Saturday, June 27, 2009

Macam-macam hal... alahai!...

Banyak juga cerita sensasi yang terlepas dari pengetahuan nekcun ketika nekcun agak lama bercuti bersama keluarga ke satu tempat di alam maya ini. Salah satunya bila kami terpaksa berbaris panjang untuk di scan dari virus H1N1 di KLIA. Nasib baik tak perlu kena kuarantin!… hehehe…

Tapi perkara yang benar-benar mengejutkan nekcun ialah bila Kerajaan Indonesia membuat keputusan untuk tidak membenarkan warga negaranya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

“Mama… nampak gayanya bibik terus tak baliklah ni!…” anak bungsu nekcun berkata ketika membaca berita itu semalam ketika kami baru balik dari bercuti.

Kebetulan pula sekarang ini pembantu rumah nekcun sedang dalam tempoh bercuti selama sebulan setengah dan sekarang berada di kampungnya di Yokjakarta. Memang dah menjadi kebiasaan nekcun memberi pembantu rumah cuti panjang untuk balik kampung setiap dua tahun sekali.

Namun bagi nekcun, apa-apa pun keputusan yang diambil oleh Kerajaan Indonesia adalah lebih kepada merugikan warganegaranya sendiri dari kita rakyat Malaysia. Memang betul, kita mungkin akan susah untuk mendapatkan pembantu rumah sepenuh masa, tetapi kita masih ada cara lain untuk menyelesaikan masaalah itu seperti mendapatkan tukang cuci rumah yang ‘on weekly basis’ atau sebagainya.

Bagi urusan mengasuh anak-anak pula, kita masih ada banyak ‘nursery’ yang boleh kita harapkan untuk menjaga anak-anak kita. Lebih-lebih lagi sekarang ini, kebanyakkan organisasi dan pejabat-pejabat adalah digalakkan untuk mengadakan taman asuhan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pengasuh-pengasuh yang lebih bekelibar, dari pembantu rumah Indonesia yang belum tentu keselamatan dan kebajikan anak-anak kita akan terjamin.

Lagi satu cara ialah… suami-suami yang selama ini hanya jadi ‘King’ kenalah ringankan tulang, tolong isteri mengasuh anak atau mengemas rumah tangga!… mungkin inilah ‘rahmatNya’ yang Allah jadikan perkara ini!… (Mesti berfikiran positif!… hehehe)

Tetapi sebaliknya, warganegara Indonesia sendiri akan menghadapi lebih kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Memang mereka kata, mereka lebih suka bekerja sebagai pembantu rumah di Hong Kong & Taiwan atau pun di Negara-negara Timur Tengah. Tetapi, terjaminkah mereka yang rakyat mereka itu tidak akan mengalami kes penderaan sebagai mana yang rakyat mereka alami di Malaysia? Sudah terjaminkah bahawa majikan mereka di Negara-negara tersebut semuanya baik-baik belaka?

Rata-rata nekcun tengok dan dengar bahawa kes-kes dera pembantu rumah ini adalah bagi majikan yang bukan berugama Islam!… tidak pernah lagi kita dengar majikan Melayu atau yang berugama Islam mendera pembantu mereka sehingga sedemikian rupa! Tetapi ada banyak kes kita dengar pembantu rumah pulak yang ‘besar kepala & suka buat perangai’ pada majikan orang Melayu atau yang berugama Islam!…

Jadi, suka nekcun menasihatkan Kerajaan Indonesia dan juga Kerajaan Malaysia (eh!… boleh ke nekcun nasihatkan mereka? Siapa ya?… hehehe) supaya mengkaji perkara ini dari setiap sudut kerana tindakan atau keputusan yang diambil oleh Kerajaan Indonesia untuk menahan rakyatnya dari terus bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia tanpa penelitian teliti hanya akan merugikan rakyat mereka sahaja akhirnya bila mereka tiada pekerjaan yang boleh menampung kehidupan mereka di Indonesia sendiri!…

