Monday, September 28, 2009

Bagaimana kita menyambut Hari Kemenangan?

Huh!.. lega rasanya bila dah selamat sampai kembali ke rumah setelah seminggu berhari raya di kampong halaman. Memang beraya bersama keluarga dan saudara mara semua adalah sesuatu yang amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila semua orang yang disayangi ada bersama kita.

Namun… tidak semua orang dapat bergembira di hari raya!... ramai juga di antara kita yang kesedihan di hari raya apabila orang-orang yang disayangi tidak kunjung tiba, tetapi apa yang tiba hanyalah jenazahnya sahaja kerana kemalangan jalanraya!...

Sekiranya itu berlaku, siapakah yang harus disalahkan? Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari Ops sikap meningkat!... Eeemmm... setiap tahun, itulah tajuk utama yang dimuatkan ke telinga kita apabila tiba cuti hari raya!... Adakah itu menandakan Ops sikap itu tidak berjaya merubah sikap pemandu-pemandu kita?... Jadi buat apa dinamakan Ops Sikap?... Eloklah ianya ditukar kepada Ops Bunuh Diri atau Membunuh Orang Lain!.. barulah agaknya semua orang terfikir untuk berhati-hati ketika memandu.

Eeemmm... entahlah... nekcun memang malas nak cakap bila cerita pasal pemandu yang tidak berhati perut ni... Banyak kali juga nekcun dan atok terkena dengan mereka-mereka ni ketika sepanjang perjalanan balik kampung dan ketika balik kembali ke rumah.

Contohnya semasa di highway utara selatan, nekcun nampak satu bas express tu lajunya mengalahkan kereta kita ni... dah tu jalan di tengah-tengah dan kekadang ke kanan ke kiri sesuka hati dia untuk memotong kereta lain. Bayangkan, kalau kita kereta yang lajunya 110 km sejam pun boleh dipotongya, jadi berapakah kelajuan bas express itu? Cuba bayangkan kalau dalam kelajuan begitu, tiba-tiba tayarnya pancit... sudah tentu pemandunya tidak dapat mengawal pemanduannya dan akibatnya mungkin akan membahayakan kenderaan lain yang berhampiran dengannya!... Bukankah ini satu penginyaan namanya.

Berbalik pasal menyambut Hari Raya... macam-macam cara orang kita menyambut Hari Raya ini. Macam nekcun sendiri, memang telah menjadi resam kami sekeluarga bahawa kami akan tinggal di hotel sepanjang berada di kampung halaman. Bukan tidak mahu duduk di rumah mertua, tetapi oleh kerana ramai sanak saudara yang balik berkumpul di rumah mertua ketika cuti hari raya, maka nekcun sekeluarga selalu mengalah dengan tinggal di hotel, tetapi tetap pergi menziarahi rumah mertua setiap hari dan masa. Balik hotel hanya untuk mandi, solat dan tidur sahaja.

Tetapi, nekcun rasa sedih betul bila ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku ketika kita bergembira kerana menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa tetapi telah dicemari dengan perbuatan yang tidak bermoral oleh sesetengah umat Islam sendiri. Contoh yang amat menyedihkan ialah kes pilu seorang suami yang mendapati isterinya ditangkap berkhalwat di sebuah hotel di utara tanah air. Lebih menyedihkan, wanita itu ditangkap dengan lelaki bukan Islam. Ini terang-terangan betapa rapuhnya iman seorang muslim yang mudah tergoda dengan janji manis yang didorong oleh syaitan!

Sepatutnya, dalam bulan baik hari baik ini, kita disunatkan lebih banyak bertarbiah dan bermuhasabah diri samada kita telah benar-benar menang untuk meningkatkan takwa dan iman kepada Allah SWT dan juga menang dari segala godaan syaitan semasa menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Tetapi apa yang selalunya berlaku, terutamanya gulungan insan-insan yang kurang bertakwa kepada Allah adalah menganggap hari raya sebagai hari terlepasnya dari bebanan berpuasa, iaitu terlepasnya dari menahan lapar dan dahaga semata-mata. Oh!... betapa malangnya nasib insan-insan ini.. Semoga janganlah kita termasuk ke dalam gulungan insan-insan yang sedemikian!..

