Friday, October 15, 2010

Seimbangkah makanan yang diberi?....

Dalam pada seronok menghadiri 'open house' sana sini di bulan Syawal, kini nekcun telah terpaksa kembali kepada rutin harian yang lebih menyebukkan sehingga kekadang tu rasa 24 jam macam tak cukup untuk sehari. Namun nekcun tetap bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kesihatan yang baik dan sempurna kepada nekcun sekeluarga untuk terus hidup dan menikmati rezeki dan nikmat-nikmat Allah di dunia dan di bumi Malaysia yang aman tenteram ini walaun pun terpaksa berkejar ke sana ke sini.


Ketika nekcun makan tengahari dengan seorang kawan ketika balik dari satu perbincangan di PKNS beberapa hari lepas, ada dia mengemukakan soalan yang amat menarik perhatian nekcun yang nekcun rasakan boleh dikongsi bersama kekawan semua.


Kawan: "Hajjah tahu tak apa itu manusia?"

Nekcun: "Hai takkanlah itu pun tak tahu... manusia tu oranglah!.."

Kawan: "Mengapa Allah jadikan manusia itu ada roh, ada jasad, ada akal, ada hati dan ada nafsu?"

Hai!... dia ni nak kena ni!... sengaja nak test aku pulak!... bisik hati kecil nekcun agak bosan dengan telatah kawan nekcun seorang ni. Namun tiba-tiba hati nekcun berdetik dan teringat akan kata-kata seorang ustaz pada satu kelas Ilmu yang nekcun pernah ikuti.

1) Manusia perlu ada roh dan jasad kerana kalau ada roh sahaja tanpa jasad, ia bukan manusia tetapi Jin, dan jika ada jasad tetapi tidak ada roh, ia adalah mayat.

2) Manusia ada akal kerana kalau manusia yang tidak ada akal dia adalah sama macam haiwan kerana manusia yang tidak berakal adalah manusia gila, tidak boleh berfikir.

3) Manusia perlu ada hati kerana hati yang akan menimbulkan perasaan dan perasaan itu akan mendorong akal untuk menguasai seluruh gerak laku manusia. Tanpa hati dan perasaan manusia tidak akan merasakan apa-apa di atas kejadiannya.

4) Manusia perlu ada nafsu kerana tanpa nafsu, tiada apa yang akan dapat membezakan antara manusia yang beriman atau sebaliknya. Nafsu juga sebagai penggerak atau pencabar kepada akal dan hati untuk berfungsi dengan betul.


Nekcun: "Oooh!... you sengaja nak test saya ya?" nekcun menempelak sambil tersenyum.

Kawan: "Bukan test tetapi sengaja nak mengimbau kembali apa yang ustaz dah cerita hari tu! I tahu kalau kita tak ingat mengingati begini, kita akan lupa apa yang ustaz ajar, betul tak? Eeemm... sedap juga lauk kat sini ya!... oh ya!... apa yang kita makan ini adalah makanan yang seimbang yang diperlukan oleh jasad kita, jadi apakah makanan-makanan seimbang untuk roh, akal, hati dan nafsu?"

Nekcun: "Hei!... you asyik nak suruh I jawab!... kali ni you jawablah pulak!..." nekcun menyarankan.

1) Makanan yang baik untuk roh adalah amalan-amalan soleh dan juga amalan-amalan yang disyariatkan oleh Islam sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadith. Amalan membaca Al-Quran juga akan menjadikan Roh sehat dan tenteram.

2) Makanan yang baik untuk akal adalah Ilmu iaitu 'ilmu Duniawi dan ilmu Ukhrawi'. Tanpa Ilmu yang betul, akal tidak akan dapat berfikir dengan baik. Ilmu yang dipelajari juga perlu diseimbangkan antara ilmu keperluan dunia seperti ilmu Science, Methametik dll dan juga ilmu keperluan untuk menuju ke akhirat iaitu Ilmu Ugama seperti Tauhid, Fiqh, Tasauf dan segala yang berkaitan syariat Islam.

3) Makanan yang seimbang untuk hati adalah Iman dan Takwa. Apabila manusia beriman dan bertakwa kepada Allah, maka tidak akan ada rasa hasad dengki dalam hatinya, tidak akan ada rasa marah atau tidak redha akan apa yang berlaku dalam kehidupannya. Iman dan Takwa yang kukuh akan menjadikan hati sentiasa bersyukur dan redha maka ia akan menghilangkan rasa stress dan menghindarkan segala penyakit dalam hati. Dengan Iman dan Takwa, manusia akan sentiasa dekat kepada Allah.

4) Makanan yang seimbang untuk nafsu adalah tidur & berkahwin. Ketika tidur, nafsu manusia akan berada dalam keadaan yang normal dan terkawal dari nafsu yang berlebihan, manakala melalui perkahwinan akan dapat memenuhi segala kehendak nafsu fikrah seorang manusia dan akan menjauhkan manusia dari kejahatan maksiat.


Begitulah sedikit sebanyak yang nekcun dan kawan nekcun bincangkan ketika kami memberi makanan seimbang untuk jasad kami. Namun, kami tetap masih berusaha untuk menseimbangkan makanan-makanan untuk roh, akal, hati dan nafsu kami kerana kalau ada di antara salah satunya tidak mendapat makanan yang seimbang atau sepatutnya, mungkin perjalan kehidupan kita untuk menuju alam akhirat akan pasti bertemu dengan banyak onak dan duri yang kalau tidak betul-betul diperbaikki, ianya mungkin akan menjadikan kita sebagai manusia yang rugi ketika kembali kepadaNYA kelak.
Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kita sendiri. Marilah kita ingat mengingati walaupun hanya sebaris ayat..... Semoga kita semua akan mendapat makanan yang seimbang yang diperlukan oleh roh, jasad, akal, hati dan nafsu kita!..

1 comment:

chekdenoor said...

Salam,

Nekcun..... diet chekdee dah hancur berkecai .....ukhusss

Time puasa..turun berat badan 3 kg..... bila raya....berat naik 6 kg .......adoiiiiii mak.... ketat habis baju raya