Bagi Kerajaan Malaysia pula, cubalah fikirkan gejala yang akan timbul dari tindakan itu iaitu salah satunya akan bertambah ramailah nanti pendatang haram yang akan bekerja di Malaysia tanpa permit kerana bagi mereka, hidup perlu diteruskan dan mereka perlu mencari rezeki walau di mana sahaja, walaupun Kerajaan mereka tidak membenarkan mereka bekerja di Malaysia, tapi kalau sudah di Negara sendiri tidak ada sumber pekerjaan, maka tidak mustahil mereka akan tetap datang ke Malaysia dengan apa jua cara sekali pun!…

Entahlah!… what come what may!… nekcun dah malas nak fikir-fikir lagi cerita pasal pembantu rumah ni… Terasa letih sangat bila kena buat kerja rumah selepas balik bercuti ni… hehehe… Ada atok cadangkan ambil pembantu dari Narathiwat… boleh makan lauk tomyam selalu… hehehe….

Tuesday, June 16, 2009

Di mana kedudukkan Novel Popular di mata pembaca...

Tanpa nekcun sangka semalam nekcun mendapat telefon dari seorang sahabat lama yang sama-sama bekerja di sebuah bank perdagangan suatu ketika dulu. Terkejut juga bila tiba-tiba dapat panggilan dari sahabat yang sudah lama tidak berhubungan.

“Ass’kum! Wah… lama tak dengar khabar you! Apa berita menarik sekarang?” sahabat bertanya.
“Mualaikumsalam… saya macam biasa sajer… kerja cari makan! Tiada apa yang menarik pun!” balas nekcun jujur.
“Hei… I dengar sekarang you dah glamour!” usik sahabat lagi.
“Glamour apanya? Saya tetap macam dulu… kerja makan gaji. Lainlah macam you, orang business, masuk mesti lebat punyer!” usik nekcun kerana nekcun tahu dia telah berjaya menjadi seorang business woman , business Catering apabila dia mengambil VSS dan berhenti kerja dari bank tidak lama dahulu.
“Alaah… business Catering ni, ada pasang surutnya!... kalau tengah-tengah bulan camni susahlah sikit… lainlah kalau cuti sekolah tempoh hari, ramai orang kenduri kahwin, memang tak cukup tangan dibuatnya!” sahabat memberitahu.
“Okeylah tu… anyway, mana you dapat nombor saya ni?” tanya nekcun.
“Itulah yang I cakap you dah glamour!.. I nampak anak I baca novel karya Kamsiah Abu, jadi I pun carilah fakta-fakta penulis dalam google untuk memastikan adakah itu benar2 you, dan kemudian I melayari blog you! Itulah yang I boleh dapat you ni!...” terang sahabat dengan riang rianya.
“So… you dah baca ke novel I? Yang mana satu?” tanya nekcun agak teruja.
“Eeemmm… you tahulah I ni… mana suka membaca! Memasak I sukalah!..” jawab sahabat sambil terus ketawa terbahak-bahak.
“Cuba-cubalah tambah hobby you tu… selain memasak, cubalah baca novel pulak! Bolehlah membantu meningkatkan industri perbukuan jugak…” nekcun menyarankan.

“Nantilah… you punya pasal I akan tambah hobby membaca novel pulak!... tapi, you janganlah tulis novel yang bahasa sastera-sastera sangat!.. I tak sukalah novel-novel yang guna bahasa sastera, susah nak faham apa yang mereka maksudkan! Banyak sangat yang tersurat dan tersirat sehingga kekadang kita tak faham apa yang mereka nak beritahu. Dah tu guna pulak perkataan-perkataan yang jarang kita gunakan dalam bahasa harian, memang boring betul!... mengantuk I kalau membacanya! Sebab itulah I malas nak baca novel...” jawab sahabat selamba.

Tergamam nekcun mendengar komen sahabat itu. Terbayang majlis HSKU yang sedang berjalan sekarang!

“I rasa budak-budak remaja pun memang malas nak baca novel-novel sastera ni kerana sebab-sebab itulah!... mereka tak faham apa yang hendak disampaikan oleh penulis kerana gaya bahasa dan perkataan yang digunakan dalam kebanyakkan novel sastera bukanlah perkataan atau gaya bahasa yang mereka tuturkan sehari-hari… jadi mereka rasa bosan dan akhirnya mereka malas nak baca buku2 berbentuk demikian! Jadi kalau nak sampaikan message pada remaja melalui penulisan, jangan gunakan bahasa sastera yang membosankan!.. I’ll bet if they want to read such novel!...” tambah sahabat lagi apabila nekcun terus membisu.

