Tuesday, September 23, 2008

MA'AF ZAHIR DAN BATIN...


Dalam kekalutan mengharungi traffic jam yang tidak henti-henti kerana hendak mengejar masa untuk memasak juadah berbuka puasa, diikuti mengejar masa untuk bertarawikh di masjid dan tidak lupa mengunci jam loceng untuk bangun sahor setiap malam, adalah amat mencabar kesabaran kaum ibu yang bekerja macam nekcun. Tapi dalam sedar tak sedar, bukan sahaja sepuluh malam terakhir, tetapi malam ‘tujuh likor’ pun sudah hampir meninggalkan kita. Oh!... betapa cepat masa berlalu…

Hati ini tiba-tiba terasa amat hiba bila mengenangkan adakah diri ini telah dapat menyahut seruan ‘Kekasih’ yang bermurah hati mahu memberikan bonus dan hadiah sepanjang Ramadhan Al-Mubarak ini. Terasa diri ini terlalu kerdil di sisi Nya jika dibandingkan dengan anugerah yang telah dilimpahkannya kepada kita. Entahkan dapat entahkan tidak diri ini hendak menemui lagi Ramadhan Al-Mubarak di tahun hadapan untuk merebut bonus dan hadiah yang tidak pernah dilupakan oleh ‘Kekasih’ kita yang pemurah itu… Namun, nekcun tetap berdo’a agar kita semua akan dipertemukan lagi dengan bulan yang penuh kebarakahan ini. InsyaAllah….

Dengan hampirnya Ramadhan meninggalkan kita, Nekcun & Atok ingin mengambil kesempatan ini memohon ampun dan ma’af dari semua saudara mara dan sahabat handai yang mengenali kami dan juga semua anak cucu dan kekawan yang selalu menziarahi nekcun di blog ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI.

MA’AF ZAHIR DAN BATIN.



Friday, September 19, 2008

Persediaan malam pertama...

Hari ini nekcun telah menerima e-mail yang begitu memberi kesan pada hati nekcun. Setelah membaca e-mail itu, seperti biasa nekcun ingat nak 'forward'kan pada kekawan yang rapat sahaja, tetapi tiba-tiba hati nekcun rasa eloklah nekcun kongsi e-mail tersebut secara terbuka dengan kekawan lain yang selalu ziarah nekcun di blog ini. Harap-harap kita boleh sama mendapat pengajaran darinya....InsyaAllah...

Indahkah Malam Pertama Kita?

Satu hal sebagai bahan renungan Kita...
Tuk merenungkan indahnya malam pertama
Tapi bukan malam penuh kenikmatan duniawi semata
Bukan malam pertama masuk ke peraduan Adam Dan Hawa
Justru malam pertama perkawinan kita dengan Sang Maut
Sebuah malam yang meninggalkan isak tangis sanak saudara
Hari itu...mempelai sangat dimanjakan
Mandipun...harus dimandikan
Seluruh badan Kita terbuka....
Tak ada sehelai benangpun menutupinya. .
Tak ada sedikitpun rasa malu...
Seluruh badan digosok dan dibersihkan
Kotoran dari lubang hidung dan anus dikeluarkan
Bahkan lubang-lubang itupun ditutupi kapas putih...
Itulah sosok Kita....
Itulah jasad Kita waktu ituSetelah dimandikan.. ,

Kitapun kan dipakaikan gaun cantik berwarna putih
Kain itu ...jarang orang memakainya..
Karena sangat terkenal bernama Kafan
Wewangian ditaburkan kebaju Kita...
Bagian kepala..,badan. .., dan kaki diikatkan
Tataplah.... tataplah. ..itulah wajah Kita
Keranda pelaminan... langsung disiapkanPengantin bersanding sendirian...
Mempelai diarak keliling kampung yang dihadiri tetangga
Menuju istana keabadian sebagai simbol asal usul
Kita diiringi langkah gontai seluruh keluarga
Serta rasa haru para handai taulan
Gamelan syahdu bersyairkan adzan dan kalimah Dzikir
Akad nikahnya bacaan talkin....Berwalikan liang lahat..
Saksi-saksinya nisan-nisan. . yang telah tiba sebelum ini
Siraman air mawar.. pengantar akhir kerinduan
Dan akhirnya.... tiba masa pengantin..ditinggalkan
Menunggu dan ditinggalkan sendirian,
Tuk mempertanggungjawabkan seluruh langkah kehidupan
Malam pertama yang indah atau meresahkan..
Ditemani rayap-rayap dan cacing tanah
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan ketika 7 langkah telah pergi....
Sang Malaikat lalu datang bertanya.
Kita tak tahu apakah akan memperoleh Nikmat Kubur...
Ataukah Kita kan memperoleh Siksa Kubur.....
Kita tak tahu...Dan tak seorangpun yang tahu....

