Sunday, January 12, 2014

Novel DEMIMU NAZWA - Bab 3

KENAPA senyap aje ni, sayang? Tak seronok jumpa Ed ke?” usik Edham ketika mereka sedang makan malam di sebuah restoran yang biasa mereka kunjungi.
Memang begitulah selalunya, Edham dan Nazwa akan keluar makan berdua-duaan terutamanya kalau sudah lama tidak bertemu. Kalau ikutkan hati, memang Nazwa agak keberatan tetapi tidak sampai hati pula untuk menghampakan permintaan lelaki yang begitu baik dan amat memahami perasaannya itu.
Dalam tempoh lebih setahun perkenalan mereka, belum pernah Edham menyakiti hati Nazwa. Sebaliknya, Nazwa yang agak kasar dengan Edham. Nazwa tahu yang Edham amat mencintainya dan dia tidak sanggup menghampakan hasrat lelaki itu.
Sebenarnya Nazwa buntu. Tidak tahu bagaimana nak terangkan kepada Edham. Selama ini, Edham hanya tahu yang dia sudah berkahwin dan telah berpisah dengan suaminya. Namun pada hakikatnya, Edham tidak tahu bahawa Nazwa sebenarnya masih terikat dengan suaminya. Ahmad Saifulrizwan tidak pernah melafazkan talak dan mengikut hukum syarak Nazwa masih lagi isteri lelaki itu.
Tidak ada sebarang dokumen pernikahan yang disimpan.Malah Nazwa sendiri tidak tahu bahawa dokumen itu amat penting untuk sebarang urusan berkaitan tuntutan perkahwinan dari segi undang-undang negara. Dan sebab itulah Nazwa tidak pernah minta dokumen itu semasa hidup bersama dahulu. Tambahan, pada umur 20 tahun, Nazwa tidak pernah terfikir bukti pernikahan itu amat penting baginya.
Sehingga sekarang, Nazwa tidak boleh buat apa-apa atas status pernikahan mereka. Dia tidak mempunyai satu pun bukti bahawa dia pernah bernikah dengan lelaki bernama Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy. Namun dari hukum syarak, Nazwa tahu bahawa mereka masih suami isteri yang sah kerana lelaki itu telah menerima ijab kabul mereka secara sah di hadapan Imam Masjid London Central di Kota Metropolitan lebih kurang enam tahun yang lalu.
“Err...tak adalah! Kenapa Ed cakap macam tu?”
“Dari tadi Ed tengok Naz senyap sahaja. Tak ceria macam selalu. Nampak macam Naz tak rindu pada Ed walaupun dah dua minggu kita tak jumpa.”
“Ed, siapa kata Naz tak rindu? Tapi kalau rindu pun apa yang boleh Naz buat sekarang?” usik Nazwa sambil tersenyum nakal.
“Itulah, dah berapa kali Ed ajak Naz kahwin cepat, tapi Naz asyik minta tangguh. Kalau tak, kita dah...” Terhenti Edham di situ. Lidahnya kelu untuk meneruskan kata-katanya.
“Kita dah apa?” tanya Nazwa, tiba-tiba rasa seronok mahu menduga perasaan Edham.
“Naz, Ed tahu Naz faham apa yang Ed maksudkan. Tapi kenapa Naz mahu kita derita begini?” tanya Edham dengan nada agak lirih.
“Ed! Ooo...” Nazwa tidak mampu menjawab melainkan mengeluh lemah sebagaimana selalu apabila Edham mendesak begitu.
Nazwa perasan Edham telah meletakkan sudu yang dipegang. Tangannya mahu menyentuh jari-jemari Nazwa yang berada di atas meja namun cepat-cepat dia menarik kembali tangannya apabila mendengar keluhan Nazwa itu.
Memang begitulah Edham. Terlalu jujur dengan hubungan sehingga tidak pernah menyentuh jari-jemari Nazwa kerana menghormati pendirian gadis itu dalam menjaga tatasusila dan hukum agama di dalam pergaulan.
Hati Nazwa jadi amat sendu dan pilu setiap kali melihat reaksi Edham itu. Tambahan pula lelaki itu sering menyuarakan hasrat mahu mengahwininya. Kalaulah bukan sebab apa yang terjadi padanya hampir empat tahun dulu, mungkin Nazwa dengan senang hati menerima lamaran Edham itu. Nazwa sedar, tidak ramai lelaki yang jujur seperti Edham di dalam menjalinkan hubungan.
Maafkan aku, Ed! Aku benar-benar tak berdaya sekarang, bisik hati kecil Nazwa dengan rasa penuh sendu.
