Tuesday, May 25, 2010

Malam Santapan Amal Nur-Kasih


Pada Ahad malam semalam, seronok betul nekcun dapat jemputan dari Yayasan Nur-Karangkraf untuk turut sama memeriahkan malam Santapan Amal Nur Kasih di Dewan Merdeka PWTC yang telah diserikan dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan juga Dato’ Seri Shahrizat Abd. Jalil.

Yayasan Nur-Karangkraft yang ditubuhkan pada tahun 2002 adalah untuk membuka ruang kepada semua para karyawan Kumpulan Karangkraft untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja amal bersama masyarakat.

Alhamdulillah, sebagai salah seorang novelis di Buku Prima, salah satu syarikat penerbitan anak syarikat Kumpulan Karangkraft, tidak secara langsung nekcun juga telah dijemput sama untuk memeriahkan majlis santapan Amal Nur Kasih itu.

Kemuncak di majlis santapan amal itu adalah penyampaian sijil-sijil kepada penderma dan juga penyampaian dana dari wakil penderma. Disamping itu ialah majlis penyampaian sumbangan dana kepada ibu-ibu tunggal yang disempurnakan oleh SPB Raja Permaisuri Agong.

Bagi nekcun, malam itu bukan sahaja seronok kerana dapat makan sedap, tetapi apa yang lebih seronok adalah apabila dapat bertemu dengan beberapa novelis-novelis lain dari Alaf21 dan juga Buku Prima.

Eeemm… kalau dah novelis bertemu novelis, maka… apa lagi.. keluarlah segala madah-madah indah dan gurau senda yang membuatkan kami semua sentiasa tak kering gusi.

Sekali sekala dapat bertemu rakan-rakan seperjuangan begitu memang seronok. Bagi nekcun apa yang seronok sangat ialah apabila bertambah lagi sahabat handai dan bertambah luas lagi ikatan Siratul-rahim antara kita sesama insan, itulah yang paling menyeronokkan.

p/s: Kepada semua pihak pengurusan Buku Prima, terima kasih kerana menjemput saya ke malam amal yang amat meriah itu.

Wednesday, May 12, 2010

SEANDAINYA KAU ADA...


Alhamdulillah, novel terbaharu nekcun telah mula berada di pasaran sekarang. Inilah salah satu buah tangan nekcun untuk peminat-peminat novel Melayu untuk tahun ini. Nekcun berharap benar ianya dapat memenuhi citarasa peminat novel semua.

SEANDAINYA KAU ADA sesuai untuk semua lapisan umur kerana ianya merangkumi kehidupan semua lapisan masyarakat dan umur. Semoga apa yang nekcun garapkan di dalam novel ini akan dapat memberi tauladan, kesedaran dan kebaikan kepada semua insan yang membacanya di dalam kita mengharungi kehidupan akhir zaman yang penuh pancaroba ini.

SINOPSIS:

Apabila yang diimpikan dan diharapkan tidak menjadi kenyataan walaupun ianya sudah berada di depan mata, Nur Syahirah jadi bagaikan layang-layang putus tali. Nur Syahirah berkelana ke negara yang amat asing baginya kerana membawa hati yang duka lara.

Berbekalkan kecekalan hati dan kekuatan semangat yang masih bersisa, Nur Syahirah cuba membina hidup baru di perantauan. Di dalam kehidupan global tanpa sempadan itu, Nur Syahirah bertemu dengan Isaac.

Perkenalan di alam cyber telah menjadi realiti kehidupan di alam nyata apabila Isaac menjejaki Nur Syahirah di negara yang berlainan benua itu. Cinta yang luhur membawa Isaac mencari Nur Syahirah, gadis yang dipujanya walaupun belum pernah bertentang mata.

Bagaimanapun, Nur Syahirah jadi keliru apabila Iskandar, tiba-tiba muncul antara dia dan Isaac. Amat payah untuk Nur Syahirah menerima cinta Iskandar ataupun Isaac kerana kisah pilu dahulu sentiasa membelenggu hidupnya.

Berkat sabar dan sikapnya yang tidak mudah putus asa, akhirnya Iskandar berjaya mengahwini Nur Syahirah. Dalam kekeliruan mengenali perasaan sendiri, Nur Syahirah pasrah dan berusaha untuk membalas cinta luhur suaminya itu.

Namun, apabila kebahagiaan Nur Syahirah disamping suami tercinta sudah mula menjengah, hati Nur Syahirah diduga lagi. Fazlur, lelaki yang pernah mengecewakannya dahulu kembali menagih perhatian Nur Syahirah.

Walaupun telah berkahwin dengan Rozita, wanita pilihannya, Fazlur masih mengharapkan kehadiran Nur Syahirah semula. Nur Syahirah yang merasakan bahawa Fazlur perlu mendapat sokongan dan perhatiannya, telah menyebabkan Iskandar berada dalam keadaan serba salah. Apakah reaksi Iskandar terhadap isterinya itu?

Hanya SEANDAINYA KAU ADA akan menyingkap semua rahsia, kemelut dan gelora yang telah melanda dan menyelubungi kehidupan Nur Syahirah, Iskandar, Isaac , Fazlur dan Rozita.


