Tuesday, January 31, 2012

DEMIMU NAZWA.... kini sudah di pasaran!..

Alhamdulillah!... novel nekcun yang ke 6 bertajuk DEMIMU NAZWA terbitan Buku Prima (Grup Buku Karangkraft) telah berada di pasaran sekarang. Bagi kekawan yang meminati novel-novel Melayu, nekcun amat berharap akan cuba mendapatkan novel nekcun ini kerana ia sarat dengan kisah dan tauladan yang boleh diambil iktibar dan panduan di dalam kita mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini... Semoga semua kekawan akan memberi sokongan padu kepada novel nekcun ini dan selamat membaca...

SINOPSIS Novel:-

Lantaran panahan cinta pandang pertama ketika usia masih begitu muda menjadikan Nazwa tidak pernah berfikir dua kali untuk menerima lamaran Ahmad Saifulrizwan walaupun mereka masih lagi menuntut di Negara yang asing itu.

Limpahan cinta Ahmad Saifulrizwan yang bagaikan air laut yang tidak bertepi benar-benar membuatkan Nazwa hanyut dan lupa bahawa perkahwinan itu bukanlah hanya ikatan penerimaan ucapan Ijab dan Kabul yang dilafazkan tetapi juga segala peraturan dan undang-undang yang telah termaktub di dalam perlaksanaan sebuah perkahwinan itu.

Bagi Nazwa, cinta suami yang sentiasa membara penuh syahdu sudah cukup untuk membuatkan dia amat bahgia hidup bersama Ahmad Saifulrizwan sehinggalah peristiwa malang yang tidak disengajakannya telah dengan begitu mudah merentap rasa cinta itu dari hati Ahmad Saifulrizwan. Dengan hati yang lara, Nazwa membawa diri pulang ke tanah air tanpa meninggalkan sebarang jejak yang boleh dikesan oleh suaminya.

Di dalam melayani hari-hari yang sepi tanpa belaian suami tercinta, pintu hati Nazwa diketuk oleh cinta syahdu Edham, lelaki yang begitu ikhlas dan jujur menerima keadaan Nazwa seadanya sehingga menjadikan Nazwa sering diulit rasa kekesalan kerana terpenjara oleh cinta palsu Ahmad Saifulrizwan.

Setelah hampir empat tahun terpisah, Nazwa tidak pernah menduga yang dia dan Ahmad Saifulrizwan dipertemukan kembali dalam keadaan yang amat berbeza dari pertemuan pertama enam tahun dahulu. Hati masing-masing bukan lagi dipenuhi rasa cinta yang membara tetapi hanyalah rasa dendam kesumat yang bagaikan hanya menunggu sa’at untuk dilunasi.

Malahan bagi Ahmad Saifulrizwan perpisahan selama empat tahun itu bukanlah penyebab untuk dia melepaskan Nazwa begitu sahaja tanpa perlu menuntut haknya sebagai suami yang sah sehingga membuat Nazwa terus terpenjara dalam derita yang tidak berkesudahan apabila mendapati dirinya mengandung, kerana secara amnya tiada siapa pun yang tahu bahawa mereka adalah masih suami isteri yang sah dari hukum syarak.

Ahmad Saifulrizwan benar-benar rasa tercabar apabila Nazwa terus mahukan agar hubungan yang penuh rahsia itu diputuskan secara yang sah, lalu dengan kuasa talaq yang berada di tangannya, Ahmad Saifulrizwan seolah sengaja mahu menggantung Nazwa tidak bertali sedangkan dia sendiri bagaikan hanya menunggu hari untuk disatukan dengan Sharifah Norwati iaitu gadis pilihan ibu bapanya.

Nazwa yang benar-benar sudah berputus asa untuk melawan kuasa yang ada pada Ahmad Saifulrizwan, sekali lagi menghilangkan diri cuba memujuk hati yang lara, mengharap derita yang mencengkam jiwa akan segera berlalu walaupun tidak tahu entah bila.

Tetapi mengapakah Ahmad Saifulrizwan masih tidak mahu melafazkan talaq terhadap Nazwa sedangkan Sharifah Norwati telah lebih dari bersedia untuk menjadi isterinya pada bila-bila masa? Dapatkah Nazwa lepas dari ikatan yang bagai tidak bertali itu dan berjayakah Edham membina bahagia bersama Nazwa sebagaimana yang sering dirancangkannya? Mungkinkah Demi Mu Nazwa akan dapat menyingkap segala teka teki ini?... Sudah pasti!.. kerana di situlah akan ada segala jawapannya.

Tebal novel = 640 m/s
Harga pasaran = RM25.90

Friday, January 20, 2012

Email dari Kubur... Menakutkan!...

Hati nekcun jadi amat tersentuh apabila mendengar kisah yang Ustaz terangkan ketika nekcun menghadiri kuliah Ilmu pagi tadi. Entah mengapa ianya terus mengetuk-ngetuk dinding hati nekcun untuk berkongsi dengan kekawan semua agar dapat kita jadikan pengajaran dan peringatan. Ianya terlalu memberi kesan dalam hati nekcun…

Ceritanya adalah lebih kurang begini.


Ada seorang lelaki ini yang suka sangat men’download’ gambar-gambar porno atau lucah dari satu web provider. Dan lelaki ini pula dengan bangganya suka menunjukkan gambar-gambar itu kepada kawan-kawannya.

