Friday, August 26, 2011

Dapatkah kita bertemu lagi?... InsyaAllah!...

Tanpa terasa penat atau lelah, sudah 25 hari Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Belum puas rasanya mengiratkan ukhwah bertarawikh di masjid bersama jiran-jiran sekeliling, namun malam-malam yang penuh keberkatan dan rahmat itu akan tetap meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.

Oh!.. terlalu cepat masa berlalu dan semakin singkat pula usia kita di dunia ini... Entah dapat entah tidak kita bertemu lagi Ramadhan yang mulia ini di tahun hadapan... Hanya Allah yang mengetahuinya!... Dan entah sudah turun ke atau belum malam rahmat yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam LailatulQadar itu dalam Ramadhan kali ini, kita juga tidak mengetahuinya kerana hanya insan-insan yang Allah pilih sahaja yang dapat bertemunya!... Adakah kita termasuk insan-insan yang terpilih itu?... InsyaAllah!... Itulah harapan kita semua kan?... Do'a nekcun semoga kita semua akan menjadi insan-insan yang Allah redhai dan perkenankan untuk bertemu malam yang penuh rahmat itu di dalam beberapa hari yang tinggal ini!... Amiiinnnn...

Dikesempatan ini, ingin nekcun mengucapkan  SELAMAT HARI RAYA DAN MA'AF ZAHIR BATIN kepada semua kekawan yang mengenali nekcun. Mungkin juga dalam tanpa sedar, ada entry-entry nekcun yang telah menyinggung perasaan kekawan dan pembaca budiman, maka nekcun menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan ma'af dari semua kekawan dan pembaca yang sering memberi sokongan kepada penulisan nekcun, samada di blog ini atau pun pada novel-novel nekcun. Semoga segala kema'afan kekawan dan pembaca semua akan dapat menghindarkan nekcun dari seksaan api neraka dan mendapat keredhaan Allah untuk ke Syurga Firdaus di akhirat kelak. 

Bagi kekawan dan pembaca yang akan bermusafir ketika merayakan Edilfitri nanti, berhati-hatilah di jalan raya dan ingatlah selalu insan-insan yang tersayang... Teruskan bertakwa kepada Allah tanpa menjejaskan kemeriahan menyambut Syawal yang akan menjelang. Semoga selamat semuanya!... Wassalam... 

Sunday, August 7, 2011

Mencari Kerahmatan NYA...

Pejam celik pejam celik, tak sedar dah seminggu kita berada di dalam bulan Ramadhan yang barakah ini. Terasa baru semalam nekcun berbicara dengan kekawan seangkatan tentang kasih sayang Allah yang bersedia untuk menerima segala rekod amalan kita semasa malam Nisfu Sya’ban, dan kini hampir tiba pula malam yang lebih rahmat dari segala malam iaitu Malam Lailatulqadar.

Nekcun amat bersyukur kerana menjadi umat Nabi Muhamad SAW yang mana terlalu banyak Rahmat Allah yang telah Allah peruntukkan kepada semua umat Nabi Muhamad SAW berbanding dengan umat-umat Rasul-rasul sebelum baginda.

Walaupun mungkin kita tidak dapat melakukan ibadah yang banyak berbanding dengan umat-umat sebelum Nabi Muhamad SAW kerana umur umat Nabi Muhamad SAW tidaklah sepanjang umur umat-umat terdahulu, tetapi Allah telah memberi kerahmatan NYA yang tidak terhingga kepada semua umat Nabi Muhamad iaitu Rahmat Malam Lailatulqadar

Nekcun tidak mahu berhujjah panjang tentang Rahmat Malam Lailatulqadar itu kerana nekcun yakin semua kita sudah tahu benar akan rahmat dan keberuntungan insan-insan yang dapat menemuinya. Oleh itu marilah kita sama-sama mencari malam yang penuh kerahmatan itu dengan memastikan ibadah puasa kita sekarang ini benar-benar diterima Allah SWT dan apabila kita keluar sahaja dari bulan yang barakah ini kita akan tetap terus mendapat keberkatan dan rahmat Allah itu sehingga ke akhir hayat kita. Teruskanlah melaksanakan semua amalan-amalan soleh disamping amalam khusus yang kita laksanakan sekarang walaupun kita telah keluar dari Madrasah Ramadhan ini kelak. (Kecuali solat Tarawikh laa…)

Dikesempatan ini juga nekcun ingin memohon ampun dan ma’af dari semua kekawan yang mengenali nekcun sekiranya ada kata-kata atau tingkah laku nekcun yang pernah menyakiti hati kekawan semua semasa kita bersiratulrahim ini. Semoga siratulrahim yang dibina akan kekal hingga ke akhir hayat dan mendapat keberkatan dari Allah SWT dan segala amalan kita akan diterima NYA. Amin…