Monday, December 17, 2012

Haruskah kita membiarkan 'Qarun' ada di M'sia ini?

Hati Nekcun benar-benar tersentuh apabila membaca Sirah Nabi Musa apabila sampai kepada cerita berkenaan saudaranya (sepupunya) yang bernama Qarun. Nekcun yakin semua orang tahu siapa Qarun ini kan? Dia ialah orang yang kaya tetapi tamak sehingga melupakan ALLAH dan akhirnya ALLAH telah menenggelamkan dia bersama-sama semua hartanya ke dalam dasar bumi dan itulah apa yang kita kenali sekarang sebagai Tasek Qarun, di Mesir.

Hati Nekcun jadi tambah terharu apabila mengenangkan bahawa sudah ramai sekarang ini orang-orang seperti Qarun ini di negara kita. Mereka sebuk mengumpul harta sehingga lupa pada ALLAH pemilik sekelian alam ini sehingga merasakan bahawa segala kekayaan yang mereka ada itu adalah hak mereka selamanya. Mereka jadi tamak dan lupa bahawa harta yang mereka perolehi itu adalah semua hak ALLAH yang ALLAH pinjamkan sahaja kepada mereka di dunia ini. 

Dan sebab itu jugalah ALLAH memerintahkan agar orang-orang yang berharta ini mengeluarkan zakat sebahagian dari harta-harta mereka dan juga membanyakkan sedekah kepada orang-orang miskin, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka jadi tamak dan terus berebut-rebut mengumpul harta sehingga ada yang sanggup menzalimi orang lain di dalam mengumpul harta dan kekayaan. Tidakkah orang-orang seperti ini ingat apa yang terjadi kepada Qarun yang tamak itu?... Nekcun rasa bukan mereka tidak ingat tetapi perasaan tamak yang dikuasai oleh syaitan itu lebih kuat mempengaruhi nafsu mereka daripada iman yang dapat mengawal mereka dari terus kesesatan... Mereka jadi lupa akan kisah Qarun yang telah dilaknat ALLAH... Na'uzubillah...

Suka Nekcun berkongsi pasal cerita siapa Qarun ini sebenarnya. Pada asalnya Qarun ini adalah seorang yang amat rapat dengan Nabi Musa dan ta'at kepada perintah ALLAH. Di masa sahaja Nabi Musa bersolat, Qarun pasti ada di sebelahnya. Memandangkan kehidupan dia yang terus miskin walau pun bekerja keras, Qarun telah memohon kepada Nabi Musa supaya mendo'akannya agar ALLAH akan memberi kekayaan kepadanya. 

Di hadapan Tasik Qarun di Fayyoum, Mesir.
Pada awalnya Nabi Musa agak keberatan dan menasihati Qarun bahawa walaupun miskin tetapi dia adalah lebih baik jika dia sentiasa mendapat keredhaan dari ALLAH. Bagaimana pun Qarun terus merayu dan mengaku bahawa dia akan tetap mentaati ALLAH walaupun kalau dia sudah kaya kelak dan dia juga berjanji bahaya dia pasti akan menolong Nabi Musa untuk terus menegakkan ugama yang diredhai ALLAH dengan kekayaan yang akan diperolehinya jika Nabi Musa mendo'akan agar ALLAH memberikan kekayaan kepadanya.

Dengan berkat doa Nabi Musa dan ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah pun memakbulkan permintaan Qarun itu. Dari beberapa ekor kambing yang dipeliharanya, ia terus berkembang dan bertambah-tambah hartanya. 

Daripada asalnya Qarun yang tidak pernah tinggal hadir mengerjakan solat berjemaah setiap waktu bersama Nabi Musa, kini dia telah mula terlewat beberapa kali kerana kesibukkan menguruskan harta-hartanya dan lama kelamaan dia sudah mula meninggalkan solat dan tidak lagi berada di sebelah Nabi Musa seperti awalnya.