Tersentuh juga hati nekcun bila mendengar komen yang nekcun rasa begitu jujur. Sebagai seorang penulis yang baru mahu membina tapak di persada penulisan, nekcun terasa juga pedihnya apa yang dikatakan oleh sahabat itu, tetapi nekcun juga tidak dapat menafikan ada juga kebenaran dalam kata-katanya itu.

Sebenarnya bukan baru sekali ini nekcun mendengar komen yang sedemikian. Pernah beberapa ketika nekcun memberi ceramah kerjaya di beberapa IPTA, sempat nekcun mempromosikan novel-novel nekcun. Terdapat komen-komen yang sedemikian dari pelajar-pelajar di mana mereka kata mereka lebih seronok membaca novel-novel popular dari novel-novel yang telah memenangi hadiah sastera, walaupun pada pandangan pihak2 yang tertentu novel-novel itu lebih bermutu dari novel-novel popular.

Malahan ramai dari pembaca2 novel2 nekcun terus memberi maklumbalas pada nekcun untuk terus menghasilkan novel-novel popular dan bukan novel sastera sekiranya nekcun mahu message yang ingin disampaikan dapat dihayati oleh golongan remaja atau lain-lain sasaran pembaca kerana message yang disampaikan secara ‘bahasa ringan atau bahasa santai’ lebih mudah difahami dan lebih effektif.

Eeemmm… entahlah! Nekcun tak berani nak komen pasal bahasa ni banyak-banyak, takut ada pula pihak-pihak yang tersinggung nanti. Apa-apa pun, bagi nekcun setiap penulis ada cara dan gaya penulisan mereka sendiri. Maka terserahlah kepada mereka untuk menentukan cara penulisan mereka masing-masing. Apa yang mustahaknya ialah message yang ingin disampaikan dapat dimanfa’atkan oleh pembacanya dan yang paling utama, penerbit tidak akan menanggung kerugian akibat dari penerbitan novel-novel tersebut. Wallahualam!...

Wednesday, June 10, 2009

5 Perkara Penting Dalam Hidup...

Pagi ni nekcun dapat e-mail dari seorang sahabat yang memang selalu amat prihatin dengan setiap kenalan yang dia ada. Nekcun memang suka sangat pada e-mail2 yang selalu dia hantar kerana banyak perkara yang bermenafa'at yang dapat nekcun pelajari dari e-mail2 beliau.
Kali ini nekcun suka nak kongsi dengan kekawan bloggers semua apa yang nekcun rasa adalah perkara yang memang sewajibnya kita amalkan setiap hari selagi kita bernyawa.
Lima perkara yang semua kita mahukannya dan kita berusaha untuk mendapatkannya ialah:-
1. Wajah yang cantik
2. Duit yang banyak
3. Kesihatan yang baik
4. Anak-anak yang cerdik dan berjaya macam kita
5. Tidur yang nyenyak tanpa gangguan
Sebenarnya senang sajer untuk mendapatkannya, hanya 50 minit setiap hari.
Sabda Nabi SAW,
Siapa yang tinggalkan solat subuh, tiadalah padanya nur di wajahnya
Siapa yang tinggalkan solat zohor tiadalah padanya rezki yang berkat
Siapa yang tinggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan
Siapa yang tinggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak2 yg bermanafaat
Dan siapa yang tinggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak

Oleh itu, marilah kita saling ingat mengingati akan perkara wajib ini demi kebaikan kehidupan kita di dunia dan diakhirat.
Sampaikanlah daripada Nabi SAW itu walaupun hanya satu ayat...
Wallahualam...

Thursday, June 4, 2009

Boss yang bossy!...

Pagi tadi ada seorang kakitangan syarikat telefon nak datang buat temujanji dengan nekcun untuk meminta nasihat dan pandangan kerana dia sedang menghadapi masa’alah dengan ketuanya. Memang itulah salah satu tugas nekcun sebagai EAP practitioner atau pun counselor untuk syarikat tempat nekcun bekerja sekarang di samping tugas utama nekcun di Bhg. Sumber Manusia.

