Monday, April 25, 2011

Susu Ibu atau Ibu Susuan...

Pagi tadi nekcun agak terlewat sedikit pergi untuk menjalankan tugas rutin nekcun. Bila dah lambat tu, biasalah... macam lipas kudunglah nekcun dibuatnya. Pandu kereta pun, kalau takat lampu kuning tu sempat pecut lagi. Nasib baiklah semasa nekcun sampai tu, just in time untuk nekcun menjalankan tugas-tugas nekcun. Jadi tidaklah nekcun terpaksa bersoal jawab dengan sesiapa yang berkenaan.

Selesai projek yang nekcun perlu uruskan itu, seperti biasa nekcun dan beberapa orang kawan-kawan nekcun pun berehat-rehat sambil berbual-bual kosong melepaskan stress sementara nak pergi lunch.

"Heh!.. nampak kalut sangat tadi, Hajjah lambat, kenapa?" Kak June bertanya.

"Haah!.. seminggu dua ni agak kalut sikit kerana pagi-pagi kena mandikan cucu baru dulu!.." jawab nekcun sambil melepas lelah.

"Oh!.. iyalah lupa pulak... Hajjah baru dapat cucu sorang lagi ya?" Kak Che Amar mencelah.

"Eemm... seronok dapat cucu ni.. walau pun penat tapi bila tengok mata dia kelipok-kelipok, lega rasa hati!.." balas nekcun, seronok.

"Cucu nekcun okey ke? Tak ada jaundice ke?" soal Kak June lagi.

"So far so good!.. Alhamdulillah... sebab dia 100% menyusu ibunya!.. " balas nekcun lagi.

"Eeemm... memang pun... kalau bayi yang menyusu badan emaknya 100% akan kurang terkena jaundice. Lagi pun susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi.." ujar Kak Che Amar.

"Tapi ramai ibu-ibu yang tak mahu menyusukan anak-anak mereka, takut badan tak cantiklah, tak cukup air susulah dan macam-macam lagilah alasan mereka!.." Kak June pula mengkomen.

"Sebab itulah anak-anak sekarang ramai yang tak ingat mak bapak bila besar sebab mereka lebih banyak minum susu lembu dari susu ibu sendiri!.. Tapi saya, saya paksa anak saya untuk susukan anaknya!.." nekcun menambah komen Kak June.

"Eloklah tu, Hajjah!.. memang sepatutnya anak-anak ni diberikan susu ibunya 100% semasa kecil-kecil ni supaya lebih sihat dan elok pula akhlahnya esok-esok... tak adalah perangai mereka tu pun macam haiwan bila dah besar panjang kelak!.. macam kes-kes yang banyak berlaku sekarang ni.. mungkin sebab terlampau banyak minum susu lembulah agaknya sehinggakan perangai pun dah jadi macam haiwan!.." kelihatan Kak June agak emosional menyuarakan pendapatnya.

Bila menyebut pasal susu lembu ni, teringat nekcun akan jenaka kekawan nekcun yang lain ketika kami berehat selepas beriadah di gym baru-baru ni.

"Siapa tahu kenapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing?" Puan Gee bertanya kami semua.

"Memanglah manusia tak boleh berkahwin dengan haiwan!.. apalah you ni, Ghee!.." Datin J berkata sambil tersenyum lebar.

"Tapi itu bukan sebab utama. Kalau nak tahu mengapa manusia sekarang tak boleh kahwin dengan lembu atau kambing ialah... sebab lembu dan kambing itu adalah 'ibu susuan' kepada manusia!... mana kita boleh kahwin dengan ibu atau adik beradik susuan!.. Kan sekarang ni ramai betul orang yang memberi anak-anak mereka susu lembu atau kambing daripada susu ibu sendiri!.." balas Pn. Ghee sambil tertawa terkekeh-kekeh.

"Hah!.. pandailah you nak pekena kami ya!..." Datin J menepuk bahu Pn. Gee sambil turut tergelak besar.

Iyalah!.. lawak, lawak juga. Tetapi kalau difikir-fikirkan ada juga betulnya. Bila anak-anak sudah diberi susu haiwan sejak kecil lagi sehinggakan melebihi susu ibu, maka kalau perangai mereka kelak jadi macam haiwan juga, siapakah yang nak disalahkan?

Entahlah!.. tak berani nekcun nak komen kerana anak-anak nekcun sendiri dulu pun ada juga nekcun beri susu lembu apabila nekcun telah terpaksa meninggalkan mereka di rumah untuk mencari rezeki. Namun, bagi nekcun apa yang penting adalah secara keseluruhannya, adakah makanan yang kita berikan pada anak-anak kita itu dari sumber yang halal atau tidak, kerana makanan itulah yang akan menjadi darah daging mereka dalam membentuk akal dan akhlak mereka.

Jadi sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan kekawan semua supaya memastikan anak-anak kita diberi makanan dari sumber yang halal. Ini bukan sahaja bahan-bahan makanan itu tetapi juga wang ringgit yang digunakan untuk membeli bahan-bahan makanan tersebut. Jika wang ringgit itu diperolehi dari jalan yang salah atau haram, maka makanan yang diberi juga boleh jadi haram walaupun pada dasarnya bahan-bahan makanan itu halal.

Oleh itu, pastikanlah semua pendapatan kita adalah dari sumber yang halal bagi memastikan anak-anak kita akan mendapat makanan yang akan menjadi darah daging mereka adalah halal. Marilah kita sama-sama membendung 'sunami akhlak' yang sedang menyerang negara kita ini sekarang dengan kita memulakan pemulihannya dari dalam rumah kita sendiri, demi kebaikkan ugama, bangsa dan negara. Wallahualam!...

3 comments:

Mak Su said...

sy memilih untuk breastfeed anak2, puas hati

sal said...

memang sepatutnya bagi susu ibu..tpi tak cukup..maka alternatif diberikan..moga sihat sampai ke akhir hayat..ameen

izman said...

susu ibu memang terbaik.