Entry ini khusus nekcun nak kongsi bersama sahabat-sahabat tersayang yang dapat merasakan dan menyedari bahwa kita ini sedang menanti untuk merasakan ''malam pertama'' kita. Anehnya terkadang kita tak pernah risau atau ketakutan akan malam itu. Bahkan tak pernah menangis dan berpasrah atas nama ALLAH. Betapa bongkaknya kita!...Semoga Ramadhan Al-Mubarak kali ini akan dapat membantu kita membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi "malam Pertama" kita kelak. May ALLAH bless us always!!

Thursday, September 11, 2008

Hingga akhir nanti...


Pagi tadi hati nekcun bagai melambung-lambung bila atok membisikkan kata-kata semangat untuk hari ini. Memang telah menjadi kebiasaan atok dan nekcun akan saling membisikkan kata-kata pesanan atau semangat sebelum kami menuju hala masing-masing ke tempat kerja.

Kami melakukan begitu sebagai salah satu cara kami untuk cuba mengekalkan kebahgiaan dan kesejahteraan rumah tangga yang telah dibina berpuluh tahun dulu. Kata-kata pesanan itu juga kami rasa akan dapat menjadi semangat atau pun panduan untuk kami suami isteri supaya tidak terpesong ke arah atau perkara-perkara yang negatif.

Nak tahu tak apa kata-kata hikmat atok yang membuat nekcun rasa melambung-lambung pagi tadi?... Inilah dia…

Hingga akhir nanti
Kau saja idaman hati
Segala rasa sayang
Segala rasa cinta hanyalah untukmu
Hingga akhir nanti…

Bulan takkan terang tanpa kehadiranmu
Hati takkan tenang tanpa senyumanmu
Rindu dalam hati
Rindu dalam mimpi

Kau tetap pujaan hati

Hingga akhir nanti....

Nekcun tahu, kata-kata itu adalah lirik salah satu lagu kumpulan Alleycats. Tapi bagi nekcun, tak kiralah samada atok ciplak atau pun cilok dari lirik lagu, tapi apabila dia menuturkannya pada nekcun dengan sepenuh perasaan, nekcun rasa amat terharu. Alhamdulillah… mungkin inilah berakahnya bulan Ramadhan apabila semua doa-doa kita akan Allah makbulkan, kerana nekcun memang sentiasa berdoa agar kebahgiaan dan kesejahteraan rumah tangga kami berkekalan sehingga ke akhir hayat. InsyaAllah.

*** Kepada kekawan yang nak cuba pujuk suami / isteri, cuba-cubalah bisik lirik yang nekcun tulis tuh!... cuba "test"… power ke tidak!.... hehehe…

Saturday, September 6, 2008

HADIAH DARI KEKASIH....

Tajuk ni nekcun dapat ketika menghadiri satu ceramah Ramadhan di pejabat nekcun. Memang ianya amat menguja fikiran nekcun untuk mengetahui apakah yang sebenarnya mahu disampaikan oleh ustazah? Apa kena mengena kekasih dengan amalan bulan Ramadhan ini? Nekcun terus terfikir-fikir.

Kerana dalam keadaan yang tergesa-gesa, nekcun terlupa nak membawa pen dan buku catitan ketika mendengar ceramah, jadi tak dapatlah nekcun nak catit secara terperinci. Tetapi tak mengapalah… nekcun nak kongsi apa yang nekcun ingat sajer ya!…

Ustazah tanya, berapa ramai antara kita ini melakukan perkara-perkara berikut ketika menyambut hari pertama Ramadhan?
1) Bersujud syukur kerana Allah memberi kita peluang bertemu lagi dengan bulan Ramadhan.
2) Ketua keluarga memanggil seisi rumah bermesyuarat, berbincang mengenai perancangan menyambut bulan Ramadhan ini.
3)Adakah kita memperuntukkan perbelanjaan untuk bersedekah selain perbelanjaan persediaan menyambut Hari Raya.

