Monday, March 31, 2008

SALAH SIAPAKAH INI?

Hati wanita ku menjadi begitu sedih dan pilu bila melihat seorang sahabat ku yang dahulunya ceria dan anggun tetapi sekarang sedang menanggung derita jiwa. Aku amat terkejut melihat wajahnya yang agak cengkung dan tubuhnya semakin kurus ketika kami bertemu di sebuah pusat membeli belah baru-baru ini.

Telah menjadi tabiat ku, setiap kali bertemu sahabat lama, aku mesti bertanya : Berapa orang anak you sekarang? Hubby you mana? Macam mana keluarga sekarang? Soalan-soalan ini seolah telah menjadi lumrah di kalangan wanita-wanita yang berkeluarga kalau telah lama tidak bertemu.

Ketika aku menyuarakan soalan lazim itu, ku lihat wajah sahabat ku yang seketika tadi agak ceria bertukar menjadi sedih dan murung. Perasan akan perubahan itu dan aku yakin mesti ada sesuatu yang telah berlaku terhadapnya, aku segera mengajaknya ke sebuah restoran untuk berbual lebih panjang. Aku berbisik kepada suamiku yang kami memerlukan masa sebentar untuk perbincangan perempuan dengan perempuan sahaja, maka suami ku dengan senang hatinya menuju ke kedai kesukaanya – apa lagi kalau bukan kedai alat-alat sukan!.

“Beruntung you dapat hubby yang penyayang dan boleh bertolak ansur begitu!” ujar sahabat ku sebaik sahaja kami tinggal berdua.
“Eh… hubby you pun apa kurang? Ingat dulu masa kita buat alumnai di Langkawi, bukan main gentleman lagi hubby you!” aku cuba mengingatkan kenangan manis kami bersama.
“Itu dulu!... sekarang semua itu sudah tiada! Semuanya tinggal mimpi sahaja dalam hidupku” katanya perlahan.
“Maksud you?” aku cuba merisik.
“Kami dah bercerai tiga tahun lalu!”
“Dalam umur-umur kita yang begini pun, you all sanggup bercerai?” Aku tidak dapat menerima hakikat apa yang dikatakannya!
“Memang I tidak pernah menduga ianya akan terjadi, tapi bila telah terjadi begini, apa yang boleh I buat? Kuasa talak itu di tangan dia, bukan di tangan I” ujar sahabatku dengan penuh kesal.

Setelah hampir setengah jam bercerita, aku jadi amat terharu dengan penderitaan yang dialami oleh sahabatku itu. Hati ku bagai tidak percaya mengapa seorang lelaki yang bernama suami sanggup menyiksa batin seorang wanita yang pernah berkorban untuknya selama ini, hanya kerana wanita itu tidak mampu melayan serakah nafsunya seperti dahulu akibat penyakit yang dihidapinya.

Baru ku tahu yang sahabat ku itu pernah mengalami komplikasi semasa melahirkan anak bungsu mereka dan sebab itu uterus nya perlu dibuang. Tanpa dia menyedari, semasa dalam proses pemulihan yang mengambil masa berbulan-bulan, suaminya telah membuat hubunga sulit dengan seorang gadis sepejabat dengannya. Bertahun jugalah suaminya menipunya begitu. Kerana tidak mahu bermadu, gadis itu telah memaksa suami sahabat ku itu menceraikannya. Bukan takat bercerai sahaja, malah semua harta sepencarian dan nafkah untuk anak mereka yang empat orang itu pun, tidak dibenarkan oleh isteri mudanya, almaklum sahajalah, gaji bekas suami sahabat ku itu bukanlah banyak sangat! Malahan selama ini sahabt ku itu yang banyak menanggung keluarga mereka kerana gaji dan pangkatnya lebih tinggi dari suaminya.

Rupa-rupanya sekarang ini sahabat ku ini tengah penat turun naik mahkamah syariah untuk menuntut kembali harta sepencarian dan juga nafkah anak-anak yang tidak pernah diberikan semenjak mereka bercerai dahulu. Aku menjadi amat belas melihatnya dan hati ku jadi radang dengan sikap pihak yang berkuasa yang seolah tidak mengambil berat akan kesengsaraan yang ditanggung oleh ibu-ibu tunggal seperti sahabatku ini. Bayangkan, mereka telah bercerai hampir tiga tahun, tapi kes pembahagian harta sepencarian dan nafkah anak-anak masih belum selesai. Nasib baiklah sahabatku ini mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang kukuh, kalau tidak macam manalah dia mahu menyara anak-anak yang empat orang itu?

Bagaimanakah kalau anda semua di tempat sahabat ku ini? Siapakah yang harus dipersalahkan di dalam perkara ini sekiranya anak-anak mangsa perceraian ini menjadi punca gejala sosial di kalangan remaja seperti penagih dadah, mat rempit atau lain-lainnya? Haruskah mereka juga dipersalahkan? Pendapat dan komen anda semua adalah dialu-alukan.

No comments: