Monday, February 11, 2008

Antara Tugas Dan Tanggungjawab

Ketika berada di lapangan terbang semasa pulang dari bercuti, saya terjumpa seorang kawan yang telah agak lama tidak berjumpa. Dalam keseronokan bertanya khabar dan bercerita, dia memberitahu yang dia telah pun berhenti dari kerjayanya sebagai seorang guru dan sekarang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, kerana sudah tidak sanggup lagi melaksanakan tugas yang kian bertambah disamping memikul dua tanggungjawab iaitu sebagai guru dan suri rumah dalam satu masa.

Mengapa kau kata begitu? Adakah kalau kau dah bersara dan menjadi surirumah sepenuh masa, beban tugas kau tidak akan seteruk kalau kau bekerja? Saya bertanya, ingin tahu sebabnya.
Sebagai surirumah, aku boleh “outsourced” separuh tugas aku kepada “bibik”, jadi apa yang aku perlu pastikan sekarang hanyalah tanggungjawab sahaja!.. tapi kalau sebagai guru, tugasnya tidak boleh di “outsourced” dan tanggungjawabnya pun berat juga… jawabnya selamba. Saya menggaru kepala yang tidak gatal untuk memahami kata-katanya.

Kalau sekali dengar, memang kita tidak dapat mengesani perbezaan antara keduanya. Terutamanya bagi insan-insan yang bekerjaya, tugas dan tanggugjawab adalah merupakan perkara rutin yang mesti dilaksanakan. Namun kalau dihalusi, memang terdapat perbezaan dan pengertian yang besar antara keduanya.

Tidak mahu mengaku kalah, saya terus menganalisa kata-kata kawan saya itu, dan akhirnya saya dapat membuat rumusan sendiri. Tugas adalah sesuatu yang perlu kita laksanakan tak kira samada menggunakan daya fikiran atau pun kekuatan fisikal. Tugas juga merupakan suatu perkara yang perlu diselesaikan secara lahiriah, manakala tanggungjawab pula adalah perasaan yang perlu ada di dalam memastikan tugas yang dilaksanakan dapat memberi impak dan kesan yang boleh dirasa, tidak kira samada yang dapat dilihat secara lahiriah atau pun perasaan dalaman dari tugas yang telah kita laksanakan itu.
Contohnya, tanggungjawab seorang isteri adalah memastikan pakaian suaminya sentiasa bersih dan kemas, maka tugas isteri pula ialah mencuci dan menguruskan pakaian suaminya dengan sewajarnya. Di sini kita dapat lihat akan dua fungsi yang berbeza dari satu perkara yang sama. Mungkin sebab itu jugalah sahabat saya tadi menyatakan bahawa separuh dari tugasnya sebagai suri rumah boleh di “outsourced” kepada pembantu rumah tetapi tanggungjawab sebagai suri rumah, hanya dia yang tahu sejauh mana keperluannya! Begitu juga bagi seorang suami, tanggungjawabnya adalah mempastikan segala keperluan keluarganya dapat disediakan dalam mendidik dan menguruskan keluarganya dengan sempurna, maka tugasnya pula ialah pergi bekerja mencari rezeki bagi menampung keperluan tersebut.

Begitu juga di dalam dunia pekerjaan. Contohnya tugas seorang akauntan adalah menyediakan lapuran kewangan syarikat dengan betul, manakala tanggungjawabnya pula ialah memastikan kedudukan kewangan syarikat sentiasa terjamin pada setiap masa.

Itulah beberapa contoh dan rumusan yang dapat saya fikirkan. Namun rumusan di atas hanyalah pandangan peribadi saya sahaja. Mungkin kawan-kawan yang lain mempunyai idea atau pandangan yang lain yang boleh kita kongsikan bersama. Pandangan dan komen kekawan semua amatlah dialu-alukan.

2 comments:

Anonymous said...

Apa pandangan puan jika, dua-dua sekali kita outsource?

Anonymous said...

Dalam dunia ini tidak semua benda dan perkara kita boleh dapat. Jadi ada perkara yang kita boleh outsourced dan juga yang tidak boleh di outsource, terutamanya bagi perkara-perkara yang kalau di outsource akan melanggar hukum syarak. Jadi pandai-pandailah memikirkannya...