Wednesday, June 30, 2010

Baju Raya atau persediaan puasa?...

Oleh kerana nekcun ada hal sedikit di SUK pagi tadi, maka nekcun tidak ikut kekawan lain makan tengahari, sebaliknya nekcun makan sendiri selepas urusan di SUK selesai.
Kalau makan berseorangan begitu memang biasalah nekcun suka ambil tempat yang agak tersorok jadi tak adalah nampak canggung sangat sebab sorang-sorang.
Tengah nekcun sedap menyuap nasi ke mlulut tiba-tiba nekcun terdengar suara isteri satu couple yang duduk di meja sebelah nekcun mengomel pasal tukang jahit yang dah tak mahu ambil bajunya untuk disiapkan sebelum raya. Si suaminya, nekcun tengok buat selamba ajer bila isterinya mengomel tu.

Isteri : Bang!.. macam mana ni, kalau baju raya tak ada?
Suami : Pakailah mana baju yang ada!
Isteri : Mana boleh?... Malulah!.. nanti orang ingat abang tu 'sengkek' sangat sampai tak mampu nak belikan Ayang baju baru!
Suami : Memang betul pun abang sengkek!... nak buat macam mana?
Isteri : Hish!.. tak baik tau abang cakap macam tu!... nanti elok-elok duit banyak, hilang pulak!
Suami : Sebab abang takut Allah marah dan ambil balik rezeki kita, maka abang tak mahu Ayang sibuk-sibuk pasal baju raya tu!
Isteri : Abang!.. apa abang cakap ni... susahlah cakap dengan abang macam ni... Tu, baju Rina dengan Shafiq pun belum cari lagi, nanti kalau shopping lambat, banyak baju yang cantik-cantik dah habis dibeli oleh orang lain!...
Suami : Itu lagi buat abang sengkek!..
Isteri : Hai!... belanja untuk anak-anak pun abang kata sengkek!... Dah tu duit gaji abang yang beribu-ribu tu abang buat apa?

Kedengaran suara si isteri telah agak tinggi sehingg nekcun boleh dengar dengan jelas.

Suami : Sebab perangai Ayang yang tak sudah-sudah sebuk pasal persiapan Hari Raya sedangkan puasa pun belum lagi... itulah yang akan membuatkan abang 'sengkek' di hadapan Allah!..

Kedengaran si suami berkata seolah mengeluh! Si isteri membeliakkan matanya seolah tidak puas hati dengan komen si suami.
Suami : Ayang!.. cubalah sekarang ini Ayang fikirkan macam mana nak membuat persiapan diri kita anak beranak untuk menyambut puasa!.. macam mana nak memastikan solat kita dan anak-anak kita betul sebelum kita mengerjakan ibadah puasa kerana tidak ada gunanya kita berpuasa kalau solat kita tidak terjaga! Jangan asyik nak sebuk pasal persiapan untuk menyambut hari raya sahaja!... Tahu tak, hari raya itu adalah hari kemenangan untuk orang-orang yang telah berjaya menjalankan ibadah puasa dengan betul!... Tapi kalau solat kita pun asyik ada yang 'missed', macam mana kita nak berjaya dalam ibadah puasa?

Isteri : Eh!.. bila pulak abang dah jadi ustaz ni!...

Suami : Itulah yang buat abang rasa 'sengkek' sangat di hadapan Allah kerana abang masih tidak berjaya membimbing Ayang menjadi isteri yang solehah dan anak-anak kita sebagai anak yang soleh dan solehah. Mungkin abang ini telah terlalu memanjakan Ayang dan anak-anak dengan tidak menitik beratkan syariat Islam tetapi hanya kepada keperluan keduniaan semata-mata sahaja!...

Kedengaran si suami berkata perlahan dengan nada kesal dan wajahnya agak sugul. Kelihatan isterinya terkedu sambil menunduk tanpa berkata apa-apa.
Nekcun tiba-tiba teringat kata-kata ustaz di satu kelas yang nekcun hadiri bahawa, seorang suami yang tidak membimbing isteri dan keluarganya ke jalan yang diredhai Allah adalah seolah dia sengaja membuka jalannya sendiri ke neraka. Na'uzubillah!..
Ustaz juga berkata bahawa tidak bermakna puasa seorang Islam itu melainkan lapar dan dahaga kalau dia tidak memberatkan solatnya sedangkan solat adalah penentu bagi amalan-amalan yang lain. Sebab itulah ada dikatakan bahawa solat itu adalah tiang ugama.
Kebetulan kita sudah berada dan menghampiri bulan-bulan yang suci lagi barakah iaitu di bulan Rejab, dan kemudian bulan Syaaban dan selepas itu bulan Ramadhan, maka sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga kekawan lain agar kita saling ingat mengingati akan keperluan kita menjaga dan memberatkan solat kita supaya segala amalan-amalan lain yang kita lakukan juga akan beroleh keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT, InsyaAllah.
*** 'Sengkek' ertinya tidak berharta, jadi di sini sengkek bermakna tiada amalan yang boleh membantu atau dibawa kepada Allah ketika seseorang itu mengadapNYA kelak.

3 comments:

m.q said...

aduhhh...baik nya sang suami itu

Sitie BUm BUm said...

bg yg pompuan..puasa kalo ade tinggal tu cepat2 ganti takut tak sempat. =p

maza said...

errr. aaa ooo eeee..

mati kata2lah fulaks.. huhuhu

anyway its really good one though..