"Aku sayang kamu / dia!.."
"I love you!.."
Pernahkah kita terfikir mengapa seseorang itu mahu melafazkan perkataan 'sayang atau love' dan berapakah pula nilainya perkataan 'sayang atau love' itu kepada kita atau kepada sesiapa sahaja atau apa jua yang menerima ucapan itu?
Bagi nekcun yang bukanlah seorang falsafah atau pun seorang yang bijak pandai, perkataan 'sayang atau love' itu amat luas dan tinggi nilai serta maknanya. Namun ia tidak akan memberi makna atau nilai apa-apa kalau perkataan itu hanya dilafaz di bibir tanpa diikuti sebarang bukti atau perbuatan atau tindakan yang dapat memberi makna dan nilai terhadap perkataan itu. Perkataan 'sayang atau love' tidak akan memberi apa-apa makna atau nilai sekiranya pengucap dan penerima tidak dapat merasai akan keujudan perkataan itu.
Seorang ibu yang melafazkan sayang pada anak-anaknya, pasti akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan sayangnya itu. Dia akan menjaga dan mendidik anak-anaknya dengan baik supaya anak-anaknya akan sentiasa sehat dan sejahtera. Seorang ibu sanggup tidak makan asalkan anaknya dapat makan. Seorang ibu sanggup tidak tidur malam untuk menjaga anaknya yang sakit hanya untuk memastikan anaknya akan kembali sehat dengan penjagaannya yang rapi itu. Pendek kata, seorang ibu akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mensejahterakan anak-anak yang disayang walaupun dirinya harus menanggung segala kesulitan dan kesengsaraan hanya kerana mahu membuktikan bahawa perkataan 'sayang atau love' yang dilafazkan kepada anak-anaknya itu benar-benar dapat dirasai serta memberi nilai dan makna yang tinggi kepada anak-anaknya.
Begitu juga antara suami dan isteri. Suami yang mengakui dan melafazkan sayang atau love kepada isterinya, perlu membuktikan nilai dan makna perkataan itu dengan segala perbuatannya yang boleh memberi nilai dan makna yang sebenar terhadap perkataan sayang atau love itu. Perkataan itu tidak akan memberi makna atau nilai apa-apa kalau hanya dilafaz di bibir tetapi tiada tindakan lanjut yang boleh dirasa atau dilihat dengan mata kasar akan kesungguhan nilai sayang atau love yang diucap itu.
Bagi pasangan yang bercinta, ucapan sayang / love adalah satu ucapan yang sering menjadi kemestian. Tetapi sejauh mana nilai dan makna ucapan itu dapat dirasa dan dinilai oleh si pengucap dan si penerima? Secara dasarnya kalau kita menyayangi sesuatu itu, sudah pasti kita akan memastikan apa yang kita sayang itu sentiasa selamat, baik dan sejahtera. Jadi bagi pasangan yang bercinta, bagaimanakah bukti sayang atau love itu seharusnya dibuktikan?... Adalah sewajarnya setiap kekasih yang menyayangi kekasihnya harus sentiasa menjaga dan memastikan kesejahteraan kekasihnya, tidak kira dari segi fisikalnya atau pun naluri dan rohaninya, maka barulah ucapan sayang atau love itu akan benar-benar memberi nilai dan makna yang tepat.
Namun apa yang banyak terjadi sekarang ini, ucapan sayang atau love di kalangan pasangan kekasih remaja bagaikan sudah tidak memberi sebarang nilai yang murni apabila ucapan sayang atau love itu bagaikan lesen untuk mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah sehingga ada yang sanggup merosakkan orang yang disayang itu. Nilai sayang atau love itu sudah menjadi terlalu hina di dalam keadaan begitu.
Bagaimanakah pula kita mahu membuktikan nilai dan makna yang sebenar terhadap hubungan kita dengan Allah? Adakah cukup dengan kita mengucapkan "Aku mencintai / menyayangi Allah dan Nabi Muhammad" bagi membuktikan bahawa kita seorang hamba Allah di muka bumi ini?...
Nekcun yakin, semua orang Islam tahu bagaimana kita harus membuktikan sayang kita kepada Allah dan Rasulnya kerana perasaan sayang kita itu tidak akan dapat dilihat dengan mata kasar kalau tanpa bukti yang kukuh. Ianya bukan hanya sekadar melafazkan ucapan 'Dua kalimah Syahadah' tetapi ianya perlu lebih dari itu. Nilai dan makna sayang yang kita ucapkan kepada Allah dan Rasulnya perlu diikuti dengan tindakan-tindakan kita untuk membuktikan perasaan sayang yang kita rasai itu.
Sebagaimana yang nekcun katakan awal tadi, apabila kita sayang pada sesuatu itu maka kita pasti mahu yang terbaik untuk yang disayang dan rela melakukan apa sahaja sebagai membuktikan perasaan sayang kita itu. Maka ianya adalah sama juga jika kita sayangkan Allah dan Rasulnya. Kita perlu sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja yang menjadi kegemaran / kesukaan Allah dan Rasulnya untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nya.
Tetapi berapa ramaikah antara kita yang sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja untuk menegakkan ugama yang diredhai Allah ini sebagai membuktikan sayang dan cinta kita kepada Allah dan Rasulnya?... Sebagai membuktikan betapa tingginya nilai sayang yang sering kita ucapkan kepada Nya?... Wallahualam... nekcun sendiri tidak berani mengatakannya kerana nekcun juga hanyalah seorang insan biasa dan juga hamba Allah yang amat kerdil di sisiNya.
Namun nekcun sentiasa berdo'a agar Allah akan terus memberikan Hidayah dan RahmatNya ke dalam hati kita dan setiap umat Islam di dunia ini agar kita akan terus berusaha membuktikan sayang kita kepadaNya dengan mentaati segala ajaran dan hukum-hukum yang telah diturunkanNya untuk kita dan bukan hanya sekadar ucapan di bibir sahaja... InsyaAllah!...
2 comments:
insyaAllah..sama-samalah kita berdoa agar sentiasamendapat petunjuk dan hidayahNya..amin
Ya betul! hehehhe
Post a Comment