Marilah kita hayati hari kemenangan ini dengan perkara-perkara yang lebih memberi manfa’at untuk kebaikan kehidupan kita di dunia dan akhirat, mengiratkan siratul-rahim sesama insan dan berma’af-ma’afan dengan cara yang lebih diredhai oleh Allah SWT.

SELAMAT HARI RAYA, MA’AF ZAHIR BATIN

p/s: Sesiapa yang sudi dan dah tahu rumah nekcun, jemputlah datang ke rumah. Nekcun tidak buat special 'open house’ kerana hari raya adalah hari 'open house’ sepanjang bulan.

Wednesday, September 16, 2009

Sessi Temuduga...

Pagi ini nekcun menerima e-mail dari seorang kawan yang meminta nekcun mengeluarkan iklan kekosongan jawatan. Hai!... mentang-mentanglah aku ni orang HR, bila ada sajer iklan kekosongan jawatan mesti serah kat aku!.. Tak tahu ke orang dah nak cuti Raya nih?.. nekcun berleter dalam hati..

Namun, apabila membaca e-mail tersebut dan demi ingatan sesama Islam dan kita adalah disunatkan untuk ingat mengingati walau pun sebaris ayat, maka nekcun hendak juga keluarkan iklan itu untuk dikongsi bersama semua kekawan dan juga semua Umat Islam... Tambahan apabila kita semua akan meninggalkan Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini tidak lama lagi...


TEMUDUGA JAWATAN KOSONG: CALON JENAZAH

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN


KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal..
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN
(khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur..
2. Perlindungan di Padang Mahsyar..
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA :
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA :
Di dalam kubur (Alam barzakh).

KELAYAKAN :
Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.

Sila bawa dokumen asal iaitu :
Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA :
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR :
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON :
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI :

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:Sabda Rasulullah S.A.W:"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya."

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk.. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk.Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.

Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".

Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN

Dari nekcun sekeluarga.

Wednesday, September 9, 2009

Malam yang sentiasa dirindui...

Terlalu cepat masa berlalu, tidak sedar malam sepuluh terakhir Ramadhan sudah mengentuk di muka pintu!

Oh!... tiba-tiba hati nekcun jadi terlalu rindu!... rindu pada malam Lailatul Qadar yang setiap tahun sentiasa diharapkan dapat bertemu…

Dapatkah tahun ini nekcun bertemu malam yang dirindui dan ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di dunia ini?

InsyaAllah!... memang itulah do’a dan harapan nekcun dan semua kita yang masih berpeluang hidup pada malam sepuluh terakhir Ramadhan ini.
Semoga Allah akan memperkenankan do’a-do’a kita semua!... Amiiiinnn...
MA'AF ZAHIR DAN BATIN KEPADA SEMUA YANG MENGENALI NEKCUN....

Tuesday, September 1, 2009

Kemerdekaan dan bulan makan-makan....

Apakah erti kemerdekaan dalam Bulan Ramadhan? Itulah tajuk tazkirah yang ustaz bawakan untuk kami jemaah Surau Al-Sakeenah di kawasan tempat tinggal nekcun.

Nekcun memang dari awal lagi sudah teruja untuk mengetahui apakah yang hendak disampaikan oleh ustaz itu kerana kebetulan pula pagi itu (31/8/2009) memanglah hari Kemerdekaan yang ke 52 bagi negaraku Malaysia yang kebetulan jatuh dalam bulan Ramadhan.

Dalam tazkirahnya, ustaz menyatakan bahawa tidak bererti kemerdekaan sesebuah negara jika rakyatnya sendiri tidak memerdekakan diri mereka sendiri. Di dalam kontek ini adalah di mana kita orang-orang Islam di Malaysia diibaratkan sebagai tidak merdeka sekiranya kita sendiri tidak berjaya untuk melengkapkan diri kita dengan Iman dan Takwa ketika menyambut ‘Kemerdekaan’ di Bulan Ramadhan.

Memang banyak dugaan yang perlu kita hadapi untuk memerdekakan diri kita di dalam bulan Ramadhan ini. Kemerdekaan dari hasutan syaitan dan iblis yang memang sentiasa mahu menyesatkan kita!.. Salah satunya yang memang amat berat untuk dilakukan oleh semua umat Islam terutamanya orang-orang Islam di Malaysia ini ialah ‘melawan nafsu’.

