Thursday, December 27, 2007
Kualiti atau Kuantiti
Sekali dengar, kedua-duanya memang mempunyai kelebihan tersendiri dan kekadang hubungkait yang amat rapat dalam banyak perkara yang boleh mempengaruhi kehidupan kita seharian. Tetapi kalau di analisa sedalam-dalamnya, kita pasti akan dapat mencari perbezaan kepentingan kedua perkataan itu.
Kualiti adalah sesuatu yang amat subjektif dan ianya mungkin berbeza-beza dari sorang ke seorang. Manakala kuantiti adalah sesuatu yang memang sudah tetap sejak azali. Dari seorang anak kecil yang baru belajar berkata-kata telah kita ajar untuk mengira kuantiti, sebaliknya kualiti tidak akan dapat kita buktikan secara tepat walaupun kekadang umur telah melebihi setengah abad.
Ramai yang pernah saya jumpa dan berbicara, selalu mengutamakan kualiti dalam kehidupan kerana kata mereka hidup kita ini hanya sekali, iaitu tidak ada kuantiti yang mahu dihitung. Untuk mendapat kehidupan yang berkualiti, mereka harus mempunyai wang yang banyak untuk membolehkan mendapatkan apa sahaja yang mereka atau keluarga mereka kehendakki dalam menjalani kehidupan yang hanya sekali ini. Dengan itu, maka jadilah mereka seorang yang workerholic, bekerja siang malam tanpa mengira waktu untuk mencari sebanyak rezeki yang boleh untuk mendapatkan kehidupan yang lebih berkualiti. Akan berkualitikah kehidupan mereka dengan kuantiti wang yang banyak tetapi sentiasa sibuk dengan kerja hingga tiada masa untuk bermesra bersama keluarga, saudara mara, sahabat handai atau apatah lagi untuk beramal ibadah di masjid?
Ada pula seorang kenalan saya pernah mengadu. Kalau boleh masa ini diputar kembali, dia mahu balik ke alam semasa mula-mula berumah tangga dahulu kerana katanya baru mungkin dia boleh merancang keluarga. Maksud dia, pasti dia tidak akan mempunyai anak seramai sekarang. Saya tanya, berapa orang anaknya sekarang? Sembilan jawabnya. "Oh... untungnya awak ada anak seramai itu, saya nak dapat tiga pun... seksanya, MasyaAllah!" balas saya lagi. "Untunglah kalau semuanya menjadi, tapi kalau semua hampeh, apa untungnya?" jawab beliau dengan penuh kesal. Otak saya terus berfikir lagi... kuantiti atau kualiti?
Jadi, apakah erti dan di manakah letak sebenarnya kelebihan kualiti atau kuantiti dalam kehidupan kita semua. Mungkin pembaca sekalian mempunyai lain-lain pandangan dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama untuk kebaikan kita sesama insan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Harap tuan/puan sudi untuk berdiskusi di sini.
Posted by Nek Cun at 12:10 2 comments
Monday, December 10, 2007
Kena Kahwin Paksa @ Kena Paksa Kahwin
DAPATKAH kita mengesani di mana perbezaan antara dua kenyataan di atas! Bunyi macam sama sahaja, tetapi tentu ada kesan yang berbeza. Bukan sengaja nak mengelirukan tetapi sekadar menguji pemahaman kawan-kawan semua. (Kenyataan ini saya petik dari Tintarona.blogspot.)
Tema kahwin secara terpaksa ini sengaja saya lakarkan dalam novel saya, Menggamit Syurga Firdaus yang sudah pun berada di pasaran. Tajuk MSF sendiri sudah cukup memberi simbolik kepada keseluruhan isi cerita novel ini. Disamping Firdaus sebagai nama hero yang ditonjolkan di dalam novel ini, Firdaus juga merupakan syurga yang paling tinggi. Untuk mencapai ke syurga itu, banyak dugaan dan liku-liku yang perlu kita tempuhi. Natasha sebagai watak utama terpaksa banyak bermuhasabah diri di dalam mencapai cita-citanya di dunia ini dan juga untuk berbahgia dengan orang yang dicintai di syurga kelak.
Teka-teki yang sengaja disulam melalui teknik penceritaan boleh membuatkan pembaca terbuai oleh permainan ' hide and seek' oleh watak-watak yang dimunculkan. Insiden-insiden yang diceritakan juga akan mendorong pembaca untuk terus membaca sehingga ke penghujung cerita untuk mengetahui apakah akhirnya hubungan yang penuh misteri itu, kerana dailog-dailog yang digarap akan membuatkan pembaca tertanya-tanya, mengapakah Natasha bersikap begitu pasif terhadap orang-orang yang mencintainya, disamping beberapa watak-watak romantis yang akan turut membuai perasaan pembaca.
Saya merasakan novel ini sesuai dibaca oleh semua lapisan umur masyarakat, lebih-lebih lagi golongan remaja atau pasangan yang baru atau bercadang untuk mendirikan rumah tangga kerana beberapa mesej berguna di dalam mengharungi kehidupan serba moden dan penuh cabaran ini telah saya garapkan di dalam novel tersebut untuk dikongsi bersama pembaca. Saya yakin novel setebal 635 muka surat ini akan dapat memberikan banyak tauladan dan iktibar kepada kita semua sekiranya kita mahu berjaya di dunia dan di akhirat.
Tentu pembaca ingin tahu apakah alasan Natasha hingga terpaksa akur dengan pilihan keluarga. Mengapa Natasha bersikap pasif terhadap percintaan! Kalau pembaca ada apa-apa komen terhadap novel ini, amatlah dialu-alukan berdiskusi.
Posted by Nek Cun at 09:28 3 comments
Friday, December 7, 2007
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain!
Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain,
Sehari-hari terkenang-kenang, lama-lama jadi kahwin!!!!!
Ha! Ha! Ha!
Posted by Nek Cun at 16:11 1 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)