“Hajjah… saya rasa tertekan sangat dengan perangai boss saya!” ujar anggota syarikat.
“Apa yang dia buat sampai awak rasa tertekan?” tanya nekcun.
“Dia bossy sangat!” balas anggota syarikat.
“Dah dia boss, kenalah bossy!… “ ujar nekcun sengaja nak provoke supaya dia akan terus bercerita masaalahnya.
“Iyalah… saya tahulah dia boss, tapi janganlah bossy tak tentu hala!” ujarnya.
“Bossy yang macam mana tu?” tanya nekcun lagi.
“Bla..bla…bla… potpet… potpet…” anggota itu bercerita pasal perangai ketuanya.

Hampir satu jam kami berbincang, tetapi dia yang banyak meluahkan perasaannya, manakala nekcun hanya mendengar sahaja dan sekali sekala nekcun bertanya sekiranya apa yang dimaksudkan tidak jelas.

“Jadi… sekarang awak dah tahu yang boss awak bossy macam tu sebab mahu memastikan tanggungjawab dia sebagai boss berjalan lancar kerana tanggungjawab sebagai boss bukannya mudah, jadi apa yang awak rasa awak patut buat?” nekcun sengaja mahu dia membuat keputusannya sendiri.

“Saya rasa saya setuju dengan statement Hajjah tadi… dah dia boss, kenalah bossy baru kerja boleh berjalan lancar!… saya akan guna cara yang sama kepada anggota bawahan saya pula!… biar boss saya tahu bahawa saya juga seorang boss!.. Terima kasih Hajjah kerana mahu mendengar masaalah saya! ” katanya sambil tersenyum seolah puas hati kerana telah dapat idea untuk bertindak.

Nekcun turut tersenyum dengan keputusan yang dibuatnya sendiri. Dari fahaman nekcun, sebenarnya bossnya itu tidaklah bossy tara mana pun, hanya dia sahaja yang merasa kurang senang apabila ada di antara rakan sekerjanya yang lebih mendapat perhatian dari ketua mereka sebab berjaya menyiapkan semua tugas dalam jangka masa yang ditetapkan kerana mereka tahu mengawal anggota bawahan mereka.

Di samping itu, anggota terlibat merasa tiada siapa yang faham akan perasaan dan masaalahnya kerana selama ini tiada siapa pun yang mahu mendengar rungutannya!… Maka itulah salah satu sebabnya mengapa di syarikat kami, telah diujudkan beberapa orang yang dilantik sebagai EAP practitioner atau pun counselor yang diikhtiraf oleh syarikat untuk membantu anggota-anggota yang memerlukan bantuan seperti yang nekcun ceritakan itu.

Bagi nekcun, walaupun tugas itu sebenarnya hanyalah sebagai tugas sukarela kerana ia tidak termasuk dalam KPIs tugas utama nekcun, tetapi nekcun akan rasa seronok bila anggota yang datang berjumpa nekcun akan pulang dengan lebih senang hati dan bersemangat untuk bekerja di dalam membangunkan syarikat. Bagi nekcun, jika nekcun berjaya membuat orang lain gembira dan bermotivasi adalah satu kejayaan yang amat membahgiakan.

Nekcun selalu percaya akan kata-kata seorang ustaz kepada nekcun suatu masa dulu: “ Sekali kita membantu melapangkan kehidupan orang lain, nescaya Allah akan melapangkan hidup kita sampai bila-bila!…” InsyaAllah!...

Friday, May 29, 2009

Jangan disakiti hati isterimu!...

Dalam masa nekcun dan atok sedang seronok menyakat cucu yang tengah berlari-lari bermain di shopping mall, tiba-tiba telefon atok berdering-dering minta dijawab. Sudah jadi kebiasan atok kalau dia tengah layan cucu, memang dia tidak akan jawab telefon. Lalu dia menyerahkan telefonnya pada nekcun untuk menjawabnya.

Memandangkan kami sedang bercuti agak jauh, maka nekcun juga tidak akan menjawab telefon yang nombornya tidak di register dalam contact list kami. Jadi nekcun membiarkan sahaja deringan itu berhenti sendiri.

Tidak sampai 5 minit, telefon atok berdering lagi dan nombor yang sama seperti tadi tertera lagi. Nekcun biarkan lagi dan ianya berlarutan sehingga empat kali.

