Monday, April 25, 2011

Susu Ibu atau Ibu Susuan...

Pagi tadi nekcun agak terlewat sedikit pergi untuk menjalankan tugas rutin nekcun. Bila dah lambat tu, biasalah... macam lipas kudunglah nekcun dibuatnya. Pandu kereta pun, kalau takat lampu kuning tu sempat pecut lagi. Nasib baiklah semasa nekcun sampai tu, just in time untuk nekcun menjalankan tugas-tugas nekcun. Jadi tidaklah nekcun terpaksa bersoal jawab dengan sesiapa yang berkenaan.

Selesai projek yang nekcun perlu uruskan itu, seperti biasa nekcun dan beberapa orang kawan-kawan nekcun pun berehat-rehat sambil berbual-bual kosong melepaskan stress sementara nak pergi lunch.

"Heh!.. nampak kalut sangat tadi, Hajjah lambat, kenapa?" Kak June bertanya.

"Haah!.. seminggu dua ni agak kalut sikit kerana pagi-pagi kena mandikan cucu baru dulu!.." jawab nekcun sambil melepas lelah.

"Oh!.. iyalah lupa pulak... Hajjah baru dapat cucu sorang lagi ya?" Kak Che Amar mencelah.

"Eemm... seronok dapat cucu ni.. walau pun penat tapi bila tengok mata dia kelipok-kelipok, lega rasa hati!.." balas nekcun, seronok.

"Cucu nekcun okey ke? Tak ada jaundice ke?" soal Kak June lagi.

"So far so good!.. Alhamdulillah... sebab dia 100% menyusu ibunya!.. " balas nekcun lagi.

"Eeemm... memang pun... kalau bayi yang menyusu badan emaknya 100% akan kurang terkena jaundice. Lagi pun susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi.." ujar Kak Che Amar.

"Tapi ramai ibu-ibu yang tak mahu menyusukan anak-anak mereka, takut badan tak cantiklah, tak cukup air susulah dan macam-macam lagilah alasan mereka!.." Kak June pula mengkomen.

"Sebab itulah anak-anak sekarang ramai yang tak ingat mak bapak bila besar sebab mereka lebih banyak minum susu lembu dari susu ibu sendiri!.. Tapi saya, saya paksa anak saya untuk susukan anaknya!.." nekcun menambah komen Kak June.

"Eloklah tu, Hajjah!.. memang sepatutnya anak-anak ni diberikan susu ibunya 100% semasa kecil-kecil ni supaya lebih sihat dan elok pula akhlahnya esok-esok... tak adalah perangai mereka tu pun macam haiwan bila dah besar panjang kelak!.. macam kes-kes yang banyak berlaku sekarang ni.. mungkin sebab terlampau banyak minum susu lembulah agaknya sehinggakan perangai pun dah jadi macam haiwan!.." kelihatan Kak June agak emosional menyuarakan pendapatnya.

Bila menyebut pasal susu lembu ni, teringat nekcun akan jenaka kekawan nekcun yang lain ketika kami berehat selepas beriadah di gym baru-baru ni.

"Siapa tahu kenapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing?" Puan Gee bertanya kami semua.

"Memanglah manusia tak boleh berkahwin dengan haiwan!.. apalah you ni, Ghee!.." Datin J berkata sambil tersenyum lebar.

"Tapi itu bukan sebab utama. Kalau nak tahu mengapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing ialah... sebab lembu dan kambing itu adalah 'ibu susuan' kepada manusia!... mana kita boleh kahwin dengan ibu atau adik beradik susuan!.. Kan sekarang ni ramai betul orang yang memberi anak-anak mereka susu lembu atau kambing daripada susu ibu sendiri!.." balas Pn. Ghee sambil tertawa terkekeh-kekeh.

"Hah!.. pandailah you nak pekena kami ya!..." Datin J menepuk bahu Pn. Gee sambil turut tergelak besar.