Lantaran desakan Edham yang begitu mengharap, Nazwa terpaksa berterus terang dengan Edham mengenai dirinya yang pernah berkahwin. Kemudian berpisah ketika belajar di UK dulu, walaupun itu adalah satu rahsia yang tidak ada siapa pun mengetahuinya walaupun ibunya sendiri.
Pada mulanya Edham agak terperanjat namun dia amat menghargai kejujuran Nazwa dan berjanji tak akan menceritakannya pada sesiapa pun. Kejujuran Nazwa itulah yang menguatkan lagi cinta Edham pada wanita itu.
Sudah beberapa kali Edham menegaskan bahawa dia tidak kisah akan status ‘janda’ Nazwa itu. Tiada siapa pun yang akan tahu bahawa Nazwa pernah berkahwin dan kemudian bercerai ketika berada di luar negara dahulu. Dan sebab itulah Edham tidak mahu ambil tahu siapa bekas suami Nazwa. Baginya yang penting, adalah keikhlasannya mencintai Nazwa dan mahu mengahwini wanita itu seberapa segera. Cinta yang hadir dalam hati Edham ketika pertama kali menatap wajah Nazwa setahun yang lalu, adalah cinta yang amat agung baginya.
“Kenapa susah benar Naz nak terima Ed? Adakah Naz masih tak percaya pada Ed ataupun Naz memang tak pernah mencintai Ed?” soal Edham lagi.
“Ed, janganlah cakap macam tu. Naz amat menghargai cinta Ed tapi...”
“Tapi apa Naz?”
“Naz masih takut akan perkara ngeri yang telah menimpa perkahwinan Naz dulu. Naz tak berani nak menghadapinya untuk kali kedua,” beritahu Nazwa sambil menundukkan kepala.
Dia tidak tahan dengan renungan Edham yang bagaikan menembusi jantungnya.
“Naz, tidak semua lelaki sama. Lagipun, masa tu mungkin Naz masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Tapi sekarang Naz sudah lebih matang. Ed yakin kita boleh bina sebuah rumah tangga yang bahagia kerana kita telah sama-sama tahu tanggungjawab masing-masing,” pujuk Edham lagi.
“Tapi Ed...”
“Tapi apa Naz? Apa lagi bukti cinta kalau bukan melalui perkahwinan?” ucap Edham seolah-olah mahu mencabar kejujuran Nazwa.
Nazwa merenung anak mata Edham. Dia tidak nampak yang lain melainkan cinta yang luhur dalam mata lelaki itu. Hati Nazwa jadi bertambah sendu dan pilu.
“Berilah Naz masa. Insya-ALLAH kalau ada jodoh kita, tak ke mana.” Akhirnya Nazwa berkata perlahan, bagaikan memohon simpati.
“Ed akan beri berapa banyak masa yang Naz perlukan walaupun seribu tahun lagi. Cuma Ed mahu Naz tahu bahawa berakhirnya sesuatu itu, bukan bermakna tiada lagi permulaan. Permulaan yang baru mungkin akan lebih baik dari yang telah berakhir. Lupakanlah segala yang pernah menjadi mimpi ngeri Naz itu. Buka lembaran baru. Kita bina kebahagiaan baru bersama,” ujar Edham, membalas renungan Nazwa dengan penuh kasih sayang.
“Ed jugak mahu cinta kita ini subur dalam keadaan yang mendapat keredhaan ALLAH. Dan sebab itu, Ed mahu kita berkahwin secepat mungkin. Berapa lama lagikah perlu kita menanggung derita jiwa, menahan perasaan rindu begini? Kita bukan lagi pasangan remaja yang masih belum tahu hala tuju kehidupan. Ed harap Naz fikirkanlah apa yang Ed kata ni,” pujuk Edham, bagaikan tidak pernah kenal erti putus asa.
“Insya-ALLAH Ed. Doakanlah agar niat suci kita ini akan diredhai dan dipermudahkan ALLAH.”
Dengan suara yang agak perlahan Nazwa membalas agar Edham tidak dapat mengesani getaran yang sedang memukul dinding jantungnya.
Oh... bagaimanakah boleh aku mengahwini kau, Ed? Kalau kau tahu keadaan aku yang sebenarnya, mungkin kau takkan desak aku begini, hati kecil Nazwa terus merintih pilu.
Memang Nazwa amat menyenangi kehadiran Edham tetapi sama ada dia benar-benar mencintai lelaki itu, Nazwa sendiri tidak tahu. Dia masih belum boleh memadamkan wajah Ahmad Saifulrizwan dari ingatannya.
Cinta pandang pertama bagi kedua-dua mereka bagaikan tidak boleh dipisahkan. Itulah yang membuatkan mereka terperangkap dalam perkahwinan mereka dahulu.