Ketika sampai di pejabat pagi itu, Nazwa agak terkejut.
Beberapa orang pekerja sedang sibuk mengubah suai pejabat. Begitu juga di luar
bangunan. Beberapa orang kontraktor sedang sibuk mengecat bangunan pejabat dan
juga bangunan kilang Libur Kanan itu. Taman mini di sekeliling bangunan pejabat
juga dinaik taraf dengan pasu-pasu bunga yang lebih cantik dan menarik.
“Hei! Apa dah jadi dengan pejabat kita ni?” tanya
Nazwa dengan dahi berkerut-kerut.
Ketika itu Farina sedang melangkah menghampiri meja
Nazwa untuk mengajaknya sarapan di kafetaria.
“Mula-mula tadi aku pun terkejut. Aku tanya Azhar,
Penolong Pengurus di bahagian pentadbiran, kenapa pejabat kita jadi macam ni.
Dia kata pengurusan baru yang mahukan bangunan dan pejabat kita ini diubah suai
supaya ada imej korporat,” beritahu Farina.
“Oh, iya ke? Banyak betul modal Al-Khusyairy Mega
Holding sehingga sanggup mengubah suai semua pejabat dan kilang Libur Kanan
ni,” komen Nazwa sambil mengelap habuk-habuk halus yang kelihatan di skrin
komputernya.
“Alah syarikat besar macam tu, kalau takat nak ubah suai
pejabat yang ciput ni, memang tak jadi kudis pun pada mereka,” tambah Farina
lagi.
“Wah, pejabat Dato’ Razlan pun bukan main lagi diubah
suai. Macam mana dato’ nak buat kerja sementara dia orang ubah suai tu?” soal
Nazwa dengan nada yang agak teruja.
Nazwa terus memerhatikan beberapa pekerja binaan yang
keluar masuk dari bilik Dato’ Razlan yang terletak di bahagian hujung bangunan
pejabat mereka itu.
“Dato’ Razlan mana datang pejabat lagi?” ujar Farina.
“Dia ke mana?” soal Nazwa, hairan.
“Dato’ Razlan telah pun melepaskan jawatannya kepada
salah seorang pegawai tinggi Al-Khusyairy Holding. Shimah beritahu aku tadi
yang bos barunya akan datang ke pejabat dalam tempoh dua minggu lagi, bila
biliknya tu dah siap diubah suai,” jelas Farina lagi.
“Oh, iya ke?” Lagi sekali Nazwa terkejut dengan berita
itu.
“Iyalah, cik adik oii. Apa yang nak dihairankan? Macam
yang kita dan Ed bincangkan hari tu, Al-Khusyairy Mega Holding pasti akan
meletakkan orang dia untuk mengetuai pengurusan baru Libur Kanan ni. Biasalah
kalau sesuatu syarikat tu diambil alih oleh pengurusan lain,” komen Farina
ketika mereka mula beriringan menuju ke kafeteria.
Oh... Al-Khusyairy Mega Holding memang benar-benar
mahukan perubahan pada Syarikat Libur Kanan ini. Adakah ini semua arahan
daripada Ahmad Saifulrizwan? Macam mana kalau dia tahu aku jugak bekerja di
Syarikat Libur Kanan ini? Mungkinkah dia akan memberhentikan aku dari terus
bekerja di sini? Desis hati kecil Nazwa terus berkecamuk dengan soalan-soalan
yang tidak mampu dijawab.
Sehari suntuk Nazwa tidak dapat menumpukan perhatian
pada kerja sebaliknya dia terus berfikir-fikir sama ada mahu meletakkan jawatan
sekarang sebelum Ahmad Saifulrizwan memecatnya ataupun membiarkan sahaja
perkara itu sehingga dia benar-benar telah dipecat kelak.
Nazwa benar-benar buntu sekiranya dia berhenti
sekarang. Bukan senang nak dapat kerja. Nazwa tidak boleh berhenti kerja
sewenang-wenangnya kerana dia perlu mencari wang untuk menampung kehidupan dua
beranak, iaitu dia dan ibunya.
Apa yang lebih membimbangkan Nazwa ialah kos perubatan
ibunya yang perlu diuruskan setiap bulan kerana keadaan kesihatan ibunya masih
belum stabil.
Tiba-tiba Nazwa teringatkan Suryani, kawan pejabatnya
dulu. Dia telah pun berhenti kerana dapat kerja yang lebih baik di salah sebuah
syarikat telekomunikasi yang terkemuka. Nazwa menarik nafas dalam-dalam sebelum
menekan nombor telefon Suryani.
“Assalamualaikum, Yani!”
“Waalaikumusalam. Siapa ni?”
“Akulah Naz. Kau dah tak ingat aku lagi ke?”
“Oh, Naz. Apa khabar? Siapa yang boleh lupakan kau.
Pegawai yang cantik manis kesayangan bos di Libur Kanan tu,” usik Suryani sambil
tergelak.
“Hisy, ada-ada ajelah kau ni. Mana pulak aku yang jadi
kesayangan bos. Kalau aku ni kesayangan bos, tentu dah lama aku naik pangkat
jadi pengurus,” jawab Nazwa sambil turut tertawa.
Dia faham benar dengan sikap Suryani yang suka
bergurau.
