang sama juga perlu dilakukan bagi mencapai kehidupan yang terbaik ketika di dunia ini.

Memang nekcun tidak dapat nafikan bahawa "Syurga Firdaus" memang adalah destinasi yang nekcun cita-citakan bagi kedua-dua kehidupan iaitu ketika di dunia yang fana ini dan juga ketika di akhirat kelak. Maka untuk mencapai cita-cita itu, nekcun perlu memastikan yang nekcun mempunyai azam setiap pagi ketika bangun dari tidur dan perlu melaksanakan semua azam itu pada hari yang sama kerana bagi nekcun, azam yang dibuat semalam sudah tidak memberi makna pada hari ini kerana keupayaan kita pada hari ini mungkin sudah tidak sama dengan keupayaan kita semalam.

Bagaimana pun, apa yang nekcun coretkan ini hanyalah pendapat peribadi nekcun sendiri. Tidak berkait samada dengan yang hidup atau yang mati... sekadar ingin berkongsi pendapat. 

Dikesempatan ini juga nekcun ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua kekawan yang sentiasa nekcun kasehi. Semoga semua azam dan cita-cita kekawan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah dan semoga kita semua berjaya ditempatkan di "Syurga Firdaus". InsyaAllah. 

4 comments:

sal said...

Assalamualaikum NEKCUN..
Syahdu sangat tazkirah kakakku di petang ni..teringatkn diri ini terkadang alpa dengan keasyikan duniawi..mekasih nekcun..moga2 kehidupan kita sentiasa dirahmati dn diberkati Allah..

Anonymous said...

Salam Nekcun,

Err.. azam ?

Tie tak ada azam baru, cuma harapan je..

chekdenoor said...

Salam,

Selamat Tahun Baru 2011.
Mudahan kita semua sentiasa dalam keberkatan ALLAH.

Nek Cun said...

Salam Sal, sekadar ingat mengingati..."berpesan-pesanlah walau pun sebaris ayat"...

----

Salam Tie, harapan yang diiringi dengan do'a dan takwa adalah lebih baik dari azam yang selalu dilupakan di separuh jalan...

---

Salam Deknoor, InsyaAllah... semoga kita semua sentiasa akan mendapat rahmat dan keberkatanNya...