“Jawablah telefon tu, tanya dia sape dan nak apa! Nampak macam urgent sangat!” Atok menyuruh nekcun apabila telefon itu berdering lagi untuk kali kelima.

“Hello, Assalamualaikum!”
“Mualaikumsalam, ini telefon Haji ke? Ini isterinya ke?”
“Ya… saya!... siapa ni?” tanya nekcun agak suspence kerana mendengar suara pompuan dalam telefon tu.
“Eemmm… saya Minah (bukan nama sebenar) isteri Dollah (juga bukan nama sebenar)… ma’aflah menganggu Hajjah, saya cuma nak pastikan ini betul ke nombor telefon Haji…” katanya agak gugup.
“Ya, puan Minah... ini saya, Hajjah. Puan nak cakap dengan Haji ke?”
“Hajjah dengan Haji ada di mana sekarang?”
“Kami sekeluarga sedang bercuti. Itulah Haji tengah main dengan cucunya, jadi tak angkat telefon tadi…”
“Oh… ma’aflah… cuti dalam M’sia ke di luar M’sia ni…?”
“Kenapa pulak?”
“Kalau luar M’sia, nanti saya telefon lainlah bila dah balik nanti. Takut nanti bil telefon melambung pulak!”
“Okeylah kalau begitu… lusa kami baliklah…” ujar nekcun sambil memutuskan talian.

Atok dengan nekcun agak terkejut juga bila mendapat panggilan dari Minah tu kerana selama ini tidak pernah dia menghubungi atok. Bagaimanapun akhirnya atok dan nekcun membiarkan sahaja isu itu sehinggalah kami balik ke rumah pada hari Rabu lepas.

Petang semalam nekcun mendapat panggilan dari Minah tu apabila dia memberitahu yang atok telah memberikan nombor nekcun kepadanya. Dia kata dia lebih senang bercerita dengan nekcun dari dengan atok, tetapi semasa dia menelefon awal tu, dia tengah buntu dan tidak tahu pada siapa dia hendak memohon pertolongan.

Dari perbualan itu, nekcun baru tahu rupanya dia baru mendapat tahu yang suaminya sedang ‘bermain cinta terlarang’ dengan wanita lain. Dia boleh mengesan perkara itu bila mendapati terlalu banyak SMS dan panggilan dari wanita itu dalam bil telefon suaminya. Sehingga, ada waktu-waktunya pukul 3 pagi pun mereka ada berhubungan. Apabila dia ‘confront’ dengan suaminya, suaminya kata bahawa nombor itu adalah nombor kekawan golfing mereka. Tapi Minah lebih cekap, dia telah telefon nombor itu dan telah ‘confront’ dengan wanita itu dan dia pun dah mengaku segalanya. Sebab itulah Minah telefon atok untuk mendapatkan pengesahan kerana suaminya itu adalah kekawan atok juga.

Apabila nekcun ceritakan hal itu pada atok, mengucap panjang atok dibuatnya!...
“Mengapa bang?” nekcun bertanya.
“Jadi betullah apa yang kami sangkakan selama ini!” balas atok.
“Sangkakan apa?”
“Memang betul mereka ada hubungan sulit!...”
“Siapa?” nekcun tambah bingung.
“Dollah dengan Zenah… (bukan nama betul)” jawab atok seolah terkilan.
“Oh!... Zenab tu ke?...” nekcun juga turut terkejut.
Atok hanya mengangguk. Nekcun lagilah terkilan yang amat-amat kerana nekcun memang mengenali kesemua mereka itu dan memang selama ini kami semua berkawan rapat melalui suami masing-masing. Malah Minah dengan Zenab juga saling kenal mengenali agak rapat.

Eeemmm… nekcun tak mahulah nak cerita panjang pasal kisah ‘cinta terlarang’ ni kerana ia amat menyakitkan hati bagi isteri yang terkena perbuatan khianat suaminya itu. Sebagai seorang isteri, nekcun faham benar perasaan Minah. Iyalah… dalam keadaan umur-umur “rumah kata pergi, kubur kata mari” pun suaminya masih sanggup mengkhianati perkahwinan yang telah terjalin lebih dari 30 tahun.