“Iyalah. Orang lain dah kerja bertahun-tahun pun, tak
dapat nak kerja direct bawah pengarah urusan tau. Tapi kau, walaupun
melapor bawah pengurus besar, tetap kena buat direct report pada
pengarah urusan. Maknanya, dia memang sayang kat kau tu,” usik Suryani lagi.
“Pasal dia tengok aku sama macam anak dia kot. Itulah
sebab dia selalu panggil aku tu agaknya,” sangkal Nazwa terus tertawa kecil
menjawab usikan Suryani.
“Macam anak dia ke atau macam bakal isteri muda dia?”
Kedengaran Suryani masih terkekeh-kekeh menyakat Nazwa. Seronok benar dia dapat
bergurau dengan Nazwa kerana telah lama tidak berhubungan.
“Hei, minta simpang malaikat 44. Biarlah aku jadi
andartu dari kahwin dengan orang tua macam tu. Buat susah aku aje nanti.
Lagipun macam mana dia nak panggil ibu aku ‘ibu’ kalau umur dia lebih tua
daripada ibu aku?” balas Nazwa sambil terkekeh-kekeh juga kerana geli hati
sangat dengan saranan Suryani itu.
“Tua-tua pun apa salahnya, kalau duit dia
berkepok-kepok. Apa kau nak, semua dia boleh beri.”
“Hei Yani, money cannot buy everything in this
world. Tak guna ada duit banyak kalau hidup tak bahagia.”
“Betul, betul. Aku setuju sangat dengan kau. Eh, apa
khabar orang tua tu hah? Sihat lagi ke dia?” tanya Suryani pula.
“Itulah yang aku telefon kau ni. Aku ada hal nak minta
tolong,” ujar Nazwa spontan.
“Oh, iya ke? Apa kena orang tua tu sampai kau telefon
aku nak minta tolong?” tanya Suryani, hairan.
“Kau tak dengar ke berita yang Libur Kanan telah
diambil alih syarikat baru?” soal Nazwa.
“Ada tapi apa kena-mengena dengan Dato’ Razlan? Dia
masih pengarah urusan kat situ kan?” tanya Suryani bertubi-tubi.
“Tak lagi. Dia telah melepaskan jawatannya kerana dia
bukan lagi pemegang saham terbesar Libur Kanan. Sekarang, semua pengurusan di
Libur Kanan telah diambil alih oleh Al-Khusyairy Mega Holding” terang Nazwa,
perlahan.
Tiba-tiba wajah Ahmad Saifulrizwan dengan renungan
matanya yang tajam bagaikan menari-nari di tubir mata Nazwa. Hati Nazwa jadi
sendu.
“Jadi Dato’ Razlan dah tinggalkan Libur Kananlah ya?”
“Haah! Itulah sebab aku telefon kau, nak tanya
kalau-kalau ada kerja kosong kat syarikat tempat kau kerja tu yang boleh aku
cuba nasib.” Akhirnya Nazwa memberitahu akan hasratnya.
“Kenapa kau nak tinggalkan Libur Kanan? Pengurusan
baru tu nak buang pekerja Libur Kanan yang ada sekarang ke?” soal Suryani agak
terkejut.
“Buat masa ini, belumlah lagi tapi aku harus bersedia.
Manalah tahu kalau tiba-tiba nanti mereka nak buang pekerja. Selalunya kalau ada
pengambilalihan syarikat, pasti akan ada proses pengurangan pekerja. Aku pulak
agak baru di Libur Kanan, sudah pasti akulah yang kena buang dulu.” Dengan
suara agak lirih Nazwa menyuarakan kebimbangannya.
Kedengaran Suryani menarik nafas agak dalam seolah-olah
faham kerisauan sahabatnya itu.
“Err... buat masa sekarang ni, tak adalah aku dengar
apa-apa kekosongan lagi tapi kau hantar ajelah resume kat aku. Nanti aku
cuba berikan pada bahagian sumber manusia. Manalah tahu kalau tiba-tiba ada
keperluan yang berkaitan kelulusan dan pengalaman kau, jadi bolehlah mereka
pertimbangkan,” saran Suryani.
“Emm... terima kasihlah Yani kerana memahami keadaan
aku. Nanti aku sediakan resume aku dan e-melkan kat kau. Pakai e-mel
boleh, kan?” ucap Nazwa dengan nada teruja.
“Boleh, kau e-mel ajelah. Nanti kalau mereka mahu
dokumen-dokumen lain, barulah kau hantar salinannya,” jawab Suryani spontan.
Jelas kedengaran keikhlasan suaranya untuk membantu sahabatnya itu.
“Alhamdulillah, nasib baiklah aku dapat kawan yang
sedia bantu macam kau. Minta-minta adalah kerja kosong nanti,” ujar Nazwa
dengan harapan menggunung.
“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, adalah nanti.
Berdoalah semoga ALLAH sentiasa memurahkan rezeki kita.”
“Okey, lagi sekali terima kasih. Maaf kerana ganggu
kau.
Nanti aku e-melkan resume aku ya.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Nanti ada masa, kita jumpa ya,”
balas Suryani sebelum memutuskan talian.
Ya ALLAH, ya Rahman, ya Rahim, KAU
permudahkanlah segala usahaku ini, getus hati kecil Nazwa berdoa dan terus
menaruh harapan agar usahanya untuk mencari kerja di tempat baru itu akan
dimakbulkan ALLAH.