Iyalah!.. lawak, lawak juga. Tetapi kalau difikir-fikirkan ada juga betulnya. Bila anak-anak sudah diberi susu haiwan sejak kecil lagi sehinggakan melebihi susu ibu, maka kalau perangai mereka kelak jadi macam haiwan juga, siapakah yang nak disalahkan?

Entahlah!.. tak berani nekcun nak komen kerana anak-anak nekcun sendiri dulu pun ada juga nekcun beri susu lembu apabila nekcun telah terpaksa meninggalkan mereka di rumah untuk mencari rezeki. Namun, bagi nekcun apa yang penting adalah secara keseluruhannya, adakah makanan yang kita berikan pada anak-anak kita itu dari sumber yang halal atau tidak, kerana makanan itulah yang akan menjadi darah daging mereka dalam membentuk akal dan akhlak mereka.

Jadi sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan kekawan semua supaya memastikan anak-anak kita diberi makanan dari sumber yang halal. Ini bukan sahaja bahan-bahan makanan itu tetapi juga wang ringgit yang digunakan untuk membeli bahan-bahan makanan tersebut. Jika wang ringgit itu diperolehi dari jalan yang salah atau haram, maka makanan yang diberi juga boleh jadi haram walaupun pada dasarnya bahan-bahan makanan itu halal.

Oleh itu, pastikanlah semua pendapatan kita adalah dari sumber yang halal bagi memastikan anak-anak kita akan mendapat makanan yang akan menjadi darah daging mereka adalah halal. Marilah kita sama-sama membendung 'sunami akhlak' yang sedang menyerang negara kita ini sekarang dengan kita memulakan pemulihannya dari dalam rumah kita sendiri, demi kebaikkan ugama, bangsa dan negara. Wallahualam!...

Tuesday, April 12, 2011

Mari kita jumpa di sana!..PWTC (23-04-2011 Sabtu)

Alhamdulillah, nekcun amat bersyukur kepada Allah kerana semua novel-novel nekcun telah mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran. Tidak lupa juga nekcun mengucapkan terima kasih kepada semua peminat novel yang telah membeli dan membaca novel-novel nekcun.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua orang suka membaca novel Melayu. Nekcun sendiri pernah terdengar komen yang mengatakan novel-novel Melayu ni agak 'stereotype'  iaitu kebanyakkan temanya mestilah berkisar kisah cinta!.. Asyik-asyik cinta!.. itulah kata mereka.

Tetapi, bukankah hidup manusia itu memang sentiasa diselubungi dengan 'Cinta'? Cinta kepada Allah dan Rasulnya (bagi orang2 Islam), Cinta kepada kedua ibu bapa, cinta kepada keluarga dan bermacam-macam lagi versi 'Cinta' yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Jadi, apalah salahnya kalau kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sesebuah novel itu sentiasa berkisar tentang cinta.

Bagi nekcun, apa yang penting adalah bagaimana kisah 'cinta' itu diolah dan diceritakan supaya pembaca akan mendapat menafa'at dari pembacaannya itu, contohnya apa yang dipaparkan itu akan dapat memberikan iktibar atau pun tauladan yang boleh dimenafa'atkan oleh pembacanya. Nekcun juga berpendapat bahawa berkongsi perkara yang baik sesama insan adalah satu tanggungjawab bersama dan harus dilakukan dalam apa jua situasi yang mampu kita laksanakan untuk sampai kepada sasarannya.

Jadi bagi penulis novel, sekiranya kisah yang dipaparkan dalam novelnya itu adalah cara yang terbaik yang mampu dia lakukan untuk berkongsi ilmu yang menafa'at, maka apalah salahnya!.. Berilah dia sokongan moral agar dia akan dapat lebih mengembangkan bakatnya!.. 

Bagaimana pun, nekcun tetap menghormati setiap komen pembaca kerana nekcun tahu citarasa seseorang itu memang tidak sama dengan orang lain. Maka terserahlah kepada pembaca budiman untuk menilai kualiti sesuatu novel-novel itu.   