Apabila minda tidak dapat berfikir, ikutlah gerak hati

"Bagaimana anggapan orang kampung? Saya adalah anak gadis yang majlis perkahwinannya terpaksa dibatalkan kerana tunang saya lebih mencintai wanita lain. Syirah, anak dara yang kena reject!" ~ Nur Syahirah.

"Syirah, izinkanlah I mencantumkan kembali serpihan cinta you yang pernah hancur dahulu. I janji, I akan tetap setia pada cinta yang satu ini. Berilah I peluang ini, Syirah!" ~ Iskandar.

"Demi kebaikan Syirah dan demi cinta saya pada dia, sebab itulah saya tinggalkan dia dulu. Biarlah apa sebabnya itu terus menjadi rahsia saya tapi saya mahu dia tahu bahawa saya bukan sengaja mahu menyakiti hatinya. Saya tak mahu dia terus membenci saya kerana hanya dia perempuan yang pernah saya cinta dengan sepenuh hati saya!" ~ Fazlur.


Semoga anda semua seronok membaca novel ini... Terima kasih di atas sokongan semua!..

Tuesday, May 4, 2010

Menghadapi cabaran akhir zaman...

Suka nekcun nak kongsi dengan kekawan apa yang nekcun dah belajar dua tiga hari ni. Harap-harap ianya akan dapat kita manfa'atkan bersama.
1) Apakah yang paling jauh dengan kita?
Jawapannya: Masa yang telah berlalu
2) Apakah yang paling dekat dengan kita
Jawapannya: Mati
3) Apakah yang paling berharga pada kita
Jawapannya: Masa yang ada sekarang.
Disamping itu, marilah kita renung-renungkan samada kita sedar atau tidak akan tanda-tanda atau ciri-ciri akhir zaman iaitu:-
1) Jahil yang berleluasa - zaman sekarang ramai orang yang pandai-pandai, mereka tidak jahil tetapi ilmu atau kepandaian yang ada itu bukan digunakan untuk kebaikan atau ke jalan yang Allah redhai tetapi kepada jalan yang lebih membawa kepada kemudaratan, contohnya criminal 'white collar' dan macam-macam lagi.
2) Kelalaian yang terlalu banyak - terlalu banyak hiburan yang disogokkan kepada kita. Orang jadi lupa kepada Allah SWT. Terlalu banyak hiburan tetapi fikiran tak juga tenang.

3) Harta haram terlalu banyak - banyak rezeki yang di dapati bukan dengan cara yang halal seperti rasuah, riba' dan macam-macam lagi. Rezeki itu pula diberikan untuk jadi makanan anak isteri dan menjadi darah daging anak-anak. Harta tidak memberi keberkatan kepada kehidupan dan sebab itu ramai orang yang tak cukup-cukup dengan hartanya sehingga sanggup menipu dan sebagainya untuk mendapatkan harta.
4) Fitnah terlalu banyak - sesuatu perkara akan terus diperkatakan seperti gelombang walaupun kesahihanya belum terbukti. Selain itu, orang-orang kita sendiri seperti tidak peka untuk menjaga diri dari difitnah. Finah di sini ialah apabila sikap atau kelakuan atau perbuatan atau penampilan kita akan memudahkan orang lain membuat fitnah / gosip.
5) Kemungkaran / maksiat terlalu banyak - orang sudah tak rasa malu berbuat dosa. Disamping itu ada juga yang merasakan dosa itu satu amalan contohnya perempuan yang mendedahkan aurat dikhalayak ramai tetapi menganggap kononnya apa yang mereka lakukan adalah untuk kutipan amal.
6) Hasad dengki terlalu banyak - rasa dengki telah banyak menghapuskan kebaikan sesama insan hingga sanggup bermusuh-musuhan, kata mengata dan kutuk mengutuk sesama insan.
7) Kesedihan terlalu banyak - orang hanya akan ingat Allah ketika ditimpa musibah tetapi akan lupa pada Allah ketika senang.
8) Banyaknya pemimpin yang jahat - tidak jujur, tidak ikhlas di dalam menjalankan tanggungjawab. Lebih mementingkan diri sendiri.
9) Banyaknya Ulama yang suk (jahat) - menukar hukum Allah sesuka hati hanya untuk mensesuaikan keadaan dan kepentingan diri.
10) Banyak berlaku kematian mengejut - bencana alam, penyakit-penyakit berjangkit seperti HINI, Dengue , sakit jantung dan sebagainya.
Untuk kita tidak terus tersesat ketika akhir zaman ini, kita perlu mengimbangi cara hidup kita dengan keperluan dunia dan akhirat. Banyakkan amalan soleh yang dituntut oleh Allah, banyakkan bergantung kepada Allah dari bergantung kepada yang ada di dunia semata-mata. Hendaklah kita kembali kepada Ilmu Ugama yang betul menurut syariat Islam.
Itulah beberapa informasi dan ilmu yang dapat nekcun catitkan untu kita kongsi bersama. Diharapkan ianya boleh walaupun tidak banyak, memberi sedikit kesedaran kepada kita bahawa kita ini sudah hampir benar dengan akhir zaman. Nekcun sendiri suka mengingatkan diri nekcun kerana nekcun pun tak tahu samada nekcun sempat lagi bertaubat sebelum Allah memanggil nekcun kembali kepadaNYA.
Marilah kita berpesan-pesan walaupun hanya sebaris ayat.