Ustaz juga menyatakan, nafsu adalah merupakan satu-satunya faktor utama yang susah untuk manusia menghindarkannya di dalam memerdekakan diri ketika di bulan Ramadhan. Berbagai-bagai nafsu yang sering boleh merosakkan Iman seorang umat Islam ketika menjalani ibadah puasa ini dan salah satunya ialah ‘nafsu makan dan berbelanja’ di mana di dalam bulan Ramadhan inilah kita orang di Malaysia boleh mendapatkan semua jenis makanan yang mungkin tidak ada pada bulan-bulan lain, tetapi ianya mudah di dapati di merata tempat ketika bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan di Malaysia telah bertukar kepada bulan ’makan-makan dan menjamu selera’ sehinggakan semua hotel-hotel di Malaysia akan menyajikan berbagai jenis juadah untuk dinikmati, bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga oleh bangs-bangsa lain yang akan turut mengambil kesempatan menjamu selera. Itu belum lagi termasuk pasar-pasar Ramadhan yang diujudkan khas sempena bulan Ramadhan sahaja di mana kekadang makanan yang dijual lebih banyak dari orang yang hendak membeli. Itu jugalah yang akan mendorong nafsu makan kita semakin tinggi kerana banyak pilihan di depan mata. Dan akhirnya akan jadilah kita sahabat syaitan kerana melakukan pembaziran...

Bagaimana pun nekcun tertarik kepada kesimpulan yang ustaz terangkan mengenai tiga (3) kumpulan umat Islam yang berpuasa iaitu:-

1) Kita berpuasa kerana kita orang Islam mengikut keturunan kita, dan oleh kerana kita Islam, kita perlu berpuasa sebagaimana semua orang Islam yang lain.
2) Kita berpuasa kerana hendak menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Kalau kita tak puasa, kita tidak akan merasa kemeriahan Hari Raya.
3) Kita berpuasa kerana kita Beriman dan Bertakwa kepada ALLAH dan Rasulnya.

Jadi… gulungan manakah kita ketika ini?... sama-samalah kita fikir-fikirkan...
Selamat Mengerjakan Ibadah Puasa dan mendapat keberkatan Ramadhan....

Wednesday, August 26, 2009

Ucapan yang mengharukan perasaan!...

Setiap kali Takbir bergema
Hatiku yang sunyi bertambah hiba
Memendam rindu yang kian membara
Dikau yang ku cinta sekian lama
Dari ku muda hingga ke tua.
Kini...
Mungkin kau tidak mengingati ku lagi
Entah bila cintamu boleh ku milikki
Namun aku akan terus menanti
Kerana hati ini tidak pernah sangsi
Hanya kau yang ku cinta sampai mati!...
Wahai sayangku...
Semoga kau dapat merasa segala rinduku
Ku sampaikan salam di angin lalu
Semoga Aildil Fitri mu gembira selalu...

Dariku,
”Insan yang telah kau lupakan”

Cuba kekawan bayangkan, apakah perasaan kekawan kalau ketika sedang tension dan stress kerana tengah menangani beban kerja di pejabat yang sentiasa bertimbun-timbun, tiba-tiba didatangi oleh Kad Hari Raya yang pertama di terima dengan ungkapan yang sedemikian?
Sekadar mahu berkongsi rasa syahdu dan sendu yang sedang nekcun rasakan sejak semalam!...

Wednesday, August 19, 2009

Gula dan Bulan Ramadhan... alahai...

Malam tadi nekcun dengan atok pergi ke pasaraya yang berhampiran rumah kami untuk membeli sedikit barang-barang dapur untuk keperluan bulan Ramadhan kelak. Nekcun tak mahu pergi pada hujung minggu kerana selalunya pasaraya akan penuh sesak pada hujung minggu, sehingga nak menolak troli pun tak muat.

Sebenarnya nekcun tak beli banyak barang pun. Hanya beberapa barang-barang harian seperti susu, gula, tepung dan bahan-bahan minuman untuk berbuka puasa kelak.