Dikesempatan ini juga, ingin nekcun menjemput kepada semua kekawan dan juga pembaca yang meminati novel-novel nekcun dan juga novel-novel penulis yang lainnya untuk sama-sama meriahkan Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada 22/4/2011 hingga 1/5/2011.

InsyaAllah, nekcun akan berada di booth Grup Buku Karangkraft (Penerbit novel2 nekcun: Buku Prima) untuk bersama peminat-peminat novel pada hari Sabtu 23/4/2011 dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Nekcun amat mengharapkan akan dapat bertemu kekawan semua pada hari tersebut.

Jumpa di sana!.. di sana!...

Friday, April 1, 2011

Mengapa 24 jam masih tak cukup?...

Pejam celik, pejam celik tak sedar kita dah nak masuk suku kedua tahun 2011. Begitu pantas masa berlalu sehingga dirasakan masa 24 jam sehari itu bagaikan tak cukup untuk nekcun menguruskan segala apa yang perlu diuruskan setiap hari.

Dulu semasa nekcun bekerja sepenuh masa di salah satu GLC terkemuka, nekcun ingatkan masa 24 jam tu rasa tak cukup sebab banyak masa perlu dihabiskan sepenuhnya di pejabat. Jadi itulah sebabnya nekcun tak sabar-sabar nak meninggalkan tugas tersebut dan mahu memberi tumpuan kepada bidang & projek yang nekcun rancangkan bersama beberapa sahabat dan ahli keluarga dengan harapan akan ada lebih masa untuk nekcun merehatkan minda & jasmani yang agak sudah keletihan selama berpuluh tahun berkhidmat di syarikat itu. Namun, apa yang nekcun harapkan itu agak meleset rupanya!..

Walaupun sekarang nekcun tidak berapa terikat dengan waktu rasmi pejabat, tetapi untuk memastikan apa yang nekcun lakukan itu benar-benar diredhai Allah, nekcun masih perlu meluangkan masa nekcun setiap hari sekurang-kurangnya empat jam yang selalunya nekcun akan laksanakan pada belah pagi sehingga tengahari. Dan pada belah petang nekcun akan tumpukan pula pada aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang juga memerlukan perhatian dan komitmen nekcun yang agak padat. Akhir-akhirnya nekcun rasakan tidak ada banyak bezanya antara semasa nekcun bekerja sepenuh masa dahulu dan sekarang!..

Tak tahulah nekcun, samada masa yang semakin laju atau nekcun yang dah semakin tak larat!... hehehe..

Tambah-tambah lagi dalam seminggu dua ni, memang nekcun agak kalut macam lipas kudung kerana baru mendapat ahli baru dalam keluarga iaitu cucu nekcun yang terbaharu. Pagi-pagi sebelum nekcun keluar ke mana-mana yang nekcun perlu uruskan, nekcun perlu terlebih dahulu memastikan anak dan cucu nekcun ini diuruskan sebaik-sebaiknya sehinggalah anak nekcun itu habis pantang kelak kerana semasa dalam pantang ini nekcun mahu menjaga mereka sebaiknya.

Walaupun ada dua pembantu rumah (1 nekcun punya dan yang 1 lagi anak nekcun punya) yang membantu menguruskan apa yang perlu, tetapi nekcun tak yakin dan tidak mahu melepaskan sepenuhnya tangggungjawab menguruskan cucu yang baru lahir itu kepada mereka kerana bagi nekcun air tangan ibu adalah lebih berkat di dalam membina keluarga bahagia.  

Itulah agaknya nekcun rasa bagaikan 24 jam sehari itu tidak cukup untuk nekcun sekarang!.. Tapi, apa-apa pun nekcun amat bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan nekcun dan atok seorang lagi cucu yang comel dan sehat walafiat. Semoga semua anak2 , menantu dan cucu2 nekcun akan menjadi anak-anak yang soleh & solehah yang akan membahgiakan, mensejahterakan, menggembirakan dan memuliakan nekcun dan atok dari dunia hingga akhirat.... InsyaAllah!..