Entahlah!... nekcun pun kekadang tak faham, apalah sangat yang di cari dek suami-suami yang sebegini. Tidak kah kau ingat segala kebaikkan isteri kamu selama ini? Kalau kamu mencari yang lebih muda, tidakkah isteri kamu juga dulu pernah muda dan kekasih baru mu itu juga nanti akan tua juga. Lagi pun, kamu tu pun kan dah tua Bangka juga!.. Tak malukah pada anak cucu bila mereka tahu perangai ‘gatal’ kamu itu?

Nekcun hanya mampu menasihati Minah agar bertawakal dan memohon pertolongan Allah agar rumah tangganya kembali bahgia. Nekcun suruh juga dia beritahu suaminya, adakah tidak suaminya berfikir sedemikian:-

1) Sekiranya dia meneruskan dengan episode cinta terlarang itu, tidakkah dia tahu yang dia sebenarnya dalam kerugian.
2) Dia akan kerugian bila dia hilang kepercayaan dan rasa hormat serta kasih sayang isteri, anak, menantu dan cucunya kelak kalau mereka mengetahui perkara tersebut.
3) Dia akan kerugian apabila dia hilang maruah diri dan rasa hormat dari kawan-kawan yang selama ini menghormatinya.
4) Dia akan kerugian apabila dia terus menanggung dosa kerana menipu isteri dan anak-anak selama ini.

Entahlah… nekcun macam rasa dah malas nak fikir soal-soal begini. Nekcun bukan nak salahkan lelaki sahaja, tetapi... juga kaum wanita yang tidak tahu menilai maruah diri sendiri. Tidakkah wanita-wanita yang suka ‘merampas hak orang ini’ terfikir bahawa kalau hari ini lelaki itu boleh meninggalkan isterinya kerana dia, maka tidak mustahil satu hari nanti lelaki itu juga akan meninggalkannya untuk wanita lain.

Wahai kaum sejenisku… janganlah kita sakiti hati kaum kita sendiri… dan wahai kaum lelaki, sayangilah dan kasihilah isteri anda yang telah banyak berkorban melahirkan zuriat anda… janganlah disakiti hatinya. Bagaimana anda rasa, kalau anda di tempat isteri anda itu?...

Bukan niat nekcun mahu ‘mengharamkan yang halal’ tetapi, kalau mahu membuat juga, ikutlah cara yang sebenarnya mengikut sunnah Rasullullah, bukannya hanya kerana mengikut naluri kelakian kamu… Kepada kaum lelaki, nekcun minta ma’af sekiranya entry kali ini agak emosional dan mungkin mengguris hati kalian, tetapi marilah berfikir secara waras dan fikirkanlah segala implikasi yang akan timbul dari perbuatan itu…

Harap ma’af sekiranya ada kekawan bloggers yang terguris rasa akan N3 nekcun kali ini…

Friday, May 22, 2009

Bibik oh bibik!...



Mesyuarat, taklimat, ceramah dan sessi temuduga silih berganti tanpa henti memerlukan perhatian dan kehadiran nekcun sepanjang minggu ini… amat meletihkan!...

Bibik pula sudah mula cuti panjang, balik ke Yogjakarta selama sebulan setengah mulai hari ini. (Memang setiap 2 tahun sekali nekcun beri dia cuti panjang, balik kampong). Huh!... kerja rumah yang menanti pulak agak menyenakkan!... (Itulah susahnya kerana selama ini semua bibik yang uruskan!...) Rasa tak sabar nak tunggu bibik balik semula ke sini…

Takut teratak nekcun ni akan penuh sawang pulak nanti… tak sempat nak bersihkan!... janganlah kekawan tak mahu singgah pulak bila dah bersawang… lagi sedih nekcun nanti!...

Huhuhuhukkk….

Friday, May 15, 2009

Antara Cinta dan Pengorbanan...


“Assalamualaikum nekcun!” terdengar suara romantis di telefon apabila nekcun tergesa-gesa menjawab telefon yang berdering-dering di atas meja sehingga tidak sempat hendak melihat nombor yang terpapar tadi.

“Mualaikumsalam, siapa nih?” soal nekcun dengan nada serius kerana baru balik dari mesyuarat yang agak menyenakkan perut.

“Sibuk ke?”

“Eeemmm… sibuk juga! Encik siapa ni… dan apa yang boleh saya bantu?” nekcun cuba melembutkan suara kerana khuatir mungkin pelanggan syarikat yang perlu dihormati.

