Wednesday, April 10, 2013

SEINDAH TAKDIR CINTA

Alhamdulillah!... Terima kasih ALLAH... Dengan rahmat dan pertolonganNYA maka akhirnya lahir jugalah novel nekcun yang ke tujuh bertajuk SEINDAH TAKDIR CINTA terbitan Buku Prima dari Grup Buku Karangkraf. InsyaALLAH ianya akan mula berada di pasaran mulai 30/4/2013 nanti dan juga bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) nanti.

Hakikatnya memang nekcun teruja sangat menunggu kelahiran novel ini kerana ketika mula menggarap manuskripnya dulu, niat utama nekcun adalah untuk berkongsi sedikit ilmu yang ALLAH beri pada nekcun bagi mendidik dan juga menarik remaja-remaja yang tersasar ke pangkal jalan. Di samping itu, SEINDAH TAKDIR CINTA juga banyak memaparkan kisah tauladan dan tip-tip yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa di dalam membina keluarga yang diredhai ALLAH dari dunia hingga akhirat.

Secara dasarnya nekcun cuba mengupas erti CINTA dalam kehidupan setiap insan bernama manusia di dalam skop yang lebih luas. Bagi nekcun, rasa cinta adalah sesuatu yang unik yang ALLAH anugerahkan kepada setiap manusia kerana hanya dengan rasa cinta yang ikhlas manusia akan dapat hidup dengan aman dan bahgia bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Rasa Cinta yang ikhlas kepada ALLAH dan RasulNYA akan banyak mempengaruhi bagaimana rasa cinta antara manusia dapat dinikmati keberkatannya. 

Di kesempatan ini nekcun turunkan sinopsis novel SEINDAH TAKDIR CINTA untuk rujukan sahabat2 semua;-


Mia Karmila, anak gadis kesayangan Dato’ Kamal dan Datin Mariam yang biasa hidup dengan cara moden dan penuh kemewahan, langsung tidak menyangka pertemuannya dengan seorang pemandu teksi bernama Shahriman telah berjaya merubah keseluruhan cara hidupnya. Dari seorang gadis moden dan sosial telah dalam sekelip mata mahu berjihad mengumpul saham akhirat. Tanpa mereka sedari, melalui beberapa pertemuan yang tidak pernah dirancang telah membenihkan bibit-bibit cinta yang tulus dalam hati mereka.

Manakala Adrian, satu-satunya anak lelaki Tan Sri Affendy dan Puan Sri Zalina terus tidak berputus asa untuk menjinakkan Mia Karmila sebagai kekasih yang dapat memenuhi kerakusan nalurinya sebagai seorang lelaki mancho, bergaya dan kaya raya, walaupun ramai perempuan lain yang lebih dari bersedia untuk memenuhi segala kehendak Adrian itu.

Perubahan sikap Mia Karmila benar-benar mencabar kelelakian Adrian sehingga dia bertekad, walau apa jua pun syarat yang diminta oleh Mia Karmila, Adrian tidak peduli. Yang pasti Mia Karmila mesti jadi miliknya. Tekad Adrian menjadi bertambah kuat apabila kedua ibu bapanya dan juga ibu bapa Mia Karmila bagaikan menggalakkan dan merestui niatnya itu.

Dalam kepayahan dan kepiluan yang mencengkam jiwa, Mia Karmila terpaksa juga akhirnya menerima ijabkabul Adrian apabila lelaki itu telah berjaya memenuhi setiap syarat yang dipintanya. Pilu di hati Mia Karmila bertambah parah apabila mengetahui bahawa Shahriman bagaikan dalang yang membolehkan Adrian menikahinya. Siapakah Shahriman sebenarnya?...

Namun hanya ALLAH yang sesungguhnya maha mengetahui segala apa yang diaturkannya. Adrian terpaksa di masukkan ke hospital sebaik sahaja dia dan Mia Karmila dinikahkan. Sebagai seorang gadis solehah, Mia Karmila sedar akan tanggung jawabnya di sisi Adrian kini seandainya Syurga ALLAH adalah tujuan destinasinya.

Dengan itu Mia Karmila bertekad menjadi seorang isteri yang sentiasa diredhai oleh suaminya untuk mendapatkan Syurga ALLAH itu. Maka dengan seikhlas hatinya Mia Karmila cuba melupakan Shahriman dan terus tabah menjaga Adrian di hospital.

Bagaimanakah dapat Mia Karmila meneruskan hari-hari kehidupannya menjaga Adrian di hospital manakala hubungan Shahriman dengan keluarga Adrian semakin rapat, dan  dengan itu juga membuatkan dia dan Shahriman sering bertentang mata.

Ia juga bagaikan luka lama berdarah kembali bagi Shahriman ketika menemankan Adrian dan Mia Karmila serta ibu bapa mereka menunaikan Ibadah Umrah di Mekah. Shahriman benar-benar tidak mampu lagi untuk terus menyorokkan segala derita jiwa dan hatinya yang gersang selama ini apabila melihat gadis yang pernah bertahta di hatinya itu menerima segala ujian dan dugaan ALLAH dengan begitu ikhlas dan tulus.

Demi cintanya pada Mia Karmila yang tidak pernah luak walau sezarah pun, Shahriman terus berusaha untuk mendapatkan kembali cinta itu walau pun dia tahu cinta Mia Karmila kini hanyalah untuk Adrian apabila kedua suami isteri itu mengakuinya di hadapan Baitullah.

Berjayakan Shahriman memujuk dan mendapatkan kembali cinta Mia Karmila yang pernah direlakannya untuk diberikan kepada Adrian? Hanya SEINDAH TAKDIR CINTA yang akan dapat memberikan jawapannya.    

Nekcun amat berharap sahabat2 semua akan memberi sokongan padu terhadap novel ini. Ianya amat sesuai untuk dibaca oleh semua golongan masyarakat dan peringkat umur. Semoga novel ini akan dapat memberi kebaikkan dan manafaat kepada setiap pembacanya di dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba di dunia yang fana ini... Ameennn...