Ketika nekcun menghampiri tempat gula pasir, nekcun dapati tidak ada banyak bungkusan gula seperti selalunya. Dah tu, ada pula kertas notis diletakkan di situ: “setiap pembeli hanya dibenarkan 5 kilo sahaja”. Nekcun pun agak terkejut juga kerana sebelum ini tidaklah ada had sebegitu untuk membeli gula. Namun, itu tidak memberi masaalah pada nekcun kerana keluarga kami memang tidak banyak menggunakan gula (kerana nekcun memang dah manis!…. bukan diabetes ya!… hehehe… perasanlah pulak!) demi menjaga kesihatan sekeluarga.

Bagaimanapun nekcun ambil jugalah 2 kilo sahaja kerana dalam bulan puasa ni kekadang tu guna juga gula untuk air teh O panas semasa berbuka puasa. Itu pun selalunya nekcun bancuh tak manis sangat, takat manis buah sahaja kerana sudah ada manisan dalam buah Kurma. Atok pun tak suka manis-manis. Jadi bila gula kena catu camni, kami tidaklah masaalah sangat.

Sedang nekcun mahu mengambil bungkusan gula itu tetiba ada satu perempuan datang mendekati nekcun.
“Dek!… adik ambil berapa kilo gula tu?” tanya wanita itu.
“Saya tak perlu banyak, 2 kilo sajer dah cukup!” jawab nekcun selamba.
“Dek, ambil 5 kilo… nanti kat luar akak bayar kat adik!” pintanya dengan nada merayu.
“Eh!… nak buat apa pulak saya nak sampai 5 kilo? 2 kilo ni pun tak habis sebulan!…” jawab nekcun agak hairan.
“Bukan untuk adik!… tapi untuk akak!…” jawabnya seolah berbisik. Mungkin takut didengari oleh pelanggan lain.
“Eh!... kalau akak nak beli, akak ambil sahajalah untuk akak!” balas nekcun dengan nada agak tegang.
“Akak dah ambil 5 kilo, anak akak pun dah ambil 5 kilo, tapi tak cukup lagi…” jawabnya seolah merayu.
“Akak buat apa gula banyak-banyak tu?” soal nekcun lagi. Atok hanya memerhatikan kami.
“Akak ni miaga kueh dik… jadi bulan Ramadhan ni, akak kenalah tambah jualan dan sudah tentu akak kena banyak gunakan gula!… tolonglah dik, ambil 3 kilo tu untuk akak!” rayunya lagi.
“Oh gitu!… kalau akak miaga, pergilah beli kat pasaraya kat sana tu, ada jual secara pukal, boleh beli banyak-banyak!…” nekcun menyarankan.
“Akak dah pergi sana, tapi gula pun dah habis!… kena catu camni gak!…” jawab wanita itu, merayu belas ihsan nekcun.

Begitulah keadaannya bila barang makanan utama kekurangan di pasaran. Orang akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya. Nekcun sendiri pun tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja gula kurang di pasaran.

Malah dalam akhbar Star semalam ada mengatakan ianya adalah kekurangan di seluruh global bukan di Malaysia sahaja, Betul ke tu? Kenapa boleh jadi macam tu? Bila nak bulan Ramadhan sahaja, gula pasti akan berkurangan. Tahun lepas pun camtu jugak!… tak sangka pulak pokok tebu gula ni tahu bulan Ramadhan atau tidak ya?…

Eeemmm… entahlah… nekcun pun tak tahu apa nak cakap… mungkin ini adalah salah satu dugaan Allah kepada semua Umat Islam yang akan menghadapi Bulan Ramadhan. Allah tidak mahu kita membazir-bazir makanan semasa berbuka puasa! Cukuplah manisan dengan buah kurma sahaja!…

Tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbuka puasa dengan buah kurma sahaja!… sana sini nekcun lihat hotel-hotel telah membuat promosi Juadah berbuka puasa!… dan harganya… bukan seringgit dua ringgit… tetapi ada yang sampai beratus ringgit seorang. Mampukah kita menghabiskan makanan sebegitu banyak ketika berbuka puasa kelak? Sedarkah kita bahawa ini adalah salah satu hasutan syaitan yang sangat halus terhadap umat Islam… Ada firman mengatakan: Membazir itu adalah sahabat Syaitan!… jadi mahukah kita menjadi sahabat syaitan ketika kita berebut-rebut mencari ‘bonus’ yang Allah janjikan sepanjang Ramadhan kelak?… marilah sama-sama kita fikirkan…. Wallahualam!…
p/s: Selamat menyambut Ramadhan AlMubarak kepada semua kekawan yang berugama Islam. Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan yang penuh keberkatan ini.... Nekcun juga ingin minta ma'af kepada semua kekawan sekiranya ada salah silap selama kita berhubungan...