“Betul nekcun boleh bantu saya?”

“Siapa awak ni? Kalau tak mustahak, saya akan letak telefon ini kerana saya ada banyak kerja yang perlu dibereskan sekarang!” jawab nekcun spontan kerana nekcun baru tersedar yang sipemanggil itu menyebut nekcun dan bukannya nama nekcun yang sepatutnya. Maka sudah pasti dia bukan pelanggan syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan nekcun.

“Awak masih seperti dahulu ya… cepat melenting!”
“Hei… siapa awak ni? Sorry… I’m busy….”
“Nanti, nanti Kay!... jangan letak telefon… “ kedengaran suara itu merayu sebelum nekcun sempat mahu meletak telefon ke ganggangnya.
“Apa awak nak?”
“Saya nak bercakap dengan Kay! Saya rindu pada Kay, pada suara Kay!...”

Nekcun terkedu sebentar bila mendengar dia menyebut nama ‘Kay’… hanya seorang sahaja yang pernah memanggil nekcun dengan nama itu! Hati nekcun jadi berdebar! Dari mana dia dapat nombor telefon ini? Mengapa tiba-tiba dia mencari aku?... nekcun benar-benar bingung…

“Kay!... kenapa senyap?”
“Eeerrr… awak di mana? Macam mana awak boleh dapat nombor telefon saya ini?”
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan hidup Kay…”
“Kenapa awak buat begitu?”
“Saya rasa Kay tahu kenapa!”
“Kan awak dah janji tak mahu ganggu hidup saya lagi! Kenapa sekarang awak datang cari saya?”
“Saya perlu jumpa Kay!... perlu sangat sebelum saya meninggalkan Kay untuk selamanya!” kedengaran suara yang amat lirih merayu.
“Maksud awak?”
“Penyakit lukemia yang menyerang saya telah sampai ke tahap critical!... Doktor kata sudah tidak ada apa lagi yang boleh dibuat…”
“Awak kena penyakit lukemia? Sejak bila?”
“Sejak saya melepaskan cinta Kay untuk dimilikki oleh lelaki lain!...”
“Mengapa awak berbuat begitu? Kenapa awak tipu saya?” Air mata nekcun sudah hampir berderai di tubir mata.
“Kerana saya amat mencintai Kay. Saya tidak mahu Kay menderita kerana saya!”

Nekcun terjelepok di kerusi. Kerongkong nekcun terasa tersumbat. Air mata tidak dapat di tahan lagi dari terus berderai membasahi pipi…

Inikah yang dipanggil Pengorbanan sebuah Percintaan?... sehingga ke hari ini nekcun masih mencari jawapan yang entah sampai bila akan nekcun temui…

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu...



<<<> gambar ketika anak & menantu membelanja nekcun dan besan makan seafood di Port Klang.

Mama… oh Mama!…
Kaulah ratu hati kami semua…
Tanpa mama…
Tidak akan kami lahir ke dunia
Menikmati hidup di alam maya ini…
Jasa mu mama, tidak terhingga
Keredhaan mu jua yang selalu kami pinta
Semoga Allah sentiasa memberkati
Kehidupan kita sekeluarga sehingga akhir nanti…
Kami semua sayang Mama!…

Bait-bait indah yang mencuit hati nekcun apabila anak-anak nekcun dengan penuh kasih sayang mengucapkannya. Nekcun jadi agak sebak apabila mereka adik beradik tidak pernah lupa untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ setiap tahun walaupun pada dasarnya mereka selalu berkata bahawa ‘Hari Ibu’ adalah pada setiap hari bukan pada satu hari tertentu ini sahaja.

Walau apa pun, nekcun amat bahgia dengan kehadiran anak-anak, anak menantu dan cucu, menambah memeriahkan lagi rumah nekcun pada hujung minggu ini. Mereka juga membawa nekcun & atok makan bersama-sama keluarga yang lain di tepi laut.


Kepada kekawan yang sudah bergelar Ibu, nekcun juga ingin mengucapkan “Selamat Hari Ibu’ untuk kita semua. Semoga kita akan menjadi Ibu yang mithali dan berjaya mendidik anak-anak kita untuk menjadi insan-insan yang soleh dan solehah. InsyaAllah!...