Bukan setakat mula meninggalkan solat berjemaah, Qarun juga tidak mahu membayar zakat atas harta-hartanya sebagaimana yang dinasihatkan oleh Nabi Musa. Qarun sudah mula lupa diri kerana baginya mengapa harus dia memberikan sebahagian hartanya kepada orang lain sedangkan semua hartanya itu adalah dari usahanya sendiri. Qarun sudah menjadi tamak dan dia sudah mula lupa akan kekuasaan ALLAH yang telah memberikan rezeki itu kepadanya sebelum ini. Qarun sudah tidak mahu lagi mendengar nasihat Nabi Musa dan menganggap dirinya berkuasa melakukan apa sahaja dengan kekayaan yang dimilikkinya. Qarun sudah benar-benar lupa diri dan yang lebih teruk Qarun telah lupa kepada ALLAH SWT.

Qarun lupa bahawa ALLAH adalah pemilik sekelian alam dan berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakkiNYA. Qarun lupa bahawa ALLAH yang memberi dan DIA juga boleh menarik kembali segala apa yang telah diberikanNYA. Dan ianya sudah terlambat bagi Qarun untuk bertaubat apabila ALLAH telah murka kepadanya dan menenggelamkan dia bersama-sama semua hartanya sehingga tiada siapa pun yang akan dapat menikmati harta-hartanya itu. 

Dan sehingga ke hari ini, kita umat Islam yang beriman kepada ALLAH dapat melihat kekuasaan ALLAH di dalam menghancurkan makhluk yang cuba menentangNYA di mana Tasik Qarun itu masih ada di bumi Mesir dan boleh kita lawati untuk memberi kita peringatan dan iktibar supaya tidak sekali-kali menjadi manusia yang tamak seperti Qarun.

Lanjutan dari kisah Qarun ini, sukacita nekcun menasihati diri nekcun sendiri dan juga semua sahabat handai agar kita sentiasa bermuhasabah diri setiap masa. Adakah kita selalu bersyukur dengan segala rezeki yang telah ALLAH anugerahkan kepada kita dengan menjalankan tanggungjawab kita di dalam mengeluarkan zakat dan juga sedekah dari harta-harta dan kekayaan kita?.. Barakahkah rezeki kita jika apa yang kita perolehi itu adalah atas kesengsaraan orang lain?... 

Mungkin tidak semua orang macam tu, tetapi tidak mustahil juga bahawa ramai pemimpin-pemimpin kita yang hampir-hampir menjadi 'Qarun' apabila sentiasa sibuk mengkayakan 'anak2 dan kroni' sehingga sanggup menzalimi rakyat marhain... Siapa yang peduli jika harga barang keperluan terus-terusan meningkat naik setiap hari?... Ramai anak-anak terbiar dan akhirnya meningkatkan masaalah sosial serta keruntuhan moral kerana ibu bapa sentiasa sebuk mencari rezeki bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi!... Siapakah yang harus disalahkan?... Marilah kita fikir-fikirkan dan haruskah kita terus membiarkan lebih ramai 'Qarun' berkuasa di tanah air tercinta ini?...  

5 comments:

qqueyan said...

Alhamdulillah perkongsian yang menjentik jiwa NekCun. Bila leka cari harta yg sedikit dipandang Allah, tpi byk dipandang manusia, kita jadi tamak. Nauzubillah. Peringatan buat diri ini dgn org lain juga supaya menginfakkan rezeki yg kita dapat seperti mana byk dalam surah al-quran yg Allah menyeru supaya kita berinfak. Rasulullah s.a.w sebgai role model (qudwah hasanah) hidup bersederhana tpi kuat berkerja, beribadah & berdakwah. Selalu jugak pesan diri sendiri dgn ahli keluarga yg lain, hidup biarlah cari redha Allah, bukan redha manusia (menunjuk kekayaan). Yg Maha Kaya hanya Allah, makhluk hanyalah hamba dan khalifah. Syukran NekCun.

NekCun said...

qqueyan... terima kasih di atas komen anda. Memang betul, kita sepatutnya selalu mengambil Nabi Muhamad SAW sebagai role model di dalam kita mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba di dunia yang hanya sementara ini agar kita tidak tersesat. Tapi apa yang berlaku sekarang ini ramai orang yang mengambil orang2 barat sebagai role model mereka, maka tidak hairanlah kalau mereka semakin jauh dari ALLAH SWT... Nauzubillah...

~Emaa Hasnah (^_^)~ said...

terima kasih atas perkongsian..salam singgah =)

~Emaa Hasnah (^_^)~ said...
This comment has been removed by the author.
maza said...

tak patut, tak patut ada karun di malaysia..

kalau harta karun tak apa.. heheheh