Tuesday, August 11, 2009

Hadiah anak-anak kepada ibu bapa...



Dalam seminggu dua ni nekcun rasa macam 24 jam sehari itu bagaikan tidak mencukupi bagi nekcun untuk menguruskan kerja-kerja pejabat dan juga kerja-kerja di rumah yang bertimbun-timbun sehingga untuk menulis sebaris ayat pun nekcun rasa tidak berkesempatan. Sebab itu jugalah teratak nekcun ni dah macam penuh sawang pulak!... hehehe...

Hujung minggu lepas (Hari Sabtu 8/8/2009) pun nekcun sibuk juga kerana menghadiri majlis Konvokesyen anak nekcun yang bungsu di MMU dan pada malamnya pula nekcun mengadakan sedikit majlis makan-makan dan do’a kesyukuran di rumah nekcun sempena dengan kejayaan anak nekcun itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun nekcun terasa agak penat juga.


Nekcun dan atok memang amat bersyukur kerana anak bungsu sudah selamat konvokesyen dan telah pun bekerja. Semasa majlis konvokesyen tu, nekcun lihat ramai graduan-graduan yang riang gembira apabila dapat bertemu semula dengan rakan-rakan mereka setelah mereka meninggalkan kampus. Termasuklah anak bungsu nekcun! Bukan main lagi dia dan kekawannya berpeluk-peluk bila telah lama tidak berjumpa dan mereka juga mengenalkan ibu bapa masing-masing yang turut gembira melihat anak-anak menerima Ijazah di atas pentas.
Itulah salah satu kepuasan yang akan dirasa oleh setiap ibu bapa iaitu bila anak-anak yang dijaga dari kecil telah berjaya mencapai cita-cita mereka. Pada pendapat nekcun, sudah tentu semua ibu bapa akan merasa bahgia bila melihat anak-anak mereka berjaya di dalam pelajaran dan kerjaya. Mereka tidak akan meminta apa-apa dari anak-anak mereka, melainkan kejayaan anak-anaklah yang mereka anggap sebagai hadiah untuk menghargai penat lelah mereka menjaga dan mendidik anak-anak itu sejak kecil.
Melihat telatah mereka, teringat nekcun ketika menghadiri majlis konvokesyen nekcun dulu. Ketika semua kawan-kawan sebuk memperkenalkan ibu bapa kepada kekawan yang lain, nekcun pula sebuk memperkenalkan suami dan anak-anak. Bukan nekcun tidak menghargai budi kedua ibu bapa nekcun tetapi mereka yang lebih merelakan atok dan anak-anak untuk bersama nekcun ketika itu. Namun nekcun tahu, kedua ibu bapa nekcun tetap gembira dan bahgia bila melihat nekcun bahgia bersama atok.

Walaupun terasa malu juga kerana dah beranak pinak baru teringat nak ke Menara Gading, (nak buat camna… atok meminang awal sangat!... hehehe…) tapi nekcun tetap rasa bersyukur kerana tercapai juga cita-cita nekcun untuk menggenggam segulung Ijazah. Bagi nekcun, ‘nothing is too late’… 'Tiada siapa yang akan merubah kehidupan kita kalau bukan diri kita sendiri!'... Wallahualam.



Monday, August 3, 2009

Tawaran Hebat yang tidak boleh dilepaskan!...

Dalam sedar tak sedar, musim tawaran hebat Bonus Tahunan sudah hampir menjelang lagi. Tak sabar rasanya nekcun nak merebut peluang sempena tawaran hebat yang memang tiada tandingannya ini. Marilah kita sama-sama merebutnya semasa kita masih punya peluang....

Apakah persediaan kita untuk mengambil peluang tawaran hebat itu? Do'a nekcun hanyalah semoga Allah memanjangkan umur kita semua supaya nekcun dan semua kekawan bloggers sempat merebut tawaran hebat itu lagi pada tahun ini... InsyaAllah....