Biasalah orang muda… mereka amat teruja kalau dapat tengok benda-benda yang tak senonoh itu, maka kawan-kawannya pun teringin juga untuk nak membuat download benda-benda yang sama.

Namun perkara itu tidak boleh dibuat sewenang-wenang kerana hanya orang yang mendaftar dengan syarikat pengeluar gambar-gambar itu sahaja yang akan dapat download tersebut melalui email yang dibuat secara ‘auto send’ oleh syarikat tersebut.

Memandangkan lelaki itu telah pun melanggan dengan syarikat itu maka dia akan dapat email tersebut secara ‘auto send’ setiap kali ada gambar-gambar baru. Maklumat itu lebih lagi membuat kawan-kawannya semakin teruja untuk melihat gambar-gambar berkenaan.

“No problem!.. jangan risau…beri email address engkau orang. Aku akan setting kan untuk ‘auto send’ dari email aku kepada email engkau orang pada setiap kali email aku terima download gambar tu dari supplier tu!.. So, bila aku dapat, engkau orang pun automatic boleh dapat gambar-gambar itu!..” saran lelaki itu dengan bangganya.

Maka berebut-rebutlah kawan-kawan baiknya memberi email address mereka, dan sememangnya perkara itu benar-benar berlaku sehinggalah suatu hari lelaki tadi telah terlibat di dalam satu kemalangan jalanraya dan telah meninggal dunia.

Kawan-kawan lelaki yang berkongsi gambar-gambar porno/lucah itu jadi agak terkejut apabila telah beberapa minggu lelaki itu meninggal dunia tetapi mereka masih lagi menerima email dari lelaki itu yang mengongsikan gambar-gambar yang diterima dari syarikat supplier.

Kawan-kawan lelaki itu jadi takut kerana masih menerima email dari orang yang sudah mati. Mereka tidak dapat bertanya kepada kawan mereka itu kerana lelaki itu telah pun beberapa minggu di dalam kubur atau perkataan lain di alam barzah, tetapi emailnya di dunia ini masih aktif menghantar perkara-perkara maksiat itu.

Ada salah seorang kawan mereka yang tahu serba sedikit ilmu ugama dan berasa amat kasihan kepada arwah lelaki itu, lalu mereka menghubungi syarikat supplier yang mengeluarkan gambar-gambar itu supaya menghentikan penghantaran kepada email lelaki yang telah mati itu.

Tetapi syarikat itu memberitahu yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana lelaki itu telah pun melanggan kontrak dengan syarikat itu untuk beberapa tahun dan semua jumlah bayaran telah dijelaskan dan memandangkan penghantaran gambar-gambar itu adalah atas arahan system ‘auto send’ maka mereka tidak dapat memberhentikan penghantaran itu melainkan jika tuan punya email memberhentikannya sendiri. Semua kawan-kawan lelaki itu yang terlibat jadi tergamam kerana tiada siapa yang tahu ‘password’ email lelaki itu, maka tiada siapa pun yang dapat memberhentikan email lelaki itu selagi system ‘auto send’ itu berfungsi.

Bukankah Allah SWT melalui Rasulnya Nabi Muhamad SAW telah mengatakan:-

Akan terputus semua amalan baik dan pahala anak Adam ketika mereka sudah mati melainkan 3 perkara iaitu:-

1) Ilmu yang baik yang boleh dimanfa’atkan oleh insan lain di dunia dan akhirat. Selagi mana ilmu itu memberi kebaikan kepada orang yang menerimanya, maka selagi itulah simati mendapat pahala.

2) Amalan soleh yang berpanjangan, selagi mana orang yang menerimanya mendapat kebaikan maka selama itu jugalah simati akan mendapat pahalanya.

3) Do’a-do’a dari anak yang soleh dan solehah.

MasyaAllah!... Astagfirullahalazim… cuba bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada roh lelaki itu di dalam kubur selama mana emailnya di dunia ini masih menerima secara ‘auto receive’ dan kemudian meng’auto send’ pula kepada kawan-kawan yang lain akan perkara-perkara maksiat itu? Na’uzubillah!..Tidak berani nekcun hendak memikirkannya.

Jadi, apa yang ingin nekcun kongsikan di sini ialah, walau macam mana canggihnya teknologi komunikasi kita sekarang ini, berhati-hatilah ketika menggunakannya. Janganlah kita begitu ghairah sehingga boleh menjadikan kita tersalah guna kecanggihan teknologi itu, yang mana akhirnya kita yang akan merana selamanya, bukan sahaja di dunia tetapi juga sampai ke akhirat.

Semoga kita semua akan dijauhkan dari perkara-perkara yang mungkar itu kerana kita tidak tahu entah bila ajal kita akan sampai. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mencabut nyawa kita, maka biarlah kita mati di dalam keadaan yang diredhai oleh Allah dengan membawa pahala yang tidak henti-henti dan bukannya dosa yang berpanjangan… Sesungguhnya Dunia ini adalah jambatan ke Akhirat, maka gunakanlah jambatan itu sebaik-baiknya supaya kita akan sentiasa selamat sejahtera ketika sampai di Akhirat kelak. InsyaAllah & Wallahualam!...