Rasa nak menangis nekcun dibuatnya apabila membaca surat khabar semalam yang mengisahkan seorang isteri di Johor yang sedang mengandung sebulan, mati kerana di kelar dan besar kemungkinan adalah perbuatan durjana suaminya sendiri.
Seingat nekcun, kisah isteri yang sedang mengandung mati akibat perbuatan durjana suaminya ini bukanlah kali pertama yang berlaku di Malaysia ini kerana sebelum ini pun pernah ada kisah seorang isteri yang mengandung mati kerana didera dan di pijak oleh suaminya sendiri, tetapi nekcun dah tak ingat di negeri mana...
Eeemmm.... mengapakah harus begitu jadinya? Adakah lelaki yang bergelar suami ini sudah tidak punya ugama atau pun akal fikiran? Di manakah diletaknya akal yang Allah kurniakan untuknya itu? MasyaAllah!... apa sudah jadi dengan manusia yang tidak berhati perut ini? Sanggup menjadikan dirinya lebih hina dari seekor binatang!..
Itulah akibatnya apabila akal yang Allah anugerahkan sebagai sesuatu yang memuliakan manusia dari makhluk-makhluk yang lain di dunia ini sudah tidak diletak di tempat yang betul!.. Manusia-manusia sebegini membiarkan nafsu mengawal kehidupan mereka dan bukannya akal fikiran. Inilah akibatnya kalau hidup hanya mengejar keduniaan dan mencampakkan Allah jauh-juah dari hati mereka!... Na'uzubillah!...
Oleh sebab itulah Allah turunkan Al-Quran sebagai panduan dan juga Ilmu kepada manusia untuk keselamatan kehidupan di dunia dan akhirat, tetapi... berapa ramaikah manusia yang benar-benar berpegang kepada ajaran Al-Quran pada hari ini?...
Astagfirullahilazim!... semoga Allah sentiasa mengampunkan dosa-dosa kita dan sentiasa menganugerahkan dan mengekalkan hidayahNYA ke dalam hati-hati kita!... Janganlah kita jadi manusia yang tidak berpegang kepada ajaran Al-Quran.
Sekiranya kita mengejar dunia, dia tidak akan pernah puas dan sentiasa meninggalkan kita. Tetapi kalau kita mengejar akhirat, dia akan tetap menunggu kita. Namun hanya kita sendiri yang perlu tahu menentukan ke belah manakah arah kita akan berada di akhirat nanti, samada kita mahu di syurga atau pun di neraka!... Allah telah memberi kita pilihan itu, maka terserahlah kepada kita jalan mana yang hendak kita pilih kerana Allah telah pun memberikan petunjukNYA kepada kita!...
Jangan salahkan Allah kalau manusia itu dimasukkan ke neraka kerana dia yang telah memilih jalannya sendiri. Allah maha adil dan maha pemurah dengan memberikan manusia segala pilihan yang mereka mahu, tetapi manusia itu sendiri yang tidak mahu mengambil kesempatan itu ketika di dunia ini. Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan manusia yang rugi ini...
Kita tidak perlukan GPS untuk memilih jalan yang betul ke akhirat kerana Al-Quran yang Allah turunkan lebih lengkap dari GPS. Oleh itu, sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga kekawan semua supaya terus mendampingi Al-Quran sebagai teman sejati kita di dunia ini kerana Al-Quran tidak akan pernah meninggalkan kita atau pun berpaling tadah dari kita.