Terkedu juga nekcun mendengar soalan ustazah tu!… Iyalah… soalan 1 tu memanglah selalu nekcun dan ramai antara kita yang memang dah amalkan setiap kali mendapat rezeki dan berpeluang berjumpa Ramadhan juga nekcun kira sebagai rezeki juga. Jadi soalan satu… pass!…

Tetapi soalan 2 dan 3, nekcun jadi keliru kerana tidak pasti dengan apa sebenar yang dimaksudkan oleh ustazah. Memanglah kami sekeluarga selalu berbincang bila ada apa-apa yang kami rancang nak lakukan kerana atok memang jenis orang yang tidak suka buat sesuatu dalam keadaan kalang kelibut. Dia nak semuanya dirancang dan teratur.

Bila nekcun dan ramai juga yang lain-lain mengerut-ngerutkan dahi apabila pada soalan 2 & 3, maka ustazah pun menerangkan, lebih kurang begini:-

Bulan Ramadhan adalah bulan dari segala bulan. Maksudnya Allah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan di mana Allah ibaratnya memberi ‘bonus dan diskaun mega sales’ kepada semua umat Islam. Dalam bulan Ramadhan, Allah membuka semua pintu-pintu syurga dan menutup semua pintu neraka serta mengikat semua syaitan. Disamping itu, ada difirmankan bahawa semua amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan Allah beri 1000 kali ganda pahala dan Allah juga akan memakbulkan semua do’a-do’a orang yang berpuasa di Bulan Ramadhan. Selain itu, ‘bonus’ yang paling besar Allah beri kepada umat Islam yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam Lailatul Qadar’.

Bukankah Allah merupakan seorang “Kekasih” yang amat pemurah kepada semua makhlukNya walau pun ada di kalangan makhlukNya yang langsung tidak menghargai akan kemurahanNya itu? Jadi… kita sebagai makhlukNya, tidakkah kita mahu merebut “bonus dan diskaun mega sales” yang Allah kurniakan di sepanjang Ramadhan ini untuk persediaan kita di alam akhirat nanti? Itulah jawapan kepada soalan 2 & 3...

Untuk mendapat “bonus dan diskaun mega sales” kita perlu mengetahui apa yang perlu kita lakukan. Kita juga perlu merancang untuk mempastikan apa yang dilakukan benar-benar efektif. Maka, selaku ketua keluarga, seharusnya suami/bapa memberitahu atau mengajak isteri/anak-anak melakukan lebih banyak lagi amalan-amalan soleh di sepanjang Ramadhan seperti mengerjakan solat sunat tarawikh, bertadarus Al-Quran, lain-lain solat sunat dan bersedakah. Salah satu lagi amalan soleh yang boleh kita amalkan sepanjang Ramadhan ialah mengawal nafsu terutamanya ‘nafsu makan’ kerana selalunya nafsu makan di bulan Ramadhan akan mendorong kepada pembaziran. Kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah disepanjang Ramadhan kerana pahala sedekah yang ikhlas adalah berganda-ganda. Maka eloklah kita memperuntukkan sebahagian dari wang kita yang mungkin akan digunakan untuk perbelanjaan yang tidak menentu kepada peruntukkan untuk bersedekah!

Itulah sedikit sebanyak yang nekcun ingat dari ceramah tersebut. Walaupun ringkas, namun nekcun rasa ianya memang berkesan di hati nekcun kerana tidak dinafikan kita sebagai ibu bapa/suami kekadang terlupa untuk mengajak isteri / anak-anak & cucu kita meningkatkan amalan sepanjang Ramadhan atau pun di hari-hari yang lain. Kita hanya melakukan kerana kita memang tahu dan mahu melakukannya tetapi kita lupa yang isteri/anak-anak adalah juga tanggung jawab kita untuk membimbing mereka merebut “bonus dan diskaun mega sales” yang dihadiahkan oleh “Kekasih sejati kita iaitu ALLAH SWT” sepanjang Ramadhan ini.

Semoga catitan nekcun yang ringkas ini dapat kita manfa’atkan bersama. Wallahualam.