Nekcun menaikki train commuter dari perhentian Subang Jaya ke perhentian Putra. Perjalanan lebih kurang 45 minit itu memang menyeronokkan kerana macam-macam kerenah manusia yang dapat nekcun lihat.
“Kakak nak pergi mana” seorang lelaki berumur tiga puluhan yang duduk di sebelah nekcun menegur.
“Ke PWTC” jawab nekcun ringkas.
“Oh!… ada apa? Perhimpunan Umno kan dah habis?” lelaki itu berkata lagi.
“Ada pesta buku antarabangsa, bukan perhimpunan Umno!..” balas nekcun agak bosan bila dikaitkan dengan politik.
“Oh!… ada pesta buku ya?... saya tak tahu pun!” ujarnya lagi.
“Eemmm… semua orang tahu, awak ajer yang tak tahu!” nekcun menyindirnya.
“Ada ke poster kat mana-mana atau pun publisiti dalam TV ke, radio ke?” tanyanya lagi tidak mahu mengalah.
“Ada… tapi mungkin tak banyaklah kot!…” jawab nekcun dengan rasa tidak pasti kerana sebenarnya nekcun sendiri tidak perasan samada ada ke tidak poster-poster besar atau pun publisiti secara besar-besaran mengenai pesta buku itu di TV atau di radio.
“Itulah mereka ni… bila pesta yang melibatkan ilmu macam ni, sikit ajer publisitinya… tapi kalau pesta yang melibatkan selebriti, pesta yang boleh menghayalkan penontonnya, bukan main lagi besar-besaran publisitinya!.. sampaikan anak-anak kecil dan atok nenek pun tahu ada pesta!..” lelaki itu mengomel.
Eemm… entahlah!… nekcun tak berani nak komen sangat pasal ni… tetapi, bila difikir-fikirkan balik, ada juga betulnya kata lelaki tu, kerana dari apa yang nekcun sedar, tak banyak publisiti pasal pesta buku ini di dalam TV atau pun radio, begitu juga di dada-dada akhbar. Kalau kita tidak peka, pasti akan terlepas pandang. Mungkin juga lelaki itu jenis yang tidak peka akan perkara-perkara sedemikian.
Tetapi lain pula cara publisitinya kalau pesta yang melibatkan selebriti, contohnya festival filem atau acara melibatkan anugerah-anugerah kepada penglibatan artis atau selebriti, semua media elektronik dan media cetak seolah berlumba-lumba membuat publisiti mengenainya. Orang yang tidak peka pun pasti tidak akan terlepas pada publisiti yang disiarkan.
Kekadang terfikir juga oleh nekcun, adakah penulis atau pengkarya tidak layak untuk diberi publisiti sebagaimana publisiti yang diberikan kepada selebriti? Adakah kehebatan dan glamour dunia seni ini hanya layak dimilikki oleh gulungan selebriti sahaja dan tidak kepada penulis-penulis atau pengkarya yang juga merupakan salah satu cabang seni?…
Emm… entahlah!… kekadang terasa gak yang dunia penulisan ni dianggap bagaikan ‘second class’ sahaja di dalam mencorakkan dunia seni di Malaysia ini. Adakah mungkin satu hari nanti akan ada pesta anugerah di mana penulis-penulis dan pengkarya akan dialu-alukan atas ‘carpet merah’ seperti di anugerah APPBH atau sebagainya?